| Subky Latif |
MACAM-macam orang kata: PAS sudah diperalat DAP; PAS telah menggadai prinsipnya kerana bersekutu dengan DAP; tiada lagi PAS dihormati oleh muafakatnya dengan DAP; bahkan dengan persefahaman itu PAS dikatakan tiada lagi memperjuang Islam dan kepentingan orang Melayu. Tiada dihirau oleh PAS. Bertambah kerap gambar kelihatan Tok Guru Haji Abdul Hadi Awang bersama Lim Kit Siang. Dan Tok Guru Nik Abdul Aziz pula menolak berpecah PAS dan DAP sekalipun beberapa wakil rakyat PKR meninggalkan Pakatan Rakyat. Menteri Besar Kelantan itu sangat gembira dengan hubungan yang ada kerana ia membuka ruang dakwah orang bukan Islam, malah beliau merasakan DAP sudah tidak sensitif lagi dengan pandangan Islam yang dibawa oleh PAS. Jalinan yang ada itu mulanya justeru politik yang menimpa Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bolehlah dikatakan peranan dan kebijaksanaan Anwarlah yang merapatkan kedua parti itu boleh berada di bawah satu bumbung. Dikenang kejadian lampau, seolah-olah tiada lorong bagi kedua parti pembangkang itu untuk bekerjasama malah untuk berdekat-dekat. Pernah bertempur PAS pusat dengan Dewan Pemuda PAS pusatnya atas isu kemungkinan kerjasama PAS dan DAP. Di hujung kepimpinan Datuk Asri, pernah beliau menyebut kemungkinan kerjasama kedua parti itu apabila soalan itu ditanya wartawan. Pemuda menolak sekalipun kenyataan Datuk Asri itu berlandas kepada teori kemungkinan. Bagi kumpulan popular PAS masa itu, teori kemungkinan tidak terpakai dalam isu itu. Bahkan ia dikatakan suatu yang mustahil. Malah DAP sendiri tidak boleh dilihat bersua dan bertemu PAS. Akan payah ia menghadapi situasi apabila masyarakat Cina menempelaknya sudah bersekongkol dengan PAS. Dalam majlis keramaian pemimpin DAP menjauhi pemimpn PAS dan pemimpin PAS mengelak dari berdekatan dengan DAP. Pemimpin kedua pihak hanya boleh berada dalam satu pentas forum di universiti saja. Apabila Tengku Razaleilgh Hamzah yang memimpin S46 mengadakan hubungan dengan PAS dan DAP, Ku Li mengadakan pertemuan yang berasingan. Hubungan yang seperti itu pun menyebabkan PAS dan DAP terpaksa memahamkan orang ramai bagi menjernihkan keadaan. Terpaksa PAS mengeluarkan kenyataan menyamakan keadaan itu seperti hubungan diplomasi antara Malaysia dengan Singapura. Malaysia tiada hubungan diplomatik dengan Israel. Singapura ada hubungan itu dengan Israel. Tetapi ia tidak menghalang Malaysia meneruskan hubungan dengan Singapura. DAP juga membuat penjelasan yang sama tetapi yang digunakan ialah hubungan Malaysia dengan Amerika. Boleh Malaysia mengadakan hubungan dengan Amerika sekalipun Amerika bersaudara dengan Israel. Itulah situasai politik yang disusun oleh UMNO selama-lamanya. Tetapi ia sudah berubah. Kedua-duanya sudah bersama dan ziarah menziarahi. Adalah politik yang menimpa Anwar membuka medan baru bagi kedua PAS dan DAP. Dengan hubungan yang ada, kalau ditakdirkan PKR tidak ada seperti yang diinginkan oleh UMNO, maka sudah boleh keduanya tidak menggunakan khidmat pihak ketiga. Sekalipun yang terjadi pada Anwar itu satu musibah yang perit bagi Anwar dan ia satu tragedi kepada Malaysia, tetapi ia seperti memberi rahmat kepada PAS dan DAP. Jika Anwar tidak dibuang Dr. Majathir dari UMNO dan kerajaan, maka tidak diketahui apa yang memungkinkan PAS dan DAP berkawan seperti abang adik? Apa yang ditunggu bagi mendekatkannya sedang gandingan antara DAP dan PAS itu adalah satu tuntutan yang penting bagi politik Malaysia untuk keluar dari kuasa politik satu parti? Tidak tahu apa yang ada dalam otak Dr. Mahathir, dia membuang Anwar dari kumpulannya dan menyimpannya di Penjara Sungai Buluh. Apabila Anwar ditahan serta beberapa orang lagi penyokongnya, Ustaz Fadzil Noor, Presiden PAS ketika yang berada di Jalan Pahang, Kuala Lumpur bersama Mahfuz Omar (kini datuk) memanggil saya. Perintahnya supaya kami memanggil parti-parti politik dan individu yang terkemuka dalam masyarakat termasuk DAP. Datang Lim Kit Siang dalam satu perjumpaan di Markaz Taman Melewar. Perjumpaan itu membentuk GERAK bagi menyatakan tentangan terhadap tindakan ke atas Anwar. Geraklah yang menggerakkan permulaan hubungan antara DAP dan PAS. Markaz Tarbiyah itulah yang memainkan peranan tempat pertemuan kedua pihak dan nasib malang Anwar yang menemukan mereka. Tempoh berbulan madunya tidak lama. Probokasi Dr. Mahathir dan UMNO menyebabkan muafakat Barisan Alternatif PAS-DAP itu tidak lama. Tinggallah Barisan Alternatif dengan PAS, KeADILan dan PRM sedang Anwar terus terbelenggu di Sungai Buluh. Setelah beberapa tahun mahkamah membebaskan Anwar. Apabila Anwar berada di luar penjara, dia memainkan peranan membawa semula DAP dan PAS dalam satu jalinan baru bersama KeADILan yang sudah menjadi PKR. Kerjasama ketiganya memukul terus Barisan Nasional dalam Pilihan Raya Umum 8 Mac, 2008 hingga BN hilang majoriti dua pertiga di Parlimen, ia gagal menawan Kelantan dan ia merudum pula di Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor. Ia juga kecewa di Wilayah Persekutuan. Ia masih tiga parti tetapi tidak berlawan sama sendiri dalam pilihan raya. Lepas itu baru mereka membentuk parti kumpulan kedua yang dinamakan Pakatan Rakyat dan menjadikan Anwar sebagai ketua pembangkang pemimpin de fakto Pakatan itu. Anwar cuba dibinasakan lagi sebagai usaha membinasakan Pakatan Rakyat. Peranan Anwar itu penting dan masih penting. Teori UMNO ialah jika Anwar binasa, PKR binasa dan Pakatan Rakyat juga binasa. Tetapi peranan Anwar itu sudah merapat kukuh muafakat PAS dan DAP. Jika ditakdir Anwar dibinasakan, ia tidak lebih dari pemimpin boleh datang dan boleh pergi. Kit Siang, Ustaz Hadi, Tok Guru Nik Aziz juga boleh pergi, tetapi PAS, DAP dan PKR sudah berada pada rel yang selesa._harakahdaily.net |
Sahabat Purnama
Selasa, 23 Mac 2010
Apa orang kata, PAS dan DAP bertaut juga
Kewibawaan Ahmad Awang sebagai ulama
| Subky Latif |
| SEORANG Mufti kanan dan beberapa ulama yang pernah dan sedang berkhidmat dengan kerajaan Barisan Nasional menegur cadangan bekas Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Ahmad Awang yang sedia menganjur solat hajat terhadap AP Bagan Serai yang keluar dari PKR. Kiranya Anggota Parliman yang khianat pada partinya dan pengundinya yang memenangkannya dalam pilihan raya umum 8 Mac 2008 tidak rojok kepada partinya atau tidak mengosongkan kerusinya dalam masa tujuh hari, Ahmad Awang mahu menganjurkan solat hajat tujuh hari atau tujuh malam. Maka beberapa ulama rasmi memberi ingatan keras kepada anjuran solat hajat itu. Seolah-olah solat hajat itu berhajat buruk. Tidak boleh solat hajat yang berhajat buruk. Ada benar hukumnya, solat hajat tidak boleh untuk tujuan buruk. Apakah Ustaz Ahmad Awang tidak tahu hukum itu? Adalah wajar mufti dan sekalian ulama mengingatkan hukum itu. Apabila ulama rasmi mengeluarkan ingatan keras itu, tentunya mereka tidak menujukannya terhadap orang jahil tetapi ia ditujukan kepada Ahmad Awang, seorang ahli ilmu Islam yang ada kelayakan juga untuk menjadi mufti. Tidakkah amat rendah pandangan mereka itu terhadap ilmu dan wibawa Ust. Ahmad Awang? Sebagai manusia Ahmad Awang ada kelemahan dan ada kekuatannya. Tetapi beliau bukan orang jahil yang layak diberi amaran oleh mufti dan ahli-ahli ilmu yang lain. Adalah benar dalam usia lanjutnya beliau seorang pemimpin tinggi PAS, tetapi beliau sebelumnya adalah Yang Dipertua Persatuan Ulama Malaysia sekitar 30 tahun. Persatuan Ulama itu diasaskan oleh Almarhum Ustaz Mahyudin Musa, seorang ulama yang dihormati yang berkhidmat dengan kerajaan Malaysia. Jawatan terakhirnya dalam kerajaan ialah pegawai kanan agama di Kementerian Pelajaran. Ustaz Mahyuddinlah Yang Dipertuanya yang pertama dan pertubuhan itu adalah bagi menyatukan para ulama Malaysia tidak kira yang berkhidmat dengan kerajaan dan di luar kerajaan. Ulama adalah orang yang tahu akan keperluan bersatu, maka itu tempat mereka patut bersatu. Mufti dan apa jua kedudukan tinggi dalam kerajaan dan masyarakat wajar bersatu dan itulah tempatnya. Kalau ulama termasuk mufti menyeru umat Islam supaya bersatu, maka mereka perlu dulu bersatu dan tempatnya yang paling baik ialah Persatuan Ulama yang diasaskan oleh Ustaz Mahyuddin itu dan tokoh itu adalah orang yang cukup dekat dengan pemimpin-pemimpin kerajaan – Perdana Menteri dan menteri-menterinya. Apabila Ustaz Mahyuddin meninggal awal tahun 70an, Ustaz Ahmad Awanglah gantinya baik sebagai ketua PUM bahkan jawatan yang disandangnya di kementerian pelajaran. Ustaz Mahyudin Musa pernah menjadi tenaga pengajar di Kolej Islam Kelang dan Ahmad Awang adalah antara pelajar pertama di Kolej Islam itu. Adakah mufti dan ulama yang memberi ingatan keras kepada Ust.Ahmad Awang tentang solat hajat itu pernah menyertai dan menyokong PUM tidak diketahui. Tetapi itu pertubuhan penting bagi para ulama dan ulama wajar menyokong pertubuhan yang mahu mendaulat dan memartabadkan para ulama dan institusi ulama. Ulama di seluruh dunia telah ditekan dan ditindas oleh penjajah hingga ulama itu dilihat kecil dan tidak berwibawa. Itu jugalah nasib dan imej ulama di Tanah Melayu setelah dijajah dan selepas dijajah. Tiada orang yang lebih tahu bagaimana ulama perlu didaulatkan selain dari ulama sendiri. Ustaz Mahyudin telah membuka medan itu dan ia disambung oleh Ustaz Ahmad Awang. Apakah Ustaz Ahmad Awang berjaya dengan PUM tidaklah ditentukan oleh pimpinannya saja tetapi sejauh mana ia didukung oleh para ulama termasuk mufti yang dipandang tinggi oleh masyarakat. Tanggungjawab mufti bukan sekadar kerja-kerja rasmi jawatannya dalam kerajaan dan di samping menasihatkan sultan, tetapi membuat kerja-kerja Islam di tengah masyarakat dan medannya sudah disediakan iaitu PUM. Tiada pengecualian bagi berbelas mufti di Malaysia dari menjadi anggota pertubuhan itu kiranya mereka tahu apa tanggungjawab seorang ahli ilmu dan berkedudukan tinggi dalam masyarakat dan kerajaan. Dalam apa keadaan, sama ada mufti dan ulama rasmi yang lain menyertai PUM atau tidak, Ustaz Ahmad Awang adalah juru cakap para ulama Malaysia seluruhnya. Sama ada mereka mengakuinya atau tidak, Ahmad Awang adalah amir mereka. Kiranya beliau ada kelemahan, sekalian para ulama mesti membantunya. Kiranya beliau tiada kelayakan, maka para ulama antaranya para mufti yang ramai itu wajar tampil kedepan menggantikannya. Mungkin ulama tidak mengejar kedudukan. Tetapi mufti wajar tahu kewajaran ulama itu memimpin umat. Tiada mufti dan ulama rasmi dan tidak rasmi mencabar Ahmad Awang semasa pimpinannya dalam Persatuan Ulama dalam tempohnya yang panjang itu. Beliau melepaskan pimpinan PUM itu kerana mahu bergiat dalam politik. Beliau mahu kebebasan PUM terpelihara. Mungkin pimpinannya boleh dinilai, akan kelemahan dan kekuatannya. Tetapi tidak terdengar adalah mempertikai ilmu dan keupayaanya menguasai ilmu Islam. Dengan ilmunya belum pernah beliau membuat pendapat yang ganjil seperti biawak itu halal dimakan atau untung lotri boleh digunakan bagi memajukan Islam atau sekular itu tidak salah. Apa lagi tentang kewajaran solat hajat bagi mengadili orang yang khianat. Justeru itu tidak wajar menyamakan beliau dengan ahli-ahli politik yang jahil._harakahdaily.net |
Sabtu, 13 Mac 2010
Pakatan 'buang buruk', BN kutip 'sampah'
| Mohd Rashidi Hassan | |
| SELEPAS media propaganda Umno-Barisan Nasional membuat serangan bertalu-talu terhadap Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan partinya, kini giliran Ketua Umum KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim, serta parti dukungannya menjadi mangsa. Mana tahu selepas ini PAS pula yang akan diserang, kiri kanan depan belakang tanpa belas ihsan oleh media tali barut Umno-BN. Matlamat mereka satu sahaja, iaitu mereka mahu memecah belahkan Pakatan Rakyat, 'membunuh' karektor pemimpinnya, sekaligus berusaha menciptakan persepsi buruk serta ketidakyakinan rakyat terhadap Pakatan Rakyat. Setakat ini Umno-BN gagal mencapai matlamat mereka. Usaha keras media tali barut tidak mencapai matlamat yang mereka harapkan. Walaupun Pakatan Rakyat ditekan hebat, bagusnya ialah apabila pemimpin-pemimpinnya tidak mudah melatah akibat provokasi musuh. Hebatnya setiakawan Pakatan Rakyat ditunjukkan dengan sokongan padu tidak berbelah bahagi oleh PAS dan DAP terhadap Anwar selaku Ketua Pembangkang di Parlimen Malaysia dan peneraju agenda reform dalam negara. PAS dan DAP tidak samasekali berjaya digugat dengan provokasi media talibarut Umno-BN untuk tumpang semangkuk menyalahkan KeADILan dalam kemelut yang dihadapi. Malah dengan dokongan kuat PAS dan DAP itu, KeADILan terus mantap dan berusaha melakukan pembersihan serta damage control, bagi menjayakan aspirasi serta cita-cita bersama Pakatan Rakyat. Namun, kita tidak nafikan, serangan-serangan ini, sedikit sebanyak berjaya mencetuskan keluh kesah di kalangan pemimpin, ahli dan penyokong Pakatan Rakyat. "Huh! Macam macam alasan ada. Rasa nak penampar sahaja wakil rakyat yang lari ini. Lepas ini Anwar jangan kutip lah bekas-bekas Umno dan golongan bermasalah ini," begitulah keluh rata-rata penyokong Pakatan Rakyat, apabila seorang demi seorang Ahli Parlimen KeADILan 'buat perangai' dengan mengkhianati perjuangan rakyat. Mereka-mereka yang 'buat perangai' ini gelagatnya macam budak-budak pra-matang. Macam-macam alasan diberikan untuk menjustifikasikan tindakan mereka yang mengkhianati Pakatan Rakyat. Ada yang kata mereka keluar kerana isu kalimah Allah, ada yang kata kerana tidak tahan dibuli parti sahabat, ada yang kata kerana KeADILan sudah lari dari perjuangan asal dan ada yang kata mereka keluar kerana mendakwa Anwar hanya berjuang atas kepentingan peribadinya sahaja. Dengan pelbagai alasan ini, seolah-olahnya mereka memberi hint bahawa Umno-BN lah yang boleh disandarkan perjuangan mereka kelak. Maka Dato' Seri Zahrain Hashim, Dato' Salehuddin Hashim, Tan Tee Beng, Mohd Fairus Khairudin dan Mohsin Fadzli Samsuri, mengumumkan keluar parti. Ada yang masuk Umno, ada yang jadi bebas. Mereka yang kuat mengkritik parti sendiri dan menghentam parti sahabat secara terbuka seperti Zulkifli Noordin dan Wee Choo Keong, setakat rencana ini ditulis, masih belum menyatakan pendirian secara terbuka. (Nota : Zulkifli dipecat daripada KeADILan pada 6 Mac 2010) Mungkin juga ada beberapa orang lagi yang sedang memikirkan dan mencari alasan untuk 'cabut'. Ada juga yang sedang tunggu dan lihat dahulu, apakah nasib yang bakal menimpa rakan-rakan mereka yang defect itu. Dengan keluarnya mereka dari Pakatan Rakyat, atau dengan keceluparan mulut menghentam pemimpin Pakatan Rakyat, mereka ini sudah dimusuhi majoriti rakyat berbangsa Melayu, Cina, India dan sebagainya. Mereka ini sudah kehilangan kawan, ceramah di surau atau masjid dibatalkan, dibenci dan dicerca pengundi sendiri. Rakan-rakan dan sahabat handai mula menjauhkan diri dari mereka, kerana mereka sudah dikotori dengan najis Umno-BN. Maka jadilah mereka ini umpama 'kerang busuk' yang sudah tidak laku. Kita tidak perlu berbuat apa-apa pada mereka. Nasihat pun tidak guna kerana, mereka-mereka ini sudah 'setkan minda'. Sudah lama mereka menunggu masa untuk membuat kacau dan keluar dari parti. Mereka yang berperangai buruk ini, sama ada menjadi ejen Umno, yang dibiarkan duduk dalam Pakatan Rakyat untuk membuat kacau, atau yang mempunyai masalah peribadi sehingga diancam polis atau SPRM, atau yang mempunyai poor performance di kawasan Parlimen yang diwakili. Dan yang paling penting mereka dikatakan menerima tawaran yang amat lumayan, jika keluar parti. Apa pun, mereka ini barangkali sudah mempunyai deal yang lama dengan Umno-BN. Mereka hanya menunggu masa sahaja untuk keluar. Bagi mereka sekarang ini mungkin perfect timing kerana, pada saat ini Anwar sedang ditekan dengan dakwaan kes liwat. Maka usaha mereka menambah tekanan terhadap Anwar pada saat yang getir ini, amat menggembirakan Umno-BN. Menambah tekanan terhadap Anwar merupakan suatu kredit buat Umno-BN, kerana Anwar merupakan ancaman yang paling berkredibiliti untuk menumbangkan mereka dalam pilihan raya umum akan datang. Kerja untuk menjatuhkan, memalukan serta memusnahkan karektor politik Anwar memang kerja-kerja rutin Umno-BN. Kebiasaannya kerja-kerja ini dibuat daripada luar. Namun kali ini Umno-BN ada sedikit kelebihan kerana wujudnya pembantu dari dalam Pakatan Rakyat sendiri. Hakikatnya, semua mereka yang mengkritik dan menghentam Anwar, sekaligus menjadi tali barut Umno-BN ini tidak sedar, jika tidak kerana Anwar yang memberi mereka peluang, sama ada dilantik memegang jawatan atau dipilih sebagai calon, tiada siapa pun yang akan kenal atau peduli dengan mereka. Pepatah Melayu mengumpamakan mereka-mereka ini sebagai, 'anjing yang mengigit tuannya'. Tuan yang memberikannya makan dibalas dengan gigitan. Perumpamaan ini membawa maksud, wujudnya dalam sebuah masyarakat, parti atau dalam keluarga, ada golongan yang tidak pernah mengenang jasa atau orang yang meletakkan kepentingan peribadi, mengatasi segala-galanya. Bagi Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat, tindakan puak-puak pengkhianat ini disifatkannya 'ada buaya di sebalik batu.' Orang politik yang berjuang untuk kepentingan peribadi sebenarnya adalah 'gila'. Gila glamour, gila jawatan, gila projek, gila kebendaan dan berbagai jenis gila lagi. Dalam istilah lain, golongan yang gila macam-macam ini, boleh dianggap sebagai terkena penyakit sawan. Penyakit sawan pun banyak menghinggapi orang politik sekarang ini. Ada spesies orang politik yang terkena penyakit sawan katak, sawan sesumpah, sawan beruk dan sekarang ini sawan anjing pun ada. Hanya penyakit sawan babi sahaja yang belum ada. Kalau ada, jenuh Pakatan Rakyat kena samak. Mereka yang mengkhianati perjuangan ini semuanya adalah sampah dan najis. Cumanya mereka dibezakan pada tahap mana kebusukan dan kejijikannya. Ada tahap muhaffafah, ada mutawasitah dan ada yang mukhalazah. Dan usaha untuk membersihkan mereka ini bergantung kepada tahap di mana mereka berada. Namun, sampah dan najis ini ada di mana-mana. Ada dalam semua parti. Apa yang berlaku kepada KeADILan harus diambil iktibar oleh PAS dan DAP. Pemimpin PAS, DAP mahu pun KeADILan sekarang ini, harus lebih berhati-hati dan bertegas dalam soal disiplin terhadap wakil-wakilnya, khususnya Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri. Lebih baik Pakatan Rakyat 'buang buruk' sekarang. Biar Umno-BN jadi rubbish collector untuk mengutip sampah-sampah masyarakat. Moga-moga dengan ketegasan pemimpin PAS, KeADILan dan DAP, mereka dapat membersihkan Pakatan Rakyat dari segala jenis sampah-sarap dan kotoran. Mereka-mereka yang sudah menjadi sampah ini, sudah tentu tidak akan diterima oleh rakyat lagi. Malah rubbish collector pun sudah pasti tidak akan mengambil mereka sebagai calon pada PRU akan datang. Mereka-mereka ini sudah rosak dan tidak cukup syarat untuk dikitar semula. Pertama, sebab dalam Umno-BN sudah cukup ramai berebut hendak jadi calon, dan keduanya, sampah-sampah ini hanya digunakan untuk menyekat arus deras Pakatan Rakyat dan memperlahankan kejatuhan Umno-BN sahaja. Kita harus memastikan kegembiraan Umno-BN mengutip segala sampah-sarap ini hanya seketika sahaja. Selepas seluruh sampah-sarap dikumpulkan dalam Umno-BN, maka rakyat bersatu menggunakan jengkaut dan kita lupuskan mereka ke tempat pembuangan sampah pada PRU ke-13 nanti! _harakahdaily.net * Tulisan di atas adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian Harakahdaily.net. Harakahdaily.net tidak bertanggungjawab terhadap sebarang implikasi daripada tulisan berkenaan. |
Isnin, 22 Februari 2010
Royalti: Ku Li sarat hujjah, Tok Pa tong kosong?
| Subky Latif |
| TENGKU Razaleigh Hamzah, pengasas Petronas berpendapat bahawa negeri dan kerajaan Kelantan berhak mendapat royalti minyak yang dihasil di pesisir pantai negeri itu tidak kira berapa jauh ia ke tengah laut. Kalau pun royalti itu diganti dengan wang ihsan, maka wang itu mesti dimasukkan ke dalam khazanah negeri. Tiada pihak lain yang boleh mentadbirnya. Datuk Mustafa Mohamad, Menteri Perdagangan Antarabansa dan Industri dan Ketua Perhubungan UMNO Kelantan berkeras mengatakan negeri Kelantan tidak berhak atas royalti itu kerana telaga minyak yang beroperasi adalah di luar kawasan tiga batu nautika dengan pantai negeri itu. Menteri itu kebetulan anak Kelantan telah menjadi jurucakap kerajaan pusat dan Petronas sedang dia tidak ada kena mengena dengan urusan pengeluaran minyak. Kementeriannya tidak menjaga urusan pengeluaran minyak dan dia tidak ada apa-apa kedudukan dalam Petronas. Orang yang boleh bercakap tentang perkara itu ialah Perdana Menteri dan Timbalannya serta Pengerusi Petronas. Jika ganti royalti itu adalah wang ihsan, maka orang-orang tadi yang layak bercakap dan cara mana wang ihsan itu hendak digunakan. Cakap orang lain adalah tidak rasmi. Ada pun Tengku Razaleigh adalah pengasas Petronas dan orang yang bertanggungjawab merangka merangka polisi dan operasinya. Ketika itu mungkin Mustafa Mohamad belum menyambung pelajaran ke Australia. Ketika Petronas diasaskan sudah ada satu badan ditubuhkan bagi mengendalikan hal ehwal pengeluaran minyak itu di bawah Kementerian Perusahaan Utama yang menjadinya ialah Taib Mahmud, Ketua Menteri Sarawak sekarang. Kira-kira Taib Mahmudlah orang yang dikira akan menjadi orang penting pengurusasn minyak. Ketika itu Indonesia sudah ada badan pengurusan minyak negaranya yang dinamakan Pertamina yang ketuanya ialah Ibnu Sutowo. Ibnu Sutowo ini dikira orang kedua penting di Indonesia selepas Presiden Suharto. Orang minyak yang penting bagi Arab Saudi pula ialah Sheikh Zaki Yamani. Taib Mahmud telah dibayangkan akan jadi macam Ibnu Sutowo dan Zaki Yamani bagi Malaysia. Entah bagaimana Perdana Menteri Tun Razak telah menggantung badan yang diasaskan di bawah Taib Mahmud tadi dan menteri itu sendiri ditukarkan menjadi Menteri Di Jabatan Perdana Menteri. Dia bukan saja hilang peluang untuk menjadi orang penting industri minyak bahkan hilang kementerian. Dia ada kerusi dan beberapa orang pembantu saja di tempat barunya itu. Dalam suasana itu orang utama Bank Bumiputera itu iaitu Tengku Razaleigh dipilih oleh Tun Razak untuk mengasaskan Petronas sebagai ganti kepada badan yang dimansuhkan yang diketuai oleh Taib Mahmud tadi. Orang yang masih hidup yang tahu perkembangan pertukaran dari Taib Mahmud itu selain dari Taib Mahmud dan Tengku Razaleigh ialah Tun Abdul Rahman Yaakub, Ketua Menteri Sarawak ketika itu. Dan negeri yang dikenal pasti sudah ada minyak ketika itu ialah Sarawak dan Sabah. Kemudian barulah dipanggil pegawai kerajaan yang paling penting di Pejabat Peguam Negara Tan Sri Salleh Abbas membantu Pengerusi Petronas merangka Akta Petronas dan perjanjian dengan negeri-negeri tentang pembahagian keuntungan minyak Petronas itu. Tun Abd. Rahman adalah orang yang cukup rapat dengan Tun Razak dan boleh dikira penasihat paling penting Tun Razak dalam perkara itu. Mungkin beliau tidak duduk dalam Petronas, tetapi dia adalah orang yang tahu tentang permulaan Petronas itu dibentuk selain dari Tengku Razaleigh dan Tun Salleh Abbas. Tengku Razaleigh adalah orang penting UMNO paling rapat dengan Tun Razak tidak dilantik menjadi menteri tetapi dia kuat dengan kedudukannya sebagai Pengerusi Petronas dan Bank Bumiputera. Kedudukan itu menjadi dia lebih penting dari menteri-menteri selain dari Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan. Tengku Razaleigh dan Tun Salleh Abbas adalah orang paling tahu tentang dasar asal dan lain-lain selok belok Petronas. Kalau nak tahu apa itu ISA dan pembentukan Malaysia tanyalah kepada Tunku Abdul Rahman Putra dan bila mahu tahu tentang Petronas tanyalah Ku Li dan Tun Salleh Abbas. Merekalah menjadi saksi paling penting kes yang melibatkan Petronas. Ada pun Tun Dr. Mahathir, Datuk Seri Najib dan Tan Sri Hassan Marican adalah orang yang berpengaruh dalam Petronas setelah Petronas sudah gagah dan perkasa. Ada pun Datuk Mustapa Mohamad selain dari orang yang tiada apa-apa pengalaman tentang Petronas, pengetahuan tentang Petronas pun amat sikit dan pengaruh dengan badan itu pun hampir tiada. Maka dia tidak lebih dari jurucakap UMNO Kelantan saja tentang pergelutan tuntutan royalti minyak antara Kelantan di satu pihak dan kerajaan pusat dan Petronas di pihak yang lain. Dr. Mahathir dan Perdana Menteri Najib adalah orang yang bertanggungjawab menurunkan status royalti minyak Terengganu kepada wang ihsan. Telaga minyak yang pernah memberi royalti kepada Terengganu dulu terletak lebih jauh dari pantai Terengganu dibandingkan dengan telaga yang dituntut haknya oleh Kelantan sekarang. Sejarah royalti menjadi wang ihsan adalah sejarah baru yang tidak dilakukan atas kehendak undang-undang dan kebenaran, tetapi ia lebih dirangsang oleh serakah hawa nafsu pemimpin UMNO tak bermaruah Terengganu sebagai helah bagi merampas semula Terengganu dari PAS. Sampai akhir mahkamah yang dibelenggu Perdana Menteri itu tidak bersidang atas saman kerajaan Terengganu atas rampasan royaltinya sejak zaman pentadbiran Dr. Mahathir dulu. Justeru itu Ku Li dilihat dalam memperkatakan isu royalti itu sarat dengan hujah, tetapi Tok Pa dilihat kosong, hanya sarat dengan nafsu dan peluru kosong._harakahdaily.net |
Rabu, 17 Februari 2010
Ezam jadi denak tarik PKR keluar
| Subky Latif |
| LEPAS Ezam Mohd. Nor keluar dari PKR, satu demi satu ahli-ahli PKR letak jawatan dalam parti atau keluar PKR. Yang terakhir MP Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Hashim keluar PKR dan jadi ahli bebas di Parlimen. Setahun dulu dua Exco PKR di Perak sanggup jadi ADUN bebas di DUN Perak. Beberapa bulan dulu ADUN Selangor di Lembah Kelang jadi ahli bebas. Mungkin ada satu dua lagi yang seronok untuk mengikut rakan-rakannya keluar PKR menjadi ahli bebas. Atas semua kejadian itu Ezam memberi reaksi puas hati dan menyeru lebih ramai lagi keluar. Beberapa YB itu selesa untuk tidak berparti, tetapi Ezam lebih senang terus jadi UMNO. Apakah mereka terus sebagai ahli bebas sehingga Parlimen dan DUN dibubar atau masuk UMNO selepas ini. Jika mereka tidak masuk UMNO, sukar bagi mereka untuk jadi ADUN atau MP semula. BN hanya mencalonkan ahli UMNO. Apapun boleh dilihat Ezam berpuas hati untuk sementara ini menjadi denak UMNO bagi menarik ahli-ahli PKR keluar parti sama ada langsung menyertai UMNO atau jadi ahli bebas dulu. Tidak tahu apa yang menjadi Ezam begitu selesa menjadi denak. Apa yang menjadikannya tawar menentang UMNO setelah hampir sepuluh tahun menentang UMNO? Ezam adalah Setiausaha Politik Anwar sebelumnya. Dia keluar bersama Anwar dari UMNO kerana UMNO dikira menzalimi Anwar. Sekali pun punca awalnya menentang UMNO kerana membela Anwar tetapi dari penampilannya bersama Anwar dan PKR adalah juga kerana UMNO dan BN adalah pengamal rasuah, penyeleweng dan zalim. Dia menyimpan berkotak-kotak yang dikatakan bukti kedurjanaan UMNO dan para pemimpinnya itu. Berbagai tekanan yang dikenakan terhadapnya dan dia mula-mulanya dilihat tegas bertahan. Bukan kerabat PKR saja yang kagum dengan Ezam, PAS dan DAP yang bersekutu dengan PKR juga bangga dengan penampilan Ezam. Orang PAS beramai-ramai mengusung Ezam ke sana sini. Mereka curahkan tenaga, masa dan wang bagi menyokong Ezam. Ezam dan PKR minta bertanding di Shah Alam, suatu tempat yang PAS telah lama bertapak dan bina. Ia adalah kawasan yang PAS ada potensi. Ketuanya Khalid Samad yang lama dikenali malah sebelum Ezam dikenali lagi. Kerana Ezam mahu bertanding di situ, PAS hantar Khalid ke tempat lain. Tidak salah jika saya katakan PAS menumpukan kerja kuat bagi memenangkan Ezam dan ia memberi apa yang tidak diberikan PKR kepadanya. Walaupun dia adalah bekas ahli UMNO yang berbaju PKR masa itu tetapi PAS melihatnya seperti orang PAS yang jadi ahli PKR. Antara penampilan Ezam itu memang PAS tabik kepadanya. Kecamannya yang sarat dengan hujah, banyak yang lebih ketara dari penampilan PAS sendiri. Bagi orang awam dalam PAS, kerana kita sudah bersekutu dengan PKR, maka Ezam itu dikira sebagai pemimpin muda PAS juga. Apa yang dapat bantu, maka kita bantu. Tetapi keupayaan PAS dari segi kebendaan tidaklah sehebat yang UMNO boleh beri. Apa masalahnya dengan Anwar dan PKR, PAS tidak tahu. Tetapi PAS adakah pihak yang takjub dan masygul apabila dia keluar dari PKR. Maka PAS terus mendampinginya dalam kegiatan anti rasuah yang menjadi bidang kegemaran dan tumpuannya. Kita sentiasa menerimanya sebagai rakan seperjuangan. Walau pun dia sudah dirasakan ada masalah dengan PKR dan Anwar, tetapi PAS tidak ada masalah dengannya dan dia terus diterima oleh PAS. Kalau dia sudah payah untuk berbaik semula dengan PKR, maka dia berkawan terus dengan PAS. Kalau dia mahu masuk PAS adalah pilihan yang digalakkan. Anwar dan PKR pun tidak terasa pada PAS jika dia memilih PAS. Dari dia masuk UMNO, baiklah dia bersama PAS yang berkawan dengan PKR. Malangnya, amat memeranjatkan dia lupa cerita rasuah dan penyelewengan UMNO dan pemimpinnya, penyelewengan BN dan pemimpin-pemimpinnya. Berkotak-kotak bukti keburukan UMNO dan BN itu dikatakan ada padanya. Maka apakah yang katakannya itu sudah tidak wujud lagi atau tidak pernah wujud seperti yang dikatakannya? Bukankah dia bersama dengan PKR mengira UMNO perosak bangsa dan agama? Katakanlah Anwar dan PKR tidak mampu melakukan perubahan yang dijanjikannya. Atau katalah Anwar dan PKR juga melakukan penyelewengan yang sama atau lebih teruk dari yang dilakukan oleh UMNO dan pemimpin-pemimpinnya, maka apakah UMNO dan BN yang dikatakan buruk dulu, tiba-tiba jadi elok dan boleh disertai? Apakah buruk UMNO setakat ia berpemimpinkan Dr. Mahathir saja? Ia jadi elok dan bersih bila datang Abdullah Badawi dan Datuk Seri Najib? Bukankah Abdullah Badawi dan Najib mewarisi segala penyelewengan yang lalu dan menokok tambah di mana-mana kemudiannya? Bukan Ezamkah yang lantang mengata UMNO itu begitu dan begini dulu? Apakah yang dibantu oleh Ezam bagi menjadikan UMNO dan BN itu putih molek dengan dia boleh menjadi denak bagi menarik orang keluar dari PKR. Kemasukan Ezam ke dalam UMNO tidak nampak seperti kemasukan Anwar ke dalam UMNO dulu. Anwar pada masa itu tidak cacat dan dia masuk untuk mengambil UMNO. Tetapi Ezam jadi macam Anwar dulu? Kalau Anwar pun mereka lambung, maka apa yang Ezam boleh dapat selain untuk mencari makan dan mendapat rezeki. _harakahdaily.net |
Isnin, 11 Januari 2010
3,000 pelabur projek cacing tertipu RM25j
KULIM - Tertarik dengan pulangan lumayan yang dijanjikan oleh penganjur skim pelaburan penternakan cacing di sini, kira-kira 3,000 pelabur kerugian lebih RM25 juta apabila penganjur melarikan lari.
Malah pejabat penganjur skim itu di sini, disita pemilik bangunan awal Disember lalu kerana tidakmelunaskan sewa hampir RM10,000.
Selepas berasa tertipu, lebih 200 mangsa skim tersebut membuat laporan polis di balai polis di sini, sejak awal bulan ini.
Pada sidang media oleh mangsa skim tersebut di sini, semalam, pelabur dari Pulau Pinang, Kedah dan utara Perak itu mendakwa melabur antara RM5,000 dan RM3 juta sejak Jun 2008.
Menurut risalah, syarikat itu menjalankan penternakan cacing dan penghasilan baja vermikompos organik dengan usaha sama sebuah konsortium.
Syarikat berkenaan membuka tujuh cawangan iaitu di Sungai Petani, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Alor Setar, Butterworth dan Tunjang di Kubang Pasu dengan Kulim sebagai cawangan utama bagi memudahkan orang ramai melabur dalam skim yang disediakan.
Ketua Polis daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Salleh yang dihubungi mengesahkan menerima laporan daripada pelabur skim terbabit dan berkata polis sedang menyiasat kes itu.
Sementara itu, dua pesara mendakwa melabur RM150,000 hasil simpanan dan gratuiti mereka sejak September tahun lepas.
Pesara Jabatan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Shahibul Kiraya Haliman Shah, 56, berkata, dia melabur sebanyak RM35,000 manakala bekas guru, Omar Ismail melabur RM115,000 setelah dijanjikan pulangan bulanan sebanyak 3.3 peratus.
“Saya turut melabur RM15,000 untuk menternak cacing setelah mengikuti kursus anjuran syarikat berkenaan dan setakat ini hanya mendapat pulangan berjumlah RM20,000 iaitu bayaran untuk September dan Oktober lepas,” kata Omar.
Seorang peniaga, K Jayakumar, 42, dari Taman Kulim Square, Lunas dekat sini bersama 10 anggota keluarganya kerugian hampir RM500,000 kerana menyertai skim pelaburan berkenaan sejak 6 Jun tahun lepas.
Jayakumar berkata, mereka hanya dibayar sebanyak dua kali daripada pelaburan yang dibuat dan beberapa cek pembayaran selepas itu ditolak oleh bank.
“Kami merayu pihak berkuasa mengambil tindakan bagi mengembalikan wang pelaburan yang dibuat kerana ramai yang meminjam dari bank dan saudara-mara untuk membuat pelaburan tersebut,” katanya. - BERNAMA_sinarharian
Jumpa Speaker bincang isu berbangkit
ALOR SETAR - Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Datuk Dr Abdul Isa Ismail mengakui mengadakan perjumpaan dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar Baharu, Yaakub Hussin, minggu lalu di pejabatnya, bagi membincangkan masalah dalaman parti, bukannya mengenai isu peletakan jawatan ADUN itu yang heboh diperkatakan.
Katanya, kunjungan Yaakub adalah untuk meminta pandangan beliau berhubung beberapa masalah yang dibangkitkan dalam parti, termasuk isu penamatan tempoh perkhidmatan Ahli Majlis Daerah Bandar Baharu (MDBB).
“Kita cuma membincangkan hal-hal berkaitan masalah dalaman parti sahaja, tiada apa yang serius pun. Namun langsung tidak menyentuh isu yang mengatakan beliau mahu meletak jawatan gara-gara tidak sependapat dengan pemimpin Pas lain,” katanya.
Dr Abdul Isa berkata, pergeseran pendapat dalam kalangan ahli sesebuah parti adalah lumrah dan pergeseran yang berlaku antara Yaakub dengan Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak tidaklah serius sehingga beliau mahu melepaskan jawatan.
“Yaakub sekadar meminta pandangan saya bagaimana menyelesaikan masalah berhubung penamatan tempoh perkhidmatan Ahli Majlis Daerah Bandar Baharu. Ketika kunjungan itu, bukan saya sahaja yang ditemuinya, ramai lagi yang beliau jumpa untuk meminta pandangan,” katanya.
Menurutnya, isu yang dibangkitkan bukannya besar dan boleh diselesaikan di peringkat kawasan, tanpa perlu campur tangan Menteri Besar.
“Masalah kecil sahaja, boleh selesai di peringkat kawasan. Saya nasihatkan beliau supaya berbincang elok-elok dengan pihak terbabit, termasuk wakil daripada Kerajaan Tempatan,” katanya.
Ditanya mengenai perkembangan kes Kota Siputeh yang masih di peringkat mahkamah, Dr Abdul Isa berkata, setakat ini, tiada perkembangan baru membabitkan kes dan pihaknya menyerahkan kepada panel peguam yang dilantik untuk tindakan lanjut.
“Biarpun kes masih berjalan, saya mengingatkan Abu Hasan Sarif supaya tidak menggunakan gelaran wakil rakyat lagi, bagaimana pun beliau boleh meneruskan kerja-kerja kemasyarakatan dengan menggunakan tiket parti UMNO,” katanya.
Dr Abdul Isa berkata, Abu Hasan tidak lagi menerima elaun wakil rakyat sejak Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan beliau bukan lagi ADUN Kota Siputeh, 16 November lalu.
“Abu Hasan tetap tidak diiktiraf sebagai wakil rakyat, malah lencana (crest) wakil rakyat yang diberikan kepadanya sebelum ini turut diarahkan supaya dipulangkan kepada pejabat Dewan,” katanya. _sinarharian
Rabu, 6 Januari 2010
Pendakwah Generasi baru Perlu Lebih Kreatif
Chukai, KEMAMAN - Generasi muda dalam kalangan pendakwah perlu memikirkan pendekatan lebih sesuai bagi menarik perhatian masyarakat supaya mendekatkan diri dengan Pusat Pengajian Islam, Kampung Bakau Tinggi, Chukai, di sini.
“Seiring kedatangan 2010, banyak perubahan harus dilakukan dan saya mengharapkan, golongan muda ini memberikan buah fikiran bagi memajukan Pusat Pengajian Islam, Kampung Bakau Tinggi.
“Sudah tiba masanya mereka berada di barisan hadapan,” katanya kepada Sinar Harian pada Majlis Kesyukuran dan Hari Keluarga Pusat Pengajian Taman Islam di Kampung Bakau Tinggi, di sini.
Majlis berkenaan turut dimeriahkan dengan kehadiran 1,000 jemaah dari kawasan berhampiran.
Hanafiah berkata, generasi muda juga dinasihatkan supaya berusaha membentuk jaringan komunikasi yang mantap berikutan peranan kedua-dua pihak amat diperlukan bagi pembentukan masyarakat berlandaskan hukum hakam Islam sebenar.
“Inilah dikatakan perjuangan dalam usaha menegakkan hukum Allah SWT di muka bumi, saya sendiri telah berpuluh tahun meninjau prestasi Pusat Pengajian Islam di sini dan saya berbangga kerana pelbagai prasarana baru kini disediakan.
“Sudah ramai pelajar yang melanjutkan pelajaran di Institut Acheh, Indonesia, berikutan mereka mempunyai hubungan yang baik sejak sekian lama,” katanya.
Menurutnya, program pertukaran pelajar juga kerap dilakukan dan perkembangan itu dilihat memberi keuntungan kepada kedua-dua pihak.
“Bekas pelajar Pusat Pengajian Islam, Kampung Bakau Tinggi ‘berselerak’ di seluruh negara dan apa yang membanggakan kerana kebanyakan mereka menjawat jawatan penting, selain ramai yang berhasrat menabur bakti di tempat mereka menimba ilmu.
“Inilah kebanggaan kepada orang lama di sini dan saya harap, semua pihak sama ada bekas pelajar, generasi muda mahupun lama sentiasa berusaha mengembalikan kegemila-ngan Pusat Pengajian Islam, Kampung Bakau Tinggi yang pernah dinikmati suatu ketika dahulu,” katanya._buletinonline
'Cucu saya dianggap pelajar warga asing'
KUALA PERLIS: Seorang datuk terpaksa berbelanja besar untuk memastikan cucunya memasuki alam persekolahan selepas kanak-kanak itu dikategorikan sebagai pelajar asing walaupun dilahir dan dibesarkan di negara ini.
BUKTI...Shazriddaniel menunjukkan surat beranaknya yang tertera status bukan warganegara.
Ia berpunca daripada kekeliruan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Pulau Pinang yang meletakkan status bukan warganegara ketika mengeluarkan sijil lahir kepada Shazriddaniel Shamsudin, kira-kira tujuh tahun lalu. Yusof Osman berkata, Shazriddaniel yang dilahirkan di Hospital Besar Kepala Batas, Pulau Pinang, kini tidak mempunyai identiti sebarang negara dan keadaan bertambah sukar apabila dia mula memasuki alam persekolahan kelmarin.
“Cucu saya terpaksa mendaftar sebagai pelajar asing di tahun satu di Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Perlis dan dikenakan yuran tinggi selain tidak memperoleh skim bantuan pinjaman buku teks,” katanya ketika ditemui di sini, semalam. Beliau yang juga seorang nelayan berkata, cucunya dikenakan yuran persekolahan mencecah RM300 dan ia tidak termasuk pembelian buku teks yang dikatakan turut mencecah RM150. Katanya, lebih mengejutkan, butiran bapa Shazriddaniel langsung tidak diisi seolah-olah gagal dikesan, manakala status kewarganegaraan ibunya, Shaffidawati Shafie, 29, juga diletakkan sebagai bukan warga negara. “Kedua-dua ibu bapa Shazriddaniel yang sudah berpisah warga Malaysia, cuma kesilapan mereka berkahwin di selatan Thailand dan tidak mendaftar perkahwinan mereka di negara ini. “Bagaimanapun, saya tidak pasti mengapa pihak JPN Pulau Pinang mewujudkan kekeliruan sedemikian, sedangkan kami sudah dipanggil untuk ditemubual bagi mengesahkan status kewarganegaraan Shazriddaniel,” katanya._hmetro
Juruteknik maut terkena kipas pendingin hawa
Pegawai Urusetia Jabatan Siasatan Jenayah Pahang ASP Noor Asyikin Shamsuri berkata kejadian berlaku kira-kira jam 2.30 petang semasa Mohammad Jakir Hossain, 34, bersama lima lagi rakannya ditugaskan menyelenggara pendingin hawa kilang itu.
"Tiba-tiba rakan Mohammad Jakir terdengar satu bunyi dentuman kuat dari arah juruteknik itu, lalu mereka bergegas ke kawasan kejadian dan mendapati Mohammad Jakir terbaring di lantai dalam keadaan lemah selain mendapati tangga yang digunakan untuk memanjat menuju ke penghawa dingin itu terpelanting jauh," katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.
Beliau berkata Mohammad Jakir yang merupakan pekerja mahir dan bekerja di kilang itu sejak enam tahun lepas, mengalami kecederaan parah di bahagian kepala, tangan dan telinga, dipercayai akibat terkena kipas pendigin hawa itu.
Noor Asyikin berkata Mohammad Jakir disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan menuju ke Klinik Desa Bukit Goh untuk mendapatkan rawatan, dan mayatnya kemudian dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan untuk bedah siasat. - Bernama_hmetro
Bekas tentera digesa tuntut wang perkhidmatan
KOTA BHARU: Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) hari ini meminta kesemua bekas anggota tentera yang gagal menamatkan tempoh perkhidmatan kerana lari daripada tugas atau dipecat, agar menuntut wang pampasan sepanjang perkhidmatan mereka.
Presidennya Datuk Mohamad Abdul Ghani berkata sehingga kini belum ada seorang pun daripada 1,995 kes tampil menuntut wang pampasan tersebut.
"Mungkin mereka tidak tahu mereka layak berbuat demikian. Bagi mereka yang telah meninggal dunia pula tuntutan boleh dibuat oleh waris masing-masing," katanya di sini hari ini.
Beliau berkata kesemua mereka layak sekalipun hanya berkhidmat untuk tempoh yang singkat.
"Kerajaan tidak memandang ringan dengan pengorbanan yang diberi oleh tentera dan mereka yang berkhidmat walaupun sehari atau tiga bulan atau empat tahun akan diberi perhatian serius," katanya.
Langkah itu, kata beliau, sejajar dengan keprihatinan kerajaan yang tetap menghargai jasa dan pengorbanan anggota tentera berkenaan sekali pun ada di antara mereka yang dipecat kerana terbabit dengan jenayah.
Mohamed berkata tuntutan boleh dibuat dengan persatuan atau Jabatan Hal Ehwal Angkatan Tentera. - Bernama _hmetro
Didakwa cuba rogol inspektor
Oleh Erywan Norshal
erywan@hmetro.com.my
erywan@hmetro.com.my
KLANG: Tindakan seorang kerani yang cuba merogol pegawai polis berpangkat inspektor pada Disember lalu mengundang padah apabila dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, semalam.
Wan Abdul Hanif Wan Abdul Hisham, 30, dari Pelabuhan Klang di sini, bagaimanapun, mengaku tidak bersalah atas tuduhan itu selepas mendengar jurubahasa membaca pertuduhan terhadapnya.
Dia yang kelihatan tenang dalam kandang tertuduh didakwa dengan sengaja cuba merogol wanita yang juga kenalannya berumur 28 tahun di sebuah hotel di Jalan Meru di sini pada jam 10 malam, 12 Disember lalu.
Bagi tuduhan itu, dia didakwa Seksyen 376 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 511 kanun yang sama dengan memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan sebat jika disabit kesalahan. Selain itu, Wan Abdul Hanif mengaku tidak bersalah bagi pertuduhan kedua iaitu dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada pegawai polis terbabit yang baru berkhidmat enam bulan sebagai inspektor di tempat dan waktu sama.
Dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan jika disabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga setahun atau denda tidak melebihi RM2,000 atau kedua-duanya.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Siti Syuhada Alwi menawarkan jaminan RM15,000 kepada Wan Abdul Hanif bagi kedua-dua pertuduhan berkenaan.
Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya meminta jumlah jaminan itu dikurangkan kerana perlu menanggung ibu bapa dan adiknya yang masih bersekolah.
Dia juga memaklumkan kepada mahkamah bahawa sudah lama mengenali mangsa.
Selepas mendengar rayuan itu, Hakim Datuk Anita Harun membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 8 Februari untuk sebutan melantik peguam._hmetro
Mayat ditemui berulat
Oleh Zuliaty Zulkiffli
am@hmetro.com.my
am@hmetro.com.my
ALOR SETAR: “Bau busuk itu cukup kuat. Saya ingatkan bau sampah, tetapi tak sangka pula ia bau mayat manusia,” kata M Marimuthu, 57, mengenai penemuan mayat seorang lelaki warga emas yang ditemui orang ramai dalam sebuah van ditinggalkan di hadapan bengkel kereta di Jalan Gangsa di sini, semalam.
Warga emas terbabit, Abdul Halim Haris, 65, yang tinggal bersendirian dalam van buruk itu sejak dua tahun lalu dipercayai meninggal dunia akibat serangan jantung. Mangsa meninggal dunia lebih 24 jam lalu berdasarkan keadaan mayatnya yang sudah kembung, berbau dan berulat.
Harian Metro pada September tahun lalu melaporkan mengenai penderitaan bekas tentera, Abdul Halim, yang hidup serba kekurangan hingga terpaksa menjadikan van buruk berkenaan sebagai kediamannya sejak dua tahun lalu.
Mangsa yang juga dikenali sebagai Pak Awang pernah berkhidmat dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) selama 10 tahun dalam pasukan Peninjau tetapi berhenti pada 1971 akibat masalah kesihatan menyebabkan dia tidak sempat menyertai skim berpencen.
Mayat mangsa dalam keadaan terbaring di tempat duduk belakang van ditemui orang awam sebelum menghubungi adiknya, Abu Bakar, 63, untuk memaklumkan kejadian itu kira-kira jam 12 tengah hari.
Marimuthu berkata, dia ada berjumpa dengan Abdul Halim, Ahad lalu yang meminta kebenarannya untuk menggunakan paip air di luar bengkel itu untuk mencuci baju.
“Dia kata dia hendak pakai baju itu hari ini (semalam), tetapi tak sangka dia sudah meninggal dunia. Waktu itu juga dia kelihatan sihat,” katanya. Marimuthu berkata, sejak dua tahun mangsa tinggal di situ, dia kerap menghantar makanan kepadanya kerana kasihan melihat keadaannya tidak terurus, tetapi sejak dia menerima bantuan dari pelbagai pihak, dia tidak lagi menghantar makanan lagi.
Katanya, Abdul Halim juga sempat membeli sebuah motosikal terpakai berharga RM200 hasil dari wang bantuan yang diterima untuk memudahkan dia berulang alik mencari kerja sampingan setiap hari demi mencari sesuap nasi.
Adik mangsa, Abu Bakar terkejut apabila ada orang datang ke rumah di Taman Wira kira-kira 70 meter dari tempat kejadian memberitahu abang ‘tidur’ dan dihurung lalat menyebabkan dia bergegas ke situ untuk melihat apa yang berlaku.
Katanya, sebaik tiba di tempat kejadian, dia mendapati abangnya sudah meninggal dunia dengan mayatnya sudah kembung dan berulat lalu membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Star.
“Arwah menghidap sakit jantung serta gout dan mungkin itu yang menyebabkan dia meninggal dunia,” katanya.
Sementara itu, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Kota Star, Deputi Superintendan Mohd Fiesal Libertus Abdullah berkata, mangsa dipercayai meninggal dunia dalam tempoh lebih dari 24 jam berikutan keadaan mayatnya yang sudah_hmetro
Pemandu, pembantu nyaris maut lori terbalik
GUA MUSANG – Seorang pemandu, Mohd Asif Ahmad,28, dan pembantunya seorang lelaki berketurunan India nyaris maut apabila lori membawa muatan makanan ayam dalam perjalanan dari Kota Bharu ke Cameron Highlands terbalik di persimpangan lampu isyarat Gua Musang-Kota Bharu jam 2.15 petang semalam.
Mohd Asif berkata, ketika sampai berhampiran jambatan tidak jauh daripada persimpangan lampu isyarat, dia mula merasakan brek lori yang dipandunya tidak berfungsi dengan baik.
Menurutnya, ketika itu dia sedang mengekori sebuah lori dan cuba memperlahankan lorinya bagi mengelak kejadian yang tidak diingini.
“Sebelum ini brek tidak ada masalah, tetapi apabila sampai di selekoh sebelum jambatan, brek tidak berfungsi. Jadi, saya cuba jarakkan lori yang saya pandu dengan lori di hadapan.
“Ketika melalui jalan berhampiran lampu isyarat, saya cuba menekan brek, tapi tak dapat (brek tak berfungsi), jadi saya tukar gear kepada gear lebih rendah, tapi lori terus bergerak. Pada masa sama, saya cuba mengelak daripada melanggar kenderaan lain,” katanya ketika ditemui pemberita di tempat kejadian petang semalam.
Mohd Asif berkata, dia dia turut cuba memberi isyarat kepada kenderaan di hadapannya supaya menjarakkan kenderaan dengan memberikan hon beberapa kali sebelum terbalik.
Menurutnya, dia hanya mengalami luka kecil di tangan sementara rakannya yang mengalami kecederaan pada bahagian telinga setelah terjun daripada lori untuk menyelamatkan diri dibawa orang awam ke Hospital Daerah Gua Musang (HOGUM) untuk mendapatkan rawatan.
Ketua Polis Daerah, Superintendan Saiful Bahri Abdullah ketika dihubungi Sinar Harian petang semalam mengesahkan menerima maklumat berhubung kejadian tersebut.
Sementara itu Ketua Balai Bomba Gua Musang, Che Rusli Che Sulaiman berkata, pihak bomba bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima maklumat daripada orang awam dengan kekuatan sepuluh anggota untuk membantu mangsa._sinarharian
Rogol: 8 suspek diburu
PASIR PUTEH - Polis giat mengesan lapan lelaki yang dipercayai dapat membantu siasatan kes rogol yang dilaporkan berlaku bulan lepas di Kampung Dalam Ru, dekat sini.
Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Deputi Superintendan Mohd Kamal Zainal berkata, polis menahan seorang lelaki tidak lama selepas kejadian itu sebelum berjaya menahan seorang lagi semalam.
Menurutnya, lapan lagi rakan lelaki tersebut sudah dikenal pasti dan serbuan ke rumah semua suspek sudah dibuat, namun mereka tidak berada di rumah.
“Lelaki berusia antara 16 hingga 20 tahun itu dipercayai merogol dua gadis berusia 15 tahun dalam sebuah pondok kosong di Kampung Dalam Ru.
“Daripada maklumat yang kita dapat, terdapat suspek daripada daerah ini dan Besut yang sememangnya dikenali mangsa,” katanya.
Mohd Kamal berkata, polis percaya lapan lelaki yang diburu dapat membantu menyelsaikan siasatan� kes di bawah seksyen 336 Kanun Keseksaan itu.
Mereka yang diburu katanya, dipercayai bersembunyi bagi mengelak ditahan polis selepas dua rakan mereka ditahan.
“Saya berharap keluarga mereka memberi kerjasama kerana polis akan terus menjejaki mereka yang dipercayai terlibat dalam kejadian tersebut.
“Kami meminta orang ramai yang mengetahui maklumat mengenai kejadian itu tampil membantu siasatan polis,” katanya kepada Sinar Harian.
Dalam kejadian pertengahan Disember lepas, mangsa dikatakan membonceng motosikal suspek yang membawa mereka ke sebuah pondok kosong sebelum rakan-rakan suspek ke lokasi tersebut dan merogol mangsa secara bergilir-gilir.
Mangsa yang masih bersekolah di sebuah sekolah menengah di Bachok itu kemudiannya membuat laporan� di Balai Polis Cherang Ruku._sinarharian
Kehilangan gadis jadi tanda tanya
ALOR SETAR- Kehilangan seorang gadis berusia 20 tahun pada 3 Januari lalu selepas tidak pulang semula ke tempat kerjanya pada jam 11 pagi menjadi tanda tanya kepada ahli keluarganya sehingga ke hari ini.
Michelle Lim Shiau Wei dari Tanjung Bendahara dilaporkan hilang pada Ahad lalu selepas keluar dari sebuah kedai perabot di Tandop iaitu tempat dia bekerja sebagai kerani sejak tujuh bulan yang lalu.
Wakil Khas Ahli Parlimen Alor Setar, Loh Eng Chong berkata, keluarga gadis tersebut memohon jasa baik beliau untuk menghebahkan kehilangan ini kepada media bagi membantu mencari anak mereka yang hilang.
Eng Chong berkata, keluarga gadis itu memberitahu, pada hari kehilangannya, Shiau Wei dihantar ke tempat kerja oleh ibunya seperti biasa pada jam 9 pagi.
Menurutnya, pada jam 12 tengah hari, isteri majikan Shiau Wei menghubungi keluarganya memberitahu anak mereka tidak pulang selepas keluar dari kedai itu kira-kira jam 11 pagi.
“Kebetulan pula pada hari yang sama Shiau Wei baru menerima gaji sebanyak RM700 daripada majikannya.
“Berdasarkan maklumat isteri majikan, semasa keluar dari kedai perabot itu, Shiau Wei hanya membawa sebuah beg galas berwarna hitam putih bersamanya,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.
Shiau Wei yang hanya memakai seluar jeans dan kemeja T dengan rambut panjang melepasi bahu adalah anak sulung daripada empat beradik.
Eng Chong berkata, selepas dimaklumkan tentang kejadian itu, bapa Shiau Wei yang bekerja sebagai kontraktor di Jitra cuba mencari di sekitar bandar raya ini namun gagal.
Beliau berkata, selepas gagal menemui anak mereka di merata-rata tempat, akhirnya beliau mengambil keputusan membuat laporan polis tentang kehilangan anaknya itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar kira-kira jam 8.30 malam.
“Bagaimanapun, sehingga kini keluarganya masih berharap Shiau Wei akan pulang ke pangkuan keluarga dan akan membantunya jika mempunyai sebarang masalah,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Abdul Ghafar Rajab ketika dihubungi berkata, pihaknya telah menerima laporan kehilangan tersebut.
Menurutnya, polis telah pun menjalankan siasatan dan sehingga kini masih tiada sebarang perkembangan mengenai kes tersebut._sinarharian
Jumaat, 1 Januari 2010
CATATAN AWAL PURNAMA: MEMBEBANKAN RAKYAT ITU NAMANYA MENZALIMI RAKYAT!
norhalim mh
Tahun baru 2010 disambut rakyat Malaysia dengan kenaikan harga gula sebanyak 20 sen, apa lagi yang patut diperkatakan kepada kerajaan Barisan Nasional, tiada lain daripada menyusahkan rakyat, alasan dangkal kenaikan harga gula dunia dijadikan penyebab kenapa kerajaan prihatin ini wajib menaikkan harga gula daripada kerajaan terus dibebani pemberian subsidi yang besar kepada rakyat.
Memang dalam berbuat kebajikan kepada rakyat, kerajaan terlalu berkira, subsidi itu sudah menjadi tanggungjawab kerajaan sebenarnya. Rakyat tidak lupa tentang keborosan pemimpin negara membelanjakan khazanah negara, perlakuan rasuah berbillion-billion banyaknya, apa lagi yang tidak boleh diperkatakan kepada pemerintah jenis ini?
Rakyat tidak akan merungut atau marah jika kenaikan harga gula ini, kerajaan yang memerintah itu telus, berhemah dalam berbelanja, tidak melakukan amalan rasuah, rakyat sudah pastinya mengambil kira beban tanggungan kerajaan, haruskah rakyat dipersalahkan kerajaan sekali lagi?
Kerajaan berkata "Rakyat sepatutnya bersyukur kerana kerajaan masih memberikan lagi subsidi kepada rakyat" . "Oh begitu rupanya, memang inilah kerajaan yang amat prihatin". Begitu agaknya jawapan penyokong-penyokong umno dan puak-puak yang memberikan undi kepada mereka pada 8 Mac 2008 yang lalu, Berbaloikah undi mereka itu?
Bagi mereka yang menolak Barisan Nasional memang wajib mereka marah kerana memang dasar pembangkang, akan membangkang apa sahaja perkara yang menyusahkan rakyat. Itu betul kerana memang tanggungjawab pembangkang membangkang perkara-perkara salah yang dibuat pemerintah.
Bagi golongan berada, kenaikan harga gula tidak memberi kesan langsung kepada mereka kerana bagi mereka semua keperluan tersedia.
Tidakkah kerajaan prihatin ini terfikir? Bagaimana pula dengan golongan kebanyakan iaitu sekalian rakyat yang bukan dari kategori berada atau elit tersebut? Apa beza itu semua, bagi kerajaan jenis ini hanya melihat bagaimana mahu menyelesaikan masalah bebanan kewangan negara dengan jalan mudah iaitu menaikkan harga barang, begitu juga dengan tragedi kenaikan minyak melampau di zaman Pak Lah, adakah rakyat sudah lupa?
Sesunggugnya rakyat tidak pernah lupa dan kerajaan jenis ini juga tentunya tidak akan dapat melupakan amukan rakyat pada 8 Mac 2008. tetapi kenapa perkara seumpamanya ini masih berlaku?
Jawapannya mudah...Kerajaan jenis ini masih berkuasa dan mereka dengan angkuh berkata "Barisan Nasional Masih diberi kepercayaan rakyat memimpin Negara, mandat rakyat harus dihormati semua pihak". dengan sekonyong-konyong bertempik soraklah penyokong-penyokong mereka kerana Barisan Nasional berjaya mengekalkan kuasa untuk satu tempoh lagi menzalimi rakyat kebanyakan.
Memang sudah menjadi lumrah Kerajaan Barisan Nasional ini menganiaya rakyat apatah lagi kepada penentang-penentang mereka. Sebabnya kerana mereka masih berkuasa.
Natijahnya sudah jelas, rakyat kebanyakan tidak boleh lagi perlu bertolak ansur dengan kerajaan jenis ini, kerja mereka itu memang suka membebankan rakyat, Pilihanraya Umum ke 12 yang lalu hingga tempoh ke Pilihanraya umum ke 13 adalah masa dimana rakyat menilai kerajaan Barisan Nasional ini yang terus-terusan membebankan rakyat. Mereka akan diberi hukuman setimpal dengan kezaliman yang dilakukan kepada rakyat. Memang Benar.... Membebankan rakyat itu namanya Menzalimi Rakyat!
*****
*****
Selasa, 29 Disember 2009
Pas tidak taksub logo bulan
PASIR PUTEH - Kesediaan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang sanggup menggunakan lambang roket sebagai tanda kerjasama erat Pakatan Rakyat (PR) membuktikan keterbukaan Pas.
Ahli Dewan Undangan Negeri Limbongan, Zainuddin Awang Hamat berkata, kesediaan itu jelas menggambarkan bahawa pimpinan Pas tidak taksub kepada lambang bulan.
Menurutnya, hubungan Pas dan parti lain dalam PR semakin baik sehingga Nik Azizi bersedia menggunakan logo DAP.
”Kita lihat bagaimana parti Islam Ikhwanul Muslimin menggunakan lambang parti sosialis untuk bertanding selepas parti itu diharamkan, ia jelas menggambarkan pimpinan Islam tidak taksub kepada lambang.
”Apa yang penting perjuangan menegakkan hukum Islam diteruskan dan penerangan dibuat agar orang bukan Islam memahami apa yang kita perjuangkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis kesyukuran sempena kepulangannya daripada menunaikan ibadat haji semalam.
Zainuddin berkata, pimpinan UMNO yang berfahaman ‘politik suku agama suku’ tidak faham perjuangan Islam sebenar lalu apa saja yang dilakukan Pas dibantah.
Katanya, ahli Pas dididik untuk berjuang dalam jangka masa panjang kerana ianya dituntut dalam Islam, berbeza dengan pimpinan UMNO yang berjuang untuk tempoh tertentu.
”Mereka berjuang untuk tempoh singkat yang menyebabkan pelbagai salah laku dikesan termasuk kes kehilangan enjin jet,” katanya.
Zainuddin berkata, orang Islam perlu mempelajari sesuatu daripada peristiwa Perjanjian Hudabiyah yang berlaku bulan Zulhijah, tahun ke enam hijrah.
Perjanjian itu katanya, sebagai pengiktirafan daripada kafir Quraisy kepada kerajaan Islam yang dibentuk Rasulullah SAW di Madinah walaupun sebelum itu Rasulullah menerima tentangan.
”Walaupun perjanjian itu nampak seperti berat sebelah sehingga sahabat mempersoalkan tindakan Rasulullah namun kebijaksanaan Rasulullah akhirnya terbukti.
”Pas kini diterima sebagai parti Islam dan ini merupakan satu pengiktirafan kepada saf perjuangan Islam di negara ini,” katanya._sinarharian
Nik Aziz desak Umno keluar BN
| Dzulfikar Mashoor |
KUALA LUMPUR, 29 Dis: Mursyidul Am PAS Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat kelmarin meminta Umno keluar dari BN dan bersama-sama PAS dalam Pakatan Rakyat sekiranya jujur dan benar-benar mahu memperjuangkan hak rakyat. Beliau yang juga Menteri Besar Kelantan berkata demikian sebagai mengulas aksi sekumpulan pemuda mendesak PAS Selangor supaya keluar dari Pakatan Rakyat negeri Ahad lalu. Jelasnya, mereka yang terbabit dipercayai sebagai ahli atau penyokong Umno. "Kalau Umno boleh minta PAS keluar daripada Pakatan (Rakyat), maka saya minta daripada Umno (supaya) keluar dari BN untuk bersama dengan PAS," jelas Nik Aziz seperti yang dilaporkan suatu akhbar tempatan. Beliau berkta, teknik menjadi dalang mengganggu PAS tersebut merupakan amalan kebiasaan Umno sejak PAS mula memerintah Kelantan dua dekad lalu lagi. "Didalangi itu, perkara biasa bagi golongan sekular ini (Umno)," jelasnya. "Sebenarnya orang PAS ini dah masak dah (menjadi dalang Umno)...sejak tahun 1991 lagi, macam-macam perkara dibuat." Ujarnya, Umno diminta menggugurkan dasar kebangsaan dan bersedia menerima Islam sebagai dasar parti, sekiranya jujur mahu bersama-sama perjuangan Islam yang dibawa PAS. Tambahnya lagi, Umno juga seharusnya bersedia menerima parti-parti komponen Pakatan Rakyat yang lain kerana PAS sekarang komited bersama-sama Pakatan Rakyat demi menumbangkan kerajaan yang zalim secara demokratik. Beliau yang sebelum ini disebut-sebut sebagai 'Pemimpin Spiritual' dalam Pakatan Rakyat turut berpandangan Pakatan Rakyat lebih memenuhi semangat 1Malaysia, berbanding BN. "Ia (Pakatan Rakyat) lebih bersemangat 1Malaysia daripada apa yang ada (BN) sekarang ini," sinisnya._harakahdaily.net |
Jangan Guna RM5 juta ‘Dana Rempit’ Untuk Kempen Umno!
KUALA TERENGGANU – Umno dan Barisan Nasional (BN) Terengganu diberi ingatan supaya tidak menggunakan peruntukan kerajaan untuk membiayai kempen parti tersebut khususnya kepada golongan remaja dan belia.
Ketua Dewan Pemuda PAS Terengganu Ustaz Mohd Nor Hamzah berkata, beliau bimbang dana RM30 juta yang diluluskan dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) baru-baru ini disalahgunakan oleh Umno.
”hanya kita bimbang, takut, mereka mengambil kesempatan menggunakan program itu untuk kempen Umno, sebagaimana mereka telah menyalahgunakan Program-program Bakti Remaja dengan peruntukan (kerajaan) yang besar,
Selain itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payung juga bimbang peruntukan dana yang besar itu hanya diberikan kepada pihak-pihak yang mempunyai kepentingan tertentu.
Beliau bimbang kerana menurutnya sehingga kini kerajaan belum menyatakan secara jelas, apakah bentuk program atau projek dan modul yang akan digunakan bagi menyelesaikan masalah gejala sosial di kalangan remaja.
”Projek (atau) program belum (dinyatkan) secara jelas (dan) modul (yang akan digunakan) sepatutnya mesti dinyatakan kepada semua wakil rakyat, supaya ia dapat dilihat dan dinilai pengisiannya,”ujarnya.
Selaku yang bertanggungjawab keatas perkembangan golongan terbabit, beliau akan meneliti apa yang akan dikemukakan oleh kerajaan negeri dan bersedia untuk memberikan saranan, demi kebaikan remaja dan belia.
”Saya dah beri asas-asas (perkara yang perlu diambil perhatian) dalam Persidangan DUN untuk diambil penilaian (dan perjalanan oleh kerajaan), jadi kita tengok dulu (bagaimana ia akan dilaksanakan),”jelasnya.
Bacaan sebelumnya;
Siasat Program Bakti Remaja
Pemuda Pantau Penyelewengan Kerajaan
_buletinonline
Langgan:
Catatan (Atom)