Sahabat Purnama

Isnin, 23 November 2009

Kelab Penyokong Pas Pahang sasar 8,000 ahli

KUANTAN – Kelab Penyokong Pas (KPP) Pahang menyasarkan bilangan ahli seramai 8,000 orang menjelang tahun depan, terutama sebelum Muktamar Pas berlangsung.

Setiausaha KPP Pahang, B Balendran berkata, setakat kini jumlah ahli kelab itu adalah kira-kira 4,800 orang dan dijangka bertambah apabila KPP Bahagian ditubuhkan di seluruh negeri.

Menurutnya, buat masa ini hanya KPP Cawangan sahaja ditubuhkan dan penyertaan orang ramai, terutama masyarakat India amat memberangsangkan.

“Kita yakin sebelum Muktamar Pas yang berlangsung tahun depan, sasaran kita untuk mencapai 8,000 ahli akan terlaksana kerana Pas semakin diterima baik masyarakat India di negeri ini,” katanya ketika dihubungi kelmarin.

Beliau berkata, Pengerusi KPP Pahang N Balasubramaniam kini sedang merangka strategi untuk ke setiap daerah bagi memberi penerangan mengenai peranan KPP dan perjuangan Pas.

Menurutnya, sebagai sayap baru Pas, KPP mempunyai tanggungjawab yang cukup besar bagi membuktikan kepada masyarakat umum bagaimana orang bukan Islam boleh diterima baik dalam sebuah parti yang memperjuangkan Islam.

“Kita yakin apa yang dilakukan kini adalah semata-mata untuk menyedarkan orang ramai bahawa segala tanggapan negatif terhadap Pas tidak benar sama sekali, terutama mengenai kedudukan orang bukan Islam dalam pemerintahan Islam,” katanya.

Katanya, beliau yakin dengan penerangan secara berterusan yang dilaksanakan Jawatankuasa KPP Pahang, mereka mampu menarik lebih ramai ahli lagi ke dalam kelab itu._sinarharian

Kecoh label ‘noda dan dosa’

ALOR SETAR - Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah semalam kecoh apabila beberapa wakil Barisan Nasional (BN) bangun mencelah dan menyatakan tidak puas hati terhadap kenyataan Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat, Siti Ashah Ghazali ketika sesi penggulungan.

ADUN Merbau Pulas itu mendakwa kumpulan penyalur bantuan banjir Kerajaan Negeri pimpinan Pas dihalau keluar dari pusat penempatan mangsa banjir di sebuah sekolah di kawasan DUN Anak Bukit, baru-baru ini.

“Kami datang membawa selimut, telekung dan makanan untuk diberi kepada mangsa banjir tetapi dihalau keluar dari kawasan sekolah itu yang merupakan pusat penempatan banjir,” katanya.

Sejurus dakwaan itu, Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah (BN-Bakar Bata) bangun mencelah meminta Siti Ashah mengemukakan bukti dengan memberi perincian kejadian.

Cadangan itu disokong Tajudin Abdullah (BN-Belantik), dan mendapat reaksi yang sama daripada Datuk Ir Nawawi Ahmad (BN-Kuah), Mohd Rawi Abdul Hamid (BN-Ayer Hangat) dan Azmi Che Hussein (BN-Bayu).

Serangan mulut yang bertubi-tubi membuatkan Sti Ashah tidak dapat meneruskan penggulungan buat seketika, sebelum diredakan dengan campur tangan Speaker, Datuk Dr Abdul Isa Ismail.

Dalam pada itu, kekecohan tercetus lagi apabila Datuk Dr Ku Abdul Rahman Ku Ismail (BN-Guar Chempedak) meminta Exco Belia dan Sukan, Kesenian, Warisan dan Kebudayaan, dan Penerangan, Dr Hamdan Mohamed Khalib menarik balik perkataan ‘noda dan dosa’ yang dilemparkan kepada pembangkang yang menerajui Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) sebelum ini, pada sesi penggulungan.

Dr Ku Abdul Rahman menyifatkan kenyataan itu terlalu keras dan meminta Dr Hamdan menjelaskan apa maksud perkataan itu.

“Tolong tarik balik tuduhan itu, apa sebenarnya maksud noda dan dosa itu,” katanya.

Dr Hamdan sebelum itu menuduh kepimpinan KFA yang terdahulu sebagai penuh ‘noda dan dosa’ kerana meninggalkan hutang lebih RM4.79 juta.

Membalas tuntutan Azmi, beliau menjelaskan apa yang dimaksudkan ialah bebanan hutang tertunggak KFA dengan menunjukkan beberapa helaian penyata kewangan KFA ketika pentadbiran BN sebelum ini.

“Kerajaan Negeri telah ambil inisiatif menjelaskan sebahagian hutang tertunggak itu yang melebihi RM4 juta, walaupun hutang itu bukannya daripada Kerajaan Negeri yang baru memerintah,” katanya.

Dewan turut diberitahu mengenai perancangan bagi memantapkan pasukan bola sepak Kedah termasuk pengurusan dan pentadbiran KFA.

“Antara langkah diambil untuk mantapkan semula pasukan bola sepak Kedah ialah melantik jurulatih baru, Ahmad Yusof untuk digandingkan dengan penolong jurulatih, Mohd Radhi Mat Din,” katanya.

Selain menjaga kebajikan pemain dengan memperuntukkan hampir RM300,000 untuk pengurusan pemain, program Kenari Kid akan diteruskan kerana berjaya mencungkil bakat pemain cilik.

Dr Hamdan turut membidas pembangkang supaya tidak mencampur adukkan politik dengan sukan, sekiranya mahu melihat pembangunan sukan di negeri ini terus berkembang._sinarharian

Jawi kenal pasti kawasan panas hotel satu jam

KUALA LUMPUR - Selepas tinjauan dan penyamaran di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur terhadap perkhidmatan hotel satu jam mendapati pelanggan tetap mereka adalah dari kalangan remaja belasan tahun sehinggalah orang dewasa untuk melepaskan nafsu, Sinar Harian kemudian menghubungi Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) bagi meminta pandangan berhubung isu berkenaan.

Pengarah Jawi, Datuk Che Mat Che Ali berkata, Jawi sering membuat operasi berterusan terutama di rumah kediaman dan di kawasan hotel-hotel yang dikenal pasti pada setiap malam berdasarkan maklumat orang ramai.

“Di Kuala Lumpur sahaja terdapat banyak hotel panas yang menyediakan perkhidmatan satu jam ini, antaranya di Setiawangsa dan Maluri.

“Majoriti remaja dan orang dewasa sering menjadikan tempat ini sebagai destinasi melepaskan nafsu berikutan harga sewa yang murah sehingga mencecah RM20 bagi satu jam,” katanya.

Katanya, Jawi akan terus menjalankan operasi berterusan bagi menguatkuasakan undang-undang bagi mengurangkan gejala-gejala tidak bermoral di kalangan remaja masa kini.

Bagaimanapun, berdasarkan maklumat yang diberi orang awam, Jawi sering berhadapan dengan masalah ketika berurusan dengan pihak pengurusan hotel terutamanya hotel bertaraf lima bintang berikutan maklumat tidak tepat menyebabkan kegagalan membuat tangkapan.

Namun begitu, bagi hotel-hotel seperti rumah tumpangan dan hotel bajet tidak menjadi masalah kerana mereka sering memberi kerjasama penuh.

Che Ali berkata, pasangan yang ditangkap akan ditahan dibawa Seksyen 27 Enakmen kesalahan Jenayah Syariah 1997 dan sekiranya disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjarakan selama dalam tempoh tidak lebih daripada dua tahun atau kedua-duanya sekali.

- Dapatkan berita penuh dalam ruangan "BONGKAR" di Sinar Harian hari ini._sinarharian

Nik Aziz setuju nasihat Ariffahmi letak jawatan

Salmah Mat Hussin   
KOTA BHARU, 23 Nov: Menteri Besar Kelantan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz bersetuju untuk menasihati Ir. Abdul Ariffahmi Ab. Rahman melepaskan jawatannya sebagai Ketua Pegawai Ekselutif (CEO) Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK).

Persetujuan itu diumum Nik Aziz pada satu sidang media selepas pertemuan dengan pimpinan PAS di kediaman Menteri Besar, JKR 10 pagi ini.

Pertemuan tersebut disertai Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Timbalan Mursyidul Am, Datuk Haron Din, Naib Presiden Salahudin Ayub dan Bendahari Dr. Hatta Ramli.

Mereka telah mengemukakan cadangan kepada Nik Aziz agar menasihatkan Ariffahmi melepaskan jawatan.

Menurut Nik Aziz, keputusan itu dibuat bagi menjaga nama baik pimpinan islam khasnya pas sendiri sekaligus menyelesaikan kemelut politik yang sedang berlaku di negeri itu.

"Semua (yang hadir) menasihati saya supaya menjaga nama baik pimpinan Islam khasnya PAS sendiri untuk menasihat menantu saya supaya mengundur diri dari Perbadanan Menteri Besar (PKMB),"

"Fitnah yang dilempar blogger , surat-surat layang, saya pun terima banyak, untuk jaga nama baik pimpinan Islam, maka saya dengan segala senang hati untuk jaga (elak) fitnah," katanya.

Beliau dalam pada itu memberitahu akan meminta Ariffahmi yang juga menantunya berbuat demikian.

Bagaimanapun, terserah kepada Ariffahmi bila dia mahu meletakkan jawatan tersebut.

"Tarikh tu terserah kepada dia," katanya lagi.

Nasihat peletakan jawatan itu juga tegasnya adalah disebabkan oleh fitnah dan kecaman yang terlalu banyak diterima Ariffahmi.

"Masalah sekarang ini menantu saya tu terlalu banyak kecaman dilempar kepadanya oleh orang yang tak bertanggungjawab,"

Dalam pada itu, Ariffahmi yang turut hadir pada sidang media tersebut menerima keputusan tersebut dengan hati yang terbuka memandangkan ianya dilakukan untuk menjaga nama baik banyak pihak.

"Saya dapat terima keputusan  dengan hati yang lapang, dan sedar keputusan dibuat untuk jaga nama baik kepimpinan dan jaga nama baik PAS, dan juga nama baik kerajan negeri Kelantan," katanya.

Beliau turut berterima kasih kepada Nik Aziz yang memberikan kepercayaan penuh kepada kepadanya sepanjang berada di PMBK.

"Saya juga berterima kasih kepada tuan guru kerana beri kepercayaan kepada saya untuk berada di PMBK selama 8 tahun, dan jawatan terakhir saya sebagai CEO semenjak Syawal, dan saya amat hargai kepercayaannya," katanya.
____
Transkrip penuh sidang media Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz
Bismillahirrahmanirrahim

Hari ini saya sudah didatangani oleh pemimpin pusat yang mengandungi Presiden Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Timbalan Mursyidul Am,  Datuk Dr. Harun Din, dan juga wakil parlimen daripada Kubang Kerian dan Kuala Krai.

Semuanya menasihati saya supaya menjaga nama baik pimpinan Islam khasnya PAS sendiri untuk menasihati menantu saya supaya mengundur diri dari Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK).

Sewaktu saya lantik dulu saya lantik dia dalam mesyuarat penuh, dalam mesyuarat itu ada LA, ada penasihat undang-undang, dan beliau tak ada komen apa, tapi oleh kerana fitnah melalui macam-macam surat layang dan sebagainya, maka saya dinasihati supaya elak diri dari fitnah ini berkembang. Itu sahajalah.

Jadi menantu tok guru sekarang ini akan letak jawatan?
Ya

Bila nak letak tu?
Tarikh itu terserah kepada dia.

Tapi tadi tok guru kata apa yang brelaku fitnah dan bukan kebenaran, jadi kenapa pula disuruh letak jawatan?
Saya lantik menantu saya ini, saya sebut dia menantu, tapi fitnah yang dilempar blogger , surat-surat layang, saya pun terima banyak, untuk jaga nama baik pimpinan Islam, maka saya dengan segala senang hati untuk jaga  (elak) fitnah.

Nabi kita pernah sebut kerpada Siti Aisyah, bahawa nabi bercadang nak roboh kaabah yang ada sekarang, nak bina balik supaya sama dengan kaabah zaman nabi Ibrahim, tapi tak jadi nak buat bimbang takut orang Arab yang baru masuk Islam, bawa fitnah dan sebagainya,

Orang lain, blogger nak tuduh itu dia punya pasal la, dia tanggung dosa menyusahkan orang.

Adakah tok guru lepas ini akan rombak juga pengurusan PMBK?
Itu masalah kedua.Masalah sekarang ini menantu saya itu terlalu banyak kecaman dilempar kepadanya oleh orang yang tak bertanggungjawab.

Jadi ini tak ada kena mengena dengan siasatan SPRM?

Siasatan SPRM tu siasatlah. Itu kerja dia. Tapi fitnah itu yang jadi (punca suruh letak jawatan). Nabi kata fitnah ini benda tidur,sesiapa yang gerak dia akan dilaknat Allah, itu pemfitnah punya fasal. tapi (letak jawatan) ini nak jaga kepimpinan parti Islam Semalaysia.

Yang mana satu tuduhan, tulisan itu fitnah?
Terlalu banyak, saya pun terima terlalu banyak surat layang, surat layang tak ada tandatangan, zaman sekarang orang baca dalam internet seluruh dunia.

Masa pelantikan (Arif) tok guru dapat pandangan dari semua pihak ya?
Saya sudah sebut dalam mesyuarat,dan mesyuarat senyap, termasuk YB LA sendiri.

Adakah dalam keadaan sekarang pimpinan PAS Kelantan tak beri sokongan pada tok guru, sebab tak ada pun yang beri kenyataan , bahawa sudah dibincang dalam mesyuarat, bahawa pelantikan (Arif) sudah dapat restu semua pimpinan?
Itu tak payah. Saya tak perlu kenyataan (sokongan) terbuka begitu. Tapi oleh kerana fitnah yang dibuat oleh blogger semua sekali yang semua orang boleh baca.Dan nama baik kepimpinan Islam akan menjadi cacat. (setakat itu sahajalah)


Transkrip penuh sidang media Abdul Ariffahmi

Macam mana pendirian saudara Arif? (gambar)
Pertama sekali saya ingin nyatakan saya dapat terima keputusan dengan hati yang lapang, dan sedar keputusan dibuat untuk hjaga nama baik kepimpinan dan jaga nama baik Parti Islam Semalaysia, dan juga nama baik kerajaan negeri Kelantan.

Saya juga berterima kasih kepada tuan guru kerana beri kepercayaan kepada saya untuk berada di PMBK selama 8 tahun, dan jawatan terakhir saya sebagai CEO semenjak Syawal, dan saya amat hargai kepercayaannya.

Saya juga pohon sokongan dan dokongan dari semua pimpinan PAS samaada di negeri kelantan, atau di pihak PAS pusat untuk sama-sama berusaha hapuskan tuduhan-tuduhan yang saya sifatkan sebagai fitnah dalam blog tertentu dan saya yakin saya tidak bersalah.

Penerimaan keputusan ini atas sifat jaga jemaah Pas sendiri, dan jaga kerajaan negeri dan jaga nama baik tok guru.

Bila saudara akan lepas jawatan?
Saya akan tengok rekod cuti saya, berapa hari ada, lepas itu saya akan kira, saya akan buat keputusan bila tarikh yang sesuai untuk saya lepaskan jawatan.

Dalam hal ini adakah saudara dinasihat lepas jawatan atau saudara tawar diri untuk lepas jawatan?
Saya hanya menerima arahan, saya seperti biasa saya sentiasa patuh kepada pimpinan, terutama arahan ini, gesaan ini keluar dari mulut tok guru sendiri. Saya sentiasa setia dan patuh pada dia, dan saya terima dengan hati terbuka.

Kenapa saudara tak letak serta merta, bukankah itu lebih baik?
Sebelum ini saya ada merujuk kepada dia, atas desakan yang dibuat ke atas saya, tapi pada masa itu dia minta saya tidak letak jawatan, dan atas asas itu saya teruskan tugas saya sebagai CEO kerana itu arahan dari beliau sendiri untuk teruskan.

Tadi saudara sebut semua fitnah yang dilempar ke atas saudara dalam PMBK dan sebelum ini adalah fitnah, kalau itu fitnah adakah akan ambil sebarang tindakan undang-undang?
Sebenranya beberapa orang peguam sedang kaji semua tuduhan dan saya sedang teliti dan akan dengar nasihat para peguam dan lihat secara teliti, dan pada masa sesuai nanti kita akan lakukan apa yang patut.

Saya nak ulang lagi, apa yang dtulis dalam blog tertentu sebelum ini yang menyatakan saya telah diminta meletak jawatan dan rentetan itu arahan telah dikeluarkan, saya tak terima arahan itu, dan saya telah pergi ke KL merajuk, itu tak betul, saya hanya terima arahan pada hari ini sahaja, dan saya boleh terima keputusan ini dengan dada yang lapang dan insya ALLAH saya akan sentiasa setia, dan sentiasa hormati tok guru sebagai bapa mertua saya dan pemimpin kita semua.

Apa rancangan masa depan?
Itu belum pikir lagi, mungkin berniaga._harakahdaily.net


Polis tarik balik permit ceramah Anwar kerana bantahan Pemuda Umno

KULAI,23 Nov: Ceramah Datuk Seri Anwar Ibrahim di Kulai malam tadi terpaksa dibatalkan selepas hanya 10 minit berucap berikutan tindakan polis menarik balik permit di saat akhir.

Punca permit ditarik adalah kerana bantahan dari kira-kira 30 pemuda Umno, kata Anwar dalam satu kenyataannya.

Hanya Tian Chua dan Dr Boo Cheng Hau sempat berceramah dalam majlis itu.

"Alasan yang diberikan OCPD ternyata tidak masuk akal. Apakah selepas ini jika rakyat beramai-ramai membantah sebarang majlis anjuran Umno maka ianya akan dibatalkan?" kata beliau dalam kenyataannya.

Bagi beliau, adalah tidak wajar polis mengikut telunjuk Umno dan akur kepada sebilangan ahli yang bersikap biadap.

Anwar sepatutnya memberikan ceramah bersama Datuk Chua Jui Meng malam tadi namun terpaksa menghentikan program itu di pertengahan majlis.

"Saya hanya berkesempatan menyampaikan amanat untuk sekitar 10 minit kepada hadirin sebelum mereka bersurai," katanya._harakahdaily.net

Jangan gantung kes Perak secara tidak bertali

IPOH, 23 Nov: PAS Perak mendesak supaya kes semakan keputusan SPR yang difailkan oleh Speaker Dun Perak, V Sivakumar yang digantung tidak bertali dan masih belum dibicarakan mestilah diputuskan segera.
Ketua Penerangan PAS Perak, Drs Khalil Idham Lim berkata, keputusan penghakiman kes Kota Seputeh oleh Mahkamah Tinggi perlu disemak oleh SPR yang sebelum ini menolak keputusan Speaker Dun perak.

Bagi beliau, SPR mestilah menyemak kembali keputusan silapnya dalam kes tiga Adun Perak itu dan memaklumkan kekosongan tiga kerusi tersebut secepat mungkin.

Bagi beliau, kes Kota Siputeh sama dengan kes tiga DUN di Perak itu dan SPR kena tarik keputusannya di Perak sebelum ini.

Khalil mengulas keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Putrajaya yang menolak permohonan SPR untuk menangguhkan pelaksanaan keputusannya sebelum ini yang memerintahkan agar pilihan raya kecil diadakan dalam masa 60 hari di Kota Seputeh.


"Sekarang nampak sungguh SPR sudah tersasar dari tugas sebenarnya dan betul-betul jadi barua Umno dan BN dengan berkerja kuat untuk mengelakkan berlaku kekosongan kerusi tersebut," kata Khali, Adun Titi Serong itu.


Khalil mempersoalkan, bukankah SPR kerjanya tidak lebih dari menguruskan soal berkaitan pilihanraya. Atau sejak bila SPR sudah jadi satu entiti yang boleh mempertikaikan apa saja surat dan dokumen termasuklah kesahan dari segi undang-undang yang tidak selayaknya dipertikaikan oleh badan itu," katanya.

Bgai beliau, SPR kerjanya hanyalah mengurus soal pilihanraya. Sesudah menerima apa-apa makluman dari mana-mana Speaker SPR hendaklah bermesyuarat.

"Biasanya bila kita mendengar SPR ingin bermesyuarat semuanya rasa berdebar dan menunggu-nunggu apakah SPR menerima surat atau dokumen sebagai bukti kerusi itu dikosongkan.

"Ini adalah sudah salah dari pandangan yang sebenarnya kepada apa yang sepatutunya dimesyuarat," katanya.

Yang lebih malang lagi, katanya, ternyata SPR sudah jadi barua dan diperkudakan dalam banyak hal termasuklah apa yang berlaku di Perak.

"Dengan tidak profesionalnya SPR kemelut di Perak telah jadi "gila khinzir' sekarang. Tidakkah seperti yang disebutkan oleh hakim pada hari ini sangat jelas bahawa SPR bertindak tidak wajar dalam Kes Kota Siputeh. Bagi saya termasuklah di Perak," katanya.

Hakim menegaskan bahawa SPR bertindak secara tidak wajar dan keputusan suruhanjaya itu bahawa Abu Hassan masih merupakan wakil rakyat bagi Kota Siputeh dan kerusi DUN itu tidak kosong, perlu dibatalkan, katanya.

Kata Hakim lagi pada hari ini, "Meskipun saya bersetuju bahawa SPR mempunyai kuasa untuk menentukan kekosongan berlaku secara kebetulan, namun saya tidak berpendapat SPR dapat mengatasi kuasa Speaker mengikut Perkara 51 Undang-undang Tubuh Negeri Kedah," katanya dalam penghakimannya.

"Ertinya kalau perkara ini di rujuk kepada kes Jelapang, Behrang, dan Changkat Jering jelas makluman Speaker Sivakumar mengenai perletakan jawatan, Hee, Osman, dan Jamaluddin mesti diterima oleh SPR sebagai makulmat dan SPR cuma bermesyuarat untuk menentukan bila tarikh penamaan calon, hari mengundi dan berbincang berbagi hal yang berkaitan dengan pengundian bagi 3 DUN tersebut," katanya.

Penghakiman pada hari ini juga baginya memberi jawapan bahawa SPR tidak ada hak untuk menafikan makluman Sivakumar di Perak dan satu laluan kepada pilihanraya di 3 DUN di Perak tersebut mesti disegerakan. _harakahdaily.net

Ganti Speaker: Dr Abdul Isa bukan sembrono

BASHIR ISHAK dan MOHD SHUBIHI MUHAMAD ZAIN   
ALOR SETAR, 23 Nov - Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah baru-baru ini dikejutkan dengan teguran daripada dua orang Adun Pembangkang yang mempersoalkan kewajaran Speaker DUN, Datuk Dr Abdul Isa Ismail membenarkan Yahya Abdullah (PAS-Jeneri) menggantikan tempatnya sementara beliau keluar menunaikan solat Asar.

Datuk Seri Mahdzir Khalid (BN-Pedu) dan Datuk Paduka Ahmad Bashah Md Hanipah (BN-Bakar Bata) bangun mempersoalkan perkara tersebut ketika Menteri Besar, Datuk Seri Ustaz Azizan Abdul Razak (PAS-Sala) sedang berucap menggulung perbahasan.

Semasa insiden tersebut berlaku, Timbalan Speaker, Ustaz Abdul Ghani Ahmad (PAS-Ayer Hitam) belum sampai ke dewan kerana mengalami kerosakan kenderaan dalam perjalanan pulang dari Pantai Timur.

Ustaz Azizan yang sedang berucap tergamam seketika menghadapi situasi ini dan memohon pandangan dari Penasihat Undang-undang Negeri.

Bagimanapun keadaan reda apabila Mohd Nasir Mustafa (PAS-Kubang Rotan) bangun memberikan penjelasan.

Menurutnya, perkara tersebut dibenarkan sepertimana yang termaktub dalam buku undang-undang perjalanan dewan.

"Perkara 3 dalam mukasurat 5 menyatakan Speaker boleh membenarkan mana-mana ahli dewan untuk menggantikan tempat beliau sementara," jelas beliau.

Mohd Nasir yang dihubungi kemudian menjelaskan bahawa Dr Abdul Isa selaku Spekaer merupakan seorang yang teliti dalam membuat sesuatu tindakan.

"Beliau bukanlah seorang yang semberono apabila bertindak. Apa yang dibuatnya teliti mengikut peraturan yang ada. Ini sekaligus menidakkan dakwaan sesetengah bahawa dia bertindak zalim khususnya dalam membuat keputusan berkaitan kerusi Dun Kota Siputeh," katanya -harakahdaily.net

Nasharuddin dikejar ke IJN

Timbalan presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa dikejar dengan ambulans ke Institut Jantung Negara (IJN) selepas mengadukan sakit dada.

Nasharuddin yang menghadiri sidang Parlimen pagi ini, sebelum ini dibawa ke klinik di situ.

Bagaimanapun, selepas melalui ujian electrocardiaogram (ECG), doktor tidak dapat mengenal pasti punca sakit dadanya.

Nasharuddin yang juga ahli parlimen Bachok, kemudiannya dirujuk ke IJN.

[Berita lanjut menyusul]

SPR gagal tangguh perintah kosongkan Kota Siputeh

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) gagal mendapat perintah untuk menangguhkan keputusan mengisytiharkan kerusi DUN Kota Siputeh di Kedah sebagai kosong.

Mahkamah Tinggi (Rayuan dan Kuasa-kuasa Khas) hari ini menolak permohonan SPR bagi mendapatkan perintah penangguhan itu tetapi suruhanjaya itu telah merujuk perkara berkenaan kepada Mahkamah Rayuan dengan mengemukakan satu lagi permohonan untuk perintah penangguhan.

Jika ia tidak mendapat perintah itu, SPR perlu mengeluarkan writ menjelang Rabu ini bagi mengadakan satu pilihan raya kecil di situ.

Hakim Alizatul Khair Osman Khairuddin berkata beliau bersetuju dengan Sulaiman Abdullah, peguam utama bagi Speaker DUN Kedah, Datuk Dr Abdul Isa Ismail, bahawa SPR gagal meyakinkan mahkamah berhubung isu keadaan luar biasa bagi mewajarkan permohonan itu dibenarkan.

Katanya, alasan mengenai implikasi kewangan yang dinyatakan oleh peguam kanan persekutuan Datuk Kamaruddin Md Said, yang mewakili SPR, tidak boleh ditakrif sebagai satu keadaan luar biasa.

"Mengikut undang-undang, menguruskan pilihan raya merupakan tanggungjawab biasa SPR dan suruhanjaya ini tidak merujuk mana-mana undang-undang kes untuk menyokong hujahnya," kata Alizatul.

Pada 17 Nov lepas, SPR mengemukakan permohonan itu setelah Alizatul membuat keputusan sehari sebelumnya bahawa kerusi berkenaan kosong kerana mendapati penyandangnya Datuk Abu Hassan Sharif daripada BN gagal menghadiri dua mesyuarat dewan itu berturut-turut tanpa mendapat cuti.

Mahkamah membuat keputusan itu ekoran tindakan Speaker DUN memfailkan semakan perundangan setelah SPR menerima sijil sakit Abu Hassan dan mengisytiharkan tidak berlaku kekosongan dan beliau masih mewakili kerusi itu.

Dalam penghakimannya hari ini, Alizatul berkata tanpa unsur keadaan luar biasa, mahkamah tidak dapat membenarkan permohonan penangguhan pelaksanaan keputusan itu.

Abu Hassan turut hadir pada prosiding hari ini. _BERNAMA _malaysiakini bm

MAINPP: Siti Hasnah seorang Islam

Surirumah S Banggarma atau nama Islamnya Siti Hasnah Vangarama Abdullah yang mendakwa status agamanya ditukar ketika kecil, adalah seorang Islam, kata Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Datuk Shabudin Yahaya.

Shabudin diminta mengulas kenyataan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) hari ini yang siasatannya mendapati Banggarma telah diislamkan bapanya sendiri sebelum dimasukkan ke Rumah Kanak-kanak Taman Bakti, Kepala Batas 20 tahun lalu.

Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, Shabudin berkata, kesimpulan siasatan JKM hari ini telah memudahkan dan memperjelaskan lagi kedudukan agama wanita itu.

Katanya, dokumen pengislaman Siti Hasnah (foto) - yang turut berada dalam simpanan MAINPP - menguatkan lagi hujah bahawa surirumah itu adalah seorang Islam.

"Soal dia mengamalkan ajaran Islam atau tidak, itu bukan isu. (Ukuran) Islam itu pada syahadahnya. Yang Islam pun kita tengok ramai yang tidak mengamalkan ajaran Islam," kata Shabudin yang juga ADUN Permatang Berangan.

Ditanya berhubung tindakan lanjut MAINPP, Shabudin berkata, lazimnya dalam kes seumpama itu, pihaknya akan menghantar kakitangan bagi memberikan kaunseling dan berdakwah kepada pihak terbabit.

"Ini macam kes Siti Fatimah Tan dulu, berpuluh-puluh kali kita pergi menemuninya. Kita ada kronologi itu. Kalau ada yang kata kita tidak peduli, itu tidak benar.

"(Dakwaan) itu hujah mereka yang sokong pihak yang hendak keluar Islam," jelasnya.

Pada Mei tahun lalu, Mahkamah Tinggi Syariah Pulau Pinang mengisytiharkan Siti Fatimah Tan Abdullah @ Tan Ean Huang, 39, sebagai bukan lagi seorang Islam.

Mahkamah Rayuan Syariah Pulau Pinang kemudiannya menolak rayuan Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP) bagi mengetepikan keputusan tersebut.

Sementara itu, mengenai status perkahwinan Siti Hasnah, Shabudin berkata, perkara itu perlu dirujuk kepada mahkamah syariah.

Bagaimanapun, tambahnya, status agama surirumah tersebut mestilah disahkan terlebih dahulu sebelum diputuskan pula status perkahwinannya.

"Terdapat dua keadaan, sama ada perkahwinan itu tidak sah atau suaminya diberikan peluang memeluk Islam. Hakim akan putuskan perkara ini,"katanya.

Katanya, keengganan wanita itu merujuk kepada mahkamah syariah boleh menyebabkan masalah pendaftaran perkahwinannya dan kelahiran anak-anaknya berpanjangan._malaysiakini bm

JKM: Siti Hasnah diislamkan bapanya sendiri

Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) hari ini menjelaskan bahawa S Banggarma, atau nama lainnya Siti Hasnah Vangarama Abdullah, telah menganut agama Islam sebelum dimasukkan ke sebuah rumah kebajikan kira-kira dua dekad lalu.

Oleh itu, ketua pengarah kebajikan masyarakat menjelaskan, dakwaan bahawa wanita itu diislamkan semasa berada di bawah jagaan JKM adalah "tidak benar".

Datuk Meme Zainal Rashid berkata, semua dokumen yang masih disimpan menunjukkan wanita itu telahpun menganut agama Islam sebelum memasuki institusi kebajikan tersebut.

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata, JKM telah menjalankan siasatan berhubung kenyataan surirumah tersebut yang mendakwa telah diislamkan semasa ditempatkan di rumah kebajikan di Kepala Batas kira-kira 20 tahun lalu.

Daripada rekod yang ditemui, katanya, Siti Hasnah telah diislamkan oleh bapanya sendiri, yang tidak dinamakan, bersama adik-beradiknya yang lain pada 30 November 1983, berdasarkan tarikh yang terdapat di dalam surat akuan pengislaman ibu dan bapanya di Pejabat Agama Islam Rompin, Pahang.

"Tetapi beliau ditempatkan di rumah kanak-kanak pada Mac 1990 melalui Perintah Mahkamah di bawah Akta Mahkamah Juvana 1947 bagi mendapat perlindungan setelah didapati merayau di pekan Sungai Petani tanpa arah tujuan," kata Meme.

Mengenai status agama wanita itu, tambahnya, ia kini dalam tindakan Majlis Agama Islam Pulau Pinang.
JKM mengeluarkan kenyataan tersebut ekoran siasatannya terhadap dakwaan Banggarma bahawa jabatan agama negeri telah menukar agamanya kepada Islam sewaktu masih kanak-kanak ketika ditempatkan di rumah kebajikan berkenaan.

Wanita itu mendakwa, dia menyedari mengenai perkara itu ketika hendak mendaftarkan perkahwinannya pada 2000.

Menurut surirumah itu, agamanya ditukar kepada Islam pada 1989, ketika dia baru berusia tujuh tahun._malaysiaknini bm

Menantu Nik Aziz letak jawatan

Menantu tokoh PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang dilanda kontroversi sejak dua minggu lepas meletakkan jawatannya sebagai ketua pegawai eksekutif Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK).
Abdul Ariffahmi Abd Rahman, yang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), menjadi fokus kontroversi apabila memecat Syed Azidi Syed Abdul Aziz, seorang pegawai kanan exco kerajaan negeri Datuk Husam Musa.

Beliau, yang juga seorang exco Pemuda PAS Kelantan, mengumumkan perkara tersebut dalam sidang media hari ini.

Surat rasmi peletakkan jawatan tersebut bagaimanapun belum diserahkan, katanya ringkas kepada Malaysiakini.

Ketika dihubungi sebentar tadi, beliau juga enggan mengulangi kenyataannya dalam sidang akhbar tersebut.

Sementara itu, menurut media rasmi PAS, Nik Abdul Aziz yang juga menteri besar ingin "menasihati" menantunya agar melepaskan jawatan tersebut.

Persetujuan itu dilaporkan diumumkan Nik Abdul Aziz pada satu sidang media selepas pertemuan dengan pemimpin kanan PAS di kediaman rasmi menteri besar 10 pagi tadi.

Pertemuan tersebut disertai Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Timbalan Mursyidul Am PAS Datuk Haron Din, Naib Presidennya Salahuddin Ayub dan Bendahari Agung Dr Hatta Ramli, laor Harakahdaily.net.

"Mereka telah mengemukakan cadangan kepada Nik Abdul Aziz agar menasihatkan Ariffahmi melepaskan jawatan," laporan akhbar web itu dipetik._malaysiakini bm

BERITA PAS MARANG

Yahaya Kesal JKKK Ambil Kesempatan

E-mail Print PDF
http://www.buletinonline.net/images/stories/berita14/yahyaredahbanjir1.jpg


MARANG – Ketika rakyat dalam kesusahan menghadapi gelombang kedua banjir di negeri ini, ada sesetengah Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) yang mengambil kesempatan.

Yang diPertua PAS Marang, Haji Yahaya Ali berkata, beliau dimaklumkan oleh penduduk beberapa buah kampong dalam daerah ini berkenaan perkara tersebut.

”Sepatutnya mereka (JKKK) membantu dengan ikhlas dan berkhidmat dengan dedikasi sebagai sebahagian dari kakitangan kerajaan negeri,
”namun mereka mengambil kesempatan atas kesusahan yang menimpa orang lain,”katanya ketika ditemui sewaktu melakukan ziarah dan mengagih-pantai bantuan kepada mangsa-mangsa banjir di Kampung Kubu, dalam DUN Pengakalan Berangan disini.

http://www.buletinonline.net/images/stories/berita14/yahyaredahbanjir2.jpgMenurutnya, sikap JKKK tersebut bertentang dengan slogan dan kehendak Menteri Besar Terengganu, Dato’ Ahmad Said yang mahu ‘merakyatkan pembangunan’ serta slogan ‘1Malaysia’, sebagaimana dipopularkan Perdana Menteri.

Beliau yang juga bekas Exco kerajaan negeri pimpinan PAS dari tahun 1999 – 2004, merasa malu dengan sikap JKKK yang tidak pernah berubah, sejak dahulu hingga sekarang.

”Sebelum PAS perintah pada tahun 1999, mereka (JKKK) menekan orang-orang kampong, apabila PAS menang, sesetengahnya pura-pura menyokong PAS,

”apabila mari (datang) wang ehsan, habis semua mengambil peluang memenuhkan poket masing-masing,”katanya dengan nada kesal.

Menurut beberapa penduduk yang sempat ditemui Buletinonline, beberapa JKKK aktif dalam memujuk dan mengugut mangsa-mangsa banjir supaya berpindah ke balai raya.

Ketua PAS Cawangan Kamg Kubu, Wan Zainun Wan Deris, 50, berkata tujuan mereka mereka memanggil ramai peduduk ke balai raya adalah untuk mendapat senarai nama.

”Dia (JKKK) nak ambil nama-nama, apabila ada banyak nama, dia akan ‘jual’ nama itu kepada pihak-pihak berkenaan dengan tujuan mengambil kesempatan mendapat ‘laba’,”katanya

Sebagai dalilnya, beliau mengambil contoh tindakan JKKK mengagihkan bantuan kepada mangsa-mangsa ribut dikampung itu baru-baru ini.

“Ada mangsa ribut baru-baru ini mengadu nama mereka diambil oleh pihak JKKK yang membuat bancian tetapi bantuan tidak diterimanya.

“bayangkan, 10 keping atap harga RM1,500 dan mereka (JKKK) akan dapat komesyen,” jelasnya.

Turut sama dalam program ziarah dan penyampaian bantuan kepada mangsa-mangsa banjir semalam adalah Haji Nordin Jalil, Pengerusi Lajnah Kebajikan PAS Marang dan Ustaz Abdullah Suhaimi, Pengarah MTD DUN Pengakalan Berangan.

Antara kampong yang mereka lawati selain Kampung Kubu adalah Kampung Tok Fakir dan kampung Bukit Jenjulong._buletinonline