Sahabat Purnama

Sabtu, 24 Oktober 2009

Rayuan Kepada Pendukung2 PAS: Perlu Segera Selesaikan Masalah Dalaman.

Salam,

Yang Amat Dihormati lagi dikasihi, Mursyidul Am, Timbalan Mursyidul Am, Presiden, Timbalan Presiden, Naib2 Presiden, Ketua Dewan Ulamak, Ketua Pemuda, Ketua Muslimat, dan semua AJK PAS Pusat, bermesyuaratlah segera, kami penyokong2 PAS sangat berdukacita jika kerumitan ini berlarutan.

Ingatlah semua ini ujian besar kepada kita dalam meneruskan perjuangan suci ini, musuh-musuh kita sentiasa mencari kesempatan untuk memporak perandakan persaudaraan kita, lakukanlah yg terbaik demi ISLAM, Buanglah jauh kepentingan peribadi, kita dalam satu Jamaah.

Rakyat di luar sana memerhatikan kita, PAS adalah wadah penyelamat kepada banyak penyakit yg masih belum sembuh dalam negara Malaysia yg kita cintai ini.

Semuga semua pimpinan, ahli2 dan penyokong2 PAS, bertenang dan bersabarlah dengan ujian ini, kita perlu kuat dan terus tabah, ALLAH menguji kita utk mengetahui sejauh mana keikhlasan kita dalam berjuang utk AgamaNYA. Lakukanlah solat dan bermunajat lah mohon petunjuk. wwlam.

*****

Pemuda PAS: Kemelut 'agak serius'

Abdul Rahim Sabri
Okt 23, 09 2:58pm

Dewan Harian Pemuda PAS akan bermesyuarat untuk mengambil langkah-langkah yang perlu untuk dimajukan kepada pucuk bagi menyelesaikan kemelut dalaman parti tersebut.

"Buat masa ini, saya sebagai ketua pemuda PAS, masih meneliti apa sebenarnya yang berlaku. Ia dilihat dalam keadaan ini, agak serius.

"Saya akan memanggil Dewan Harian Pemuda untuk bermesyuarat bagi menentukan apakah langkah yang Pemuda akan ambil. Ia nampak agak dalaman," kata ketuanya, Nasrudin Hassan kepada Malaysiakini tengahari ini.

Nasrudin berkata beliau akan memanggil anggota dewan tersebut dengan kadar segera.

Nasrudin diminta mengulas desakan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat yang mencadangkan parti itu mengadakan muktamar khas bagi membincangkan isu "dua tiga kerat pemimpin bermasalah", termasuk presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Desakan Nik Abdul Aziz itu dibuat ekoran kemarahannya terhadap beberapa kepimpinan parti itu, antaranya Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali dan Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Dr Hassan Ali berhubung isu kerajaan perpaduan yang dikaitkan dengan mereka.

Ditanya sama ada masalah dalaman PAS ini akan berlarutan atau hanya besifat sementara, Nasrudin berkata:

"PAS pernah mengalami kemelut dan pergolakan dalaman. Setiap kali berlaku, Insya-Allah sebagai sebuah parti yang memperjuangkan Islam dan berpengalaman, ada jalan keluar untuk menyelesaikan masalah ni.

"Saya percaya, apa yang berlaku ini bersifat sementara sahaja," katanya

Sebelum ini pergeseran kedua-dua tokoh PAS dan kumpulan pro-kerajaan perpaduan dilihat 'tegang' apabila mereka dilaporkan bertemu di Kota Bharu untuk menyelesaikan isu kerajaan perpaduan, walaupun beberapa kali penafian dibuat.

Malah selepas pertemuan itu berlangsung, kedua-dua tokoh bersetuju untuk menukarkan istilah 'muzakarah' kepada 'muqabalah'.

Isu kerajaan perpaduan ini juga turut menjadi pedebatan panas di kalangan perwakilan PAS dalam beberapa muktamar tahunan terutama di Perak, Ogos tahun lalu dan di Selangor Jun lalu.

Bahkan selepas daripada muktamar itu, Nik Aziz cuba mengadakan pertemuan sulit dengan beberapa pemimpin kumpulan Erdogan yang mirip menentang kumpulan 'pro-kerajaan perpaduan.

Minta kerap bertemu

Bagaimanapun, Nasrudin menggesakan agar pucuk pimpinan PAS "kerap bertemu dan berjumpa dalam mesyuarat" serta "mengadakan perbincangan khas" untuk menyelesaikan masalah ini supaya tidak berlarutan.

"Ia perlu dipandang serius oleh saf kepimpinan PAS agar tidak merosakkan perjuangan parti, dan mengelirukan akar umbi," katanya.

Beliau juga menggesa ahli PAS agar "bertenang tanpa mencetuskan sebarang spekulasi yang mengusutkan keadaan".

Ditanya sama ada beliau bersetuju agar muktamar khas (EGM) diadakan untuk menyelesaikan kemelut ini yang berpanjangan selepas pilihan raya umum Mac tahun lalu, Nasrudin berkata:

"Keperluan untuk mengadakan EGM akan diputuskan oleh pucuk pimpinan. Tak boleh putuskan secara spontan.

"Sama ada Majlis Syura atau AJK PAS Pusat bersetuju atau tidak, ia harus mendapat satu pertiga sokongan daripada ahli PAS, baru ada muktamar khas. Tak boleh putuskan secara spontan," katanya._malaysiakini bm

Sukby Latif: ‘Penulis 'first news' bukan pengekor cerita orang’

bumiperak, Saturday, October 24, 2009

Siapa yang tidak kenal dengan Subky Latif, insan yang menjadi pelopor penulisan buku-buku politik semasa dan peneroka ‘penulis baru’ (new journalism) di Malaysia sehingga digelar 'Mahaguru' kewartawanan oleh sebahagian besar pengamal media. Malah bagi pemimpin politik dan kerajaan namanya sudah tidak asing lagi bagi mereka.

Di sebalik kesederhanaan watak, gaya hidup dan kopiah merahnya itu, siapa sangka dia telah pun mencecah kaki ke Britian, Perancis, Belanda, Denmark, Swirtzerland, Greece, Brussel dan Amerika bagi menyorot bidang yang diceburinya. Lebih hebat, dia pernah menyertai Kursus Diploma Kewartawanan di Berlin Barat, Jerman.

Walaupun pun begitu, kehidupannya masih sama seperti dulu, seiring kehidupan Menteri Besar Kelantan Tuan Guru Dato' Nik Aziz Nik Mat. Tanpa niat mengejar impian kereta dan rumah mewah, beliau masih berjuang dengan tinta tajamnya. Itulah kehebatan tindakan dan tulisan Subky yang tidak boleh diramal sesiapa.

Biodata:

Beliau yang berpendidikan Melayu dan Menengah Inggeris dilahirkan Setiawan Perak 28 Julai 1940, kini berusia 70 tahun pernah menjadi pemberita Utusan Melayu dan Warta Negara di Pulau Pinang mulai 1963. menjadi penulis semenjak berusia 25 tahun.

Di era Perdana Menteri Tun Abdul Razak, tulisannya cukup kontroversi. Pedih dan perit kerana terpaksa berhadapan dengan hujah-hujahnya yang kukuh dan membuka mata. Kesannya, demonstrasi dan tangkapan menjadi aksi-aksi selepas itu.
Antara bukti ialah ketika dia membongkar kisah 'Dua Abdul' di bawah pentadbiran Tun Razak yang kononnya terbabit dengan subversif sehingga tertangkapnya yang mereka yang terlibat. Begitu juga dengan kritikannya terhadap isu ketiadaan air di Johor sehingga tercetusnya himpunan demontrasi menuntut air.

Selain bidasan dan 'pancungannya' ke atas sikap dan tindakan kerajaan, dia juga diberi kepercayaan membuat liputan kunjungan Tun Abdul Razak ke Peking bersama Utusan Malaysia sekitar tahun 1974 malah pernah mewakili Malaysia dalam Seminar ASEAN mengenai sebaran am di Manila.

Terus bersama PAS

“Demokrasi dibunuh oleh BN”. PAS dipecat oleh BN dari Kerajaan Perikatan sehingga terjadinya darurat di Kelantan tahun 1974. Untuk menyuburkan demokarsi saya masuk parti pembangkang" katanya. Usianya ketika itu baru 38 tahun tentulah mempunyai cita-cita yang cerah jika masih berada dengan kerajaan..
Subky pula mengambil keputusan melawan arus dengan menyertai parti yang memperjuangkan Islam itu. Ketika itu PAS parti sepah terbuang masakan tidak ketika PAS kalah teruk dalam pilihan raya 1978 dan saat dihalau daripada Barisan Nasional (BN),
Secara tegas Subky menceritakan tujuannya memasuki PAS adalah untuk memastikan demokrasi di Malaysia selamat.

Menceritakan pengalaman manis yang tidak dapat dilupakan oleh beliau ialah sewaktu menjawat Setiausaha Pemuda PAS Pusat sekitar tahun 1982, ketika memulakan usul dan menjadi pelopor konsep Kepimpinan Ulama.
"Cadangan saya diterima dan dibawa ke Muktamar dan akhirnya diluluskan menjadi dasar sehingga sekarang," katanya.

Beliau juga tidak lupa ketika mula 'mendekatkan' PAS dengan masyarakat bukan Islam pada tahun 1985 dan 1986 sehinggakan di Kuala Lumpur dibuat seminar-seminar yang memberi penerangan konsep pemerintahan Islam kepada kaum Cina.
"Sejak itu kita mengorak langkah dengan mengadakan ceramah-ceramah di Dewan Perhimpunan Cina sehingga tertubuhnya CCC Chinese Comunity Council yang dianjurkan PAS.
"Kita pernah dipanggil berceramah di tokong-tokong Cina sekitar Kuala Lumpur, Kepala Batas dan Ipoh. Senario itu cukup membimbangkan BN apatah lagi tentang konsep Islam yang diterangkan oleh PAS," katanya.

Selain menulis beliau sendiri pernah bertanding pada pilihan raya kecil Pelabuhan Kelang, 1 Disember 1979, merebut kerusi Menteri Pengangkutan yang kosong dengan kematian Mendiang Tan Sri V. Manikhavasagam. Subky merupakan antara pemimpin yang banyak menyertai pilihan raya.

Bertanding di Perak, Terengganu, Setapak Kuala Lumpur, dan pernah 'melawan' Tun Dr Mahathir di Kubang Pasu, Subky yang tidak pernah menang kerusi sekalipun tetap istiqamah dalam perjuangannnya.

Pengasas Akhbar Harakah
Sebagai pengasas akhbar lidah rasmi PAS iaitu Harakah pada tahun 1978, Subky tetap menyelitkan kisah susur-galurnya menerbitkan akhbar yang kini sentiasa panas dan 'hangat' di pasaran itu.
Katanya di awal penerbitan ianya dicetak sejumlah 12,000 sahaja namun beberapa hari selepas diedar di pasaran, Harakah akhirnya 'sold-out'. Tidak cukup dengan itu, ada pembaca dan peminat setia minta ianya diulang cetak.

Tetapi, di sebalik kehebatannya, tidak ada yang tahu bahawa ketika itu tidak ada syarikat percetakan yang bersedia mencetak Harakah kerana dua faktor iaitu kerana ianya akhbar PAS dan keduanya pengasas dan pengarangnya adalah Subky Latif.
"Hanya sebuah syarikat percetakan akhbar Tamil yang bersedia mencetak. Itu pun hanya sekali sahaja. Kemudian tidak sanggup kerana amaran, ancaman dan ugutan daripada kerajaan pada masa itu," jelas Subky yang pernah menjawat jawatan sebagai Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan.

Kemudian beliau bertemu dengan seorang kenalan berbangsa Cina yang sudah hampir tutup bisnes percetakannya sehingga tidak mampu membayar gaji pekerja.
"Saya buat rundingan dengannya iaitu membayar sejumlah RM5,000 untuk setiap minggu Harakah dicetak. Dan setiap bulan syarikat itu memperoleh sejumlah RM20,000 sampai boleh membayar gaji pekerjanya," katanya sesekali ketawa.

Kemudian katanya ada agen Umno yang jadi lembaga pengarah syarikat itu yang mengenakan sekatan dan syarat supaya Harakah tidak mengkritik kerajaan. Ada sekali, tidak dicetak sehingga, pengedar tunggu sampai pukul 1 pagi, kata Subky
"Kita bawa bahan itu ke Pulau Pinang kerana ada yang sanggup mencetak, dan akhirnya kita bawa pada malam yang sama untuk edaran dan 'sold-out' juga!," kata Subky

Kerjaya sebagai Penulis
Selain Harakah, sebelum itu, Subky pernah menjadi 'peneroka' tiga buah akhbar seperti dwi mingguan Suara Rakyat, Suara Merdeka dan Harian Watan. Begitu juga dengan beberapa majalah yang 'diciptanya' seperti Sarina, Keluarga, Kisah Cinta dan Kritik.

Sejarah telah menceritakan bahawa Subky seorang yang tidak pernah mengingkari tuntutan tanggungjawab malah dikenali sebagai kolumnis yang paling istiqamah dan tidak pernah 'bercuti' daripada menulis. Sehingga kini Subky tidak pernah gagal mengisi ruangan '1,2 dan 3...' dan 'Mens Sana in Corpore Sano' dalam Harakah dan juga Siasah namun semua itu memerlukan tahap displin yang tinggi
"Ketika saya jadi ketua, saya akan pastikan sesiapa yang mahu menjadi kolumnis, berdisplin dan isi ruang kolum bila sampai tarikhnya. Jika hanya menulis sekali sekala, lupakan sahaja," katanya.

Rutin kehidupan
"Bangun awal untuk baca Quran sebelum solat Subuh, lepas solat siapkan tulisan untuk Harakah, Siasah dan juga Buletin Rakyat. Kolum tetap maka displin mesti ada.
Semenjak empat tahun kebelakangan ini, Subky berusaha menyiapkan buku 'Analitikal' tentang hikayat para Nabi khususnya 25 Rasul yang dijangka akan terbit dalam jangka masa terdekat.

"Saya sudah pun siapkan buku 25 Rasul itu dan terpulang kepada pihak yang nak meneribitkannya nanti," katanya.

Ditanya tentang petua menjadi penulis dan wartawan yang berjaya, Subky teringat sebuah buku penulis berbangsa India yang mencebiskan kata-kata semangat untuk beliau terus menulis tanpa henti.

"By mearly wishing to be a writer you do not become once but by writing everyday you will and can become a good writer (Sekadar hajat nak menulis belum boleh menjadi penulis tetapi jika menulis setiap hari anda akan menjadi penulis yang baik)," lontar Subky memetik kata itu.

"Seperkara lagi, saya suka bertengkar, dari kecil lagi dan saya mahu menang. Dari pertengkaran itulah saya mendapat ilham dan idea baru untuk menulis," katanya mengimbau kenangan zaman kanak-kanaknya.

"Jadi lead... 'first news' bukan pengekor cerita orang. Sesiapa yang tidak puas hati dan kata salah, mesti buktikan kesalahan dan sanggah dengan penuh yakin. "

Matlamatnya sebagai penulis ialah menjadi 'starter' atau pencetus sesuatu isu dalam landskap politik negara malah sebagai pembimbing kepada para pembaca yang tidak tahu perkembangan terkini isu-isu semasa khususnya membabitkan politik.

Siaran akhbar Siasah keluaran terbaru 20 Okt 2009_http://bumiperak.blogspot.com/

Pemuda Umno Perak takut berdebat

Nazri Abdullah & Hafiz Sabri

IPOH, 24 Okt: Dewan Pemuda PAS (DPP) Perak menyifatkan Pemuda Umno negeri itu pengecut dan penakut ekoran tidak mahu pula untuk berdebat.

Mereka sebelum ini telah mengemukakan cabaran debat kepada Pemuda PAS negeri itu atas tajuk mencari kebenaran siapa benar siapa salah dalam insiden sidang DUN Perak 7 Mei lalu.

Cabaran yang disiar akhbar Sinar Harian edisi perak pada 22 Oktober lalu juga turut meminta DDP Perak menunjukkan bukti benarkah Adun BN bertindak merampas kerusi Speaker dari V.Sivakumar.

Mereka juga menuntut supaya DPP membuktikan adakah benar dakwaan bahawa Pakatan rakyat di pihak benar dan BN di pihak salah.

Namun, apabila DPP ingin menghantar surat menyahut cabaran itu semalam, Pemuda Umno pula didakwa mengelak dan tidak mahu untuk berdebat.

DPP Perak diketuai ketua penerangannya Mohd Akmal Kamarudin semalam telah pergi ke pejabat Pemuda Umno bagi menyerahkan surat menyahut cabaran debat tersebut.

Namun rombongan mereka dihalang oleh petugas pemuda Umno di tengah jalan 50 meter dari pagar bangnunan Umno Perak.

Petugas Pemuda Umno itu hanya memberitahu mereka telah diarahkan oleh ketua mereka untuk tidak menerima surat tersebut.

Surat tersebut antara lain memaklumkan DPP Perak bersedia pada bila-bila masa dan di mana sahaja untuk berdebat secara intelektual berhubung isu tersebut.

"Mengapa pemuda umno berdolak dalih, bukankah pemuda umno cabar supaya kami tunjukkan bukti, tapi bila kami nak tunjukkan bukti mengapa pemuda umno tak berani berdepan," kata Akmal.

"Apakah pemuda umno Perak tiada sebarang hujah sehingga menyebabkan mereka tidak berani berdepan dengan pemuda PAS Perak?" soalnya. _ harakahdaily.net

Nasharudin mahu dapatkan penjelasan Nik Aziz

Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 23 Okt: Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa mahu mendapatkan penjelasan Mursyidul Am, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berhubung tulisan dalam blognya mengenai cadangan agar diadakan muktamar khas bagi membincangkan beberapa isu melibatkan beberapa pimpinan parti.

Nasharuddin ketika diminta mengulas isu berkenaan berkata, cadangan diadakan muktamar khas itu merupakan pandangan peribadi Nik Aziz dan sesiapa pun dalam parti berhak mengeluarkan pandangan masing-masing.

Namun ujarnya, sebarang keputusan yang melibatkan dasar parti tidak boleh dibuat secara individu sebaliknya perlu dibincangkan dalam mesyuarat.

"Presiden tak boleh buat keptusan, timbalan presiden pun tak boleh mengubah dasar parti hanya kerana pandangan individu. Seseorang itu bebas memberikan pandangan tapi untuk melakukan perkara besar, perlukan keputusan dalam syura,"ujarnya kepada pemberita di lobi parlimen selepas pembentangan bajet 2010 di dewan rakyat.

Kelmarin, Nik Aziz dalam blognya menimbulkan cadangan itu dipercayai kerana tidak senang dengan beberapa pemimpin parti, antaranya Setiausaha Agung Datuk Mustafa Ali dan Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Hasan Ali berhubung isu kerajaan perpaduan.

"Begitu juga dengan isu-isu di sekitar Hassan atau Mustafa yang tak habis-habis dengan nak bekerjasama PAS dengan Umno ke arah kerajaan perpaduan atau UG (unity government).

"Tenggelam-tenggelam, timbul, kemudian dihidupkan. Kemudian dimatikan pula bila nampak orang marah. Apa ini?" tulis Menteri BEsar Kelantan itu dalam blognya.

Ekoran itu, Nik Aziz mencadangkan satu muktamar khas diadakan bagi memberi peluang kepada perwakilan membuat keputusan yang menentukan haluan parti ekoran beberapa pimpinan yang dianggap mendatangkan masalah kepada parti.

Tulisan itu juga sebagai mengulas mengenai analisis ahli akedemik Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Prof Aziz BAri yang mengaitkan kekalahan PAS di Bagan Pinang dengan krisis di Selangor yang melibatkan Dr Hassan Ali berhubung jualan arak di negeri itu dan kritikannya terhadap tatacara Jawatankuasa Pilihan Khas Keupayaan dan Kebertanggungjwaban (Selcat.)

Aziz juga mengkritik Presiden parti, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang tidak membuat sebarang kenyataan terhadap isu melibatkan Hassan itu sehingga menyimpulkan sikap sedemikian dengan perwatakan negatif bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Nasha berkata, cadangan Nik Aziz itu perlu dibawa ke dalam mesyuarat supaya beliau dapat membentangkan secara terperinci mengenainya.

"Saya berpegang kepada prinsip, kita ada cara dan kaedah untuk menentukan sesuatu perubahan yang melibatkan dasar parti.

"Sebab parti ini milik ahli yg bermuktamar setiap tahun dan memang ada peruntukan di dalam perlembagaan PAS tentang muktamar khas dan sebagainya tapi kita ingin dapat penjelasan apa yang dimaksudkan tok guru dalam tulisan tersebut.�katanya. _ harakahdaily.net

Tentera dilupakan dalam bajet 2010

Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 24 Okt: Ketua Pembangkang di parlimen Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertikai bajet 2010 yang langsung tidak diperuntukkan untuk sektor pertahanan.

Anwar yang juga ahli parlimen Permatang Pauh berkata, inilah kali pertama pembentangan bajet yang langsung tidak menyentuh mengenai peruntukan untuk anggota tentera yang telah berkhidmat menjaga keamanan dan keselamatan negara.

Ujarnya, selepas Barisan Nasional memenangi kerusi Bagan Pinang yang majoriti pengundinya terdiri daripada anggota tentera, BN terus melupakan jasa mereka sedangkan pelbagai janji ditaburkan kepada anggota tentera sebelum pilihanraya kecil berkenaan.

"Saya agak terkejut kerana pembantangan belanjawan tidak menyebut langsung sektor pertahanan. Selepas menang di Bagan Pinang, pasukan tentera dilupakan. Baru sangat menang, terus dilupakan,"katanya kepada pemberita sewaktu mengulas pembentangan bajet oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di lobi parlimen siang tadi.

Najib yang juga Menteri Kewangan membentangkan bajet 2010 berjumlah RM191.5 bilion yang mengandungi tiga strategi utama iaitu memacu negara ke arah ekonomi berpendapatan tinggi, memastikan pembangunan holistik dan mapan, serta mengutamakan kesejahteraan rakyat.

Namun apa yang dikesalkan, bajet yang bertemakan 1Malaysia, Kemakmuran Bersama itu langsung tidak memberi penghargaan kepada golongan tentera.

"Sepanjang ingatan saya, ini kali pertama pembentangan belanjawan yang tidak menyebut dan mengucapkan penghargaan kepada anggota tentera,"ujarnya kesal.

Sementara itu, ahli parlimen Bachock, Nasharudin Mat Isa yang juga Timbalan Presiden PAS melahirkan kebimbangan mengenai cadangan kerajaan untuk membenarkan Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) menjana hasil pendapatan sendiri agar dapat mengurangkan kebergantungan kewangan IPTA kepada kerajaan.

Apa yang dibimbangkan ujarnya, kebebasan yang diberikan kepada IPTA untuk menjana pendapatan sendiri itu akan menjejaskan fungsi IPTA untuk membangunkan modal insan.

"Universiti diberikan semacam satu kebebasan untuk menjana pendapatan, tetapi tidak disentuh dalam pembentangan itu mengenai peluang-peluang yang harus diberikan kepada universiti untuk benar-benar membangunkan modal insan."

"Saya bimbang universiti akan menjadi institusi yang hanya menjana kewangan lebih daripada institusi untuk membangunkan modal insan," katanya.

Najib dalam pembentangannya berkata, dalam usaha kerajaan memperkasakan IPTA supaya lebih berdaya sainng dan dapat meningkatkan ranking mereka berbanding universiti lain di dunia, kerajaan akan menimbangkan untuk memberi lebih autonomi dalam pengurusan kewangan, sumber manusia, pentadbiran, kemasukan pelajar dan penjanaan pendapatan.

Dengan autonomi yang bertambah ujarnya, IPTA misalnya akan dibenarkan untuk menjana hasil pendapatan melalui penubuhan anak syarikat.

"Bagi mencapai objektif ini, kerajaan sedia mempertimbangkan kelonggaran peraturan dan syarat yang menyekat IPTA menjana pendapatnnya sendiri, "katanya_harakahdaily.net