Sahabat Purnama

Selasa, 8 Disember 2009

Pencuri telefon bimbit dicekup ketika bercuti

GUA MUSANG - Pencuri telefon di sebuah kedai telefon di sini Khamis lalu berjaya ditangkap polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Gua Musang di Tanah Rata, Cameron Higlands, petang kelmarin.

Ketika ditangkap, suspek, Mohd Arifin Mohd Noor, 58, berada di sebuah hotel di Tanah Rata bersama isterinya.

Timbalan Ketua Polis Daerah Gua Musang, Deputi Superintendan Aziz Hasan berkata, setelah mendapat maklumat daripada orang awam yang mengatakan suspek berada di Tanah Rata, polis dengan diketuai Inspektor Ishak Jumain bergegas ke lokasi.

Menurutnya, ketika polis mengetuk pintu bilik hotel yang didiaminya, suspek tidak melawan malah memberikan kerjasama dengan pihak polis.

“Suspek kemudiannya dibawa ke ibu pejabat polis untuk direman selama empat hari bermula semalam untuk siasatan lanjut dan akan dituduh di mahkamah Seksyen Gua Musang, esok (hari ini).

“Dua daripada telefon bimbit jenama Sony Ericsson yang dicuri suspek, berjaya ditemui semula bersama suspek sementara sebuah lagi telefon telah pun dijual suspek kepada individu yang tidak dikenali,” katanya kepada :Sinar Harian:.

Aziz berkata, suspek bekas guru yang pernah mengajar subjek bahasa Inggeris di Sekolah Kebangsaan Datuk Keramat sekitar tahun 80-an dikatakan turut mempunyai rekod jenayah lampau.

Menurutnya, polis sedang menyiasat kes itu di bawah Seksyen 380 kanun keseksaan yang mana jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara 10 tahun atau denda.

Sementara itu, kes ini menyebabkan mangsa, Mohd Jailani Mat Jusoh, 35, kerugian kira-kira RM3,030 apabila telefon bimbit yang dijual di kedainya dicuri suspek.

Suspek dikatakan turut menjadikan sebuah lagi kedai suspek sebagai sasarannya sebelum ini berdasarkan kepada imej yang terdapat di kamera litar tertutup (CCTV) kedai mangsa._sinarharian

Kedah jayakan Kem Bina Sahsiah bantu belia

GUAR CHEMPEDAK - Kerajaan negeri memperuntukkan RM250,000 bagi menjayakan Kem Bina Sahsiah (KBS) yang bermula pada 1 Disember lalu bertempat di Kompleks Pendidikan Muassasah Darul Ulum, Pokok Sena.

Program pembangunan insan yang dicetuskan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak adalah anjuran bersama Pusat Pendidikan Muassasah Darul Ulum dan Jawatankuasa Pembangunan Insan Negeri Kedah.

Menurut Setiausaha Sekretariat KBS, Rashidi Abdul Razak, program tahunan yang dikhaskan kepada peserta berumur 15 hingga 18 tahun itu telah memasuki siri keenamnya sejak mula diperkenalkan pada 2003 yang lalu.

“Tahun lepas seramai 252 peserta menyertainya dan pada tahun ini kami telah menerima lebih 700 permohonan dari seluruh negara.

“Berikutan terhadnya prasarana dan tempat, pihak kami hanya menerima 300 peserta sahaja untuk siri ini. Bakinya akan dimasukkan dalam senarai menunggu untuk siri berikutnya,” katanya.

Katanya modul program KBS ini dibahagikan kepada tiga fasa yang memenuhi semua aspek kehidupan seharian peserta.

“Fasa pertama memberi penekanan berkaitan pendidikan tauhid serta tunjuk ajar tentang kesempurnaan ibadat, akhlak dalam Islam dan mengenal diri.

“Fasa kedua dan ketiga pula, peserta didedahkan dengan aktiviti luar yang dijalankan secara berkumpulan manakala fasa ketiga pula, mereka diberi penekanan kepada institusi kekeluargaan dan kemasyarakatan,” katanya.

Menurut Rashidi, pihaknya akan terus bekerja sama dengan Kerajaan Negeri melalui agensi berkaitan dalam usaha memperluaskan lagi program pembangunan insan di negeri ini selaras dengan hasrat murni yang diluahkan oleh Menteri Besar.

“Kita sedar generasi kini ramai yang sedang parah akibat wabak sosial. Budaya rempit, penyalahgunaan dadah, pergaulan bebas yang mengundang keruntuhan akhlak dan berbagai lagi salah laku yang memeningkan banyak pihak.

“Kerajaan Negeri mengambil inisiatif memperbanyakkan program pembangunan insan bagi membendung dan mengubatinya, kini kami menjalankan tanggungjawab tersebut” katanya.

Menurutnya selepas tamat program KBS ini, pihaknya akan anjurkan pula Kem Anak Soleh dari 23 hingga 26 Disember ini, yang khas untuk 150 orang anak-anak nelayan di Kedah,” katanya._sinarharian

Mayat wanita tertiarap dalam longkang



CHERAS - Seorang wanita berbangsa India ditemui mati tertiarap di dalam longkang di kawasan tanah perkuburan cina Taman Counnougt pagi semalam.

Mangsa yang berusia dalam lingkungan 30-an itu ditemui lengkap berpakaian seluar panjang dan berbaju gelap oleh penjaga kubur di kawasan tersebut kira-kira jam 9 pagi.

Asisten Komisioner Ahmad Amir Hamzah berkata, mangsa ditemui tertiarap di dalam longkang dengan kesan kecederaan di bahagian muka dan kepala.

“Pihak polis mempercayai mangsa dipukul menggunakan objek tumpul berikutan kesan kecederaan yang dialaminya,

“Tiada sebarang senjata ditemui di kawasan kejadian. Polis juga menolak kemungkinan mangsa dirogol berdasarkan keadaan mayat yang ditemui,” katanya.

Tambah beliau, pihak polis juga tidak menemui sebarang identiti pengenalan mangsa dan dipercayai dibunuh antara tengah malam hingga awal pagi semalam.

Sepasang kasut dipercayai milik mangsa turut ditemui kira-kira 20 meter daripada lokasi mayat ditemui.

Sementara itu seorang lelaki India tampil ke lokasi kejadian dan mendakwa rakan kepada mangsa. Difahamkan mangsa menetap di Taman Desa, Jalan Klang Lama.

Kes disiasat di bawah Seksyen 302, Kanun Keseksaan. Motif kejadian masih lagi dalam siasatan._sinarharian

Jangan pertaruhkan masa depan Kerajaan PAS Kelantan

Mohd Rashidi Hassan

Seluruh ahli, pemimpin dan penyokong PAS serta Pakatan Rakyat sama ada yang di dalam atau di luar negeri mempunyai kebimbangan yang sama, iaitu bimbang Kerajaan Negeri Kelantan di bawah kepimpinan Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat dijatuhkan.

Sehingga ada cakap-cakap di kalangan penganalisis politik yang mengatakan, jika waktu ini, dengan kemelut yang ada, jika Tok Guru tidak lagi memimpin kerajaan, jika diadakan pilihan raya, Kelantan akan tumbang di tangan Umno-Barisan Nasional.

Sudah tentu cakap-cakap ini menakutkan. Tetapi dalam politik kita mesti realistik. Ada masa kita menerajui, ada masanya kita diterajui. Ada masa kita memerintah, ada masanya kita diperintah.

Malah Umno-BN juga merasakan sebegitu. Mereka fikir mereka lebih berpeluang untuk merampas Kelantan daripada PAS, jika Tok Guru tidak lagi memimpin.

Tok Guru adalah ikon terunggul dalam PAS. Juga ikon bagi rakyat Kelantan. Tok Guru juga merupakan idola yang disayangi, oleh ramai kalangan masyarakat berbilang kaum dalam negara.

Maka Umno-BN tiada jalan lain, selain membunuh karektor dan peribadi Tok Guru, anak-beranak. Dengan bantuan media massa dan pihak-pihak tertentu, Umno-BN sedang menjalankan strategi 'character assassination' terhadap Mursyidul Am PAS.

Maka sejak akhir-akhir ini mereka menghalatujukan serangan bertalu-talu ke atas Tok Guru. Dengan harapan Tok Guru akan tertekan dan menjadi lemah. Mereka amat berharap Tok Guru meletakkan jawatan agar mudah mereka 'kilas' PAS di Kelantan.

Cabaran buat PAS di Kelantan


Justeru, cabaran yang paling besar buat PAS di Kelantan, malah di seluruh negara ialah bagaimana kita harus memastikan PAS terus menerajui Kelantan, walaupun ditakdirkan suatu hari nanti Tok Guru tidak lagi memimpin.

Kita harus sedar, kita tidak seharusnya mempunyai perasaan atau sindrom nafi (denial syndrome) bahawa, dengan kekuatan PAS yang ada, Kelantan tidak akan tumbang ke tangan BN.

Sindrom nafi ini juga sebelum ini wujud ketika PAS memimpin Terengganu 1999-2004, sehingga ada yang mengatakan dengan kekuatan yang ada, iaitu PAS memperolehi 28 kerusi Dewan Undangan Negeri, berbanding BN 4 kerusi ketika itu, Kerajaan PAS tidak mungkin tumbang.

Nah! Kita sudah lihat apa yang sudah terjadi pada PRU 2004. Ia sudah menjadi fakta sejarah yang tidak boleh kita nafikan lagi.

Maka, yang amat kita bimbangi sekarang ini ialah, masa depan Kelantan di bawah PAS. Kita tidak seharusnya mendabik dada, bahawa dengan kekuatan PAS memimpin kerajaan selama 19 tahun, PAS tidak mungkin tumbang.

Kita harus memperhalusi, apakah elemen-elemen yang akan membuatkan kerajaan negeri pimpinan kita, goyah dan dilihat bakal dijatuhkan.

Kebimbangan seumpama ini harus dinyatakan kepada ahli-ahli politik yang memimpin PAS di semua peringkat di Kelantan pada waktu ini, termasuk juga anak menantu Tok Guru, kerana pada tangan merekalah nanti, akan ditentukan masa depan Tok Guru dan kerajaan negeri.

Percaturan politik PAS


Kedudukan dan percaturan politik dalaman PAS di Kelantan memang hebat. Percaturan ini bukan rahsia lagi. Mereka sering bersaing hebat untuk merebut jawatan tertinggi dalam PAS kawasan, melobi untuk menjadi calon dan mendapat kedudukan dalam PAS negeri.

Dalam erti kata lainnya, politiking dalam PAS di Kelantan, sentiasa hebat dan rancak. Tetapi belum wujud perpecahan dalaman yang serius. PAS Kelantan tidak dijangkiti penyakit seperti Umno Kelantan.

Setakat ini Alhamdulillah, sehebat mana pun percaturan politik dalaman PAS, mereka hanya bersaing untuk mendapatkan jawatan, menjadi Adun, Ahli Parlimen atau Exco, tetapi solid ketika berhadapan dengan Umno-BN.

Persoalannya untuk jangka panjang, mampukah pemimpin-pemimpin PAS di Kelantan, sentiasa dalam keadaan solid dalam menghadapi Umno-BN?

Apapun, kedudukan Tok Guru pada waktu ini tidak wajar dipertikaikan sama sekali, selagi rakyat dan parti mahukan beliau memimpin, beliau akan terus kekal sebagai Menteri Besar.

Namun secara realistiknya, kita juga harus memperakui bahawa harus wujud pelapis dan pengganti Tok Guru pada waktu akan datang. Sehingga ada suara-suara dalaman PAS yang mahukan Tok Guru menamakan pengganti beliau.

Soal wajar atau tidak, bila masa dan waktu yang bersesuaian untuk menamakan penggantinya, itu terpulang kepada Tok Guru.

Tetapi, sekali lagi persoalan harus dilontarkan terhadap ahli-ahli politik PAS di Kelantan termasuk dengan anak menantu Tok Guru, apakah mereka boleh menunjukkan solidariti, apakah mereka boleh menjamin, bahawa mereka tidak bertelagah dalam soal pengganti Tok Guru ini?

Apakah pemimpin-pemimpin PAS Kelantan boleh menjamin bahawa, mereka tidak akan berebut untuk menjadi MB? Apakah pemimpin-pemimpin ini boleh memberi jaminan, bahawa mereka tidak akan 'cas keting' sesama sendiri?

Apakah juga pemimpin ini, boleh memberi jaminan bahawa, mereka tidak akan melobi pihak-pihak tertentu, sama ada pucuk pimpinan tertinggi ataupun pihak istana untuk mendapatkan jawatan MB?

Kebimbangan yang wujud

Yang amat kita bimbangi sekarang ini ialah, jika ada atau jika wujud perasaan iri hati dan kalbu kotor di kalangan kepimpinan negeri.

Jangan sesekali ada di kalangan pemimpin yang tergerak dalam hati mereka kata-kata seumpama; "Jika aku tidak dapat (jadi MB) maka aku akan halang si fulan menjadi MB, biarlah parti lawan yang menjadi MB."

Yang amat kita bimbangi sekarang ini ialah, jika tindakan anak menantu Tok Guru yang boleh disalahtafsirkan atau menjadi bahan fitnah yang merosakkan imej Tok Guru dan masa depan kerajaan negeri.

Persoalannya di sini bukan soal hak, bukan soal kelayakan atau seseorang itu merasakan beliau berhak atau layak memegang jawatan di sesuatu tempat. Soalnya ialah, Tok Guru dan seluruh kepimpinan PAS harus mengelakkan perebutan jawatan dan sebarang perlantikan yang boleh menimbulkan fitnah kepada kesucian perjuangan Islam.

Memang sukar menguruskan manusia yang sentiasa terdedah untuk dihidapi penyakit mengutamakan kepentingan diri.

Inilah antara perasaan, penyakit dan sindrom yang amat bahaya, yang boleh dihidapi oleh mana-manapun individu pemimpin politik. Penyakit hubbud dunya' (cintakan dunia) dan hubbul riasah (cinta untuk menjadi pemimpin).

Buat masa ini, tugas utama mereka ialah untuk menggemblengkan sepenuh tenaga dan bersatu mempertahankan Tok Guru. Jangan berbalah, jangan berebut, jangan mengkayakan diri dan berusaha mengelakkan sebarang fitnah.

Jika hati-hati mereka masih dalam keadaan kotor, maka merekalah sebenarnya, yang akan menggadaikan masa depan di PAS Kelantan, tangan-tangan merekalah yang akan menjadi punca jika PAS tumbang di Kelantan.

Ingat, kepimpinan boleh ditukar ganti, tetapi Tok Guru tiada galang gantinya. Jika pun ada, yang beriya-iya hendak menggantikan Tok Guru, mampukah mereka menjadi seperti Tok Guru, yang mengetepikan kemewahan, kepentingan diri dan hidup serba sederhana?

Oleh kerana Tok Guru adalah aset PAS yang amat berharga, maka pada waktu ini, seluruh pemimpin, ahli dan penyokong di seluruh negara bertanggungjawab untuk berikrar taat setia, tsiqah dan berbai'ah dengan kepimpinan beliau.

Maka fokus kita sekarang ini ialah, melaksanakan tanggungjawab sepenuhnya, untuk mempertahankan kepimpinan kerajaan pimpinan Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat._harakahdaily.net

Azizan minta rakyat tegur kesilapan kerajaan negeri

Nazri Abdullah   
ALOR SETAR, 8 Dis: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ustaz Azizan Razak meminta rakyat negeri itu menegur dan memberitahu tindakan silap dan boleh dianggap zalim yang dilakukan kerajaan negeri.

Berucap pada himpunan bulanan bersama kakitangan kerajaan negeri di Wisma Darul Aman semalam beliau memberitahu, kerjasama rakyat itu sangat perlu bagi memudahkan kerajaan negeri bertindak segera bagi membetulkan segala kesilapan demi kesejahteraan rakyat negeri itu.

"Saya mintak semua rakyat tolong tunjuk di mana kerajaan sekarang buat zalim supaya kita dapat baiki.

"Kita mengaku tak semua kita buat adil, kita tak mahu nak jawab depan Tuhan," katanya ketika berucap dihadapan kakitangan dan pegawai kerajaan negeri semalam.

Pada perhimpunan tersebut beliau turut mengingatkan kesemua kakitangan kerajaan negeri cermat dalam menunaikan tanggungjawab pentadbiran agar tidak menzalimi rakyat.

Beliau tidak menolak kemungkinan, kerajaan negeri tidak terlepas dari melakukan perkara tersebut dalam urusan pentadbiran.

"Kita ni pegawai kerajaan. Saya menteri besar, ni ketua jabatan dan exco, kadang-kadang kita buat perkara zalim kat orang, sengaja dan tidak sengaja.

"Saya tekan sangat jangan buat zalim pada orang," katanya .

Lebih lebih lagi katanya, doa orang dizalimi langsung tidak terhijab dan akan dimakbulkan Allah.

Sehubungan itu semua kakitangan di semua peringkat ujarnya perlu berhati-hati agar tidak terjerumus dalam melakukan tindakan yang boleh disifatkan sebagai zalim._harakahdaily.net

Penyelewengan Dalam Pembinaan - Rumah Mesra Rakyat Jadi ‘Rumah Musuh Rakyat’

Buletinonline
E-mail Print PDF
http://buletinonline.net/images/stories/berita15/rumahfaridah.jpg


Chukai, KEMAMAN – “Nampak gayanya, rumah mesra rakyat sudah jadi rumah musuh rakyat,”kata seorang suri rumah, Faridah Jaafar, 45, berasal dari Kampung Baru Geliga, dekat sini.

Beliau berkata demikian dalam suratnya yang ditujukan kepada seorang pegawai Syarikat Perumahan Negara, syarikat milik kerajaan pusat.
http://buletinonline.net/images/stories/berita15/rumahfaridah1.jpgMenurutnya, beliau telah berkali-kali membuat aduan berkenaan kerosakan rumahnya kepada syarikat yang menguruskan pembinaan rumah-rumah mesra rakyat itu.

Namun begitu, setelah setahun, tiada apa-apa jawapan yang diterima balas oleh beliau dari SPNB.

Wartawan Buletinonline yang meninjau rumah Puan Faridah baru-baru ini mendapat beliau telah sedang menggantikan kayu-kayu atap rumahnya, (Gambar kanan- atap rumah yang sedang diperbaiki) yang telah reput walaupun baru setahun diduduki

Katanya, beliau telah menghabiskan wang sebanyak RM600.00 bagi membuang atap genting dan kayu tempat menyangkut genting yang reput itu.

http://buletinonline.net/images/stories/berita15/rumahfaridah2.jpgBeliau terpaksa menggantikan atap genting dengan atap asbestos kerana tidak mempunyai wang untuk menggantikan kayu-kayu tersebut.

Penolong Setiausaha PAS Terengganu, Haji Hanafiah Mat (Gambar kiri- dua dari kanan, sedang melihat kayu-kayu yang telah reput) yang turut bersama dalam tinjauan itu berkata, ia adalah satu penipuan dan penyelewengan yang sangat jelas oleh sebuah syarikat kerajaa Umno dan Barisan Nasional (BN).

”Ini adalah satu contoh yang cukup jelas, berlaku penipuan dan penyelewengan,

”Umno dan BN Terengganu, begitu mendabik dada kononnya dapat membina beratus-ratus rumah rakyat, namun sebenarnya bertindak menipu rakyat,”katanya.


Beliau berazam akan membawa kes tersebut ke pihak-pihak berkenaan untuk mendapat keadilan, dan tidak menolak kemungkinan membuat satu laporan kepada pihak polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) (Gambar bawah - kayu-kayu yang reput)


http://buletinonline.net/images/stories/berita15/rumahfaridah3.jpg
.

Nik Aziz lawat tempat kejadian kemalangan KB Mall

Rizal Tahir   
KOTA BHARU, 8 Dis: Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, meluangkan masa kira-kira 25 minit di tempat kemalangan yang meragut dua nyawa dan satu parah dalam kejadian kereta terjunam dari parkir di KB Mall kelmarin.

Beliau yang diiringi Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Takiyuddin Hassan diberi taklimat oleh kakitangan Pasaraya New Pasiffic berhubung kejadian yang telah berlaku.

Turut meninjau perkembangan itu, anggota-anggota exco kerajaan negeri, Datuk Anuar Tan Abdullah, Meja (B) Md AnizamAbdul Rahman, Yang Dipertua MPKB, Haji Ahmad Mahmood, serta para pegawai kanan MPKB-BRI.

Ketika memberitahu pemberita selepas itu beliau berkata, kejadian berkenaan sesuatu yang diluar jangka dan tidak tidak terfikir oleh sesiapapun.

“Benda ni (kejadian itu) berlaku payah nak fikir, semuanya kuasa Allah, bagaimana kemalangan boleh berlaku dengan merempuh dinding yang begitu tebal, kemudian merempuh pula orang di bawah,”ujarnya.

Sementara itu, mesyurat khas yang berlangsung 11.15 pagi tadi memutuskan pasaraya berkenaan boleh beroperasi sebagaimana biasa bermula pukul 2.00 petang tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri, Datuk Takiyuddin Hassan, berkata ianya diambil kira selepas mesyuarat memutuskan struktur bangunan berkenaan masih dalam keadaan baik.

“Bukan itu sahaja, pembinaannya juga tidak menyalahi peraturan MPKB-BRI seperti dengan mencampuri bahan-bahan yang tidak baik sehingga menjejaskan struktur bangunan,”ujarnya.

Bagaimanapun, menurutnya pihak Bomba dan Penyelamat meminta factor keselamatan sentiasa diambil kira bagi memastikan sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku.

Pada kejadian yang berlaku petang 6 Disember lalu, dua pelajar perempuan sebuah kolej kejururawatan Masterskill Cawangan Kota Bharu maut, manakala seorang lagi parah dan seorang lagi cedera ringan dihempap sebuah kereta yang terjunam dari tempat parkir tingkat atas.

Mangsa yang maut dikenali sebagai Siti Nor Amira Samsuddin, 19 dan Siti Nor Diana Azman, 18, manakala mangsa yang cedera parah ialah Rashidah Ahmad Latfi, 24, juga pelajar kolej yang sama.

Pemandu kereta terbabit, Nor Ain Said, 19, hanya mengelami cedera ringan setelah kereta jenis Ford Laser TX3 yang dipandu mangsa dikatakan rosak di Tingkat 3 parkir itu, tiba-tiba hilang kawalan lalu merempuh dinding lubang angin pasar raya itu._harakahdaily.net

Bilik solat dalam tandas awam jadi tanda tanya

Sebuah tandas awam untuk kemudahan lelaki, wanita dan golongan kurang upaya (OKU) di Sabindo dekat bandar Tawau, menimbulkan tanda tanya orang awam kerana ia turut menempatkan sebuah bilik solat di dalamnya.

Di pintu masuk bangunan itu terdapat papan tanda surau dengan lambang wanita, lelaki dan OKU.

Presiden Majlis Perbandaran Tawau ketika dihubungi Bernama berkata pihaknya akan mengambil tindakan termasuk menutup ruang solat berkenaan jika ia didapati mencemar nama baik Islam.

Namun, katanya, sebelum kemudahan tempat sembahayang itu disediakan, MPT telah meminta pandangan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah yang tidak membantah, malah ia membantu menetapkan arah kiblatnya.

"Kita akan berjumpa sekali lagi dengan JHEAINS kerana mereka lebih arif," katanya.

Pengerusi Majlis Agama Islam Sabah Datuk Syed Abbas Syed Ali, ketika dihubungi berkata, adalah kurang sesuai bagi bilik sembahyang dibina dalam bangunan tandas.

"Kita akan siasat perkara ini demi kemuliaan Islam," katanya.

Tandas awam berkenaan terletak hanya 500 meter dari Masjid Al-Kauthar, masjid terbesar di Sabah. BERNAMA / _malaysiakini bm