ALOR SETAR - Jumlah kutipan zakat di negeri ini meningkat sebanyak RM11 juta apabila mencatatkan kutipan RM68 juta tahun ini, berbanding RM57 juta pada tahun sebelumnya. Setiausaha Jabatan Zakat Negeri Kedah, Datuk Sheikh Ghazali Yaacob berkata, antara faktor yang menyumbang kepada peningkatan kutipan tahun ini adalah kerana ramai pembayar zakat memilih skim Zakat Pendapatan Potongan Gaji. “Skim ini mendapat sambutan majikan dan pekerja kerana memudahkan umat Islam menunaikan tanggungjawab membayar zakat. Sehingga kini, terdapat 37,000 pembayar zakat yang memilih skim ini, terutama kalangan kakitangan awam dan Kerajaan Negeri,” katanya pada majlis penyampaian bantuan zakat kepada Institusi Pengajian Tinggi (IPT), di sini, semalam. Sheikh Ghazali berkata, zakat perniagaan antara penyumbang terbanyak tahun ini dan antara penyumbang terbesar ialah institusi perbankan, Lembaga Tabung Haji dan syarikat korporat. “Begitu pun, masih banyak syarikat tidak menunaikan zakat perniagaan, kita sekadar boleh memberi nasihat kerana tiada peruntukan yang membolehkan kita mengambil tindakan perundangan,” katanya. Menurutnya, Jabatan Zakat Negeri Kedah memperuntukkan RM9.2 juta derma siswa melanjutkan pelajaran ke IPT tempatan kepada 12,811 pelajar tahun ini. “Hari ini sahaja kita menyerahkan RM973,600 kepada 1,249 pelajar antaranya dari daerah Kota Setar, Kuala Muda, Kulim, Pendang, Kubang Pasu dan Padang Terap. Setiap pelajar peringkat Ijazah menerima RM1,000 manakala Diploma RM600,” katanya. Derma siswa melanjutkan pelajaran ke luar negara, iaitu Mesir, Jordan dan Syria pula berjumlah RM1.2 juta memanfaatkan 306 pelajar, dengan bantuan RM4,000 setahun. “Memandangkan kutipan zakat meningkat, jabatan zakat membuka permohonan pembiayaan pelajaran ini sepanjang tahun, berbanding sebelum ini diadakan secara bermusim kerana terhad kepada kuota 7,000 penerima bantuan sahaja,” katanya._sinarharian |
Sahabat Purnama
Jumaat, 25 Disember 2009
Kutipan zakat Kedah meningkat RM11 juta
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan