Sahabat Purnama

Selasa, 8 Disember 2009

Kedah jayakan Kem Bina Sahsiah bantu belia

GUAR CHEMPEDAK - Kerajaan negeri memperuntukkan RM250,000 bagi menjayakan Kem Bina Sahsiah (KBS) yang bermula pada 1 Disember lalu bertempat di Kompleks Pendidikan Muassasah Darul Ulum, Pokok Sena.

Program pembangunan insan yang dicetuskan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak adalah anjuran bersama Pusat Pendidikan Muassasah Darul Ulum dan Jawatankuasa Pembangunan Insan Negeri Kedah.

Menurut Setiausaha Sekretariat KBS, Rashidi Abdul Razak, program tahunan yang dikhaskan kepada peserta berumur 15 hingga 18 tahun itu telah memasuki siri keenamnya sejak mula diperkenalkan pada 2003 yang lalu.

“Tahun lepas seramai 252 peserta menyertainya dan pada tahun ini kami telah menerima lebih 700 permohonan dari seluruh negara.

“Berikutan terhadnya prasarana dan tempat, pihak kami hanya menerima 300 peserta sahaja untuk siri ini. Bakinya akan dimasukkan dalam senarai menunggu untuk siri berikutnya,” katanya.

Katanya modul program KBS ini dibahagikan kepada tiga fasa yang memenuhi semua aspek kehidupan seharian peserta.

“Fasa pertama memberi penekanan berkaitan pendidikan tauhid serta tunjuk ajar tentang kesempurnaan ibadat, akhlak dalam Islam dan mengenal diri.

“Fasa kedua dan ketiga pula, peserta didedahkan dengan aktiviti luar yang dijalankan secara berkumpulan manakala fasa ketiga pula, mereka diberi penekanan kepada institusi kekeluargaan dan kemasyarakatan,” katanya.

Menurut Rashidi, pihaknya akan terus bekerja sama dengan Kerajaan Negeri melalui agensi berkaitan dalam usaha memperluaskan lagi program pembangunan insan di negeri ini selaras dengan hasrat murni yang diluahkan oleh Menteri Besar.

“Kita sedar generasi kini ramai yang sedang parah akibat wabak sosial. Budaya rempit, penyalahgunaan dadah, pergaulan bebas yang mengundang keruntuhan akhlak dan berbagai lagi salah laku yang memeningkan banyak pihak.

“Kerajaan Negeri mengambil inisiatif memperbanyakkan program pembangunan insan bagi membendung dan mengubatinya, kini kami menjalankan tanggungjawab tersebut” katanya.

Menurutnya selepas tamat program KBS ini, pihaknya akan anjurkan pula Kem Anak Soleh dari 23 hingga 26 Disember ini, yang khas untuk 150 orang anak-anak nelayan di Kedah,” katanya._sinarharian

Tiada ulasan: