Sahabat Purnama

Ahad, 18 Oktober 2009

1MALAYSIA Di 2 Perak Hari ini, Harap Najib Jangan Lupa Untuk Umumkan hasrat Bubarkan DUN Perak

Cina Islam menulis :-

Media melaporkan semua persiapan berjalan lancar untuk pelancaran program '1 Malaysia Bersama Rakyat Negeri Perak' oleh Perdana Menteri 1 Malaysia, Najib Tun Razak di Stadium Perak di sini malam ini.

Majlis pelancaran kononnya akan dihadiri lebih 50,000 rakyat pelbagai kaum dan agama.

Selain persembahan nyanyian dan kesenian, program yang akan dilancarkan pada 8.30 malam itu juga dimeriahkan dengan pelbagai acara seperti pameran dan gerai jualan yang bermula sejak pagi tadi.Program itu adalah yang julung kali diadakan dan ia akan dilancarkan di setiap negeri selepas Perak.

Semalam saya mengikuti dua program di Tambun Ipoh, satunya majlis sambutan Aidilfitri PAS Cawangan Batu 5 dan selepas ini memberikan kuliah di Surau di cawangan yang sama.

Laporan diberikan di mana sekolah dan jabatan kerajaan dikerah sepenuhnya untuk mengumpulkan sebanyak mungkin pengunjung. Mereka dijanjikan dengan duit RM 10 , makan free dan bas percuma. I nilah trend lama UMNO dan BN untuk meramaikan majlis rasmi, itupun bukan boleh dijamin kejayaannya.

Sambutan diadakan di Stadium tertutup mungkin untuk mengelakkan sebarang kemungkinan jika hujan yang berlarutan turun di Ipoh akhir-akhir ini mengagalkan kehadiran yang diharapkan.

Yang saya fikirkan sejak kelmarin benarkah Staidum Inderamulia boleh memuatkan 50,000 orang, setahu saya ianya agak kecil dan mungkin separuh dari itu sudah pun boleh penuh. Inilah kiraan standard yang dibuat oleh UMNO dan BN 1 boleh jadi 3 orang.

Akhirnya saya harapkan Najib datang ke Perak dengan 1 hasrat untuk menyelesaikan kemelut yang sedang dihadapi, buktikan slogan "rakyat didahulukan " . Dengarnya beliau akan mengadap DYMM Sultan Perak, semuga itu termasuk dalam agenda untuk dipersembahkan kepada tuanku Sultan.

blog cinaislam

Kemenangan Yang Ditunggu, " KE ARAH MENGEMBALIKAN DEMOKRASI"

Sejarah baru telah tercipta, BN yang diwakili calonnya ISA Samad telah membuktikan bahawa kemenangan yg ditunggu-tunggu selama ini muncul juga akhirnya, kekalahan demi kekalahan yg dialami kerajaan najib @ 1Malaysia sejak beberapa prk pasca mac 08 memberi sedikit sinar buat umnobn brsma grombolannya mca, mic, gerakan n sekutu sewaktu dgnnya.

ISA sudah membuktikan rkyt Bagan Pinang masih mahukan BN, bagi najib sendiri tentunya berbangga kerana pilihan akar umbi yang sememangnya pilihannya secara peribadi adalah tepat dan sekaligus menyanggah timbalannya yang pd awalnya seperti menolak pilihan bosnya sendiri (muhyiddin perlu sedar dgn kata2nya semasa perhimpunan agong umno yang lalu ("org no. 2 mestilah menjadi org no. 2 iaitu setia pd org no. 1"). Mat Hasan MB N.Sembilan yg mengatakan bahawa ISA adalah juga calon pilihannya pada peringkat awal, tentu berasa bangga dengan kemenangan ini (atau sebenarnya cukup gusar kerana pengaruh ISA yg mengatasi popularitinya.)

ubn akan terus memburu kemenangan bagi menebus maruah yang tercemar teruk sejak kemerosotan populariti selepas hilang majoriti 2/3 di parlimen. Perhimpunan Agung Khas baru-baru ini telah memperlihatkan kesungguhan bagaimana terdesaknya umno untuk memulihkan imejnya. Ini satu amaran buat Pakatan Rakyat bahawa ubn benar-benar mahu mengembalikan semula sokongan rakyat kepada parti perkauman sempit mereka.

Sokongan pengundi India dikatakan telah kembali bertaut kepada bn ini dibuktikan sokongan penuh dengan kemenangan di Ladang Siliau yg majoriti pengundinya berketurunan India, pada PRU 12 yang lepas, kawasan ini, pengundi2nya telah memilih PR dan sekarang telah beralih sokongan. Walaupun dikatakan perubahan sokongan ini kerana ubn telah menjanjikan rasuah politik, perkara itu tidak berbangkit lagi,ubn telah mencapai sasarannya. Pengundi India telah terpengaruh dengan memilih ubn. Apakah sokongan ini hanya bersifat sementara? Ini Hanya dapat diketahui dlm PRU13 yg akan datang atau yg terdekatnya Pilihanraya Negeri Perak (jika DUN dibubarkan).

Sekiranya semua janji2 ISA dan ubn ini ditunaikan maka sokongan ini mungkin akan kekal. Bolehkah andaian itu diambil kira? Jawapannya adalah serba kemungkinan. Pengundi India boleh membuat keputusan mengejut sebagaimana PRU Mac dan PRK Bagan Pinang, Bukankah itu satu kebetulan atau memang pengundi India benar2 berubah? kepercayaan ini sebenarnya masih membimbangkan ubn.

Pengundi melayu pula yg dilihat lebih menguntungkan ubn, ditambah pula ISA yg menjadi calonnya. Pengalamannya sebagai MB selama 22 thn adalah kelebihan kepadanya. Semua org dikatakan mengenalinya, jasanya, keperibadiannya dan ketokohannya, lonjakan sokongan yg diterima lebih sekaliganda berbanding PRU 12 yng lalu adalah bukti kehebatan ISA. Soal Moral ISA dan kisah politik wangnya tidak dipeduli pengundi, calon PAS dikatakan telah gagal dalam soal menyaingingi populariti ISA.

Undi pos, ketelusan SPR yg diagui, penguasaan media dan agensi kerajaan memang telah menjadi satu kelebihan kepada ubn, dalam perkara ini PAS brsama Pakatan Rakyat nampaknya masih belum berjaya mengubahnya.

Tiada apa yang hendak dibanggakan dengan kemenangan ISA dan ubn ini jika padang yg tidak sama rata sebagaiman yg dikatakan Presiden PAS menjadi faktor penentu kemenangan ubn.

Apapun analisisnya, itu bukanlah penting sangat kpd ubn, mereka sudah menang, jika inilah keputusan yg mengembirakan gerombolan ubn, maka najib perlu segera memikirkan bagaimana mengelesaikan kemelut politik di Perak. Bagan Pinang adalah permulaannya bg mencapai kemenangan seterusnya. mungkinkah najib sudah bersedia? Kemenangan yg ditunggu-tunggu sudah dicapai.

Perhimpunan 1Malaysia yg akan bermula hari ini di Perak juga adalah dirasakan tanda2 awal, selain SPR mengumumkan senarai nama pengundi berdaftar terkini di Perak. Ayuh najib! Rakyat Perak sudah bersama kamu, bubar DUN segera. rakyat Perak sudah terlalu lama menunggu-menunggu kemenangan seperti ubn di Bagan Pinang, begitu juga PR, Istana juga tidak ketinggalan adalah pihak yg paling utama mahukan kemenangan, maruah yg tercalar perlu ditebus, ketidaktentuan politik dan kesejahteraan rakyat perlu diambil kira.

Jika ubn ikhlas mahu mengembalikan demokrasi di Perak, inilah masa membuktikannya, "Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan" bukan sekadar slogan kosong tetapi adalah janji yg mesti ditunaikan. ubn yg sememangnya kaya dengan slogan pasti akan mencipta satu lagi slogan yg bakal diumumkan di Stadium Perak malam ini, Saya mencadangkan Slogan baru buat najib ubn " Ke Arah Mengembalikan Demokrasi" . InsyaALLAH Semua Pihak boleh menerimanya. TAKBIR!

*****

Selangor Buka 12,000 Peluang Pekerjaan

Muhammad Arif Ismail

SHAH ALAM, 2 Okt: Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr. Halimah Ali berkata, sebanyak 12,000 peluang pekerjaan ditawarkan di negeri Selangor.

Menurut beliau berdasarkan statistik pada ketika ini, terdapat lebih kurang 11,500 peluang pekerjaan kilang-kilang di negeri selangor.

Beliau yang juga merupakan ADUN Selat Klang berkata, kerajaan negeri bersama-sama dengan Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia telah membuat perancangan untuk mengadakan siri jelajah ke seluruh pelusuk negeri bagi membantu penganggur dan juga ibu tunggal memperolehi perkerjaan.

Hal ini, katanya, dapat dilakukan dengan mengerakkan jawatankuasa keselamatan dan kemajuan kampung (JKKK) di negeri ini serta dengan kerjasama ADUN dan Ahli Parlimen.

Seramai 25,000 ibu tunggal dan para belia yang masih tidak mempunyai perkerjaan di negeri ini,ujar beliau.

Beliau juga menyeru rakyat di negeri ini terutamanya belia dan ibu tunggal merebut peluang yang disediakan oleh kerajaan dengan satu satu siri jelajah akan dilakukan dalam masa terdekat.

harakahdaily.net

Penguatkuasaan Lemah, Punca Rasuah Sukar Dibendung

Hashim Abdullah

TEMERLOH, 16 Okt: Isu Politik wang dan pembudayaan rasuah yang menular dalam parti-parti politik di negara ini tidak mampu diselesaikan jika negara tidak mampu menguatkuasakan undang-undang rasuah yang sedia ada.

Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man pada ceramahnya di Kampung Paya Jauh semalam berkata, antara punca berlakunya pengamalan rasuah adalah disebabkan wjudnya pendakwaan terpilih dan sistem pencegahan yang berbeza-beza.

"Sekarang ini kita tengok kalau orang yang rasuah itu kakitangan kerajaan macam polis biasa yang ambil RM10 ke RM20, dia cepat didakwa dan dikatakan rasuah, tetapi apabila melibatkan pemimpin tinggi ia tak didakwa kerana dikatakan komisyen.

"Begitu juga rasuah yang membabitkan parti politik macam Umno, tidak didakwa di Mahkamah kerana ia diambil tindakan oleh parti walau pun berlaku rasuah. Tindakannya pula berpilih-pilih.

"Sebab itu kita tengok berlaku ketidakadilan. Sebagai contoh, Norza yang bertanding MT didakwa oleh Mahkamah kerana rasuah, sedang rasuah Isa Samad yang bertanding jawatan tinggi sebagai Naib Presiden Umno tidak didakwa di mahkamah, hanya parti yang hukum dia jadi mana keadilannya. Sebab itu kita tuntut hanya satu undang-undang rasuah dikuatkuasakan," katanya.

Dalam mengulas isu rasuah dalam pilihanraya kecil Bagan Pinang, Naib Presiden PAS itu mahukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bertindak atas aduan yang dibuat PAS bersabit salahlaku rasuah pemimpin Umno.

"Kita ada bukti dua pemimpin Umno terlibat merasuah pengundi, kita ada rakaman sebab itu kita mahukan SPRM bertindak," katanya. _

harakahdaily.net

Serah Kotak Undi Pos Di Pasar Raya?

Dzulfakar Mashoor
Sat | Oct 17, 09 | 7:36:50 pm MYT

KUALA LUMPUR, 17 Okt: Wajarkah beg undi pos diserahkan kepada pihak terbabit di pasar raya? Tetapi itulah yang berlaku dalam pilihan raya kecil Bagan Pinang.

Ketua Penerangan Pemuda PAS, Suhaizan Kayat berjanji mendedahkan penyelewengan undi pos di Bagan Pinang jika Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Utama Mohamad Hassan sedia menyahut cabaran debatnya.

Ianya termasuk bukti penyerahan beg undi pos berdekatan pasar raya Telok Kemang, yang menurut dakwaannya sebagai sesuatu yang meragukan.

"Kalau beg undi boleh diserahkan di mana-mana saja, seperti di pasar raya...bila-bila masa seperti jam 7.30 malam, sudah tentu meragukan.

"Maka tiada jaminan ketelusan pada sistem undi (pos) yang longgar...SPR pun susah pantau, apatah kami (PaCa - agen pengiraan undi dan pengundian)," tegasnya.

Sambil memberi tempoh jawapan sehingga Selasa depan, Suhaizan nekad turun padang untuk menjelaskan kelemahan sistem perlaksanaan undi pos tersebut sekiranya debat tersebut gagal.

"Beberapa kawasan yang terdapat undi pos telah dikenal pasti...(seperti) Setiawangsa, Kluang, Lumut dan Pekan yang diwakili Perdana Menteri sendiri untuk kita turun jelaskan kepada rakyat tentang (sistem) undi pos yang lemah jika debat gagal," tegasnya.

Menurut blog peribadinya, kentong-suhaizan, beliau turut mempersoal beberapa perkara yang meragukan pada sistem undi pos yang didakwanya tidak telus.

Antaranya, soal kesukaran pengundi pos (tentera) mendapatkan kertas undi.

Selain itu, beliau meminta SPR menjelaskan kaedah pemantauan proses pengundian pos yang begitu longgar, agar terjamin ketelusannya.

Suhaizan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Khas Undi Pos di keputusan undi pos bagi Dun Bagan Pinang sesuatu yang diragui.

9 Oktober lalu, PAS mendesak diberhentikan serta-merta ke atas proses pengundian undi pos kerana terdapat ratusan pertindihan nama pengundi dalam daftar pemilih awam dan tentera (pos).

Ekoran itu, PAS mengadakan tiga pertemuan bersama SPR dan membuat dua laporan polis.

Namun, tiada sebarang insiatif susulan yang positif dilakukan.

Pilihan raya Umum ke-12 lalu, PAS mendapat 1189 undi pos, manakala Umno pula mendapat 3080.

Bagaimana pun, pilihan raya kecil N31 baru-baru ini menyaksikan undi pos PAS menyusut sehingga 601 undi sahaja, manakala undi POS Umno dilihat kian meningkat sehingga 3521.

Beberapa dakwaan tersebut sekali gus dikatakan membantu kemenangan luar biasa Adun Bagan Pinang yang baru, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad dengan majoriti undi sebanyak 5435.

harakahdaily.net

PAS Perlu Jadi Kerajaan Yang Ditunggu

Azmi Yusof
Sat | Oct 17, 09 | 8:37:40 pm MYT

HULU TERENGGANU, 17 Okt: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, parti itu mestilah mempunyai budaya kerja untuk menjadi 'kerajaan yang ditunggu'.

Ini, katanya kerana perkembangan yang berlaku pada hari ini sangat menuntut kepada parti politik dan gerakan Islam yang disegani dalam negara kita.

Tambahnya, keruntuhan sistem sekular yang mengasingkan urusan dunia dengan agama memerlukan Islam sebagai pilihan.

"Sebagai wadah yang membawa Islam, PAS seharusnya disegani dan dihormati agar ianya mudah untuk diterima oleh semua pihak termasuk golongan bukan Islam," ujarnya.

Beliau menyatakan demikian ketika berucap merasmikan Ijtimak Kepimpinan PAS Negeri Terengganu kali ke-13 yang bertemakan "Berubah Untuk Kemenangan Islam" di Markas Tarbiah PAS Kubang Lembik, Manir, hari ini.

Image Turut berucap ialah Pesuruhjaya PAS negeri, Datuk Harun Taib dan pengarah ijtimak, Ustaz Saiful Bahri Mamat.

Menurutnya, Barisan Nasional (BN) yang ditunjangi oleh Umno kini semakin hampir kepada zaman kejatuhan sebagaimana yang berlaku kepada parti-parti sezaman dengannya.

Beliau mengambil contoh Parti Liberal Demokratik (LDP) Jepun, Parti Golkar di Indonesia dan parti-parti lain yang telah mengalami penyakit tua sebagaimana Umno dan BN di Malaysia.

Tambahnya, golongan yang jatuh itu akan digantikan oleh parti yang mendapat sokongan rakyat.

"Oleh itu, PAS mestilah mempunyai budaya kerja untuk menjadi kerajaan yang ditunggu," ujarnya.

Sehubungan itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Marang menambah, PAS sewajibnya menilai diri untuk menentukan keabsahannya sebagai sebuah gerakan Islam yang berkesan melalui kelayakan dan kemampuan untuk menangani gerakan dan politik semasa.

"Sebagai sebuah gerakan Islam, kita perlu bertanya; pertama, adakah daya jihad dan ketekunan ahli PAS dalam perjuangan berdaya saing dan berorientasi?" ujarnya lagi.

Selain itu, tanya beliau, adakah sumber manusia dan kewangannya pada tahap yang munasabah dan, ketiga, adakah penguasaan ilmu, maklumat dan kemahiran mengatasi pihak lawan.

Image Katanya, persoalan-persoalan itu memerlukan renungan yang mendalam dan kecekalan hati untuk menjawabnya.

"Insya Allah, tuan puan tidak berasa ragu sedikit pun dengan semangat dan daya juang yang ada untuk menggarap persoalan-persoalan di atas dan mengatasi kekurangannya, seterusnya berhadapan dengan mereka yang menentang dan berniat jahat terhadap kita," katanya.

Tambahnya, ini bermakna untuk mendapatkan kemenangan, pejuang Islam mestilah terlebih dahulu berubah daripada negatif kepada positif, daripada maksiat kepada taat dan daripada perpecahan kepada perpaduan.

Justeru, katanya, kekalahan yang menimpa jemaah Islam bukan semata-mata kerana kejahatan musuh akan tetapi juga daripada kelemahan dalam diri jemaah sendiri. _

harakahdaily.net

UMNO Lemah, Bergantung Kepada Tongkat

Sat | Oct 17, 09 | 8:51:06 pm MYT

HULU TERENGGANU, 17 Okt: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menegaskan bahawa Umno kini sudah lemah dan terpaksa bergantung tongkat.

Katanya, Umno tidak mempunyai kekuatan sendiri sebaliknya bergantung kepada tongkat termasuk Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan media untuk mencapai kemenangan dalam pilihan raya.

"Umno bergantung kepada SPR, menang dengan undi pos dan media yang dipaksa," ujarnya pada sidang media selepas merasmikan Ijtimak Kepimpinan PAS Negeri Terengganu kali ke-13 di Markas Tarbiah PAS Kubang Lembik, Manir, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang menyatakan demikian ketika diminta mengulas Perhimpunan Agung Umno yang berakhir semalam.

Begitupun, Abdul Hadi menghargai peranan yang dimainkan oleh pengamal media tetapi Umno mengawalnya sehingga tidak berlaku adil kepada pembangkang termasuk PAS.

Ini, katanya menyebabkan banyak kenyataan yang dikeluarkan oleh pemimpin PAS tidak disiarkan melalui media atau disiarkan secara tidak lengkap.

"Kenyataan (pemimpin PAS) yang tidak menguntungkan BN, tidak disiarkan. Ini bukan cara demokrasi," ujarnya.

harakahdaily.net