ALOR SETAR- Kehilangan seorang gadis berusia 20 tahun pada 3 Januari lalu selepas tidak pulang semula ke tempat kerjanya pada jam 11 pagi menjadi tanda tanya kepada ahli keluarganya sehingga ke hari ini.
Michelle Lim Shiau Wei dari Tanjung Bendahara dilaporkan hilang pada Ahad lalu selepas keluar dari sebuah kedai perabot di Tandop iaitu tempat dia bekerja sebagai kerani sejak tujuh bulan yang lalu.
Wakil Khas Ahli Parlimen Alor Setar, Loh Eng Chong berkata, keluarga gadis tersebut memohon jasa baik beliau untuk menghebahkan kehilangan ini kepada media bagi membantu mencari anak mereka yang hilang.
Eng Chong berkata, keluarga gadis itu memberitahu, pada hari kehilangannya, Shiau Wei dihantar ke tempat kerja oleh ibunya seperti biasa pada jam 9 pagi.
Menurutnya, pada jam 12 tengah hari, isteri majikan Shiau Wei menghubungi keluarganya memberitahu anak mereka tidak pulang selepas keluar dari kedai itu kira-kira jam 11 pagi.
“Kebetulan pula pada hari yang sama Shiau Wei baru menerima gaji sebanyak RM700 daripada majikannya.
“Berdasarkan maklumat isteri majikan, semasa keluar dari kedai perabot itu, Shiau Wei hanya membawa sebuah beg galas berwarna hitam putih bersamanya,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.
Shiau Wei yang hanya memakai seluar jeans dan kemeja T dengan rambut panjang melepasi bahu adalah anak sulung daripada empat beradik.
Eng Chong berkata, selepas dimaklumkan tentang kejadian itu, bapa Shiau Wei yang bekerja sebagai kontraktor di Jitra cuba mencari di sekitar bandar raya ini namun gagal.
Beliau berkata, selepas gagal menemui anak mereka di merata-rata tempat, akhirnya beliau mengambil keputusan membuat laporan polis tentang kehilangan anaknya itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar kira-kira jam 8.30 malam.
“Bagaimanapun, sehingga kini keluarganya masih berharap Shiau Wei akan pulang ke pangkuan keluarga dan akan membantunya jika mempunyai sebarang masalah,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Abdul Ghafar Rajab ketika dihubungi berkata, pihaknya telah menerima laporan kehilangan tersebut.
Menurutnya, polis telah pun menjalankan siasatan dan sehingga kini masih tiada sebarang perkembangan mengenai kes tersebut._sinarharian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan