Sahabat Purnama

Rabu, 28 Oktober 2009

Seluruh Dunia Bertumpu ke Jalan Raja Laut malam ini !

sumber: apakhabarganu

Mesyuarat Khas yang diadakan pada malam ini adalah lebih khusus membincangkan perkara yang ditimbulkan oleh Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat, supaya diadakan satu Muktamar Khas.

Walaupun ia satu kejutan, namun ramai yang berpendapat, Muktamar Khas tidak perlu diadakan kerana tidak ada apa yang perlu segera dibincang dan diputuskan.

Tanggapan Tok Guru Nik Aziz ada pemimpin yang bemasalah kerana mereka adalah ‘pro-umno’ juga tidak berasas kerana keputusan berkaitan sebarang hubungan dengan Umno samada perbincangan berkenaan kerajaan perpaduan, atau muzakarah atau mukabalah sekalipun, semuanya telah disimpulkan ada Muktamar lalu di Shah Alam.

Walaupun Tok Guru menyatakan beliau sudah tua untuk dipengaruhi atau didalangi oleh seseorang, namun ia adalah keadaan biasa sekiranya seseorang pemimpin mengambil pandangan dan pendapat orang lain dalam sesuatu hal yang mahu diputuskan atau diambil tindakan.

Ironisnya, apabila ‘meletup’ sahaja berita yang bersumberkan laman blog Tok Guru Menteri Besar Kelantan itu, ramai yang terbayang dimata mereka dua wajah, yang sering bersama-sama Tok Guru Nik Aziz, mengiringinya pada majlis-majlis rasmi kerajaan khususnya.

AlhamduliLlah, perkara yang menjadi isu dalaman PAS pada kali, hampir sama dengan yang pernah berlaku sebelum ini, iaitu hubungan antara PAS dan Umno.|

Justeru, setelah berlaku kali pertama diantara Tok Guru Nik Aziz dengan Pesuruhjaya PAS Terengganu (masa itu), Dato’ Mustafa Ali, dan berulang sekali lagi kepada Timbalan Presiden, Ustaz Nasharudin Mat Isa, tidak ramai ahli-ahli dan penyokong PAS yang melatah jauh sekali merapu.

Cuma yang betul-betul menonjolkan sifat ’meroyan’, sewel tak tentu pasal adalah Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyidin Yassin yang membuat kome ’penuh mulut’ mengatakan PAS menghadapi masalah kepimpinan.

Kenyataan yang dikeluarkan Muhyidin pastinya diminta oleh jentera ’dakyah’ Umno supaya media dibawah ’kangkang’ dan kongkongan Umno-BN supaya mensesasikan kenyataan Tok Guru Nik Aziz.

Kemudian setiap pengarang akan cuba membuat ’follow-up’ dengan cuba melakukan ’provokasi’ keatas mana-mana pemimpin PAS supaya mengeluarkan kenyataan yang mungkin boleh memenuhi kehendak Umno-BN.

Niat jahat Muhyidin untuk memecahbelahkan PAS tidak disokong oleh Presiden Umno Najib yang tidak membuat sebarang kenyatan provokasi, namun disokong oleh bekas Presiden Umno Tun Mahathir, yang sudah beberapa kali di kitar semula, keluar Umno masuk Umno kerana tidak setuju dengan itu dan ini.

Mungkin Muhyidin sudah lupa sekarang sudah 1Malaysia, bukan zaman Islam Hadhari, zaman ’lelap’ macam Pak Lah Badawi sudah berlalu.

Kerana syok sendiri dengan kemenangan Isa Samad secara tipu undi pos dan rasuah di Bagan Pinang mungkin menjadikan Muhyidin tidak berapa sedar, tidak semuanya boleh dikawal oleh Umno-BN sekarang!

Apa pun, lewat malam ini, sebelum membuat liputan sidang media pimpinan PAS semua petugas media, boleh melihat pondan-pondan atau pekerja seks di belakang mati memulakan operasi mereka, kerana mesyuarat khas PAS pastinya tamat sehingga dinihari!

InsyaAllah, semua pihak yang hadir dalam mesyuarat khas melibatkan pimpinan tertinggi pusat dan negeri itu akan membuahkan natijah yang baik, sekiranya tidak ada ’orang dalam’ yang menjadi dalang, sebagaimana pengakuan Tok Guru Nik Aziz.

Seluruh dunia sedang menumpukan perhatian ke Jalan Raja Laut, di mana Pejabat Agung PAS terletak, tempat mesyuarat khas pemimpin PAS bersidang malam ini !

_http://apakhabarganu.blogspot.com/

MERENUNG KEBIJAKSANAAN ALMARHUM USTAZ FADZIL NOOR

Oleh : MOHAMED HANIPA MAIDIN

Sahabat baik saya, Saudara Muhaimin Sulam pada masa ini sedang menulis tesis Phd beliau mengenai mantan Presiden PAS iaitu Almarhum Ustaz Fadzil Mohd Noor.

Muhaimin memberitahu saya dalam menyediakan tesisnya beliau telah antara lain menemubual Tun Mahathir bagi mendapatkan pandangannya tentang Almarhum.

Mahathir memberitahu Muhaimin bahawa beliau amat menghormati Almarhum dan mengakui bahawa meskipun Almarhum adalah pemimpin pembangkang namun beliau banyak belajar dari Almarhum.

Seorang lagi pemimpin yang ditemubual oleh Muhaimin adalah Lim Keng Yeik iaitu mantan presiden Gerakan. Lim Keng Yeik juga menghormati kebijaksanaa Almarhum.

Dalam kesempatan ini saya ingin berkongsi dengan para pembaca tentang dua insiden yang saya pernah lalui bersama dengan Almarhum . Dua insiden itu bagi saya menunjukkan ketelitian dan kebijaksanaa Ustaz Fadzil Mohd Noor.

Insiden pertama adalah apabila saya menjadi penterjemah beliau semasa beliau ditemubual oleh seorang wartawan Austria. Temubual itu berlangsung di Pejabat Harakah di Jalan Pahang. Memandangkan saya secara kebetulan ada di situ Almarhum mengajak saya untuk hadir di temubual itu sekaligus menjadi penterjemah beliau.

Banyak soalan yang diajukan oleh wartawan tersebut kepada Almarhum. Dalam banyak jawapan yang diberikan oleh Ustaz Fadzil, saya amat tertarik dengan jawapan yang beliau berikan kepada satu soalan yang saya kira satu soalan untuk memerangkap beliau.

Wartawan Austria itu bertanya kepada Ustaz Fadzil apakah yang PAS akan lakukan kepada pernigaan judi di Genting Highland jika PAS ditakdirkan memerintah Malaysia ?

Sebelum Ustaz Fadzil menjawab soalan tersebut saya tertanya-tanya bagaimanakah Ustaz Fadzil akan menjawab soalan tersebut. Saya dapat merasakan bahawa wartawan Austria itu mahukan Ustaz Fadzil Noor menjawab bahawa PAS akan menutup pusat judi di Genting Highland kerana judi adalah haram menurut Islam. Saya percaya jika begitulah jawapan Ustaz Fadzil Noor maka itulah yang dimahukan oleh wartawan barat itu bagi menunjukkan bahawa gerakan Islam seperti PAS adalah ekstrim dan jika memerintah maka kononnya hak orang buka Islam akan tergugat.

Saya jenuh memikirkan bagaimanakah Ustaz Fadzil akan menjawab soalan tersebut. Sebelum Ustaz Fadzil ditanya soalan itu saya ada membaca di akhbar the star yang diterbitkan sebelum temubual itu tentang jawapan yang diberikan oleh pemimpin PAS yang lain bahawa PAS akan menutup pusat perjudian itu jika PAS memerintah Malaysia. Saya merasakan meskipun jawapan itu tidak salah dari sudut agama namun menjawab secara sebegitu akan menguatkan persepsi di kalangan orang bukan Islam yang tidak memahami Islam bahawa itulah PAS sebuah parti yang ekstrem.

Mari kita lihat kebijaksanaan Ustaz Fadzil menjawab soalan yang saya nyatakan di atas.

Beliau menjawab lebih kurang begini : “ Bagi kita ( PAS ) ada isu yang lebih besar dari isu yang kamu bangkitkan tersebut. Bagi kita ( PAS ) isu tentang penyalahgunaan kuasa, isu rasuah , isu pencabulan hak asasi dan isu pencabulan sistem demokrasi dalam negara ini adalah isu-isu besar yang rakyat mahukan kita ( PAS ) membuat perubahan jika kita ditakdirkan mengambil alih kuasa dari Barisan Nasional.”

Sebaik sahaja saya mendengar jawapan itu saya berkata dalam hati memang layaklah Ustaz Fadzil menjadi pemimpin saya. Jawapan yang amat bijaksana. Beliau tidak kata beliau tidak akan haramkan judi oleh itu tidak boleh dituduh PAS sudah menggadai prinsip. Cara beliau mengalih ( divert ) persoalan yang dibangkitkan amat menakjubkan.

Dalam satu insiden yang lain saya kebetulan berkesempatan makan tengah hari bersama beliau di kantin Parlimen. Semasa makan tersebut beliau menceritakan kepada saya tentang isu yang berlaku di Parlimen. Beliau memberitahu saya bahawa beliau tidak begitu senang hati dengan cara ahli-ahli Parlimen Umno menyerang pentadbiran Taliban di Afghanistan. Ustaz Fadzil memberitahu cara Umno menyerang Taliban adalah dengan cara yang tidak adil kerana tidak langsung menceritakan aspek positif pemerintah Taliban khususnya kejayaan Taliban menyelesaikan isu dadah di negara itu.

Ustaz Fadzil memberitahu saya pada mulanya beliau ingin bangun dan membela Taliban yang diserang secara tidak adil oleh Umno. Namun beliau menyatakan bahawa beliau berfikir panjang sebelum meneruskan hasratnya itu. Beliau menyatakan bahawa beliau amat khuatir dan bimbang jika beliau bangun membela Taliban yang diserang secara tidak adil oleh Umno, PAS akan dilihat membela Taliban . Apabila PAS dilihat membela Taliban, ujar Ustaz Fadzil, maka rakyat negara ini akan dimomokkan oleh Umno bahawa PAS adalah sama dengan Taliban. Dan ini , dari segi politik, akan menyukarkan PAS untuk menangkis serangan Umno itu dalam keadaan Umno menguasai media massa. Maka beliau mengambil keputusan tidak bangun untuk membela Taliban.

Sekali lagi saya lihat kebijaksanaan Ustaz Fadzil. Beliau amat teliti dan cermat dalam mengambil satu-satu pendirian. Meskipun apa yang beliau ingin buat itu betul ( membela pihak yang diserang secara tidak adil ) namun sebagai pemimpin beliau memikirkan kesan apa yang beliau buat itu. Inilah antara lain kualiti seorang pemimpin – sentiasa memikirkan kesan sesuatu tindakan yang ingin dilakukan.

Apa yang Ustaz Fadzil lakukan tersebut, bagi saya, adalah mencontohi apa yang dilakukan oleh Nabi Muhammad s.a.w. Bagi kita yang menekuni seerah Rasulullah s.a.w pasti akan tahu bagaimana kisah Rasulullah s.a.w. dan pemimpin Munafiq Abdullah bin Ubay bin Salul . Meskipun diminta oleh para sahabat untuk membunuh Abdullah bin Ubay namun Rasulullah s.a.w enggan melakukan hal tersebut. Rasullullah s.a.w menolak saranan para sahabat tersebut kerana tidak mahu dikatakan orang selepas itu bahawa Muhammad telah membunuh sahabatnya sendiri.

Kita lihat juga peristiwa penaklukan bumi Palestine pada tahun 637 Masihi oleh Syaidina Umar . Semasa Syaidina Umar berada di dalam gereja waktu solat pun tiba. Paderi menyuruh beliau bersembahyang dalam gereja tersebut. Syaidina Umar dengan penuh hikmah menolak pelawaan tersebut . Umar jelaskan pada Paderi tersebut sekiranya beliau sembahyang di situ kaum muslim akan ingin mengingati peristwa bersejarah itu dengan mendirikan masjid di tempat itu ( gereja itu ) dan jika itu berlaku kaum muslim akan memusnahkan gereja itu.

Lihatlah sikap seorang pemimpin. Sentiasa memikirkan kesan apa yang ingin dilakukan. Moga kita dapat mengambil pengajaran dari kisah di atas.

_http://peguampas.blogspot.com/

Wartawan penuh menunggu mesyuarat khas JK PAS Pusat

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 28 Okt: PAS mengadakan mesyuarat khas AJK PAS Pusatnya jam 8.45 malam dengan dipengerusikan oleh presidennya, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang malam ini.

Turut serta di sebelahnya adalah Mursyidul Am yang juga Pesuruhjaya PAS Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Nik Aziz tiba ke pejabat agung PAS, Jalan Raja Laut jam 8.40 malam. Ia disambut oleh Abdul Hadi dan kedua-dua mereka berbual mesra sambil Abdul Hadi memerhatikan Nik Aziz makan malam.

Abdul Hadi sampai lebih awal dan telah selesai makan malam di situ.

Nik Aziz kelihatan makan nasi berlauk ayam goreng yang disediakan oleh pejabat Agung PAS untuk semua peserta mesyuarat itu.

Di pintu masuk Pejabat Agung, berpuluh-puluh wartawan dan jurugambar menunggu ketibaan para pimpinan PAS itu.

Bagi meraikannya, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali telah memutuskan untuk membenarkan kesemua mereka mengambil gambar pimpinan PAS itu sebelum mesyuarat bermula.

mereka berlari-larilah para jurugambar memanjat anak tangga bangunan PAS itu ke tingkat lima, tempat mesyuarat berlangsung, menggunakan tangga.

Ini kerana, hanya satu lif sahaja yang ada di bangunan itu dan mereka bimbang tidak sempat merakamkan detik bersejarah dalam PAS itu.

Namun, para petugas PAS telah bersedia menghadapinya dan hanya membenarkan mereka masuk mengambil gambar apabila kesemua mereka sudah berada di tingkat 5 bangunan PAS itu.

"Waw ramainya," sungut para pemimpin PAS yang memenuhi Dewan Mesyuarat Utama Pejabat Agung PAS itu apabila jurugambar menyerbu masuk.

Pelbagai ragam mereka mengambil gambar para pimpinan PAS. Yang menjadi fokus adalah Andul Hadi dan Nik Abdul Aziz yang duduk sebelah menyebelah dalam mesyuarat ini.

Mereka meminta kedua-duanya senyum, bersalam, memandang kamera dan sebagainya.

Semuanya dipatuhi dengan baik oleh kedua-duanya di samping timbalan presiden, Nasharudin Mat Isa dan Setiausaha Agung, Datuk Mustafa Ali.

Mesyuarat ini dijangka selesai menjelang jam 12 malam. Adalah dipercayai satu sidang akhbar akan dibuat selepas itu kerana wartawan penuh di hadapan bangunan PAS bagi menunggu keputusan mesyuarat khas ini. _harakahdaily.net

Pas tidak perlu lakukan gerakan pembersihan

SHAH ALAM: – Krisis dalaman yang berlaku dalam parti Pas perlu segera diselesaikan kerana ia bakal mengundang kegoyahan dalam parti itu, kata penganalisis politik, Profesor Madya Dr Ahmad Nizamudin.

Beliau berkata, kenyataan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mahu membuat satu gerakan pembersihan untuk memastikan kesemua pemimpin benar-benar tulus dalam perjuangan Pas.

“Tidak perlu gerakan pembersihan ini. Apa yang perlu adalah mencari kata putus bagi menyelesaikan segala krisis dalaman mereka.

“Apatah ia membabitkan pemimpin tertinggi Pas. Jadi apabila diadakan satu mesyuarat khas, segala permasalahan pasti akan cuba ditangani dengan baik.

“Kerana itulah satu mesyuarat khas diadakan esok (hari ini) dan saya berharap satu keputusan muktamad akan dapat dirumuskan dalam mesyuarat itu nanti,” katanya, semalam.

Beliau berkata, mesyuarat khas itu penting untuk mengembalikan semangat kesemua pemimpin dalam parti itu.

“Pada pendapat saya jika gerakan pembersihan ini diteruskan juga ia bakal mengundang pelbagai spekulasi. Biarlah ia diselesaikan dengan cara baik dan lebih bertoleransi,” katanya.

Diminta mengulas mengenai Pas yang dikatakan semakin goyah ekoran krisis dalaman ini, Dr Ahmad berkata, parti itu akan tetap berdiri teguh selari dengan moto mereka ‘Pas For All’.

“Kita semua sedia maklum apa yang bakal dibahaskan di dalam mesyuarat itu melibatkan pemimpin atasan parti, jadi jika berlakunya sesuatu perkara yang tidak diingin oleh penyokong mereka, pasti menambahkan lagi masalah antara mereka.

“Mungkin ada juga yang beranggapan isu ini menjadi medan untuk mereka bertelagah dan menjadi punca akan kejatuhan empayar parti itu.

“Pas merupakan satu parti kukuh apatah lagi di bawah kepimpinan Nik Abdul Aziz yang mana beliau seorang yang sangat berpengaruh,” katanya._sinarharian

Pas tutup pintu rundingan

KUALA LUMPUR - Pas memutuskan untuk menutup semua pintu rundingan dan perbincangan dengan UMNO berhubung cadangan pembentukan Kerajaan Perpaduan.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, isu Kerajaan Perpaduan tidak timbul lagi kerana perkara tersebut hanya dibangkitkan semasa Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri.

“Sudah tutup buku, Kerajaan Perpaduan :tak ada lagi. Perdana Menteri zaman itu (Abdullah) pun sudah berhenti...Tak timbul lagi, sekarang Perdana Menteri baru. Itu konsep yang kita timbulkan masa zaman (Tun) Abdullah,” katanya kepada media di Lobi Parlimen di sini, semalam.

Ditanya mengapa Pas menghentikan hasrat pembentukan Kerajaan Perpaduan dengan UMNO, Abdul Hadi berkata, keadaan sekarang sudah berubah kerana pemimpin baru dalam UMNO kini masih tidak diketahui sikap dan kedudukan mereka berkenaan konsep tersebut.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, UMNO juga tidak lagi membangkitkan isu Kerajaan Perpaduan :sebaliknya UMNO dan Barisan Nasional (BN) buat masa ini sedang menguruskan krisis yang dihadapi oleh parti komponen mereka.

“Tak ada tawaran dan BN pun sedang mengurus rumahtangganya. MCA belum selesai, MIC belum selesai. Macam mana kita nak naik rumah dia kalau rumah dia kelam kabut,” katanya.

Berhubung soalan sama ada Pas sedia untuk membincangkan kembali mengenai Kerajaan Perpaduan dengan UMNO, beliau berkata: “Masa depan kita tak tahu.”

Diminta mengulas sama ada beliau menghadapi krisis dalaman dalam Pas berhubung idea pembentukan Kerajaan Perpaduan tersebut, beliau menafikan mengenai perkara itu kerana apa yang berlaku hanyalah perbezaan pandangan.

“Kita ada demokrasi dalam Pas, semua pihak boleh meluahkan pandangan masing-masing dan saya yakin kita dapat selesaikannya dengan baik,” katanya.

Hadi turut membidas pandangan sesetengah pihak yang mendakwa Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dipengaruhi oleh pihak-pihak tertentu untuk mendesak diadakan Muktamar Khas untuk membincangkan beberapa ‘pemimpin bermasalah’.

“Saya tidak percaya dengan pandangan ini, kita ada hubungan baik antara satu sama lain, saya juga ingin menjelaskan bahawa isu Kerajaan Perpaduan muncul tiada kena mengena dengan tawaran dari Barisan Nasional (BN),” katanya.

Ditanya sama ada Muktamar Khas yang dicadangkan Nik Aziz perlu diadakan atau tidak, Hadi menjelaskan Mesyuarat Pusat Pas akan menentukannya.

Ditanya sama ada Nik Abdul Aziz patut hadir ke mesyuarat khas Pas, Abdul Hadi berkata: “Itu terpulang kepada kesihatan beliau. Kita memahami kesihatan beliau kerana Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kelantan juga sedang bersidang ketika ini.”_sinarharian

Dr Mahathir tidak perlu masuk campur

KUALA LUMPUR - Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak mempunyai hak untuk campur tangan dalam urusan parti itu.

Beliau berkata, Pas adalah sebuah parti yang boleh menentukan kepimpinannya sendiri dan yakin Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat masih mampu untuk memainkan peranannya selaku Mursyidul Am Pas.

"Kita tetap menganggap Mursyidul Am kita adalah pemimpin dalam parti mengikut landasan Majlis Syura Ulama. Kepimpinan kita adalah secara kolektif dan tidak ada dictatorship,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Dr Mahathir semalam yang meminta agar Nik Abdul Aziz Mat berundur bagi memberi laluan kepada pemimpin muda.

Abdul Hadi berkata, Nik Abdul Aziz juga tidak perlu meletak jawatan.

“Kita ada demokrasi dalam Pas. Semua pihak boleh mengeluarkan pandangan, di mana selama ini pun kita sudah mengamalkannya dan kita dapat menyelesaikan masalah dengan baik,” katanya. _sinarharian

Husam nafi ada dalang EGM PAS

KOTA BHARU 27 Okt. - Bekas Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa yang dilihat sebagai propakatan pembangkang hari ini menafikan segala desas-desus bahawa beliau adalah kalangan dalang di sebalik cadangan supaya Muktamar Agung Khas (EGM) diadakan.
Beliau yang kini dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Pas Pusat selepas tewas ketika merebut jawatan Timbalan Presiden pada muktamar lepas menegaskan bahawa ia adalah keputusan Mursyidul Am, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sendiri tanpa dipengaruhi mana-mana pihak.

''Orang kata saya di belakang tok guru (Nik Abdul Aziz) tetapi sebenarnya 100 peratus keputusan itu dibuat oleh tok guru sendiri.

''Nama saya dikaitkan dalam banyak perkara tetapi itu nasib saya. Alhamdulillah saya dapat bersabar dan tidak mengulas apa-apa tuduhan yang dibuat terhadap saya.

''Tetapi akhirnya saya percaya yang keruh akan hilang, yang jernih akan timbul dan orang akan tahu niat saya yang sebenar,'' katanya ketika ditemui pemberita di lobi Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Nama Husam dikaitkan oleh sesetengah pihak bahawa dalang di sebalik cadangan Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan itu mempunyai hubungan rapat dan diberi kepercayaan dalam banyak perkara penting membabitkan pentadbiran negeri ini.

Husam juga dikatakan amat mementingkan hubungan dengan sekutu pakatan pembangkang, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP sebagai teras untuk menguasai kerajaan kelak.
Jumaat lalu, Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan nekad mencadangkan supaya EGM diadakan bagi membersihkan parti tersebut daripada pemimpin prokerajaan perpaduan.

Ekoran itu, satu mesyuarat khas Pas Pusat akan diadakan pada malam esok untuk membincangkan cadangan itu.

Husam yang juga Exco kanan kerajaan Pas Kelantan menjelaskan, berdasarkan perbincangan dengan Nik Abdul Aziz, cadangan EGM tersebut dibuat bukannya untuk menyingkirkan mana-mana pemimpin tetapi ia adalah penegasan semula matlamat mereka.
''Saya telah bertemu dengan tok guru untuk mendapatkan penjelasan. Beliau memberitahu EGM ini bukan untuk pemilihan semula tetapi hanya penegasan semula sama ada Pas akan bersama pakatan pembangkang atau UMNO.

''Jadi saya kira EGM itu adalah untuk menentukan identiti dan imej Pas sebelum pilihan raya umum akan datang. Ia bukannya seperti yang digembar gemburkan media tentang pembersihan pemimpin,'' tambahnya.

Katanya, biar apa pun keputusan mesyuarat khas itu, beliau akan menerimanya kerana ia dibuat secara bersama oleh kepimpinan parti._tbo

Saya Tidak cabar Khalid

1. Hari ini Utusan Malaysia meletakkan tajuk kecil di muka surat 15 " Nasrudin cabar Khalid ".

2. Apa yang saya nak betulkan di sini ialah saya tidak mencabar tetapi meminta agar Yb. Khalid Samad mengemukakan bukti terhadap kenyataan beliau bahawa mana - mana pimpinan yang berminat dengan UMNO boleh keluar dari Pakatan Rakyat .

3. Tidak perlu ada cabar mencabar antara kita . Tajuk akhbar itu jelas satu provokasi untuk mencetus sengketa . Apa yang jelasnya ialah saya meminta agar Yb. Khalid mengemukakan bukti atas kenyataannya .

4. Siapa pimpinan yang dimaksudkan itu dan apakah bukti yang ada sehingga mendorong beliau membuat kenyataan terbuka . Jika tidak disertakan bukti sebaliknya hanya membuat kenyataan umum begitu , maka ia menjadi serkap jarang yang akan melebarkan fitnah .

5. Insyaallah , saya sendiri akan mengambil masa untuk bertemu dengan Yb. Khalid Samad esok bagi mendengar sendiri dari pihak beliau . Kerana kita tidak mahu sebarang pertuduhan dilempar ke tengah melalui media . Semoga Allah swt menjernihkan parti ini ._episodesebuahperjuangan

Lima Risolusi Martabatkan Perundangan Syariah

KUANTAN – Isu bantahan yang dibuat SIS dan JAG terhadap hukuman sebatan ke atas Kartika Dewi Shukarno kerana kesalahan meminum arak di khalayak ramai telah berjaya menyatukan 14 buah NGO Islam di Negeri Pahang. Kejayaan pertama kumpulan ini ialah dengan berlangsungnya sidang media pada Oktober 2 yang lalu.Semalam, kumpulan yang menamakan diri mereka sebagai Sekretariat Gabungan Badan Bukan Kerajaan (NGO)

Negeri Pahang ini sekali lagi mengambil langkah terkedepan bila menganjurkan Seminar Perlaksanaan Perundangan Syariah: Isu dan Cabaran, di Dewan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) di sini.

Dalam sidang media selepas usai seminar tersebut, jurucakap sekretariat, Amidi Abdul Manan, Timbalan Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) melahirkan rasa gembira kerana seminar telah berjaya meluluskan lima resolusi penting.

Lima resolusi tersebut adalah pertamanya memberi kuasa dan kebebasan sepenuhnya kepada penguatkuasa Agama Islam dan mahkamah syariah dalam menjalankan tanggungjawab mereka sebagaimana diperuntukkan oleh Enakmen Syariah Negeri tanpa dipengaruhi dan ditekan oleh mana-mana pihak.

Kedua, menyeru kepada ahli politik beragama Islam supaya bertindak secara proaktif dalam memperjuangkan kedaulatan Agama Islam dan institusi mahkamah syariah, juga memperjuangkan perluasan bidang kuasa mahkamah syariah.

Seminar, melalui resolusi ketiga menurut Amidi mendesak supaya pihak berkuasa negeri dan kerajaan memberi tekanan kepada media supaya menyokong dan menghulur kerjasama sepenuhnya kepada NGO Islam dalam mendidik dan memahamkan masyarakat tentang segala isu yang menyentuh kepentingan umat Islam.

Keempat, kerajaan diminta supaya berusaha menaikkan taraf institusi kehakiman syariah supaya setanding dan seiring dengan institusi kehakiman sivil, sesuai dengan semangat pemisahan perlembagaan persekutuan, supaya nanti ia tidak lagi dipandang sebagai institusi kehakiman kelas dua sama ada dari segi kepakaran dan bidang pendakwaan, perjawatan atau jumlah kakitangannya.

Resolusi terakhir pula, jelas Amidi, mencadangkan kepada kerajaan agar mewujudkan satu badan pemantau yang berkuasa mengawasi organisasi-organisasi yang menggunakan nama Islam supaya objektif dan matlamat organisasi-organisasi tersebut selari dengan prinsip Islam serta bukan bertujuan mengelirukan umat Islam dengan ideologi-ideologi dan pendekatan yang nyata terpesong.

Amidi dalam kenyataannya memberitahu bahawa naskhah resolusi yang dinamakan sebagai “Memartabatkan Perundangan Syariah Pahang” ini akan dipersembahkan kepada Tuanku Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah, selaku Ketua Agama Islam Negeri, yang mewakili seluruh umat Islam di Negeri Pahang.

Sekretariat, tambah Amidi kini hanya menunggu perkenan Tuanku Sultan untuk menghadap. Ini juga ujar beliau adalah tanda sokongan 14 NGO Islam Pahang kepada Enakmen Pentadbiran Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982 (Pindaan 1987).

Seminar Perlaksanaan Perundangan Syariah ini berlangsung sehari dan dirasmikan penutupannya oleh Timbalan Yang DiPertua Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), Dato’ Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan dengan kehadiran kira-kira seramai 300 orang peserta.

Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, Amidi dalam sidang media yang sama mengumumkan yang seminar serupa akan terus dianjurkan di seluruh negara bagi membolehkan orang ramai, terutamanya bukan Islam mendapat kefahaman tentang perbezaan perlaksanaan hukuman di antara mahkamah syariah dan mahkamah sivil.

Pada minggu hadapan sahaja, seminar serupa ini dijadualkan berlangsung di negeri-negeri seperti Selangor, Kelantan dan Perak, atas usaha NGO-NGO Islam negeri-negeri tersebut._buletinonline

PAS perlu tegas isu k'jaan perpaduan

Jimadie Shah Othman & Abdul Rahim Sabri

Jawatankuasa pusat PAS diminta mengambil tindakan tegas terhadap pemimpinnya yang didapati mencetuskan konflik dalaman parti, termasuk dalam isu kerajaan perpaduan dengan Umno.

"Kalau kita berani dan tegas membuat keputusan dan mengambil tindakan, masalah ini akan dapat diselesaikan secara tuntas.

"Dan dengan sendirinya cakap-cakap tentang EGM (muktamar khas) tidak lagi berbangkit, kerana yang pentingnya matlamat itu tercapai," kata seorang ahli jawatankuasanya Dr Dzulkefly Ahmad.

Beliau diminta mengulas sama ada mesyuarat khas jawatankuasa pusat PAS dan pesuruhjaya negerinya malam ini dapat menyelesaikan krisis dalaman berpanjangan parti itu, terbaru dalam isu "dua tiga kerat pemimpin bermasalah" yang ditimbulkan mursyidul amnya Datuk Nik Aziz Nik Mat.

Dihubungi Malaysiakini hari ini, Dr Dzulkefly berkata, walaupun ketegasan jawatankuasa pusat PAS mungkin boleh menyebabkan perasaan tidak puas hati, ia mesti diteruskan demi kepentingan parti.

"(Perasaan tidak puas hati) itu tidak menjadi perhitungan kita. Yang penting, parti mesti berada dalam keadaan baik,” kata ahli parlimen Kuala Selangor.

Ditanya sama ada konflik dalaman PAS sentiasa berpanjangan ekoran tiadanya ketegasan presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang menguatkuasakan keputusan mesyuarat, Dr Dzulkefly enggan mengulas perkara itu.

Malam ini, PAS mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan isu "beberapa kerat pemimpin bermasalah" berhubung isu kerajaan perpaduan yang dibangkitkan Nik Aziz dalam blognya Khamis lalu.

Nik Aziz, juga menteri besar Kelantan, yang asalnya dilaporkan "keberatan" untuk hadir – kerana DUN negeri masih bersidang – kini mengubah pendiriannya untuk berdepan dengan jawatankuasa pusat dan barisan pesuruhjaya negeri di ibu pejabat PAS di Kuala Lumpur.

Tiga pemimpin PAS yang dipertikaikan Nik Aziz di blognya itu: timbalan presiden Nasharuddin Mat Isa, setiausaha agung Datuk Mustafa Ali dan pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Hassan Ali.

Ketua Pemuda PAS Nasruddin Hassan pula berkata, dalam mesyuarat malam ini, beliau akan mengusulkan agar lembaga displin – yang dipengerusikan naib presiden Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man – diaktifkan sepenuhnya bagi menangani pihak yang mencetuskan masalah dalam parti.

"Ia melibatkan isu-isu perbalahan di luar (parti), cara mengendalikan maklumat parti, mendedahkan minit mesyuarat parti, tuduh-menuduh dalam media.

"Misalnya tuduh sesuatu pihak ini pro-Umno, mestilah ada bukti. Kalau tuduhan tanpa bukti, boleh menyebabkan prejudis sesama sendiri," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau juga berpendapat, jika parti sentiasa mengadakan perbincangan, setiap isu dalaman dapat diselesaikan dengan mudah.

"Boleh selesai. Konsep syura (bermesyuarat) itu telah menjadi prinsip kita. Selama ini, yang tidak selesai itu sebab tidak bermesyuarat," katanya.

Ditanya tentang sejauh mana Abdul Hadi boleh bertegas dalam menguatkuasakan keputusan mesyuarat, Nasrudin tidak menjawab secara jelas, sebaliknya berkata:

"Ini berpunca daripada diri sendiri. Jangan biarkan masalah berlarutan. Ia terpulang kepada disiplin dalam parti.

"Kita minta pimpinan tidak menggunakan media (bertelagah)."

Sementara itu, seorang lagi ahli jawatankuasa pusat PAS Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata beliau akan mendengar sendiri penjelasan daripada Nik Aziz pada mesyuarat malam ini.

"Perkara ini memerlukan penyelesaian segera, dengan mendengar penjelasan sendiri daripada pihak yang menyatakan berlaku beberapa perkara terhadap tokoh-tokoh tertentu.

"Jadi malam ini kita akan dengarlah. Selepas itu kita berikan pandangan kita,” katanya selepas mesyuarat exco kerajaan negeri petang ini di Kuala Lumpur.

Mengulas isu muktamar khas seperti desakan awal Nik Aziz, pesuruhjaya PAS Kedah berkata:

"Tok Guru (Nik Aziz) beri pandangan. Bukan kata beliau paksa. Beliau sayang kepada parti. Saya bersetuju dengan Tok Guru yang menyatakan 'saya siram, saya dah membajai, dah pagarkan PAS ini ibarat kebun'.

"Jadi kalau ada yang merosakkan tanaman, maka beliau bimbanglah. Itu persepsi beliau.”

Azizan berkata beliau tidak nampak jalan bagaimana muktamar khas boleh diadakan dan berhubung isu apa ia perlu dibuat.

Tambahnya, jawatankuasa sisplin dan biro politik sudah boleh menyelesaikan masalah dalaman parti.

"Tetapi kalau berlarutan mungkin adalah wajar (diadakan). Masalah itu berlarutan ke, masalah serius ke, kita akan tengok masalah kita malam ini,” katanya.

"Saya secara peribadi, sebagai ahli jawatankuasa, (masalah) tak seteruk yang digembar-gemburkan oleh media dan akhbar. Mungkin benda itu maksud lain, dilaporkan lain. Tafsiran berbeza."

Ditanya sama ada mesyuarat khas nanti boleh menyelesaikan isu ini dengan tindakan displin diambil kepada individu terbabit, Azizan berkata:

"Saya tidak nampak masalah disiplin, yang saya tahu ada pandangan yang berbeza. Salahkah pandangan berbeza?" - malaysiakini

Dun Perak: Jubah direntap, speaker hampir lemas!

Harakahdaily

Kemaskini 12.50 tgh:| Berikut adalah lintas langsung yang dibawa oleh Harakahdaily terhadap perjalanan sidang Dun yang diadakan di Bangunan SUK, Perak.

12.50 tgh: Ketika ini semua Adun Pakatan Rakyat sedang bermesyuarat di Wisma DAP. Dijangkakan satu lagi sidang media akan diadakan pada jam 1.30 petang nanti.

12.37 tgh: Sidang media tamat, semua beredar.

12.35 tgh: Dalam sidang media itu juga Sivakumar menceritakan bagaimana beliau hampir tidak dapat bernafas dan lemas akibat jubahnya direntap dengan ganas.

12.30 tgh: Sivakumar dan Adun Pakatan Rakyat sedang membuat sidang media di dalam perpustakaan di kompleks SUK. Beliau (Sivakumar) menunjukkan cebisan jubah speaker yang dirampas sehingga terkoyak kepada media.

12.15 tgh: Dalam pada itu, Sivakumar memberitahu usul untuk melantik Osman Abdul Rahman sebagai senator telah diluluskan dalam sidang mereka sebelum ini.

12.14 tgh: Sementara itu, sidang dewan BN sedang berlangsung di dalam dewan dengan usul untuk melantik Datuk Azian Osman sebagai senator di Dewan Negara.

11.55 pagi: Adun PR sedang memberikan sidang media di luar dewan dan memberikan penerangan terperinci situasi yang berlaku hari itu.

11.52 pagi: Sambil keluar dewan semua Adun Pakatan Rakyat melambai kepada Ganesan dan mengucapkan 'Selamat Hari Deepavali.'

11.49 pagi: Ganesan cuba mengumumkan bajet 2010 diluluskan. Sivakumar berdiri dan mengumumkan sidang telah ditangguhkan.Semua Adun Pakatan Rakyat telah keluar dewan.

11.45 pagi:Adun BN cuba mengusul untuk menerima dan membahaskan bajet tetapi ditenggelami dengan suara daripada adun-adun lain.

11.40 pagi: Mikrofon Adun Pakatan Rakyat telah ditutup tetapi tidak bagi Adun BN.

11.37 pagi: Zambry cuba berdiri untuk bercakap dan Adun PR melaungkan 'lanun' terhadapnya.

11.35 pagi: Seorang Adun BN menyuruh Ganesan menghukum adun-adun PR.

11.30 pagi: Kedua-dua sidang sedang berlangsung sekarang. Seorang adun PR kelihatan sedang membaca sesuatu tetapiu tidak jelas kedengaran akibat gangguan.

11.25 pagi: Ganesan menyambung kembali sidang. Adun Pakatan Rakyat menyerit menyatakan Ganesan 'Speaker Haram'. Ganesan membuka sidang untuk debat mengenai belanjawan.Sidang mula kecoh. Riiuh. Dentuman meja kedengaran. Suara adun mula tenggelam timbul.

11.15 pagi: Sidang dijangka bermula semula jam 11.20 pagi. Suasana di luar tenang.

11.11 pagi: Adun Pakatan Rakyat terima usul dan luluskannya. Sivakumar tangguhkan sidang sementara waktu, tiada sesiapa kecuali Adun Pakatan Rakyat yang mendengar sidang tersebut.

11.01 pagi: Ganesan telah menangguhkan sidang dun. Adun Titi Serong mengusulkan agar sidang dun dibubar. Kerajaan BN adalah haram dan wajar dikembalikan kepada rakyat. Ganesan terus tidak menghiraukan sidang yang berlangsung sebaliknya berbual dengan bekjas MB, Tajol Rosli.

10.57 pagi: Ganesan disuruh oleh Sivasubramaniam untuk meninggalkan tempat duduknya. Suis mikrofon telah ditutup. Kemudian Sivakumar memberitahu dewan kejadian yang berlaku diluar dewan tentang kekasaran yang dilakukan terhadapnya.

10.56 pagi: Ngeh menyokong usul Nizar. Adun BN sedang berborak sesama sendiri. Adun Pakatan Rakyat melaungkan "setuju". Sementara di luar SUK, polis kelihatan menyuraikan sekumpulan penyokong Pakatan Rakyat yang berkumpul berhampiran sebuah restoran.

10.55 pagi: Ganesan kelihatan menguap dan tidak mengendahkan sidang yang dijalankan. Adun BN sedang bercakap sesama sendiri dan beberapa adun BN termasuk Zambry kelihatan meninggalkan dewan.

10.53 pagi: MB Pakatan Rakyat, DS Nizar bangun dan mengusulkan agar semua program PLKN dan 1 Malaysia dihentikan serta merta.

10.52 pagi: Sivakumar berkata beliau kini telah memulakan persidangan dan mengarahkan semua adun untuk bertakafur selama 1 minit untuk memperingati tragedi titi gantung di Kampar baru-baru ini.

10.45 pagi: Adun Buntong, A Sivasubramaniam bangun dan mengarahkan Ganesan untuk beredar kerana beliau merupakan speaker yang dilantik secara haram.

10.39 pagi: Adun Pakatan Rakyat memulakan persidangan dengan Adun Khalil Idham Lim membaca doa.Ganesan menyampuk dengan memberitahu sidang telah bermula.

10.38 pagi: Ganesan (Speaker BN) hanya duduk diam dan begitu juga dengan Adun BN.

10.37 pagi: Adun Pakatan Rakyat masuk ke dalam dewan dan melaungkan "Ketibaan Speaker Dewan". Sementara itu, DSP Glen memberikan masa 5 minit kepada penyokong PAS untuk beredar daripada kawasan SUK.

10.36 pagi: Helikopter masih kelihatan di udara.

10.35 pagi: Adun Pakatan Rakyat kelihatan di luar dewan persidangan dan mengecam Ganesan sebagai Speaker haram.

10.20 pagi: Kelihatan penyokong Pakatan Rakyat bukan beragama Islam berdiri berhampiran dengan penyokong PAS yang sedang bersolat hajat untuk menunjukkkan solariditi mereka.

10.19 pagi: Keadaan di luar SUK kelihatan agak tenang walaupun kelihatan orang ramai sedang berkumpul untuk mengikuti kejadian yang berlaku ketika ini.

Kelihatan penyokong PAS sedang melakukan solat hajat berhampiran dengan pagar halangan di luar SUK.

10.09 pagi: Nizar dan Adun Pakatan Rakyat cuba masuk sekali lagi ke dalam dewan persidangan.Sivakumar kelihatan tanpa jubah Speakernya.

10.05 pagi: Dalam dewan kelihatan pengawal (betara) seramai 20 orang mengawal sekitar 'Speaker' Ganesan.

10.04 pagi: Persidangan bermula di dalam dewan dengan bacaan doa tanpa kehadiran adun Pakatan Rakyat.

10.00 pagi: Adun Pakatan beredar keluar daripada SUK. Beberapa adun dan Nizar kelihatan di lluar SUK. Nizar mendakwa mereka dihalang masuk ke dalam dewan.

9.57 pagi: Polis kelihatan menyerbu ke arah Sivakumar. Beberapa adun Pakatan Rakyat cuba menghalang daripada serbuan polis. Seorang SB dilihat merampas songkok Speaker. Jubah yang dipakai oleh Sivakumar juga cuba ditarik.

9.55 pagi: Keadaan di luar, adun pakatan rakyat dihalang dan dilambatkan oleh kawalan pihak polis.

9.55 pagi: Keadaan dalam dewan, Speaker BN Ganesan kelihatan sudah mengambil tempatnya begitu juga adun-adun BN.

9.50 pagi: Adun Pakatan diketuai Nizar terus bergerak ke arah pintu SUK.Sivakumar kelihatan memakai pakaian rasmi speaker.

9.45 pagi: Adun BN bersama Zambry Abdul Kadir telah berada dalam SUK.

9.40 pagi: Adun Pakatan Rakyat mula berarak menuju ke arah SUK bersama sekumpulan penyokong PAKATAN RAKYAT. Sivakumar dilindungi dan dikawal oleh para penyokong. Mereka kelihatan menuju ke arah 'Pokok Demokrasi' dan cuba masuk melalui kawasan tersebut. Polis hanya benarkan Adun-adun masuk.

9.35 pagi: Speaker Pakatan Rakyat, V Sivakumar kelihatan di Wisma DAP.

9.25 pagi: Kawasan koridor bangunan SUK dipenuhi polis dan media hanya dibenarkan masuk setelah diperiksa dengan ketat dan disahkan pas mereka.

9.15 pagi: Adun Ngeh, Thomas, L P Seah, B P Ong, Sivanesan, Idham, Ramli, M M Leong and K W Wong adalah antara Adun Pakatan Rakyat yang kelihatan berada di Wisma DAP.

9.05 pagi: Anggota polis (SB) kelihatan mengambil gambar secara rambang kawasan sekitar.

9.00 pagi: Helikopter polis kelihatan berlegar di atas bangunan dan kawasan SUK.

8.50 pagi:Ngeh dan Thomas kelihatan terpaksa bertikam lidah dengan polis kerana dihalang daripada memasuki kawasan yang telah dikepung (dihalang) polis. Namun akhirnya mereka dibenrakan masuk.

8.45 pagi: Kelihatan Adun Ngeh dan Thomas Su berada di luar bangunan. Wartawan mula kerumuni mereka untuk mendapatkan maklumat.

8.30 pagi:Bilangan anggota polis dikatakan lebih 400 orang kini.

8.20 pagi: Pagar kawat berduri makin banyak dipasang. Antaranya bangunan ibu pejabat DAP juga kelihatan dikawal ketat. Orang ramai (awam) dihalang daripada masuk kawasan sekitar.

7.55 pagi: Semakin banyak kenderaan polis kelihatan. Trak FRU mula kelihatan. Trak meriam air juga kelihatan di sekitar bangunan SUK.

7.52 pagi: Keseluruhan kawasan SUK dikawal dengan ketat. Lebih 40 anggota keselamatan berkawal di hadapan SUK dengan memakai vest hijau dan diapit 2 buah trak merah dan beberapa kenderaan serta van polis. Kumpulan wartawan berada di hadapan hadangan berkawat berduri.

7.15 pagi: 6 buah kenderaan polis termasuk 'Black Maria' digunakan sebagai perisai di hadapan pagar dan pusat 'check point'. Anggota polis berpakaian biasa (SB) kelihatan mula penuhi kawasan sekitar. Keadaan mula sibuk.

7.00 pagi: Lingkaran dawai berkawat telah dipasang di sekeliling Bangunan SUK Perak.

_harakahdaily.net

PAS sedang membina Lekok Ketiga organisasinya

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 28 Okt: PAS disifatkan sedang mengalami konflik dalaman yang bakal melahirkan 'Lekok Ketiga' dalam sejarah perjuangannya.

Dr Mujahid Yusof Rawa, pengkaji organisasi PAS yang mendapat PhD dalam pengurusan organisasi melalui tesisnya mengenai PAS menulis, konflik yang sedang melanda PAS kini akan melonjakkan lagi PAS di masa depan.

"Mengikut 'Teori Lekok Pembelajaran' tiga titik bermulanya lekok teori, pertama ialah titik bermula, kedua ialah titik mendaki dan ketiga ialah titik kemuncak. Setelah kemuncak ia akan menurun. Dalam organisasi keadaan yang sama boleh berlaku kerana itu adalah sunnah organisasi," tulisnya.

Mujahid menulis untuk sebuah akhbar politik iaitu Siasah berkata, PAS telah melalui dua lekok utama sebelum ini iaitu zaman awal PAS yang memucak di zaman Datuk Asri Haji Muda.

Ia kemudiannya jatuh dan naik semula dengan lekok kedua di bawah kepimpinan ulamak. Ia sedang memuncak dan dengan krisis yang ada ia bakal menurun dan proses pembentukan Lekok Ketiga sedang berjalan, katanya dalam tulisan itu.

Kepimpinan Ulamak jika diandaikan pendakiannya pada tahun 90an, umur lekok itu sekarang ialah 19 tahun.

Image"Apakah organisasi PAS memerlukan Lekok Baru untuk meneruskan persaingannya di pesada politik yang hari ini semakin merumitkan dan dicam dengan kepelbagaian?" tanya beliau.

"Apakah Lekok itu mula terbentuk hari ini dengan perkembangan mutakhir dalam organisasi parti PAS? Apakah andaian dari pengalaman organisasi PAS yang lampau memungkinkan lahirnya peluang dan ruang untuk PAS melonjak lebih jauh hasil dari konflik yang ada hari ini?" tulis beliau.

Dalam menghadapi situasi sebegini, organisasi boleh mengambil lima pendekatan iaitu sapu ke bawah permaidani masalah yang timbul, matikan dengan kuasa konflik itu, menyerah kalah atau uruskannya secara berstruktur.

Tulisan penuh Mujahid boleh dibaca dalam Siasah Jumaat ini._ harakahdaily

Pemuda PAS mahu terus terang dalam mesyuarat malam ini

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 28 Okt: Mesyuarat Dewan Pemuda PAS malam tadi mengambil keputusan agar semua pihak yang berbeza pendapat dalam PAS berterus terang dalam mesyuarat khas Jawatankuasa PAS Pusat malam ini.

Mereka meminta agar perbezaan pendapat mengenai halatuju PAS diselesaikan secara tuntas dalam mesyuarat khas itu agar ia tidak lagi berlarutan.

"Pemuda mahu semua yang kata nak bekerjasama dengan Umno jelaskan sikapnya, manakala yang dikatakan pro-Pakatan sehingga membelakangkan parti juga menerangkan sikap mereka.

"Dari situ kita minta semua mengambil pendirian bersama dalam menentukan halatuju parti," kata Kamaruzaman Mohamad, Setiausaha Pemuda PAS.

Mesyuarat yang dipengerusikan ketuanya, Nasruddin Hassan Tantawi itu juga mengambil pendirian agar Lembaga Disiplin PAS diaktifkan sepenuhnya dengan mengambil tindakan kepada mana-mana pihak sahaja yang didapati bersalah dalam menguruskan parti.

Perkara ini diberitahu Kamaruzaman Mohamad kepada Harakahdaily pagi ini.

Dewan Pemuda PAS telah mengadakan mesyuarat khas malam tadi di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut.

Mesyuarat itu diadakan bagi memutuskan pendirian Pemuda menjelang mesyuarat khas Jawatankuasa PAS Pusat malam ini.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengarahkan agar satu mesyuarat khas Jawatankuasa PAS Pusat diadakan malam ini ekoran tulisan Mursyidul Am, Tuan Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat dalam blognya.

Tulisan itu mencadangkan agar PAS mengadakan Mesyuarat Agung Luar Biasa untuk memilih semula pimpinannya ekoran rasa tidak puashati beliau terhadap pimpinan yang ada.

Nik Aziz telah mengesahkan beliau akan hadir ke mesyuarat khas yang akan diadakan malam ini mulai jam 8.30 malam di Pejabat Agung PAS. _harakahdaily.net

Nik Aziz tidak mahu gaji MB Kelantan tinggi

M Faqih

KOTA BHARU, 28 Okt: Kerajaan negeri bersetuju atas desakan Adun bagi menaikkan gaji mereka daripada RM3,600 kepada RM4,600 selepas mengambil kira kos kehidupan semakin meningkat sekarang.

Ini kerana di negeri-negeri lain kenaikan kadar elaun Adun sudah dilakukan sejak 2004 lagi iaitu selaras dengan pertambahan gaji anggota parlimen.

Selain Adun, anggota Exco juga menikmati kenaikan sebanyak RM700 berbanding sekarang sebanyak RM5,400.

Manakala Timbalan Menteri Besar mendapat kenaikan sebanyak RM2,200 berbanding RM6,600 sekarang dan Menteri Besar pula dinaikan sebanyak RM2,600 menjadikan RM12,800.

Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan, Datuk Husam Musa berkata, gaji baru Menteri Besar Kelantan masih rendah berbanding Menteri Besar Terengganu sebanyak RM14,175.

"Tuan Guru Nik Abdul Aziz mahu terus mengekalkan gaji Menteri Besar Kelantan lebih rendah berbanding dengan negeri-negeri lain,"katanya.

Tarikh kuatkuasa gaji baru itu bermula pada 1 April 2004.

Selain itu, kerajaan Kelantan juga mencetus idea baru apabila bersedia menerima wakil rakyat pembangkang sebagai timbalan Exco sekiranya ia tidak menyalahi peraturan.

Husam berkata, beliau sedia membincangkan cadangan melantik Adun pembangkang sebagai timbalan Exco sekiranya mendapat restu daripada Menteri Besar.

"Mungkin tiga daripada enam wakil rakyat pembangkang ada peluang menjadi timbalan Exco sekiranya perkara itu dibolehkan,"katanya ketika menggulung perbahasan Enakmen Saraan Adun (pindaan) 2009 pada persidangan Dun semalam.

Menurutnya, pelantikan timbalan kepada anggota Exco daripada Adun yang mempunyai kelayakan profesional dapat membantu kerajaan bagi merancang lebih banyak lagi program untuk manfaat rakyat.

"Ini satu keperluan dan bukan sekadar mengisi mereka ke jawatan yang baru. Mereka akan menerima elaun tetap bulanan sebanyak RM1,500 dan kuasa untuk menjalankan tugas.

"Mereka boleh melawat jabatan-jabatan kerajaan sebagai menggantikan Exco yang kesibukan dengan pelbagai tugasan lain," katanya.

Bagaimanapun Timbalan Exco tidak mempunyai kemudahan lain seperti kereta dan pejabat. Kelantan sekarang mempunyai 10 anggota Exco termasuk Timbalan Menteri Besar.

Sebelum ini kerajaan Kelantan mempunyai timbalan Exco, namun tidak mempunyai kuasa untuk menjalankan tugas.

Sebelum itu, Datuk Nozula Mat Diah (BN � Paloh) cuba mempertikaikan cadangan kerajaan negeri melantik timbalan Exco bagi membantu tugas-tugas anggota Exco.

Menurutnya, pelantikan itu bertujuan untuk memberi ruang lebih banyak lagi Adun di kalangan penyokong kerajaan mendapat elaun tambahan.

Abdul Fatah Harun (PAS � Bukit Tuku) pula mahu bukan seorang Adun yang dilantik sebagai timbalan kepada seorang anggota Exco bagi membolehkan tugas dilaksanakan dengan lebih berkesan. _ harakahdaily.net

Pemuda PAS desak Kosmo tarik artikel Peristiwa Memali

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 28 Okt: Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) mendesak supaya akhbar Kosmo menarik balik artikel yang disiarkan 26 Oktober lalu yang mengaitkan Peristiwa Memali dengan ajaran sesat.

Ketua Penerangannya, Mohamad Suhaimi Abdul Aziz dalam satu kenyataan turut menggesa akhbar berkenaan memohon maaf secara terbuka kepada PAS serta keluarga dan waris yang terlibat dalam peristiwa tersebut.

Pemuda juga tegasnya, akan mempertimbangkan tindakan undang-undang sekiranya Kosmo gagal berbuat demikian.

"Dewan Pemuda PAS menyanggah sekeras-kerasnya tulisan dalam Kosmo bertajuk 'Jangan Pandang Rendah Ajaran Sesat' yang mengaitkan Peristiwa Memali denagn ajaran sesat," katanya.

Pemuda PAS ujarnya, sangat kesal dengan artikel yang jelas berunsur fitnah melampau dan berniat jahat terhadap PAS dan perjuangan rakyat yang menolak Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Malah maklumat dalam artikel itu juga ujarnya, tidak tepat dan tersasar daripada fakta kejadian sebenar.

"Tulisan tersebut jelas bertujuan menghasut dan dengan niat menanam kebencian rakyat terhadap perjuangan PAS," katanya lagi.

Peristiwa Memali pada tahun 1985 mencatatkan sejarah hitam apabila kerajaan telah menggunakan kekerasan ketenteraan melampau terhadap rakyat yang tidak bersenjata.Mereka mempertahankan hak mereka untuk menentang penggunaan undang-undang zalim ISA.

Artikel berkenaan turut menghina Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah yang mencemar duli untuk menyiram air mawar di pusara para syuhada. Almarhum Tuan Guru Haji Omar Zuhdi Pondok Lanai Kedah telah mengeluarkan fatwa bahawa Al Marhum Ustaz Ibrahim Libya dan pengikutnya adalah syahid._ harakahdaily.net

Mahkamah Rayuan tolak usaha keluarkan keterangan deraan SPRM

Harakahdaily

PUTRAJAYA, 28 Okt: Mahkamah Rayuan hari ini menolak permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mengeluarkan keterangan Sivanesan Tanggavelu yang mendakwa beliau didera ketika disiasat SPRM.

Sivanesan memberikan keterangan itu dalam inkues kematian Teoh Beng Hock di mahkamah koroner Shah Alam.

Semasa keterangannya, Sivanesan berkata beliau didera oleh pegawai SPRM ketika disisat oleh pegawai SPRM itu di pejabat SPRM Selangor di Plaza Masalam.

Sivanesan memberitahu inkues, bahawa salah seorang pegawai SPRM yang menggunakan batang besi dibalut dengan kertas untuk memukul mangsa adalah Mohd Asraff Yunus, saksi ke-19 inkues kematian TBH.

Saksi misteri tersebut juga berkata, bahawa Mohd Asharff Yunus terlalu ganas dan brutal. Pegawai sprm ini memaksanya telanjang dan menendang dan menamparnya bertalu-talu.

SPRM dalam permohonannya agar keterangan ini dikeluarkan kerana ia tidak ada kaitan dengan perbicaraan kes Teoh Beng Hock.

Teoh, pembantu kepada seorang Exco kerajaan negeri Selangor, mati akibat terjatuh dari tingkat 14 bangunan Plaza Masalam yang menempatkan pejabat SPRM Selangor.

Seorang pakar patologi dari Thailand, Dr Pornthip dalam keterangannya berkata, tengkorak kepada Teoh retak bukan kerana jatuh tetapi akibat dari pukulan kuat ke atasnya.

Dia juga berkata, 80 peratus punca kematian Teoh adalah kerana dibunuh dan kebarangkalian dia membunuh diri hanya 20 peratus sahaja.

Ekoran keterangan itu, keluarga Teoh meminta agar bedahsiasat ke atas mayat Teoh dibuat sekali lagi dengan penyeliaan dari Dr Pornthip itu. _harakahdaily.net

APABILA BERMULA DENGAN HARAM............

Semuanya bermula dengan haram, akibatnya semua jadi haram belaka. UMNO BN rampas kuasa tidak melalui mandat rakyat. 3 Adun dicolek oleh mereka kemudian mengisytiharkan keluar parti, menjadi bebas dan menyokong BN. Pakatan Rakyat hilang majoriti di Dewan Undangan Negeri, Hj Nizar mengambil tindakan yang betul, beliau mengadap Tuanku mohon DUN dibubarkan supaya rakyat diberi mandat semula memilih kerajaan yang sah. Dalam masa yang sama Speaker dengan kuasanya dan berdasarkan surat perletakan jawatan ADUN yang ditandatangani oleh ketiga-tiga mereka memaklumkan kekosongan ketiga kerusi DUN tersebut kepada SPR, dan meminta SPR mengadakan pilihanraya.Pengisytiharan kosong kerusi tersebut tidak diendahkan oleh SPR.

Najib pula masuk mengadap selang 2 hari selepas Hj Nizar mengadap, memohon pada tuanku perkenankan lantikan MB yang baru dari BN tanpa terlebih dahulu ada usul undi tidak percaya kepada Hj Nizar di Dewan Undangan Negeri atau perletakan jawatan Hj Nizar sebagai MB atau pembubaran DUN.

Tuanku perintahkan Hj Nizar mengadap pada hari yang sama Najib mengadap. Tuanku minta MB Nizar letak jawatan, sebaliknya MB Nizar bertegas tidak akan meletakkan jawatan sebagai MB dan mohon DUN dibubarkan. Tuanku tidak mendengar nasihat MB Nizar supaya DUN dibubarkan sebaliknya minta Nizar letak jawatan. Pada hari itu dan seterusnya tidak berlaku perletakan jawatan secara rela hati oleh YB Dato' Seri Hj Nizar, tidak juga berlaku usul undi tidak percaya dikemukakan dalam dewan dan diterima dengan suara majoriti oleh anggota dewan.

Pada hari yang sama Najib mengisytiharkan pembentukan kerajaan haram BN dan melantik Zambry sebagai MB haram negeri Perak. Selang sehari kemudian, Zambry mengangkat sumpah sebagai MB haram negeri Perak.

Itulah rentetan ringkas bermulanya sejarah pembentukan dan perlantikan kerajaan BN yang haram, berikutan itu, semuanya jadi haram. Perlantikan Speaker juga haram, tata caranya bercanggah sama sekali dengan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak dan Perintah Tetap DUN Perak, akibatnya semua jadi haram. Persidangan yang dijalankan dengan Speaker haram juga jadi haram, pembentangan bajet juga haram kerana dibentangkan dan diluluskan cara haram. Jadi semunya haram belaka.

Hari ini, bajet dibentangkan dengan kelam kabut, diluluskan serta merta tanpa perbahasan. Sidang bajet sebelum ini dibentang dan dibahas paling kurang 2 hari, digulung dan dijawab oleh MB akhirnya diluluskan. Tetapi hari ini, sidang bajet dibentang dengan penuh kesangsian kemudian lulus begitu sahaja dan sidang ditangguhkan sehingga ke satu tarikh yang lain.

Dalam sidang 7 Mei yang lalu, Tuanku bertitah merasmikan sidang. Titah Tuanku juga tidak dibahas oleh Adun-adun, tidak ada usul menjunjung kasih di atas titah Tuanku, sidang ditanggunh tanpa disambung semula bagi membahaskannya sehinggalah sidang hari ini.

Itulah akibat bermula dengan haram, semua jadi haram. Dunia memerhatikan betapa jijiknya amalan dan permainan politik UMNO BN di Perak. Rakyat di Perak mahu DUN dibubarkan, buat pilihanraya semula, rakyat mahu mandat dikembalikan kepada mereka setelah mandat 2008 dirampas dengan cara yang tidak beradab oleh oleh UMNO BN.

Semua rakyat percaya, sekiranya DUN tidak dibubarkan, begitulah suasana politik negeri Perak. Ia menjadi tidak keruan, persidangan akan datang akan berulang kembali insiden yang sama. Ekonomi negeri tidak akan memberangsang, pelabur asing tidak berani melabur di Perak, rakyat tetap tidak puas hati._http://misabah.blogspot.com/