Sahabat Purnama

Selasa, 8 Disember 2009

Nik Aziz lawat tempat kejadian kemalangan KB Mall

Rizal Tahir   
KOTA BHARU, 8 Dis: Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, meluangkan masa kira-kira 25 minit di tempat kemalangan yang meragut dua nyawa dan satu parah dalam kejadian kereta terjunam dari parkir di KB Mall kelmarin.

Beliau yang diiringi Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Takiyuddin Hassan diberi taklimat oleh kakitangan Pasaraya New Pasiffic berhubung kejadian yang telah berlaku.

Turut meninjau perkembangan itu, anggota-anggota exco kerajaan negeri, Datuk Anuar Tan Abdullah, Meja (B) Md AnizamAbdul Rahman, Yang Dipertua MPKB, Haji Ahmad Mahmood, serta para pegawai kanan MPKB-BRI.

Ketika memberitahu pemberita selepas itu beliau berkata, kejadian berkenaan sesuatu yang diluar jangka dan tidak tidak terfikir oleh sesiapapun.

“Benda ni (kejadian itu) berlaku payah nak fikir, semuanya kuasa Allah, bagaimana kemalangan boleh berlaku dengan merempuh dinding yang begitu tebal, kemudian merempuh pula orang di bawah,”ujarnya.

Sementara itu, mesyurat khas yang berlangsung 11.15 pagi tadi memutuskan pasaraya berkenaan boleh beroperasi sebagaimana biasa bermula pukul 2.00 petang tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri, Datuk Takiyuddin Hassan, berkata ianya diambil kira selepas mesyuarat memutuskan struktur bangunan berkenaan masih dalam keadaan baik.

“Bukan itu sahaja, pembinaannya juga tidak menyalahi peraturan MPKB-BRI seperti dengan mencampuri bahan-bahan yang tidak baik sehingga menjejaskan struktur bangunan,”ujarnya.

Bagaimanapun, menurutnya pihak Bomba dan Penyelamat meminta factor keselamatan sentiasa diambil kira bagi memastikan sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku.

Pada kejadian yang berlaku petang 6 Disember lalu, dua pelajar perempuan sebuah kolej kejururawatan Masterskill Cawangan Kota Bharu maut, manakala seorang lagi parah dan seorang lagi cedera ringan dihempap sebuah kereta yang terjunam dari tempat parkir tingkat atas.

Mangsa yang maut dikenali sebagai Siti Nor Amira Samsuddin, 19 dan Siti Nor Diana Azman, 18, manakala mangsa yang cedera parah ialah Rashidah Ahmad Latfi, 24, juga pelajar kolej yang sama.

Pemandu kereta terbabit, Nor Ain Said, 19, hanya mengelami cedera ringan setelah kereta jenis Ford Laser TX3 yang dipandu mangsa dikatakan rosak di Tingkat 3 parkir itu, tiba-tiba hilang kawalan lalu merempuh dinding lubang angin pasar raya itu._harakahdaily.net

Bilik solat dalam tandas awam jadi tanda tanya

Sebuah tandas awam untuk kemudahan lelaki, wanita dan golongan kurang upaya (OKU) di Sabindo dekat bandar Tawau, menimbulkan tanda tanya orang awam kerana ia turut menempatkan sebuah bilik solat di dalamnya.

Di pintu masuk bangunan itu terdapat papan tanda surau dengan lambang wanita, lelaki dan OKU.

Presiden Majlis Perbandaran Tawau ketika dihubungi Bernama berkata pihaknya akan mengambil tindakan termasuk menutup ruang solat berkenaan jika ia didapati mencemar nama baik Islam.

Namun, katanya, sebelum kemudahan tempat sembahayang itu disediakan, MPT telah meminta pandangan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah yang tidak membantah, malah ia membantu menetapkan arah kiblatnya.

"Kita akan berjumpa sekali lagi dengan JHEAINS kerana mereka lebih arif," katanya.

Pengerusi Majlis Agama Islam Sabah Datuk Syed Abbas Syed Ali, ketika dihubungi berkata, adalah kurang sesuai bagi bilik sembahyang dibina dalam bangunan tandas.

"Kita akan siasat perkara ini demi kemuliaan Islam," katanya.

Tandas awam berkenaan terletak hanya 500 meter dari Masjid Al-Kauthar, masjid terbesar di Sabah. BERNAMA / _malaysiakini bm

Isnin, 7 Disember 2009

“Yang bangga mungkin, mereka yang mendapat manfaat, contohnya JKKK,”kata penduduk

http://buletinonline.net/images/stories/berita15/tiadabenderaterengganu1.jpg


KUALA NERUS – Kerajaan Umno dan Barisan Nasional (BN) Terengganu mendakwa, ‘Monsoon Cup’ berjaya memperkenalkan negeri Terengganu di persada antarabangsa.
Namun sebaliknya, ia bukanlah satu kejohanan yang sepatutnya menjadi kebanggaan seluruh rakyat negeri ini.

Seorang penduduk tempatan yang tinggal di Pulau Duyong Besar (Pualau Ketam) berkata demikian ketika ditemubual oleh Buletinonline

http://buletinonline.net/images/stories/berita15/rumahpapandigenangiair.jpg”Saya tak rasa bangga malah berasa malu dengan keadaan hidup penduduk kampung, orang ramai datang tengok rumah buruk, jalan sempit, longkang tak ada,


”lumba perahu layar tak salah, bagus, tapi bersama ‘Monsoon Cup’ ada acara maksiat, itu yang salah,”kata warga emas, berumur sekitar 60-an, yang mahu dikenali sebagai ‘Ayah Ngah’ sahaja

Seorang pemuda yang ditemui dihadapan Masjid Darul Islah ditanya, adakah beliau bangga dengan kejohanan yang telah diadakan sejak tahun 2005 itu, beliau menjawab ‘tidak tahu’.


Ditanya lanjut, mengapa beliau menjawab begitu, katanya, walaupun telah masuk tahun ke lima ia di adakan, tidak ramai penduduk Pulau Duyong yang mendapat manfaat.

”Yang bangga mungkin, mereka yang mendapat manfaat, contohnya JKKK, mungkin bangga, sebab boleh ‘projek’.”jelas beliau yang tidak mahu dikenali.

Menurutnya, antara projek yang diperolehi oleh ‘sek-sek’ Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) adalah kutipan bayaran tempat letak kereta dan mengutip sampah dalam laut, sekitar ‘trek’ perlumbaan perahu layar.

”Adalah 6, 7 bot ‘fiber’, dua orang satu bot, dapat ‘kontrek’ kutip sampah, dibayar RM250.00 sehari,”katanya.

Buletinonline turut mendapat kiriman gambar dari seorang pengunjung yang ‘tidak begitu gembira’ apabila melihat keadaan itu.

Mesejnya ringkas sahaja; “Kata mahu memperkenalkan Terengganu, bendera Terengganu pun tidak dinaikkan,”

Buletinonline dimaklumkan, sepanjang kejohanan yang bermula 2 Disember dan berakhir semalam, tiada bendera ‘hitam putih’ negeri Terengganu yang dikibarkan di puncak ‘Ri-Yaz Heritage Marina & Exhibition’, pusat lumba perahu layar ‘Monsoon Cup’ yang didakwa, ditonton oleh 1 bilion manusia!_buletinonline

Siasatan perlukan bukti: Tuan Ibrahim

SHAH ALAM – Jawatankuasa Disiplin Pas Pusat membidas penulis blog Malaysia Waves yang mendakwa Pemuda Pas Selangor hidup mewah dan mampu memiliki kereta mewah.

Pengerusinya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, dakwaan itu tidak boleh diterima kecuali disertakan bukti.

Katanya, jawatankuasa itu tidak akan menyiasat dakwaan berunsur khabar angin seperti itu.

“Saya kesal dengan dakwaan tersebut. Pemuda Pas Selangor sama seperti yang wujud di negeri-negeri lain. Hidup mereka sederhana, Mana ada hidup dalam kemewahan seperti yang digembar-gemburkan?” katanya mengulas dakwaan penulis blog Abdul Rahman Talib, yang lebih dikenali sebagai Tulang Besi, mengenai perkara itu.

Abdul Rahman mendakwa beliau rasa pelik kenapa Pemuda (Pas) Selangor boleh hidup mewah sedangkan ada antara mereka tidak mempunyai kerja tetap sebaliknya melakukan kerja parti 100 peratus.

Mengulas dakwaan kononnya Timbalan Dewan Pemuda Pas Selangor, Ahmad Zaidy Abd Mutalib hidup mewah, Tuan Ibrahim berkata, perkara itu tidak harus dijadikan isu.

“Ramai tahu Ahmad Zaidy memang kaya sejak dahulu lagi. Lagipun, dia seorang ahli perniagaan yang berjaya. Jadi, apa isunya? Walaupun dia kaya, dia tetap hidup dalam kesederhanaan,” katanya.

Tuan Ibrahim, yang juga Naib Presiden Pas berkata, tindakan tegas akan diambil sekiranya terdapat aduan berhubung ahli-ahli Pas yang melakukan kesalahan bertentangan dengan dasar parti.

Jika benar ada yang hidup mewah daripada sumber yang boleh dipersoalkan, katanya, jawatankuasa itu akan siasat dan bertindak sewajarnya.

Mengenai dakwaan ada dalam kalangan ahli jawatankuasa Pas Pusat yang mampu hidup mewah, beliau berkata: "Memang ada yang hidup mewah. Ada yang terdiri daripada ahli perniagaan berjaya. Malah latar belakang pendidikan mereka juga membuktikan mereka mampu hidup mewah.

“Ada jadi doktor, peguam dan macam-macam lagi. Mereka mewah sebelum masuk Pas. Jadi mengapa kita nak buat isu?” katanya._sinarharian 

Tembok lemah punca kereta terjunam: Polis

Struktur tembok bangunan penghadang kenderaan di tempat letak kereta tingkat tiga bangunan pasaraya KB Mall yang tidak kukuh dipercayai punca kepada kereta yang dipandu seorang wanita terjunam ke dalam bangunan itu semalam.

Ketua Polis Kelantan SAC1 Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata sekiranya tembok setinggi 1.8 meter itu dibina dengan bata dengan terdapat tetulang besi di dalam, mustahil boleh runtuh sebagaimana berlaku semalam.

"Dinding itu dibina dengan bata setinggi 1.8 meter dan tidak terdapat besi di dalam bagi menguatkan dinding itu daripada mudah runtuh," katanya kepada pemberita pada majlis berkhatan beramai-ramai anak warga PDRM Kontinjen Kelantan di Kota Bharu hari ini.

Pada kejadian pukul 5 petang semalam, dua pelajar perempuan Kolej Kejururawatan Masterskill cawangan Kota Bharu, Siti Nor Amira Samsuddin, 19, dan Siti Nor Diana Azman, 18, terbunuh dihempap kereta terbabit ketika berada di atas tangga bergerak pasar raya itu.

Dua mangsa yang cedera parah ialah Rashidah Ahmad Lutfi, 24, juga pelajar kolej yang sama dan pemandu kereta terbabit, Nor Ain Said, 19, kini dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II di Kota Bharu.

Beliau berkata kejadian dikatakan berlaku apabila pemandu kereta terbabit tidak dapat mengawal kenderaan yang ditolak oleh seorang lelaki bagi menghidupkan enjin.

Abdul Rahim berkata siasatan awal mendapati tembok penghadang ke bangunan itu dibina dengan bata sahaja, tidak menggunakan konkrit tetulang sebagaimana lazim dilakukan ke atas bangunan-bangunan konkrit.

Katanya, siasatan dibuat mengikut Seksyen 304 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara dan denda kerana dikatakan gagal mengawal kenderaan sehingga menyebabkan kematian.

Beliau juga meminta seorang lelaki yang dipercayai rakan kepada pemandu kereta itu yang menghilangkan diri tampil membantu polis menyiasat kes terbabit di mana-mana balai polis berdekatan.

"Kita percaya lelaki itu boleh membantu siasatan kerana dia berada bersama-sama bersama pemandu wanita dan adik wanita itu yang selamat," katanya. BERNAMA_malaysiakini bm

8 syarikat saman Mara

KUALA LUMPUR, 7 Dis: Lapan syarikat menyaman Mara untuk menuntut gantirugi RM381 juta di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang. Saman yang difailkan pada 2003 lalu dibicarakan dalam kamar Datuk Zakaria Sam hari ini untuk tentukan isu undang-undang.
Syarikat itu adalah Indera Perabut, Medan Data, Adi Wood, Almawood Industries, Ikrar Teguh, Phoenix Calibre, Perabot Wilayah Utara dan CT Max.

Kesemua mereka mendakwa Mara gagal dalam tanggungjawabnya menyediakan pusat kemudahan guna sama atau PKG yang menyebabkan mereka tidak dapat beroperasi untuk siapkan projek perabot mereka.
Hasilnya, Mara telah menyaman mereka kerana tidak membayar hutang. Kini mereka menyaman Mara kerana kegagalan Mara laksanakan fungsinya untuk membolehkan projek perabot mereka berjalan dengan baik.

Mahkamah Pulau Pinang akan putuskan lapan Januari depan samada untuk menerima atau tidak isu undang-undang Mara bertanggungjawab siapkan PKG.

"Jika hakim putus Mara bertanggungjawab, segala tuntutan lapam syarikat itu akan diterima dan taksiran akan dibuat berdasarkan tuntutan plaintif," kata peguam plaintif Shuhaimi Mat Hashim selepas bersidang dalam kamar dengan hakim dan peguam defendan.

8 syarikat itu diwakili oleh Shuhaimi Mat Hashim manakala Mara diwakili 4 syarikat guaman. Isu undang-undang yang akan diputuskan hari ini adalah "Adakah Mara bertanggungjawab memastikan PKG disiapkan dan beroperasi sepenuhnya pada 1 Januari, 1998 dan adakah Mara telah gagal, mungkir dan melakukan perbuatan pecah kontrak mengenai penyiapan dan operasi PKG seperti dijanjikan Mara yang kena disiapkan dan hendaklah beroperasi sepenuhnya oleh Mara pada 1 Januari, 1998."

"Seterusnya adakah akibat daripada kegagalan Mara mengenai PKG maka sebabkan aktiviti perniagaan lapan syarikat tidak boleh berjalan seperti yang dirancang kerana PKG tersebut adalah asas utama kepada pelaksanaan terma dan syarat perjanjian dan kerjasama pengeluaran perabot set meja makan."

_harakakahdaily.net

Ahad, 6 Disember 2009

Tidak Pernah Berlaku Sejak 40 Tahun Lalu

Chukai, KEMAMAN – Satu kejadian yang ‘agak aneh’, yang tidak pernah berlaku telah dialami oleh sebahagian besar penduduk di kampung Geliga, dekat sini sejak kelmarin.
http://buletinonline.net/images/stories/berita15/GELIGA%20NAIK%20AIR.jpgHujan lebat yang tidak berhenti-henti pada hari Jumaat lepas menyebabkan air bertakung dan meneggelamkan hampir keseluruhan kampung tersebut.

Seorang penduduk warga emas, Mat Min, 72, yang lebih dikenali sebagai Pok Mi berkata sejak beliau tinggal di situ belum pernah dilanda kejadian ‘banjir kilat’ seumpama itu.

”Sudah 40 tahun saya tinggal dikampung ini, tidak pernah air naik, tidak pernah banjir, baru ini lah terjadi begini,”katanya ketika di temui wartawan Buletinonline.

Pengarah Majlis Tindakan DUN Chukai, Hj Hanafiah Mat, menyifatkan banjir yang melanda kampung terbabit adalah sesuatu yang ‘serius’ yang perlu diambil perhatian oleh pihak berkuasa.

Menurutnya, sepanjang pengetahuan beliau, kampung Geliga adalah kawasan yang agak tinggi dan tidak mudah dinaiki air.

http://buletinonline.net/images/stories/berita15/Picture1.jpgBeliau yang ditemui selepas menyampaikan sumbangan kepada beberapa penduduk berkata, kejadian itu berlaku mungkin kerana tanah di kawasan tersebut tidak lagi dapat menyerap air hujan.

”Selepas hujan pada gelombang pertama dan kedua musim tengkujuh, hujan sangat lebat baru-baru ini, tanah kawasan tersebut mungkin tidak menyerap air lagi, menyebabkan air bertakung,”jelasnya.

Oleh itu, beliau menggesa pihak-pihak berkenaan termasuk Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) membuat kajian terperinci tentang kejadian itu dan mengambil tindakan perlu supaya ia tidak berulang.

”Saya mencadangkan supaya dibina longkang bawah tanah, yang tertutup namun dapat menyerap air hujan, sekiranya turun berlebihan,

”kita (kerajaan PAS) pernah membuat longkang bawah tanah dihadapan sebuah pusat beli belah ditengah-tengah Bandar Chukai, untuk mengelakkan banjir, hasilnya, banjir kilat tidak berulang,”ujar beliau yang juga bekas Ahli majlis Perbandaran Kemaman.

Beliau berkata, pihaknya sedia bekerjasama bagi menjayakan apa-apa cadangan kerajaan supaya para penduduk dapat menjalani kehidupan yang lebih selesa._buletinonline

‘Nyawa’ Umno bergantung kepada wang

MARANG, 6 Dis: Kekuatan Umno hanya bergantung kepada kebendaan dan wang ringgit untuk meraih sokongan rakyat, kata Timbalan Ketua Pemuda PAS Kawasan Marang, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi.
Katanya, pemimpin Umno menjadi susah hati sekiranya parti itu tidak mempunyai sumber kewangan.
 
“(Pemimpin) Umno, nyawa mereka hanya wang. Kalau tidak ada wang, mereka susah,” ujarnya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Bantuan Musim Tengkujuh di Kampung Gong Merawang, dekat sini, petang semalam.

Ini, katanya berbeza dengan perjuangan Islam yang dibawa oleh PAS yang menjadikan agama yang suci itu sebagai 'nyawa' dalam menegakkan kalimah Allah di atas muka bumi ini.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan para penerima bantuan supaya tidak menjadikan kebendaan sebagai keutamaan dalam kehidupan sebaliknya berbangga dengan nikmat Islam dan iman.
“Nikmat yang paling besar kurniaan Allah kepada kita ialah nikmat Islam dan iman,” ujarnya.
Justeru, tambahnya walaupun sumbangan yang diterima pada majlis itu tidak seberapa tetapi para penerima hendaklah menyedari bahawa PAS sentiasa prihatin terhadap masyarakat.

Beliau yang juga Ketua Pemuda MTD Ru Rendang mewakili bapanya selaku Ahli Parlimen Marang dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ru Rendang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang turut menyampaikan bantuan itu kepada penerima. (Gambar)

Sebanyak 101 keluarga menerima sumbangan pada majlis pertama kali anjuran PAS Cawangan Kampung Baru Ru Muda itu yang terdiri daripada golongan miskin, ibu tunggal dan mangsa banjir.
Menurut ketuanya, Haji Abdul Aziz Ngah, pihaknya sebelum ini sering mengadakan aktiviti kebajikan tahunan seperti penyampaian sumbangan hari raya, bantuan persekolahan dan mangsa yang ditimpa musibah.

Katanya, PAS cawangan menyedari masalah yang dihadapi oleh para penduduk yang terdiri daripada nelayan, penoreh getah dan bekerja sendiri yang tidak dapat melakukan aktiviti harian pada musim tengkujuh.

“Bagi meringankan bebanan hidup mereka, yang sudah tentu menyulitkan mereka mencari rezeki untuk menyara keluarga, maka kami berusaha memberikan sumbangan berupa barangan keperluan harian ini,” katanya.

Beliau juga mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada para penyumbang yang  sentiasa memberikan sokongan bagi menjayakan aktiviti kebajikan PAS cawangan kepada masyarakat setempat._harakahdaily.net

Nik Aziz: Umno dalam keadaan 'lemas'

Abdul Rahim Sabri

Ahli dan penyokong PAS yang penuh sesak membanjiri Dewan Ustaz Fadhil Noor, di Markas PAS di Taman Melewar malam tadi beramai-ramai menyatakan sokongan kepada Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk terus memimpin Kelantan.

Sebelum menteri besar itu menyampaikan ucapan, pengerusi majlis, Tarmizi Mat Jam meminta lebih 1,000 hadirin supaya bangun dan dewan tersebut bergema beberapa kali dengan laungan"Kita Sokong Tok Guru Nik Aziz" dan "Sokong Tok Guru" dan diiringi laungan takbir sebanyak tiga kali.


Tarmizi yang juga naib yang dipertua PAS Batu mengetuai acara tersebut pada kira-kira jam 11 malam sebelum Nik Aziz menyampaikan ucapan bersempena menyambut perayaaan jubli perak PAS kawasan tersebut.

Laungan itu berlangsung selama lima mini, yang turut disertai beberapa pemimpin PAS dan Pakatan Rakyat antaranya, ahli jawatankuasa PAS pusat, Mohamed Hanipa Maidin; yang dipertua PAS Batu, Ishak Surin; ahli parlimen Batu, Tian Chua; pengerusi Kelab Penyokong PAS India, Balasubramaniam serta bekas pemimpin PAS Hassan Shukri dan Subky Latif.

Tarmizi berkata, ia sebagai kesinambungan kepada sokongan rakyat Kelantan yang ditunjukkan kepada Nik Aziz Jumaat lalu.

Beliau berkata, pada mulanya pihaknya bercadang mengedarkan lilitan kepala kepada hadirin - seperti yang dilakukan oleh penyokong menteri besar di Kelantan, Jumaat lalu.

Bagaimanapun, jelasnya, hasrat tersebut tidak kesampaian ekoran kesuntukan masa untuk menyiapkan lilitan tersebut.

Nik Aziz yang juga pesuruhjaya Kelantan dilihat tersenyum dan gembira dan kemudiannya kelihatan bersemangat untuk menyampaikan ceramahnya.
Semangat berucap
Dalam ucapannya, beliau menyifatkan Umno kini berada dalam keadaan "lemas" dalam usaha mereka untuk merampas semula Kelantan dari PAS dan kerajaan negeri Pakatan Rakyat yang lain.


Katanya, walaupun menyedari mereka berada dalam keadaan begitu, Umno masih "meraung-raung" dengan pelbagai cara bagi mencapai cita-cita mereka mengambil semula negeri itu.

"Oleh kerana mereka dalam keadaan lemas, mereka meraung-raung bermacam-macam, termasuk tuduhan yang dilemparkan kepada saya.

"Dia (Umno) tengok saya berserban, tidak pandai memerintah negeri dan saya pakai jubah tak tahu apa-apa pun. Jadi tuduhan itu macam-macam. Dia tahu bahawa dia sedang lemas.

"MCA (sekarang) kacau bilau sedangkan MCA jadi tongkat (BN) sebelah kanan. MIC, jadi tongkat kiri, kini jadi kacau bilau. Oleh kerana tak tahu nak buat apa, mereka lempar tuduhan kepada saya," kata Nik Aziz.

Nik Aziz mengulas mengenai situasi politik terkini yang hadapinya termasuk demonstrasi yang dianjurkan oleh Umno minggu lalu yang mendesak beliau melepaskan jawatan berhubung isu doanya kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

'Umno lemas'

Dalam ceramahnya malam tadi itu, Nik Aziz berkata Umno kini berada dalam keadaan 'lemas' dengan memberikan beberapa situasi dalam politik parti itu, antaranya Umno Terengganu berpecah kepada dua kumpulan dan krisis di Perak di mana berlakunya usaha perebutan merampas kerusi speaker DUN.

Mursyidul am PAS itu juga mengumpamakan Umno sebagai seorang 'datuk yang cuba memujuk cucunya yang tidak mahu berhenti menangis setiap pagi'.


"Oleh kerana mahu cucunya senyap (dan) tidak menangis, dia kata, burung, burung, Nik Aziz, Nik Aziz," katanya, yang membuatkan kira-kira 1,000 hadirin ketawa dan memberi tepukan .

Menurut Nik Aziz, Umno juga berada dalam keadaan terdesak apabila mereka membuat rayuan menangguh pelaksanaan keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan bahawa kerusi DUN Kota Siputeh kosong.

"Kota Siputeh itu kawasan dia. (Ia) telah dikosongkan oleh speaker dan mahkamah bersetuju (bahawa) speaker ada kuasa penuh (untuk isytihar kerusi itu kosong).

"Speaker itu umpama pengadil dalam perlawanan bola sepak. Kalau (keputusan) pengadil boleh dibantah lagi, tak main bola lah, kita panggil berlaga betih lah," kata Nik Aziz yang mencuit hati para hadirin.

"Keputusan speaker kita nak tolak macam mana, dia raja. Dalam DUN dan parlimen, speaker adalah raja. Dalam padang bola pengadil jadi raja. Begitu logiknya," tambahnya.

Program BTN

Menurut pesuruhjaya PAS Kelantan itu, Umno juga kini berada dalam keadaan 'lemas' apabila terdapat pendedahan yang mendakwa program anjuran Biro Tatanegara (BTN) mempunyai unsur perkauman.

"Kerja dia bertahun-tahun, hilang sekelip mata kerana rahsia BTN ini bukan untuk menyelamatkan negara tapi nak kata orang Melayu (untuk orang) Melayu dan orang Cina (untuk orang) Cina," katanya.

Setakat ini, kerajaan Pakatan di Selangor dan Pulau Pinang mengarahkan pegawai dan kakitangannya supaya tidak menghadiri kursus anjuran biro tersebut.

Mengulas isu doanya supaya Allah membetulkan pandangan Najib yang juga presiden Umno berhubung isu royalti minyak kepada Kelantan, Nik Aziz berkata, adalah untuk menjadi tugas orang yang dizalimi berdoa kepada Allah agar mendapat haknya kembali.

"Buat apa perkara yang jahat atas muka dunia, musnahkan. Lepas tu marah. Habis nak cakap macam mana lagi, nak tolong orang jahat. Ya Allah tolong lah orang jahat, mana boleh.

"Beliau (Najib) nak beri (royalti) beri. Kalau tak beri, beliau berdepan dengan kemusnahan," katanya,

Bahkan, kata Nik Aziz, doa orang kafir yang dizalimi mustajab disisi Allah SWT._malaysiakini bm

Nik Aziz yakin Allah makbulkan doa rakyat yang dizalimi

Dzulfikar Mashoor   
GOMBAK, 6 Dis: Menteri Besarnya Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat semalam melahirkan rasa yakin bahawa Allah akan memakbulkan doa rakyat Kelantan yang dizalimi disebabkan kerajaan pusat enggan memberi wang royalti minyak pada kerajaan negeri.

"Kalau orang kafir (berdoa) pun, Allah janji akan makbulkan doanya kerana dizalimi, inikan pula orang Islam dan berjuang Islam di Kelantan," jelasnya dalam Himpunan Perpaduan Ummah 'PAS For All. Beliau yang juga Mursyidul Am PAS menegaskan bahawa beliau tidak kecewa jika ada pihak tertentu mengkritik saranannya bahawa rakyat Kelantan akan berdoa agar Najib dibinasakan.
Beliau juga melahirkan rasa tidak kisah dengan laporan negatif beberapa media massa, sebaliknya suka dengan beberapa kritikan tersebut.
"Hari-hari surat khabar (arus perdana) caci saya, saya sengeh (kerana) suka."
Baginya, berdoa sama ada memohon sesuatu hajat atau menolak sesuatu kezaliman merupakan sesuatu yang digalakkan oleh Rasulullah s.a.w.
"Bila kita ikut Nabi, jadikan doa sebagai senjata mukmin, maka ada orang yang marah."
Dalam ceramah selama 20 minit di Markaz Tarbiyyah Taman Melewar, Beliau turut melafazkan doa khusus kepada Najib.
"Ya Allah ya Tuhanku, tolong buka hati Perdana Menteri Malaysia (Datuk Seri Najib Tun Razak) supaya Perdana Menteri Malaysia perbetulkan fikirannya (lalu) beri (royalti minyak) petrol (milik) Kelantan)," doa Nik Aziz
"Minta perbetulkan pandangan Najib kalau dia berniat baik (dan) kalau berniat jahat (maka) musnahkannya."
"Kalau kamu (Najib) jahat, takkan nak suruh saya doa ya Allah, kau tolonglah orang yang jahat."
Sebelum pada itu, Kelab Penyokong PAS berbangsa India, Bala Subramaniam berpendapat bahawa Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak perlu melahirkan rasa terkejut dengan saranan doa Nik Aziz agar Najib dibinasakan disebabkan kezaliman Perdana Menteri itu.
Ujarnya lagi, sepatutnya Muhyiddin menasihatkan Najib agar segera bertaubat dari melakukan kezaliman.
Nada yang sama turut ditegaskan oleh Ahli Parlimen Batu, Tian Chua.
"Saya orang bukan Islam pun percaya bahawa Tuhan akan membantu rakyat yang dizalimi, kenapa Muhyiddin dan Najib tidak percaya doa Tok guru," ujarnya._harakahdaily.net 

K'jaan digesa ampun pekerja asing

Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) hari ini memohon kerajaan untuk mengisytiharkan pengampunan bagi membolehkan sejumlah 2.1 pekerja asing tanpa izin meninggalkan negara ini.

Naib Presidennya A. Balasubramaniam berkata langkah ini merupakan kaedah terbaik bagi mengurangkan bilangan pekerja asing di negara ini.

Beliau berkata program pengampunan terakhir pada 1 Julai 2004 hingga Februari 2005 amat berjaya dengan 230,000 pekerja tanpa izin pulang ke negara masing-masing secara sukarela.

Bercakap kepada Bernama, beliau berkata MTUC menerima ratusan permohonan daripada pekerja seumpamanya terutamanya mereka yang tempoh visa telah tamat dan berhasrat pulang ke negara asal mereka.

Menurut beliau, kos untuk mendapatkan dokumen berkenaan agak tinggi dan pekerja berkenaan tidak mampu.

Katanya pekerja perlu membayar sejumlah RM2,000 untuk mendapat dokumen berkenaan, meliputi denda RM300 kerana tinggal melebihi tempoh, RM600 untuk tiket penerbangan dan RM1,100 bagi pemprosesan permohonan menerusi agen-agen khusus.

Di bawah program pengampunan, pekerja tidak perlu membayar apa-apa kerana kos penghantaran balik akan ditanggung oleh kerajaan negara asal mereka.

Balasubramaniam berkata program pengampunan akan memberi manfaat kepada negara kerana ia dapat memberi peluang pekerjaan kepada warga tempatan, mengurangkan jumlah depoh tahanan, penempatan semula pegawai penguatkuasa, risiko lebih rendah penularan penyakit berjangkit dan membantu pekerja asing daripada dieksploitasi majikan tidak bertanggungjawab.

Selain itu, Malaysia juga memperoleh jalinan hubungan muhibbah persatuan pekerja di kedua-dua negara ini dan negara asal pekerja, katanya. - Bernama_malaysiakini bm

Sabtu, 5 Disember 2009

PRIMITIFNYA PEMIKIRAN PENGARAH JAIS


Pengarah JAIS memberi alasan yang begitu dangkal dan primitif bagi menghalang Akil Hayy untuk berdakwah di Selangor. Alasan ilmu cetek atau ada masalah rumah tangga bukannya sebab besar untuk menghalangnya berdakwah di surau atau di di masjid. Kalau itu alasannya beliau sendiri sebagai Pengarah JAIS dalam sangatkah pengetahuannya tentang agama, sedangkan yang ditadbir itu satu institusi yang menjaga hal ehwal agama. Beliau hanya ada pengalaman dari sudut pentadbiran, ilmu agamanya bagaimana ?.

Saya berani mencabar ilmu agama yang dimiliki oleh Akil Hayy jauh lebih baik dari Pengarah JAIS sendiri. Kebolehannya membaca al Quran dengan baik dan kepetahannya menyampaikan ceramah yang menarik jauh lebih baik dari Pengarah JAIS dan ustaz-ustaz UMNO sendiri.

Beliau turut membuat tuduhan yang berat ke atas Akil Hayy yang kononnya berceramah untuk mencari populariti sahaja. Itu satu tuduhan yang begitu jahat sekali, niat seseorang kita serahkan kepada Allah swt, yang penting, Akil Hayy ada kebolehan dan kelebihan menarik minat anak-anak muda rockers dan mat rempit mengikuti ceramah agama.

Ilmunya memang sedikit berbanding ulama-ulama lain, beliau sendiri tidak pernah mengelar dirinya ulama, sedikit ilmu pun kalau disampaikan dengan niat berdakwah lebih baik daripada ilmu yang banyak tetapi tidak disampaikan. Kalau ilmu yang sedikit menjadi halangan untuk berdakwah, bagaimana dengan Dr. Asri, bekas Mufti Perlis, lulusan Universti di Jordan dan Phd dari UIA, mengapa turut tidak dibenarkan menyampaikan kuliah di mana-mana masjid dan surau di Selangor. Ulama-ulama PAS yang mempunyai ilmu yang tinggi juga mengapa dihalang. Satu ketika dulu sebelum pakatan memerintah Mufti Perak, Dr. Harun Din, Ust. Ahmad Awang, Ust Ismail Kamus dan lain-lain turut juga dihalang menyampaikan kuliah di Selangor. Adakah mereka juga cetek ilmu atau ada masalah rumah tanggga.

Kalau masalah rumahtangga juga menjadi sebab untuk menghalang Akil Hayy berdakwah di Selangor, terlalu ramai ustaz-ustaz UMNO, guru-guru takmir UMNO yang juga ada masalah rumah tangga, malahan setengah-setengah mereka anak isteri tidak menutup aurat dan tidak berakhlak dibenarkan pula menyampaikan kuliah di Selangor. Seorang Tok Guru Quran yang terkenal di Selangor bahkan dikenali di Malaysia, mengajar tajwid di radio dan tv, anaknya menjadi pelakon terkenal yang kerap berlakon dengan wanita, berpeluk dengan wanita yang bukan muhrim boleh pulak mengajar quran di Selangor. Adakah Tok Guru ini menjadi contoh yang baik mempunyai anak yang kerjayanya sebegitu.

Ada para nabi yang anak isteri mereka tidak beriman dan ada para nabi yang bercerai dengan isteri-isterinya, adakah kita berani kata, para nabi tersebut tidak menjadi contoh yang baik kerana gagal mendidik rumah tangganya sendiri, lantas dihalang oleh Allah untuk meneruskan tugas dakwahnya ?

Pengarah JAIS ini cukup dangkal ilmunya, pada saya tidak layak menjadi Pengarah JAIS, beliau hanya layak menjadi Pengarah yang jaga hal ehwal sampah sarap di Selangor kalau jawatan tersebut wujud di negeri Selangor.

Sepatutnya, kelebihan Akil Hayy seorang bekas penyanyi rock yang sudah bertaubat dimanfaatkan untuk beliau mendekati anak-anak muda dan mendekati artis-artis bagi mendidik mereka supaya kembali kepada ajaran Islam yang sebenar.

Beliau hanya mahu berdakwah, sekadar berdakwah melalui ceramah sambil bernasyid sebagaimana pendekatan yang sering digunakan oleh Akil Hayy tidak memerlukan ilmu yang tinggi seumpama para ulama. Akil Hayy ada kelebihan berceramah, jarang sekali ada artis di tanah air yang meninggalkan dunia rocknya untuk berdakwah melalui ceramah, Akil Hayylah satu-satunya.

JAIS hanya perlu memantau setiap ceramahnya sekiranya dikhuatiri ada yang tidak betul atau menyeleweng. Sekiranya isi ceramah tidak betul, fakta agama tidak tepat, menyeleweng atau ada unsur-unsur ajaran sesat, barulah JAIS boleh bertindak untuk menyekatnya. Kalau sekadar menyindir dalam ceramah itu perkara biasa. yang disindir sememangnya manusia bukanya binatang, siapa pun sebagai penceramah akan menggunakan bahasa kiasan dalam bentuk sindiran dengan maksud dan tujuan menegur. Bukan Akil Hayy seorang yang suka menyindir dalam ceramah, ustaz-ustaz UMNO sekalipun sering menyindir para artis yang tidak menutup aurat, tidak solat dan tidak berakhlak. Dengarlah ceramah Dr, Mashitan Ibrahim atau Ustazah Nor Baayah yang terkenal dengan cakar rimaunya, kerap juga mereka menyindir.

Saya juga secara peribadinya tidak beberapa setuju dengan Akil Hayy dalam perkara-perkara tertentu sahaja, tetapi bukan bermakna sekat haknya untuk berdakwah. Dari sudut dakwah dan pembangunan insan, amat rugi sekali Akil Hayy yang ada kelebihan menarik minat anak-anak muda dan para artis mendekati Islam tetapi dihalang.

Bagi saya, tindakan ini menampakkan kejahilan Pengarah JAIS sendiri yang tidak pandai memanfaatkan kelebihan dan kebolehan seseorang. Saya percaya, dibelakangnya ada dalang yang menghalang usaha dakwah ini. Dalang ini begitu dengki dan cemburu melihat anak-anak muda dan para artis mendekati Islam, mereka lebih suka anak-anak muda dan para artis bergelumang dengan maksiat.

Rakyat Selangor yang beragama Islam wajar malu mempunyai Pengarah JAIS yang macam ini.


_misbahul munir masduki

'Nik Aziz tidak merujuk pada mana-mana pemimpin'

Jimadie Shah Othman

Ucapan Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak merujuk kepada mana-mana pemimpin tetapi hanya mahu menjelaskan bahawa bala Tuhan boleh berlaku dalam pelbagai bentuk, kata setiausaha politiknya Anual Bakhri Haron.

Beliau berkata, persoalan hukum, hanya Tuhan sahaja yang dapat menentukannya.

"Itu terpulanglah kepada Allah SWT. Tetapi orang yang dizalimi berhak berdoa," katanya menjelaskan kekeliruan berhubung ucapan Nik Abdul Aziz dalam satu perhimpunan di Kota Bharu semalam.


Perhimpunan di Jalan Dato' Pati diadakan sebagai membalas bantahan sekumpulan penyokong Umno terhadap Nik Abdul Aziz, Selasa lalu.

Dalam ucapannya, Nik Abdul Aziz dilapor menyifatkan penafian terhadap bayaran royalti minyak yang dituntut kerajaan Kelantan, sebagai "melanggar keadilan asasi".

Beliau yang juga mursyidul am PAS berkata, selagi tuntutan royalti itu tidak diberikan, "kita doa sampai pecah perut".

Ketika menghubungi Malaysiakini malam tadi, Anual Bakhri berkata, perkataan "pecah perut" yang diucapkan Nik Aziz hanyalah analogi dan tidak boleh diterjemahkan secara langsung.

"Itu analogi. Bukan maknanya pecah perut (perdana menteri) Datuk Seri Najib Razak atau (timbalannya) Tan Sri Muhyiddin Yassin, tetapi siapa sahaja yang buat aniaya.

"Dalam konteks ini (penafian royalti minyak), kezaliman berlaku," katanya.

Semalam, Nik Abdul Aziz bercerita tentang bantahan masyarakat bukan Islam yang menentang peraturan kawalan arak di negeri itu ketika beliau baru memimpin Kelantan, 19 tahun lalu.

Mengulas perkara itu, Anual Bakhri berkata, Nik Aziz ingin menegaskan bahawa larangan meminum arak diharamkan kepada orang Islam, tetapi terpulang kepada masyarakat bukan Islam jika mahu menikmatinya.

"Tetapi bukan maknanya kita hendak galakkan orang minum arak," katanya.

Katanya, respons itu diberikan ekoran hasrat beberapa masyarakat bukan Melayu daripada Perak yang mahu datang ke Kelantan untuk minum arak._malaysiakini bm

Sokongan Tidak Berbelah Bahagi

http://buletinonline.net/images/stories/berita15/DSC00747.jpg-Seluruh rakyat pelbagai bangsa berhimpun di Dataran Tok Guru


Seawal jam 8 pagi, Dataran Ilmu mula dipenuhi oleh ahli-ahli dan penyokong PAS serta penyokong Mursyidul Am, Dato’ Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat (TGNA) yang datang berduyun-duyun dari kawasan berhampiran di Kota Bharu mahu pun daerah-daerah lain di negeri Kelantan.

Kehadiran mereka kali ini bukan sekadar untuk mengikuti kuliah mingguan yang biasa diberikan oleh Menteri Besar Kelantan itu, bahkan mereka hadir untuk menyatakan sokongan yang tidak berbelah bahagi terhadap pemerintahan dan kepimpinan TGNA.


Hujan renyai-renyai yang turun tidak langsung mematahkan semangat mereka, malah para hadirin langsung tidak berganjak dari tempat masing-masing walaupun basah disiram air.

PAS Kelantan hari ini menunjukkan kekuatannya dalam mempertahankan kepimpinan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dengan mengetuai satu perhimpunan seramai 5,000 rakyat bagi mengisytiharkan sokongan kepada Mursyidul Am PAS itu.

Perhimpunan itu yang bermula dengan kuliah mingguan Nik Aziz di ibu pejabat PAS Kelantan dekat sini, berakhir dengan penyerahan memorandum sokongan oleh Setiausaha PAS negeri Mohd Zaki Ibrahim.

“PAS Kelantan tetap memberi sokongan dan taat setia yang tidak berbelah bagi terhadap kepimpinan Nik Aziz dalam pentadbiran dan parti,” katanya dipetik Bernama._buletinonline

Bandar Kota Bharu Di"Banjiri" Penyokong TGNA

Seawal jam 8:00 pagi, Dataran Ilmu mula dipenuhi oleh penyokong-penyokong PAS dan TGNA dari kawasan berhampiran Kota Bharu dan juga luar Kota Bharu. kehadiran mereka kali ini bukan sekadar untuk mengikuti tazkirah yang biasa diberikan tetapi juga untuk menyatakan sokongan yang tidak berbelah bahagi terhadap pemerintahan dan kepimpinan TGNA.

Hujan renyai-renyai tidak mematahkan semangat para hadirin yang langsung tidak berganjak dari tempat masing-masing walaupun basah disiram hujan._perisikrakyat

Demonstrasi: Lapor polis untuk ketenteraman, bukan menghalang

Dzulfikar Mashoor   
KUALA LUMPUR, 4 Dis: Timbalan Ketua Pemuda PAS Kelantan, Ahmad Baihaqi Atiqullah menjelaskan laporan polis yang dibuat pihaknya berhubung demonstrasi Umno Kelantan di hadapan bangunan Kota Darul Naim bukan berniat menghalang mana-mana perhimpunan rakyat.
Sebaliknya, beliau berpendapat mana-mana perhimpunan yang mahu diadakan perlu mengikut peraturan serta mendapatkan permit Polis terlebih dahulu.

"Nak berhimpun, kita (Pemuda) tidak ada masalah. Sebagaimana kita (Pemuda PAS) diminta dapatkan permit polis, kita minta (Umno Kelantan) buat permintaan (permit berhimpun) yang sama,"jelasnya.

Jelasnya lagi, keputusan membuat laporan Polis tersebut demi memastikan ketenteraman awam terpelihara.

"Kita buat (laporan) kerana tidak mahu ada gangguan ketenteraman awam di SUK (Bangungan Setiausaha Kerajaan Negeri)," jelasnya.

Beliau yang juga Adun Pasir Tumboh berkata, Perhimpunan 10 ribu menyokong kepimpinan Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz pagi ini turut dimaklumkan kepada Polis.

"Kita pun maklum kepada Polis...kita (Pemuda PAS) ambil kesempatan dengan perhimpunan biasa yang sah pagi ini (iaitu kuliah Jumaat)."

Beliau berketa demikian ketika diminta mengulas kritikan Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) berhubung laporan polis yang dibuat Dewan Pemuda PAS Kelantan (DPPK) dan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pulau Pinang berhubung dua perhimpunan tanpa permit di kedua-dua negeri terbabit

Pengerusinya, Shazni Munir Mohd Ithin berpendapat laporan polis tersebut adalah cubaab menghalang perhimpunan rakyat, sebagaimana yang dijamin perlembagaan dan Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat 1948(UHDR).

Dakwanya lagi, amalan mendapatkan permit berhimpun daripada Polis merupakan amalan Umno dan BN demi mengekang suara rakyat.

"Orang yang nak desak satu-satu perhimpunan perlu ada permit Polis macam Umno. Kerajaan Pakatan Rakyat tidak perlu ikut Umno menghalang perhimpunan aman," ujarnya.

Kerajaan negeri yang dipimpin Pakatan Rakyat katanya seharusnya bersikap terbuka dalam aksi demontrasi rakyat, termasuk Umno sendiri.

"Demontrasi rakyat tidak kira mana pihak sekalipun, walau datangnya dari Umno, kerajaan perlu bersikap terbuka."

"Kalau dulu sebelum memerintah, pembangkang (Pakatan Rakyat) selalu melaung-laungkan kebebasan berhimpun (walaupun) tanpa permit Polis, kenapa hari ini mendesak pihak yang dibangkang (Umno/BN) mendapatkan permit Polis terlebih dahulu," ujarnyalagi.

Beliau yang juga Presiden Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) meminta pihak yang terbabit menarik semula laporan polis dan segera meminta maaf kepada rakyat.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) PKR Amir Ghazali pula dalam responnya memberitahu laporan polis yang dibuat pihaknya bukan berniat menghalang perhimpunan tanpa permit.

Sebaliknya, laporan tersebut berkaitan tindakan pemuda Umno negeri menggoncang pagar Dewan Undangan Negeri (DUN), yang didakwa berunsurkan provokatif.

"Kita buat laporasn polis bukan kerana perhimpuan haram...kita buat laporan Polis kerana provokasi pemuda Umno menggoncang pagar DUN Pulau Pinang."

Jelasnya, tindakan provokasi itu sekali gus seolah-olah menghina kewibawaan DUN dan kerajaan yang memerintah.

Beliau turut menjelaskan bahawa pihaknya turut membuat laporan polis berkaitan laporan palsu TV3 kononnya perhimpunan pemuda Umno tersebut ekoran sikap kerajaan negeri membohongi rakyatnya.

Dalam pada itu, beliau juga menjelaskan bahawa AMK menggalakkan sebarang perhimpunan aman sebagaiman yang dijamin dalam Perlembagaan dan UHDR.

Isnin lepas, lebih 100 pemuda Umno negeri melancarkan demontrasi di depan DUN Pulau Pinang.

Demontrasi tersebut ekoran beberapa tindakan kerajaan negeri yang didakwa tidak menguntungkan rakyat.

Selasa lepas, lebih 100 pemuda Umno negeri berhimpun di depan Bangunan Setiausaha Kerajaan Kelantan (SUK) membantah kepemimpinan Menteri Besar Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Bantahan tersebut ekoran kenyataan Nik Aziz menyeru rakyat berdoa agar Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak dibinasakan kerana enggan memberikan hak menguruskan wang royalti minyak negeri itu._harakahdaily.net

Jumaat, 4 Disember 2009

Pengawal nampak lembaga 'Teoh' di pejabat SPRM

Tiga individu mendakwa mereka ternampak satu lembaga yang menyerupai mendiang Teoh Beng Hock merayau-rayau di ibupejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Plaza Masalam, Shah Alam.


Menurut laporan akhbar China Press, lembaga tersebut dilihat di tingkat lima bangunan tersebut - tempat Teoh ditemui mati dan di tingkat 14, iaitu pejabat SPRM Selangor.

Laporan itu menyebut seorang pengawal keselamatan dan dua pegawai SPRM terserempak dengan lembaga itu sekitar bulan Oktober lalu - lebih dua bulan selepas Teoh ditemui mati.

Pengawal keselamatan tersebut yang enggan namanya disebut berkata, dia tidak nampak muka lembaga itu, tetapi ia berpakaian sama seperti yang dipakai mendiang ketika datang ke pejabat SPRM dulu.

"Saya nampak mayatnya selepas jatuh. Saya pasti ianya Teoh walaupun saya hanya lihat bahagian belakangnya," katanya sambil menambah kejadian itu berlaku kira-kira jam 6.30 petang.

Ketika mencerita semula kejadian itu, pengawal tersebut berkata dia pergi ke bilik air di tingkat lima di mana secara dia tiba-tiba terdengar bunyi orang berjalan. Pengawal keselamatan yang lain tidak bertugas ketika itu.

"Saya rasa pelik. Biasanya pada waktu itu tiada orang lain di situ. Lalu saya berjalan ke arah tandas... kemudian saya nampak seorang lelaki di depan lif, dia memakai kot hitam dan berseluar putih," katanya.


Pada masa itu, tidak terlintas di fikiran pengawal tersebut bahawa ia adalah lembaga yang menyerupai Teoh itu.

"Saya bertanya dia hendak ke mana kerana tiada orang di atas. Dia menjawab "saya nak naik ke atas", lalu masuk ke dalam lif.

"Ketika itulah saya terfikir yang dia nampak seperti Teoh, jadi saya bergegas ke bilik keselamatan untuk melihat CCTV, tetapi tiada seorang pun dalam lif tersebut._malaysiakini bm

Gempa bumi lagi di Janda Baik, selepas K. Pilah

Tidak lama selepas gegaran 3.3 pada skala Richter di Kuala Pilah, Negeri Sembilan hujung minggu lalu, satu lagi kejadian gempa bumi lemah direkodkan dekat Janda Baik pagi ini.

Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM), gempa 2.2 pada skala Richter berjadi 9.41 pagi ini yang berpusat 9km tenggara Janda Baik, Pahang.

Gegaran terakhir dirasai di kawasan tersebut berlaku pada 8 Oktober lalu jam 5.50 pagi, berukuran 2.8 pada skala Richter, di kawasan 25km dari pusat gempa pagi ini.

Empat kejadian gempa yang berpusat di 22km timur Seremban mula dikesan jam 2.30 petang Ahad, manakala tiga gegaran berikutnya berlaku dalam tempoh 24 jam seterusnya.

Menurut kenyataan JMM, kejadian 12.15 awal pagi Isnin berukuran 3.3 pada skala Richter, sementara terakhir pada 2.30 petang pula pada bacaan 3.0 skala Richter.

Sebelum dua kejadian terbaru ini, sejak penghujung 2007, Malaysia mencatatkan 40 gempa bumi lemah, tetapi yang ketara 37 daripadanya berlaku di sekitar garisan gempa bumi di Bentong, Pahang.

Tiga lagi gempa bumi itu di Manjung (Perak) dan Jerantut (Pahang).

JMM dilaporkan berkata sejak November 2007 sehingga Mei tahun lepas, sebanyak 29 gempa bumi dicatatkan di kawasan Bentong.

Kes terbaru pada 8 Okt lepas bagaimanapun mencatat gempa bumi paling kerap, sebanyak lapan kali dari pukul 4.45 pagi hingga 12.05 tengah hari, bermagnitud antara 1.1 hingga 2.8 skala Richter.

Kesemua gempa bumi itu dikesan di sekitar Bukit Tinggi dan Janda Baik yang mempunyai garis sesar berukuran 15 kilometer lebar dan 70 kilometer panjang.

JMM mempunyai 17 stesen pengesan gempa di seluruh negara._malaysiakini bm

MPS: Kami tidak ikut telunjuk DAP

Abdul Rahim Sabri


Kemaskini 3.31pm Majlis Perbandaran Seremban (MPS) tidak mengeluarkan notis berpindah rumah seorang ibu tunggal selepas desakan DAP didakwa wanita tersebut, kata Yang Dipertuanya Datuk Abd Halim Abd Latif.

"Saya bertindak atas dasar peraturan dan undang-undang, bukan kerana pembangkang. Saya tidak benarkan unsur-unsur dan pengaruh politik masuk dalam pentadbiran saya.

"Saya ikut peraturan, tidak ada kena mengena dengan parti politik. Penduduk sekeliling marah dan tidak berpuas hati.

"Rumah itu menghalang pintu masuk dan jejaskan laluan ke rumah mereka," katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Beliau diminta mengulas kebimbangan Zarina Bee Mohd Ibrahim kerana rumah yang sudah didiami oleh keluarganya lebih 130 tahun sejak 1876 di Kampung Temiang akan diroboh oleh MPS.

Zarina Bee, 65, yang kini menetap di rumah kayu itu bersama-sama seorang anak lelakinya, mendakwa tindakan MPS tersebut dibuat ekoran desakan parti pembangkang.

Wakil rakyat DAP bagi Temiang, Ng Chin Tsai semalam mengakui pernah menulis surat kepada MPS memohon memindahkan rumah tersebut atas alasan menghalang pembinaan jalan.

Bagaimanapun ADUN itu mendakwa beliau tidak pernah meminta pihak berkuasa tempatan itu merobohkan rumah Zarina Bee yang terletak di belakang pejabatnya.

Dihubungi pagi ini, Abd Halim berkata MPS bersedia menimbang melanjutkan tempoh untuk ibu tunggal itu berpindah dari rumahnya dan sedia berbincang dengan wanita itu.

Beliau bagaimanapun berkata tidak timbul isu bayaran pampasan kerana rumah itu dibina di atas tanah rizab jalan milik kerajaan negeri.

Abd Halim juga menjelaskan, isu pemindahan rumah Zarina Bee bukanlah satu perkara baru kerana arahan supaya beliau berpindah, telah dikeluarkan sejak 2005 lagi.

Bagaimanapun, katanya, wanita itu enggan berpindah dari itu dan isu tersebut berlanjutan hingga sekarang, tetapi beliau tidak pasti sebab mengapa enggan berbuat demikian.

Beliau menambah, MPS dan pejabat tanah pernah berbincang dengan Zarina Bee mengenai perkara itu dan ibu tunggal tersebut berjanji untuk untuk berpindah.

Bagaimanapun katanya, sehingga hari ini, Zarina Bee masih belum berbuat demikian.

Menurut Abd Halim lagi, MPS sedia berbincang dengannya kerana tidak mahu memaksa ibu tunggal itu tergesa-gesa berpindah.

Beliau juga berkata, difahamkan ibu tunggal tersebut mempunyai sebuah rumah yang lain.

"Kalau dia perlukan tiga bulan untuk berpindah (ke rumah baru), kita beri. Kita bukan zalim. Saya tunggu, tidak ada masalah," katanya._malaysiakini bm

Hizbut Tahrir: Kursus BTN 'program maksiat'

Abdul Rahim Sabri

Kemaskini 5.50pm Hizbut Tahrir Malaysia (HTM) membantah program Biro Tatanegara (BTN) dengan mendakwa ia satu bentuk "maksiat" kepada Allah apabila kursusnya menjurus kepada unsur mendewa-dewakan pemimpin negara secara "membabi buta".

"Daripada pengakuan dan penjelasan yang diberikan oleh kerajaan sendiri, apatah lagi oleh mereka yang pernah mengikuti program ini, ia jelas menjurus kepada maksiat kerana program ini menyemai rasa cinta kepada bangsa dan negara," satu risalah kumpulan itu dipetik.

"Dengan kata lain menyemai perasaan 'assabiyyah (perkauman) dan wathaniyah (kebangsaan) yang jelas diharamkan oleh Islam.

"Indoktrinasi agar mentaati pemimpin secara membabi buta juga jelas merupakan satu bentuk kemaksiatan kepada Allah, kerana para pemimpin yang ada (kini) memerintah dengan sistem sekular dengan menerapkan undang-undang kufur ke atas kita semua."

Risalah dua halaman bertajuk 'Indoktrinasi Yang Menyimpang Wajib Dibetulkan' diedarkan di beberapa masjid di ibu kota ketika solat Jumaat hari ini, antaranya Masjid Negara, masjid Bangsar dan masjid Kampung Baru.

Malaysiakini menyaksikan kira-kira 20 aktivis perkumpulan Islam antarabangsa itu, yang ditubuhkan pada 1950-an untuk menegakkan sistem khalifah Islam, mengedarkan risalah sehelai itu sebelum dan selepas solat di Masjid Negara.

Memetik tulisan risalah tersebut, HTM berkata kursus BTN sering menaikkan sentimen Melayu dan mendedahkan ancaman terhadap bangsa Melayu, lalu menyeru orang-orang Melayu "memberi ketaatan penuh kepada pemimpin walaupun korup agar tanahair tidak tergadai."

"Pendek kata, dalam (kursus) BTN, semua peserta akan dijelaskan bahawa semua dasar yang dilaksanakan oleh kerajaan adalah betul dan benar belaka, maka semuanya harus taat dan patuh, jangan mengkritik atau melawan! Itulah matlamat agung BTN," risalah itu dipetik.

Dengan menyifatkan BTN "satu senjata perang saraf kerajaan", Hizbut Tahrir berkata perdana menteri sendiri "tidak senang duduk dengan pendedahan (keburukan) ini."

"Siapa tidak tahu tentang propaganda Umno menerusi BTN, apatah lagi para peserta yang pernah mengikuti kursus tersebut?

"Selama ini kerajaan berjaya menutup kebusukan BTN, bukan kerana tidak ada pihak yang bersuara, namun suara mereka tidaklah sebesar suara kerajaan negeri Selangor," kata organisasi itu dalam risalah tersebut.

HTM juga menggesa umat Islam menegur dan membetulkan pemimpin daripada terus melakukan perkara maksiat itu.

"Haram dan berdosa bagi setiap Muslim yang berdiam diri atas kemaksiatan yang dilakukan oleh pemimpin.

"Penguasa wajib dimuhasabah apabila mereka menyeru kepada maksiat, merampas hak rakyat, mengabai kewajiban rakyat, melalaikan salah satu urusan rakyat, menyimpang daripada hukum-hukum Islam, atau memerintah dengan hukum selain yang diturunkan oleh Allah".

Risalah Suara Kebangkitan (atau Shoutul Nahdhah), yang mendapat permit penerbitan mingguan daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN), turut memetik maksud al-Quran dan hadis untuk menguatkan hujah mereka berhubung biro kontroversi bawah Jabatan Perdana Menteri itu.

Sementara itu, Ketua Cawangan HTM Kuala Lumpur Ahmad Kori Shafie, ketika dihubungi Malaysiakini petang ini, mengesahkan risalah tersebut memang diterbitkan oleh kumpulannya Ikatan Intelektual Nusantara (IKIN).

Sebelum ini, tambahnya, HTM juga sering menerbit dan mengedarkan risalah yang menjelaskan pendirian mereka di masjid-masjid sekitar Kuala Lumpur yang menjadi tumpuan umat Islam ketika hari Jumaat.

Setiap edisi termasuk edisi terbaru ini, kumpulannya sebagai mewakili HTM mengedarkan 10,000 keping risalah, tambahnya

Ahmad Kori, sebagai pengurus IKIN, berkata tiada masalah bagi orang ramai untuk membuat salinan risalah tersebut. "Kita tak akan saman orang yang hendak buat kerja baik," katanya.
 
_malaysiakini bm

Nik Aziz: Kita doa sampai pecah perut

Jimadie Shah Othman
Kemaskini 1.32pm Membalas bantahan sekumpulan penyokong Umno terhadap Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada Selasa lalu, ribuan penyokong menteri besar itu hari ini mengadakan satu demonstrasi di Kota Bharu.

Perhimpunan itu diadakan di Jalan Dato' Pati bermula jam 10 pagi tadi, sejurus selepas kuliah mingguan tokoh besar PAS itu di depan pejabat perhubungan PAS Kelantan.

Para penyokong Nik Abdul Aziz memakai lilitan kepala warna merah bertulisan putih "We Love Tok Guru" sambil mendengar ucapan beliau, exco kanan kerajaan negeri Datuk Husam Musa, pemimpin Pemuda PAS Dr Rosli Alani Abdul Kadir dan beberapa pemimpin lain.

Beberapa sepanduk lain dilaporkan turut dipamerkan, antaranya bertulis, "Kita Sayang Tok Guru Kita", "Kami Menyokong Kepimpinan Tok Guru Nik Aziz" dan "Royalti bui-builah" (bagi-bagilah).

Beberapa saksi di tempat perhimpunan itu memberitahu Malaysiakini, anggota-anggota polis dilihat mengawal sepanjang jalan tersebut.

Dalam ucapannya, seperti disiarkan secara langsung melalui Internet, Nik Abdul Aziz antaranya menyifatkan penafian terhadap bayaran royalti minyak seperti dituntut kerajaan negeri sebagai "melanggar keadilan asasi".

"Perkara ini bercanggah dengan (prinsip) keadilan asasi. Selagi tidak bagi (royalti petroleum), kita doa sampai pecah perut orang itu," kata mursyidul am PAS, dengan sorakan para penyokongnya.

Nik Abdul Aziz mengaitkan perkara itu dengan bantahan masyarakat bukan Islam yang menentang peraturan kawalan arak ketika beliau baru memimpin Kelantan, 19 tahun lalu.

"Ada (ahli masyarakat) yang kata hendak buat pesta minum arak. Bila wartawan tanya saya (perkara itu), saya kata, bagi dia minum sampai pecah perut," katanya, disambut gelak ketawa penyokong.

Tambahnya, hasil penjelasan itu, semua pihak menyambut baik tindakan kerajaan negeri.

Selasa lalu, ratusan penyokong Umno, yang diketuai seorang pemimpin bahagian Pasir Mas, mengadakan demonstrasi di depan kompleks Kota Darulnaim bagi mendesak Nik Abdul Aziz memohon maaf kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berhubung ugutan untuk berdoa bala terhadapnya.

Mereka, yang menggunakan nama Jemaah Rakyat Prihatin Kelantan, juga mendesak menteri besar melepaskan jawatannya.

Nik Abdul Aziz menyatakan hasratnya untuk berdoa sedemikian sebagai reaksi terhadap keengganan kerajaan persekutuan menyerahkan bayaran royalti minyak kepada Kelantan, sebaliknya sekadar menyerahkan wang ehsan.

Sementara itu, mengulas kritikan terhadap kepimpinannya akhir-akhir ini, Nik Abdul Aziz berkata, serangan itu dibuat ekoran "rasa cemas" BN dalam usaha menutup masalah dalaman parti-parti komponennya.

"Dia (BN) hendak tipu budak-budak dengan hantu boleh. Tetapi hendak tipu pengundi Kelantan tidak boleh," katanya.

Perhimpunan sejam itu berakhir dengan laungan takbir para penyokongnya. Tiada sebarang perarakan dibuat, walaupun terdapat ura-ura mengenainya sebelum ini.

Kepemimpinan Nik Abdul Aziz akhir-akhir ini menerima pelbagai kritikan susulan beberapa isu, antaranya pelantikan menantunya Abdul Ariffahmi Ab Rahman sebagai ketua pengarah eksekutif (CEO) Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) dan tajaan haji daripada seorang kontraktor.

Anak syarikat kerajaan (GLC) itu juga sedang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) berhubung dakwaan berlakunya penyelewengan dan salah guna kuasa.

Belum reda isu itu, Nik Abdul Aziz menimbulkan pula kontroversi baru apabila mendakwa terdapat usaha menjatuhkannya yang didalangi oleh seorang pegawai tentera yang dikenali sebagai "Kolonel Mat."_malaysiakini bm

Puluhan ribu rakyat berhimpun sokong Tok Guru




KOTA BHARU, 4 Dis: Pusat bandar Kota Bharu penuh sesak dengan kebanjiran lautan manusia menghadiri perhimpunan menyokong kepimpinan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Apa yang jelas ia ratusan kali ganda lebih ramai berbanding demontrasi mendesak Menteri Besar Kelantan meletak jawatan di hadapan Kota Darulnamim Selasa lalu, kata Ketua Penerangan PAS, Ahmad Baihaki Atiqullah.
Biarpun cuaca redup dengan hujan sekali sekala lebat, ia tidak menghalang puluhan ribu rakyat Kelantan hadir menyatakan kasih dan sayang mereka kepada Tok Guru Nik Abdul Aziz.


Ada yang datang dari Besut, Gua Musang, Jeli, Kuala Krai dan negeri-negeri lain bagi meramaikan lagi perhimpunan tersebut.Pelbagai sepanduk dapat dilihat, ada yang bertulis ‘Kita Sayang Tok Guru Kita’, ‘Kami Menyokong Kepimpinan Tok Guru Nik Aziz’, ‘Royalti bui-builah (bagi-bagilah)’ dan ramai yang memakai lilit kepala bertulis ‘We Love Tok Guru’.

Tidak kurang juga kelihatan ramai anggota polis yang terpaksa berkawal di sepanjang jalan.



Medan Ilmu di Jalan Tok Pati menyaksikan sokongan terhadap kepimpinan Tok Guru Nik Abdul Aziz tidak pernah surut.
Hadir sama anggota-anggota Exco kerajaan negeri, wakil-wakil rakyat, Ketua-ketua Dewan Ulamak PAS Kelantan, Datuk Mohamed Daud dan penduduk bukan Islam serta pemimpin KeADIlan negeri.

Lebih menarik lagi apabila pemimpin masyarakat Cina, India dan Siam turut berucap di hadapan ribuan yang hadir.

Ah Seng mewakili masyarakat Cina menyatakan kaum tersebut di Kelantan dapat hidup aman damai di bawah pemerintahan PAS yang dipimpinan Tok Guru.
“Masyarakat Cina berdiri teguh di belakang Tok Guru. Kami masyarakat Cina menentang keras usaha-usaha pihak lawan yang mahu menjatuhkan Menteri Besar,” katanya diikuti laungan takbir orang ramai.

Tharuman wakil masyarakat India juga menyatakan masyarakat India di Kelantan memberi sokongan tidak berbelah bagi kepada Tok Guru.

Ucapan dalam bahasa Tamil membuat orang ramai menjadi riuh rendah seketika.

Wakil institusi pondok tradisional di Kelantan, Ustaz Awang Yusof dari Pondok Gelang Mas, Pasir Mas secara terbuka meminta rakyat Kelantan tanpa mengira agama dan bangsa memberi sokongan padu kepada Tok Guru Nik Abdul Aziz.

Wakil KeADILan yang begitu bersemangat berucap berkata, ribuan rakyat yang hadir hari ini tidak dibayar sesen pun untuk hadir menyatakan sokongan kepada Menteri Besar.

“Tidak ada sebuah kerajaan yang bersih di negara ini kecuali Kelantan sepanjang ditadbir Tok Guru hampir 20 tahun,” ujarnya.

Beliau juga mencabar pemuda Umno berdebat pada bila-bila masa untuk membincang isu royalti yang menjadi hak milik rakyat negeri ini cuba dinafikan perdana menteri._siasahdaily

PMBK: Menantu Nik Aziz letak jawatan Mac depan

Jimadie Shah Othman

Menantu menteri besar Kelantan, Abdul Ariffahmi Ab Rahman akan meletak jawatan sebagai ketua pegawai eksekutif (CEO) Kumpulan Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) berkuatkuasa 23 Mac 2010.

Dalam satu kenyataan hari ini, Abdul berkata, berdasarkan terma surat pelantikannya, beliau perlu memberi notis 90 hari untuk meletak jawatan.

azlanBerikutan itu, katanya, beliau akan memberi notis peletakan jawatannya pada 24 Disember ini.

"Ini bermakna tarikh akhir saya akan berada di pejabat ialah pada 23 Mac 2010," katanya, sambil menambah tarikh rujukan itu berpandukan kalendar hijrah yang menjadi amalan sistem bayaran gaji oleh PMBK.
Menurutnya, perkara itu diputuskan setelah mengambil kira masa yang perlu diambil oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat untuk mencari penggantinya untuk menerajui PMBK.

Abdul Ariffahmi berkata, ia bertujuan untuk memastikan PMBK dapat beroperasi seperti biasa setelah ketiadaan beliau.

"Dalam tempoh yang sama, tempoh ini akan diambil untuk menyiapkan kerja-kerja akhir merujuk kepada beberapa perkara yang telah diputuskan oleh ahli lembaga pengarah PMBK sebelum ini," katanya.
Merujuk kepada sidang media bersama beliau dengan Nik Aziz pada 23 november lalu, Ariffahmi berkata, beliau sentiasa patuh kepada pucuk pimpinan dan akur dengan nasihat menteri besar kelantan itu supaya meletak jawatan sebagai CEO PMBK.
"Dalam sidang media tersebut, Tuan Guru (Nik Aziz) menasihatkan saya untuk menetapkan tarikh yang sesuai bagi tujuan peletakan jawatan saya selaras dengan terma-terma pelantikan," katanya dalam kenyataan itu.

Sebelum itu, ketika dihubungi Malaysiakini kira-kira jam 2.40 petang tadi, Abdul Ariffahmi berkata beliau akan mengeluarkan kenyataan hari ini berhubung tarikh peletakan jawatannya dalam PMBK.

Pada 25 November lalu, Nik Aziz diminta menasihatkan Abdul Ariffahmi meletakkan jawatan bagi "menutup segala pintu fitnah" terhadapnya.

Keputusan itu dicapai ekoran mesyuarat khas Nik Aziz yang juga mursyidul am parti itu bersama timbalannya Datuk Dr Haron Din, presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang, naib presiden Salahuddin Ayub dan bendahari agungnya, Dr Hatta Ramli._malaysiakini bm

'Tiada kaitan dengan blog Kickdefella'

Jimadie Shah Othman

Menantu menteri besar Kelantan, Abdul Ariffahmi Abd Rahman menafikan pengumumannya hari ini - mengenai tarikh peletakan jawatannya sebagai ketua pengarah eksekutif (CEO) Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) - berkaitan dengan tulisan blog yang mempertikaikan kesediaannya berbuat demikian.

Sebelum kenyataan menantu Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat itu dikeluarkan petang ini, bekas pegawai perhubungan korporat PMBK menulis dalam blognya pagi tadi dengan mendakwa CEO itu dijangka tidak akan meletak jawatan dalam masa terdekat ini.

"Nampaknya Tok Guru Nik Aziz begitu hebat bersandiwara. Abdul Ariffahmi belum letak jawatan dan tiada rancangan terdekat untuk letak jawatan," kata Syed Azidi Syed Abdul Aziz yang bertelagah besar dengan CEO itu.

"Tok Guru Nik Aziz sokong tindakan Abdul Ariffahmi menangguhkan perletakan jawatannya."

Syed Azidi, yang dekat dengan exco kanan kerajaan negeri Datuk Husam Musa, dipecat daripada PMBK pada 11 November lalu walaupun kontrak perkhidmatannya tamat April tahun depan.

Pemecatan itu dibuat selepas Abdul Ariffahmi dan PMBK disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan kronisme dalam perbadanan tersebut.

Menulis di blognya Kickdefella, Syed Azidi mendakwa bahawa tindakan menangguhkan peletakan jawatan Abdul Ariffahmi sebagai satu bentuk sandiwara mursyidul am PAS.

"Apakah sandiwara begini hendak PAS jaja buat mereka yang mengundi PAS?" coretnya pagi tadi, dengan mendakwa beliau telah mengirim mesej SMS kepada pemimpin parti itu dan PKR berhubung perkara tersebut.

"Pilihan raya umum ke-12 mungkin pilihan raya umum terakhir buat Tok Guru Nik Aziz tetapi yang pasti bukan terakhir buat PAS. Saya bertahan tidak mahu insiden ini menjadi persepsi (negatif) pada PAS dan Islam. Tetapi semuanya berakhir di sini.

"Ternyata insan-insan kecil dan kakitangan PMBK tiada erti buat Tok Guru Nik Aziz berbanding anak-beranaknya.

"Mengapa lagi perlu ada rasa hormat daripada insan kecil buat Tok Guru Nik Aziz, parti dan individu yang membelanya?"

Mengulas dakwaan di blog itu, Abdul Ariffahmi yang juga exco Pemuda PAS Kelantan memberitahu Malaysiakini petang ini:

"Saya memang sudah merancang untuk membuat kenyataan hari ini."

Dalam kenyataan rasmi berhubung tarikh peletakan jawatannya, Abdul Ariffahmi berkata penentuan tarikh pada 23 Mac 2010 dibuat dengan mengambil kira faktor masa untuk menyiapkan beberapa kerja-kerja akhir.

Menurutnya, tarikh itu dibuat berdasarkan terma surat pelantikannya di mana beliau perlu memberi notis 90 hari untuk meletak jawatan.

Beliau akan memberi notis peletakan jawatannya sebagai CEO perbadanan itu pada 24 Disember ini walaupun mengumumkan untuk meletakkan jawatan sebulan labih awal, 23 November lalu.

Tarikh-tarikh itu diputuskan hasil perbincangan dengan Nik Abdul Aziz dan pengurusan PMBK, kata Abdul Ariffahmi dalam kenyataannya itu._malaysiakini bm

Kes Nirmala: Surirumah dipenjara 12 tahun

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengurangkan hukuman penjara 18 tahun kepada 12 tahun terhadap surirumah Yim Pek Ha yang
didapati bersalah mencederakan pembantu rumahnya warga Indonesia, Nirmala Bonat pada 2004.

Pesuruhjaya Kehakiman Azman Abdullah juga membenarkan permohonan lisan peguam Yim, Datuk Jagjit Singh untuk penangguhan pelaksanaan hukuman walaupun dibantah oleh timbalan pendakwa raya Rozela Raja Toran.

Yim, yang mempunyai empat orang anak berusia antara empat dan 11 tahun, kelihatan menitiskan air mata selepas mendengar keputusan hakim.

abused indonesian maid nirmala bonat then and now 170108Azman, dalam penghakimannya, berkata setelah meneliti fakta kes dan rayuan, beliau mengekalkan penyabitan Yim, 41, untuk pertuduhan pertama dan kedua.

Beliau berkata mahkamah telah mengambil kira hukuman maksimum 20 tahun bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan hakim Mahkamah Sesyen yang menjatuhkan hukuman penjara sejumlah 18 tahun untuk setiap pertuduhan telah sampai kepada hukuman paling tinggi boleh dikenakan bawah seksyen tersebut.

"Setelah meneliti fakta kes dan kecederaan yang dialami oleh mangsa serta rayuan pihak pembelaan bahawa tertuduh merupakan pesalah pertama serta mempunyai empat orang anak yang masih kecil, dengan ini saya mengurangkan hukuman penjara untuk kedua-dua pertuduhan ini daripada 18 tahun kepada lima tahun," kata Azman.

Bagaimanapun Azman membenarkan rayuan pihak pendakwaan untuk kedua-dua hukuman berjalan secara berasingan, berbanding dengan perintah Mahkamah Sesyen yang merintahkan untuk berjalan secara serentak.

Azman berkata beliau akan memberikan alasan penghakimannya secara lebih terperinci kemudian.

Pada 27 Nov tahun lepas, Yim didapati bersalah atas dua pertuduhan mencederakan Nirmala menggunakan seterika dan satu lagi tuduhan menyimbah air panas terhadap mangsa di Villa Putera, Jalan Tun Ismail di Kuala Lumpur pada Januari, Mac dan April 2004.

Bagi pertuduhan ketiga, hakim membenarkan rayuan Yim untuk menggugurkan penyabitan dan hukuman penjara 18 tahun oleh Mahkamah Sesyen kerana kekeliruan dalam kertas pertuduhan.

Beliau berkata ini berdasarkan keterangan Nirmala di mahkamah yang menyatakan kejadian beliau diserang dengan seterika berlaku pada Mac dan bukan pada April.

Pihak pendakwaan seharusnya meminda kertas pertuduhan tetapi telah gagal berbuat demikian, kata hakim.

Sementara itu bagi pertuduhan keempat, Azman membenarkan rayuan pihak pendakwaan dengan menyabitkan Yim atas pertuduhan mencederakan Nirmala dengan sebiji cawan besi di tempat yang sama pada 17 Mei 2004.

Untuk tuduhan ini Yim dipenjara dua tahun dan hukuman berjalan secara berasingan dengan hukuman sebelum ini. Sebelumnya beliau dilepaskan dan dibebaskan daripada pertuduhan itu.

Azman, dalam penghakimannya, turut menyatakan bahawa ketika Nirmala memberi keterangan beliau tidak menunjukkan sebarang tanda mempunyai penyakit sawan atau tidak siuman.

"Keterangan Nirmala mengenai kecederaan yang dialaminya adalah sejajar dengan laporan perubatan dan keterangan pakar serta beliau tidak mempunyai peluang untuk mengadu kepada sesiapa mengenai penderaan yang dilakukan kepadanya," kata beliau.

Azman juga berkata secara logiknya sebagai seorang ibu, Yim seharusnya menjaga pembantu rumahnya dengan baik.

"Berdasarkan gambar-gambar yang dikemukakan, kesakitan yang dialami oleh mangsa tidak boleh digambarkan langsung," kata hakim.

Azman mengingatkan Yim bahawa hukuman yang dijatuhkan terhadap beliau adalah memberi ingatan dan pengajaran kepada orang lain untuk tidak melakukan perbuatan seperti itu terutamanya pada yang lemah.

"Apatah lagi terhadap isteri, kanak-kanak, orang gaji dan mahupun terhadap binatang," tegasnya.

Selepas keputusan itu, Raja Rozela berkata beliau akan membuat rayuan terhadap hukuman penjara tersebut. BERNAMA_malaysiakini bm

Khamis, 3 Disember 2009

Chin Peng sedia berdepan tribunal jenayah perang

Low Chia Ming
Bekas pemimpin Parti Komunis Malaysia (PKM), Chin Peng bersedia dihadapkan ke tribunal jenayah perang sekiranya ianya benar-benar adil dan bebas.

chin peng interview 021209 01Bekas setiausaha agung PKM itu - yang kini sudah berusia 85 tahun - menyuarakan kesediaannya itu ketika diwawancara Malaysiakini selepas majlis ulangtahun Perjanjian Damai Hatyai yang ke-20, di Hatyai Isnin lalu.

"Jika ianya sebuah mahkamah yang benar-benar adil dan bebas, saya akan hadir.

"Tetapi ia mustahil (adil dan bebas). Jika hakim-hakim dilantik oleh kerajaan Malaysia, saya tidak akan hadir," katanya.

Ditanya sama ada rakan-rakan seperjuangannya yang lain, juga harus dihadapkan ke tribunal tersebut, Chin Peng menjawab:

"Itulah masalahnya, (saya didiskriminasi) hanya kerana saya bukan Melayu."

Bila diberitahu bahawa Abdullah CD pernah mengakui dalam memoirnya mengenai serangan ke atas sebuah balai polis di Pahang, Chin Peng berkata seingatnya, beliau tidak pernah membunuh seorang pun orang awam.

chin peng interview 021209 03Sewaktu zaman darurat, katanya, pihak tentera dan polis juga telah membunuh ramai orang.

"Tetapi mengapa hanya saya sahaja yang harus berdepan dengan semua tuduhan tersebut?" soalnya.

Sewaktu darurat, menurut Chin Peng, British berperang hanya untuk mengekalkan kuasa penjajahannya manakala anggota PKM pula pejuang sebenar untuk kebebasan dan kemerdekaan negara.

Mengenai dakwaan yang beliau tidak pernah memohon untuk pulang ke Malaysia - sewaktu tempoh setahun yang diberikan untuk berbuat demikian selepas Perjanjian Damai Hatyai - Chin Peng berkata, beliau telah memohon tetapi telah dipermain-mainkan oleh para pegawai Malaysia.

"Mereka minta saya jumpa (mereka) di sempadan, tetapi selepas tiga jam berkejar ke beberapa lokasi (yang disuruh), tidak ada pun wakil rasmi. Walaupun lama menunggu, tiada seorang pegawai pun yang muncul," tambahnya.

Berikutan itu, katanya, beliau merasa seperti 'diperbodoh-bodohkan' dan serik untuk berbuat demikian lagi.

Chin Peng juga berkata, tidak guna baginya membuat bantahan secara terbuka mengenai layanan buruk terhadapnya itu kerana media juga dikawal oleh pihak kerajaan.

Ditanya mengenai beliau yang tidak dapat menunjukkan rekod kelahirannya untuk membuktikan beliau rakyat Malaysia, Chin Peng berkata, beliau tidak pernah menyangka yang soal kewarganegaannya akan dipertikaikan.

"Saya dilahirkan di Malaysia, maka tentunya saya termasuk dalam mereka 'yang berasal dari Malaysia' seperti yang disebut dalam Perjanjian Damai Hatyai," katanya.

Menurutnya, jika pihak berkuasa meminta bukti kewarganegaraannya sewaktu rundingan damai tersebut, sudah tentu beliau akan meminta keluarganya menadpatkan bukti-bukti yang diperlukan.

Ditanya mengapa kerajaan sendiri tidak menyemak perkara itu dalam arkib pendaftaran negara, Chin Peng mengesyaki rekod kelahirannya telah dimusnahkan.

Chin peng juga menegaskan bahawa beliau tidak akan meminta bantuan Thailand untuk menyelesaikan pertikaian beliau dan kerajaan Malaysia itu.

NONEBeliau berkata, masalahnya adalah dengan kerajaan Malaysia dan menurutnya, adalah tidak betul untuk meminta negara lain campur tangan.

Lagi pula, katanya, kepimpinan kerajaan Thailand sekarang mungkin tidak bersedia untuk membantunya.

Tambahnya, pucuk pimpinan di Thailand sudah bertukar tangan. "Jika Chavalit (Yongchaiyudh) masih berkuasa, saya boleh cuba."

Chavalit adalah bekas panglima angkatan tentera Thailand yang menandatangani Perjanjian Damai Hatyai dan bekas perdana menteri Thailand.

Chin Peng - kini seorang datuk berusia 85 tahun - teringin sekali pulang ke tanahairnya.

Berasal dari Sitiawan, Perak, Chin Peng yang nama sebenarnya, Ong Boon Hua, mahu pulang menziarahi kubur ibubapanya serta kembali ke pangkuan keluarganya.

Tetapi kerajaan Malaysia berkeras tidak membenarkan beliau pulang, atas alasan setiausaha agung Parti Komunis Malaya (PKM) yang telah dibubarkan itu, tidak boleh dimaafkan atas kekejaman pasukan tersebut.

Chin Peng yang kini tinggal di Thailand, tidak menolak kemungkinan bahawa bangsa menjadi faktor di sebalik punca beliau seorang sahaja anggota KPM yang dilarang pulang ke Malaysia.

Ditanya mengapa kerajaan Malaysia menentang kepulangannya, bapa dua orang anak itu, pada mulanya menjawab bahawa ia satu soalan yang sukar untuk dijawab.

NONETetapi apabila kes Abdullah CD (kiri) disebut, di mana bekas pengerusi PKM itu dibenarkan pulang serta diterima mengadap Sultan Perak, Chen Peng tidak menolak kemungkian ia disebabkan oleh diskriminasi kaum.

"Mungkin (ia disebabkan) saya bukan Melayu," katanya.

Ditanya, sama ada beliau merasakan kepulangannya akan memberi impak kepada suasana politik negara ini, sekiranya dia pulang lama dahulu, Chin Peng berkata: "Ya, saya mungkin membabitkan diri dalam aktiviti politik dan memimpin pihak pembangkang.

Bagaimanapun, beliau mengakui bahawa suasana politik negara sudah banyak berubah dan mungkin tiada lagi peranan yang boleh dimainkannya._malaysiakini bm

Aduan polis isu RM10 juta milik MB N. Sembilan

Abdul Rahim Sabri

Walaupun menteri besar Negeri Sembilan sedang disiasat Bank Negara berhubung dakwaan pemindahan wang RM10 juta ke luar negara, ia tidak menghalang satu aduan polis isu yang sama dibuat lagi di Bukit Aman.

Datuk Seri Mohamad Hassan, dikaitkan dengan kegiatan itu, apabila bank pusat Malaysia membatalkan 20 lesen perniagaan pengurup wang hujung Oktober lalu.

Beliau didakwa memindahkan wang tersebut pada Mac tahun lalu melalui syarikat Salamath Ali Money Changer Sdn Bhd.

Bank Negara menyatakan syarikat pengurup wang itu melanggar Seksyen 30 Akta Pengurupan Wang 1998 dan lesennya dibatalkan pada 26 Oktober lalu.

Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) membawa perkara tersebut ke ibu pejabat polis persekutuan di Bukit Aman pagi tadi bersama dua lagi isu.

Isu-isu itu: Dakwaan pembabitan adik perdana menteri dalam pertukaran akuan bersumpah seorang penyiasat persendirian yang mengaitkan hubung Datuk Seri Najib Razak dengan Altantuya Shaariibuu dan juga dakwaan seorang setiausaha politik perdana menteri dengan politik wang dalam Umno.

Penyelaras SAMM Badrul Hisham Shaharin, yang membuat aduan tersebut, mempertikaikan tindakan Bank Negara yang telah membatalkan lesen Salamath Ali Money Changer Sdn Bhd tetapi "tiada tindakan terhadap Mohamad yang menghantar wang dan penerima wang tersebut."

"Tindakan menghantar wang tunai dalam jumlah yang besar adalah menstabotaj ekonomi dan mengkhianati negara.

"Jabatan Siasatan Jenayah Komersil didesak memulakan siasatan berkenaan perkara ini," katanya, yang juga seorang pemimpin PKR yang berasal dari negeri itu.

Badrul Hisham, yang dikenali Chegu Bard, menyerahkan satu dokumen 52 halaman berhubung ketiga-tiga kes tersebut.

"Laporan ini juga sebagai 'ujian litmus' kepada ketua polis negara (Tan Sri Musa Hassan) dan institusi Polis Diraja Malaysia itu sendiri sama ada benar-benar bebas atau sekadar alat kepada rejim pemerintah," tambahnya.

Beliau berharap aduannya ini disiasat tanpa kepentingan politik atau kumpulan tertentu demi menjamin kepentingan negara dan rakyat seluruhnya._malaysiakini bm