TERKINI:
20:00 PM
DAP - 16,178 UNDI
BN - 13,156 UNDI
Bebas - 136
Mejoriti - 3,022 UNDI
| Nasrudin Hassan at-Tantawi |
Soalan: Adakah harus menggunakan masjid untuk tujuan politik ? Apakah dalil keharusannya, jika hukumnya harus ? Atau dalil pengharamannya, jika ia ditegah? Masjid adalah Pusat Dakwah dan Pemerintahan di Zaman Nabi (s.a.w.) Masjid di zaman Rasulullah (s.a.w.) merupakan pusat kegiatan Jamaah Muslimin. Ia bukan setakat tempat beribadat dan sembahyang bahkan sebagai tempat beribadat, markaz ilmu, kelab sastera, parlimen, tempat perkenalan, tempat berkumpulnya rombongan-rombongan yang datang dari seluruh pelusuk Semenanjung Tanah Arab, tempat Rasulullah (s.a.w.) membuat pertemuan dengan mereka dan tempat Rasulullah (s.a.w.) menyampaikan khutbah dan tunjuk ajarnya tentang seluruh kehidupan sama ada urusan keagamaan, kemasyarakatn dan pentadbiran. Di dalam kehidupan Rasulullah (s.a.w.) tidak ada pemisahan di antara urusan agama (mengikut istilah orang sekarang) dan politik. Baginda tidak mempunyai satu tempat yang lain bagi politik dan permasalahannya selain daripada masjid. Masjid di zaman Rasulullah (s.a.w.) adalah markaz dakwah dan politik. Masjid Di Zaman Kegemilangan dan Zaman Kemuduran. Begitu juga di zaman Khulafa Ar Rashidin selepas Rasulullah (s.a.w). Masjid dijadikan sebagai tempat pelbagai aktiviti sama ada aktiviti politik dan sebagainya. Abu Bakar as-Siddiiq menyampaikan ucapan dasarnya yang pertama di masjid. Disinilah beliau menerangkan program politik atau strategi pemerintahannya. Beliau berkata: “Wahai manusia! Aku dilantik memerintah kamu. Aku bukanlah orang yang paling layak dari kalangan kamu. Jika kamu melihat aku berada di atas jalan yang benar, bantulah aku. Jika aku menyeleweng, perbetulkanlah aku.” Umar bin al-khattab juga menyampaikan ucapan dasarnya di masjid, beliau berkata: “Wahai manusia! Sesiapa yang melihat aku menyeleweng, perbetulkan aku!” Lalu seoang makmum berkata: “Demi Allah, jika kami melihat kamu menyeleweng, kami akan memperbetulkannya dengan mata pedang kami!” Umar menjawab: “Alhamdulillah, syukur kepada Allah yang menjadikan di kalangan rakyat Umar, mereka yang akan membetulkan penyelewengan Umar dengan mata pedangnya.” Masjid terus berfungsi di zaman sebaik-baik umat ini dan di zaman kegemilangannya.Tetapi ketika luputnya bintang tamadun Islam dan umat Islam menjadi mundur dalam segenap bidang kehidupan, fungsi masjid turut berubah. Masjid hanya dijadikan tempat menunaikan sembahyang sahaja. Khutbah yang diucapkan mati tidak bertenaga. Kerana ia bukan menyampaikan khutbah tetapi membaca khutbah. Tajuknya hanya berligar di sekitar zuhud di dunia, mengingati kematian, fitnah kubur, dan azab akhirat. Oleh kerana itu sewaktu ruh kebangkitan Islam mula meresapi tubuh umat ini, kita dapati sebahagian daripada khatib bercakap tentang permasalahan umat Islam, mengkritik suasana penyelewengan kehidupan umat, khususnya kezaliman pemerintah, kebisuan ulama dan kedinginan cendikiawan. Oleh itu kita dapati, setengah orang berkata: Khatib itu bercakap tentang politik…! Politik Yang Diterima dan Politik Yang Ditolak. Kenapa ketika disebut kalimah ‘politik’, seolah-olah ia merupakan satu kehinaan atau jenayah ?! Sedangkan ilmu politik adalah satu cabang ilmu yang paling mulia dan orang yang berkecimpung dalam bidang politik adalah mereka yang memikul satu tugas yang paling mulia. Yang peliknya lagi ialah sebahagian ahli politik sendiri yang bertanya: "Adakah harus menggunakan masjid untuk tujuan politik ?” Sedangkan mereka bergelumang dalam politik daripada hujung rambut ke hujung kaki. Politik itu sendiri bukanlah perkara mungkar dan kotor, apabila ia mengikut garisan-garisan yang telah ditetapkan oleh prinsip-prinsip Islam dan berada di dalam lingkaran hukum dan nilai-nilainya. Politik yang ditolak ialah politik ‘Micheavelli’ yang menyatakan matlamat menghalalkan cara, tidak beriltizam dengan akhlak serta nilai-nilai kebaikan dan mengenepikan halal dan haram. Manakala politik dengan maksud mentadbir urusan seluruh manusia dengan menjaga kepentingan mereka dan menghilangkan keburukan serta menegakkan keadilan di kalangan mereka, makia ia adalah selari dengan agama, bahkan ia adalah sebahagian daripada agama kita, kerana Islam itu adalah aqidah, ibadah, akhlak dan sistem hidup yang lengkap. Risalah masjid sebagaimana yang dikehendaki oleh Islam yang sebenar tidak dapat digambarkan bahawa ianya boleh dipisahkan daripada politik dengan pengertiannya yang di atas. Masjid diwujudkan untuk menangani seluruh permasalahan umat Islam dan setiap yang memberi kebaikan dalam urusan agama dan dunia mereka. Melalui masjidlah manusia mempelajari kebenaran, kebaikan, kelebihan di dalam seluruh kehidupan mereka, samada dari segi kerohanian, kebudayaan, sosial, ekonomi dan politik. Hal ini dikenali sebagai ‘an-nasiihah’, salah satu kewajiban Islam yang diketahui, di mana Nabi (s.a.w.) menjadikankannya sebagai seluruh agama sebagaiaman di dalam sabdanya ; الدين النصيحة : قلنا لمن؟ قال لله ولكتابه ولرسوله ولأئمة المسلمين وإمامهم “Ad-Deen itu adalah nasihat…” Sahabat bertanya: “Untuk siapa wahai Rasulullah?” Sabdanya: “Bagi Allah, Kitab وRasul, dan Imam Muslimin serta umat Islam seluruhnya.” Ia juga termasuk dalam konteks berwasiat dengan kebenaran dan berpesan dengan kesabaran yang dijadikan oleh al-Quran sebagai syarat untuk mendapat keselamatan daripada kerugian di dunia dan akhirat. Firman Allah bermaksud *( Al-Asr: 1-3): “Demi masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.” Ia juga tergolong daripada amar-makruf dan nahi mungkar yang dijadikan oleh Allah Taala sebagai sebab utama kepada kebaikan umat ini. Firman Allah (s.w.t.): كُنْتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنْ الْمُنكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ Maksudnya: “Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik, dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji) dan kamu beriman kepada ALLah.” (Ali-Imran: 110). Allah Taala juga menjadikannya salah satu daripada sifat asasi mukminin dan mukminat. Firman Allah (s.w.t.): Maksudnya: “ Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sesetengahnya menjadi penolong bagi sesetengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan dan melarang daripada berbuat kejahatan dan mereka mendirikan sembahyang dan memberikan zakat serta ta’at kepada Allah dan Rasulnya. Mereka itulah akan diberikan rahmat oleh Allah.” Di dalam ayat di atas, Allah (s.w.t.) mendahulukan kefardhuan amar makruf dan nahi mungkar daipada kefarduan solat dan zakat, sedangkan kedua-duanya merupakan rukun Islam. Ini menunjukkan kepentingan kefardhuan amar-makruf nahi mungkar. Allah juga memberitakan kepada kita tentang laknat yang menimpa orang yang meninggalkan kewajipan ini di kalangan umat-umat yang terdahulu. FirmanNya: Maksudnya: “Orang-orang kafir Yahudi dari bani Israel telah dilaknat (di dalam kitab-kitab Zabur dan Injil) melalui lidah nabi Daud dan nabi Isa bin Maryam. Yang demikian itu, disebabkan mereka menderhaka dan menceroboh. Mereka sentiasa tidak berlarang-larangan (sesama sendiri)n dari perbuatan mungkar (derhaka dan ceroboh) yang mereka lakukan. Demi sesungguhnya amatlah buruknya apa yang mereka lakukan.” Melalui nasihat, berpesan dengan kebenaran dan amar makruf nahi mungkar, masjid berperanan di dalam memberi pengarahan terhadap urusan pentadbiran umat, memberi kesedaran kepada mereka tentang permasalahan hidup mati mereka dan mendedahkan kepada mereka tentang tipu daya musuh. Semenjak dahulu lagi masjid berperanan meniupkan semangat jihad fi sabilillah dan semangat menentang musuh yang menceroboh. Intifadhah yang diberkati, yang berlaku sekarang di bumi ambiya’ ‘Palestin’ bermula dari masjid. Seruan pertamanya bergema dari menara azan. Pada permulaannya kebangkitan ini dinamakan sebagai kebangkitan masjid. Begitu juga jihad di Afghanistan dan lain lain tempat lagi, masjid mempunyai peranannya yang tidak dapat dinafikan. Yang ditegah ialah menyebut nama-nama orang tertentu dan pendetailan secara terperinci untuk mencerca, menjatuhkan maruah dan memaki hamun. Perkara seumpama ini tidak harus dilakukan di atas mimbar dan tidak harus juga mimbar dipergunakan untuk tujuan memburukkan nama orang dan untuk tujuan fanatik kepartian. Tetapi mimbar boleh digunakan untuk menyebut segala perkara yang melanggar syariat, walaupun ia merupakan polisi kerajaan. Masjid didirikan untuk meneguhkan syariat Allah bukan untuk meyokong polisi mana-mana kerajaan. Ketika kerajaan bercanggah dengan syariat Allah, maka masjid mesti berada di saf syariat, bukan di saf kerajaan. Tidak harus sama sekali masjid ditegah daripada haknya yang tradisi, logik dan bersejarah ini; iaitu hak memberi kesedaran dan peringatan kepada umat daripada taghut-taghut yang tidak melaksanakan syariat Allah dan meghukumkannya mengikut hawa nafsu mereka atau tuan-tuan mereka yang sedikitpun tidak mempunyai kekuatan ketika berhadapan dengan kekuatan Allah (s.w.t.) Di sesetengah negara Islam, kerajaan mengeluarkan enakmen berhubung hukum kekeluargaan yang bercanggah dengan syariat Islam, lalu ulama bangkit menentangnya dan mengkritik di masjid-masjid, kerana media massa yang lain dikuasai oleh kerajaan. Tindakan kerajaan tersebut terhadap ulama-uama yang berani ialah hukum bunuh dan bakar! Perkara ini secara tepatnya berlaku di Somalia. Pemerintah menggunakan masjid sebagai trompet untuk mengembar-gemburkan polisinya. Apabila mereka mahu berdamai dengan Israel, maka mereka mengatakan bahwa perdamaian adalah satu kebaikan berdasarkan firman Allah (s.w.t): وَإِنْ جَنَحُوا لِلسَّلْمِ فَاجْنَحْ لَهَا وَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ Maksudnya: “Dan jika mereka (pihak musuh) cenderung kepada perdamaian, maka engkau juga hendaklah cenderung kepadanya serta bertawakallah kepada Allah.” (Al-Anfaal: 61) Ketika hubungan mereka dengan Israel menjadi tegang, maka mereka mengatakan bahawa bangsa Yahudi adalah musuh yang paling ketat kepada orang-orang yang beriman. Perdamaian dengan mereka adalah haram dan khianat. Demikianlah apa yang terjadi. Masjid tidak lagi menjadi lidah yang benar bagi risalah Islam, bahjan ia menjadi agensi dakyah kepada polisi kerajaan. Keadaan ini menyebabkan masjid hilang fungsi dan pengaruhnya di dalam masyarakat dan dalam waktu yang sama ia juga menjatuhkan kemuliaan ulama dan pendakwah kepada jalan Allah. Kita memohon kepada Allah (s.w.t.) agar memberikan keselamatan kepada agama dan dunia kita. *Nasrudin Hassan adalah Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat _harakahdaily.net |
Bacaan politiknya tajam sukar dicari ganti. Sejarah 8 Mac 2008 adalah hasil bacaan politik beliau | Presiden PAS |
Langkah pihak kerajaan ingin memperkenalkan lesen judi sukan dalam negara kita pada masa sekarang ini adalah satu tindakan yang jauh menyimpang dari ajaran Islam dan tatacara kehidupan yang diterima dalam masyarakat Malaysia pada waktu ini. Ianya menggambarkan bahawa kerajaan pimpinan Umno-BN yang ada pada waktu sekarang ini telah bankrap idea dan sedang membawa negara mundur ke belakang ke arah yang lebih jauh dari ajaran Islam. Inilah yang dirancang oleh penjajah dan Umno yang menjadi tulang belakang kerajaan yang ada di waktu ini telah membawa semakin banyak perkara-perkara negatif selepas negara mencapai kemerdekaan, malah lebih banyak dari yang dilaksanakan oleh penjajah itu sendiri. Hasilnya wajah Islam yang cuba dibawa oleh Umno dengan mendirikan masjid, pusat islam dan aktiviti keagamaan ini menjadi topeng dan tempelan kosmetik sahaja, dan dalam masa yang sama mereka merobek Islam dari belakang. Akibatnya Umno juga telah menunjukkan satu wajah yang sangat salah dengan hakikat tasawwur ajaran Islam yang sebenar. Maka sudah tiba masanya bagi orang melayu beragama Islam untuk memahami bahawa di sana terdapat perbezaan di antara Islam dengan bangsa. Islam adalah agama untuk seluruh manusia tanpa mengira bangsa dan kaum. Dalam hal ini kita telah mendapat respon yang sangat baik dari kalangan orang bukan Islam, malah kita juga telah berjaya menarik sokongan rakan-rakan dari DAP dan PKR yang bukan Islam untuk menyokong bagi mengharamkan judi. Inilah kejayaan satu anjakan paradigma dalam aspek dakwah apabila kita memberi kefahaman kepada orang bukan Islam untuk menerima apa yang diharamkan oleh Islam. PAS menyeru kepada penyokong-penyokong Umno yang cintakan agama untuk membuat muhasabah terhadap diri mereka supaya melaksanakan perubahan secara ilmu dan mengkaji kefahaman Islam yang betul melalui sumber-sumber Islam dan bukan melalui media-media yang memberikan maklumat yang salah yang terus menerus menjahilkan mereka dari ajaran Islam. Abdul Hadi Awang, Presiden PAS harakahdaily.et |
| Mohd Rashidi Hasan |
ADA beberapa persoalan pokok yang harus diajukan di sebalik pelantikan bekas Ketua Angkatan Muda KeADILan, Mohamed Ezam Mohd Nor sebagai Senator yang baru. Pertama, apakah sumbangan beliau kepada agama, bangsa dan negara sehingga melayakkan beliau dilantik sebagai Senator? Kedua, dengan kedudukan beliau sebagai ahli biasa Umno, apakah peranan yang boleh beliau mainkan di Dewan Negara? Atau, apakah beliau akan dilantik menjadi Menteri atau Timbalan Menteri, bagi membolehkan beliau berperanan di Dewan Rakyat pula? Merujuk kepada persoalan ini, sejurus pelantikannya Ezam mendakwa beliau layak dilantik menjadi Senator berdasarkan banyak sumbangan beliau untuk memerangi rasuah, antaranya dengan menubuhkan Gerak. Ezam menafikan dakwaan bahawa pelantikannya sebagai 'upah' dari Umno-Barisan Nasional. Namun bagi penulis, jika Ezam menafikannya pun siapa yang hendak percayakan dia. Orang-orang Pakatan Rakyat sudah lama tidak mempercayainya, malah, orang-orang Umno sendiri pun belum tentu percaya kepada beliau. Hakikatnya pelantikan Ezam sebagai Senator banyak dipertikaikan. Kelompok Pakatan Rakyat tidak ada sebab hendak pertikaikan kerana pelantikan tersebut adalah progatif Perdana Menteri. Yang banyak mempertikaikan pelantikan Ezam adalah orang-orang Umno sendiri. "Dia (Ezam) dah 'kenyang' kat sana, buat onar macam-macam burukkan kita (Umno), lepas tu dia masuk sini, pun dia 'kenyang' juga, dapat Senator lagi," keluh seorang pemimpin pemuda Umno. Apa maksud 'kenyang' itu, hanya Ezam dan orang-orang Umno yang terlebih faham. Persoalan yang mengguris hati kebanyakan orang Umno ialah bagaimana bekas pengkhianat Umno, baru setahun kembali ke dalam Umno, sudah mendapat 'reward' sebegini besar? Di luar sana, ramai lagi pemimpin tertinggi Umno, di peringat negeri dan bahagian, yang berjuang sehidup semati mempertahankan Umno, sejak dulu, kini dan selamanya, 'habuk pun tak dapat.' Malah ada antara mereka yang menjadi penyokong tegar Dato' Seri Mohd Najib Razak tatkala ditindas Khairy Jamaluddin, pun tidak mendapat apa-apa. Malah begitu komitednya perjuangan mereka dalam Umno, diumpamakan, jika ditoreh lengan mereka sekalipun, akan keluar 'darah cap keris'! Tetapi mereka-mereka ini diketepikan oleh pemimpin tertinggi Umno. Mengapa mereka diketepikan? "Kes Ezam buat PM, ini ibarat 'kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan," kata seorang penganalisis politik. "Ada bunyi-bunyi kata hendak lantik Ezam pula sebagai Timbalan Menteri, habis kami orang Umno yang ramai-ramai ini hendak jadi apa?" soal seorang pemimpin pemuda dengan nada kemarahan. Ya tak ya juga. Bukan AJK Pemuda atau pemimpin bahagian Umno sahaja, malah berlambak-lambak Ahli Parlimen Umno-BN yang mengharap jawatan Menteri atau Timbalan Menteri yang akan kempunan nanti. Yang paling kempunan sudah tentunya Ahli Parlimen Rembau, yang juga Ketua Pergerakan Pemuda Umno. Selepas bapa mertuanya dijatuhkan dari tampuk kuasa, Khairy tidak mendapat apa-apa dari Umno, walaupun suatu ketika dahulu beliau kelihatan amat berkuasa. Penentangnya Dato' Mukhriz Mahathir dah jadi Timbalan Menteri. Begitu juga Naib Ketua Pemuda Umno, Dato' Razali Ibrahim, juga Timbalan Menteri. Maka kali ini jika Ezam dilantik menjadi Timbalan Menteri, maka riwayat Khairy sebagai Ketua Pemuda Umno yang sedang berantakan dengan exconya sekarang ini, sudah hampir di penghujung. Apakah tidak mustahil Najib sedang memprojek Ezam sebagai bakal Ketua Pemuda Umno yang baru? Khairy sudah tidak layak, sebab pertama, beliau menang tipis apabila undi perwakilan pemuda terbahagi tiga, bermakna beliau hanya dipercayai satu pertiga pemuda sahaja. Alasan kedua, beliau dikritik oleh exconya sendiri, malah disuruh meletak jawatan kerana gagal mengemudi pemuda Umno. Alasan ketiga, ialah kerana Khairy tidak mendapat kepercayaan Najib, dengan tidak dilantik menganggotai kabinet, dan sama sekali tidak boleh diterima oleh orang-orang Najib. Oleh kerana Mukhriz kelihatan sedikit 'lembap' untuk dijadikan galang-ganti Khairy, maka seseorang seperti Ezam yang kelihatan rancak dan bertenaga, harus dipupuk mulai dari sekarang untuk mengambil alih tugas Ketua Pemuda. Ezam dalam konteks ini dilihat ada sedikit 'command'. 'Command' atau karisme Ezam, bukan untuk dikemudikan untuk mengembleng tenaga muda menyokong Umno, sebab penyokong Umno sudah semakin pupus. Ezam sebenarnya hendak dipergunakan sebagai alat Najib untuk menyekat kemaraan Dato' Seri Anwar Ibrahim. Ezam adalah 'ayam sabung' terbaru Umno-BN untuk menentang Pakatan Rakyat, selepas Ahli-ahli Parlimen Umno-BN yang ada gagal berfungsi. Sebab apa Najib mempercayai Ezam? Sebabnya ialah selepas mengkhianati 'tuannya' dalam KeADILan, Ezam begitu konsisten memaki hamun Anwar. Tiada topik lain yang dicakapkannya selain memburuk-burukkan Anwar. Beliau akan muncul setiap kali ada pilihan raya dan setiap kali wujud perpecahan dalam KeADILan, 'menangguk di air yang keruh' untuk menjatuhkan maruah Anwar. Ada rakan-rakan dalam KeADILan mendakwa, peristiwa beberapa orang anggota AMK KeADILan dan lain-lainnya keluar dari parti itu, berikutan daripada kerja keras Ezam dan bekas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Mohd Fairus Khairudin. "Kerja mereka mudah, mereka round satu Malaysia, hubungi semua 'budak-budak Ezam' dalam parti, tawar macam-macam kepada mereka," dakwa seorang ahli MPT KeADILan. "Ezam dan bekas Setiausaha Agung KeADILan, Dato' Salehuddin Hashim rapat dengan Najib. Mereka jadi broker 'tukang beli' orang-orang KeADILan," dakwa seorang yang lain. Di sini, bukan persoalan jumlah banyak mana RM yang 'dibayar' untuk mereka yang sedia mengkhianati perjuangan. Tetapi, ianya adalah soal keberkesanan tugas Ezam untuk melemah dan memporakperandakan KeADILan. KeADILan adalah antara komponen utama Pakatan Rakyat. Dan Anwar dilihat sebagai pencabar terbesar kepada Najib. Tugas Ezam dan pecacai-pecacai yang lain adalah untuk memperlahankan gerakan Pakatan Rakyat. Walaupun kocaknya KeADILan, seumpama 'kocakan air dalam cawan', namun ianya cukup untuk memuaskan hati Najib. Di atas kepuasan hati itulah, beliau menganugerahkan jawatan Senator buat Ezam. Jelasnya, ianya upah yang diberikan kerana berjaya memaki hamun Anwar! |
| Subky Latif |
| SIAPAKAH dalang yang utama yang mendedahkan Datuk Zaid Ibrahim, calon PKR dalam Pilihan Raya Kecil Hulu Selangor dulu sebagai kaki botol dan kaki judi kuda? Siapa lagi kalau bukan UMNO dan akhbar upahannya yang menjadi promoter utama judi lumba kuda sejak pertengahan tahun 70an dulu. Adakah UMNO dan akhbar itu ada kelayakan untuk menyalah Zaid dalam perkara itu? Kedua-duanya tidak ada kelayakan kerana mereka juga bergelumang dengan maksiat dosa besar itu. Zaid tidak berperangai baik semasa berada dalam UMNO, tetapi bukanlah UMNO yang layak menegurnya kerana UMNO dan akhbar itu adalah seperti ibu ketam yang tidak boleh mengajar anaknya berjalan betul. PAS layak membuat teguran itu kerana ia ditubuhkan adalah untuk menentang semua dosa besar dan dosa kecil. Satu-satunya orang politik yang boleh menegur Zaid ialah Lee Kuan Yew, Menteri Mentor Singapura. Sejak dia menyertai politik tahun 50an dia bercita-cita untuk menjadi seorang puritan iaitu seorang bersih dari arak, judi dan betina. Tidak pasti apakah dia tidak pernah minum beer? Bagi masyarakat barat, beer macam air sejuk; minuman biasa yang tidak dikira arak sangat dan tidak dikira perangai buruk. Apa pun Lee Kuan Yew dikenali seorang puritan seperti juga Nehru, Perdana Menteri India yang pertama dan Dag Hurmarsjuld, Setiausasha Agung Bangsa-Bangsa Bersatu tahun 60an dulu. Mereka adalah antara beberapa kerat pembesar dunia yang tidak merokok, tidak minum arak, tidak berjudi dan tidak kaki betina. Sekalipun Lee Kuan Yew dilihat sebersih itu tetapi tidak dipastikan apakah dia dapat menjadikan orang-orangnya sebersihnya. Devan Niar yang pernah dijadikannya Presiden Singapura dipercayai orang yang pernah paling rapat dengannya. Ketika PAP atau PETIR dibentuk di Malaysia Devan Niarlah menjadi Setiausaha Agung PAP Semenanjung dan menjadi MP tunggal PAP tahun 1964. Semasa menjadi Presiden Singapura Devan Niar jadi kaki botol tegar. Lee Kuan Yew bertindak melucutkannya dan dia membawa diri menghabiskan baki usianya di Kanada. Lee boleh bertindak setegas itu kerana dia membuktikan dia seorang puritan. Tetapi kalau dia sendiri tidak begitu maka dia tidak boleh menuduh orang lain kaki judi, kaki betina, kaki arak dan kaki rasuah. Jika Lee yang membongkar kelemahan Zaid itu, maka dia ada kelayakan. Tetapi mana-mana pemimpin UMNO dulu, sekarang dan akan datang tiada sedikitpun wibawa dan kelayakan untuk memburukkan Zaid kerana mereka juga lebih buruk daripadanya. Zaid mengaku dia dulu minum seperti yang dibuat Dr. Mahathir dan kebanyakan pemimpin UMNO. Kata Zaid, dia tidak minum sampai mabuk, tetapi ada pemimpin UMNO yang minum sampai mabuk hingga sanggup meraba ponggong pelayan di khalayak umum. Manakala akhbar yang menjadi juara mencanangkan Zaid kaki botol dan kaki judi lumba kuda itu tidak pula berperangai seperti Malaikat yang bersih daripada dosa besar. Saya pernah menjadi warga akhbar itu sejak tahun 60an. Saya tahu apa yang berlaku. Pemberita yang terkenal yang seangkatan dengan saya yang saya rasa tidak jadi kaki botol dan tidak jadi kaki betina ialah Zam – Tan Sri Zainudin Maidin dan Datuk Firdaus Abdullah. Yang lain saya tidak dapat jamin. Saya yang tidak pernah memegang gelas arak dikira seorang wartawan kolot yang tidak maju, tidak ikut peredaran masa dan perkembangan. Ada yang tidak menyentuhnya tetapi ia adalah kalangan yang tidak popular. Kerana itu berlumba-lumbalah masing-masing untuk menjadi wartawan maju dengan tidak segan-segan meneguk arak semahu-mahunya. Ketika saya mula jadi wartawan, tugas yang diberi ialah pergi ke Turf Club di Pulau Pinang setiap kali ada lumba kuda untuk mengambil keputusan sumber judi tikam ekor itu. Akhbar menyiarkan keputusannya. Masa itu judi lumba kuda jadi bahan siaran akhbar Inggeris dan Cina saja. Kemudian akhbar yang menyiarkan Zaid kaki judi lumba kuda telah memperkenalkan siaran judi lumba kuda itu kepada pembaca Melayu. Ia menyediakan ruang meramalkan kuda-kuda yang akan menang dan nombor-nombor yang akan berjaya. Ia menjadi panduan bagi sekalian kaki judi yang membaca akhbar Melayu. Akhbar itu memang terkenal dengan ramalan nombornya yang tepat, malah dapat menyaingi keupayaan ramalan dalam akhbar Inggeris dan Cina. Dosa Zaid sekadar dia seorang saja minum. Kalau kudanya digunakannya untuk berjudi, dia seorang sajalah yang berjudi. Tetapi dosa akhbar yang mempromosikan judi lumba kuda itu dan membantu kaki judi dengan ramalan yang tepat atau hampir tepat, telah menggalak dan menyebabkan begitu ramai pembaca Melayu yang juga orang Islam bergelumbang dengan dosa itu. Zaid tidak melibatkan orang lain. Bila dia taubat urusannya dengan Allah moga-moga selesai. Tetapi bagi akhbar dan petugasnya yang menggalakkan anggota masyarakat seluruhnya berjudi, bagaimana hendak taubat dan membersihkan dosa orang-orang yang digalakkannya berjudi? Jika yang menegur Zaid itu Lee Kuan Yew, tegurannya wajar didengar, tetapi ekor ayam jantan UMNO macam mana hendak didengari kerana ia bergelumang tahi?_harakahdaily.net |
| Subky Abdul Latif |
ORANG lulus Universiti Azhar dengan ijazah PhD, bertabur firman dan hadis di hujung jarinya, tidak memilih PAS sebagai medan mengembangkan ilmu dan jihadnya. Antaranya memilih Umno. Atau Allah memilih mereka menjadi Umno.Yang Allah pilih menjadi ahli PAS ialah artis penulis lirik Bob Lokman. Dunia Bob dulunya di alam wayang. Tetapi dia memilih menjadi ahli PAS.Bukan mudah bagi seseorang untuk memilih menjadi PAS. Menjadi hafiz dan PhD. Pengajian Islam belum tentu Allah pilih dia jadi orang PAS, tetapi Bob Lokman, sebagai penulis lirik Allah pilih jadi orang PAS. Bob Lokman boleh bersyukur atas pemberian Allah itu. Dan umat Islam seluruhnya bersyukur kerana Bob Loman mula menjadi aktivis PAS. Dia mengaku pilihannya betul setelah ada yang mencemik pemilihannya itu. Itulah ujian awal yang Bob hadapi. Dan mula gelaplah gambar dan karya seninya dari dada TV dan media perdana. Tetapi Bob tetap memberitahu, setiap kali dia hendak meninggalkan, setelah berada dalam PAS, dia tahu langkahnya adalah betul dan mula merasai manisnya berpolitik dalam PAS. Orang lain belum merasa manis itu, tetapi Bob sudah merasa manisnya. Sudah ada rakan-rakan artisnya mula mendekatinya dan mahu mengikutnya. Begitulah ada orang menyertai PAS kerana mengikut kuliah Tok Guru Mursyidul Am Dato’ Nik Aziz. Ada yang masuk kerana terasa sedapnya kata-kata mantik Ustaz Fadzil Noor. Demikian juga memahami Islam melalui kuliah Ustaz Abdul Hadi. Tetapi ada juga kerana mengikut daya jelas Bob Lokman. Seperti saya menanda tangani borang menyertai PAS 30 tahun dulu, saya didorong oleh pelakun filem Yusuf Suria. Saya berbuat bersamanya dengan Dato’ Asri, pemimpin PAS masa itu. Tiba-tiba Yusuf berkata kapada saya di depan Dato’ Asri, ‘I ini bukan orang agama, tetapi I mahukan Islam. You orang beragama, tetapi pasal apa tak mahu ikut Islam?’ Saya tidak dapat memberi jawapan. Lalu dia menyuakan borang PAS kepada saya. Saya ambil borang itu dari tangannya. ‘Isi!’ suruhnya. Dato’ Asri mengambil borang itu, dia minta kad pengenalan saya. Diisinya borang itu. Saya pun menjadi ahli PAS dan mula merasa manisnya berjuang dalam Islam. Kira-kira 35 tahun dulu pelakon Yusuf Suria yang banyak berlakon di bawah arahan P.Ramlee dan menyokong kuat Ketua Pemuda Umno Malaysia, Dato’ Harun Idris menjadi ahli PAS. Ke sana ke mari dia menggalas borang PAS. Ramai orang ditemuinya di Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur diajaknya masuk PAS. Saya tengok beberapa pelakon kecil dan pelakun tambahan yang datang makan di gerainya, Restoran Semporna mengisi borang menjadi ahli PAS. Dia rajin masuk ke luar-luar bandar berceramah mengajak orang masuk PAS. Yusuf mahu jadi orang baik. Dia tidak banyak mendapat didikan agama. Jika ada orang PAS yang ada masa, boleh menumpukan penuh masa kepada Yusuf, dia boleh jadi aktivis Islam yang gigih. Malangnya PAS ketika itu bertempur antara yang menyokong dan menentang Dato’ Asri, maka tidak yang dapat membeberi masa untuk membimbing artis-artis yang menyertai PAS masa itu. Beberapa tahun selepas itu Jamal Mohamad yang dikenali sebagai Jamal Kerdil. Dia meninggalkan terus dunia hiburannya. Isterinya membawanya ke sana ke mari di seluruh negara memenuhi jemputan mengadakan ceramah PAS. Dia tidak berapa sihat. Selalu masuk hospital. Tetapi bila keluar hospital selalu menghadhirkan diri dalam kegiatan PAS. Dunia hiburannya sudah terputus baginya. Dia tidak suka lagi diingatkan dengan zaman dunia hiburannya. Bintang-bintang terkenal seperti Tompel, Ibrahim Din dan P.Ramlee yang baik dengannya, kalau boleh nama-nama itu tidak boleh disebut di depannya. Dia tidak suka dikaitkan dengan masa lampaunya. Di hari tuanya dia tinggal di Dengkil. Dia hari-hari tuanya dengan mengingati kebesaran Allah. Semangat PASnya masih tinggi. Jika Bob Lokman mahu tahu akan manisnya menyertai politik PAS mengikut pengalaman dan pandangan seorang bekas seorang artis, pergilah berkunjung ke rumah Pak Jamal Kerdil di Dengkil. Tanya dia tentang manis dan indahnya PAS. |
| Othman Inayatullah |
Ini adalah hasil kajian rambang dengan merujuk kepada hasil PRK Hulu Selangor: Pecahan pengundi Sibu Cina: 36,646 Melanau: 6,016 Bumiputra: 12,033 Jumlah keseluruhan: 59,695 Pecahan pengundi yang diperlukan oleh PR Cina: 27,484 (75%) Melanau: 902 (15%) Bumiputra: 1,804 (15%) Jumlah keseluruhan: 30,190 Lebihan: 685. PR perlu berusaha untuk mendapatkan undi bangsa Malaysia Cina sekurang-kurangnya 80% dan bangsa Malaysia Melanau dan Bumiputera 10% untuk memenangi PRK ini. Ini melemaskan BN sekira bentuk pendirian Bangsa Malaysia Cina di Hulu Selangor terus kekal di Sibu. PR perlu menerangkan penyerahan wilayah maritim yang kaya dengan minyak dan gas kepada Brunei satu pengkhianatan dan penderhakaan kepada negara ini. Ingatkan mereka bahawa Ambalat dan Limbang kemungkinan besar akan diserahkan kepada negara asing sekiranya BN terus menguasai parlimen. Warga Sibu juga harus diterangkan tentang kes rasuah pembelian aset pertahanan sehingga dakwaan rasuah di buat di luar negara. Tentang Yahudi dalam pentadbiran negara. Salah guna kuasa Ketua Menteri Sarawak yang mengkayakan keturunan beliau sahaja. PR perlu melakukan kaji silidik sepanjang hari tentang penerimaan calon PR. Kaji selidik hendaklah melibatkan sekurang-kurangnya 70% hingga 80% pengundi Sibu. Dari kaji selidik, PR boleh mengatur gerak tempur kawasan yang penerimaan yang lemah agar mereka berubah hati di saat akhir. PR juga bersedia menyerang habis-habisan bukan lagi bertahan seperti di Hulu Selangor. Jadikan kedudukan menyerang 80% dan bertahan 20%. Gunakan segala khidmat internet sebaran bacaan kepada para pengundi. Jangan lakukan sesi penerangan bersebelahan BN kerana ianya menyukarkan rakyat melakukan penilaian. Jadual penerangan atau ceramah hendaklah boleh ubah kerana pertindihan ceramah antara BN dan PR bakal menyebelahi BN. Ceramah dalam kelompok kecil iaitu di sebelah petang juga memainkan peranan. Ceramah boleh dilakukan di kedai-kedai kopi terutama sekali di kawasan bangsa Malaysia Cina. Ceramah sepusat tidak perlu diutamakan kerana ianya melibatkan kos yang besar kecuali di bandar Sibu. Peringatan juga haru diberikan kepada anggota tentera tentang janji manis PRK Bagan Pinang yang masih belum kunjung tiba. Akhir sekali calon PR hendaklah menjelajah seluruh kawasan PRK Sibu. Lawatan berterusan dan berulang akan merapatkan calon dengan pengundi. Sampaikan wawasan calon secara konstant dan juga dapatkan maklum balas keperluan rakyat. Ini menunjukkan bahawa calon mula bekerja walaupun belum dipilih. Maklum balas rakyat hendaklah segera disalurkan kepada agensi kerajaan untuk melihat tindak balas mereka. Ini boleh dilakukan oleh wakil kepada calon dan segala tindak balas hendaklah direkodkan dan dihebahkan kepada pengundi. Saya amat berharap ianya dapat membantu PR dan saya doakan agar PR menang di PRK Sibu. Hapuskan penderhaka dan pengkhianat negara ini dengan undi anda._harakahdaily.net |
KUALA KEDAH – Alangkah hibanya hati seorang isteri melihat suami yang diharap untuk menjadi teladan dalam keluarga, ditahan kerana disyaki menagih dadah. Rasa sabar yang dibendung, akhirnya tidak tertahan lalu tangan dihayun tepat ke muka suami. Itulah insiden yang berlaku di pekarangan Balai Polis Kuala Kedah, di sini susulan Ops Tapis, semalam. Lebih memilukan, kejadian turut disaksikan orang ramai. Lelaki itu antara 55 yang ditahan, termasuk empat yang masih di bawah pengawasan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK). Ops Tapis dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kedah dan Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar khusus memerangi gejala dadah dalam kalangan nelayan di beberapa pelantar ikan di sini. Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kedah, Deputi Superintendan Zainuddin Saad berkata, operasi bermula jam 6 pagi dan berakhir jam 11 pagi itu disertai empat pegawai dan 28 anggota, berjaya merampas dadah jenis heroin dan syabu. “Ujian saringan air kencing yang dilakukan ke atas semua yang ditahan mendapati 30 daripadanya positif dadah termasuk empat yang masih di bawah pengawasan AADK. “Majoriti yang ditahan ini adalah nelayan berumur antara 25 hingga 50 tahun. Kami turut merampas sebuah motosikal Honda dipercayai dicuri dan siasatan lanjut akan dijalankan,” katanya. Zainudin berkata, empat penagih di bawah pengawasan AADK yang berumur 25 hingga awal 40an cuba bertindak agresif ketika ditahan. Menurutnya, pihaknya juga menemui 27 keratan straw mengandungi heroin dan 12 keratan straw berisi syabu yang disyaki untuk bekalan nelayan yang akan turun ke laut. “Nilai keseluruhan dadah yang dirampas itu adalah kira-kira RM1,000 yang mana setiap tiub berisi syabu ini dijual dengan harga antara RM40 hingga RM50, manakala RM10 untuk setiap keratan straw heroin. “Pengedar dadah berumur lingkungan 30 hingga 40 tahun ini juga turut ditahan, termasuk mereka yang pernah ditahan sebelum ini. Polis masih lagi menjalankan siasatan dari mana sumber bekalan dadah berkenaan diperoleh,” katanya. Zainudin berkata, operasi itu adalah kali kedua dijalankan selepas operasi pada penghujung Mac lalu dan dalam operasi semalam, kira-kira 15 hingga 20 orang terlepas ketika serbuan. Menurutnya, kesemua yang ditahan, akan disiasat mengikut Seksyen 12 (3) Akta Dadah Berbahaya 1952 atas kesalahan memiliki dadah dan Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah 1983. _sinar harian |
KOTA BHARU - Kira-kira 1,000 pelabur dari seluruh negara termasuk Kelantan kerugian RM17 juta setelah dipercayai ditipu sebuah syarikat jualan langsung yang terletak di Pasir Puteh, dekat sini. Kesemua mangsa terdiri daripada kakitangan kerajaan dan swasta ini sanggup bergolok gadai dan berhutang dengan pihak bank bagi menyertai perkongsian modal berkenaan yang menjanjikan pulangan lima hingga 10 peratus kepada setiap pelabur berdasarkan pelaburan. Mangsa menceritakan kutipan deposit berkenaan kerana kekurangan modal untuk membuka agen syarikat berkenaan di Gua Musang dan pelabur mula menawarkan pulangan serta peserta ini dikaburi dengan cop daripada pesuruhjaya sumpah berdaftar pada borang mereka. Seorang mangsa, Norizan Mat Nor, 46, berkata, pada awal penglibatannya dengan syarikat berkenaan bermula pada tahun 2007 lagi dan sanggup menjual lori miliknya malah lebih teruk lagi kerana percayakan habuannya dia melakukan pinjaman berjumlah kira-kira RM60 dengan pihak bank. “Saya bersama isteri melabur kira-kira RM207,000 untuk perkongsian modal bersama pemilik syarikat ini yang juga saudara saya sendiri. “Pada awalnya saya mempercayainya kerana habuan yang dijanjikan ditunaikan oleh syarikat sehingga Mei tahun lalu tetapi bermula Jun sehingga kini pulangan berkenaan tidak sampai kepada kami,” katanya ketika ditemui di sini semalam. Norizan yang juga kakitangan syarikat berkenaan berkata, dia bersama pelabur-pelabur yang lain merasa tertipu setelah tuntutan yang dijanjikan akan dijelaskan pada Ogos juga tidak dibayar. “Setelah lama menunggu kami mendapatkan penjelasan daripadanya dan dia memaklumkan wang sejumlah RM17 juta itu berada dalam akaun ibu pejabat dan kami mempercayainya kerana dia juga menunjukkan cek dengan jumlah berkenaan kepada kami. “Sebelum itu juga saya terkejut kerana ada dalam kalangan pelabur yang menerima cek tendang dan dia masih berkeras menyatakan wang berkenaan berada di akaun ibu pejabat,” katanya. Sementara itu, seorang guru yang enggan dikenali memberitahu, dia juga mengalami kerugian setelah melabur lebih RM30,000 dan kira-kira 10 sanak saudaranya juga turut menyertai perkongsian modal itu. “Saya terpengaruh dengan ajakan kawan-kawan untuk mendapat keuntungan tanpa melakukan kerja yang banyak dan pada awalnya saya hanya melabur RM5,000 sahaja tetapi lama-kelamaan jumlah ini ditambah untuk mendapat pulangan yang lebih. “Pada awal penglibatan memanglah ia menggembirakan kerana saya mendapat habuan seperti yang dijanjikan tetapi sekarang ini ia tidak berbaloi,” katanya. Berikutan kekecewaan yang dialami pelabur-pelabur berkenaan yang diwakili kira-kira 13 ahli mengunjungi ibu pejabat mereka di Pulau Pinang dan dimaklumkan wang sejumlah RM17 juta itu sebenarnya tidak wujud. Ekoran tidak tahan dengan alasan yang diberikan kira-kira 102 pelabur membuat laporan polis di Balai Polis Pasir Puteh pada 24 April lalu untuk tindakan lanjut. Sementara itu, pakar runding kepada mangsa-mangsa penipuan berkenaan, Mohammad Salihin Abdul Jalil berkata, masalah ini akan dipanjangkan kepada pihak berkuasa kerana ini melakukan kutipan secara haram. Mohammad Salihin juga memberitahu mangsa-mangsa lain yang masih belum membuat laporan berhubung kes berkenaan boleh menghubungi di talian 014-5023523 untuk tindakan lanjut. “Kami akan membawa kes ini ke pihak atasan dan kami juga dalam proses melantik peguam bagi membela nasib mangsa yang tertipu ini,” katanya._sinar harian |