Sahabat Purnama

Jumaat, 13 November 2009

Jais dakwa Asri 18 Nov, bukan hari ini

KUALA LUMPUR, 13 Nov: Bekas Mufti Perlis, Dr. Mohd Asri Zainal Abidin hanya akan didakwa 18 November ini dan bukannya hari ini seperti yang heboh diperkatakan sebelum ini.

Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) telah memperoleh tarikh itu dari Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur selepas menfailkan kertas pertuduhan terhadap Asri semalam.

Sehubungan itu, Jais akan mengenakaan dakwaan secara rasmi ke atas Asri yang ditahan 1 November lalu kerana menyampaikan kuliah agama tanpa tauliah.

Tarikh itu ditetapkan oleh Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur selepas Jais memfailkan kertas pertuduhan terhadap Asri pada pukul 11 pagi semalam.

Mohd Asri, ketika dihubungi Harakahdaily semalam, kecewa dengan sikap Jais kerana didakwa bertindak mendahulukan hebahan kepada media bahawa beliau akan di dakwa di mahkamah syariah hari ini sedangkan tiada sebarang surat pemakluman rasmi kepada beliau berhubung perkara itu.

Lebih mengecewakan apabila Jais hanya menfailkan kertas pertuduhan terhadap beliau baru semalam dan menghebahkan beliau akan didakwa hari ini tanpa menunggu penetapan tarikh sebenar oleh Mahkamah.

Beliau juga kesal dengan sikap Jais yang bertindak 'melangkaui' bidang kuasa dengan menjadi penghebah, penangkap, penguatkuasa, pendakwa dan penghukum dalam masa yang sama.

"Sikap dan tindakan melampau inilah yang menyebabkan orang hilang keyakinan terhadap kewibawaan pihak institusi agama seperti Jais yang sewenang-wenangnya menggunakan kuasa mereka," katanya ketika dihubungi semalam.

Beberapa portal berita Rabu lalu melaporkan Asri dijangka didakwa di Mahkamah Syariah Gombak Timur hari ini kerana memberi ceramah tanpa tauliah.

Bercakap kepada pemberita di Shah Alam, Penolong Pengarah Perhubungan Awam JAIS, Mohd Hidayat Abd Rani berkata kertas siasatan kes Dr Mohd Asri "hampir siap".

Menurutnya, pihak pendakwa kini sedang menyemak kertas siasatan tersebut sebelum mendakwa Dr Mohd Asri di mahkamah.

Mohd Hidayat berkata, JAIS akan juga mengemukakan permohonan kepada Mahkamah Syariah Gombak untuk memindahkan kes tersebut ke Mahkamah Syariah Shah Alam kerana ia dianggap kes 'berprofail tinggi'.

"Ia juga memudahkan kami menguruskan kes tersebut dari Shah Alam... selain itu, permohonan seumpama itu dibenarkan mengikut undang-undang," katanya.

Langkah terbaru Jais itu dijangka mencetuskan bantahan pelbagai pihak yang sebelum ini mengecam penangkapan bekas mufti Perlis itu ketika memberi ceramah di sebuah rumah di Taman Sri Ukay, Gombak pada 1 November lalu._harakahdaily