Sahabat Purnama

Rabu, 25 November 2009

Anwar menang saman, NSTP diarah bayar RM 100 ribu

KUALA LUMPUR, 25 Nov: Mahkamah Tinggi hari ini memutuskan News Straits Time Berhad (NSTP) membayar ganti rugi berjumlah RM100 ribu kepada Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Mahkamah turut mengarahkan NSTP membayar RM20 ribu sebagai kos mahkamah.

Keputusan itu diumumkan Hakim Harminder Singh Dhaliwall di Mahkamah Tinggi Jalan Duta petang tadi.

Pada 2003, Anwar memfailkan saman terhadap NSTP dan bekas ketua pengarang kumpulan Tan Sri Abdullah Ahmad, di atas artikel yang bertajuk 'Anwar’s Link To US Lobbyist' yang disiarkan pada 2002.

Anwar menuntut RM100 juta bagi ganti rugi am, ganti rugi teladan, ganti rugi tambahan, faedah, kos dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Artikel itu menyentuh dakwaan hubungan Anwar dengan pelobi Washington DC, hubungan kewa- ngan beliau dan organisasi dikenali Asia Pacific Policy Centre (APPC) dan tuduhan dalam akuan bersumpah oleh bekas Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Abdul Murad Khalid._harakahdaily.net
h

Pemuda PAS Kelantan seru rakyat boikot media fitnah kepimpinan PAS

Yusri Amin   
KOTA BHARU, 25 Nov: Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan (DPPNK) menyeru rakyat Kelantan khasnya dan Malaysia amnya supaya bertindak proaktif secara besar-besaran memboikot media massa arus perdana termasuk Mingguan Malaysia kerana laporannya kian hebat menyerang kepimpinan PAS khususnya di negeri ini.

Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Kelantan Ahmad Baihaki Atiqullah dalam satu kenyataan medianya tengahari ini melahirkan kekesalan yang teramat sangat terhadap sikap media massa arus perdana yang melaporkan berita berunsur khabar angin dan spekulasi.

“Kejadian terbaru berita muka hadapan Mingguan Malaysia 22 November 2009 yang memuatkan berita “Husam Letak Jawatan?”.  Memuatkan berita berunsur provokasi dan murahan dengan hanya memetik dari sumber yang didakwa sebagai (sumber) ‘dalaman’, sedangkan pada hakikatnya isu berkenaan tidak pernah timbul dalam mesyuarat Badan Perhubungan PAS Negeri Kelantan.

“DPPNK merakamkan kekesalan yang teramat sangat terhadap akhbar tersebut, lantaran tindakan media massa berkenaan melanggar etika kewartawanan apabila tidak melaporkan berita yang benar dan mempunyai integriti, bahkan ‘melacurkan’ dunia kewartawanan serta memalukan pengamal kewartawanan umumnya,” katanya.

Ahmad Baihaki yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Maklumat, Sains dan Teknologi Negeri  menyifatkat akhbar berkenaan sebagai melampau dan keterlaluan di dalam mencari publisiti murahan serta bertujuan melariskan jualan akhbarnya.

“Ini bukan kali pertama kepimpinan negeri Kelantan khususnya diserang dengan laporan sedemikian, bahkan sebelum ini Menteri Besar Kelantan Dato’ Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat sendiri difitnah dengan isu ‘Tidak Masuk Syurga’ dan ‘Islam Plastik’ di mana terbukti akhirnya (diakui mereka) sebagai salah lapor dari akhbar.

“Dengan ini DPPNK menyeru supaya boikot besar-besaran terhadap akhbar berkenaan dilakukan.

“Ini sebagai hukuman daripada rakyat dan pengajaran kepada mereka bahawa rakyat Kelantan khususnya dan Malaysia amnya adalah bangsa yang bertamadun dan cerdik dalam membezakan yang mana (story berdasarkan) fakta dan (yang mana pula berdasarkan) khabar angin,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Demit

Selain dari itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Demit menyatakan bahawa DPPNK menyambut baik keputusan Menteri Besar semalam berhubung dengan kontroversi yang melanda Kerajaan Negeri mutakhir ini.

“DPPNK berharap dengan keputusan itu, segala kontroversi dapat dipadamkan dan jentera Kerajaan Negeri dapat ditumpukan bagi menjaga kebajikan rakyat,” katanya._harakahdaily.net

Isu royalti, hinanya pimpinan Umno

Mohd Sufian Ahmad   
Sejak pengumuman Datuk PM kita berkenaan wang ehsan untuk Kelantan, saya telah mengikuti dengan penuh minat dan sabar.

Seronok sebenarnya membaca dan mendengar berita-berita yang di dokong oleh pihak kerajaan pusat dalam televisyen mahupun suratkhabar.

Berita Tuan Guru di kaitkan dengan wang penajaan menunaikan haji di gembar gemburkan hingga Tuan Guru terpaksa membatalkan hasrat tersebut.

Maka dengan lantang Adnan Yaakob, setiausaha UMNO memberitahu kalau dia di beri wang percuma pun dia takkan ambil ?

Benarkah begitu suci hatinya seperti yang di kata ? Atau sudah terlalu kaya dengan wang sejak menjadi orang kenamaan ? Puak-puak ini, mereka bercakap macam burung tiong dan berkokok macam ayam saja.

Sebagai orang yang di pilih rakyat adalah begitu tidak matang menilai sesebuah isu. sepatutnya kaji dulu dan dengar dari sumber yang benar.

Apa yang saya nak bagi pandangan adalah berkenaan wang ehsan yang akan di berikan oleh kerajaan pusat.

Banyak sangat dolak dalih,menafikan hak rakyat kelantan hinggakan Mustapha Mohammad yang saya kagumi pun menjadi pengecut berkenaan isu ini.Awang Adek ? lagilah pengecut.

Sepatutnya sebagai pemimpin yang di pilih rakyat, mendahului kepentingan rakyat walaupun mereka dalam UMNO atau dalam PAS .

Saya percaya jika ada pilihanraya kecil di kelantan nanti, isu royalti minyak akan di canang pada penduduk kampung.

Dan percayalah, penduduk kampung sekarang jauh melangkaui kebijaksaan pemimpin UMNO itu sendiri. cuma mereka tidak berpelajaran tinggi sahaja.

Sekarang isu Kaukus, bila Kuli di pilih mengetuai angkatan ini, dengan pantas Muhyiddin menyindir Kuli untuk memikirkan dengan teliti langkah tersebut.

Mereka lupa, pembabitan isu ini dari wakil rakyat UMNO dan PAS kelantan sepatutnya perlu. Bukan kita nak memihak mana-mana pihak. Ini adalah untuk kepentingan rakyat kelantan.

Inilah kekecewaan rakyat kelantan dalam memilih pemimpin yang sangat pandai mengampu ketua-ketua.

Alangkah hinanya pemimpin ini yang menafikan kepentingan rakyat sendiri semata-mata kepentingan sendiri. Kelakar juga bila mereka sepantas kilat menyokong saranan kerajaan pusat memberikan wang ehsan untuk Kelantan.

Sebaliknya pemimpin pakatan rakyat yang tidak kena mengena dengan Kelantan bangun mempersoalkan hak ini.

Inilah sebenarnya pemimpin di kehendaki rakyat yang berjuang menegakkan kebenaran.

Elok sangat kalau mereka yang mengampu kerajaan pusat membaca pandangan saya ini. Ini hanyalah pandangan daif dari seorang rakyat yang hanya hidup dengan mak ayah menoreh getah di kawasan pendalaman Gua Musang.

Saya rasa cukup terhina bila pemimpin dari negeri Kelantan pun mempersoalkan hak rakyat sendiri. Cuba la Datuk Pa , datuk Annuar Musa, Dato Awang Adek dan lain-lain pemimpin UMNO membuka balik perjanjian petroleum yang di telah dimeterai oleh Tengku Razaliegh dan pemimpin dahulu.

Janganlah berkokok sesudah matahari terbenam. Sebaiknya kalau Tuan Guru mendedahkan surat perjanjian untuk tatapan umum.

Baru kita rakyat yang tidak bersekolah tinggi tahu kedudukan sebenarnya. Boleh membezakan mana yang benar dan batil. Wallahualam. _harakahdaily.net

Selasa, 24 November 2009

Ekoran Banjir Terburuk, Petugas PAS Turun Sepenuhnya

KUALA NERUS – Gelombang kedua banjir yang melanda negeri ini dianggap sebagai banjir yang terburuk sejak beberapa tahun lalu, apabila hampir seluruh daerah di negeri ini dinaikki air akibat hujan lebat yang turun beberapa hari.

Tinjauan Buletinonline ke kawasan Parlimen Marang mendapati kebanyakkan kawasan-kawasan rendah telah ditenggelami air diantara 1 hingga 2 meter. Keadaan yang sama turut melanda Dungun, Hulu Terengganu dan Setiu sebagaimana dilaporkan akhbar tempatan (catatan dibawah)

Seorang penduduk di Kampung Kubu, DUN Pengakalan Berangan yang ditemui berkata, tidak pernah berlaku banjir seumpamanya, sejak beliau tinggal di kampong tersebut 6 tahun lalu.

Keadaan banjir akan menjadi lebuh teruk apabila Jabatan Meteorologi menjangkakan hujan lebat serta angin kencang dengan kelajuan 70 kilometer sejam (kmsj) dijangka berterusan sehingga hari kedua sambutan Aidiladha, Sabtu ini.

Penolong Ketua Pengarah Pusat Kajicuaca Jabatan berkenaan, Amirzudi Hashim, berkata angin ribut tropika ini menyebabkan ombak di laut bergelora ke paras setinggi 3.5 meter.

"Kesan daripada itu, air laut di sekitar pantai juga naik lebih tinggi iaitu sebanyak 0.5 meter berbanding hari biasa iaitu di paras kosong ," katanya semalam.

Sehubungan itu, semua jentera PAS diminta untuk bersedia memberikan khidmat membantu mangsa banjir di kawasan masing-masing.

Ketua Lajnah Kebajikan PAS negeri, Ustaz Abu Bakar Abdullah berkata unit-unit utama seperti Unit Amal dan Skuad Khidmat diharap dapat turun ke barisan hadapan menghadapi bencana tersebut.

Beliau yang juga Yang Dipertua PAS Kuala Nerus berkata beberapa kawasan di sini telah pun dilanda banjir terutama kawasan Taman Pusu Tiga yang dimaklumi sebagai kawasan rendah dan mudah dinaiki air.

Sementara itu, Buletinonline dimaklumkan, Pengarah Unit Amal turut turun padang membantu mangsa-mangsa banjir dikawasan berkenaan.

Banjir Makin Buruk

DUNGUN – Keadaan banjir di daerah ini semakin buruk apabila seramai 1,493 penduduk melibatkan lebih 100 keluarga terpaksa dipindahkan ke lapan pusat pemindahan sementara sehingga lewat petang semalam.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Dahlan Mohd Noor ketika dihubungi di Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Daerah Dungun berkata, sehingga jam 6 petang semalam, sepuluh lokasi pusat pemindahan mangsa banjir telah dibuka.

Beliau berkata, antara pusat berkenaan ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Balai Besar (432 orang), SK Pulau Serai (315 orang), Balai Raya Batu Tiong (23 orang), Dewan Majlis Sukan Negara (314 orang) dan Balai Raya Paka (18 orang).

Turut dipindahkan adalah di Masjid Santong (21 orang), SK Kampung Nyior (55 orang), Dewan Sivik Kampung Limbong (38 orang), Rumah Pegawai Ladang Pinang Mas (79 orang) serta SK Tanjung Pati (313 orang).

“Setakat ini semua paras air sungai utama di Dungun masih berada di bawah paras bahaya kecuali Sungai Dungun di Kuala Jengal yang mencatatkan bacaan 21.70 meter berbanding paras amaran 14.0 meter.

“Semua jalan utama menghubungkan Kuala Terengganu-Kuantan sama ada melalui laluan Jera-ngau-Jabor atau Dungun-Kemaman juga masih boleh dilalui semua kenderaan,” katanya.

Menurut Dahlan, walaupun jalan utama masih boleh dilalui, namun beberapa laluan di kawasan kam-pung sudah ditenggelami air dan terpaksa ditutup untuk semua kenderaan.

Katanya, antara jalan yang terjejas teruk adalah laluan Tok Kah-Jerangau di Kampung Papan apabila air naik sedalam kira-kira satu meter dengan jarak hampir 100 meter.

“Laluan Tepus-Kuala Jengal di Kilometer 9 juga turut ditenggelami air hampir satu meter, jalan lain yang turut terlibat ialah Kampung Talong.

“Akibat air naik di tiga lokasi ini, penduduk antara kedua-dua hala terputus hubungan dan terpaksa mencari alternatif lain untuk ke destinasi masing-masing,” katanya.


Perpindahan Paling Tinggi

BANDAR PERMAISURI – Seramai 1,006 penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Permaisuri dan DUN Langkap terpaksa dipindahkan ke pusat penempatan sementara setelah rumah mereka dinaiki air berikutan hujan lebat sehingga 12 tengah hari, semalam.

Mereka yang terlibat dari DUN Permaisuri ialah penduduk dari Guntong Luar (47), Che Mohit (30), Padang Serai (27), Air Sejuk (9), Surau Pasar Lama Bandar Permaisuri (107), Masjid Lama (61), Kampung Besut (242), Tasek (146), Permaisuri (76), Pandan Jaya (5) dan Saujana (8) dan Taman Hijrah (8).

Turut terjejas ialah mangsa banjir dari DUN Langkap melibatkan kawasan Kampung Langkap (63), Merbau Menyusut (40), Bukit Nenas (10), Kasar (97) dan Desa Jaya (30).

Pegawai Daerah Setiu, Wan Nawawi Wan Ismail berkata, mangsa banjir itu mula dipindahkan sejak malam tadi ke 17 pusat pemindahan sementara berikutan air naik di kawasan rumah masing-masing.

“Mereka yang tinggal di kawasan rendah hanya akan dibenarkan pulang ke rumah jika keadaan mengizinkan dan mangsa banjir perlu tunggu hingga keadaan beransur pulih,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Wan Nawawi berkata, Pejabat Daerah Setiu membuka bilik gerakan banjir dengan dibantu Jabatan Bomba dan Penyelamat, polis, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta agensi berkai-tan mulai kelmarin.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permaisuri, Abdul Halim Jusoh berkata, banjir kali kedua adalah lebih buruk berbanding sebelum ini apabila lebih 700 dipindahkan ke 12 pusat peminda-han sementara sehingga tengah hari semalam.

Beliau turut melawat mangsa banjir di beberapa lokasi termasuk di Guntong Luar dan Surau Pasar Lama Bandar Permaisuri.

Beberapa Kawasan Seolah-olah Lautan

KUALA BERANG - Banjir gelombang kedua mulai melanda negeri ini kelmarin, yang turut menyebabkan beberapa buah kampung khususnya berhampiran Bandar Kuala Berang, di sini dilanda banjir, yang disifatkan sebagai kejadian yang jarang berlaku.

Difahamkan, kejadian banjir seumpama itu pernah berlaku sekitar tahun 2005 lalu sehingga menyebabkan laluan Kuala Berang-Ajil terpaksa ditutup untuk semua jenis kenderaan, selain beberapa buah bangunan sekolah juga hampir ditenggelami air.

Tinjauan Sinar Harian semalam mendapati, kawasan terlibat khususnya di simpang menghala ke Kampung Lenjang bagaikan bertukar menjadi ‘lautan’ apatah lagi beberapa buah sekolah berhampiran, antaranya Sekolah Kebangsaan (SK) Tengku Ampuan Intan, Sekolah Menengah Agama (SMA) Mahmudiah dan Sekolah Imtiaz Kuala Berang turut mengalami nasib sama. _buletinonline

Anual Bakri Haron: Garam dan usia, guru kepada Nik Aziz

Anual Bakri Haron   
Makhluk bernama usia penuh dengan keajaiban. Ia sebuah program perjalanan genetik yang berada dalam khazanah kehidupan. Ia tidak dapat dielakkan. Bagaikan tabii sebuah perahu yang menghilir, ia perlahan mengalir.

Adakala, ia tersangkut awal dan boleh kekal terhenti. Ada masanya, ia boleh terhenti sementara dan mengalir lagi untuk juga berhenti di tengah. Hanya orang yang ditakdirkan panjang usianya saja yang akan terus mengalir, rapat  hingga kehujung. Hujung boleh bermakna 100 tahun misalnya.

Dalam perjalanan merempuh tebing dan melayan selekoh di liku-liku cabaran hidup itulah orang yang berusia mengumpul garam.Garam itulah yang mengasingkan antara orang yang bijaksana dengan yang kurang. Tentu sekali air yang dalam lebih jernih.

Dalam banyak hal, kematangan banyak tertakluk kepada usia. Jika tidak, masakan junjungan besar kita Nabi Muhamad s.a.w. dilantik dalam usia 40 tahun. Jika itulah had minimum bermulanya usia kepimpinan yang sihat maka itulah dalilnya.

Namun, ini tidak bermakna yang pemimpin tidak boleh lahir lebih awal. Namun, jika kita bercakap soal “bench marking” dari isyarat yang digaris oleh langit, maka inilah idealnya. Bermula dari usia itu, Rasulullah s.a.w. menerima wahyu-wahyu suci. Di sana kita dapat saksikan betapa faktor kewarasan memainkan peranan.

Dalam usia awal dewasa yakni antara umur 20-39 tahun atau disebut juga sebagai zaman vicenarian/tricenarian ini, manusia terlalu tinggi digerakkan oleh nafsu ammarah,emosi dan kecintaan untuk memenuhi kegelojohan cita-cita. Dunialah, apa lagi! Tanpa perimbangan dan kawalan agama, tamaknya akan sering melanggar tebing. Ia kerap terbabas.

Jika dia seorang pemimpin parti atau organisasi dan kurang berhati-hati, dia akan banyak merempuh tembok amanah dan melanggar pelbagai disiplin yang barangkali dia sendiri yang rangkakan.

Kadangkala, atas nama ghairah berdakwah, dia terlalu rajin mengingatkan anak buah tetapi dialah orang yang pertama melanggari kata-kata dari kuliahnya. Kemudian, dia lazimnya sibuk dan banyak membakar masa produktifnya untuk mempertahankan kesalahan diri  dari kubu persembunyiannya yang bernama ego. Dalam mabuk kuasa dan populariti itulah, dia memalukan dirinya. Ini akan terbukti dalam jangka panjang.

Manakala, usia pertengahan dewasa antara 40-59 tahun atau disebut sebagai tahap quadragenarian/quinquanarian pula adalah usia pembenihan dan pertumbuhan bakat kepimpinan yang terbaik.

Zaman yang dikenali sebagai renaissance kewarasan ini adalah zaman yang subur dengan gelora sumbangan. Dengan bekal taqwa, ilmu dan keikhlasan, seorang mukmin sejati akan dapat disaksikan kegemilangan akhlaknya yang terpuji sewaktu menangani apa jua isu seputar amanah yang dipikulnya. Dia lazimnya berprestasi tinggi.

Bagaikan kemuliaan seekor penyu, dia akan menelurkan ribuan jasa tanpa diriuhinya akan kehadiran "sayanya." Dia adalah air yang senuh setin. Keakuan dan ketrampilannya dipendamkan serahsia mungkin tetapi di sana orang seakan-akan tahu dia adalah sebutir geliga yang tergilap.

Tanpa  mengocak loceng kehadiran, sentuhannya masih terasa. Tangannya mungkin tidak kelihatan tetapi cakar-cakar amal yang mulia dari sentuhan dan tinggalan jasanya ada di terkesan di mana-mana.

Membelek muka surat profil Tok Guru Nik Aziz, kita boleh menemui catatan-cacatan keajaiban seumpama ini di sana sini. Sejak tahun 1967, sewaktu parti saingan galak menangkap ulama, berbekalkan keyakinan, keimanan dan keberanian, beliau telah mewaqafkan usianya kepada gerakan Islam.

Jika PAS mengasaskan kepimpinan ulama seawal tahun 1982, maka dialah pancang dan tunggulnya. Dan, dia masih unggul, tetap tercegat setia berdiri di situ hingga sampai ke hari ini.

Demikian, sebuah nilai istiqomah. Sewaktu PAS berjalan di dalam pelita; di tengah-tengah hembusan nafas pihak musuh yang sentiasa termuncung-muncung, mahu memadamkan api kebenaran itu, Tok Guru nekad membelah malam. Dia tetap tekun untuk sabar berperahu.

Dalam usia pertengahan dewasa yang di kategorikan oleh pengkaji sebagai usia gemilang itulah, Tok Guru benar-benar menepati perjalanan teori. Akhirnya, dalam usia kira-kira 58 tahun, barulah beliau ditakdirkan oleh Allah menduduki kerusi menteri besar.

Rupanya, dari tahun 1967-1990, selama 23 tahun, Tok Guru Nik Abdul Aziz telah menjalani satu tempoh tarbiyah amali penuh kepayahan memimpin jemaah sebelum beliau di lantik CEO untuk sebuah kerajaan.

Sebelum kecemerlangan beliau terserlah, beliau dijeruk ke dalam tempayan ujian yang cukup menguji terlebih dahulu. Beliau dihujani dengan lembing fitnah dan ungkit umpatan. Beliau berembun di pelana pagi, setiap kembali dari kuliah di jauh malam.

Beliau cuma bermula dengan sebuah motor Honda Cub dan bukan dengan kenderaan 4WD. Inilah yang dikatakan sebagai proses perjalanan usia. Kewarasan kepemimpinannya tidak datang percuma. Tidakkah hikmah itu barang yang hilang.

Lazimnya, apa yang hilang perlu di cari?

Sesungguhnya, di sana ada sebuah madrasah yang bernama "the making of Nik Abdul Aziz."

Jika orang mahu naik dengan sekedar bersandar dibahunya atau berkonspirasi untuk menjatuhkannya, maka percayalah. Orang atau orang-orang itu tidak akan kekal lama justeru ia menyalahi segala hukum dan protokol pembikinan biasa kelahiran seorang pemimpin. Kata pepatah Inggeris, "Usually a true leader is not born. It is made."

Jika kita semak kisah Nabi Allah Yusuf Alaihissalam misalnya, kita akan cepat menangkap keunikan Yusuf yang didewasakan melalui pelbagai ujian. Usialah yang menjadi latar tempat dan masa  bagi tumbuhnya benih kepimpinan. Sekurang-kurangnya, Nabi Yusuf a.s. telah diuji dalam sembilan keadaan iaitu:

a) Menjadi sasaran kebencian saudara-saudaranya.
b) Berpisah dengan keluarga.
c) Dibuang ke sumur dalam usia 12 tahun.
d) Dijual dan menjadi hamba sahaya.
e) Digoda dan dirayu wanita.
f) Dituduh memperkosai isteri perdana menteri.
g) Dipenjara selama 9 tahun.
h) Mendapat kekayaan dan kenikmatan yang melimpah.
i) Memaafkan saudara-saudaranya.

Menyemak sejarah Mahatma Gandhi, kita boleh temui proses kematangan yang dilalui beliau melalui lorong usia yang hampir sama. Mari kita amati fakta-fakta ini.
a) Dalam usia 13 tahun, beliau dipaksa berkahwin dengan seorang perempuan bernama Kasturba.
b) Dalam usia 19 tahun beliau meninggalkan tanah air bagi menyempurnakan ijazah Undang-Undang.
c) Beliau berjanji pada ibunya untuk tidak minum arak, berzina, dan tetap menjadi Vegetarian sepanjang menimba ilmu di London.
d) Pada tahun 1891, beliau kembali ke tanah air dan memulakan langkah permulaan kerjayanya di Bombay dan Rajkot.
e) Pada tahun 1893, beliau telah berhijrah ke Selatan Afrika untuk menegakkan keadilan di sana. Beliau menetap di sana selama 12 tahun dan menubuhkan satu parti Natal India Congress untuk memulihkan kehidupan rakyat India di sana mengikut hak-hak keadilan dan tanpa pencabulan hak asasi manusia.
f) Pada 1914, beliau kembali ke tanah air, dan menubuhkan Satyagraha Ashram berhampiran Ahmedabad. Dipengerusikan oleh G.K. Gokhale dan Lokmanya Tilak, beliau telah menjelajah ke seluruh pelusuk negara untuk mendengar ceramah-ceramah yang disampaikan oleh golongan professional. Selepas itu, beliau mulalah menjejakkan kaki dalam kancah politik.
g) Beliau memperkenalkan tiga gerakan dengan satu matlamat untuk bebas daripada peraturan dan undang-undang British. Yang pertama ialah Non-Cooperation Movements, objektif penubuhannya adalah untuk mengembalikan keamanan di tempat itu melalui pemboikotan barangan-barangan yang diimport, mahkamah British dan sekolah-sekolah di bawah pentadbiran British, dan menggalakkan penggunaan barangan tempatan.

h) Yang kedua, ialah dengan menggerakkan Civil Disobedience Movement yang telah ditubuhkan pada 6 April 1930. Sebagai permulaannya Gandi March atau Satyagraha telah digunakan untuk menentang Undang-Undang Garam British; dan beliau mengarahkan pengikutnya untuk menghasilkan garam sendiri.
i) Yang ketiga, beliau telah menubuhkan Quit India Movement pada tahun 1942, dengan mendesak pihak British berundur dari negara itu. Selepas pihak British berundur, India telah mencapai kemerdekaan pada 15 Ogos 1947.

j) Pada 30 Januari 1948, beliau berakhir di muncung senapang seorang communalist. Merumuskan kepimpinan Gandhi, Pandit Jawaharlal Nehru sempat berkata begini: "The light has gone out of our lives and there is darkness everywhere."

Kembali kepada kisah Tuan Guru Nik Abdul Aziz, beliau kini dicadangkan oleh Zaid Ibrahim, pengerusi penaja Pakatan Rakyat Malaysia (PRM) untuk mempengerusikan PRM bagi mencontohi sifat kepemimpinan Gandhi.

Zaid melihat kualiti yang ada pada Tok Guru melangkaui sempadan usia, batas agama, dan tembok kaum.

Sejurus setelah Zaid membuat cadangan banci sokongan yang dibuat oleh NTV7 pada malamnya benar-benar mengesahkan kredibiliti Tok Guru Nik Abdul Aziz. Tok Guru memborong 44 peratus sokongan sementara Anwar mendapat 43 peratus.

Pendek kata, walaupun Tok Guru Nik Aziz sedang dikepung oleh isu di sekitar tajaan untuk mengerjakan haji, dan hingusan isu yang keluar dari bersin menantunya di PMBK, beliau tetap sabar bersahaja.

Terkini pula, ada tanda-tanda kerusi pesuruhjaya negeri beliau mahu digugat oleh seorang pemilik blog (mungkin atas suruhan) tetapi beliau masih tetap selamba kerana duri di hutan tidak siapa pun pernah menajamnya.

Melalui proses usia dan pengalaman yang panjang Tok Guru Nik Aziz yang kini berusia 78 tahun, sudah masak dengan sepak terajang. Sungguhpun beliau boleh dilihat perlahan kerana sedang berada dalam zaman septuagenarian yakni antara usia 70-79 tahun tetapi beliau masih dilihat utuh.

Mari kita tumpang keutuhan beliau bersaksikan kata-kata ini:

"Saya telah tua sekarang ini, dan hanya boleh membaca kepala angin samada ribut atau hujan akan turun berdasarkan pengalaman saya. Saya boleh baca contohnya jika air berombak, saya akan menyatakan mungkin ada tunggul di bawahnya. Tapi jika saya hendak mengangkat sauh sendiri sekarang ini saya sudah tidak berdaya melakukannya. Begitu juga hendak mengangkat dayung atau turun mencampakkan sauh pun saya tidak mampu. Orang lainlah yang perlu melakukannya. Jadi, saya hanya boleh baca kepala angin. Ini kerana terdapat angin yang bawa ribut atau hujan berdasarkan pengalaman saya yang ada."

Sebetulnya, proses usia adalah proses perjalanan kematangan. Jauhi dari tabiat tidak sabar. Usah dipaksa kematangan itu datang dengan menjolok durian yang lambat gugur. Laluilah denai pengalaman melalui urutan proses kematangan yang normal sebelum duduk di kerusi kemudi.

Biar ia berlaku secara natural. Jika tidak, usah disalahkan orang apabila orang menamakan kita sebagai budak awang yang belum mumayyiz. Jangan karier kita berakhir, mati muda dalam malu, terhingguk-hingguk di kerusi malas.

Penulis adalah setiausaha politik Menteri Besar Kelantan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
 _harakahdaily.net.

Isnin, 23 November 2009

Kelab Penyokong Pas Pahang sasar 8,000 ahli

KUANTAN – Kelab Penyokong Pas (KPP) Pahang menyasarkan bilangan ahli seramai 8,000 orang menjelang tahun depan, terutama sebelum Muktamar Pas berlangsung.

Setiausaha KPP Pahang, B Balendran berkata, setakat kini jumlah ahli kelab itu adalah kira-kira 4,800 orang dan dijangka bertambah apabila KPP Bahagian ditubuhkan di seluruh negeri.

Menurutnya, buat masa ini hanya KPP Cawangan sahaja ditubuhkan dan penyertaan orang ramai, terutama masyarakat India amat memberangsangkan.

“Kita yakin sebelum Muktamar Pas yang berlangsung tahun depan, sasaran kita untuk mencapai 8,000 ahli akan terlaksana kerana Pas semakin diterima baik masyarakat India di negeri ini,” katanya ketika dihubungi kelmarin.

Beliau berkata, Pengerusi KPP Pahang N Balasubramaniam kini sedang merangka strategi untuk ke setiap daerah bagi memberi penerangan mengenai peranan KPP dan perjuangan Pas.

Menurutnya, sebagai sayap baru Pas, KPP mempunyai tanggungjawab yang cukup besar bagi membuktikan kepada masyarakat umum bagaimana orang bukan Islam boleh diterima baik dalam sebuah parti yang memperjuangkan Islam.

“Kita yakin apa yang dilakukan kini adalah semata-mata untuk menyedarkan orang ramai bahawa segala tanggapan negatif terhadap Pas tidak benar sama sekali, terutama mengenai kedudukan orang bukan Islam dalam pemerintahan Islam,” katanya.

Katanya, beliau yakin dengan penerangan secara berterusan yang dilaksanakan Jawatankuasa KPP Pahang, mereka mampu menarik lebih ramai ahli lagi ke dalam kelab itu._sinarharian

Kecoh label ‘noda dan dosa’

ALOR SETAR - Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah semalam kecoh apabila beberapa wakil Barisan Nasional (BN) bangun mencelah dan menyatakan tidak puas hati terhadap kenyataan Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat, Siti Ashah Ghazali ketika sesi penggulungan.

ADUN Merbau Pulas itu mendakwa kumpulan penyalur bantuan banjir Kerajaan Negeri pimpinan Pas dihalau keluar dari pusat penempatan mangsa banjir di sebuah sekolah di kawasan DUN Anak Bukit, baru-baru ini.

“Kami datang membawa selimut, telekung dan makanan untuk diberi kepada mangsa banjir tetapi dihalau keluar dari kawasan sekolah itu yang merupakan pusat penempatan banjir,” katanya.

Sejurus dakwaan itu, Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah (BN-Bakar Bata) bangun mencelah meminta Siti Ashah mengemukakan bukti dengan memberi perincian kejadian.

Cadangan itu disokong Tajudin Abdullah (BN-Belantik), dan mendapat reaksi yang sama daripada Datuk Ir Nawawi Ahmad (BN-Kuah), Mohd Rawi Abdul Hamid (BN-Ayer Hangat) dan Azmi Che Hussein (BN-Bayu).

Serangan mulut yang bertubi-tubi membuatkan Sti Ashah tidak dapat meneruskan penggulungan buat seketika, sebelum diredakan dengan campur tangan Speaker, Datuk Dr Abdul Isa Ismail.

Dalam pada itu, kekecohan tercetus lagi apabila Datuk Dr Ku Abdul Rahman Ku Ismail (BN-Guar Chempedak) meminta Exco Belia dan Sukan, Kesenian, Warisan dan Kebudayaan, dan Penerangan, Dr Hamdan Mohamed Khalib menarik balik perkataan ‘noda dan dosa’ yang dilemparkan kepada pembangkang yang menerajui Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) sebelum ini, pada sesi penggulungan.

Dr Ku Abdul Rahman menyifatkan kenyataan itu terlalu keras dan meminta Dr Hamdan menjelaskan apa maksud perkataan itu.

“Tolong tarik balik tuduhan itu, apa sebenarnya maksud noda dan dosa itu,” katanya.

Dr Hamdan sebelum itu menuduh kepimpinan KFA yang terdahulu sebagai penuh ‘noda dan dosa’ kerana meninggalkan hutang lebih RM4.79 juta.

Membalas tuntutan Azmi, beliau menjelaskan apa yang dimaksudkan ialah bebanan hutang tertunggak KFA dengan menunjukkan beberapa helaian penyata kewangan KFA ketika pentadbiran BN sebelum ini.

“Kerajaan Negeri telah ambil inisiatif menjelaskan sebahagian hutang tertunggak itu yang melebihi RM4 juta, walaupun hutang itu bukannya daripada Kerajaan Negeri yang baru memerintah,” katanya.

Dewan turut diberitahu mengenai perancangan bagi memantapkan pasukan bola sepak Kedah termasuk pengurusan dan pentadbiran KFA.

“Antara langkah diambil untuk mantapkan semula pasukan bola sepak Kedah ialah melantik jurulatih baru, Ahmad Yusof untuk digandingkan dengan penolong jurulatih, Mohd Radhi Mat Din,” katanya.

Selain menjaga kebajikan pemain dengan memperuntukkan hampir RM300,000 untuk pengurusan pemain, program Kenari Kid akan diteruskan kerana berjaya mencungkil bakat pemain cilik.

Dr Hamdan turut membidas pembangkang supaya tidak mencampur adukkan politik dengan sukan, sekiranya mahu melihat pembangunan sukan di negeri ini terus berkembang._sinarharian

Jawi kenal pasti kawasan panas hotel satu jam

KUALA LUMPUR - Selepas tinjauan dan penyamaran di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur terhadap perkhidmatan hotel satu jam mendapati pelanggan tetap mereka adalah dari kalangan remaja belasan tahun sehinggalah orang dewasa untuk melepaskan nafsu, Sinar Harian kemudian menghubungi Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) bagi meminta pandangan berhubung isu berkenaan.

Pengarah Jawi, Datuk Che Mat Che Ali berkata, Jawi sering membuat operasi berterusan terutama di rumah kediaman dan di kawasan hotel-hotel yang dikenal pasti pada setiap malam berdasarkan maklumat orang ramai.

“Di Kuala Lumpur sahaja terdapat banyak hotel panas yang menyediakan perkhidmatan satu jam ini, antaranya di Setiawangsa dan Maluri.

“Majoriti remaja dan orang dewasa sering menjadikan tempat ini sebagai destinasi melepaskan nafsu berikutan harga sewa yang murah sehingga mencecah RM20 bagi satu jam,” katanya.

Katanya, Jawi akan terus menjalankan operasi berterusan bagi menguatkuasakan undang-undang bagi mengurangkan gejala-gejala tidak bermoral di kalangan remaja masa kini.

Bagaimanapun, berdasarkan maklumat yang diberi orang awam, Jawi sering berhadapan dengan masalah ketika berurusan dengan pihak pengurusan hotel terutamanya hotel bertaraf lima bintang berikutan maklumat tidak tepat menyebabkan kegagalan membuat tangkapan.

Namun begitu, bagi hotel-hotel seperti rumah tumpangan dan hotel bajet tidak menjadi masalah kerana mereka sering memberi kerjasama penuh.

Che Ali berkata, pasangan yang ditangkap akan ditahan dibawa Seksyen 27 Enakmen kesalahan Jenayah Syariah 1997 dan sekiranya disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjarakan selama dalam tempoh tidak lebih daripada dua tahun atau kedua-duanya sekali.

- Dapatkan berita penuh dalam ruangan "BONGKAR" di Sinar Harian hari ini._sinarharian

Nik Aziz setuju nasihat Ariffahmi letak jawatan

Salmah Mat Hussin   
KOTA BHARU, 23 Nov: Menteri Besar Kelantan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz bersetuju untuk menasihati Ir. Abdul Ariffahmi Ab. Rahman melepaskan jawatannya sebagai Ketua Pegawai Ekselutif (CEO) Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK).

Persetujuan itu diumum Nik Aziz pada satu sidang media selepas pertemuan dengan pimpinan PAS di kediaman Menteri Besar, JKR 10 pagi ini.

Pertemuan tersebut disertai Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Timbalan Mursyidul Am, Datuk Haron Din, Naib Presiden Salahudin Ayub dan Bendahari Dr. Hatta Ramli.

Mereka telah mengemukakan cadangan kepada Nik Aziz agar menasihatkan Ariffahmi melepaskan jawatan.

Menurut Nik Aziz, keputusan itu dibuat bagi menjaga nama baik pimpinan islam khasnya pas sendiri sekaligus menyelesaikan kemelut politik yang sedang berlaku di negeri itu.

"Semua (yang hadir) menasihati saya supaya menjaga nama baik pimpinan Islam khasnya PAS sendiri untuk menasihat menantu saya supaya mengundur diri dari Perbadanan Menteri Besar (PKMB),"

"Fitnah yang dilempar blogger , surat-surat layang, saya pun terima banyak, untuk jaga nama baik pimpinan Islam, maka saya dengan segala senang hati untuk jaga (elak) fitnah," katanya.

Beliau dalam pada itu memberitahu akan meminta Ariffahmi yang juga menantunya berbuat demikian.

Bagaimanapun, terserah kepada Ariffahmi bila dia mahu meletakkan jawatan tersebut.

"Tarikh tu terserah kepada dia," katanya lagi.

Nasihat peletakan jawatan itu juga tegasnya adalah disebabkan oleh fitnah dan kecaman yang terlalu banyak diterima Ariffahmi.

"Masalah sekarang ini menantu saya tu terlalu banyak kecaman dilempar kepadanya oleh orang yang tak bertanggungjawab,"

Dalam pada itu, Ariffahmi yang turut hadir pada sidang media tersebut menerima keputusan tersebut dengan hati yang terbuka memandangkan ianya dilakukan untuk menjaga nama baik banyak pihak.

"Saya dapat terima keputusan  dengan hati yang lapang, dan sedar keputusan dibuat untuk jaga nama baik kepimpinan dan jaga nama baik PAS, dan juga nama baik kerajan negeri Kelantan," katanya.

Beliau turut berterima kasih kepada Nik Aziz yang memberikan kepercayaan penuh kepada kepadanya sepanjang berada di PMBK.

"Saya juga berterima kasih kepada tuan guru kerana beri kepercayaan kepada saya untuk berada di PMBK selama 8 tahun, dan jawatan terakhir saya sebagai CEO semenjak Syawal, dan saya amat hargai kepercayaannya," katanya.
____
Transkrip penuh sidang media Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz
Bismillahirrahmanirrahim

Hari ini saya sudah didatangani oleh pemimpin pusat yang mengandungi Presiden Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Timbalan Mursyidul Am,  Datuk Dr. Harun Din, dan juga wakil parlimen daripada Kubang Kerian dan Kuala Krai.

Semuanya menasihati saya supaya menjaga nama baik pimpinan Islam khasnya PAS sendiri untuk menasihati menantu saya supaya mengundur diri dari Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK).

Sewaktu saya lantik dulu saya lantik dia dalam mesyuarat penuh, dalam mesyuarat itu ada LA, ada penasihat undang-undang, dan beliau tak ada komen apa, tapi oleh kerana fitnah melalui macam-macam surat layang dan sebagainya, maka saya dinasihati supaya elak diri dari fitnah ini berkembang. Itu sahajalah.

Jadi menantu tok guru sekarang ini akan letak jawatan?
Ya

Bila nak letak tu?
Tarikh itu terserah kepada dia.

Tapi tadi tok guru kata apa yang brelaku fitnah dan bukan kebenaran, jadi kenapa pula disuruh letak jawatan?
Saya lantik menantu saya ini, saya sebut dia menantu, tapi fitnah yang dilempar blogger , surat-surat layang, saya pun terima banyak, untuk jaga nama baik pimpinan Islam, maka saya dengan segala senang hati untuk jaga  (elak) fitnah.

Nabi kita pernah sebut kerpada Siti Aisyah, bahawa nabi bercadang nak roboh kaabah yang ada sekarang, nak bina balik supaya sama dengan kaabah zaman nabi Ibrahim, tapi tak jadi nak buat bimbang takut orang Arab yang baru masuk Islam, bawa fitnah dan sebagainya,

Orang lain, blogger nak tuduh itu dia punya pasal la, dia tanggung dosa menyusahkan orang.

Adakah tok guru lepas ini akan rombak juga pengurusan PMBK?
Itu masalah kedua.Masalah sekarang ini menantu saya itu terlalu banyak kecaman dilempar kepadanya oleh orang yang tak bertanggungjawab.

Jadi ini tak ada kena mengena dengan siasatan SPRM?

Siasatan SPRM tu siasatlah. Itu kerja dia. Tapi fitnah itu yang jadi (punca suruh letak jawatan). Nabi kata fitnah ini benda tidur,sesiapa yang gerak dia akan dilaknat Allah, itu pemfitnah punya fasal. tapi (letak jawatan) ini nak jaga kepimpinan parti Islam Semalaysia.

Yang mana satu tuduhan, tulisan itu fitnah?
Terlalu banyak, saya pun terima terlalu banyak surat layang, surat layang tak ada tandatangan, zaman sekarang orang baca dalam internet seluruh dunia.

Masa pelantikan (Arif) tok guru dapat pandangan dari semua pihak ya?
Saya sudah sebut dalam mesyuarat,dan mesyuarat senyap, termasuk YB LA sendiri.

Adakah dalam keadaan sekarang pimpinan PAS Kelantan tak beri sokongan pada tok guru, sebab tak ada pun yang beri kenyataan , bahawa sudah dibincang dalam mesyuarat, bahawa pelantikan (Arif) sudah dapat restu semua pimpinan?
Itu tak payah. Saya tak perlu kenyataan (sokongan) terbuka begitu. Tapi oleh kerana fitnah yang dibuat oleh blogger semua sekali yang semua orang boleh baca.Dan nama baik kepimpinan Islam akan menjadi cacat. (setakat itu sahajalah)


Transkrip penuh sidang media Abdul Ariffahmi

Macam mana pendirian saudara Arif? (gambar)
Pertama sekali saya ingin nyatakan saya dapat terima keputusan dengan hati yang lapang, dan sedar keputusan dibuat untuk hjaga nama baik kepimpinan dan jaga nama baik Parti Islam Semalaysia, dan juga nama baik kerajaan negeri Kelantan.

Saya juga berterima kasih kepada tuan guru kerana beri kepercayaan kepada saya untuk berada di PMBK selama 8 tahun, dan jawatan terakhir saya sebagai CEO semenjak Syawal, dan saya amat hargai kepercayaannya.

Saya juga pohon sokongan dan dokongan dari semua pimpinan PAS samaada di negeri kelantan, atau di pihak PAS pusat untuk sama-sama berusaha hapuskan tuduhan-tuduhan yang saya sifatkan sebagai fitnah dalam blog tertentu dan saya yakin saya tidak bersalah.

Penerimaan keputusan ini atas sifat jaga jemaah Pas sendiri, dan jaga kerajaan negeri dan jaga nama baik tok guru.

Bila saudara akan lepas jawatan?
Saya akan tengok rekod cuti saya, berapa hari ada, lepas itu saya akan kira, saya akan buat keputusan bila tarikh yang sesuai untuk saya lepaskan jawatan.

Dalam hal ini adakah saudara dinasihat lepas jawatan atau saudara tawar diri untuk lepas jawatan?
Saya hanya menerima arahan, saya seperti biasa saya sentiasa patuh kepada pimpinan, terutama arahan ini, gesaan ini keluar dari mulut tok guru sendiri. Saya sentiasa setia dan patuh pada dia, dan saya terima dengan hati terbuka.

Kenapa saudara tak letak serta merta, bukankah itu lebih baik?
Sebelum ini saya ada merujuk kepada dia, atas desakan yang dibuat ke atas saya, tapi pada masa itu dia minta saya tidak letak jawatan, dan atas asas itu saya teruskan tugas saya sebagai CEO kerana itu arahan dari beliau sendiri untuk teruskan.

Tadi saudara sebut semua fitnah yang dilempar ke atas saudara dalam PMBK dan sebelum ini adalah fitnah, kalau itu fitnah adakah akan ambil sebarang tindakan undang-undang?
Sebenranya beberapa orang peguam sedang kaji semua tuduhan dan saya sedang teliti dan akan dengar nasihat para peguam dan lihat secara teliti, dan pada masa sesuai nanti kita akan lakukan apa yang patut.

Saya nak ulang lagi, apa yang dtulis dalam blog tertentu sebelum ini yang menyatakan saya telah diminta meletak jawatan dan rentetan itu arahan telah dikeluarkan, saya tak terima arahan itu, dan saya telah pergi ke KL merajuk, itu tak betul, saya hanya terima arahan pada hari ini sahaja, dan saya boleh terima keputusan ini dengan dada yang lapang dan insya ALLAH saya akan sentiasa setia, dan sentiasa hormati tok guru sebagai bapa mertua saya dan pemimpin kita semua.

Apa rancangan masa depan?
Itu belum pikir lagi, mungkin berniaga._harakahdaily.net


Polis tarik balik permit ceramah Anwar kerana bantahan Pemuda Umno

KULAI,23 Nov: Ceramah Datuk Seri Anwar Ibrahim di Kulai malam tadi terpaksa dibatalkan selepas hanya 10 minit berucap berikutan tindakan polis menarik balik permit di saat akhir.

Punca permit ditarik adalah kerana bantahan dari kira-kira 30 pemuda Umno, kata Anwar dalam satu kenyataannya.

Hanya Tian Chua dan Dr Boo Cheng Hau sempat berceramah dalam majlis itu.

"Alasan yang diberikan OCPD ternyata tidak masuk akal. Apakah selepas ini jika rakyat beramai-ramai membantah sebarang majlis anjuran Umno maka ianya akan dibatalkan?" kata beliau dalam kenyataannya.

Bagi beliau, adalah tidak wajar polis mengikut telunjuk Umno dan akur kepada sebilangan ahli yang bersikap biadap.

Anwar sepatutnya memberikan ceramah bersama Datuk Chua Jui Meng malam tadi namun terpaksa menghentikan program itu di pertengahan majlis.

"Saya hanya berkesempatan menyampaikan amanat untuk sekitar 10 minit kepada hadirin sebelum mereka bersurai," katanya._harakahdaily.net

Jangan gantung kes Perak secara tidak bertali

IPOH, 23 Nov: PAS Perak mendesak supaya kes semakan keputusan SPR yang difailkan oleh Speaker Dun Perak, V Sivakumar yang digantung tidak bertali dan masih belum dibicarakan mestilah diputuskan segera.
Ketua Penerangan PAS Perak, Drs Khalil Idham Lim berkata, keputusan penghakiman kes Kota Seputeh oleh Mahkamah Tinggi perlu disemak oleh SPR yang sebelum ini menolak keputusan Speaker Dun perak.

Bagi beliau, SPR mestilah menyemak kembali keputusan silapnya dalam kes tiga Adun Perak itu dan memaklumkan kekosongan tiga kerusi tersebut secepat mungkin.

Bagi beliau, kes Kota Siputeh sama dengan kes tiga DUN di Perak itu dan SPR kena tarik keputusannya di Perak sebelum ini.

Khalil mengulas keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Putrajaya yang menolak permohonan SPR untuk menangguhkan pelaksanaan keputusannya sebelum ini yang memerintahkan agar pilihan raya kecil diadakan dalam masa 60 hari di Kota Seputeh.


"Sekarang nampak sungguh SPR sudah tersasar dari tugas sebenarnya dan betul-betul jadi barua Umno dan BN dengan berkerja kuat untuk mengelakkan berlaku kekosongan kerusi tersebut," kata Khali, Adun Titi Serong itu.


Khalil mempersoalkan, bukankah SPR kerjanya tidak lebih dari menguruskan soal berkaitan pilihanraya. Atau sejak bila SPR sudah jadi satu entiti yang boleh mempertikaikan apa saja surat dan dokumen termasuklah kesahan dari segi undang-undang yang tidak selayaknya dipertikaikan oleh badan itu," katanya.

Bgai beliau, SPR kerjanya hanyalah mengurus soal pilihanraya. Sesudah menerima apa-apa makluman dari mana-mana Speaker SPR hendaklah bermesyuarat.

"Biasanya bila kita mendengar SPR ingin bermesyuarat semuanya rasa berdebar dan menunggu-nunggu apakah SPR menerima surat atau dokumen sebagai bukti kerusi itu dikosongkan.

"Ini adalah sudah salah dari pandangan yang sebenarnya kepada apa yang sepatutunya dimesyuarat," katanya.

Yang lebih malang lagi, katanya, ternyata SPR sudah jadi barua dan diperkudakan dalam banyak hal termasuklah apa yang berlaku di Perak.

"Dengan tidak profesionalnya SPR kemelut di Perak telah jadi "gila khinzir' sekarang. Tidakkah seperti yang disebutkan oleh hakim pada hari ini sangat jelas bahawa SPR bertindak tidak wajar dalam Kes Kota Siputeh. Bagi saya termasuklah di Perak," katanya.

Hakim menegaskan bahawa SPR bertindak secara tidak wajar dan keputusan suruhanjaya itu bahawa Abu Hassan masih merupakan wakil rakyat bagi Kota Siputeh dan kerusi DUN itu tidak kosong, perlu dibatalkan, katanya.

Kata Hakim lagi pada hari ini, "Meskipun saya bersetuju bahawa SPR mempunyai kuasa untuk menentukan kekosongan berlaku secara kebetulan, namun saya tidak berpendapat SPR dapat mengatasi kuasa Speaker mengikut Perkara 51 Undang-undang Tubuh Negeri Kedah," katanya dalam penghakimannya.

"Ertinya kalau perkara ini di rujuk kepada kes Jelapang, Behrang, dan Changkat Jering jelas makluman Speaker Sivakumar mengenai perletakan jawatan, Hee, Osman, dan Jamaluddin mesti diterima oleh SPR sebagai makulmat dan SPR cuma bermesyuarat untuk menentukan bila tarikh penamaan calon, hari mengundi dan berbincang berbagi hal yang berkaitan dengan pengundian bagi 3 DUN tersebut," katanya.

Penghakiman pada hari ini juga baginya memberi jawapan bahawa SPR tidak ada hak untuk menafikan makluman Sivakumar di Perak dan satu laluan kepada pilihanraya di 3 DUN di Perak tersebut mesti disegerakan. _harakahdaily.net

Ganti Speaker: Dr Abdul Isa bukan sembrono

BASHIR ISHAK dan MOHD SHUBIHI MUHAMAD ZAIN   
ALOR SETAR, 23 Nov - Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah baru-baru ini dikejutkan dengan teguran daripada dua orang Adun Pembangkang yang mempersoalkan kewajaran Speaker DUN, Datuk Dr Abdul Isa Ismail membenarkan Yahya Abdullah (PAS-Jeneri) menggantikan tempatnya sementara beliau keluar menunaikan solat Asar.

Datuk Seri Mahdzir Khalid (BN-Pedu) dan Datuk Paduka Ahmad Bashah Md Hanipah (BN-Bakar Bata) bangun mempersoalkan perkara tersebut ketika Menteri Besar, Datuk Seri Ustaz Azizan Abdul Razak (PAS-Sala) sedang berucap menggulung perbahasan.

Semasa insiden tersebut berlaku, Timbalan Speaker, Ustaz Abdul Ghani Ahmad (PAS-Ayer Hitam) belum sampai ke dewan kerana mengalami kerosakan kenderaan dalam perjalanan pulang dari Pantai Timur.

Ustaz Azizan yang sedang berucap tergamam seketika menghadapi situasi ini dan memohon pandangan dari Penasihat Undang-undang Negeri.

Bagimanapun keadaan reda apabila Mohd Nasir Mustafa (PAS-Kubang Rotan) bangun memberikan penjelasan.

Menurutnya, perkara tersebut dibenarkan sepertimana yang termaktub dalam buku undang-undang perjalanan dewan.

"Perkara 3 dalam mukasurat 5 menyatakan Speaker boleh membenarkan mana-mana ahli dewan untuk menggantikan tempat beliau sementara," jelas beliau.

Mohd Nasir yang dihubungi kemudian menjelaskan bahawa Dr Abdul Isa selaku Spekaer merupakan seorang yang teliti dalam membuat sesuatu tindakan.

"Beliau bukanlah seorang yang semberono apabila bertindak. Apa yang dibuatnya teliti mengikut peraturan yang ada. Ini sekaligus menidakkan dakwaan sesetengah bahawa dia bertindak zalim khususnya dalam membuat keputusan berkaitan kerusi Dun Kota Siputeh," katanya -harakahdaily.net

Nasharuddin dikejar ke IJN

Timbalan presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa dikejar dengan ambulans ke Institut Jantung Negara (IJN) selepas mengadukan sakit dada.

Nasharuddin yang menghadiri sidang Parlimen pagi ini, sebelum ini dibawa ke klinik di situ.

Bagaimanapun, selepas melalui ujian electrocardiaogram (ECG), doktor tidak dapat mengenal pasti punca sakit dadanya.

Nasharuddin yang juga ahli parlimen Bachok, kemudiannya dirujuk ke IJN.

[Berita lanjut menyusul]

SPR gagal tangguh perintah kosongkan Kota Siputeh

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) gagal mendapat perintah untuk menangguhkan keputusan mengisytiharkan kerusi DUN Kota Siputeh di Kedah sebagai kosong.

Mahkamah Tinggi (Rayuan dan Kuasa-kuasa Khas) hari ini menolak permohonan SPR bagi mendapatkan perintah penangguhan itu tetapi suruhanjaya itu telah merujuk perkara berkenaan kepada Mahkamah Rayuan dengan mengemukakan satu lagi permohonan untuk perintah penangguhan.

Jika ia tidak mendapat perintah itu, SPR perlu mengeluarkan writ menjelang Rabu ini bagi mengadakan satu pilihan raya kecil di situ.

Hakim Alizatul Khair Osman Khairuddin berkata beliau bersetuju dengan Sulaiman Abdullah, peguam utama bagi Speaker DUN Kedah, Datuk Dr Abdul Isa Ismail, bahawa SPR gagal meyakinkan mahkamah berhubung isu keadaan luar biasa bagi mewajarkan permohonan itu dibenarkan.

Katanya, alasan mengenai implikasi kewangan yang dinyatakan oleh peguam kanan persekutuan Datuk Kamaruddin Md Said, yang mewakili SPR, tidak boleh ditakrif sebagai satu keadaan luar biasa.

"Mengikut undang-undang, menguruskan pilihan raya merupakan tanggungjawab biasa SPR dan suruhanjaya ini tidak merujuk mana-mana undang-undang kes untuk menyokong hujahnya," kata Alizatul.

Pada 17 Nov lepas, SPR mengemukakan permohonan itu setelah Alizatul membuat keputusan sehari sebelumnya bahawa kerusi berkenaan kosong kerana mendapati penyandangnya Datuk Abu Hassan Sharif daripada BN gagal menghadiri dua mesyuarat dewan itu berturut-turut tanpa mendapat cuti.

Mahkamah membuat keputusan itu ekoran tindakan Speaker DUN memfailkan semakan perundangan setelah SPR menerima sijil sakit Abu Hassan dan mengisytiharkan tidak berlaku kekosongan dan beliau masih mewakili kerusi itu.

Dalam penghakimannya hari ini, Alizatul berkata tanpa unsur keadaan luar biasa, mahkamah tidak dapat membenarkan permohonan penangguhan pelaksanaan keputusan itu.

Abu Hassan turut hadir pada prosiding hari ini. _BERNAMA _malaysiakini bm

MAINPP: Siti Hasnah seorang Islam

Surirumah S Banggarma atau nama Islamnya Siti Hasnah Vangarama Abdullah yang mendakwa status agamanya ditukar ketika kecil, adalah seorang Islam, kata Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Datuk Shabudin Yahaya.

Shabudin diminta mengulas kenyataan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) hari ini yang siasatannya mendapati Banggarma telah diislamkan bapanya sendiri sebelum dimasukkan ke Rumah Kanak-kanak Taman Bakti, Kepala Batas 20 tahun lalu.

Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, Shabudin berkata, kesimpulan siasatan JKM hari ini telah memudahkan dan memperjelaskan lagi kedudukan agama wanita itu.

Katanya, dokumen pengislaman Siti Hasnah (foto) - yang turut berada dalam simpanan MAINPP - menguatkan lagi hujah bahawa surirumah itu adalah seorang Islam.

"Soal dia mengamalkan ajaran Islam atau tidak, itu bukan isu. (Ukuran) Islam itu pada syahadahnya. Yang Islam pun kita tengok ramai yang tidak mengamalkan ajaran Islam," kata Shabudin yang juga ADUN Permatang Berangan.

Ditanya berhubung tindakan lanjut MAINPP, Shabudin berkata, lazimnya dalam kes seumpama itu, pihaknya akan menghantar kakitangan bagi memberikan kaunseling dan berdakwah kepada pihak terbabit.

"Ini macam kes Siti Fatimah Tan dulu, berpuluh-puluh kali kita pergi menemuninya. Kita ada kronologi itu. Kalau ada yang kata kita tidak peduli, itu tidak benar.

"(Dakwaan) itu hujah mereka yang sokong pihak yang hendak keluar Islam," jelasnya.

Pada Mei tahun lalu, Mahkamah Tinggi Syariah Pulau Pinang mengisytiharkan Siti Fatimah Tan Abdullah @ Tan Ean Huang, 39, sebagai bukan lagi seorang Islam.

Mahkamah Rayuan Syariah Pulau Pinang kemudiannya menolak rayuan Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP) bagi mengetepikan keputusan tersebut.

Sementara itu, mengenai status perkahwinan Siti Hasnah, Shabudin berkata, perkara itu perlu dirujuk kepada mahkamah syariah.

Bagaimanapun, tambahnya, status agama surirumah tersebut mestilah disahkan terlebih dahulu sebelum diputuskan pula status perkahwinannya.

"Terdapat dua keadaan, sama ada perkahwinan itu tidak sah atau suaminya diberikan peluang memeluk Islam. Hakim akan putuskan perkara ini,"katanya.

Katanya, keengganan wanita itu merujuk kepada mahkamah syariah boleh menyebabkan masalah pendaftaran perkahwinannya dan kelahiran anak-anaknya berpanjangan._malaysiakini bm

JKM: Siti Hasnah diislamkan bapanya sendiri

Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) hari ini menjelaskan bahawa S Banggarma, atau nama lainnya Siti Hasnah Vangarama Abdullah, telah menganut agama Islam sebelum dimasukkan ke sebuah rumah kebajikan kira-kira dua dekad lalu.

Oleh itu, ketua pengarah kebajikan masyarakat menjelaskan, dakwaan bahawa wanita itu diislamkan semasa berada di bawah jagaan JKM adalah "tidak benar".

Datuk Meme Zainal Rashid berkata, semua dokumen yang masih disimpan menunjukkan wanita itu telahpun menganut agama Islam sebelum memasuki institusi kebajikan tersebut.

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata, JKM telah menjalankan siasatan berhubung kenyataan surirumah tersebut yang mendakwa telah diislamkan semasa ditempatkan di rumah kebajikan di Kepala Batas kira-kira 20 tahun lalu.

Daripada rekod yang ditemui, katanya, Siti Hasnah telah diislamkan oleh bapanya sendiri, yang tidak dinamakan, bersama adik-beradiknya yang lain pada 30 November 1983, berdasarkan tarikh yang terdapat di dalam surat akuan pengislaman ibu dan bapanya di Pejabat Agama Islam Rompin, Pahang.

"Tetapi beliau ditempatkan di rumah kanak-kanak pada Mac 1990 melalui Perintah Mahkamah di bawah Akta Mahkamah Juvana 1947 bagi mendapat perlindungan setelah didapati merayau di pekan Sungai Petani tanpa arah tujuan," kata Meme.

Mengenai status agama wanita itu, tambahnya, ia kini dalam tindakan Majlis Agama Islam Pulau Pinang.
JKM mengeluarkan kenyataan tersebut ekoran siasatannya terhadap dakwaan Banggarma bahawa jabatan agama negeri telah menukar agamanya kepada Islam sewaktu masih kanak-kanak ketika ditempatkan di rumah kebajikan berkenaan.

Wanita itu mendakwa, dia menyedari mengenai perkara itu ketika hendak mendaftarkan perkahwinannya pada 2000.

Menurut surirumah itu, agamanya ditukar kepada Islam pada 1989, ketika dia baru berusia tujuh tahun._malaysiaknini bm

Menantu Nik Aziz letak jawatan

Menantu tokoh PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang dilanda kontroversi sejak dua minggu lepas meletakkan jawatannya sebagai ketua pegawai eksekutif Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK).
Abdul Ariffahmi Abd Rahman, yang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), menjadi fokus kontroversi apabila memecat Syed Azidi Syed Abdul Aziz, seorang pegawai kanan exco kerajaan negeri Datuk Husam Musa.

Beliau, yang juga seorang exco Pemuda PAS Kelantan, mengumumkan perkara tersebut dalam sidang media hari ini.

Surat rasmi peletakkan jawatan tersebut bagaimanapun belum diserahkan, katanya ringkas kepada Malaysiakini.

Ketika dihubungi sebentar tadi, beliau juga enggan mengulangi kenyataannya dalam sidang akhbar tersebut.

Sementara itu, menurut media rasmi PAS, Nik Abdul Aziz yang juga menteri besar ingin "menasihati" menantunya agar melepaskan jawatan tersebut.

Persetujuan itu dilaporkan diumumkan Nik Abdul Aziz pada satu sidang media selepas pertemuan dengan pemimpin kanan PAS di kediaman rasmi menteri besar 10 pagi tadi.

Pertemuan tersebut disertai Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Timbalan Mursyidul Am PAS Datuk Haron Din, Naib Presidennya Salahuddin Ayub dan Bendahari Agung Dr Hatta Ramli, laor Harakahdaily.net.

"Mereka telah mengemukakan cadangan kepada Nik Abdul Aziz agar menasihatkan Ariffahmi melepaskan jawatan," laporan akhbar web itu dipetik._malaysiakini bm

BERITA PAS MARANG

Yahaya Kesal JKKK Ambil Kesempatan

E-mail Print PDF
http://www.buletinonline.net/images/stories/berita14/yahyaredahbanjir1.jpg


MARANG – Ketika rakyat dalam kesusahan menghadapi gelombang kedua banjir di negeri ini, ada sesetengah Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) yang mengambil kesempatan.

Yang diPertua PAS Marang, Haji Yahaya Ali berkata, beliau dimaklumkan oleh penduduk beberapa buah kampong dalam daerah ini berkenaan perkara tersebut.

”Sepatutnya mereka (JKKK) membantu dengan ikhlas dan berkhidmat dengan dedikasi sebagai sebahagian dari kakitangan kerajaan negeri,
”namun mereka mengambil kesempatan atas kesusahan yang menimpa orang lain,”katanya ketika ditemui sewaktu melakukan ziarah dan mengagih-pantai bantuan kepada mangsa-mangsa banjir di Kampung Kubu, dalam DUN Pengakalan Berangan disini.

http://www.buletinonline.net/images/stories/berita14/yahyaredahbanjir2.jpgMenurutnya, sikap JKKK tersebut bertentang dengan slogan dan kehendak Menteri Besar Terengganu, Dato’ Ahmad Said yang mahu ‘merakyatkan pembangunan’ serta slogan ‘1Malaysia’, sebagaimana dipopularkan Perdana Menteri.

Beliau yang juga bekas Exco kerajaan negeri pimpinan PAS dari tahun 1999 – 2004, merasa malu dengan sikap JKKK yang tidak pernah berubah, sejak dahulu hingga sekarang.

”Sebelum PAS perintah pada tahun 1999, mereka (JKKK) menekan orang-orang kampong, apabila PAS menang, sesetengahnya pura-pura menyokong PAS,

”apabila mari (datang) wang ehsan, habis semua mengambil peluang memenuhkan poket masing-masing,”katanya dengan nada kesal.

Menurut beberapa penduduk yang sempat ditemui Buletinonline, beberapa JKKK aktif dalam memujuk dan mengugut mangsa-mangsa banjir supaya berpindah ke balai raya.

Ketua PAS Cawangan Kamg Kubu, Wan Zainun Wan Deris, 50, berkata tujuan mereka mereka memanggil ramai peduduk ke balai raya adalah untuk mendapat senarai nama.

”Dia (JKKK) nak ambil nama-nama, apabila ada banyak nama, dia akan ‘jual’ nama itu kepada pihak-pihak berkenaan dengan tujuan mengambil kesempatan mendapat ‘laba’,”katanya

Sebagai dalilnya, beliau mengambil contoh tindakan JKKK mengagihkan bantuan kepada mangsa-mangsa ribut dikampung itu baru-baru ini.

“Ada mangsa ribut baru-baru ini mengadu nama mereka diambil oleh pihak JKKK yang membuat bancian tetapi bantuan tidak diterimanya.

“bayangkan, 10 keping atap harga RM1,500 dan mereka (JKKK) akan dapat komesyen,” jelasnya.

Turut sama dalam program ziarah dan penyampaian bantuan kepada mangsa-mangsa banjir semalam adalah Haji Nordin Jalil, Pengerusi Lajnah Kebajikan PAS Marang dan Ustaz Abdullah Suhaimi, Pengarah MTD DUN Pengakalan Berangan.

Antara kampong yang mereka lawati selain Kampung Kubu adalah Kampung Tok Fakir dan kampung Bukit Jenjulong._buletinonline




Ahad, 22 November 2009

Kes Teoh Beng Hock

Bedah siasat kedua Teoh selesai

Bedah siasat kedua ke atas mayat mendiang Teoh Beng Hock di Hospital Sungai Buloh, mengambil masa kira-kira dua jam dan selesai dijalankan pada kira-kira jam 3.30 petang tadi.


Keluarga mendiang Teoh dan dua adik beradiknya kelihatan ceria ketika ditemui petugas media, yang tidak dibenarkan menghampiri jabatan forensik di situ.

Saudara perempuan mendiang, Lee Lan berkata bedah siasat itu berjaya dilakukan dan keluarganya telah diberi taklimat mengenainya oleh pakar patologi Thai, Dr Porntip Rojanasunand.

Bagaimanapun, Lee enggan memberi sebarang butiran sama ada terdapat bukti baru yang ditemui mengenai kemungkinan wujud unsur-unsur jenayah.

"Tungu bila inkues (Teoh) disambung 9 Disember," katanya sambil berkata beliau tidak pasti sama ada laporan bedah siasat akan diumumkan.

Manakala saudara lelaki mendiang, Beng Kee berkata keluarganya tidak memahami aspek-aspek tentu taklimat Dr Porntip kerana ia banyak membabitkan istilah perubatan.


Ketika ditemui wartawan ketika hendak beredar dari hospital tersebut, Dr Porntip (kanan sekali) hanya berkata: "Tiada komen".

Mendiang Teoh ditemui mati di tingkat lima bangunan Plaza Musalam di Shah Alam pada 17 Ogos lalu, sehari selepas dia disoal siasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Jenayah Malaysia (SPRM).

Kerajaan kemudiannya mengarahkan diadakan inkues berhubung kematian mendiang Teoh dan keterangan Dr Porntip telah mendorong keluarganya meminta bedah siasat kedua dijalankan.

Dr Porntip memberitahu inkues tersebut bahawa berdasarkan foto dan laporan bedah siasat pertama, beliau mengesyaki 80 peratus kemungkinan kematian mendiang Teoh adalah homisid.

Pakar patologi terkemuka Thai itu yang bertugas dengan Jabatan Kehakiman negara itu, hadir memantau bedah siasat hari ini bagi pihak kerajaan Selangor.


Manakala SPRM pula mendapatkan khidmat pakar patologi Britain, Dr Peter Venezis (kanan) yang terkenal dengan siasatannya terhadap kematian Puteri Diana.

Mayat mendiang Teoh digali semula dari tanah perkuburan di Semenyih semalam dan saudara perempuannya berkata keluarga merancang untuk mengkebumi semula mayat mendiang esok.

Bedah siasat tersebut dilakukan oleh Dr Khairul Aznam dan Dr Prashant Samberker yang memberitahu inkues kematian Teoh bahawa mendiang membunuh diri.

Seorang lagi pakar patologi, K Saravanan dari Hospital Tengku Ampuan Rahimah, ditugaskan merakamkan gambar bedah siasat tersebut.


Sementera itu, peguam keluarga mendiang Teoh, Gobind Singh Deo mendakwa sekumpulan individu yang tidak dikenali mengekori Dr Porntip sejak semalam dan menggesa mereka supaya tampil ke hadapan.

"Sejak petang Jumaat, beberapa buah kereta mengekori beliau balik ke hotel dan kemudiannya ke tanah perkuburan di Semenyih semalam (tempat mayat Teoh digali semula)," katanya.

Menurutnya lagi, sejak itu, pihak polis telah menugaskan beberapa anggotanya memantaunya sejak dimaklumkan mengenainya semalam.

_malaysiakini bm

Monsonn Cup

Monsoon Cup; Sudahlah Tidak Pernah Di Audit !

E-mail Print PDF
http://www.buletinonline.net/images/stories/berita14/mcupmembazir.jpg

- Ahmad Said Akan Sambung Perjanjian Penganjuran Selepas Tamat 2012 ?

KUALA TERENGGANU – Bagaimana mungkin perlaksanaan projek-projek kerajaan negeri Terengganu boleh menepati slogan ‘Merakyatkan Pembangunan’ sedangkan pelbagai pendedahan menunjukkan penyelewengan, salahguna kuasa dan rasuah ?
(Gambar - kerajaan Terengganu menafikan Monsoon Cup membazir setelah Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen mengenai Integriti, Datuk Dr Wan Hashim Wan Teh (gambar kecil ) berkata, aduan diterima menyatakan keuntungan penganjuran sukan Monsoon Cupitu hanya diraih oleh individu tertentu sedangkan pada keseluruhannya ia dikatakan tidak memberi pulangan seperti yang diharapkan)

Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu Haji Mohd Abdul Wahid Endut berkata penganjuran sukan perahu layar piala monsun (Monsoon Cup) bukan sahaja membazir dan tidak membawa manfaat yang banyak kepada rakyat, ia juga tidak pernah diaudit.
Beliau yang juga ahli Parlimen Kuala Terengganu berkata, perkara tersebut mendapat teguran dari Ketua Audit Negara.

”Di negeri Terengganu ini, dia buat projek bukannya ikut peraturan dan prosedur, banyak projek yang dilakukan (dilaksanakan) tidak diaudit,

”termasuk Monsoon Cup, dilaporkan dalam laporan (ketua) audit Negara, perbelanjaan untuk Monsoon Cup tidak diaudit, tidak dikemukakan untuk diaudit,”katanya ketika beucap dalam majlis ceramah bersama Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat, di Jalan Kelantan, disini kelmarin.

Menurutnya, berapa banyakkah perbelanjaan yang digunakan untuk menganjurkan piala Monsun tersebut dan ke atas apakah perbelanjaan tersebut dibuat, tidak dilaporkan.

Sehubungan itu, Haji Wahid turut mendedahkan kecenderungan kerajaan negeri Terengganu menyambung perjanjian penganjuran Monsoon Cup yang dijangka tamat pada 2012.

”Ahmad Said (Menteri Besar) berkata demikian dalam satu kenyataan yang dilaporkan sebuah akhbar berbahasa Inggeris,”katanya yang juga wakil rakyat bagi DUN Wakaf Mempelam.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mesyuarat ‘Pre-Council’ wakil-wakil PAS untuk sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu di pejabat Perhubungan PAS, Kuala Terengganu, semalam, 21 November.


Katanya, majoriti rakyat Terengganu menolak penganjuran perlumbaan perahu layar itu kerana ia dianggap membazir.

”Berjuta-juta ringgit hasil royalti minyak dibelanjakan sedang manfaatnya kepada rakyat tempatan tidak dikecapi,

”ia mesti dihentikan selepas tamat perjnajian pada 2012,”tegas Haji Wahid.

Akhbar tersebut memetik Ahmad Said berkata, sekiranya piala monsun memberi keuntungan kepada rakyat dan negeri, beliau pasti mempertimbangkan untuk meneruskannya.

Perjanjian antara kerajaan negara dengan pemilik siri perlumbaan terbabit ‘World Match Racing Tour’ (WMRT) ditandatangani kali pertama pada tahun 2005.

Oleh itu, nasib Piala Monsoon selepas tahun 2012 adalah tidak pasti dengan spekulasi bahawa acara akan dihentikan selepas perjanjian berakhir.

”Namun, dengan pertemuan Ahmad dengan penasihat Piala Monsoon, Datuk Peter Gilmour pada hari Sabtu, (14 November) ada tanda-tanda bahawa acara ini akan kekal di Terengganu,”lapor akhbar itu lagi.

_buletinonline