Sahabat Purnama

Isnin, 16 November 2009

Guan Eng dedah minit sulit mesyuarat

Nov 16. Mesyuarat exco kerajaan negeri Pulau Pinang pada Jumaat ini akan membatalkan tahap kerahsiaan minit mesyuaratnya yang sebelum ini berhubung status sekeping tanah, yang kini menjadi kontroversi, kata Ketua Menteri Lim Guan Eng.

Beliau berkata, dalam satu kenyataan hari ini, pendedahan minit mesyuarat berkaitan keputusan itu mampu memberi gambaran yang jelas tentang tujuan sebenar penukaran hak milik tanah daripada pegangan pajakan kepada hak kekal yang akan dibangunkan oleh PDC Heritage Hotel Sdn Bhd.

Sebelum ini, ADUN Pulau Betong, Muhammad Farid Saad, mendakwa Lim memberi maklumat salah kepada DUN Pulau Pinang apabila memaklumkan tiada pertukaran status pegangan tanah dibuat di negeri itu dari April hingga Jun tahun ini tetapi terdapat laporan menyatakan kerajaan negeri telah meluluskan permohonan untuk menukar tempoh pegangan secara pajakan kepada kekal.

Pagi ini Lim sepatutnya mengadakan satu sidang akhbar selepas menerima kunjungan pegawai sebuah syarikat dari India tetapi bergegas meninggalkan pejabatnya dengan alasan untuk ke lapangan terbang kerana hendak ke Kuala Lumpur.

Beliau mengarahkan setiausaha akhbarnya Cheong Yin Fan untuk mengedar kenyataan akhbarnya itu. BERNAMA

_malaysiakini bm

Pusat tarik peruntukan Parlimen Tun Abdullah

Mohd Sabri Said

KEPALA BATAS, 16 Nov: Peruntukan pembangunan menerusi Rancangan Malaysia Ke Sembilan (RMK-9) bagi Parlimen Kepala Batas, iaitu parlimen bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Abdullah Ahmad Badawi di dakwa telah ditarik oleh kerajaan persekutuan.

Exco Kebajikan, Kesihatan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar Negeri Pulau Pinang, Phee Boo Poh ketika memberitahu perkara itu berkata, Abdullah kini seolah senasib dengan ahli parlimen pakatan rakyat yang lain.

Tindakan kerajaan persekutuan itu tegasnya adalah tidak wajar, seolah olah mahu 'menghukum' Abdullah dan lebih teruk lagi akan mengainaya masyarakat di parlimen tersebut.

"Sebenarnya perkara ini disembunyikan dari pengetahuan umum bimbang menjatuhkan maruah mantan Perdana Menteri yang telah berjasa pada negara walaupun perkhidmatanya singkat ekoran ketidakbijaksanaan memerintah, " tegasnya yang juga Adun Sungai Puyu.

Tegasnya lagi, kerajaan pusat sewajarnya membantu Abdullah bagi membantu masyarakat di kawasannya khususnya di Dewan Undangan negeri (Dun) Bertam dan sebagai mengenang jasa beliau terhadap pembangunan negara.

" Tidak patut buat begitu kerana Kepala Batas juga sebahagian daripada Pulau Pinang lebih-lebih kawasan Tun Abdullah yang pernah dinobatkan sebagai Perdana Menteri Ke Lima Malaysia, " katanya.

Sejak Tun Abdullah memegang tampuk pemerintahan pada penghujung 2003 boleh dikatakan Bertam muncul sebagai sebuah pusat pentadbiran baru mengantikan Butterworth yang kini lebih kepada bandar pelabuhan.

Dan sekarang ini kerancakan pembangunan di Bertam seakan terhenti apabila peruntukan tersebut ditarik.

_harakahdaily.net

Guan Eng nafi bantu fakir miskin Islam di tokong

Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 16 Nov: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menafikan kerajaan negerinya memberikan sumbangan kepada fakir miskin Islam di tokong sebagaimana yang disebarkan melalui SMS.

Guan Eng ketika dihubungi Harakahdaily berkata, fitnah sebegini bukan pertama kali berlaku tetapi telah berlaku sebelum ini untuk memberikan gambaran buruk kepada kerajaan negeri Pakatan Rakyat.

"Ia satu fitnah dan pembohongan oleh musuh politik kita," kata Guan Eng kepada Harakahdaily.

Menurut Guan Eng, jika benarpun ada sumbangan yang diberikan di tokong sebagaimana yang didakwa ia bukan sumbangan kerajaan negeri tetapi oleh orang persendirian.

"Semua sumbangan kerajaan negeri kebanyakannya dibuat di dewan orang ramai. Kita tidak pernah bagi sumbangan kepada orang Islam di tokong tetapi kita pernah buat dalam masjid," katanya.

Pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab sedang menyebarkan sms kononnya bantuan fakir miskin Islam oleh kerajaan DAP Guan Eng mesti dibuat di tokong cina.

Hari ini (semalam), menurut sms itu, 15 November jam 9.30 pagi bantuan fakir miskin Islam dari Tasek Gelurgor diberi di Tokong Telok Air Tawar.

"Untuk fakir miskin Bagan di Tokong depan mahkamah," menurut sms yang disebarkan itu.

"Saya harap rakyat tidak percaya dengan sms ini kerajaan kerajaan Pakatan Rakyat tidak akan buat diskriminasi kaum dan akan layan semua kaum dengan samarata," kata Guan Eng.

Beliau menganggap pihak musuh yang cuba menyebarkan fitnah ini, namun beliau tidak menamakan pihak yang bertanggungjawab.

"Siapa yang makan cili dia yang akan terasa pedasnya," kata beliau lagi.

_harakahdaily.net

Usaha sistematik sedang dibuat untuk tekan Nor Mohamad

KUALA LUMPUR, 16 Nov: Usaha nampaknya sedang dibuat dengan sistematik oleh para penyokong Tun Dr Mahathir untuk mengeluarkan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamad Yakcop dari kabinet.

Sekurang-kurangnya, tiga blogger pro-Umno menulis mengenainya. Rocky bru, bigdogdotcom dan Another Brick on the Wall mengulas mengenai usaha ini.

Nor Mohamad didakwa melakukan tindakan untuk kepentingan dirinya apabila menjalankan aktiviti melalui Khazanah Holding dalam urusan pengambilalihan Pantai Holding, syarikat strategik yang berasaskan kesihatan.

Ia bermula apabila Parkway Holdings, membeli 5% saham Pantai pada 4 Ogos 2006 ketikamana syarikat milik kerajaan Singapura itu sudah memiliki 31% saham.

Ini menjadikan, Pantai dikawal oleh syarikat asing iaitu milik GLC Singapura itu.

Apabila rakyat Malaysia bising, melalui Khazanah, sahamnya dibeli balik dengan cara yang sangat mengelirukan dan dikatakan memberikan keuntungan besar kepada Nor Mohamad.

Satu lagi dakwaan terhadap Nor Mohamad ialah kegagalan beliau menguruskan sumbangan royalti Petronas kepada kerajaan Malaysia.

Menurut bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir, Petronas telah menyumbang sebanyak RM253.6 bilion kepada kerajaan pusat dalam bentuk cukai, royalti, duti ekspot dan juga dividen.

Namun, ke manakah wang sebanyak itu dibelanjakan tidak dapat dilihat dengan nyata oleh rakyat negara ini.

Dan bagi bigdogdotcom, Nor Mohamad yang patut dipersalahkan sebagai Menteri yang menjaga hal ehwal perancang ekonomi negara.

_harakahdaily.net

19 tahun PAS lulus KPI dengan cemerlang - Lim Kit Siang

Oleh Md Zuharman

KOTA BHARU, 16 Nov – Penasihat DAP, Lim Kit Siang menyifatkan kejayaan PAS mentadbir Kelantan selama lima penggal berturut-turut adalah KPI cemerlang kerajaan PAS mengekalkan sokongan rakyat di negeri ini.

Kejayaan tersebut seharusnya menjadi landasan kepada Pakatan Rakyat (PR) menghadapi pilihan raya umum akan datang dalam usaha untuk menumbang kerajaan Umno – Barisan Nasional (BN) seterusnya menguasai Puterjaya.

Perjuangan ke arah itu mesti diperkasakan sepanjang masa demi menghapus ataupun melenyapkan sistem pemerintahan kerajaan Umno yang angkuh, sombong serta banyak menyusahkan rakyat.

Lim menyedari banyak kepincangan berlaku di dalam pentadbiran kerajaan Umno terutama berkaitan struktur menangani sesuatu isu yang mana rakyat ingin melihat kesannya dari sudut yang adil seperti fungsi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Tegasnya, beliau tetap malah terus dengan pendirian bahawa penubuhan SPRM adalah semata-mata demi untuk menjaga kepentingan politik kerajaan Umno dan ianya jelas menyimpang dari prinsip asal penubuhannya.

“Sampai ke hari ini kes penyelewengan jutaan ringgit dalam Umno melibatkan orang-orang ternama dalam politik Umno hanya bisu. Siasat juga, tapi siasatan tinggal siasatan sampai bertahun-tahun,” katanya pada satu majlis ceramah umum, dekat sini, malam tadi.

Dalam pada itu, Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, menyokong kenyataan Lim merujuk kepada beberapa isu seperti Perwaja, PKFZ yang hingga kini belum ada apa-apa tindakan terhadap mereka terbabit.

Lalu Abdul Hadi menegaskan kezaliman serta pembohongan dilakukan kerajaan Umno tidak boleh dimaafkan kecuali Umno bertaubat kerana perbuatan khianat dilakukan melibatkan hak rakyat.

“Kita mesti faham konsep ini, kalau sebut sahaja hak kerajaan, maknanya ia adalah hak rakyat,” katanya.

_harakahdaily.net

Mahkamah arah pilihan raya kecil di Kota Seputeh

KUALA LUMPUR, 16 Nov: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengarahkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengadakan pilihan raya kecil untuk Dun Kota Seputeh Kedah.

Ini bermakna, mahkamah bersetuju dengan keputusan Speaker Dun Kedah, yang memutuskan kerusi itu kosong berikutan kegagalan Adunnya, Datuk Abu Hasan Sarif hadir dua kali berturut-turut ke sidangnya.

Speaker DUN, Datuk Dr. Abdul Isa Ismail menghantar surat kepada SPR memaklumkan mengenai kegagalan Abu Hassan hadir sidang DUN pada 19 April dan 16 Ogos lalu.

Mengikut Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Kedah, mana-mana ahli dewan yang tidak hadir pada sidang DUN selama dua kali berturut-turut tanpa kebenaran Speaker, tempatnya hendaklah dikosongkan.

Kerusi itu dimenangi Abu Hasan dengan majorti 495 undi. Lawannnya, Ismail Wan Teh dari PAS menerima 7,665 undi.

harakahdaily.net

Khalid: Umno puji kejayaan Pakatan tadbir S'gor

Abdul Rahim Sabri

Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim mendakwa Tan Sri Muhammad Muhd Taib - bekas menteri besar Umno - mengakui bahawa perubahan dan kepimpinannya yang membuat reformasi di Selangor, menyukarkan parti itu untuk menguasai semula negeri itu.

Khalid yang juga pengerusi PKR negeri mendakwa Mat Taib telah berjumpa dengannya beberapa hari sebelum konvenshyen ini berlangsung.

"Dua tiga hari yang lepas, Tan Sri Muhd Taib datang jumpa saya, dia kata 'Khalid kalau macam ini habis lah kita'.

"Kalau macam ini, bekas menteri besar itu kata, 'wah dalam masa 20 tahun kami memerintah, dalam masa 20 bulan kamu boleh tunjukkan keupayaan PKR. Ini satu penghormatan kepada kita," katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu menggulung konvensyen PKR Selangor di Dewan Jubli Perak Shah Alam petang ini.

Muhammad Muhd Taib menjadi menteri besar Selangor selama 11 tahun mulai 1986.

Dalam pertemuan itu, beliau mendakwa Muhd Taib (kanan) mahu bekerjasama dengan Pakatan Rakyat untuk membangunkan rakyat dan ekonomi rakyat luar bandar di negeri itu.

"Tapi kita kata nanti dulu. Saudara tahu tentang reformasi atau tidak. Kalau saudara tidak faham tentang reformasi, nanti saya susah. Kalau orang dalam tidak reti, tambah lagi orang luar," katanya sambil disambut gelak ketawa kira-kira 500 perwakilan.

Dalam ucapannya juga, Khalid juga turut menyentuh mengenai perletakkan ADUN Pelabuhan Klang Badrul Hisham Abdullah yang mengisytiharkan keluar daripada PKR dan menjadi 'mesra BN' akhir bulan lalu.

Katanya, tindakan Badrul Hisham itu tidak melemahkan parti itu untuk berkhidmat kepada rakyat.

"Badrul bila lompat di Pelabuhan Klang, macam kita hilang satu parti. Ia tidak ada kena mengena. Dia hilang pun kita tak tahu. Kita pun tak kisah dia hilang.

"Hendak hilang, hilanglah tak jadi masalah. Itu kekuatan kita. Yang jadi masalah orang yang belah sana... Kalau (Datuk Seri Dr Mohd) Khir Toyo rasa Badrul adalah kawannya, tahap dia (pun) macam Badrullah," katanya mengundang gelak ketawa hadirin sekali lagi.

Khalid yang juga ahli parlimen Bandar Tun Razak turut menyentuh kejayaan Pakatan Rakyat mengurus dan mentadbir Selangor dalam usaha untuk merakyatkan ekonomi negeri itu.

Katanya, kejayaan membawa perubahan dalam negeri Selangor telah mendapat pujian rakan dan lawan bahawa PKR dan Pakatan Rakyat boleh mentadbir negeri ini, hasil usaha bekerja dalam satu pasukan.

"Sokongan menggembirakan daripada rakyat, dan mereka merasakan kita sebahagian daripada mereka.

"Sokongan daripada DAP dan PAS, walaupun ada soal-soal yang cuba melagakan kita, cuba menimbulkan keadaan yang tak tenteram, tetapi kita dapat bekerja dalam satu pasukan," katanya.

Khalid berkata, kejayaan PKR dalam melakukan reformasi di negeri itu akan lebih nyata sekiranya dapat bekerja dalam satu pasukan.

_malaysiakni bm

Umno guna media, SPRM intai kesalahan pemimpin Pakatan - Anwar

M Faqih

KOTA BHARU, 15 Nov: Umno dan Barisan Nasional (BN) menggunakan setiap ruang yang ada pada media dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mencari kesalahan pemimpin Pakatan Rakyat.

Terbaru mereka cuba mengenakan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dengan isu tajaan untuk menunaikan ibadat haji.

Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pemimpin Umno menggunakan setiap peluang untuk memperhodohkan wajah pemimpin Pakatan Rakyat.

“Sampai Tok Guru Nik Abdul Aziz hendak menunaikan haji pun cuba disekat dengan menggunakan media dan SPRM.

“Kerja khianat pemimpin Umno juga berterusan dilakukan dengan menggunakan sepenuhnya media massa yang mereka kuasai,” katanya pada perasmian penutup konvensyen KeADIlan Kelantan di KTC di sini, petang ini.

Hadir sama Setiausaha Agung PKR, Datuk Salahuddin Hashim, Ketua PKR Kelantan, Saifuddin Nasution Ismail, ahli Majlis Pimpinan Tertinggi, Datuk Zaid Ibrahim dan Setiausaha Badan Perhubungan PAS Negeri, Mohd Zaki Ibrahim.

Jumaat lalu Nik Abdul Aziz mengumumkan membatalkan hasrat menunaikan haji tahun ini disebabkan media sengaja membesarkan isu penajaan untuk ke Mekah.

Malah SPRM dilaporkan membuka fail siasatan berhubung isu terbabit.

Anwar berkata, biar pun Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menguar-uarkan konsep 1Malaysia, namun sebenarnya undang-undang yang dipakai ada dua di negara ini.

“Pemimpin Pakatan Rakyat cuba dianiayai dengan pelbagai tindakan melalui undang-undang, sedangkan pemimpin Umno dan BN terselamat.

“Tidakkah ini dinamakan sebagai dua undang-undang dan bukan 1Malaysia yang disibukkan perdana menteri,” ujarnya.

Beliau yang juga ketua pembangkang di parlimen berkata, sebab itulah pemimpin KeADILan yang tidak ada daya tahan mudah mengambil langkah mengkhianati parti sendiri.

Katanya apa yang berlaku kepada dua bekas Adun KeADIlan di Perak, seorang di Selangor dan seorang lagi di Kedah kerana tidak mempunyai daya tahan yang tinggi dalam perjuangan.

“Kalau beri RM5,000 mereka masih lagi tahan, kalau diberi RM50,000 mereka mulai goyah dan kalau diumpan ratusan ribu mereka sanggup meninggalkan perjuangan.

“Seperti juga berlaku kepada Adun Pelabuhan Klang yang sudah tujuh bulan didapati bermasalah. Ketika saya panggil dia datang dan memberitahu jangan ganggu dia,” katanya.

Lebih 1,000 perwakilan dari Cabang KeADILan di Kelantan hadir pada program separuh hari itu. Dua kertas kerja dibentang termasuk oleh Saifuddin dan Setiausaha Badan Perhubungan Terengganu, Rosli Abdullah.

Pada majlis itu juga Saifuddin menyerah 1,685 borang menyertai KeADIlan kepada Anwar.

_harakahdaily.net

Ahad, 15 November 2009

Tidak Ada Pakatan Dengan UMNO Samada Terang atau Senyap

15 November 2009

KUALA TERENGGANU – Tidak ada pakatan samada secara terang atau senyap antara PAS dan UMNO kerana PAS telah pun menutup isu tersebut dan berikrar terus setia bersama Pakatan Rakyat (PR).

Naib Yang Dipertua PAS Kawasan Kuala Terengganu, Ariffin Deraman berkata, isu ‘pakatan senyap’ yang cuba ditimbulkan adalah percubaaan pihak yang ‘memusuhi’ PAS, membangkitkan semula isu kerajaan perpaduan.

“Pakatan senyap ini timbul untuk membangkitkan kembali isu ‘kerajaan perpaduan’ dan isu ini sudah ditutup, kita pun tiada apa-apa hubungan dengan UMNO,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, dalam Seminar Memperkasakan PAS minggu lalu, Presiden PAS, Dato’ Seri tuan Guru Abdul Hadi Awang telah menegaskan sekali lagi, PAS akan terus bersama dan memperkuatkan Pakatan Rakyat.

Buletinonline dimaklumkan, pakatan secara senyap antara PAS dan UMNO mula diperkatakan oleh pensyarah Universiti Pertahanan Nasional, Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah dalam blognya.

Dalam tulisannya, Ridhuan dikatakan menyeru agar UMNO dan PAS mencontohi pakatan senyap oleh DAP, MCA serta Gerakan yang bersama dalam satu suara.

Kata Ariffin, PAS menganggap UMNO sebagai musuh politik sebagaimana UMNO menganggapnya begitu terhadap PAS.

“Kami akan tetap menganggap UMNO sebagai musuh politik dan bersama dengan PR, tiada hubungan dengan UMNO serta tidak pernah ada hubungan dengan parti itu,” katanya.

Mengulas berhubung perpaduan Melayu dan Islam di negara ini, beliau menegaskan, UMNO lah yang mesti bertanggungjawab memusnahkan perpaduan itu, bahkan UMNO juga yang memusnahkan perpaduan peringkat nasional.

Katanya, UMNO melakukan diskriminasi, menyingkirkan sesiapa sahaja yang tidak menyokong mereka tidak kira samada PAS ataupun parti-paryi pembangkang yang lain.

”Tidak kira apa bangsa dan ugama, akan dinafikan hak mereka, sekiranya tidak menyokong UMNO dan Barisan,

”Mereka kata akan memberikan keutamaan projek-projek kerajaan kepada bumiputera tetapi sebenarnya yang mendapat peluang bukan bumiputera tetapi ‘Umnoputera’ dan ‘BNPutera,”jelasnya.

Menurutnya, pemimpin UMNO turut menghancurkan negara dengan majority daripada mereka terbabit pelbagai penyelewengan, rasuah dan kronisme menyebabkan sebahagian besar orang Melayu hilang kepercayaan mencari alternatif terbaik demi kebaikan bangsa, agama serta negara.

_buletinonline

Rasuah dan Penyelewengan; Curi Duit Kerajaan Melalui ‘Indent’ Isi Minyak Kereta

15 November 2009 - SM Noor

KUALA NERUS – Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Hj Mohd AbdulWahid Endut mendedahkan, terdapat terdapat kebocoran, ketirisan, pengkhianatan, salah guna duit dan salah guna kuasa dalam kerajaan Umno dan Barisan Nasional daripada atas hingga ke bawah.

Menurutnya, antara yang dilaporkan oleh Ketua Audit Negara adalah kes curi minyak yang berlaku di pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Terengganu dan Pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Terengganu.

”Tapi yang digambarkan dengan jelas lagi oleh Ketua Audit Negara, di negeri Terngganu (adalah) kes curi minyak,

”pejabat SUK ada nombor kereta sekian-sekian, pejabat JKR pun begitu di negeri Terengganu,”katanya ketika berucapa dalam majlis ceramah sempena sambutan Jubli Emas PAS Kawasan Kuala Nerus, di Pekan Batu Enam, dekat sini, semalam.

Katanya, ditulis dalam Laporan tersebut, kapasiti tangki minyak Proton Perdana boleh diisi penuh adalah 64 liter, tetapi ia diisi sehingga 102 liter.

”Kereta Proton Perdana, penuh tangki minyak 64 liter, tapi isi hingga 10 liter, harga sampai RM102.00 sekali isi,

”maknanya lepas isi penuh (kereta Perdana) dia isi (minyak) kereta lain pula, tapi kerajaan bayar pakai ‘indent’ yang sama,”jelasnya.

Beliau berkata, terdapat satu lagi kes curi duit kerajaan melalui ‘indent’ dikesan dalam laporan itu adalah dengan cara yang tidak munasabah, iaitu mengisi minyak RM200.00 dalam masa tiga minit sahaja.

”Ada satu lagi (di) pejabat SUK pukul 3.05 isi (minyak) RM150, nombor kereta yang sama (pada pukul) 3.06, seminit kemudian isi pula RM100,

” (pada pukul) 3.07, seminit kemudian isi pula RM50, nye baham (dia curi) RM300 dalam masa 3 minit,”kata Wahid yang juga ADUN Wakaf Mempelam dan Timbalan Pesuruhjaya Pesuruhjaya PAS Terengganu.

Katanya, itu dilaporkan Ketua Audit Negara yang berlaku di pejabat SUK, dipejabat-pejabat lain turut berlaku demikian.

Semakan yang dibuat Buletinonline perkara tersebut terdapat dibawah perkara 4.5 dibawah tajuk Penemuan Audit, pada mukasurat 51, Laporan Ketua Audit Negara, Aktiviti Kerajaan/ Agensi dan Pengurusan Syarikat Kerajaan Negeri Terengganu Tahun 2008, sebagaimana jadual yang dipaparkan.

Turut hadir dalam majlis ceramah tersebut adalah Naib Presiden PAS, Haji Salahudin Ayob dan Yang DiPertua PAS Kuala Nerus, ustaz Abu Bakar Abdullah.

_buletinonline

Dakwaan miliki saham: Anwar pertahan Azmin

Nov 15. Ketua Umum PKR,Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mempertahankan naib presiden parti Azmin Ali yang didakwa terlibat dalam pembelian saham mencecah RM8 juta dengan dua individu lain, yang dibangkitkan oleh pengerusi Yayasan Pembangunan Belia India Malaysia S A Vickneswaran.

Anwar berkata siasatan berkenaan dakwaan itu telah dibuat pada 1998 di mana Azmin telah ditahan dan kemudian dibebaskan.

"Azmin pun sudah mengeluarkan kenyataan menafikan dakwaan itu dan akan ambil tindakan. Kita kena bezakan antara fakta atau fitnah, saya tidak tengok dokumen itu tapi saya tahu sebab siasatan telah dibuat sejak awal dan tidak ada tindakan, bahkan dilepaskan," katanya, lapor Bernama.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyampaikan ucaptama di konvensyen PKR Selangor yang dirasmikan oleh isterinya dan juga presiden parti Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail di Shah Alam hari ini.

Kelmarin Vigneswaran mendakwa Azmin dan isterinya, Shamshida Taharin memiliki saham berjumlah lebih RM9 juta pada awal 1990-an.

Bercakap dalam satu sidang akhbar, Vigneswaran menggesa Azmin menjelaskan sama ada beliau telah membeli saham tersebut pada awal 1990-an ketika menjadi setiausaha sulit Anwar yang menjadi menteri kewangan ketika itu.

Azmin yang juga ahli parlimen Gombak menafikan dakwaan tersebut dan menyifatkanya sebagai serangan fitnah yang jahat untuk mengganggu keamanan dan ketenteramannya dan keluarganya.

malaysiakini bm

Anwar isytihar perang pertahan S'gor

Abdul Rahim Sabri

Nov 15, 09. Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengisytiharkan perang terhadap Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak yang bercita-cita untuk merampas Selangor daripada Pakatan Rakyat.

"Serangan daripada pusat, Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) kata nak rampas, walau tidak secara langsung tapi maksudnya begitu. Najib bukan saingan kepada menteri besar, Tan Sri Khalid Ibrahim..

"Sekarang silakan Najib. Masuk sahaja dan sentuh Selangor, kita bertempur habis habis-n," katanya.

Najib juga merupakan pengerusi perhubungan Umno Selangor dan pengerusi BN.

Anwar berkata demikian dalam ucapatama dalam konvesyen PKR Selangor di Dewan Jubli Perak Shah Alam pagi ini.

Kira-kira 1,500 perwakilan daripada 22 cabang PKR di negeri ini memberi tepukan gemuruh ekoran pengisytiharan perang itu.

Anwar yang juga ketua pembangkang berkata serangan untuk merampas Selangor, dapat dilihat daripada beberapa isu yang cuba ditimbulkan untuk melemahkan kepimpinan Khalid yang juga pengerusi PKR negeri.

"Hari-hari serang Tan Sri Khalid. Tak habis dengan isu lembu untuk hari raya korban, dia serang dengan isu kepala lembu. Kita jangan ingat (serangan) selesai. Kalau kita rasa selesai, kita silap.

"Bila PM (perdana menteri) nak serang dan rampas, dia akan guna segala jentera. Mungkin dia gunakan kata-kata yang lunak, ia manis bagaikan madu tetapi ia umpama racun bisa bagaikan hempedu," katanya.

Katanya, perkara itu juga menjadi antara sebab utama beliau menerima tawaran Khalid yang juga pengerusi PKR Selangor untuk menjadi penasihat ekonomi negeri itu.

"Saya datang untuk bantu kerajaan negeri dan rakyat dan tidak mahu menimbulkan ketegangan politik. Saya mahu (tugas) menteri besar menjadi lebih kukuh.

"Jangan ada anak-anak kecil yang nak bermain-main di sini, saya datang kerana ada pengalaman. Kalau ada anak kecil main-main, kita tangkap dan lempar keluar," katanya

Anwar juga berjanji untuk memperkukuhkan Pakatan Rakyat dan mempertahankan ekonomi negeri itu.

Beliau berkata, ini kerana laporan ketua audit negara menjelaskan bahawa prestasi dan rekod baik telah ditunjukkan oleh Khalid dan ia tidak pernah dicatatkan oleh menteri besar sebelum ini.

Dalam ucapan itu juga Anwar optimis bahawa kerajaan Selengor di bawah Pakatan Rakyat dapat dipertahankan dalam pilihanraya akan datang dan prestasinya juga akan jauh lebih baik daripada pilihanraya Mac tahun lalu.

"Ini markas kita, ini kubu kita. Dia datang sentuh, kita lesing dia," katanya yang sekali lagi mendapat tepukan gemuruh hadirin.

Dalam sidang media selepas itu, Anwar yang juga ahli parlimen Permatang Pauh menjelaskan bahawa pengisytiharan perang itu adalah tindak balas terhadap pengisytiharan Umno untuk merampas kembali Selangor.

Bagaimanapun beliau tidak menolak kerjasama antara kerajaan negeri dan kerajaan pusat yang melibatkan pembangunan dan kepentingan rakyat.

"Kita tentunya akan bertahan dan serang balas (jika ada serangan). Dan pendekatan kita dari awal, dari segi kerajaan adalah kerjasama, bukan lawan. Dan kerjasama antara kerajaan negeri dan persekutuan.

"Kalau urusan pembangunan ikut lunas yang baik dan lunas demokrasi, kita ikut dan bukan bermaksud untuk melawan," katanya.

_malaysiakini bm

Amaran pada MP, ADUN PKR tidak berprestasi

Abdul Rahim Sabri

Nov 15, 09. Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi amaran keras kepada pemimpin dan wakil rakyat PKR yang berhasrat untuk menjadi calon dalam pilihanraya umum akan datang supaya menunjukkan prestasi yang baik untuk membela rakyat.

Jika tidak, kata Anwar, mereka tidak berpeluang untuk dipilih semula untuk menjadi calon di kawasan yang akan ditandingi.

"Saya tekankan kepada ahli-ahli yang dipilih, kalau prestasinya baik, alhamdulillah. (Tapi) kalau belum baik, jangan harap dapat bertanding semula.

"Sementara ada waktu, baiki. Baik jawatan menteri besar atau exco kerajaan negeri tidak ada jaminan. Minggu lalu saya beri amaran cukup keras di Pulau Pinang. Jangan uji kesabaran saya," katanya.

Anwar yang juga ketua pembangkang berkata demikian sewaktu memberi ucapan di konvensyen PKR Selangor yang dihadiri kira-kira 1,500 perwakilan daripada 22 cabang di Selangor.

Beliau mengulas tindakan kontroversi ADUN Pelabuhan Klang Badrul Hisham Abdullah yang mengisytihar keluar PKR dan menjadi ADUN Bebas yang 'Mesra BN' hujung bulan lalu.

Anwar berkata Badrul memang mempunyai masalah dan pimpinan PKR yang lain juga cuba menyelesaikannya sebelum ADUN Pelabuhan Klang itu mengisytiharkan keluar daripada parti itu.

"Saya tengok dia lima minit, saya tahu dia memang ada masalah... tapi pada masa itu, kita ambil sikap prikemanusiaan....(Badrul ada) rekod lemah, kerja tak jalan, sidang DUN tak hadir, menteri besar (Khalid Ibrahim) turun kawasan (Pelabuhan Klang), dia tidak ada, saya pergi (dia) tidak ada.

"Sepatutnya kita perlu lebih tegas, kita bagi surat tunjuk sebab dua minggu dan pecat terus," katanya

Menurut Anwar, beliau mengakui "banyak bertanggungjawab" untuk meletakkan calon PKR di peringkat parlimen dalam pilihanraya umum yang lalu.

"Tapi negeri (ADUN) saya tak tahu, saya serah pada negeri...tapi bila ada masalah, orang kata 'Itulah Anwar, kenapa pilih orang-orang yang dungu ini'," katanya

Sehubungan itu beliau mengingatkan badan perhubungan PKR negeri supaya memastikan calon dipilih untuk bertanding dalam pilihanraya umum akan datang mempunyai kelayakan dan boleh berkhidmat kepada rakyat._malaysiakini bm

PR akan bebaskan sistem maklumat

KUALA LUMPUR, 15 Nov: Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad berkata, pendekatan dan tawaran yang perlu dibuat oleh Pakatan Rakyat adalah membebaskan maklumat sepenuhnya apabila berjaya memerintah negara nanti.

Ini kerana, dengan cara inilah sistem demokrasi akan dapat berjalan dengan baik dan rakyat mendapat peluang untuk memilih dengan tepat berdasarkan maklumat di masa depan.

Beliau berkata demikian dalam seminar anjuran Parti Sosialis Malaysia petang semalam.

Dalam forum itu juga, Khalid melahirkan keyakinan, sistem dua parti adalah yang terbaik untuk negara ini dalam suasana sekarang.

"Walaupun (dari) segi ideologi kita mungkin dari sumber yang berbeza, tapi akhirnya akan perjuang pada matlamat yang sama iaitu menggantikan Umno BN...dengan syarat perlu liberalisasi pendekatan agar sesuai dengan keperluan politik semasa.

"Apa yang kita nak buat sekali pun, kita perlu lihat realiti politik. Saya rasa sistem dua parti (sistem) penyelesaian terbaik di Malaysia, tidak ada retorik (dan) tidak lagi ideal. Ia lebih praktikal," jelas Khalid dalam Seminar Sosialisme 2009 anjuran Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Beliau yang juga AJK Lajnah Politik PAS Pusat berpendapat usaha meliberalisasikan pendekatan parti-parti pembangkang tersebut termasuk saling kerjasama dalam memperbetulkan semula beberapa persepsi salah rakyat terhadap perjuangan Pakatan Rakyat.

"Kalau nak laksana ia (sistem dua parti) secara realistik, saya sebagai ahli PAS perlu bersedia jelaskan pada Melayu (bahawa) DAP bukan cauvenis Cina dan DAP juga kena cakap pada orang Cina yang PAS ini bukan parti pelampau Islam seperti yang dipropaganda BN dalam media."

Baginya, propaganda perkauman yang dilakukan Umno mengakibatkan rakyat berpegang pada persepsi yang salah terhadap Pakatan Rakyat sendiri.

"Masalah utama orang Melayu adalah terlalu percaya pada propagada Umno lebih 52 tahun, isu kedudukan Melayu, bahasa, tanah dan sebagainya, persepsi orang Melayu masih anggap Umno segalanya. Walaupun Umno rasuah, orang Melayu masih jauh dari kita (Pakatan)," jelasnya.

"Segelintir orang Cina dan India pula percaya PAS adalah parti ekstrem Islam disebabkan propaganda televisyen (dan) radio (yang dikatakan milik) Umno masuk ke setiap rumah, setiap hari."

Beliau berharap Pakatan Rakyat tidak memandang remeh isu persepsi tersebut.

"Ini (isu perkauman) bukan saja persepsi (rakyat) yang tidak boleh PR tolak (abaikan), tapi ia sudah jadi sensitiviti yang menyebabkan rakyat (khususnya) undi Melayu kian berkurang pada PR, begitu juga yang lain," jelasnya.

Menurutnya lagi, Pakatan Rakyat juga perlu meliberalisasikan maklumat serta media dalam sistem dua parti tersebut.

"Liberalisasi dari segi maklumat supaya media ini lebih bebas, akta-akta seperti OSA (Akta Rahsia Rasmi) dan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) perlu dimansuhkan supaya masyarakat lebih tahu apa yang berlaku dan boleh buat keputusan paling bijaksana dalam sistem ini (sistem dua parti)."

Selain Khalid, dua panel lain yang membincangkan sistem dua parti tersebut adalah saintis politik, Wong Chee Huat dan pengganti kepada Pengarah Pilihanraya PKR Saifuddin Nasution, Wong Phean Yow.

Terdahulu, PAS, DAP dan PKR mendaftarkan Pakatan Rakyat sebagai parti yang sah demi memastikan ketiga-tiga parti boleh saling bekerjasama dalam satu-satu pilihanraya, sama seperti Barisan Nasional.

Pendaftaran tersebut dibuat setelah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menghalang PKR dan DAP berkempen secara terbuka dalam pilihanraya kecil Bagan Pinang beberapa bula lepas, kerana hanya parti bertanding iaitu PAS sahaja dibenarkan berbuat demikian.

_harakahdaily.net

Pengetua Politeknik Permatang Pauh ditukar

Mohd Sabri Said

PERMATANG PAUH, 15 Nov: Pengarah Politeknik Seberang Perai, Norazahan Othman telah ditukar ke Jeli, Kelantan dipercayai akibat tindakan beliau membenarkan kerajaan negeri Pulau Pinang mengadakan Jamuan Hari Raya Aidil Fitri di situ pada 3 Oktober lalu.

Hari ini, pihak pengurusan Politeknik Seberang Perai yang terletak di Jalan Permatang Pauh didakwa telah mengadakan jamuan perpisahan terhadap beliau.

Beliau dijangka akan berpindah ke negeri asal dalam masa terdekat.

Pertukaran itu juga didakwa dilakukan dengan tergesa-gesa berkemungkinan atas desakan pihak yang tidak senang dengan sikapnya yang dilihat 'pro-pakatan'.

Pada 3 Ogos lalu, kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri, Lim Guan Eng telah mengadakan Majlis jamuan Aidil Fitri dan turut di hadiri oleh Tuan Yang Terutama, Tun Datuk Seri Utama, Dr Haji Abdul Rahman Abbas.

Satu sumber mendakwa, sebuah parti politik pembangkang Pulau Pinang tidak dibenarkan menggunakan dewan Politeknik tersebut kerana tidak menjelaskan bayaran tunggakan sewaan program yang pernah dibuat.

Tindakan Norazahan yang membenarkan kerajaan negeri menggunakan dewan politeknik itu pula mungkin dilihat bahawa beliau pro pakatan.

Kerana bertindak atas sikap profesionalnya, ada pihak didakwa telah tidak senang dan telah berusaha menukar beliau._harakahdaily.net

SPRM 'peka' selamatkan PAS – Abdul Hadi

MARANG, 15 Nov: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang secara sinis menyifatkan tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang cepat melakukan siasatan melibatkan pemimpin PAS berbanding pemimpin Umno BN sebagai 'peka' terhadap PAS.

Menurutnya, tindakan SPRM yang cepat memberi respon untuk membuka kertas siasatan terhadap penajaan haji Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz, seolah-olah mereka peka untuk menyelamatkan PAS berbanding BN.

“SPRM cukup peka untuk selamatkan PAS,” ujarnya kepada wartawan di sini, kelmarin.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang turut melahirkan rasa kesal dengan sikap SPRM yang terlalu cepat melakukan siasatan apabila membabitkan pemimpin PAS.

Lebih mengecewakan katanya, SPRM juga dakwanya sering bertindak hanya hanya berdasarkan laporan media sahaja walaupun tiada aduan dilakukan.

Keadaan itu katanya berbeza apabila melibatkan pemimpin Umno dan BN di mana SPRM lewat bertindak seolah olah mahu mengelak dari membuat penyiasatan.

SPRM sehingga kini berdepan dengan tanggapan melakukan penyiasatan dan pendakwaan terpilih ekoran dilihat cepat bertindak terhadap apa-apa dakwaan salah guna kuasa pemimpin Pakatan Rakyat berbanding pemimpin Umno BN._harakahdaily

Keputusan batal ke Mekah, gagalkan usaha musuh

ALOR SETAR, 15 Nov: Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar menyokong keputusan yang telah dibuat oleh Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk membatalkan pemergian beliau ke tanah suci Mekah pada 18 November yang akan datang.

Beliau yakin keputusan yang telah dibuat oleh Nik Aziz telah berjaya mematahkan usaha pihak-pihak tertentu yang cuba untuk menjatuhkan PAS dan mencemarkan imej Menteri Besar Kelantan itu sendiri.

"Isu yang cuba dipolitikkan ini membuktikan ada pihak yang cuba untuk menjatuhkan PAS.

"Keputusan yang telah diambil oleh Nik Aziz itu membuktikan beliau bukanlah seorang pemimpin yang mudah untuk menerima pemberian daripada seseorang," katanya.

Namun ujarnya lagi, bukan semudah itu untuk menjatuhkan PAS yang sudah lama matang dengan sepak terajang politik tanah air.

Beliau juga yakin, beberapa isu yang sering ditimbulkan terhadap PAS, langsung tidak menjejaskan parti itu.

Apatah lagi, parti itu mempunyai mekanisma tersendiri menyelesaikan masalah yang ditimbulkan.

"Saya juga yakin dengan kepelbagaian isu yang timbul ini serta kejayaan PAS untuk menepis segala dakyah dan tuduhan membuktikan bahawa segala masalah yang melanda parti ini tidak akan menjejaskan PAS," katanya lagi.

Isu-isu yang bersifat serangan ini katanya kan lebih mematangkan lagi ahli-ahli PAS apabila satu persatu daripada serangan musuh dapat ditangkis dengan mudah.

"Dengan semangat perjuangan yang ada serta kematangan yang ditunjukkan oleh ahli-ahli PAS maka apa jua isu yang cuba dipoltikkan oleh pihak lawan sudah pasti akan dapat diatasi dengan mudah," katanya._harakahdaily.net

1Malaysia, Kelantan terus dianak tiri

Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 15 Nov: Slogan Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan yang diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hanya indah khabar dari rupa apabila rakyat Kelantan terus dianak tirikan kerajaan pusat hanya kerana negeri itu ditadbir oleh PAS.

Contoh yang paling nyata adalah keengganan kerajaan pusat membina tembatan banjir di Sungai Golok, walaupun peruntukan untuk projek tersebut telah diluluskan sejak Rancangan Malaysia Ke-7 lagi.

Ahli Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Mohd Yusuf berkata, jika kerajaan benar-benar berhasrat mendahulukan rakyat, pembinaan tembatan banjir itu harus disegerakan memandangkan rakyat di kawasan itu sering berhadapan dengan bencana alam itu.

“Saya dimaklumkan peruntukan untuk tembatan Sungai Golok ini telah diluluskan sejak RMK ke-7 lagi. Tapi sampai sekarang tak buat, tak tahu ke mana peruntukan itu.”

“Tembatan banjir ini perkara yang perlu diambil tindakan serius kalau betul-betul kerajaan kata rakyat diutamakan.Saya sebagai ahli parlimen Rantau Panjang mintaklah beri keutamaan kepada pembinaan benteng banjir ini,” katanya ketika ditemui di lobi parlimen baru-baru ini.

Menurut Zailah, penduduk Rantau Panjang terpaksa menghadapi risiko kerosakan dan kerugian harta benda setiap kali berlakunya banjir di kawasan itu pada musim tengkujuh.

Limpahan air Sungai Golok itu turut melumpuhkan kegiatan harian penduduk dan peniaga di pekan Rantau Panjang yang merupakan Zon Bebas Cukai terkenal.

Kedudukan Rantau Panjang yang bersebelahan dengan Thailand makin merumitkan keadaan kerana negara itu membina benteng yang tinggi di sepanjang sungai Golok. Ini menyebabkan air hujan mengalir ke sebelah Kelantan kerana kedudukannya yang rendah dan tiada benteng yang menghalang air.

“Ekonomi rakyat Thailand tidak lumpuh walaupun musim hujan. Sebaliknya ekonomi rakyat Rantau Panjang yang terjejas teruk. Rakyat terpaksa tutup kedai, rugi beribu-ribu, tanaman ditenggelami air, binatang ternakan hanyut,” katanya yang juga Naib Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat.

Tegasnya, kerajaan harus mengambil tindakan yang dapat menyelesaikan masalah berkenaan untuk jangka masa panjang, bukan sekadar menghabiskan wang memberikan pampasan setiap kali berlakunya banjir.

“Kerajaan bagi pampasan 500 ringgit kepada setiap mangsa banjir.Berapa juta kerajaan terpaksa habiskan duit untuk bagi pampasan.Lebih baik kerajaan guna duit itu buat tembatan untuk jangka masa panjang,” tegasnya.

Apa yang lebih dikesalkan ujarnya, apabila kerajaan pusat tidak berlaku adil dalam memberikan bantuan banjir kepada penduduk di kawasan berkenaan.

Menurutnya, bantuan yang disalurkan melalui Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) hanya diberikan kepada penyokong-penyokong Umno BN sahaja.

Ini dimaklumkan sendiri oleh salah seorang pegawai JPP kepada beliau.

“Pegawai daripada jabatan pembangunan persekutuan dedahkan kepada saya bagaimana ada seorang pegawai JPP yang memang orang umno kuatlah.Dia kata nama-nama yang diberikan ini, siapa orang BN akan diberikan surat tawaran untuk terima bantuan banjir.Yang bukan BN, dia tak akan bagi walaupun tenggelam air,” ujarnya.

Beliau turut mendesak agar JPP dimansuhkan di Kelantan kerana ternyata bersikap pilih kasih dalam menyalurkan bantuan kepada rakyat.

Masih berlaku diskriminasi dalam menyalurkan bantuan.sebab melalui JPP. JPP tak akan bagi keadilan kepada rakyat. Sebab itu saya tegaskan, jangan benarkan sebarang bentuk bantuan disalurkan melalui JPP.Ini wang rakyat.bukan wang Umno.Mereka guna wang ini untuk kepentingan mereka sahaja,” katanya.

Minggu lalu seramai 2,031 mangsa banjir di seluruh negeri dipindahkan ke pusat pemindahan banjir di kawasan sekitar.-harakahdaily.net

Azmin dakwa orang dalam KSSB terlibat curi pasir

SHAH ALAM, 15 Nov: Ahli Parlimen Bukit Antarabangsa, Mohamed Azmin Ali mendakwa beberapa pihak daripada Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB:), syarikat diamanahkan Kerajaan Negeri menguruskan aktiviti melombong pasir dipercayai terlibat menjadi dalang kes curi pasir di negeri itu.

Mohamed Azmin sepeti dilapor akhbar Sinar Harian berkata berkata, laporan polis telah dilakukan berhubung perkara berkenaan dan kini beliau sedang mengumpul bukti bagi memastikan pihak yang terlibat dikenakan tindakan sewajarnya.

“Saya menerima aduan mengenai kecurian pasir yang menggunakan lori KSSB. Jadi saya nak tahu siapa yang terlibat dan apa tindakan yang akan dikenakan.

“Saya akan dapatkan salinan dan serahkan Kerajaan Negeri untuk teruskan siasatan,” katanya kepada pemberita selepas Sidang Dewan Negeri ditangguhkan, semalam.

Beliau berkata, perkara ini harus ditangani berikutan kegiatan curi pasir semakin berleluasa dan hanya menjejaskan pendapatan dan hak rakyat negeri ini.

“Sama ada orang dalam atau orang luar curi tetap curi dan tindakan mesti diambil,” katanya.

Sementara itu, Exco Pemodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan, Yaakob Sapari berkata, beberapa wakil daripada KSSB telah dipanggil membuat penjelasan.

“Kita telah putuskan dan mengeluarkan notis bahawa mana-mana tanah persendirian yang didapati terlibat dalam kegiatan curi pasir akan dirampas.

“Notis 7A akan dikeluarkan supaya mereka menghentikan kegiatan berkenaan. Jika tiada sebarang tindakan, kita akan rampas tanah mereka,” katanya.

Yaakob berkata, setakat ini terdapat beberapa kes kecil kegiatan curi pasir telah dikenal pasti manakala terdapat empat tanah persendirian di kawasan Dengkil dirampas Kerajaan Negeri.

“Terdapat kes-kes kecil yang sudah dikawal tetapi tidak banyak.

“Setakat ini empat kawasan di Dengkil telah dirampas semula. Saya akan terus jalankan siasatan dan berharap supaya Azmin dapat bantu saya,” katanya._ Harakahdaily

Sokong cadangan Zaid, lihat Nik Aziz ikon penyatuan kaum

Mohd Nor Yahya

KOTA BHARU, 15 Nov: Dewan Muslimat PAS Negeri Kelantan, menyambut baik cadangan Bekas Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim supaya Mursyidul AM PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai Pengerusi pertama bagi Pakatan Rakyat.

Menurut ketua penerangannya, Hajjah Nor Hashimah Deraman, perlantikan Nik Aziz dilihat sangat bertepatan kerana beliau merupakan seorang tokoh penyatuan kaum di negara ini.

Ianya dapat di nilai sepanjang 20 tahun menjadi Menteri besar Kelantan dan mentadbir rakyat negeri itu tanpa tercetus sebarang ketegangan kaum.

Kepribadian beliau juga disenangi bukan sahaja oleh orang Melayu Islam, malah pelbagai kaum lagi di negeri ini termasuk Cina , India dan Siam.

“Saya amat menyokong penuh saranan tersebut dan berharap Tuan Guru dapat menerimanya dan menjadi seorang pemimpin yang berjaya dalam penyatuan kaum di negara ini” katanya.

“Keperibadian dan ketokohan beliau sudah terbukti dan tiada salahnya mengambil beliau sebagai Pengerusi Pakatan Rakyat Pertama,” katanya lagi.

Sementara itu, Timbalan Yang Di Pertua PAS Kubang Kerian Abdul Rahman Yunus berkata, walaupun terdapat ramai tokoh dalam Pakatan Rakyat yang mampu menjadi pemimpin namun pada masa kini Nik Aziz dilihat amat menonjol sering kali dijadikan ikon penyatuan pelbagai kaum di negara ini.

“Kami, PAS Kawasan Kubang Kerian menyokong penuh saranan Zaid Ibrahim dan diharap ia akan menjadi kenyataan sebagai pemimpin pertama Pakatan Rakyat bila ia diluluskan nanti,” kata beliau.

“Saya juga berharap pemimpin tertinggi dalam Pakatan Rakyat tidak menjadikan saranan Zaid tersebut sebagai mainan politik semata-mata dan di sinilah ujian pertama terhadap kepimpinan Pakatan Rakyat itu sendiri”ujar beliau lagi.

Bagi Pegawai Khas Wakil Masyarakat India Kelantan, Tharuman a/l Arjunan pula berkata pada masa kini hanya Mursyidul Am PAS itu sahaja yang boleh menjadi Ketua atau Pengerusi Pakatan Rakyat kerana beliau dilihat diterima semua kaum.

“Kami amat gembira sekiranya beliau dipilih oleh pimpinan Pakatan Rakyat kerana ketokohan beliau boleh disamakan dengan Mahatma Ghandi”ujar beliau.

Penyertaan masyarakat India di dalam Kelab Penyokong PAS adalah juga berkaitan dengan kepimpinan Tuan Guru di Kelantan yang begitu perihatin terhadap pelbagai masyarakat,” katanya._harakahdaily.net