Sahabat Purnama

Khamis, 29 Oktober 2009

PAS S'gor: Siasat juga pembocor rahsia parti

Jimadie Shah Othman

PAS Selangor hari ini menggesa parti itu turut menyiasat pembocor "rahsia parti" kepada umum, selain isu kerajaan perpaduan yang dikaitkan dengan pesuruhjayanya Datuk Dr Hassan Ali.

Mesyuarat khas jawatankuasa pusat parti itu malam tadi memutuskan PAS Selangor dihadapkan kepada jawatankuasa disiplin berhubung dakwaan Dr Hassan masih terlibat dengan isu tersebut.

Menyokong keputusan mesyuarat khas itu, setiausaha perhubungan PAS negeri Mohd Khairuddin Othman turut mendesak jawatankuasa disiplin menyiasat dan mengambil tindakan terhadap mereka yang membuat tuduhan terhadapnya jika didapati ia tidak benar.

"Seluruh kepimpinan dan ahli PAS negeri bersedia untuk disiasat dan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada jawatankuasa disiplin parti.

"Kami menyeru agar siasatan ini dilakukan dengan serta-merta bagi mengembalikan integriti seluruh ahli-ahli PAS di Selangor," katanya dalam satu kenyataan.

"Bagi memulihkan imej parti, PAS Selangor menggesa agar jawatankuasa disiplin parti dapat membuat penyiasatan secara menyeluruh dan membersihkan PAS daripada anasir yang mengganggu-gugat parti seperti mengambil tindakan yang tegas terhadap ahli-ahli yang mendedahkan rahsia parti kepada umum melalui saluran media dan blog."

Dihubungi Malaysiakini bagi mendapatkan penjelasan lanjut, Mohd Khairuddin berkata perkara yang dikelaskan sebagai rahsia itu termasuklah "apa yang terjadi dalam mesyuarat parti."

"Ia melibatkah ahli yang membocorkan apa yang berlaku dalam mesyuarat parti. Saya maksudkan mesyuarat badan perhubungan negeri, sebab ia adalah rahsia," katanya.

Ditanya sama ada "penuduh" yang dimaksudkan itu merupakan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat sendiri yang membangkitkan isu itu di blognya, Khairuddin berkata:

"Tidak. Kenyataan itu dibuat secara umum. Boleh jadi sesiapa sahaja yang membuat tuduhan."

Tindakan disiplin berhubung isu rundingan PAS-Umno, yang berlarutan lebih setahun sehingga mencetus konflik berpanjangan, dibuat susulan desakan tegas Nik Aziz untuk mengadakan muktamar khas.

Menulis seminggu lalu, tokoh besar PAS itu mendesak sedemikian untuk membincangkan "beberapa kerat pemimpin bermasalah", sehingga membawa kesan kemerosotan undi parti itu, seperti pada pilihan raya Bagan Pinang awal bulan ini.

Selain Dr Hassan, nama-nama yang disebut di Blog Tok Guru yang dianggap bermasalah itu termasuklah Timbalan Presiden PAS Nasharuddin Mat Isa dan Setiausaha Agungnya Datuk Mustafa Ali.

Berikut kenyataan penuh PAS Selangor:

PAS Selangor ingin merujuk kepada keputusan mesyuarat khas jawatankuasa kerja PAS pusat pada 28 Oktober 2009 di Pejabat Agung PAS.

Pendirian PAS Selangor adalah seperti berikut:

PAS Selangor mengalu-alukan kesediaan PAS pusat untuk menangani kemelut yang berlaku dalam PAS sebagaimana yang diputuskan dalam mesyuarat khas jawatankuasa kerja PAS pusat pada 28 Oktober 2009.

PAS Selangor juga menyambut baik keputusan untuk menolak EGM (mesyuarat agung khas) dan seterusnya menyelesaikan masalah dalaman melalui siasatan yang dilakukan oleh jawatankuasa disiplin parti.

Seluruh kepimpinan dan ahli PAS negeri Selangor bersedia untuk disiasat dan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada jawatankuasa disiplin parti. Kami menyeru agar siasatan ini dilakukan dengan serta-merta bagi mengembalikan integriti seluruh ahli-ahli PAS di negeri Selangor.

Bagi memulihkan imej parti, PAS Selangor menggesa agar jawatankuasa disiplin parti dapat membuat penyiasatan secara menyeluruh dan membersihkan PAS daripada anasir yang mengganggu-gugat PAS seperti mengambil tindakan yang tegas terhadap ahli-ahli yang mendedahkan rahsia parti kepada umum melalui saluran media dan blog.

Bagi meninggikan prinsip-prinsip al-'adalah yang ditetapkan oleh Islam, PAS Selangor ingin menekankan jawatankuasa disiplin parti hendaklah juga menyiasat orang yang membuat tuduhan dan mengambil tindakan yang tegas kepada mereka sekiranya tuduhan tersebut tidak benar kerana mencetuskan suasana yang tidak stabil dalam parti dan seterusnya merosakkan imej parti.

Merujuk kepada beberapa isu yang dibangkitkan, kami ingin menegaskan bahawa ahli-ahli PAS Selangor di semua peringkat telah menyatakan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada pimpinan PAS negeri sebagaimana yang telah diputuskan melalui mesyuarat khas badan perhubungan PAS negeri Selangor yang bertarikh 27 September 2009.

PAS Selangor menyeru kepada semua ahli-ahli parti agar menghormati jawatankuasa disiplin parti di dalam menjalankan tugasnya dengan tidak membicarakan isu ini sehinggalah proses penyiasatan dan pendakwaan selesai.

PAS Selangor seterusnya menyeru kepada ahli-ahli PAS di Selangor agar bertenang dan membiarkan proses siasatan yang dilakukan oleh jawatankuasa disiplin parti selesai sepenuhnya. Semua ahli-ahli PAS di Selangor mestilah menyatakan taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada kepimpinan YB Tuan Guru Presiden.

Mohd Khairuddin Othman
Setiausaha
Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor

Kes liwat antara punca Badrul keluar

Andrew Ong

ADUN Pelabuhan Klang, Badrul Hisham Abdullah berkata kes liwat yang membabitkan ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah antara sebab beliau keluar PKR.

Bercakap dalam satu sidang akhbar petang ini, Badrul berkata beliau menjadi lebih syak terhadap Anwar yang menurutnya sengaja melengah-lengahkanperbicaraan dan enggan pula menjelaskan perkara itu kepada ahli-ahli parti.

Sebagai seorang Muslim yamg berpegang teguh kepada prinsip Islam, katanya, moral seseorang pemimpin itu amat penting untuk mendapatkan sokongannya.

Beliau juga mendakwa bahawa presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang juga isteri Anwar, juga enggan untuk menjelaskan mengenai dakwaan liwat tersebut.

Katanya, ia merupakan sebab utama beliau membuat keputusan keluar PKR kerana beliau tidak boleh berkompromi dengan isu-isu moral seperti yang dihadapi oleh pemimpin PKR.

Ditanya mengapa beliau menunggu hingga sekarang untuk menimbulkan isu liwat itu, Badrul tidak memberi jawapan secara langsung dan berkata "saya tidak boleh berkompromi dengan pemimpin yang mempunyai cerita begini".

Badrul hari ini mengumumkan bahawa beliau keluar PKR dan menjadi ADUN bebas yang 'mesra' BN.

Dakwa dianak tiri

Beliau membuat keputusan itu beberapa jam selepas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mencadangkan kepada PKR supaya meminta Badrul meletak jawatan kerana didakwa gagal menunjukkan prestasi yang baik.

Dalam kenyataan yang dibacanya, Hisham juga mendakwa beliau telah dianaktirikan oleh kerajaan Selangor yang diterajui PKR yang didakwanya telah menahan peruntukan kepadanya sejak bulan Mac.

Beliau mendakwa, kerajaan negeri enggan menyelaraskan dengan beliau pemberian peruntukan tetapi sebaliknya, bertindak membuka pusat perkhidmatan yang berasingan di Pandamaran Indah untuk berurusan dengan pengundi di situ.

Tindakan itu, katanya, seolah-olah menganaktirikan dirinya berbanding dengan ADUN yang lain.

Badrul juga menyifatkan tindakan itu sebagai satu percubaan untuk meminggirkannya sebagai wakil rakyat kawasan tersebut.

Bila ditanya teorinya mengapa beliau 'dianaktirikan', Badrul menjawab: "Tanyalah menteri besar".

Awal tahun ini, Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim mengumumkan bahawa setiausaha politiknya, Nik Nazmi Nik Ahmad telah mengambil alih tugas Badrul yang didakwanya gagal menunjukkan prestasi yang baik.

Nik Nazmi juga merupakan ADUN Seri Setia.

Dakwa peruntukan ditahan

Ditanya mengenai dakwaan beliau tidak menunjukkan prestasi yang baik, Badrul berkata, ia kerana peruntukan tidak disalurkan kepadanya tetapi diambil alih oleh setiausaha menteri besar, di samping wujudnya dua pusat perkhidmatan di kawasan.

Oleh itu, katanya, bagaimanakah beliau hendak memberi perkhidmatan kepada rakyat, sementelah pula beliau juga bukan exco kerajaan negeri.

"Saya masih keluar jumpa rakyat. Saya orang yang tak suka diraikan, berkompang kompang, bunga mangga. Saya tak suka. Saya keluar dengan pemandu saya untuk tengok keadaan di kawasan saya," katanya.

Sejak kerajaan Pakatan Rakyat di Perak digulingkan Februari lalu, khabar angin bertiup kencang bahawa Badrul akan keluar parti untuk menyertai Umno.

Khabar angin itu bertambah kencang apabila beliau tidak menghadiri sidang DUN dan jarang dilihat di khalayak ramai.

Bagaimanapun, Badrul ketika itu mengeluarkan kenyataan menegaskan komitmennya bersama PKR.

Kesetiaan pada parti

Bagaimanapun, khabar angin itu timbul semula awal bulan ini, ekoran kehadiran Badrul di rumah terbuka Hari Raya Ketua Umno Klang Datuk Mazlynoor Abd Latif dan sekaligus menimbulkan persoalan mengenai kesetiaannya terhadap parti.

Dalam sidang akhbar tersebut, Badrul duduk di sebelah bekas setiausaha PKR Selangor, Nizam Rosli, yang dilihat berbisik kepada Badrul sebelum ADUN Pelabuhan Klang itu menjawab hampir setiap soalan dari wartawan.

Nizam dikenali sebagai rakan karib bekas ketua Pemuda PKR, Ezam Mohd Noor, yang meninggal parti itu dan menyertai Umno selepas tidak sehaluan lagi dengan Anwar.

Bercakap kepada Malaysiakini kemudiannya, Nizam berkata Badrul meminta bantuannya untuk menyelaraskan sidang akhbar tersebut. Beberapa orang penyokong Ezam juga kelihatan di sidang akhbar tersebut. - malaysiakini bm

Adun Perlabuhan Klang isytihar jadi Adun Bebas sokong BN

SHAH ALAM, 29 Okt: Ekoran tindakan Menteri Besar Selangor mencadangkan kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR), agar Adunnya di Perlabuhan Klang melepaskan jawatan, Badrul Hisham Abdullah hari ini mengisytiharkan dirinya keluar dari PKR dan menjadi Adun Bebas yang menyokong Barisan Nasional.

Beliau membuat pengumuman itu di sebuah hotel di Kuala Lumpur petang ini.

Bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamad Khir Toyo pula berkata, Umno sedia menerima Badrul untuk menyertainya.

Tan Sri Khalid Ibrahim dalam respon segeranya berkata, Umno boleh ambil Badrul sebagai wakil rakyatnya jika mereka mahu sangat. Namun Khalid mendesak, Badrul mesti bertanggungjawab kepada rakyat kawasan Perlabuhan Klang yang diwakilinya.

Pagi tadi, Badrul Hisham dicadangkan Pengerusi PKR Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim agar meletakkan jawatan.

Tindakan ini diambil selepas hampir setahun proses membetulkan keadaan dibuat namun terbuktinya ianya gagal dan sikap Adun berkenaan tidak berubah.

Menurut kenyataan pejabat MB, kerajaan Selangor prihatin terhadap aduan penduduk di Pelabuhan Klang mengenai ketidakupayaan Badrul Hisham menjalankan kewajipan beliau sebagai wakil rakyat.

"Sejak surat tunjuk sebab dikeluarkan kepada beliau pada 20 Ogos 2009. Beliau tidak mengambil sebarang langkah untuk memperbaiki prestasi kerja beliau.

"Dalam surat jawapannya. Badrul Hisham telah menyatakan kesudian untuk berjumpa dengan pimpinan negeri dan parti..

"Namun demikian beliau masih enggan berjumpa dengan pimpinan kerajaan negeri ataupun parti, menjawab panggilan telefon dan SMS, serta membuka semula Pusat Khidmat beliau untuk penduduk Pelabuhan Klang," kata kenyataan tersebut.

Berikutan itu, Khalid hari ini membuat satu usul kepada MPP PKR supaya Badrul Hisham meletakkan jawatan sebagai ADUN Pelabuhan Klang.

"Menteri besar juga akan menghantar satu delegasi untuk memaklumkan pendirian tersebut kepadanya dalam masa terdekat.

"Kerajaan Negeri tidak akan bertolak ansur dengan pemimpin yang tidak bertanggungjawab kerana mereka ini hanya akan menggagalkan usaha kerajaan negeri dalam meningkatkan taraf ekonomi dan sosial rakyat," kata kenyataan itu lagi. _

harakahdaily.net

Seminar hapus persepsi salah terhadap PAS

Hazayani zakaria

KUALA LUMPUR, 29 Okt: PAS yakin keputusan menggantikan muktamar khas (EGM) dengan seminar pemerkasaan parti akan memberikan kebaikan kepada parti sekaligus melenyapkan segala tuduhan jahat pihak-pihak tertentu terhadap parti itu.

Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub berkata, matlamat seminar berkenaan adalah untuk menegaskan bahawa PAS akan memperkasakan kedudukan dan peranannya untuk memperkukuhkan Pakatan Rakyat.

"Apa yang hendak dicapai dalam seminar itu, untuk mempertegas bahawa PAS akan memperkasakan kedudukan dalam Pakatan Rakyat," katanya.

"Ini akan melenyapkan segala persepsi dan tuduhan yang dimainkan oleh pihak tertentu kononnya PAS tidak serius dan tidak begitu berminat untuk bersama Pakatan Rakyat," katanya kepada pemberita dalam satu sidang media di lobi Parlimen tengahari tadi.

Salahuddin yang juga ahli Parlimen Kubang Kerian turut menyifatkan seminar berkenaan lebih efektif berbanding EGM kerana ia memberi peluang kepada orang luar berbanding EGM yang hanya terbuka kepada ahli sahaja.

Seminar itu juga kata Salahuddin membuktikan bahawa PAS sebuah parti yang terbuka dan sedia menerima segala kritikan orang luar untuk meningkatkan prestasi parti.

"Forum ni sangat sesuai supaya PAS dapat dengar dengan baik kritikan yang mungkin ikhlas dari orang luar dan boleh jadikannya pandangan kedua parti."

"Ini menunjukkan PAS parti terbuka, berlapang dada. Sebab itu kita adakan forum yang sesuai untuk orang luar datang dan memberikan pandangan," katanya.

Ditanya berhubung ketetapan mesyuarat malam tadi agar Lembaga Disiplin PAS menyiasat semua dakwaan terhadap PAS Selangor, beliau berkata perkara itu telah diserahkan kepada pengerusi Lembaga Disiplin Parti, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang juga naib presiden PAS.

"Mesyuarat malam tadi menyerahkan kepada Tuan Ibrahim untuk uruskan isu itu. Jadi bukan bidang kuasa saya untuk menjawabnya," ujarnya.

Beliau turut menafikan dakwaan bahawa mesyuarat malam tadi diadakan bagi membuat keputusan untuk membuang beberapa pimpinan parti yang bermasalah.

"Isu kononnya PAS akan membuang beberapa kerat pemimpin parti tidak berbangkit langsung malam tadi," tegasnya.

PAS juga tegasnya menutup rapat isu kerajaan perpaduan yang dimainkan media dan memberi jaminan isu itu tidak akan berbangkit lagi.

Seminar dijadualkan berlangsung pada 7 November ini di Dewan Datuk Fadzil Nor, Markaz Tarbiyah PAS, Taman Melewar, Gombak bermula jam 9 pagi.

_ harakahdaily.net

Kematian berganda untuk mangsa kem 1 Malaysia

KAMPAR, 29 Okt: Sedih akibat kematian anaknya, N Dina Deve yang mati akibat jambatan runtuh dalam promram 1 Malaysia, bapa kanak-kanak malang itu, T Nathan, 45 meninggal dunia pagi tadi.

Akibat kematian anaknya, Nathan yang terlalu sedih tidak lalu makan atau minum sehingga terpaksa menerima kemasukan air melalui drip dilengannya.

Pagi tadi, Nathan meninggal di rumahnya di Mambang Diawan, dekat sini selepas beberapa hari menanggung kesedihan.

N Dina Deve mati apabila jatuh ke dalam sungai selepas jambatan gantung yang dinaikinya runtuh ke dalam sungai Kampar dekat dengan Kuala Dipang. Turut jatuh adalah 22 kanak-kanak lain yang menyertai kem 1 Malaysia itu.

Mayat Deve ditemui malam kejadian itu juga kira-kira 3 km dari tempat kejadian itu. Seorang lagi mayat mangsa ditemui malam tadi, M Davadharshin, 11 tahun.

Mayat mangsa ketiga, V Diryasree Vasudevan, 12 dari SJK Tamil Gopeng ditemui 10.45 pagi tadi dekat lombong di Tronoh Mine, kira-kira 25 km dari tempat kejadian.

Menurut keluarga Dina Deve, selepas mendengar kematian anaknya, Nathan tidak boleh makan atau minum.

Dia terpaksa menerima kemasukan air melalui drip dan terpaksa berehat sepenuhnya di rumahnya.

Dengan kematian kedua-dua mereka dalam keluarga ini, ibu Dina Deve, S Mogana juga terlalu tertekan. Beliau tidak mahu bertemu dengan wartawan bagi menceritakan kesah keluarganya yang malang itu.

Selain, Dina Deve, keluarga ini mempunyai dua anak lelaki iaitu berumur sembilan dan 17 tahun.

Bagi mereka, semua yang berlaku kerana jambatan yang dibina itu tidak dibuat dengan sempurna.

Jambatan gantung itu baru sahaja dibina kira-kira seminggu sebelum program yang menghimpunkan 300 kanak-kanak itu. Menurut laporan, ia disumbangkan secara 'percuma' oleh satu syarikat.

Baru-baru ini, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyidin berkata, kem bina semangat semacam ini akan diteruskan.

ImageDalam perkembangan berkaitan, Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Abu Bakar Hussain menggesa kerajaan menyiasat segera pihak yang bertanggungjawab membina jambatan berkenaan di luar pengetahuan Jabatan Kerja Raya (JKR).

Selain itu, beliau mahu pihak yang bertanggungjawab mengumumkan kos sebenar pembinaan jambatan yang baru dua minggu dibina itu.

"Saya menggesa agar pihak kerajaan mengenalpasti pihak bertanggungjawab menjalankan projek membina jambatan gantung ini," katanya ketika ditemui sewaktu melawat keluarga salah seorang mangsa lemas.

"Siapakah kontraktor projek ini, mengapa projek ini dijalankan tanpa pengetahuan JKR, dan berapa anggaran sebenar jumlah wang yang dihabiskan untuk membina jambatan ini?," soalnya.

Menteri Pelajaran Malaysia, Tan Sri Muhiyiddin Yassin juga harus bertanggungjawab penuh terhadap tragedi malang ini.

Ini kerana Pengarah JKR Perak Datuk Dr.Safry Kamal Ahmad mengesahkan bahawa jambatan tersebut tidak mendapat kelulusan dari pihak JKR.

Menurutnya juga segala persoalan itu perlu dijawab segera kerana rakyat mahukan penjelasan yang sebenar.

Ianya juga penting sebagai tauladan kepada semua pihak dan bagi mengelak kejadian seperti itu terus berulang.

Beliau menggesa demikian sewaktu melawat keluarga magsa kejadian itu kelmarin. _

harakahdaily.net

Kerja-kerja menangguk di air keruh

Roslan SMS Corner

Saya dihubungi wartawan Sinar Harian semalam berhubung pertemuan antara bloggers dan Dato Dr Hasan Ali di kediaman beliau malam sebelumnya. Pada hari ini kenyataan saya itu terbit dalam akhbar yang sama.

Sebelumnya di alam maya macam-macamlah yang dilemparkan oleh para penulis dan pengkritik dan lain-lain. Ada kalangan rakan blogger yang hadir cuba memberi penjelasan,ada diantara yang tidak hadir terlebih sudu dari kuah memberi huraian seolah malaikat sudah tiada di kiri kanan mereka.

Tak mengapalah.

Pertemuan Dr Hasan dengan blogger itu anjuran Lajnah Penerangan PAS Selangor. Malah memang dalam perancangan untuk program “engagement” bukan sekadar dengan masyarakat blogger, malah kumpulan NGO, ketua-ketua agama bukan Islam, petani,nelayan, peniaga kecil semua dalam perancangan lajnah.

Bloggers pun kita berhasrat bertemu dengan semua bloggers tanpa mengira fahaman dan agama.

Tiba-tiba dikhabarkan pertemuan itu adalah untuk menegaskan bahawa kononnya PAS akan keluar dari Pakatan. Kononnya pertemuan itu untuk menerangkan darihal “Unity government” dan macam-macam lagi.

Saya dan rakan-rakan yang menganjurkan pertemuan itu. Kami berhajat menyediakan forum untuk PAS Selangor menjelaskan darihal dasar dan perjuangannya, rancangan kini dan masa depan serta memperkukuhkan komitmen PAS Selangor dalam kerajaan Pakatan Rakyat negeri.

Begitu juga jika kita berpeluang bertemu dengan kumpulan-kumpulan lain yang dimaksdukan.

Mengapa jemput blogger Umno?

Kalau ada blogger kominis pun saya mungkin terlepas pandang. Saya menjemput individu dan kumpulan atas sifat mereka sebagai seorang blogger bukan berdasarkan fahaman atau kepercayaan politik mereka. Memang saya menjemput kawan saya “Mahaguru 58” dan mohon bantuan beliau mengundang rakan-rakan dari kumpulan beliau “Muslim Bloggers Alliance”

Mengapa dibuat selang beberapa malam sebelum mesyuarat khas PAS Pusat?

Subhanallah, demi Allah tiada niat pun untuk mempengaruhi mesyuarat itu, malah diperingkat manakah pertemuan dengan blogger ini boleh mencorakkan keputusan mesyuarat itu yang dijadualkan malam ini? Yang pastinya fitnah yang berligar dari kalangan mereka yang tidak tahu hujung pangkallah yang cuba mengeruhkan suasana dan mempengaruhi mesyuarat.
Memang kalau dah kacamata hitam yang kita guna, benda yang putih bersih pun kelihatan hitam juga.

Diperingkat ini saya mahu memetik beberapa pidato Almarhum Profesor Zulkifli Muhammad, mudah-mudahan boleh membawa ketenangan kepada jiwa-jiwa kita, kata beliau:

“Sekarang akhlak kita lembik, kebenaran kita ketepikan jika perut kita terancam dan kesucian kita korbankan jika kepentingan kita terlibat maka kita pun seperti sehelai bulu ayam yang halus yang dipermain-mainkan oleh angin nafsu dan keadaan hidup kita. Kita khianat bukan sahaja kepada orang lain tetapi juga kepada diri kita sendiri…….”

(Saya disifatkan oleh seorang tokoh kononnya sebagai ancaman yang kecil sahaja, kepala-kepala pengancam yang lebih besar akan dicantas…………..)

Kata Almarhum lagi (48 jam sebelum dipanggil oleh Allah swt)):

“Saya perlu memberitahu kepada saudara-saudara bahawa satu daripada syarat kejayaan bagi sesuatu turunan ialah KEIKHLASAN. Kita mungkin bodoh, mungkin jahil,mungkin tidak tahu apa-apa, mungkin tidak kuat. Tetapi kalau keikhlasan yang ada pada kita maka ada harapan cita-cita kita akan dapat kita laksanakan. Tetapi tidak ada gunanya kita cerdik, cerdas, pandai dan kuat, sekiranya kita tidak ikhlas kepada apa yang hendak kita perjuangkan.”

Wallahualam.

http://n32.blogspot.com/

SERAH PITA RAKAMAN KEPADA JK DISIPLIN PAS

Isu pita rakaman berakhir !

Oleh : albanjari/MRK albanjari

Khamis. 29hb.Oktober. Alhamdulillah pada tepat jam 1.50am, semua yang mengharapkan butir keputusan dari Mesyuarat Khas telahpun diketahui. 4 jam mereka bermesyuarat. Hangat dan mendebarkan. Lebih 70 peratus ahli Jawatankuasa yang bermesyuarat malam tadi bersetuju untuk memberi 'tindakan' kepada Dr. Hassan Ali. Isu 'pita rakaman' pertemuan itu juga turut dibangkitkan di dalam mesyuarat.

Isu Pita Rakaman :

Awal pagi ini, saya dihubungi oleh seorang teman pimpinan yang meminta supaya rakaman yang saya miliki itu diserahkan kepada Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man selaku Pengerusi Lembaga Disiplin PAS Pusat. 'pita rakaman' itu akan dijadikan sebahagian bukti siasatan. Dan satu arahan juga telah dikeluarkan kepada saya untuk bertindak 'memadam hapus' mastercopy rakaman penuh tersebut.

Pada pagi ini juga, saya telah menghubungi Dato' Tuan Ibrahim sebentar tadi untuk bercakap sendiri dengan beliau dan beliau mengesahkan arahan tersebut. Serahan segera akan dilakukan pada hari ini juga. Salinan tersebut akan dijadikan bahan bukti dalam siasatan yang akan dijalankan selepas ini. Insyaallah pada pagi ini saya akan bertolak ke Pahang untuk menyerahkan sendiri salinan tersebut.

Kepada sesiapa yang berminat untuk mendengar dan mendapatkan rakaman tersebut, selepas ini sila berhubung terus dengan Dato' Tuan Ibrahim. Terus terang saya jelaskan di sini, bahawa saya MRK albanjari dan Tuan albanjari sendiri (editor albanjari online) tidak putus dihubungi oleh individu-individu yang tidak dikenali yang mahukan rakaman tersebut sejak petang kelmarin sehingga pada pagi ini.

Wallahi ! Jika wajar dibayar dengan nyawa, saya bayar dengan nyawa saya. Ini adalah amanah parti. Maka dengan itu sesiapa jua tidak kira apa jawatannya di dalam kepimpinan, hatta Tuan Presiden sendiri mahupun Tuan Mursyidul Am PAS, saya tidak akan sekali-kali akan menyerahkan 'rakaman' ini jika pun diminta.

Hormatilah Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man sebagai Pengerusi Lembaga Disiplin PAS Pusat dan Ketua yang dilantik dari Mesyuarat Khas malam tadi yang akan mengepalai kes dan siasatan ini.
Dan pada hari ini, Insyaallah 'pita rakaman' itu akan diserahkan kepada beliau atas arahan parti. Dalam keadaan dua darurat ini, yang kami hadapi sekarang, kami memilih untuk mengambil darurat yang ringan dari terjerumus ke dalam darurat yang lebih besar implikasinya dan boleh mengeruhkan lagi keadaan di dalam jamaah dan PAS./

Al-banjari online

KHALIFAH

Khalifah (bahasa Arab: خليفة)(bahasa Inggeris: Caliph) secara harfiyah bermakna "pengganti" atau "wakil" yakni pemimpin umat Islam setelah Nabi Muhammad s.a.w. wafat. Mereka digelar sebagai khalifah Allah (perwakilan Allah) dan khalifah Rasulullah (pengganti utusan Allah).

Gelaran khalifah ini juga dikenali sebagai Amīr al-Mu'minīn (أمير المؤمنين) yang bermakna "pemimpin orang yang beriman". Sejak tumbangnya Empayar Turki Uthmaniyyah, gelaran ini tidak lagi digunakan.

Syarat-Syarat In’iqâd Seorang Khalifah

Syekh Taqiyuddin An Nabhani dalam Kitab Nizamul Hukm Fil Islam menyebutkan tujuh syarat sehingga seseorang layak menjadi Khalifah, dimana syarat tersebut menjadi syarat sah untuk diangkat menjadi Khalifah atau disebut sebagai syarat in’iqâd. Jika ada satu saja kekurangan, maka akad pengangkatan Khalifah menjadi tidak sah. Adapun syarat tersebut adalah :

1. Muslim
2. Lelaki
3. Baligh
4. Berakal (Bukan Gila)
5. Adil
6. Merdeka (Bukan Hamba)

Syarat Perlantikan Khalifah

Jika sekelompok kaum Muslim di suatu wilayah Islam membaiat seseorang, ia sah sebagai Khalifah asal memenuhi syarat berikut:

1. Memenuhi syarat in‘iqâd seorang Khilafah.
2. Ada wilayah yang jelas dan rakyatnya.
3. Keamanan dan kekuasaan di wilayah itu berada di tangan kaum Muslim, bukan diuruskan oleh orang asing.
4. Khalifah itu harus langsung menerapkan syariat Islam secara menyeluruh dan sekaligus, tidak ditunda ataupun bertahap-tahap.

Khalifah Menerapkan Sistem Islam

Sistem yang benar. Ketika di Makkah, Nabi Muhammad s.a.w. pernah ditawarkan kekuasaan dan menjadi pemimpin di kalangan orang Arab. Tetapi Nabi Muhammad s.a.w. menolaknya kerana sebenarnya mereka mahukan Nabi Muhammad s.a.w. meninggalkan dakwahnya. Apabila kita teliti secara jernih, Nabi Muhammad s.a.w. merupakan manusia terbaik di kalangan orang Arab sehingga digelar Al-Amin. Sudah tentu beliau lebih dari layak untuk menyandang jawatan ketua kaum Quraish ini.
Namun begitu, beliau tetap menolaknya. Ini berbeza di zaman Madinah iaitu selepas Hijrah Rasulullah, beliau tanpa berlengah-lengah terus melaksanakan Islam secara keseluruhan dan memimpin kaum Muslimin. Semua permasalahan dan perselisihan diselesaikan menurut ketentuan Allah dan Rasul-Nya. Di Madinah, karisma Rasulullah benar-benar telah menyatu dengan sistem yang digunakan untuk memerintah, yakni Sistem Islam. [1]

Di dalam Sistem Islam ada empat asas perlu diperhatikan iaitu;

1. Kedaulatan di tangan syara’. Hanya syara’ yang berhak menentukan apa yang halal dan haram serta apa yang terpuji atau tercela. Manusia hanya memahami ayat-ayat Allah dan melaksanakan apa yang diperintahkan dan meninggalkan apa yang dilarang.
2. Kekuasan di tangan umat. Maksudnya umatlah yang memilih pemimpin dengan rela untuk menerapkan Syariat Islam.
3. Wajib mengangkat satu pemimpin sahaja di dunia Islam.
4. Hanya pemimpin (Khalifah) yang berhak mengadopsi hukum syara’.

Kewajiban Hanya Satu Khalifah Bagi Dunia Islam

Keharaman mengangkat dua orang pemimpin (Khalifah) sebagai ketua negara ditegaskan oleh Hadis Rasulullah s.a.w. :

«إِذَا بُويِعَ لِخَلِيفَتَيْنِ فَاقْتُلُوا اْلآخِرَ مِنْهُمَا»
Jika dibaiat dua orang khalifah maka bunuhlah yang terakhir dari keduanya. (HR Muslim)

Makna Hadis dan Faedahnya

Hadis ini mengandung pengertian, jika dibaiat dua orang khalifah, maka orang yang dibaiat lebih akhir harus dibunuh. Baiat atas orang yang pertama haruslah baiat yang sah secara syar‘ie. Orang kedua, baik ia mengetahui adanya baiat pertama yang sah itu ataupun tidak, disuruh menanggalkan baiatnya dan segera membaiat Khalifah yang sah itu. Jika ia menolak, kata as-Suyuthi, ia harus diperangi meski sampai ia harus dibunuh; kecuali jika ia mengumumkan pembatalan baiat atas dirinya, berhenti dari merobek kesatuan kaum Muslim dan memecah jamaah mereka, berhenti menentang khalifah yang sah, dan segera memberikan baiat taat kepadanya.

Hadis ini memerintahkan Daulah Khilafah. Kaum Muslim hanya boleh memiliki seorang khalifah dan satu Khilafah. Haram diakadkan baiat kepada dua orang, apalagi lebih. Ibn Hazm menuturkan, kaum Muslim di seluruh dunia tidak boleh memiliki dua orang imam/khalifah, baik keduanya saling sepakat ataupun berselisih, di dua tempat berbeza atau di tempat yang sama. Imam an-Nawawi berkata, “Para ulama telah bersepakat bahwa tidak boleh diakadkan baiat kepada dua orang khalifah pada satu masa, baik wilayah Negara Islam itu luas ataupun tidak.”.

Tanggungjawab Khalifah terhadap Umat

Pertama : Memelihara Keturunan.

Antara langkah-langkah praktiknya:

1. Mensyariahkan nikah dan mengharamkan penzinaan;
2. Tidak memberikan kebebasan dalam tingkah laku, berhubungan bebas, seks bebas dan sebagainya;
3. Menetapkan berbagai hukuman terhadap mereka yang berzina.

Dalam sistem kehidupan sekular, tentunya perkara-perkara tersebut tidak dapat dilakukan kerana melanggar hak asasi manusia yang merupakan tunjang kepada sistem demokrasi.

Kedua : Memelihara Akal.

Islam telah menetapkan beberapa perkara antaranya;

1. Mewajibkan seluruh warganegara menuntut ilmu dengan pembiayaan sepenuhnya oleh negara. Itulah yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w, para sahabat dan para khalifah;
2. Mencegah dan melarang dengan tegas segala perkara yang merosakkan akal seperti minuman keras dan dadah;
3. Menetapkan hukuman terhadap semua yang terlibat dengan barangan larangan tersebut.

Dalam sistem sekarang, minuman keras dianggap barang yang mempunyai nilai ekonomi yang tinggi kerana cukai importnya. Maka, ianya hanya ‘diharamkan’ sekiranya tidak membayar cukai atau diseludup secara haram. Itu pun, hukumannya langsung tidak meninggalkan kesan terhadap pelakunya.

Ketiga : Memelihara Kehormatan.


Hal ini diatur dengan;

1. Memberikan kebebasan untuk melakukan apa pun yang mubah selagi tidak keluar dari sempadan syariah;
2. Melarang orang menuduh zina, jika tiada bukti, hukuman had al-qazaf iaitu disebat 80 kali akan dilaksanakan;
3. Wanita dijadikan sebagai “kehormatan” yang mesti dipelihara, dan bukannya sebagai barangan murahan.

Era dunia sekular sekarang tidak menjamin kehormatan seseorang. Acara-acara hiburan, ekploitasi ke atas wanita, malah aksi-aksi pornografi (lucah) dibiarkan berleluasa.

Keempat : Memelihara Jiwa (Nyawa) Manusia.

Dengan syariah Islam setiap warga daulah Islam walau apa pun bangsa dan agamanya, akan terpelihara dan dijamin keselamatan jiwanya.
Sebaliknya, tanpa syariah Islam, realiti hari ini menunjukkan bahawa setiap hari media ada melaporkan kes pembunuhan. Keluarga mangsa korban selalunya tak dilayan seadilnya. Berbeza dengan Islam yang menetapkan hukum qisas dan diyat.

Kelima : Memelihara Harta.


Dalam Islam, bukan hanya harta peribadi yang dilindungi, tetapi keperluan asas setiap individu juga terjamin. Harta milik umum seperti hasil galian, petroleum dan sebagainya hanya akan dikelolakan oleh negara dan dikembalikan bagi kesejahteraan rakyat.
Sebaliknya, dalam sistem sekular keperluan asas pun tidak dijamin, apatah lagi harta milik umum hanya dirasai segelintir orang kaya termasuklah rakyat asing.

Keenam : Memelihara Agama.


Islam mempunyai hukuman bunuh bagi orang yang murtad.
Dalam sistem sekular, agama ini sering diperlecehkan, aqidah umat juga tidak terpelihara untuk disesuaikan dengan prisip kebebasan beragama.

Ketujuh : Memelihara Keamanan.


Khalifah yang telah dibaiat, sudah tentu tidak akan membiarkan pihak asing menguasai kemanan daulah. Bahkan mereka yang merompak, merusuh dan membuat jenayah akan dibunuh, disalib dan diasingkan dari daulah (salah satu atau ketiga-tiganya). Bandingkan dengan situasi kini, penjenayah bebas keluar masuk penjara tanpa rasa kesal dan rakyat sentiasa rasa tidak aman dan selamat.

Kelapan : Memelihara Negara.

Dalam Islam, keutuhan daulah sentiasa dijaga. Pemberontak negara akan dihukum. Sebarang usaha untuk memecahbelahkan daulah akan dilumpuhkan. Bezanya kini, sistem sekular membiarkan negeri umat Islam berpecah menjadi serpihan kecil dan lemah.

Khalifah-Khalifah

Khulafa al-Rasyidin Di Madinah

• 632-634 M - Khalifah Abu Bakar as-Siddiq
• 634-644 M - Khalifah Umar Al-Khattab, (Umar І)
• 644-656 M - Khalifah Uthman bin Affan
• 656-661 M - Khalifah Ali bin Abi Talib

Khilafah Bani Umayyah Di Damsyik

• 661-680 M - Khalifah Muawiyah ibn Abu Sufyan (Muawiyah I)
• 680-683 M - Khalifah Yazid ibni Muawiyah (Yazid I)
• 683-684 M - Khalifah Muawiyah ibni Yazid (Muawiyah II)
• 684-685 M - Khalifah Marwan Ibni Hakam (Marwan I)
• 685-705 M - Khalifah Abd al-Malik Ibni Marwan
• 705-715 M - Khalifah al-Walid I Ibni Abd al-Malik
• 715-717 M - Khalifah Sulaiman Ibni Abd al-Malik
• 717-720 M - Khalifah Umar ibni Abd al-Aziz
• 720-724 M - Khalifah Yazid II Ibni Abd al-Malik
• 724-743 M - Khalifah Hisham ibni Abd al-Malik
• 743-744 M - Khalifah al-Walid II Ibni Yazid II
• 744 M - Khalifah Yazid III Ibni Al-Walid
• 744 M - Khalifah Ibrahim Ibni Al-Walid
• 744-750 M - Khalifah Marwan II Ibni Muhammad

Khilafah Bani Abbasiyah di Baghdad


• 750-754 M - Khalifah Abu al-Abbas al-Saffah
• 754-775 M - Khalifah Al-Mansur
• 775-785 M - Khalifah Al-Mahdi
• 785-786 M - Khalifah Al-Hadi
• 786-809 M - Khalifah Harun al-Rashid
• 809-813 M - Khalifah Al-Amin
• 813-833 M - Khalifah Al-Ma'mun
• 833-842 M - Khalifah Al-Mu'tasim
• 842-847 M - Khalifah Al-Wathiq
• 847-861 M - Khalifah Al-Mutawakkil
• 861-862 M - Khalifah Al-Muntasir
• 862-866 M - Khalifah Al-Musta'in
• 866-869 M - Khalifah Al-Mu'tazz
• 869-870 M - Khalifah Al-Muhtadi
• 870-892 M - Khalifah Al-Mu'tamid
• 892-902 M - Khalifah Al-Mu'tadid
• 902-908 M - Khalifah Al-Muktafi
• 908-932 M - Khalifah Al-Muqtadir
• 932-934 M - Khalifah Al-Qahir
• 934-940 M - Khalifah Ar-Radi
• 940-944 M - Khalifah Al-Muttaqi
• 944-946 M - Khalifah Al-Mustakfi
• 946-974 M - Khalifah Al-Muti
• 974-991 M - Khalifah At-Ta'i
• 991-1031 M - Khalifah Al-Qadir
• 1031-1075 M - Khalifah Al-Qa'im
• 1075-1094 M - Khalifah Al-Muqtadi
• 1094-1118 M - Khalifah Al-Mustazhir
• 1118-1135 M - Khalifah Al-Mustarshid
• 1135-1136 M - Khalifah Ar-Rashid
• 1136-1160 M - Khalifah Al-Muqtafi
• 1160-1170 M - Khalifah Al-Mustanjid
• 1170-1180 M - Khalifah Al-Mustadi
• 1180-1225 M - Khalifah An-Nasir
• 1225-1226 M - Khalifah Az-Zahir
• 1226-1242 M - Khalifah Al-Mustansir
• 1242-1258 M - Khalifah Al-Musta'sim

Khilafah Bani Abbasiyah di Kaherah

• Khalifah

Khilafah Turki Uthmaniyyah

• 1281-1326 M - Khalifah Uthman I
• 1326-1359 M - Khalifah Orhan I
• 1359-1389 M - Khalifah Murad I
• 1389-1402 M - Khalifah Bayezid I
• 1402-1413 M - Interregnum
• 1413-1421 M - Khalifah Mehmed I
• 1421-1444 M - Khalifah Murad II
• 1444-1445 M - Khalifah Mehmed II
• 1445-1451 M - Khalifah Murad II
• 1451-1481 M - Khalifah Mehmed II
• 1481-1512 M - Khalifah Beyazid II
• 1512-1520 M - Khalifah Selim I
• 1520-1566 M - Khalifah Suleiman I (yang Agung)
• 1566-1574 M - Khalifah Selim II
• 1574-1595 M - Khalifah Murad III
• 1595-1603 M - Khalifah Mehmed III
• 1603-1617 M - Khalifah Ahmed I
• 1617-1618 M - Khalifah Mustafa I
• 1618-1622 M - Khalifah Uthman II
• 1622-1623 M - Khalifah Mustafa I
• 1623-1640 M - Khalifah Murad IV
• 1640-1648 M - Khalifah Ibrahim I
• 1648-1687 M - Khalifah Mehmed IV
• 1687-1691 M - Khalifah Suleiman II
• 1691-1695 M - Khalifah Ahmed II
• 1695-1703 M - Khalifah Mustafa II
• 1703-1730 M - Khalifah Ahmed III
• 1730-1754 M - Khalifah Mahmud I
• 1754-1757 M - Khalifah Uthman III
• 1757-1774 M - Khalifah Mustafa III
• 1774-1789 M - Khalifah Abd-ul-Hamid I
• 1789-1807 M - Khalifah Selim III
• 1807-1808 M - Khalifah Mustafa IV
• 1808-1839 M - Khalifah Mahmud II
• 1839-1861 M - Khalifah Abd-ul-Mejid I
• 1861-1876 M - Khalifah Abd-ul-Aziz
• 1876 M - Khalifah Murad V
• 1876-1909 M - Khalifah Abd-ul-Hamid II
• 1909-1918 M - Khalifah Mehmed V (Reşad)
• 1918-1922 M - Khalifah Mehmed VI (Vahideddin)
• 1922-1924 M - Khalifah Abd-ul-Mejid II

_http://ms.wikipedia.org/

MENGENAI BAIAT

Baiat atau Baiah (bahasa Arab: بيعة‎ atau بَيْعَة) ialah perjanjian untuk memberi ketaatan. Orang yang berbaiat ialah seolah-olah ia membuat janji setia untuk menyerahkan dirinya dan urusan kaum Muslimin kepada khalifah. Ia tidak akan melanggar kepada janji-setianya terhadap khalifah dalam urusan tersebut malah ia mestilah mentaati apa yang dipertanggungjawabkan ke atasnya sama ada ia suka ataupun ia benci.

Baiat adalah akad antara umat dan calon khalifah untuk menjadi Khalifah atas dasar redha dan pilihan, tanpa ugutan dan paksaan. Allah S.W.T melalui Rasulullah s.a.w. telah menggariskan bahawa akad tersebut adalah baiat.

Sebagaimana layaknya sebuah akad, dalam Baiat perlu ada ijab (penyerahan) dan qabul (penerimaan). Rasulullah s.a.w. dan para sahabatnya mencontohkan bahawa ijab berasal dari umat sebagai pemilik kekuasaan. Calon khalifah mengabulkannya. Ijabnya berupa penyerahan kekuasaan dari rakyat kepada Khalifah untuk menerapkan Islam dan penyerahan ketaatan mereka kepadanya. Qabulnya berupa penerimaan

Hadis tentang baiat

Banyak hadis sahih yang menjelaskan bahawa seseorang sah sebagai Khalifah jika diangkat melalui proses Baiat. Para sahabat pun melakukan hal yang sama. Tidak pernah seseorang menjadi Khalifah tanpa dibaiat. Abu Bakar menjadi Khalifah bukan hasil musyawarah memutuskan beliau sebagai khalifah, tetapi setelah beliau dibaiat di Saqifah. Umar menjadi khalifah bukan setelah pengumuman Abu Bakar tentang hasil musyawarah kaum Muslim, melainkan setelah beliau dibaiat. Demikian juga dengan Uthman dan Ali. Berdasarkan hal tersebut dapat dikatakan bahawa baiat merupakan satu-satunya cara tetap (thariqah) pengangkatan khalifah. Sekalipun disetujui majoriti rakyat atau wakilnya, seseorang belum menjadi khalifah sebelum dibaiat. Begitu juga, warisan atau sistem putera mahkota bukanlah cara pengangkatan khalifah.
Hadis riwayat Abu Hurairah ra. Dari Rasulullah saw. beliau bersabda:

[1]“ "Dahulu Bani Israil itu dipimpin oleh para nabi. Setiap kali seorang nabi mangkat, maka akan digantikan dengan nabi lain. Dan sesungguhnya tidak ada seorang nabi pun setelahku dan akan muncul para khalifah yang banyak. Mereka bertanya: Lalu apakah yang engkau perintahkan kepada kami? Nabi saw. menjawab: Setialah dengan baiat khalifah pertama dan seterusnya serta berikanlah kepada mereka hak mereka, sesungguhnya Allah akan menuntut tanggung jawab mereka terhadap kepemimpinan mereka."

Jenis baiat

Siapapun yang mengkaji hadis Nabi s.a.w. akan menemukan bahawa baiat terhadap khalifah ada dua jenis:

(1) Baiat In‘iqad, yakni baiat yang menunjukkan orang yang dibaiat sebagai khalifah, pemilik kekuasaan, berhak ditaati, ditolong, dan diikuti;

(2) Baiat ‘Ammah/Baiat Taat, iaitu baiat kaum Muslim terhadap khalifah terpilih dengan memberikan ketaatan kepadanya. Baiat Taat bukanlah untuk mengangkat khalifah, kerana khalifah sudah ada.

Kedua baiat ini juga didasarkan pada Ijmak Sahabat. Misalnya, Abu Bakar diangkat oleh sebagian Sahabat sebagai calon dari semua Sahabat, baik kalangan Muhajirin maupun Anshar. Setelah pembaiatan dilakukan di Saqifah, esoknya kaum Muslim dikumpulkan di masjid. Abu Bakar berdiri di Mimbar. Sebelum Abu Bakar berbicara, Umar bin Khathab antara lain berbicara, “Sesungguhnya Allah telah mengumpulkan urusan kalian kepada pundak orang terbaik di antara kalian. Dia Sahabat yang berdua bersama Rasul di gua. Berdirilah kalian, baiatlah dia.”

Para Sahabat pun membaiat Abu Bakar setelah pembaiatan di Saqifah. Pembaiatan wakil Sahabat kepada Abu Bakar di Saqifah merupakan baiat in‘iqad, sedangkan pembaiatan kaum Muslim kepadanya di masjid merupakan baiat taat. Hal serupa terjadi pada khalifah lainnya. Ini merupakan gambaran dan penegasan tentang keredhaan rakyat kepada Khalifah.

Berbeza dengan baiat in‘iqad yang bersifat pilihan, baiat taat wajib atas setiap orang, yang ditunjukkan dengan ketaatan dan ketundukan kepada Khalifah terpilih; taat pada hukum dan perundang-undangan islam yang ditetapkannya.

Baiat adalah sunnah Nabi

Baiat ialah suatu perbuatan sunnah Nabi yang pernah diberikan oleh kaum Muslimin beberapa kali kepada Rasulullah s.a.w semasa baginda masih hidup seperti Baiat Aqabah 1, Baiat Aqabah 2, Baiatul Ridhwan. Selepas kewafatan baginda para sahabat terus berbaiat kepada Ulil-Amri (Khalifah) mereka.

Imam Al-Bukhari meriwayatkan dari Junadah bin Abu Umayyah dari 'Ubadah bin Al-Samit yang menyatakan: "Rasulullah s.a.w telah memanggil kami, lalu kami pun memberi baiat kepada baginda... kemudian 'Ubadah berkata:

[2]“ "Di antara perkara yang diminta kami berjanji ialah; Kami berjanji mendengar dan mentaati (Rasulullah s.a.w) dalam perkara yang kami sukai dan kami benci, dalam keadaan kami susah dan senang, tidak mementingkan diri sendiri, tidak membantah terhadap ketua dalam urusan-urusan kecuali kami melihat kekufuran terhadap Allah secara nyata dengan bukti yang terang dan jelas."

_http://ms.wikipedia.org/

KENYATAAN MEDIA : Hati rasa puas, badan rasa sakit.

Alhamdulillah perjuangan kami ADUN Pakatan rakyat mempertahankan madat rasa dan gelombang rakyat yang mahukan DUN Perak dibubarkan pada anggapan saya berjaya setelah kami mampu berdepan dengan tekanan yang kuat dari pasukan keselamatan sehingga terlewat namun kami akhirnya dapat juga berada dalam dewan .

Tahniah kepada kehebatan "panglima" Pakatan Rakyat Perak DS. Muhammad Nizar Jamaluddin yang saya anggap berjaya mengepalai semua ADUN PR bagi menghadapi tekanan yang sangat dasyat dari pihak polis semasa pergelutan kami dengan pasukan polis dalam usaha mereka untuk merampas songkok dan jubah Speaker Sivakumar.

Pagi ini terasa suatu kepuasan dan itulah yang saya anggap dirasakan oleh semua rakan ADUN Pakatan rakyat kerana telah berjaya konsisten dengan prinsip pada landasan yang kami yakin benar belandaskan undang-undang , namun badan terasa sakit dek pergelutan dan tolak menolak dengan "sayap kanan UMNO" itu.

Kerana itu saya ingin mengeluarkan beberapa kenyataan media :-

1. Saya menafi dengan sekeras-kerasnya dakwaan MB Kudeta Perak yang mengatakan kononnya kehadiran ADUN Pakatan Rakyat dalam sidang kelmarin sebagai satu pengiktirafan kami kepada Speaker haram Ganesan.

Suka saya maklumkan bahawa hujah dan bukti dokumen yang lengkap telah kami kemukakan kepada rakan media samada disiar atau tidak disiarkan mengenai kedudukan Ganesan yang tidak sah dan ia melanggar Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri perak diluar dewan .

Sekali lagi perkara tersebut dikemukan oleh kami dalam dewan walaupun pembesar suara diganggu saya beranggapan suara ADUN Buntong yang ditugaskan mengemukan hujjah tersebut sangat jelas untuk didengari oleh Ganesan, ADUN BN dan semua yang berada di dalam dewan.

2. Saya mencabar supaya rakaman hujjah yang dikemukan oleh ADUN Buntong mengenai haramnya Ganesan yang dibuat oleh petugas Bahagian Teknologi Makmumat disiarkan kepada umum khususnya rakyat Perak, termasuklah untuk menginsafkan Zambry dan semua ADUN BN bahawa mereka sebenarnya sedang memperkudakan Ganesan untuk mencapai hasrat jahatnya bagi membentag bajet 2009 yang saya anggap tidak sah.

3. Tindakan pengendalian sidang oleh seorang yang bernama Ganesan sesungguhnya memalukan sistem demokrasi dan dewan negeri Perak yang kita muliakan. Sidang 28 Okt menyaksikan satu sidang meluluskan bajet haram oleh sebuah kerajaan haram dan dikendalikan oleh seorang speaker haram.

4. Kehadiran semua ADUN pakatan Rakyat adalah atas surat yang dikeluarkan oleh Speaker Perak yang sah V. Sivakumar. Usaha Zambry memutar belit fakta dengan mengatakan kami hadir kerana mengiktiraf Ganesan adalah tindakan memperbodohkan dirinya sendiri. Tidakkah beliau sendiri menyaksikan selama sidang berlangsung dan seluruh tetamu menyaksikan serta dilaporkan oleh semua media bahawa kami tetap konsisten bersidang dan menghormati jawatan Speaker yang sah iaitu V. Sivakumar dan kami beredar meninggalkan dewan setelah sidang yang dikendalikan oleh Speaker sah V.Sivakumar selesai dan ditangguhkan.

Sebaliknya kami langsung tidak menghormati Ganesan walaupun ianya dianggap sangat penting oleh BN dengan dikawal ketat oleh puluhan orang upahan.

5. Sehubungan dengan itu tidak ada istilah kami memboikot atau memulau sidang yang dikendalikan oleh Ganesan, malah saya anggap sebagai kebudak-budakan kerana dengan status Ganesan yang tidak sah sebagai speaker apakah alasan sehingga itu boleh dikatakan sidang yang sah, siapakah yang masih waras fikirannya akan mengatakan bahawa itu adalah sidang. Lebih tepat boleh saya katakan lakonan dan sandiwara untuk menyampaikan hasrat jahat BN bagi meluluskan bajet bagi meneruskan kerajaan kudeta di Perak.

6. Saya membantah tindakan kekerasan yang dilakukan terhadap ADUN Pakatan Rakyat. Jika alasan untuk menanggalkan jubah speaker seperti kononnya Sivakumar mengingkari arahan notis menyerahkannya kepada polis, kenapakan dengan cara yang tidak bertamadun seperti itu. Tidakkah negara kita masih mempunyai proses dan prosuder undang-undang untuk mendapatkan barang yang kononya dicuri.Itupun Sivakumar tidak pernah mencuri dan dia mempertahankan hak atas nama jawatan Speaker yang telah dilantik dengan sah dan jawatannya masih kekal sehingga kehari ini.

Tindakan menyekik, menekan perut sehingga mengancam nyawa Sivakumar serta menanggalkan dengan paksa jubah Speaker Sivakumar adalah tindakan tidak bertamaddun dan saya yakin diarahkan oleh BN yang sudah sekian lama tidak menghormati undang-undang yang mereka sendiri cipta.

Bukankah tindakan BN itulah dipanggil mencuri ?

7. Halangan yang berulangkali sehingga semua ADUN terpaksa melewati 5 sekatan adalah suatu titik hitam dan sejarah yang menyebabkan demokrasi di Perak telahpun hampir mati. Kebeaasan rakyat dan ADUN yang dipilih dengan sah disekat jelas dengan arahan pihak BN kepada pihak polis dengan bertindak diluar batas undang-undang yang sedia ada.

BN semacam merancang supaya kami tidak boleh samapai ke dalam Dewan, kalau itu bukan tujuannya saya mempersoalkan kenapakan kami diperiksa sedemikian rupa.

8. Saya juga membantah tindakan polis melarang dibawa kami membawa masuk perakam video, kamera dan komputer riba adalah tindakan yang melampau dan menyalahi undang-undang.Dalam keadaan perak ingin dimajukan IT nya bagaimana sehingga ada ADUN yang dilarang membawa komputer.Selain itu saya membantah tindakan menghalang saya membawa masuk kamera. Yang jelas apabila saya meminta dari mana arahannya seorang pegawai polis cuma berani meminta dari jauh menunjukkan dari jauh tanpa berani menyerahkan kepada kami dan terus disembunyikan dibalik punggungnya.

9. Saya ingin mempersoalkan, jika sekiranya tidak ada ratusan pihak polis membantu BN untuk mennegedalikan sidang haram kelmarin, beranikah BN bersidang. Tidakkan selama ini sidang sangat aman dan tenteram dan tidak ada seorangpun polis yang berada di dalam Bangunan Perak Darul Ridzuan.

Kerana itu jelaslah pengunaan kuasa polis dalam rentetan sidang DUN perak termasuklah kelmarin membuktikan BN adalah penakut dan bacul dan saya mencabar kalau BN benar-benar ada hujjah dia kerajaan yang sah, speakernya sah, segera kendalikan sidang tanpa campurtangan pihak polis atau pihak lain yang diperkudakan.

9. Kerana itu saya menyeru supaya krisis ini diselesaikan dengan cara yang paling tepat iaitu segerakan bubarkan DUN Perak. berilah laluan kepada rakyat untuk kembali memilih.

Tindakan BN yang ingin menegakkan benang basah dan memperkudakan pihak keselamatan dan badan kehakiman tidak akan menyelesaikan kemelut ini.

Sekian.

KENYATAAN MEDIA/29 OKT 2009

YB. DRS. KHALIL IDHAM LIM
Pengerusi PRBBC Perak/
Ketua penerangan PAS Perak.

blog cinaislam

Konflik dalaman PAS akan dibincang bersama ahli: Seminar ganti EGM

Posted by Siasah at 1:50 AM

KUALA LUMPUR: PAS memutuskan untuk mengadakan satu seminar bagi mengantikan Muktamar Luar Biasa (EGM) yang dicadangkan oleh Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, seminar tersebut akan diadakan pada 7 Disember bertempat di Taman Melewar dengan yang akan disertai ahli-ahli PAS daripada seluruh negara.

Siasah difahamkan peserta seminar tersebut adalah sama dengan peserta muktamar tahunan PAS.

Adbul Hadi sebelum itu mempengerusikan mesyuarat khas ahli jawatankuasa PAS Pusat berhubung konflik terbaru dalam parti itu.

Turut diputuskan dalam mesyuarat tersebut ialah kajian terhadap kes Selangor - salah satu isu yang dicetuskan dalam konflik tersebut, yang akan diketuai Naib Presiden PAS, Tuan Ibrahiom Tuan Man daripada jawatankuasa disiplin PAS Pusat.

Mesyuarat juga memutuskan isu kerajaan perpaduan (unity government) tidak akan berbangkit lagi dalam PAS.

Konflik dalaman terbaru PAS tercetus apabila Nik Aziz mengesa sebuah muktamar Khas (EGM) diadakan bagi membincangkan isu yang beliau sifatkan "dua tiga kerat pemimpin bermasalah" yang dipercayai antaranya dirujuk kepada Timbalan Presiden PAS Nasharuddin Mat Isa, Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali dan Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Dr Hassan Ali.

Menguatkan cadangannya itu, Nik Aziz juga merujuk kepada parti Umno, MCA dan MIC yang mengadakan EGM apabila berlaku masalah dalaman parti.

"Kalau Umno boleh buat sesuatu dengan mengadakan mesyuarat agung khas dan MCA pun boleh mengadakan EGM-nya sehingga sempat menggugurkan presiden dan timbalan presidennya.

"Demikian juga dengan PKR yang telah membuat pindaan perlembagaannya melalui kongres khas mereka. Maka kita?

"Isu kita ialah isu dua tiga kerat pemimpin bermasalah. Masyarakat India pun boleh menentang (presiden MIC Datuk Seri S) Samy Vellu dengan mewujudkan parti lain.

"Maka pelik apa, kita panggil mesyuarat parti yang tergempar misalnya, mungkin dipanggil muktamar khaslah. Kalau nak kirakan, kitalah yang sepatut buat dulu." tulis Nik Aziz dalam blog beliau.

Beliau juga mengambarkan cadangan untuk EGM itu turut dipengaruhi setelah membaca tulisan pensyarah Undang-undang Universiti Islam Malaysia (UIA) Dr Aziz Bari yang mengaitkan kemerosotan undi PAS di Bagan Pinang baru-baru ini dengan kekecohan di Selangor serta mengkritik kepimpinan Abdul Hadi.

Sekurang-kurangnya dua pimpinan tertinggi PAS iaitu Nasharuddin dan Naib Presiden, Salahuddin Ayub telah bertemu Nik Aziz ekoran kenyataan tersebut.

Isu yang turut dipanaskan oleh media dan menjadi topik utama kebanyakan blog yang dikendalikan individu yang dekat dengan PAS telah menimbulkan kegelisahan dikalangan ahli PAS apalagi ada pemimpin yang memperlihatkan sokongan dan bantahan terhadap cadangan Mursyidul Am itu.

Bagaimanapun Abdul Hadi dalam reaksinya beberapa hari selepas isu tersebut menjadi panas meminta kemelut dalaman yang sedang dihadapi PAS perlu diselesaikan secara musyawarah dan bukannya menerusi penggunaan media massa dan media baru.

Dalam kenyataan rasmi yang dikeluarkan, Abdul Hadi berkata pendekatan musyawarah dengan berpegang kepada budaya dan panduan yang menjadi pegangan PAS sewajarnya dipilih, sebagaimana yang termaktub dalam perlembagaan parti.

"Sehubungan itu, saya meminta seluruh ahli dan kepimpinan PAS di pelbagai peringkat untuk bersabar dan bertenang dalam menghadapi persoalan dalaman parti pada waktu ini," katanya.

Nik Aziz kemudiannya juga akur untuk menukar EGM seperti mana cadangan awalnya kepada mesyuarat khas.

Sejurus itu, Setiausaha Agung PAS menetapkan jam 8.30 malam pada 28 Oktober untuk mengadakan mesyuarat khas dikalangan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat bagi membincangkan isu berkaitan EGM yang dicadangkan Nik Aziz, melalui sidang media pada 26 Oktober.

Mesyuarat tersebut turut menjemput Nik Aziz hadir untuk membolehkan membentangkan pendapatnya disamping semua pimpinan PAS mendengar sendiri penjelasan daripada beliau.

Nik Aziz pada asalnya dilaporkan keberatan untuk hadir kerana bertembung dengan persidangan Dewan Undangan Negeri Kelantan yang berakhir pada petang rabu bagaimanapun mengambil keputusan untuk turut serta dalam mesyuarat tersebut.

_siasahdaily

PAS adakan seminar ganti muktamar khas

Zulkifli Sulong
Thu | Oct 29, 09 | 1:36:34 am MYT

KUALA LUMPUR, 29 Okt: PAS akan mengadakan satu seminar khas bagi membincangkan halatuju parti itu bagi menggantikann muktamar khas yang dicadangkan oleh Mursyidul Amnya.

Seminar yang bakal disertai oleh lebih 1000 perwakilan dari seluruh negara itu akan diadakan 7 Disember ini di Dewan Datuk Fadzil Noor, Markas Tarbiyah PAS Pusat, Taman Melewar, Kuala Lumpur.

Antara yang akan dijemput memberikan pandangan nanti adalah Profesor Dr Abdul Aziz Bari.

Demikian beritahu Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam sidang medianya jam 1.00 pagi tadi.

Sidang media itu diadakan selepas mesyuarat khas Jawatankuasa Pusat yang diadakan di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut.

Selain itu, mesyuarat khas itu juga mengambil ketetapan agar Lembaga Disiplin PAS yang dipimpin oleh Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menyiasat semua dakwaan terhadap PAS Selangor.

Lembaga ini akan mencadangkan tindakan disiplin kepada mana-mana pihak yang didapati bersalah melanggar disiplin parti.

Image Dalam sidang media itu juga, Abdul Hadi memaklumkan, isu Kerajaan Perpaduan ditutup sepenuhnya dan tidak akan berbangkit lagi.

Turut serta dalam sidang media selepas mesyuarat berjalan mulai jam 9.00 malam hingga 1.00 pagi itu adalah Naib Presiden, Tuan Ibrahim Tuan Man, Salahudin Ayub, Mahfuz Omar dan Setiausaha Agung, Datuk Mustafa Ali serta Ketua Pemuda, Nasrudin Hassan Tantawi._harakahdaily.net

_

Rabu, 28 Oktober 2009

Seluruh Dunia Bertumpu ke Jalan Raja Laut malam ini !

sumber: apakhabarganu

Mesyuarat Khas yang diadakan pada malam ini adalah lebih khusus membincangkan perkara yang ditimbulkan oleh Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat, supaya diadakan satu Muktamar Khas.

Walaupun ia satu kejutan, namun ramai yang berpendapat, Muktamar Khas tidak perlu diadakan kerana tidak ada apa yang perlu segera dibincang dan diputuskan.

Tanggapan Tok Guru Nik Aziz ada pemimpin yang bemasalah kerana mereka adalah ‘pro-umno’ juga tidak berasas kerana keputusan berkaitan sebarang hubungan dengan Umno samada perbincangan berkenaan kerajaan perpaduan, atau muzakarah atau mukabalah sekalipun, semuanya telah disimpulkan ada Muktamar lalu di Shah Alam.

Walaupun Tok Guru menyatakan beliau sudah tua untuk dipengaruhi atau didalangi oleh seseorang, namun ia adalah keadaan biasa sekiranya seseorang pemimpin mengambil pandangan dan pendapat orang lain dalam sesuatu hal yang mahu diputuskan atau diambil tindakan.

Ironisnya, apabila ‘meletup’ sahaja berita yang bersumberkan laman blog Tok Guru Menteri Besar Kelantan itu, ramai yang terbayang dimata mereka dua wajah, yang sering bersama-sama Tok Guru Nik Aziz, mengiringinya pada majlis-majlis rasmi kerajaan khususnya.

AlhamduliLlah, perkara yang menjadi isu dalaman PAS pada kali, hampir sama dengan yang pernah berlaku sebelum ini, iaitu hubungan antara PAS dan Umno.|

Justeru, setelah berlaku kali pertama diantara Tok Guru Nik Aziz dengan Pesuruhjaya PAS Terengganu (masa itu), Dato’ Mustafa Ali, dan berulang sekali lagi kepada Timbalan Presiden, Ustaz Nasharudin Mat Isa, tidak ramai ahli-ahli dan penyokong PAS yang melatah jauh sekali merapu.

Cuma yang betul-betul menonjolkan sifat ’meroyan’, sewel tak tentu pasal adalah Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyidin Yassin yang membuat kome ’penuh mulut’ mengatakan PAS menghadapi masalah kepimpinan.

Kenyataan yang dikeluarkan Muhyidin pastinya diminta oleh jentera ’dakyah’ Umno supaya media dibawah ’kangkang’ dan kongkongan Umno-BN supaya mensesasikan kenyataan Tok Guru Nik Aziz.

Kemudian setiap pengarang akan cuba membuat ’follow-up’ dengan cuba melakukan ’provokasi’ keatas mana-mana pemimpin PAS supaya mengeluarkan kenyataan yang mungkin boleh memenuhi kehendak Umno-BN.

Niat jahat Muhyidin untuk memecahbelahkan PAS tidak disokong oleh Presiden Umno Najib yang tidak membuat sebarang kenyatan provokasi, namun disokong oleh bekas Presiden Umno Tun Mahathir, yang sudah beberapa kali di kitar semula, keluar Umno masuk Umno kerana tidak setuju dengan itu dan ini.

Mungkin Muhyidin sudah lupa sekarang sudah 1Malaysia, bukan zaman Islam Hadhari, zaman ’lelap’ macam Pak Lah Badawi sudah berlalu.

Kerana syok sendiri dengan kemenangan Isa Samad secara tipu undi pos dan rasuah di Bagan Pinang mungkin menjadikan Muhyidin tidak berapa sedar, tidak semuanya boleh dikawal oleh Umno-BN sekarang!

Apa pun, lewat malam ini, sebelum membuat liputan sidang media pimpinan PAS semua petugas media, boleh melihat pondan-pondan atau pekerja seks di belakang mati memulakan operasi mereka, kerana mesyuarat khas PAS pastinya tamat sehingga dinihari!

InsyaAllah, semua pihak yang hadir dalam mesyuarat khas melibatkan pimpinan tertinggi pusat dan negeri itu akan membuahkan natijah yang baik, sekiranya tidak ada ’orang dalam’ yang menjadi dalang, sebagaimana pengakuan Tok Guru Nik Aziz.

Seluruh dunia sedang menumpukan perhatian ke Jalan Raja Laut, di mana Pejabat Agung PAS terletak, tempat mesyuarat khas pemimpin PAS bersidang malam ini !

_http://apakhabarganu.blogspot.com/

MERENUNG KEBIJAKSANAAN ALMARHUM USTAZ FADZIL NOOR

Oleh : MOHAMED HANIPA MAIDIN

Sahabat baik saya, Saudara Muhaimin Sulam pada masa ini sedang menulis tesis Phd beliau mengenai mantan Presiden PAS iaitu Almarhum Ustaz Fadzil Mohd Noor.

Muhaimin memberitahu saya dalam menyediakan tesisnya beliau telah antara lain menemubual Tun Mahathir bagi mendapatkan pandangannya tentang Almarhum.

Mahathir memberitahu Muhaimin bahawa beliau amat menghormati Almarhum dan mengakui bahawa meskipun Almarhum adalah pemimpin pembangkang namun beliau banyak belajar dari Almarhum.

Seorang lagi pemimpin yang ditemubual oleh Muhaimin adalah Lim Keng Yeik iaitu mantan presiden Gerakan. Lim Keng Yeik juga menghormati kebijaksanaa Almarhum.

Dalam kesempatan ini saya ingin berkongsi dengan para pembaca tentang dua insiden yang saya pernah lalui bersama dengan Almarhum . Dua insiden itu bagi saya menunjukkan ketelitian dan kebijaksanaa Ustaz Fadzil Mohd Noor.

Insiden pertama adalah apabila saya menjadi penterjemah beliau semasa beliau ditemubual oleh seorang wartawan Austria. Temubual itu berlangsung di Pejabat Harakah di Jalan Pahang. Memandangkan saya secara kebetulan ada di situ Almarhum mengajak saya untuk hadir di temubual itu sekaligus menjadi penterjemah beliau.

Banyak soalan yang diajukan oleh wartawan tersebut kepada Almarhum. Dalam banyak jawapan yang diberikan oleh Ustaz Fadzil, saya amat tertarik dengan jawapan yang beliau berikan kepada satu soalan yang saya kira satu soalan untuk memerangkap beliau.

Wartawan Austria itu bertanya kepada Ustaz Fadzil apakah yang PAS akan lakukan kepada pernigaan judi di Genting Highland jika PAS ditakdirkan memerintah Malaysia ?

Sebelum Ustaz Fadzil menjawab soalan tersebut saya tertanya-tanya bagaimanakah Ustaz Fadzil akan menjawab soalan tersebut. Saya dapat merasakan bahawa wartawan Austria itu mahukan Ustaz Fadzil Noor menjawab bahawa PAS akan menutup pusat judi di Genting Highland kerana judi adalah haram menurut Islam. Saya percaya jika begitulah jawapan Ustaz Fadzil Noor maka itulah yang dimahukan oleh wartawan barat itu bagi menunjukkan bahawa gerakan Islam seperti PAS adalah ekstrim dan jika memerintah maka kononnya hak orang buka Islam akan tergugat.

Saya jenuh memikirkan bagaimanakah Ustaz Fadzil akan menjawab soalan tersebut. Sebelum Ustaz Fadzil ditanya soalan itu saya ada membaca di akhbar the star yang diterbitkan sebelum temubual itu tentang jawapan yang diberikan oleh pemimpin PAS yang lain bahawa PAS akan menutup pusat perjudian itu jika PAS memerintah Malaysia. Saya merasakan meskipun jawapan itu tidak salah dari sudut agama namun menjawab secara sebegitu akan menguatkan persepsi di kalangan orang bukan Islam yang tidak memahami Islam bahawa itulah PAS sebuah parti yang ekstrem.

Mari kita lihat kebijaksanaan Ustaz Fadzil menjawab soalan yang saya nyatakan di atas.

Beliau menjawab lebih kurang begini : “ Bagi kita ( PAS ) ada isu yang lebih besar dari isu yang kamu bangkitkan tersebut. Bagi kita ( PAS ) isu tentang penyalahgunaan kuasa, isu rasuah , isu pencabulan hak asasi dan isu pencabulan sistem demokrasi dalam negara ini adalah isu-isu besar yang rakyat mahukan kita ( PAS ) membuat perubahan jika kita ditakdirkan mengambil alih kuasa dari Barisan Nasional.”

Sebaik sahaja saya mendengar jawapan itu saya berkata dalam hati memang layaklah Ustaz Fadzil menjadi pemimpin saya. Jawapan yang amat bijaksana. Beliau tidak kata beliau tidak akan haramkan judi oleh itu tidak boleh dituduh PAS sudah menggadai prinsip. Cara beliau mengalih ( divert ) persoalan yang dibangkitkan amat menakjubkan.

Dalam satu insiden yang lain saya kebetulan berkesempatan makan tengah hari bersama beliau di kantin Parlimen. Semasa makan tersebut beliau menceritakan kepada saya tentang isu yang berlaku di Parlimen. Beliau memberitahu saya bahawa beliau tidak begitu senang hati dengan cara ahli-ahli Parlimen Umno menyerang pentadbiran Taliban di Afghanistan. Ustaz Fadzil memberitahu cara Umno menyerang Taliban adalah dengan cara yang tidak adil kerana tidak langsung menceritakan aspek positif pemerintah Taliban khususnya kejayaan Taliban menyelesaikan isu dadah di negara itu.

Ustaz Fadzil memberitahu saya pada mulanya beliau ingin bangun dan membela Taliban yang diserang secara tidak adil oleh Umno. Namun beliau menyatakan bahawa beliau berfikir panjang sebelum meneruskan hasratnya itu. Beliau menyatakan bahawa beliau amat khuatir dan bimbang jika beliau bangun membela Taliban yang diserang secara tidak adil oleh Umno, PAS akan dilihat membela Taliban . Apabila PAS dilihat membela Taliban, ujar Ustaz Fadzil, maka rakyat negara ini akan dimomokkan oleh Umno bahawa PAS adalah sama dengan Taliban. Dan ini , dari segi politik, akan menyukarkan PAS untuk menangkis serangan Umno itu dalam keadaan Umno menguasai media massa. Maka beliau mengambil keputusan tidak bangun untuk membela Taliban.

Sekali lagi saya lihat kebijaksanaan Ustaz Fadzil. Beliau amat teliti dan cermat dalam mengambil satu-satu pendirian. Meskipun apa yang beliau ingin buat itu betul ( membela pihak yang diserang secara tidak adil ) namun sebagai pemimpin beliau memikirkan kesan apa yang beliau buat itu. Inilah antara lain kualiti seorang pemimpin – sentiasa memikirkan kesan sesuatu tindakan yang ingin dilakukan.

Apa yang Ustaz Fadzil lakukan tersebut, bagi saya, adalah mencontohi apa yang dilakukan oleh Nabi Muhammad s.a.w. Bagi kita yang menekuni seerah Rasulullah s.a.w pasti akan tahu bagaimana kisah Rasulullah s.a.w. dan pemimpin Munafiq Abdullah bin Ubay bin Salul . Meskipun diminta oleh para sahabat untuk membunuh Abdullah bin Ubay namun Rasulullah s.a.w enggan melakukan hal tersebut. Rasullullah s.a.w menolak saranan para sahabat tersebut kerana tidak mahu dikatakan orang selepas itu bahawa Muhammad telah membunuh sahabatnya sendiri.

Kita lihat juga peristiwa penaklukan bumi Palestine pada tahun 637 Masihi oleh Syaidina Umar . Semasa Syaidina Umar berada di dalam gereja waktu solat pun tiba. Paderi menyuruh beliau bersembahyang dalam gereja tersebut. Syaidina Umar dengan penuh hikmah menolak pelawaan tersebut . Umar jelaskan pada Paderi tersebut sekiranya beliau sembahyang di situ kaum muslim akan ingin mengingati peristwa bersejarah itu dengan mendirikan masjid di tempat itu ( gereja itu ) dan jika itu berlaku kaum muslim akan memusnahkan gereja itu.

Lihatlah sikap seorang pemimpin. Sentiasa memikirkan kesan apa yang ingin dilakukan. Moga kita dapat mengambil pengajaran dari kisah di atas.

_http://peguampas.blogspot.com/

Wartawan penuh menunggu mesyuarat khas JK PAS Pusat

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 28 Okt: PAS mengadakan mesyuarat khas AJK PAS Pusatnya jam 8.45 malam dengan dipengerusikan oleh presidennya, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang malam ini.

Turut serta di sebelahnya adalah Mursyidul Am yang juga Pesuruhjaya PAS Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Nik Aziz tiba ke pejabat agung PAS, Jalan Raja Laut jam 8.40 malam. Ia disambut oleh Abdul Hadi dan kedua-dua mereka berbual mesra sambil Abdul Hadi memerhatikan Nik Aziz makan malam.

Abdul Hadi sampai lebih awal dan telah selesai makan malam di situ.

Nik Aziz kelihatan makan nasi berlauk ayam goreng yang disediakan oleh pejabat Agung PAS untuk semua peserta mesyuarat itu.

Di pintu masuk Pejabat Agung, berpuluh-puluh wartawan dan jurugambar menunggu ketibaan para pimpinan PAS itu.

Bagi meraikannya, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali telah memutuskan untuk membenarkan kesemua mereka mengambil gambar pimpinan PAS itu sebelum mesyuarat bermula.

mereka berlari-larilah para jurugambar memanjat anak tangga bangunan PAS itu ke tingkat lima, tempat mesyuarat berlangsung, menggunakan tangga.

Ini kerana, hanya satu lif sahaja yang ada di bangunan itu dan mereka bimbang tidak sempat merakamkan detik bersejarah dalam PAS itu.

Namun, para petugas PAS telah bersedia menghadapinya dan hanya membenarkan mereka masuk mengambil gambar apabila kesemua mereka sudah berada di tingkat 5 bangunan PAS itu.

"Waw ramainya," sungut para pemimpin PAS yang memenuhi Dewan Mesyuarat Utama Pejabat Agung PAS itu apabila jurugambar menyerbu masuk.

Pelbagai ragam mereka mengambil gambar para pimpinan PAS. Yang menjadi fokus adalah Andul Hadi dan Nik Abdul Aziz yang duduk sebelah menyebelah dalam mesyuarat ini.

Mereka meminta kedua-duanya senyum, bersalam, memandang kamera dan sebagainya.

Semuanya dipatuhi dengan baik oleh kedua-duanya di samping timbalan presiden, Nasharudin Mat Isa dan Setiausaha Agung, Datuk Mustafa Ali.

Mesyuarat ini dijangka selesai menjelang jam 12 malam. Adalah dipercayai satu sidang akhbar akan dibuat selepas itu kerana wartawan penuh di hadapan bangunan PAS bagi menunggu keputusan mesyuarat khas ini. _harakahdaily.net

Pas tidak perlu lakukan gerakan pembersihan

SHAH ALAM: – Krisis dalaman yang berlaku dalam parti Pas perlu segera diselesaikan kerana ia bakal mengundang kegoyahan dalam parti itu, kata penganalisis politik, Profesor Madya Dr Ahmad Nizamudin.

Beliau berkata, kenyataan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mahu membuat satu gerakan pembersihan untuk memastikan kesemua pemimpin benar-benar tulus dalam perjuangan Pas.

“Tidak perlu gerakan pembersihan ini. Apa yang perlu adalah mencari kata putus bagi menyelesaikan segala krisis dalaman mereka.

“Apatah ia membabitkan pemimpin tertinggi Pas. Jadi apabila diadakan satu mesyuarat khas, segala permasalahan pasti akan cuba ditangani dengan baik.

“Kerana itulah satu mesyuarat khas diadakan esok (hari ini) dan saya berharap satu keputusan muktamad akan dapat dirumuskan dalam mesyuarat itu nanti,” katanya, semalam.

Beliau berkata, mesyuarat khas itu penting untuk mengembalikan semangat kesemua pemimpin dalam parti itu.

“Pada pendapat saya jika gerakan pembersihan ini diteruskan juga ia bakal mengundang pelbagai spekulasi. Biarlah ia diselesaikan dengan cara baik dan lebih bertoleransi,” katanya.

Diminta mengulas mengenai Pas yang dikatakan semakin goyah ekoran krisis dalaman ini, Dr Ahmad berkata, parti itu akan tetap berdiri teguh selari dengan moto mereka ‘Pas For All’.

“Kita semua sedia maklum apa yang bakal dibahaskan di dalam mesyuarat itu melibatkan pemimpin atasan parti, jadi jika berlakunya sesuatu perkara yang tidak diingin oleh penyokong mereka, pasti menambahkan lagi masalah antara mereka.

“Mungkin ada juga yang beranggapan isu ini menjadi medan untuk mereka bertelagah dan menjadi punca akan kejatuhan empayar parti itu.

“Pas merupakan satu parti kukuh apatah lagi di bawah kepimpinan Nik Abdul Aziz yang mana beliau seorang yang sangat berpengaruh,” katanya._sinarharian

Pas tutup pintu rundingan

KUALA LUMPUR - Pas memutuskan untuk menutup semua pintu rundingan dan perbincangan dengan UMNO berhubung cadangan pembentukan Kerajaan Perpaduan.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, isu Kerajaan Perpaduan tidak timbul lagi kerana perkara tersebut hanya dibangkitkan semasa Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri.

“Sudah tutup buku, Kerajaan Perpaduan :tak ada lagi. Perdana Menteri zaman itu (Abdullah) pun sudah berhenti...Tak timbul lagi, sekarang Perdana Menteri baru. Itu konsep yang kita timbulkan masa zaman (Tun) Abdullah,” katanya kepada media di Lobi Parlimen di sini, semalam.

Ditanya mengapa Pas menghentikan hasrat pembentukan Kerajaan Perpaduan dengan UMNO, Abdul Hadi berkata, keadaan sekarang sudah berubah kerana pemimpin baru dalam UMNO kini masih tidak diketahui sikap dan kedudukan mereka berkenaan konsep tersebut.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, UMNO juga tidak lagi membangkitkan isu Kerajaan Perpaduan :sebaliknya UMNO dan Barisan Nasional (BN) buat masa ini sedang menguruskan krisis yang dihadapi oleh parti komponen mereka.

“Tak ada tawaran dan BN pun sedang mengurus rumahtangganya. MCA belum selesai, MIC belum selesai. Macam mana kita nak naik rumah dia kalau rumah dia kelam kabut,” katanya.

Berhubung soalan sama ada Pas sedia untuk membincangkan kembali mengenai Kerajaan Perpaduan dengan UMNO, beliau berkata: “Masa depan kita tak tahu.”

Diminta mengulas sama ada beliau menghadapi krisis dalaman dalam Pas berhubung idea pembentukan Kerajaan Perpaduan tersebut, beliau menafikan mengenai perkara itu kerana apa yang berlaku hanyalah perbezaan pandangan.

“Kita ada demokrasi dalam Pas, semua pihak boleh meluahkan pandangan masing-masing dan saya yakin kita dapat selesaikannya dengan baik,” katanya.

Hadi turut membidas pandangan sesetengah pihak yang mendakwa Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dipengaruhi oleh pihak-pihak tertentu untuk mendesak diadakan Muktamar Khas untuk membincangkan beberapa ‘pemimpin bermasalah’.

“Saya tidak percaya dengan pandangan ini, kita ada hubungan baik antara satu sama lain, saya juga ingin menjelaskan bahawa isu Kerajaan Perpaduan muncul tiada kena mengena dengan tawaran dari Barisan Nasional (BN),” katanya.

Ditanya sama ada Muktamar Khas yang dicadangkan Nik Aziz perlu diadakan atau tidak, Hadi menjelaskan Mesyuarat Pusat Pas akan menentukannya.

Ditanya sama ada Nik Abdul Aziz patut hadir ke mesyuarat khas Pas, Abdul Hadi berkata: “Itu terpulang kepada kesihatan beliau. Kita memahami kesihatan beliau kerana Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kelantan juga sedang bersidang ketika ini.”_sinarharian

Dr Mahathir tidak perlu masuk campur

KUALA LUMPUR - Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak mempunyai hak untuk campur tangan dalam urusan parti itu.

Beliau berkata, Pas adalah sebuah parti yang boleh menentukan kepimpinannya sendiri dan yakin Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat masih mampu untuk memainkan peranannya selaku Mursyidul Am Pas.

"Kita tetap menganggap Mursyidul Am kita adalah pemimpin dalam parti mengikut landasan Majlis Syura Ulama. Kepimpinan kita adalah secara kolektif dan tidak ada dictatorship,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Dr Mahathir semalam yang meminta agar Nik Abdul Aziz Mat berundur bagi memberi laluan kepada pemimpin muda.

Abdul Hadi berkata, Nik Abdul Aziz juga tidak perlu meletak jawatan.

“Kita ada demokrasi dalam Pas. Semua pihak boleh mengeluarkan pandangan, di mana selama ini pun kita sudah mengamalkannya dan kita dapat menyelesaikan masalah dengan baik,” katanya. _sinarharian

Husam nafi ada dalang EGM PAS

KOTA BHARU 27 Okt. - Bekas Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa yang dilihat sebagai propakatan pembangkang hari ini menafikan segala desas-desus bahawa beliau adalah kalangan dalang di sebalik cadangan supaya Muktamar Agung Khas (EGM) diadakan.
Beliau yang kini dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Pas Pusat selepas tewas ketika merebut jawatan Timbalan Presiden pada muktamar lepas menegaskan bahawa ia adalah keputusan Mursyidul Am, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sendiri tanpa dipengaruhi mana-mana pihak.

''Orang kata saya di belakang tok guru (Nik Abdul Aziz) tetapi sebenarnya 100 peratus keputusan itu dibuat oleh tok guru sendiri.

''Nama saya dikaitkan dalam banyak perkara tetapi itu nasib saya. Alhamdulillah saya dapat bersabar dan tidak mengulas apa-apa tuduhan yang dibuat terhadap saya.

''Tetapi akhirnya saya percaya yang keruh akan hilang, yang jernih akan timbul dan orang akan tahu niat saya yang sebenar,'' katanya ketika ditemui pemberita di lobi Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Nama Husam dikaitkan oleh sesetengah pihak bahawa dalang di sebalik cadangan Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan itu mempunyai hubungan rapat dan diberi kepercayaan dalam banyak perkara penting membabitkan pentadbiran negeri ini.

Husam juga dikatakan amat mementingkan hubungan dengan sekutu pakatan pembangkang, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP sebagai teras untuk menguasai kerajaan kelak.
Jumaat lalu, Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan nekad mencadangkan supaya EGM diadakan bagi membersihkan parti tersebut daripada pemimpin prokerajaan perpaduan.

Ekoran itu, satu mesyuarat khas Pas Pusat akan diadakan pada malam esok untuk membincangkan cadangan itu.

Husam yang juga Exco kanan kerajaan Pas Kelantan menjelaskan, berdasarkan perbincangan dengan Nik Abdul Aziz, cadangan EGM tersebut dibuat bukannya untuk menyingkirkan mana-mana pemimpin tetapi ia adalah penegasan semula matlamat mereka.
''Saya telah bertemu dengan tok guru untuk mendapatkan penjelasan. Beliau memberitahu EGM ini bukan untuk pemilihan semula tetapi hanya penegasan semula sama ada Pas akan bersama pakatan pembangkang atau UMNO.

''Jadi saya kira EGM itu adalah untuk menentukan identiti dan imej Pas sebelum pilihan raya umum akan datang. Ia bukannya seperti yang digembar gemburkan media tentang pembersihan pemimpin,'' tambahnya.

Katanya, biar apa pun keputusan mesyuarat khas itu, beliau akan menerimanya kerana ia dibuat secara bersama oleh kepimpinan parti._tbo

Saya Tidak cabar Khalid

1. Hari ini Utusan Malaysia meletakkan tajuk kecil di muka surat 15 " Nasrudin cabar Khalid ".

2. Apa yang saya nak betulkan di sini ialah saya tidak mencabar tetapi meminta agar Yb. Khalid Samad mengemukakan bukti terhadap kenyataan beliau bahawa mana - mana pimpinan yang berminat dengan UMNO boleh keluar dari Pakatan Rakyat .

3. Tidak perlu ada cabar mencabar antara kita . Tajuk akhbar itu jelas satu provokasi untuk mencetus sengketa . Apa yang jelasnya ialah saya meminta agar Yb. Khalid mengemukakan bukti atas kenyataannya .

4. Siapa pimpinan yang dimaksudkan itu dan apakah bukti yang ada sehingga mendorong beliau membuat kenyataan terbuka . Jika tidak disertakan bukti sebaliknya hanya membuat kenyataan umum begitu , maka ia menjadi serkap jarang yang akan melebarkan fitnah .

5. Insyaallah , saya sendiri akan mengambil masa untuk bertemu dengan Yb. Khalid Samad esok bagi mendengar sendiri dari pihak beliau . Kerana kita tidak mahu sebarang pertuduhan dilempar ke tengah melalui media . Semoga Allah swt menjernihkan parti ini ._episodesebuahperjuangan

Lima Risolusi Martabatkan Perundangan Syariah

KUANTAN – Isu bantahan yang dibuat SIS dan JAG terhadap hukuman sebatan ke atas Kartika Dewi Shukarno kerana kesalahan meminum arak di khalayak ramai telah berjaya menyatukan 14 buah NGO Islam di Negeri Pahang. Kejayaan pertama kumpulan ini ialah dengan berlangsungnya sidang media pada Oktober 2 yang lalu.Semalam, kumpulan yang menamakan diri mereka sebagai Sekretariat Gabungan Badan Bukan Kerajaan (NGO)

Negeri Pahang ini sekali lagi mengambil langkah terkedepan bila menganjurkan Seminar Perlaksanaan Perundangan Syariah: Isu dan Cabaran, di Dewan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) di sini.

Dalam sidang media selepas usai seminar tersebut, jurucakap sekretariat, Amidi Abdul Manan, Timbalan Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) melahirkan rasa gembira kerana seminar telah berjaya meluluskan lima resolusi penting.

Lima resolusi tersebut adalah pertamanya memberi kuasa dan kebebasan sepenuhnya kepada penguatkuasa Agama Islam dan mahkamah syariah dalam menjalankan tanggungjawab mereka sebagaimana diperuntukkan oleh Enakmen Syariah Negeri tanpa dipengaruhi dan ditekan oleh mana-mana pihak.

Kedua, menyeru kepada ahli politik beragama Islam supaya bertindak secara proaktif dalam memperjuangkan kedaulatan Agama Islam dan institusi mahkamah syariah, juga memperjuangkan perluasan bidang kuasa mahkamah syariah.

Seminar, melalui resolusi ketiga menurut Amidi mendesak supaya pihak berkuasa negeri dan kerajaan memberi tekanan kepada media supaya menyokong dan menghulur kerjasama sepenuhnya kepada NGO Islam dalam mendidik dan memahamkan masyarakat tentang segala isu yang menyentuh kepentingan umat Islam.

Keempat, kerajaan diminta supaya berusaha menaikkan taraf institusi kehakiman syariah supaya setanding dan seiring dengan institusi kehakiman sivil, sesuai dengan semangat pemisahan perlembagaan persekutuan, supaya nanti ia tidak lagi dipandang sebagai institusi kehakiman kelas dua sama ada dari segi kepakaran dan bidang pendakwaan, perjawatan atau jumlah kakitangannya.

Resolusi terakhir pula, jelas Amidi, mencadangkan kepada kerajaan agar mewujudkan satu badan pemantau yang berkuasa mengawasi organisasi-organisasi yang menggunakan nama Islam supaya objektif dan matlamat organisasi-organisasi tersebut selari dengan prinsip Islam serta bukan bertujuan mengelirukan umat Islam dengan ideologi-ideologi dan pendekatan yang nyata terpesong.

Amidi dalam kenyataannya memberitahu bahawa naskhah resolusi yang dinamakan sebagai “Memartabatkan Perundangan Syariah Pahang” ini akan dipersembahkan kepada Tuanku Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah, selaku Ketua Agama Islam Negeri, yang mewakili seluruh umat Islam di Negeri Pahang.

Sekretariat, tambah Amidi kini hanya menunggu perkenan Tuanku Sultan untuk menghadap. Ini juga ujar beliau adalah tanda sokongan 14 NGO Islam Pahang kepada Enakmen Pentadbiran Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982 (Pindaan 1987).

Seminar Perlaksanaan Perundangan Syariah ini berlangsung sehari dan dirasmikan penutupannya oleh Timbalan Yang DiPertua Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), Dato’ Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan dengan kehadiran kira-kira seramai 300 orang peserta.

Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, Amidi dalam sidang media yang sama mengumumkan yang seminar serupa akan terus dianjurkan di seluruh negara bagi membolehkan orang ramai, terutamanya bukan Islam mendapat kefahaman tentang perbezaan perlaksanaan hukuman di antara mahkamah syariah dan mahkamah sivil.

Pada minggu hadapan sahaja, seminar serupa ini dijadualkan berlangsung di negeri-negeri seperti Selangor, Kelantan dan Perak, atas usaha NGO-NGO Islam negeri-negeri tersebut._buletinonline

PAS perlu tegas isu k'jaan perpaduan

Jimadie Shah Othman & Abdul Rahim Sabri

Jawatankuasa pusat PAS diminta mengambil tindakan tegas terhadap pemimpinnya yang didapati mencetuskan konflik dalaman parti, termasuk dalam isu kerajaan perpaduan dengan Umno.

"Kalau kita berani dan tegas membuat keputusan dan mengambil tindakan, masalah ini akan dapat diselesaikan secara tuntas.

"Dan dengan sendirinya cakap-cakap tentang EGM (muktamar khas) tidak lagi berbangkit, kerana yang pentingnya matlamat itu tercapai," kata seorang ahli jawatankuasanya Dr Dzulkefly Ahmad.

Beliau diminta mengulas sama ada mesyuarat khas jawatankuasa pusat PAS dan pesuruhjaya negerinya malam ini dapat menyelesaikan krisis dalaman berpanjangan parti itu, terbaru dalam isu "dua tiga kerat pemimpin bermasalah" yang ditimbulkan mursyidul amnya Datuk Nik Aziz Nik Mat.

Dihubungi Malaysiakini hari ini, Dr Dzulkefly berkata, walaupun ketegasan jawatankuasa pusat PAS mungkin boleh menyebabkan perasaan tidak puas hati, ia mesti diteruskan demi kepentingan parti.

"(Perasaan tidak puas hati) itu tidak menjadi perhitungan kita. Yang penting, parti mesti berada dalam keadaan baik,” kata ahli parlimen Kuala Selangor.

Ditanya sama ada konflik dalaman PAS sentiasa berpanjangan ekoran tiadanya ketegasan presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang menguatkuasakan keputusan mesyuarat, Dr Dzulkefly enggan mengulas perkara itu.

Malam ini, PAS mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan isu "beberapa kerat pemimpin bermasalah" berhubung isu kerajaan perpaduan yang dibangkitkan Nik Aziz dalam blognya Khamis lalu.

Nik Aziz, juga menteri besar Kelantan, yang asalnya dilaporkan "keberatan" untuk hadir – kerana DUN negeri masih bersidang – kini mengubah pendiriannya untuk berdepan dengan jawatankuasa pusat dan barisan pesuruhjaya negeri di ibu pejabat PAS di Kuala Lumpur.

Tiga pemimpin PAS yang dipertikaikan Nik Aziz di blognya itu: timbalan presiden Nasharuddin Mat Isa, setiausaha agung Datuk Mustafa Ali dan pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Hassan Ali.

Ketua Pemuda PAS Nasruddin Hassan pula berkata, dalam mesyuarat malam ini, beliau akan mengusulkan agar lembaga displin – yang dipengerusikan naib presiden Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man – diaktifkan sepenuhnya bagi menangani pihak yang mencetuskan masalah dalam parti.

"Ia melibatkan isu-isu perbalahan di luar (parti), cara mengendalikan maklumat parti, mendedahkan minit mesyuarat parti, tuduh-menuduh dalam media.

"Misalnya tuduh sesuatu pihak ini pro-Umno, mestilah ada bukti. Kalau tuduhan tanpa bukti, boleh menyebabkan prejudis sesama sendiri," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau juga berpendapat, jika parti sentiasa mengadakan perbincangan, setiap isu dalaman dapat diselesaikan dengan mudah.

"Boleh selesai. Konsep syura (bermesyuarat) itu telah menjadi prinsip kita. Selama ini, yang tidak selesai itu sebab tidak bermesyuarat," katanya.

Ditanya tentang sejauh mana Abdul Hadi boleh bertegas dalam menguatkuasakan keputusan mesyuarat, Nasrudin tidak menjawab secara jelas, sebaliknya berkata:

"Ini berpunca daripada diri sendiri. Jangan biarkan masalah berlarutan. Ia terpulang kepada disiplin dalam parti.

"Kita minta pimpinan tidak menggunakan media (bertelagah)."

Sementara itu, seorang lagi ahli jawatankuasa pusat PAS Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata beliau akan mendengar sendiri penjelasan daripada Nik Aziz pada mesyuarat malam ini.

"Perkara ini memerlukan penyelesaian segera, dengan mendengar penjelasan sendiri daripada pihak yang menyatakan berlaku beberapa perkara terhadap tokoh-tokoh tertentu.

"Jadi malam ini kita akan dengarlah. Selepas itu kita berikan pandangan kita,” katanya selepas mesyuarat exco kerajaan negeri petang ini di Kuala Lumpur.

Mengulas isu muktamar khas seperti desakan awal Nik Aziz, pesuruhjaya PAS Kedah berkata:

"Tok Guru (Nik Aziz) beri pandangan. Bukan kata beliau paksa. Beliau sayang kepada parti. Saya bersetuju dengan Tok Guru yang menyatakan 'saya siram, saya dah membajai, dah pagarkan PAS ini ibarat kebun'.

"Jadi kalau ada yang merosakkan tanaman, maka beliau bimbanglah. Itu persepsi beliau.”

Azizan berkata beliau tidak nampak jalan bagaimana muktamar khas boleh diadakan dan berhubung isu apa ia perlu dibuat.

Tambahnya, jawatankuasa sisplin dan biro politik sudah boleh menyelesaikan masalah dalaman parti.

"Tetapi kalau berlarutan mungkin adalah wajar (diadakan). Masalah itu berlarutan ke, masalah serius ke, kita akan tengok masalah kita malam ini,” katanya.

"Saya secara peribadi, sebagai ahli jawatankuasa, (masalah) tak seteruk yang digembar-gemburkan oleh media dan akhbar. Mungkin benda itu maksud lain, dilaporkan lain. Tafsiran berbeza."

Ditanya sama ada mesyuarat khas nanti boleh menyelesaikan isu ini dengan tindakan displin diambil kepada individu terbabit, Azizan berkata:

"Saya tidak nampak masalah disiplin, yang saya tahu ada pandangan yang berbeza. Salahkah pandangan berbeza?" - malaysiakini

Dun Perak: Jubah direntap, speaker hampir lemas!

Harakahdaily

Kemaskini 12.50 tgh:| Berikut adalah lintas langsung yang dibawa oleh Harakahdaily terhadap perjalanan sidang Dun yang diadakan di Bangunan SUK, Perak.

12.50 tgh: Ketika ini semua Adun Pakatan Rakyat sedang bermesyuarat di Wisma DAP. Dijangkakan satu lagi sidang media akan diadakan pada jam 1.30 petang nanti.

12.37 tgh: Sidang media tamat, semua beredar.

12.35 tgh: Dalam sidang media itu juga Sivakumar menceritakan bagaimana beliau hampir tidak dapat bernafas dan lemas akibat jubahnya direntap dengan ganas.

12.30 tgh: Sivakumar dan Adun Pakatan Rakyat sedang membuat sidang media di dalam perpustakaan di kompleks SUK. Beliau (Sivakumar) menunjukkan cebisan jubah speaker yang dirampas sehingga terkoyak kepada media.

12.15 tgh: Dalam pada itu, Sivakumar memberitahu usul untuk melantik Osman Abdul Rahman sebagai senator telah diluluskan dalam sidang mereka sebelum ini.

12.14 tgh: Sementara itu, sidang dewan BN sedang berlangsung di dalam dewan dengan usul untuk melantik Datuk Azian Osman sebagai senator di Dewan Negara.

11.55 pagi: Adun PR sedang memberikan sidang media di luar dewan dan memberikan penerangan terperinci situasi yang berlaku hari itu.

11.52 pagi: Sambil keluar dewan semua Adun Pakatan Rakyat melambai kepada Ganesan dan mengucapkan 'Selamat Hari Deepavali.'

11.49 pagi: Ganesan cuba mengumumkan bajet 2010 diluluskan. Sivakumar berdiri dan mengumumkan sidang telah ditangguhkan.Semua Adun Pakatan Rakyat telah keluar dewan.

11.45 pagi:Adun BN cuba mengusul untuk menerima dan membahaskan bajet tetapi ditenggelami dengan suara daripada adun-adun lain.

11.40 pagi: Mikrofon Adun Pakatan Rakyat telah ditutup tetapi tidak bagi Adun BN.

11.37 pagi: Zambry cuba berdiri untuk bercakap dan Adun PR melaungkan 'lanun' terhadapnya.

11.35 pagi: Seorang Adun BN menyuruh Ganesan menghukum adun-adun PR.

11.30 pagi: Kedua-dua sidang sedang berlangsung sekarang. Seorang adun PR kelihatan sedang membaca sesuatu tetapiu tidak jelas kedengaran akibat gangguan.

11.25 pagi: Ganesan menyambung kembali sidang. Adun Pakatan Rakyat menyerit menyatakan Ganesan 'Speaker Haram'. Ganesan membuka sidang untuk debat mengenai belanjawan.Sidang mula kecoh. Riiuh. Dentuman meja kedengaran. Suara adun mula tenggelam timbul.

11.15 pagi: Sidang dijangka bermula semula jam 11.20 pagi. Suasana di luar tenang.

11.11 pagi: Adun Pakatan Rakyat terima usul dan luluskannya. Sivakumar tangguhkan sidang sementara waktu, tiada sesiapa kecuali Adun Pakatan Rakyat yang mendengar sidang tersebut.

11.01 pagi: Ganesan telah menangguhkan sidang dun. Adun Titi Serong mengusulkan agar sidang dun dibubar. Kerajaan BN adalah haram dan wajar dikembalikan kepada rakyat. Ganesan terus tidak menghiraukan sidang yang berlangsung sebaliknya berbual dengan bekjas MB, Tajol Rosli.

10.57 pagi: Ganesan disuruh oleh Sivasubramaniam untuk meninggalkan tempat duduknya. Suis mikrofon telah ditutup. Kemudian Sivakumar memberitahu dewan kejadian yang berlaku diluar dewan tentang kekasaran yang dilakukan terhadapnya.

10.56 pagi: Ngeh menyokong usul Nizar. Adun BN sedang berborak sesama sendiri. Adun Pakatan Rakyat melaungkan "setuju". Sementara di luar SUK, polis kelihatan menyuraikan sekumpulan penyokong Pakatan Rakyat yang berkumpul berhampiran sebuah restoran.

10.55 pagi: Ganesan kelihatan menguap dan tidak mengendahkan sidang yang dijalankan. Adun BN sedang bercakap sesama sendiri dan beberapa adun BN termasuk Zambry kelihatan meninggalkan dewan.

10.53 pagi: MB Pakatan Rakyat, DS Nizar bangun dan mengusulkan agar semua program PLKN dan 1 Malaysia dihentikan serta merta.

10.52 pagi: Sivakumar berkata beliau kini telah memulakan persidangan dan mengarahkan semua adun untuk bertakafur selama 1 minit untuk memperingati tragedi titi gantung di Kampar baru-baru ini.

10.45 pagi: Adun Buntong, A Sivasubramaniam bangun dan mengarahkan Ganesan untuk beredar kerana beliau merupakan speaker yang dilantik secara haram.

10.39 pagi: Adun Pakatan Rakyat memulakan persidangan dengan Adun Khalil Idham Lim membaca doa.Ganesan menyampuk dengan memberitahu sidang telah bermula.

10.38 pagi: Ganesan (Speaker BN) hanya duduk diam dan begitu juga dengan Adun BN.

10.37 pagi: Adun Pakatan Rakyat masuk ke dalam dewan dan melaungkan "Ketibaan Speaker Dewan". Sementara itu, DSP Glen memberikan masa 5 minit kepada penyokong PAS untuk beredar daripada kawasan SUK.

10.36 pagi: Helikopter masih kelihatan di udara.

10.35 pagi: Adun Pakatan Rakyat kelihatan di luar dewan persidangan dan mengecam Ganesan sebagai Speaker haram.

10.20 pagi: Kelihatan penyokong Pakatan Rakyat bukan beragama Islam berdiri berhampiran dengan penyokong PAS yang sedang bersolat hajat untuk menunjukkkan solariditi mereka.

10.19 pagi: Keadaan di luar SUK kelihatan agak tenang walaupun kelihatan orang ramai sedang berkumpul untuk mengikuti kejadian yang berlaku ketika ini.

Kelihatan penyokong PAS sedang melakukan solat hajat berhampiran dengan pagar halangan di luar SUK.

10.09 pagi: Nizar dan Adun Pakatan Rakyat cuba masuk sekali lagi ke dalam dewan persidangan.Sivakumar kelihatan tanpa jubah Speakernya.

10.05 pagi: Dalam dewan kelihatan pengawal (betara) seramai 20 orang mengawal sekitar 'Speaker' Ganesan.

10.04 pagi: Persidangan bermula di dalam dewan dengan bacaan doa tanpa kehadiran adun Pakatan Rakyat.

10.00 pagi: Adun Pakatan beredar keluar daripada SUK. Beberapa adun dan Nizar kelihatan di lluar SUK. Nizar mendakwa mereka dihalang masuk ke dalam dewan.

9.57 pagi: Polis kelihatan menyerbu ke arah Sivakumar. Beberapa adun Pakatan Rakyat cuba menghalang daripada serbuan polis. Seorang SB dilihat merampas songkok Speaker. Jubah yang dipakai oleh Sivakumar juga cuba ditarik.

9.55 pagi: Keadaan di luar, adun pakatan rakyat dihalang dan dilambatkan oleh kawalan pihak polis.

9.55 pagi: Keadaan dalam dewan, Speaker BN Ganesan kelihatan sudah mengambil tempatnya begitu juga adun-adun BN.

9.50 pagi: Adun Pakatan diketuai Nizar terus bergerak ke arah pintu SUK.Sivakumar kelihatan memakai pakaian rasmi speaker.

9.45 pagi: Adun BN bersama Zambry Abdul Kadir telah berada dalam SUK.

9.40 pagi: Adun Pakatan Rakyat mula berarak menuju ke arah SUK bersama sekumpulan penyokong PAKATAN RAKYAT. Sivakumar dilindungi dan dikawal oleh para penyokong. Mereka kelihatan menuju ke arah 'Pokok Demokrasi' dan cuba masuk melalui kawasan tersebut. Polis hanya benarkan Adun-adun masuk.

9.35 pagi: Speaker Pakatan Rakyat, V Sivakumar kelihatan di Wisma DAP.

9.25 pagi: Kawasan koridor bangunan SUK dipenuhi polis dan media hanya dibenarkan masuk setelah diperiksa dengan ketat dan disahkan pas mereka.

9.15 pagi: Adun Ngeh, Thomas, L P Seah, B P Ong, Sivanesan, Idham, Ramli, M M Leong and K W Wong adalah antara Adun Pakatan Rakyat yang kelihatan berada di Wisma DAP.

9.05 pagi: Anggota polis (SB) kelihatan mengambil gambar secara rambang kawasan sekitar.

9.00 pagi: Helikopter polis kelihatan berlegar di atas bangunan dan kawasan SUK.

8.50 pagi:Ngeh dan Thomas kelihatan terpaksa bertikam lidah dengan polis kerana dihalang daripada memasuki kawasan yang telah dikepung (dihalang) polis. Namun akhirnya mereka dibenrakan masuk.

8.45 pagi: Kelihatan Adun Ngeh dan Thomas Su berada di luar bangunan. Wartawan mula kerumuni mereka untuk mendapatkan maklumat.

8.30 pagi:Bilangan anggota polis dikatakan lebih 400 orang kini.

8.20 pagi: Pagar kawat berduri makin banyak dipasang. Antaranya bangunan ibu pejabat DAP juga kelihatan dikawal ketat. Orang ramai (awam) dihalang daripada masuk kawasan sekitar.

7.55 pagi: Semakin banyak kenderaan polis kelihatan. Trak FRU mula kelihatan. Trak meriam air juga kelihatan di sekitar bangunan SUK.

7.52 pagi: Keseluruhan kawasan SUK dikawal dengan ketat. Lebih 40 anggota keselamatan berkawal di hadapan SUK dengan memakai vest hijau dan diapit 2 buah trak merah dan beberapa kenderaan serta van polis. Kumpulan wartawan berada di hadapan hadangan berkawat berduri.

7.15 pagi: 6 buah kenderaan polis termasuk 'Black Maria' digunakan sebagai perisai di hadapan pagar dan pusat 'check point'. Anggota polis berpakaian biasa (SB) kelihatan mula penuhi kawasan sekitar. Keadaan mula sibuk.

7.00 pagi: Lingkaran dawai berkawat telah dipasang di sekeliling Bangunan SUK Perak.

_harakahdaily.net

PAS sedang membina Lekok Ketiga organisasinya

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 28 Okt: PAS disifatkan sedang mengalami konflik dalaman yang bakal melahirkan 'Lekok Ketiga' dalam sejarah perjuangannya.

Dr Mujahid Yusof Rawa, pengkaji organisasi PAS yang mendapat PhD dalam pengurusan organisasi melalui tesisnya mengenai PAS menulis, konflik yang sedang melanda PAS kini akan melonjakkan lagi PAS di masa depan.

"Mengikut 'Teori Lekok Pembelajaran' tiga titik bermulanya lekok teori, pertama ialah titik bermula, kedua ialah titik mendaki dan ketiga ialah titik kemuncak. Setelah kemuncak ia akan menurun. Dalam organisasi keadaan yang sama boleh berlaku kerana itu adalah sunnah organisasi," tulisnya.

Mujahid menulis untuk sebuah akhbar politik iaitu Siasah berkata, PAS telah melalui dua lekok utama sebelum ini iaitu zaman awal PAS yang memucak di zaman Datuk Asri Haji Muda.

Ia kemudiannya jatuh dan naik semula dengan lekok kedua di bawah kepimpinan ulamak. Ia sedang memuncak dan dengan krisis yang ada ia bakal menurun dan proses pembentukan Lekok Ketiga sedang berjalan, katanya dalam tulisan itu.

Kepimpinan Ulamak jika diandaikan pendakiannya pada tahun 90an, umur lekok itu sekarang ialah 19 tahun.

Image"Apakah organisasi PAS memerlukan Lekok Baru untuk meneruskan persaingannya di pesada politik yang hari ini semakin merumitkan dan dicam dengan kepelbagaian?" tanya beliau.

"Apakah Lekok itu mula terbentuk hari ini dengan perkembangan mutakhir dalam organisasi parti PAS? Apakah andaian dari pengalaman organisasi PAS yang lampau memungkinkan lahirnya peluang dan ruang untuk PAS melonjak lebih jauh hasil dari konflik yang ada hari ini?" tulis beliau.

Dalam menghadapi situasi sebegini, organisasi boleh mengambil lima pendekatan iaitu sapu ke bawah permaidani masalah yang timbul, matikan dengan kuasa konflik itu, menyerah kalah atau uruskannya secara berstruktur.

Tulisan penuh Mujahid boleh dibaca dalam Siasah Jumaat ini._ harakahdaily

Pemuda PAS mahu terus terang dalam mesyuarat malam ini

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 28 Okt: Mesyuarat Dewan Pemuda PAS malam tadi mengambil keputusan agar semua pihak yang berbeza pendapat dalam PAS berterus terang dalam mesyuarat khas Jawatankuasa PAS Pusat malam ini.

Mereka meminta agar perbezaan pendapat mengenai halatuju PAS diselesaikan secara tuntas dalam mesyuarat khas itu agar ia tidak lagi berlarutan.

"Pemuda mahu semua yang kata nak bekerjasama dengan Umno jelaskan sikapnya, manakala yang dikatakan pro-Pakatan sehingga membelakangkan parti juga menerangkan sikap mereka.

"Dari situ kita minta semua mengambil pendirian bersama dalam menentukan halatuju parti," kata Kamaruzaman Mohamad, Setiausaha Pemuda PAS.

Mesyuarat yang dipengerusikan ketuanya, Nasruddin Hassan Tantawi itu juga mengambil pendirian agar Lembaga Disiplin PAS diaktifkan sepenuhnya dengan mengambil tindakan kepada mana-mana pihak sahaja yang didapati bersalah dalam menguruskan parti.

Perkara ini diberitahu Kamaruzaman Mohamad kepada Harakahdaily pagi ini.

Dewan Pemuda PAS telah mengadakan mesyuarat khas malam tadi di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut.

Mesyuarat itu diadakan bagi memutuskan pendirian Pemuda menjelang mesyuarat khas Jawatankuasa PAS Pusat malam ini.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengarahkan agar satu mesyuarat khas Jawatankuasa PAS Pusat diadakan malam ini ekoran tulisan Mursyidul Am, Tuan Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat dalam blognya.

Tulisan itu mencadangkan agar PAS mengadakan Mesyuarat Agung Luar Biasa untuk memilih semula pimpinannya ekoran rasa tidak puashati beliau terhadap pimpinan yang ada.

Nik Aziz telah mengesahkan beliau akan hadir ke mesyuarat khas yang akan diadakan malam ini mulai jam 8.30 malam di Pejabat Agung PAS. _harakahdaily.net