Sahabat Purnama

Rabu, 4 November 2009

Mohd Sabri Said

BUKIT MERTAJAM, 4 Nov: Bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin menafi memalsukan sijil Sarjana Muda yang diperolehi dari Univesiti di Jordan dan menganggap tuduhan oleh seorang Pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sebagai liar dan satu fitnah.

Beliau ketika menjawab pertuduhan tersebut dalam program 'Gelombang Fitnah' di Institut Al-Qayyim, Mengkuang, Bukit Mertajam semalam menambah, sikap Jakim itu membuktikan mereka tidak profesional dalam kenyataan dan tindakan.

Sebaliknya, Asri mendakwa, ia dibuat berdasarkan arahan orang tertentu yang tidak mahu menerima angin perubahan yang di bawa demi kebaikan Islam agar lebih dimartabatkan bukan sekadar penghias zaman.

"Sungguh malu saya nak jawab tuduhan liar pegawai Jakim kononnya saya palsukan sijil Sarjana Muda yang saya perolehi dari Univesiti dari Jordan tempuhari.

"Bayangkan bagaimana saya nak palsukan sijil ketika saya minta kerja sebagai Pensyarah di Univesiti Sains Malaysia (USM) mesti kemukakan sijil yang sah. Masa nak jadi mufti pun mesti kemukakan sijil yang sah. Kenapa bila hadapi keadaan macam ini mereka kata saya palsukan sijil, " ujarnya.

Beliau berkata demikian di hadapan ratusan orang yang mahu mendengar kejadian penangkapannya oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) serta sepasukan polis selepas mengajar di sebuah rumah dekat Ulu Klang baru-baru ini.

Akibat daripada itu tegas beliau, membuatkannya terpaksa mencari semula sijil yang disimpan lama dan menganggap perbuatan tersebut membuang masa dan tidak lojik dipertikaikan.

Sesiapa pun, sambung beliau, mesti simpan sijil dan memastikan ia tidak dibuang merata-rata apatah lagi beliau turut menggunakan sijil untuk mendapatkan PhD.

Beliau juga mencabar pihak Jakim supaya membuktikan pembabitannya mencerca para ulamak muktabar seperti Imam Ghazali dan Imam Nawawi.

Mereka boleh mencari di mana lokasi beliau mengeluarkan kenyataan menghina para ulamak, perkataan apa yang dinyatakan dan sebagainya.

Jangan hanya mendengar menerusi mulut orang yang senantiasa mencari kesalahan dan sering menggunakan senjata fitnah untuk membunuh kerjaya seseorang, katanya.

"Saya nak tanya mereka di mana lokasi, bila dan hari apa yang saya hina ulamak. Itu sahaja," tambahnya.

Adakah beliau disifatkan sebagai mencerca sekiranya berbeza pendapat dengan Imam Al-Ghazali atau Imam Nawawi berkaitan hadith dan seumpamanya.

Perkataan cerca, katanya, tidak boleh disamakan dengan perbezaan pendapat atau pandangan sebaliknya mencerca ditakrifkan mengeluarkan perkataan seperti bodoh, tolol, bongok dan sebagainya.

Jakim dan Jais kena kaji dulu kenyataanya sebelum bertindak kerana tindakan melulu membawa padah, tambah beliau.

Perbezaan pendapat tidak boleh dipertikaikan kerana di zaman para ulamak dulu memang berlaku dan tidak mustahil ia terjadi sekarang kerana ia tidak jadi satu kesalahan tambahan lagi di era teknologi terkini serta ruang demokrasi yang menjadi amalan negara.

"Sesiapa pun boleh berbeza pendapat dan tidak timbul ia mencerca sesiapa. Perbezaan pendapat dalam sesebuah negara dibolehkan lebih-lebih lagi Malaysia yang mengamalkan demokrasi, " jelas

Dr Asri adalah pengasas Institut Al-Qayyim, Mengkuang. _ harakahdaily.net

PKFZ: SPRM diminta siasat Chan Kong Choy, OC Phang

KUALA LUMPUR, 4 Nov:Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mengesyorkan supaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis menyiasat bekas Menteri Pengangkutan Datuk Seri Chan Kong Choy dan bekas pengurus besar Lembaga Pelabuhan Klang Datuk Paduka O.C. Phang membabitkan pecah amanah berhubung projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

Kedua-dua mereka harus disiasat berhubung tiga surat sokongan yang dikeluarkan Chan dan tiga surat akujanji oleh Phang, mengikut laporan PAC berhubung PKFZ yang diedarkan di Dewan Rakyat hari ini.

"Jawatankuasa dimaklumkan oleh Peguam Negara bahawa tiga surat sokongan yang dikeluarkan oleh Datuk Seri Chan Kong Choy, (bekas) Menteri Pengangkutan dan ketiga-tiga surat akujanji yang dikeluarkan oleh Pengurus Besar LPK (Lembaga Pelabuhan Kelang) secara tersirat atau bersifat jaminan daripada kerajaan yang meletakkan tanggungan ke atas kerajaan untuk memastikan ada peruntukan yang membolehkan LPK memenuhi obligasinya di bawah Perjanjian Pembangunan.

"Oleh itu, siasatan rapi perlu dibuat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia/Polis Diraja Malaysia terhadap perkara ini kerana ia dikeluarkan tanpa kelulusan daripada Kementerian Kewangan sepertimana yang dikehendaki di bawah Seksyen 14(1) Akta Tatacara Kewangan 1957," kata laporan itu yang dipetik Bernama.

Selain itu, tindakan Chan dan Phang juga boleh disabitkan dengan kesalahan jenayah pecah amanah di bawah Seksyen 409 yang dibaca bersama Seksyen 409B Kanun Keseksaan.

Seksyen 409 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman minimum dua tahun maksimum 20 tahun, dan dengan sebat, dan boleh juga dikenakan hukuman denda jika sabit kesalahan.

Laporan PAC yang diketuai Datuk Seri Azmi Khalid juga berpendapat surat akujanji yang dikeluarkan oleh Phang adalah bertentangan dengan keputusan kerajaan kerana semasa meluluskan projek PKFZ, kerajaan telah memutuskan supaya ia dibiayai sendiri oleh LPK.

Sehubungan itu, Phang dan Kementerian Pengangkutan didapati gagal memaklumkan kabinet dengan awal mengenai ketidakupayaan LPK untuk membiayai sendiri projek itu walaupun perkara tersebut telah dibangkitkan dalam laporan-laporan Ketua Audit Negara Mengenai Penyata Kewangan LPK bagi tahun 2003, 2004, 2005, 2006 dan 2007.

Selain itu, mereka juga didapati gagal berunding dengan Kementerian Kewangan dan Unit Perancang Ekonomi bagi mendapatkan peruntukan bagi membiayai projek itu.

Pengurus besar LPK itu juga didapati telah melakukan "gambaran yang salah" apabila mengeluarkan surat akujanji kepada pemegang amanah PDS iaitu OSK Securities Berhad yang menyatakan bahawa LPK akan meminta kerajaan untuk meremit dana daripada peruntukan bajet ke "akaun rizab khas" atau "kod khas akaun" yang diuruskan oleh LPK memandangkan LPK tidak mendapat kelulusan daripada Kementerian Pengangkutan atau Kementerian Kewangan berhubung perkara itu._harakahdaily

Najib seleweng fakta hak royalti minyak Kelantan

Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 4 Nov: Ahli Parlimen PAS kesal dengan penyelewengan fakta yang dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di dewan rakyat berhubung pembayaran royalti petroleum kepada rakyat Kelantan.

Pengumuman Najib bahawa kerajaan pusat akan memberikan wang ehsan kepada rakyat Kelantan, bercanggah dengan akta 144 kemajuan petroleum 1974 yang memperuntukkan lima peratus mesti diberikan kepada negeri pengeluar minyak.

Salahuddin Ayub (PAS - Kubang Kerian ) berkata, pembayaran wang ehsan yang diputuskan itu jelas bertentangan dengan akta 144 kemajuan petroleum 144 dan merupakan satu pembohongan terhadap rakyat Kelantan.

"PAS kesal dan dukacita dengan jawapan perdana menteri tadi tentang pembayaran royalti minyak yang ditukar dengan wang ehsan. Jelas ianya penyelewengan fakta yang terkandung dalam akta 144 petroleum negara yang jelas memberikan lima peratus untuk negeri yang mengeluarkan minyak," katanya kepada pemberita dalam satu sidang media di lobi parlimen pagi tadi.

Beliau juga berkata, rakyat Kelantan tidak mengharapkan wang ehsan sebaliknya mahu hak mereka ke atas royalti minyak dikembalikan.

"Rakyat Kelantan bukan peminta sedekah. Mereka memperjuangkan hak di atas semangat federalisme. Kita (ahli parlimen PAS) akan perjuangkan hak ini dan jelas jawapan perdana menteri tadi bertentangan dengan semangat federalisme, bertentangan dengan perlembagaan dan akta 144 petroleum yang disebut tadi," tegasnya yang juga Naib Presiden PAS.

Image Beliau di dewan rakyat pagi tadi meminta Najib menyatakan bilakah tuntutan royalti kerajaan kelantan akan dilangsaikan petronas.

Najib dalam jawapannya berkata Kerajaan Persekutuan akan memberi wang ehsan kepada Kelantan daripada hasil pengeluaran minyak di luar pesisir pantai negeri itu mulai tahun depan.

Najib juga berkata, kerajaan Kelantan tidak berhak menerima wang royalti minyak di perairannya kerana ia terletak di kawasan bertindih.

Dr. Dzulkifly Ahmad (PAS � Kuala Selangor) pula mahu tindakan undang-undang diambil terhadap Najib yang juga menteri kewangan kerana menyelewengkan fakta dengan mensyaratkan kedudukan telaga minyak mesti tiga batu nautika dari darat untuk mendapat royalti sedangkan dalam akta petroleum tidak disebutkan syarat itu.

"Jelas perdana menteri tadi melakukan penyelewengan fakta dengan menyebut tentang pensyaratan 3 batu nautika sementara akta 144 petroleum tidak dinyatakan syarat ituuntuk berikan royalty," tegasnya.

Sementara itu, Datuk Mahfuz Omar (PAS Pokok Sena) pula menyifatkan Najib sebagai pengecut kerana tidak berani mengambil tindakan yang betentangan dengan tindakan Mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang menarik kembali royalti minyak yang diberikan kepada rakyat Terengganu apabila PAS mengambil alih pemerintahan negeri itu.

"Saya melihat Datuk Seri NAjib begitu kerdil dan takut untuk mengambil tindakan yang sama dengan bekas perdana menteri dahulu, Tun Mahathir,"

"Tun Mahathir pernah tarik balik riyalti minyak Terengganu apabila PAS perintah negeri itu. Jadi tindakan yang sama dibuat apabila telaga minyak dan gas ditemui di Kelantan," katanya yang juga Naib Presiden PAS.

Menurut beliau juga, PAS akan mendapatkan bantuan daripada pakar undang-undang untuk mengambil tindakan kepada kerajaan persekutuan yang telah menafikan hak rakyat Kelantan.

"Kami akan bincang dalam parti untuk memberi nasihat kepada kerajaan Kelantan untuk dengan bantuan penasihat undang-undang untuk ambil tindakan perundangan sepertimana kerejaan Terengganu di bawah pimpinan PAS satu masa dahulu menyaman kerajaan pusat yang telah menafikan hak kerajaan negeri," katanya.

Khalid Samad (PAS � Shah Alam) pula menegaskan kerajaan pusat tidak berhak ke atas royalti minyak itu kerana laporan kewangan petronas mengakui negeri-negeri pengeluar minyak di Malaysia adalah Sabah, Sarawak, Terengganu dan Kelantan.

"Ia bercanggah dengan laporan kewangan petronas yang menyebut negeri-negeri pengeluar minyak di malaysia adalah Sabah, Sarawak Terengganu dan kelantan. Berdasarkan kepada laporan, ia mengakui ia milik kelantan. Maka royalti itu harus diserah kepada kerajaan yang dipilih rakyat,"

"Ianya bererti bahawa kerajaan pusat tidak ada hak untuk memegang wang rakyat Kelantan," tegasnya.

Siti Zailah Mohd Yusuf (PAS �Rantau Panjang) dalam pada itu meminta kerajaan menjelaskan kepada rakyat kenapa royalty yang telah sekian lama dituntut digantikan dengan pemberian wang ehsan.

Beliau turut mempersoal di bawah akta dan peruntukan manakah wang ehsan ini diberi.

"Kami mminta kerajaan jelaskan kenapa rakyat kelantan harus diberikan wang ehsan sedangkan mereka menuntut royalti minyak dikembalikan,"

"Dan kadar wang ehsan itu dikira berdasarkan akta mana?" Soalnya.

_harakahdaily.et
Dzulfikar Mashoor

KUALA LUMPUR, 4 Nov: Ahli Parlimen Baling Datuk Taib Aizamuddin pagi tadi meminta kerajaan lebih prihatin soal industri pemakanan halal di Malaysia.

Ianya termasuk mengubal Akta Halal untuk memastikan segala barang keperluan umat Islam dijamin halal.

"24 juta (ringgit) bajet untuk industri halal, bukan tidak menyokong hasrat kerajaan...tetapi bajet itu perlu ditingkatkan dengan mewujudkan Akta Halal untuk keperluan umat Islam," tegasnya.

Ujarnya, kerajaan tidak perlu memjelaskan bahawa draf undang-undang berkaitan sedang dirangka apabila isu Akta Halal dibangkitkan dalam Parlimen.

Sebaliknya, Parlimen perlu diberitahu tarikh akhir kerajaan bersedia untuk membentangkan draf Akta Halal tersebut.

"Beberapa kali telah saya dengar, kita semua dengar (bahawa) kerajaan (Persekutuan) sedang merangka akta halal tersebut, tapi tidak selesai-selesai. Cuba beri suatu tarikh akhir, bila draf akta itu boleh dibentangkan," soalnya.

Tambahnya lagi, dengan tidak adanya Akta Halal dan penguatkuasaan undang-undang yang jelas, mengakibatkan pihak tertentu terus mengekploitasi logo halal, seperti beberapa pendedahan sebelum ini.

"Selagi tidak ada logo halal, tidak ada Akta Halal digubal, ia akan diekploitasi oleh pihak yang tidak bertanggungjawab," jelasnya.

"Banyak contoh...baru-baru ini kes benda yang tak halal dijumpai dalam botol kicap.

"Pihak Bengkel Halal USM mendedahkan lebih 30 peratus produk ubatan di Malaysia menggunakan kapsul tidak halal, dari babi...inilah yang perlu diperhatikan," jelasnya.

Beliau mengajak seluruh ahli parlimen menghayati firman Allah yang bermaksud, "Sesungguhnya yang halal itu jelas dan yang haram itu jelas, dan yang tidak jelas antara kedua-duanya itu adalah syubahat."

Jelasnya lagi, Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (Jakim) tidak boleh dipersalahkan dalam isu tersebut, kerana mereka tidak dibekalkan kuasa untuk membanteras aktiviti penyelewengan barang haram.

"Setakat pegawai Jakim pergi berdakwah nak siasat logo palsu halal, nak siasat barang-barang haram yang dijual untuk orang Islam, pakai kena usir begitu saja...sebab tak ada akta ini," jelasnya.

Beliau mencadangkan kerajaan membina Makmal Halal di peringkat nasional dan melantik penguatkuasa rasmi di bawah kerajaan untuk membanteras penyelewengan bahan halal.

Sesi membahaskan Bajet 2010 diteruskan._ harakahdaily.net

MCA tolak usul buat EGM oleh 16 JK Pusat

KUALA LUMPUR, 4 Nov: MCA mengambil keputusan menolak permohonan 16 anggota Jawatankuasa Pusatnya agar diadakan satu Mesyuarat Agung Khas bagi memilih semula kepimpinan parti itu.

Setiausaha Agungnya, Datuk Wong Fong Meng dalam kenyataannya berkata, berdasar kuasa yang diberikan di bawah Perkara 31 Perlembagaan MCA, usul itu tidak akan dilaksanakan.

Wong mengaku, Ibu Pejabat MCA telah menerima notis permohonan dari 16 AJK Pusat MCA, pada jam 4.50 petang 29 Oktober lalu, untuk diadakan satu EGM.

Mereka diwakili oleh Wong Nai Chee, Datuk Wee Jeck Seng dan Datuk Liew Yuen Kong berdasarkan perkara 30.2 perlembagaan MCA.

Menurut Wong, permohonan itu telah dirujuk kepada Ketua Biro Undang-undang MCA, Lim Hing Sang dan dibentangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Pusat MCA pada 3 November semalam.

Menurut Wong, pada pandangan Biro undang-undang MCA, cadangan resolusi itu tidak berpelembagaan dan sukar untuk dilaksanakan kerana Mesyuarat agung tidak boleh memaksa atau mengarahkan pemilihan semula kecuali datang dengan:-

Perkara 35 dengan syarat Mesyuarat Agung boleh memecat mana-mana pemegang jawatan dengan kelulusan dua per tiga perwakilan disamping Perkasa 41 dan perkara 167 perlembagaan parti itu.

Dalam pada itu, MCA terus kucar kacir apabila Pendaftar Pertubuhan (RoS) memutuskan Datuk Seri Chua Soi Lek adalah timbalan presiden MCA yang sah.

Ini kerana, mesyuarat Jawatankuasa Pusat MCA sebelum ini telah melantik Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai sebagai timbalan presiden.

Liow pula berkata, beliau akan mempertahankan haknya dan bersedia untuk ke mahkamah kerananya.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamudin Husein berkata, kementeriannya dan RoS bersedia ke mahkamah untuk mempertahankan keputusan RoS itu.

Sikap Hishamudin ini sangat mengelirukan kerana ketika ditanya pada 27 Oktober lalu beliau berkata, RoS tidak boleh campur tangan dalam isu MCA ini.

"Pemecatan Datuk Seri Dr Chua Soi Lek daripada jawatan Timbalan Presiden MCA dan usul tidak percaya terhadap Presidennya, Datuk Seri Ong Tee Keat dibuat menerusi EGM yang sah pada 10 Oktober lalu.

"Selepas EGM yang sah dan setelah merujuk Akta Pertubuhan 1966, kita dapati tiada peruntukan yang membenarkan ROS untuk campur tangan dan membuat keputusan dalam hal tersebut.

"Dalam hal ini kena bezakan kedudukan MCA dan PPP, ini kerana (isu) PPP adalah berkisar kepada kesahihan EGM yang dipanggil oleh Datuk T. Murugiah," katanya dalam sidang media di Parlimen 27 Oktober lalu.

Namun, semalam RoS dalam suratnya menyatakan Chua Soi Lek adalah timbalan presiden MCA yang sah dan hari ini di lobi Parlimen Hishamudin berkata, kementeriannya akan mempertahankan keputusan RoS itu dan sedia ke mahkamah.

_harakahdaily.net

Tangkap Dr Asri, Pengarah Jais perlu profesional Zuraida Kamaruddin

Penahanan Dr Mohd Asri Zainul Abidin, bekas Mufti Negeri Perlis oleh pihak Jabatan Agama Islam Negeri Selangor (JAIS) telah menimbulkan kekeliruan di kalangan masyarakat Islam terutama di Negeri Selangor.

Selaku individu yang berada di tempat berlakunya majlis ilmu berkenaan, saya rasa terpanggil untuk menjelaskan beberapa perkara yang mengelirukan berdasarkan kepada beberapa laporan akhbar yang saya rasa telah memetik dari sumber yang cuba melindungi kejadian sebenar yang berlaku.

Tetapi apa yang dikesalkan ialah cara pihak JAIS menjalankan operasi penahanan adalah tidak profesional dan mempamerkan kelemahan yang tidak sepatutnya wujud dalam organisasi yang tinggi tarafnya seperti JAIS.

Lebih menghairankan apabila ditahan, pihak JAIS gagal menyediakan kertas pendakwaan bagi mengaitkan Dr Asri dengan sebarang kesalahan melainkan dengan alasan mengajar tanpa tauliah.

Sepatutnya penahan dibuat setelah terbukti sesorang itu telah melakukan kesalahan. Agak menyedihkan dalam kes ini sewaktu mahu menahan Dr Asri, kelihatan pegawai JAIS sendiri tidak membuat persediaan dan sering menggunakan telefon bagi mendapat arahan dari pegawai atasan yang dipercayai ialah Pengarah JAIS sendiri iaitu Datuk Mohammed Khusrin Munawi.

Bagi saya tindakan JAIS yang menggunakan khidmat polis pada malam kejadian juga adalah satu tindakan yang melampau dan meletakkan Dr Asri pada kedudukkan yang tidak sepatutnya memandangkan sebelum ini beliau telah diberi kepercayaan oleh Tuanku Raja Perlis untuk menjaga persoalan berkenaan agama Islam di Negeri Perlis sendiri.

Sepatutnya sebagai seorang bekas Mufti dan memiliki pendidikan sehingga kepada peringkat Doktor Falsafah berkenaan Islam, beliau dialu-alukan untuk mendidik masyarakat. Adakah semua ini masih lagi tidak melepasi kelayakan yang diperlukan oleh JAIS untuk seorang seperti beliau bagi menyampaikan dakwah di Selangor.

Di sini saya bertegas mendesak Pengarah JAIS menjelaskan apakah garis panduan yang digunapakai oleh pihaknya untuk melayakkan seseorang itu boleh ditauliahkan untuk memberi kuliah di Selangor.

Berdasarkan kepada maklumat yang diperolehi, sehingga kini terdapat lebih kurang 7 orang Ustaz yang di antaranya adalah pensyarah Universiti Islam Antarabangsa dan telah gagal mendapat tauliah untuk mengajar di Selangor tanpa alasan yang kukuh dan bertulis.

Dengan adanya garis panduan tersebut JAIS akan dapat membendung amalan mengikut selera Pengarah JAIS dan memberi keadilan kapada cendekiawan seperti Dr Asri untuk menyampaikan ilmu.

Dalam tempoh terdekat, pihak ahli parlimen Pakatan Rakyat Selangor akan menghantar petisyen kepada Duli Yang Teramat Mulia Sultan Selongor agar menilai semula kedudukan dan fungsi Pengarah JAIS yang jelas telah menjejaskan kedudukan Baginda selaku penaung kepada perkembangan Islam di Negeri Selangor yang bertuah ini.

Melalui kenyataan media ini juga saya ingin menafikan laporan Malaysiakini yang memetik kenyataan Pengarah JAIS bahawa saya dan seorang lagi rakan YB Shaari Sungip telah menghalang tugas pegawai JAIS untuk menjalankan tugas sehingga terpaksa menggunakan polis.

Apa yang berlaku ialah saya dan YB Shaari Sungib cuba untuk menenangkan keadaan kerana para jemaah ketika itu terkejut dengan serbuan yang dilakukan dengan kasar dan biadap oleh saudara Shahrom penolong pengarah penguatkuasa JAIS yang mengaku mempunyai ijazah dari Universiti Al Azhar.

Untuk itu, saya mengesa agar Pengarah JAIS yang bertanggungjawab mengeluarkan kenyataan ini menarik balik dakwaan beliau. Sebaliknya beliau perlu lebih teliti dalam mengeluarkan kenyataan kerana beliau membawa imej JAIS yang dipandang tinggi oleh umat Islam.

Ahli Parlimen Ampang,
Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat.

_harakahdaily.net

Rayuan Nizar esok, PAS Perak solat hajat malam ini

IPOH, 4 Nov: PAS Perak hari ini menyeru seluruh ahli parti itu mengadakan solat hajat berdepan keputusan siapa Menteri Besar perak yang sah yang bakal diputuskan Mahkamah Persekutuan esok.

Pesuruhjayanya, Ustaz Abu Bakar Hussain berkata, ianya bagi memohon pertolongan dari Allah agar memberi kemenangan kepada perjuangan Islam negeri itu.

Beliau juga telah mengeluarkan arahan kepada pimpinan PAS di semua kawasan agar menunaikan solat hajat malam ini.

"Saya mengarahkan kepada semua ahli PAS Perak disemua peringkat, supaya melakukan solat sunat hajat secara berterusan, mohon kepada Allah SWT agar diberi kemenangan dan kekuatan kepada PAS," katanya.

Solat hajat itu juga katanya bagi mendoakan keselamatan Menteri Besar Pakatan Rakyat, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dari sebarang perancangan jahat musuh.

"Semoga Allah SWT sentiasa membela, memelihara dan melindungi pejuang-pejuang PAS, dan semoga disatukan hati seluruh para pejuang Islam dan memfokuskan Matlamat Perjuangan PAS, iaitu menumbangkan kezaliman dan menegakkan Islam," katanya lagi.

22 Mei lalu, Mahkamah Rayuan mengenepikan keputusan Mahkamah Tinggi pada 11 Mei yang telah memutuskan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin adalah Menteri Besar Perak yang sah.

Hakim Datuk Md Raus Shariff, yang bersidang bersama Hakim Datuk Zainun Ali dan Hakim Datuk Ahmad Maarop juga telah mengisytiharkan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar Perak yang sah.

Nizar pada 19 Jun lalu bagaimanapun telah mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan tersebut.

Tutut dipohon supaya kes membabitkan pertikaian Menteri Besar Perak itu di dengar oleh 11 hakim.

Ekoran itu Mahkamah Persekutuan telah membenarkan permohonan Nizar dan menetapkan rayuan didengar esok. _ harakahdaily.net

Kelantan hadiahkan pakej umrah kepada 'Red Warriors'

Salmah Mat Husain

KOTA BHARU, 4 Nov: Kerajaan Kelantan akan membiayai pakej umrah kepada pasukan bola sepak negeri itu sebagai 'hadiah' kerana telah berjaya melangkah ke perlawanan akhir Piala Malaysia, yang akan berlangsung Sabtu ini.

Selain itu, mereka juga dibekalkan dengan 'wang saku' sebagai hadiah untuk perbelanjaan sepanjang berada di sana.

Perkara itu diumumkan Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yaacob dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat exco hari ini.

Beliau seterusnya berkata selain kesemua pemain, turut serta dalam pekej itu penolong-penolong jurulatih, petugas, pengurus dan timbalan pengurus serta lain-lain yang terlibat.

Bagaimanapun menurut Ahmad lagi, jurulatih pasukan 'Red Warriors' B Sathianathan pula akan dibayar sagu hati sebagai tanda penghargaan untuknya.

"Kerana dia bukan beragama Islam, kerajaan negeri telah bersetuju untuk memberikan wang sagu hati kepadanya sebagai hadiah terhadap kejayaannya yang semakin memberangsangkan," ujarnya.

Sementara itu, mesyuarat exco yang bersidang hari ini juga turut mengistiharkan cuti peristiwa negeri Kelantan pada hari Ahad, 8 November ini sebagai meraikan kejayaan pasukan bola sepak Kelantan memasuki perlawanan akhir Piala Malaysia 2009.

Menurutnya, cuti berkenaan diberikan sebagai mengambil kira faktor keselamatan di jalan raya sama ada kepada pemain, penonton atau kepada semua yang terlibat.

Jelasnya, semoga dengan cuti peristiwa yang diputuskan itu penyokong akan dapat mengikuti perlawanan itu dengan baik atau sewaktu pulang ke rumah masing-masing.

Pada masa yang sama beliau menasihati penyokong bola sepak Kelantan supaya berdisiplin serta mengikuti perlawanan akhir bola sepak itu dengan semangat kesukanan.

Jelasnya, kerajaan negeri, rakyat Kelantan keseluruhannya mengharapkan pasukan berjaya membawa kemenangan itu.

"Apa yang penting kita jangan terlalu ghairah, pergi dengan keadaan yang tenang disamping membawa semangat kesukanan begitu juga sewaktu pulang ke kampung halaman keesokan harinya," ujarnya.

Terdahulu beliau memberitahu kerajaan negeri turut merakamkan tahniah kepada Persatuan Bolasepak Kelantan (Kafa) yang telah berjaya membawa skuad merah putih itu ke pertandingan akhir pada 7 November ini.

Wakil-wakil kerajaan negeri termasuk Timbalan Menteri Besar, anggota-anggota exco kerajaan negeri, Adun, Anggota Parlimen dijangka akan hadir menyaksikan perlawanan itu._ harakahdaily.net

Kelantan akan dapat wang ehsan sahaja

Dzulfikar Mashoor

KUALA LUMPUR, 4 Nov: Ekoran pengumuman Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa kerajaan pusat akan memberikan wang ehsan sahaja kepada rakyat Kelantan dan bukannya royalti, Dewan Rakyat menjadi kecoh hari ini.

Ia bermula apabila ahli Parlimen Kubang Kerian Salahuddin Ayub meminta Najib menjelaskan bilakah tuntutan royalti kerajaan negeri Kelantan akan dilangsaikan oleh Petronas.

Menjawab soalan itu, Najib menjelaskan bahawa pihak kerajaan sedang mempertimbang untuk memberikan wang ehsan langsung kepada rakyat Kelantan.

Dewan menjadi kecoh dengan njawapan yang diberikan Najib itu kerana ia dianggap menipu dan menafikan hak rakyat Kelantan.

Beberapa ahli Parlimen bangun lalu menegaskan bahawa persoalan royalti itu adalah penting untuk rakyat Kelantan.

Mereka yang terbabit, termasuk Salahuddin sendiri diminta duduk oleh Speaker, Tan Sri Pandikar Amin Mulia. Salahudin kemudiannya diberi amaran keluar dewan beberapa jam jika enggan mendengar penjelasan Najib

"Yang penting, kita nak tolong rakyat Kelantan. selepas kita ada semangat nak runding dengan kerajaan negeri, yang penting rakyat dapat manfaat daripada wang ehsan," kata Najib.

"Apa nak dipertikai lagi? Yang penting, rakyat Kelantan mendapat wang ehsan dari (kerajaan) Persekutuan," sindir Najib.

Tanpa laluan Speaker, Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad bangkit dan menjelaskan bahawa penjelasan yang diberikan itu tidak menyelesaikan soal kuasa persekutuan dan negeri, sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan dan Perjanjian Petronas bersama kerajaan persekutuan-negeri.

Pun begitu, Speaker memberi laluan kepada Siti Zailah Mohd Yusoff bercakap mengenai isu royalti Kelantan itu dengan alasan ahli Parlimen Rantau Panjang itu boleh dikatakan mewakili rakyat Kelantan.

"Kenapa sebelum ini kerajaan (Persekutuan) tidak pernah mempertimbangkan hak rakyat Kelantan diberikan wang ehsan?" soal Siti Zailah dengan nada yang tegas.

"Setelah rakyat dinafikan hak bertahun-tahun, sekian lama, sekarang hak rakyat Kelantan baru nak dipertimbangkan."

Beliau yang juga Naib Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat meminta Najib menjelaskan soal jaminan persekutuan melangsaikan tuntutan royalti minyak tersebut.

"Apa jaminan kerajaan (persekutuan) bahawa royalti ini disalurkan kepada kerajaan Kelantan dan rakyat, bukannya kepada JPP (Jawatankuasa Penduduk Persekutuan) yang dilantik kerajaan Persekutuan?" soalnya lagi.

Najib dalam nada yang sinis menjelaskan bahawa sepatutnya rakyat Kelantan tidak ada hak mendapat royalti tersebut.

"Selama ini, kerajaan Kelantan tidak ada hak menerima (royalti minyak), sebab ini melibatkan kawasan pertindihan. Sekarang ini, kita dapat sahkan bahawa ada blok (kawasan minyak dalam laut) yang boleh dipertimbangkan...kita pastikan hanya rakyat Kelantan akan dapat manafaat," kata Najib.

Beberapa Ahli Parlimen Pakatan Rakyat sekali lagi bangkit memprotes jawapan lisan itu.

Bagi mengelakkan Najib terus dipertikai, anggota dari Masjid Tanah yang juga Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Wira Abu Seman Yusoff bangkit lalu memohon laluan Speaker untuk menjawab soalan lisan seterusnya, yang melibatkan kementeriannya.

Mengikut pengalaman di Terengganu, wang ehsan diberikan terus kepada Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) dan diagihkan menerusi jabatan dan egensi di bawah kerajaan pusat.

Dari segi pelaksanaannya pula, ia akan melalui ketua-ketua bahagian Umno di negeri itu.

Petang semalam, Anggota Parlimen Kubang Kerian, Salahudin Ayub mendesak kerajaan pusat supaya membayar royalti minyak kepada kerajaan negeri Kelantan sebagaimana yang dilakukan kepada negeri-negeri lain.

Cadangan Salahudin ini berikutan dari tuntutan kerajaan negeri Kelantan agar Petronas membayar royalti petroleum sebanyak 5 % sebagaimana yag dinikmati oleh negeri-negeri yang lain yang dikeluarkan minyak dari perairannya.

Tuntutan Kelantan ini disokong oleh Tengku Razaleigh Hamzah yang menandatangani perjanjian ini bagi pihak Petronas dahulu.

Ketika itu beliau adalah Pengerusi Petronas.

Tuntutan ini juga disokong oleh Datuk Zaid Ibrahim, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang menjaga hal ehwal undang-undang.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib dijangka akan menjawab perkara ini di Dewan Rakyat hari ini. _ harakahdaily.net

Ketua Hakim Negara Akan DiSoal Siasat?

Walaupun Zaki Azmi kini menyandang jawatan sebagai Ketua Hakim Negara, malah mungkin telah memutuskan hubungannya dengan Emrail Sdn Bhd, namun seandainya dilihat dari tempoh proses pembinaan Projek Landasan Berkembar Elektrik Antara Rawang Dan Ipoh,

Zaki Azmi bagaimanapun tidak boleh mengelakkan diri daripada memikul tanggungjawab tertentu.

Menurut Laporan Kewangan Kumpulan Fima Berhad tahun 2006, Zaki Azmi dilantik sebagai Pengerusi Syarikat Emrail Sdn Bhd pada 22 Ogos 2002 (Zaki Azmi adalah Pengerusi Kumpulan Fima Berhad pada tahun 2006). Tempoh ini kebetulan dalam proses pembangunan Projek Landasan Berkembar Elektrik Antara Rawang Dan Ipoh (Julai 2000 hingga Jun 2003). Emrail adalah salah satu kontraktor yang bertanggungjawab dalam projek pembinaan landasan keretapi.

Latar belakang Emrail

Syarikat Emrail Sdn Bhd ditubuhkan pada tahun 1973, menumpukan kepada pembinaan landasan untuk Keretapi Tanah Melayu Berhad. Sebelumnya ditukar nama kepada Emrail Sdn Bhd, syarikat ini bergelar Time Salam Engineering, iaitu anak syarikat kepada UEM Engineering Bhd.

UEM Engineering Bhd ialah syarikat GLC (Government Linked Company) yang berhubungan rapat dengan UMNO. UEM Engineering Bhd namanya Renong Group sebelum ini. Semasa krisis ekonomi tahun 1997, Perdana Menteri ketika itu Mahathir Mohamad mengerah sumber negara untuk bail out syarikat yang hutangnya menggunung, tetapi dilihat sebagai lambang maruah orang Melayu ini.

Menurut laporan New Straits Times pada 26 Mei 2000, Emrail telah menjalankan satu penstrukturan semula yang penting pada Mei 2000, iaitu membeli syarikat Noblemax Resources Sdn Bhd. Melalui pembelian ini, Pengerusi Noblemax Resources, Hari Narayanan menjadi pemegang saham terbesar merangkap Naib Pengerusi Emrail, sementara Ahmad Kamil Jaafar pula menjawat Pengerusi Eksekutif.

Kemudian, Zaki Azmi (gambar kiri) secara rasminya menyertai Emrail, menggantikan Ahmad Kamil Jaafar sebagai Pengerusi, dan menguasai syarikat ini bersama Hari Narayanan.

Jika dilihat dari sudut tempoh, pembelian syarikat ini oleh Zaki Azmi, selain membolehkan dirinya menikmati "durian yang runtuh", memperolehi Projek Landasan Berkembar Elektrik Antara Rawang Dan Ipoh ini tanpa perlu melakukan apa-apa, malah beliau juga menyedari hubungan Emrail dengan Keretapi Tanah Melayu Bhd, dan kelebihan Emrail untuk mendapatkan projek Landasan Berkembar Elektrik Utara-Selatan.

Menurut laporan Bernama pada 21 April 2007, Emrail Sdn Bhd berniat untuk mendapatkan Projek Landasan Berkembar Utara-Selatan (Northern And Southern Double-tracking Projects). Pemegang saham terbesar (58%) merangkap Pengerusi Emrail ketika itu, Zaki Azmi berkata kepada wartawan, "Bos kami ialah kerajaan, tiada orang akan membina landasan kecuali kerajaan." 【Baca Laporan Bernama: Emrail Aims For Northern And Southern Double-tracking Projects】

"Kami telah menyiapkan Projek Landasan Berkembar Rawang-Ipoh untuk kerajaan. Perlu diingatkan bahawa Emrail adalah satu-satunya syarikat bumiputera yang membina landasan di Malaysia. Kami berharap kerajaan mempertimbangkan untuk menyerahkan projek landasan Ipoh-Padang Besar dan Seremban-Gemas kepada kami," tambah Zaki Azmi.

Punca peningkatan kos mendadak

Di samping itu, menurut satu tulisan berjudul "Plugging that leak in public sector spending" yang disiarkan pada 16 Mac 2009, di laman web rasmi Ketua Setiausaha Negara, kelewatan projek Landasan Berkembar Elektrik Antara Rawang Dan Ipoh disiapkan mengakibatkan projek ini tertunda lebih setahun daripada jangkaan, dan peningkatan kos yang mendadak.

Seterusnya, berlaku pula perselisihan antara kerajaan dengan kontraktor (termasuk DRB-Hicom Berhad), menjurus kepada keengganan Kementerian Kewangan membayar pampasan selebihnya setelah projek disiapkan.

Selain itu, menurut Laporan Ketua Audit Negara 2009, punca utama peningkatan kos adalah pemohonan kontraktor untuk dapatkan wang daripada kerajaan secara berterusan. Misalnya, DRB-Hicom Berhad menuntut kos lebihan sebanyak RM808.68 juta daripada kerajaan berikutan daripada pengubahsuaian projek landasan (yang dikendalikan Emrail Sdn Bhd). Namun, pemohonan ini tidak diluluskan Kementerian Kewangan.

Walau bagaimanapun, DRB-Hicom Berhad merayu kepada Perdana Menteri pada Julai 2005 untuk mendapatkan RM425.17 juta, akhirnya diluluskan oleh Kementerian Kewangan pada April 2006 dengan RM425.00 juta, sebagai pampasan kepada penamatan kontrak. Sehingga akhir tahun 2008, kerajaan telah memperuntukkan lebihan sebanyak RM371.78 juta kepada DRB-Hicom Berhad.

Menurut laporan Bernama pada 22 November 2004, Menteri Pengangkutan ketika itu, Chan Kong Choy dipetik berkata, kerajaan telah membayar RM20 juta secara terus kepada sub-kontraktor termasuk Emrail, untuk mempercepatkan perkembangan projek tersebut.
Sementara itu, menurut Laporan Ketua Audit Negara 2009, sehingga Mei 2005, kerajaan telah membayar secara terus RM 453.16 juta kepada sub-kontraktor, untuk mempercepatkan kelajuan proses agar Projek Landasan Berkembar Elektrik Antara Rawang Dan Ipoh disiapkan. Kesemua "pembayaran terus" ini di luar perhitungan kos asal. Dengan kata lain, lebihan pembayaran inilah menyebabkan peningkatan kos secara mendadak.Menurut satu projek "Rawang-Ipoh Double Tracking recovery work" yang disediakan oleh syarikat Australia, MVM Rail Pty Ltd untuk DRB-Hicom Sdn Bhd, Emrail Sdn Bhd akan berganding dengan MVM Rail Pty Ltd dan Leighton Internati Onal sebagai konglomerat untuk menjalankan projek pemulihan ini antara Januari 2004 hingga Januari 2007.

Projek ini merangkumi kerja pemulihan, charge eletrik dan mempertingkatkan taraf landasan. Kedudukan dominan Emrail Sdn Bhd terserlah memandangkan syarikat ini memiliki 55% saham, selain 15% dimiliki MVM Rail dan 30% dimiliki Leighton Internati Onal dalam konglomarat ini.

Asasnya, bukti-bukti tersebut dengan jelas menyatakan hubungan antara Zaki Azmi dengan Emrail Sdn Bhd, dan peranan Zaki Azmi dalam isu peningkatan kos Projek Landasan Berkembar Elektrik Antara Rawang Dan Ipoh. Dari tahun 2002 hingga 2007, pada ketika kos projek ini melonjak, Zaki Azmi ialah peneraju Emrail Sdn Bhd.

Ketua Hakim Negara yang kontroversial

Zaki Azmi dilantik menjadi Hakim Mahkamah Persekutuan pada September 2007, sebelum menjadi Presiden Mahkamah Rayuan pada Disember 2007. Beliau "mencipta sejarah" apabila dinaikkan pangkat menjadi Ketua Hakim Negara pada Oktober 2008, dalam tempoh setahun.

Namun demikian, adalah tidak adil sekiranya dikatakan bahawa Zaki Azmi tidak perlu bertanggungjawab ke atas peningkatan kos sejumlah RM1.43 bilion ini.

Pada hakikatnya, Zaki Azmi (gambar kiri) merupakan seorang yang kontroversial, dengan hubungannya yang rapat dengan UMNO. Sebelum dilantik sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan pada September 2007, Zaki Azmi pernah menjawat Pengerusi Lembaga Disiplin (Teknikal) UMNO, Setiausaha Jawatankuasa Pemilihan UMNO, dan seterusnya Panel Rayuan Disiplin UMNO.

Selain hubungannya yang rapat dengan UMNO, Zaki Azmi juga aktif dalam bidang perniagaan. Antaranya, nama Zaki Azmi muncul di senarai Lembaga Pengarah dalam Laporan Kewangan Tahunan 2000 Berjaya Land. Berjaya Land adalah syarikat di bawah Berjaya Group yang dimiliki Vincent Tan Chee Yioun.

Vincent Tan, Pengerusi merangkap CEO Berjaya Group ini pula terbabit dalam skandal "Lingam Tape", dituduh terlibat bersama peguamnya, VK Lingam untuk melobi Perdana Menteri ketika itu, Mahathir Mohamad untuk melantik Ahmad Fairuz sebagai Presiden Mahkamah Rayuan.

Di samping itu, Zaki Azmi pernah menjawat non-executive director syarikat tersenarai, Bina Darulaman Berhad di bawah Kedah State Economic Development Corporation. Antara tahun 2004 hingga 2007, beliau ialah Pengerusi Kumpulan Fima Berhad. Pada masa yang sama, beliau ialah Pengarah untuk banyak syarikat, termasuk HLG Capital, Petronas, Panasonic, Narra Industries Berhad dan sebagainya.

Beranikah PAC menyiasat Ketua Hakim Negara?

Jikalah dilihat hubungan terus Zaki Zami, Emrail Sdn Bhd dalam Projek Landasan Berkembar Elektrik Antara Rawang Dan Ipoh, nama Zaki Azmi seharusnya muncul dalam senarai pihak yang perlu dipanggil untuk disoal siasat Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC).

Persoalannya, adakah PAC berani untuk memanggil Ketua Hakim Negara supaya hadir ke prosiding? Malah, biarpun Zaki Azmi dipanggil, sama ada beliau akan disabitkan kesalahan, masih kekal sebagai tanda soal.

Seandainya dirujuk kepada laporan siasatan PAC terhadap kes skandal Projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ), kesudahannya mungkin dapat diramalkan. Sebelum ini, sumber dalaman dipetik memaklumkan bahawa bekas pengurus besar Lembaga Pelabuhan Klang, O.C Phang mungkin perlu memikul sebahagian besar tanggungjawab ke atas PKFZ, sementara seorang bekas Menteri pula mungkin disabit kesalahan.

Namun, salah seorang watak utama dalam skandal PKFZ, Tiong King Sing pula tidak dimasukkan dalam senarai pihak yang perlu bertanggungjawab. Menurut sumber tersebut, alasannya berbunyi "pihak yang bertanggungjawab ialah Kuala Dimensi Sdn Bhd, dan bukannya Tiong King Sing secara individu."

Seandainya digunakan logik ini, alasan yang sama juga boleh digunakan ke atas Zaki Azmi. Jangan terperanjat sekiranya laporan PAC berbunyi, "Pihak yang perlu bertanggungjawab ke atas peningkatan kos Projek Landasan Berkembar Elektrik Antara Rawang Dan Ipoh ialah syarikat Emrail Sdn Bhd, dan bukannya Zaki Azmi secara individu".

Maklumlah, dalam politik Malaysia, selagi kuasa berada dalam genggaman, seseorang itu tetap kebal dari sebarang kesalahan.

Bacaan sebelum ini Peningkatan kos RM1.43 bilion Ketua Hakim Negara terlibat

-buletin online

Jim syor Jais jadikan kes Dr Asri sebagai tauladan

KUALA LUMPUR: Jamaah Islah Malaysia (Jim) mengesyorkan supaya Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) mengambil kesempatan krisis keyakinan terhadapnya ekoran penangkapan Datuk Dr Asri Zainul Abidin untuk meneliti semula enakmen-enakmen pentadbirannya.

Langkah ini perlu supaya ia tidak mengekang pengembangan ilmu yang boleh memberi manfaat kepada umat Islam, kata Presidennya, Zaid Kamarudin.

Zaid turut sama menyertai kekesalan umat Islam di negara ini ekoran cara penangkapan Asri itu oleh pegawainya dengan bantuan polis.

Pada hari Ahad, 1 November 2009, negara dikejutkan dengan penangkapan bekas Mufti Kerajaan Negeri Perlis, Datuk Dr Mohamad Asri Zainul Abidin oleh pihak Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dengan bantuan Polis di sebuah rumah banglo di Hulu Kelang.

Penangkapan dilakukan atas dakwaan bahawa Dr Asri tidak mempunyai tauliah ketika beliau menyampaikan kuliah agama kepada lebih kurang 300 orang di rumah berkenaan.

Dr Asri bukan sahaja seorang ilmuan Islam dengan kelulusan ijazah doktor falsafah dalam pengajian Al-Qur'an dan sunnah, beliau adalah bekas Mufti Kerajaan Negeri Perlis dan merupakan pensyarah bahagian pengajian Islam di Universiti Sains Malaysia.

Berikutan penangkapan tersebut, pelbagai pihak telah mempertikaikan cara penangkapan dilakukan. Menurut laporan-laporan media, beliau ditahan pada jam 12.10 tengah malam dan dibawa ke Balai Polis sebelum dibebaskan dengan jaminan polis pada kira-kira jam 1.10 pagi.

Beliau kemudian diarah hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur pada jam 9.00 pagi keesokkannya untuk dituduh.

Namun setelah disemak peguam beliau, didapati bahawa tiada pendakwaan telah difailkan di mahkamah.

Beliau akhirnya dibebaskan pada kira-kira jam 12.30 tengahari dengan jaminan JAIS tanpa sebarang pendakwaan tetapi boleh dipanggil oleh JAIS pada bila-bila masa untuk siasatan lanjut.

Menurut Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohammed Khusrin Munawi, Dr Asri di minta ke mahkamah bukan untuk didakwa tetapi untuk jaminan bon bagi melanjutkan tempoh siasatan.

Menurutnya lagi, Dr Asri akan didakwa selepas jabatan itu selesai menjalankan siasatan berhubung kesalahan mengajar agama tanpa tauliah.

Katanya, Dr Asri akan didakwa di bawah Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Selangor 2003, Seksyen 119 (1) yang menyebut mana-mana orang yang mengajar agama Islam atau perkara-perkara tentang agama Islam di negeri itu perlu mendapatkan tauliah daripada Jais.

Ekoran itu, kata Zaid dalam kenyataannya, Jim mempersoalkan kaedah penangkapan yang dilakukan.

"Mengapakah beliau ditahan secara mengejut dan mengaibkan seperti penjenayah besar sedangkan beliau boleh dipanggil dengan cara yang lebih profesional dan hormat untuk bertemu Jais atau mana-mana pihak berkuasa?" soal Zaid.

Pengarah Jais sendiri menyatakan bahawa Dr. Asri telah lama dipantau.

"Mengapakah pula tiada pertuduhan atau pendakwaan difailkan di mahkamah sedangkan tangkapan telah dibuat pada hari sebelumnya? Apakah motif di sebalik penahanan begini?" soalnya lagi.

JIM melihat bahawa adalah menjadi kewajipan kepada umat Islam apabila berselisih untuk mereka kembali kepada Al-Quran dan As-sunnah.

Allah berfirman: "Wahai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul (Nya), dan ulil amri di antara kamu. Kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (Al Quran) dan Rasul (sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya." (An-Nisa : 59)

Apatah lagi sekiranya perkara yang diperselisihkan itu adalah perkara yang boleh diselesaikan secara musyawarah dan tidak perlu dibawa ke mahkamah, kata Zaid.

Jim berpendapat bahawa sewajarnya Jais lebih berhemah dalam membuat penangkapan dan pertuduhan terhadap sesiapa juga tidak kira rakyat biasa atau seorang bekas Mufti kerana dikuatiri tindakan mereka boleh mengakibatkan salah tafsir atau boleh mencacatkan sistem keadilan Islam itu sendiri.

Dalam melaksanakan tindakan, sandaran Al-Quran dan sunnah harus dijadikan panduan selain mengambil pendekatan kaedah-kaedah fiqh seperti Al-Aslu baraatu zimmah iaitu seseorang itu tidak bersalah sehinggalah dibuktikan bersalah, tambah Zaid.

Di samping itu, katanya, keadilan bukan sahaja dilaksanakan tetapi harus dilihat dilaksanakan dalam proses dan prosidur berkaitannya.

"Jim berharap Jais akan bersikap amanah, jujur dan profesional dalam melaksanakan siasatan yang bebas, adil dan telus ke atas Dr Asri. Pemeliharaan keadilan dan hak asasi serta karamah insan haruslah menjadi pegangan," katanya._

harakahdaily