Sahabat Purnama

Rabu, 6 Januari 2010

Juruteknik maut terkena kipas pendingin hawa


KUANTAN: Seorang juruteknik pendingin hawa di sebuah kilang simen di Bukit Sagu di sini maut selepas terkena kipas alat itu ketika sedang melakukan kerja-kerja penyelenggaraan, semalam.

Pegawai Urusetia Jabatan Siasatan Jenayah Pahang ASP Noor Asyikin Shamsuri berkata kejadian berlaku kira-kira jam 2.30 petang semasa Mohammad Jakir Hossain, 34, bersama lima lagi rakannya ditugaskan menyelenggara pendingin hawa kilang itu.

"Tiba-tiba rakan Mohammad Jakir terdengar satu bunyi dentuman kuat dari arah juruteknik itu, lalu mereka bergegas ke kawasan kejadian dan mendapati Mohammad Jakir terbaring di lantai dalam keadaan lemah selain mendapati tangga yang digunakan untuk memanjat menuju ke penghawa dingin itu terpelanting jauh," katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata Mohammad Jakir yang merupakan pekerja mahir dan bekerja di kilang itu sejak enam tahun lepas, mengalami kecederaan parah di bahagian kepala, tangan dan telinga, dipercayai akibat terkena kipas pendigin hawa itu.

Noor Asyikin berkata Mohammad Jakir disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan menuju ke Klinik Desa Bukit Goh untuk mendapatkan rawatan, dan mayatnya kemudian dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan untuk bedah siasat. - Bernama_hmetro

Tiada ulasan: