Sahabat Purnama

Isnin, 12 April 2010

Laluan Gua Musang, Kuala Krai dilabel ‘sakaratul maut’

GUA MUSANG – Laluan Gua Musang Kuala Krai menjadi laluan ‘sakaratul maut’ apabila dikesan antara penyumbang utama jumlah 6,200 hinga 6,300 kematian jalan raya dicatatkan di seluruh negara setiap tahun.

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Solah Mat Hassan berkata, tahun ini sahaja sebanyak 18 kematian dicatatkan.
 
Menurutnya, peningkatan kes menyebabkan JPJ mengambil inisiatif untuk melaksanakan Sistem Penguatkuasaan Automatik yang mana kawasan yang kerap berlaku kemalangan yang dikenali sebagai ‘black spot’ yang mana telah mengakibatkan dua kematian mengikut tahun 2006 akan dipasang dengan kamera.
 
“Kamera yang dipasang akan merakam plat kenderaan serta imej pemandu dan maklumat akan terus sampai ke ibu pejabat dan dalam tempoh dua hari, mereka yang melakukan kesalahan akan menerima surat saman.
 
“Sebanyak 11 kawasan telah dikenal pasti untuk dipasang dengan kamera antaranya di KM13.8, KM38, KM63, KM22.2 dan Gua Musang ke Kuala Krai ada lima kawasan yang mana terdapat satu kawasan di Felda Aring, Gua Musang Kuala Lipis terdapat empat kawasan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Satu Komuniti Satu JPJ di Dataran Kebudayaan Kesedar Tiga, semalam.

Menurutnya, selain pemasangan Sistem Penguatkuasaan Automatik, JPJ juga akan membuat rondaan 24 jam bagi mengenal pasti kesalahan lalu lintas yang dilakukan pengguna jalan raya.
 
“Laluan Gua Musang sentiasa sibuk yang mana hujung minggu bagi Kelantan adalah pada hari Jumaat dan bagi negeri di Pantai Barat hujung minggu mereka adalah pada Sabtu dan Ahad dan di sini kita dapat lihat walau pun cuti hujung minggu, tetapi ramai penduduk Kelantan yang menetap di Kuala Lumpur mengambil peluang untuk pulang dan begitu juga yang berada di Kelantan akan ke Kuala Lumpur.
 
“Keadaan ini menjadikan empat hari dalam tempoh satu minggu keadaan jalan di Gua Musang Kuala Krai menjadi sibuk , apatah lagi sekiranya tiba cuti umum,” katanya. _sinarharian

Pasangan kekasih dicekup

GUA MUSANG- Sepasang kekasih yang menjalinkan hubungan sulit selama hampir setahun menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) dicekup berkhalwat di sebuah hotel murah di bandar ini, malam kelmarin.
 
Pasangan itu dicekup berdua-duan dalam sebuah bilik sebaik diserbu Skuad Amru bersama Penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (JAHEAIK) diketuai Penolong Pegawai Penguat Kuasa Agama Jajahan, Husnie Adabi Abdul Kadir.

Serbuan kira-kira jam 11.20 malam itu selepas menerima aduan awam mengenai pasangan terbabit bermalam di sebuah hotel berkenaan dengan mengambil masa 10 minit sebelum membuka pintunya.
 
Pegawai Agama Jajahan, Anuar Hashim, berkata, sebelum serbuan, pihaknya membuat intipan terlebih dahulu bagi memastikan bilik hotel yang diserbu itu tidak tersalah bilik orang lain yang menginap di situ.

Menurutnya, selepas mendapat maklumat lengkap terus mengetuk pintu bilik hotel terbabit sebelum dibuka seorang lelaki yang sudah berpakaian lengkap dan melakukan pemeriksaan di dalamnya.
 
“Hasil pemeriksaan mendapati lelaki berusia 25 tahun sudah beristeri dan mempunyai anak dua itu tinggal di Kampung Kadok, Kota Bharu manakala gadis berusia 18 tahun anak Orang Asli di Kampung Kuala Betis.
 
“Pasangan itu mengakui sebelum ini tidak pernah mengenali antara satu sama lain dan cuba bermesra dengan menyewa sebuah bilik hotel murah untuk melepas asmaranya, dan gadis anak Orang Asli itu memang belum memeluk agama Islam dan kita hanya mengambil keterangan sebelum dibebaskan,” katanya.

Anuar berkata, lelaki terbabit ketika diberkas merayu untuk dilepaskan kerana takut rahsia cinta keduanya terbongkar kepada isteri tetapi dia tetap dibawa ke Ibu Pejabat Daerah (IPD) Gua Musang untuk buat laporan.
 
Menurutnya, selepas itu dia dibawa pula ke Pejabat Agama Jajahan untuk diambil keterangan lanjut sebelum dibebaskan dengan seorang penjamin sementara menunggu kesnya disebut di Mahkamah Rendah Syariah Gua Musang 18 Mei depan.

Lelaki terbabit akan didakwa di bawah Seksyen 9(1)(2), Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan yang jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM2,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya sekali. _sinarharian
 

Upacara telan air ludah ustaz?

Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) akan menyiasat pendedahan mantan mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang mendakwa terdapat seorang tokoh agama yang mengadakan ‘upacara’ orang ramai menelan air ludahnya untuk mendapatkan keberkatan.

Pegawai Perhubungan Awam, JAIS Nurhamizah Othman berkata ini adalah pertama kali pihaknya mendengar dakwaan tersebut.

“Kita hendak dapat maklumat lanjut daripada Dr Mohd Asri. Jabatan Akidah JAIS sebelum ini tidak ada (menerima) laporan mengenai upacara telan air ludah ini.

“Kalau beliau ada maklumat lanjut, sila tampil ke hadapan untuk memudahkan JAIS membuat siasatan sama benar ataupun tidak,” katanya mengulas pendedahan Dr Mohd Asri mengenai perkara itu dalam kolumnnya dalam Malaysiakini hari ini yang bertajuk ‘telan air ludah ustaz’.

Dalam kolumnya itu, pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM) tersebut mendakwa “upacara itu pula dibuat di masjid” dan tokoh agama berkenaan “ada tauliah dan berjawatan di negeri berkenaan.

“Pengikutnya atau hadiran yang menghadiri kuliah disuruh berbaris dalam masjid lalu ‘menikmati’ seorang sedikit air liur tokoh agama aliran tarekat itu yang di masukkan ke dalam mulut mereka. Beliau mendakwa inilah ajaran Ahlus Sunnah wal Jama’ah. Kononnya untuk mendapatkan keberkatan beliau!” tulis Dr Asri dalam kolumnya itu.

Mengulas lanjut, Nurhamizah menggesa orang ramai mengetahui mengenai perkara itu agar segera tampil memberi maklumat lanjut kepada JAIS, termasuk siapa tokoh agama terbabit dan di mana ucapacara itu berlangsung.

Nurhamizah berkata, pihaknya memerlukan maklumat tersebut, seperti nama masjid dan tempat upacara itu berlangsung akan memudahkan siasatan dijalankan.

Menurutnya lagi, susulan pendedahan Dr Mohd Asri itu, JAIS telah membuka fail dan telah memulakan siasatan berhubung perkara itu.

Sementara itu, Dr Mohd Asri ketika dihubungi Malaysiakini petang ini enggan mendedahkan tokoh agama yang didakwa mengadakan ‘upacara’ menelan air ludahnya’

Sebaliknya, mantan mufti Perlis itu berkata, beliau akan meminta orang ramai yang menghadiri upacara tersebut agar melaporkan kepada JAIS.

Ditanya sama ada beliau akan bekerjasama dengan JAIS, Dr Asri berkata: “Nanti dahulu, tengok perkembangan siasatan”._malaysiakini bm

Jumaat, 9 April 2010

Penemuan Penawar Demam Denggi

Oleh: Putra KB

Wabak denggi yang menyerang pelbagai tempat di negara ini merupakan suatu ancaman bermusim yang sehingga kini telah melibatkan berpuluh ribu orang mengalaminya dan tidak kurang juga yang menemui ajal akibat denggi berdarah. Statistik yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia menunjukkan peningkatan yang mendadak kes-kes denggi terutama selepas musim hujan.

Misalnya sepanjang tahun 2006, sebanyak 35,402 kes telah dilaporkan. Manakala jumlah kematian dalam tahun sebelumnya pula 107 kes. Dalam minggu ke 14 tahun 2008 ini setakat 5 April sahaja jumlah kes denggi dicatatkan sebanyak 756 dan terus meningkat dari semasa ke semasa. Wabak endemik yang berlaku sepanjang tahun ini kini seolah-olah sukar dielakkan oleh sesiapa sahaja terutama penduduk bandar dan menjadi ancaman melebihi virus selesema burung. Kementerian Kesihatan menjangkakan menjelang tahun 2010 sebanyak 48,000 kes akan dihadapi oleh penduduk negara ini.

Demam Denggi merupakan sejenis penyakit yang disebabkan oleh jangkitan virus Denggi (genus Flavivirus) yang disebar oleh nyamuk Aedes betina. Terdapat dua jenis denggi yang paling berat iaitu Demam Hemoragik Denggi (DHF) dan Sindrom Kejutan Denggi (DSS).Virus Denggi akan terpendam di dalam badan pesakit selama 3 - 14 hari (purata 4 hingga 6 hari) sebelum menunjukkan tanda-tanda. Pesakit mungkin akan mengalami demam mengejut diikuti dengan berbagai-bagai tanda dan gejala tidak khusus.

Denggi dan denggi berdarah merupakan penyakit febril akut (acute febrile), dijumpai di kawasan tropika, dengan taburan geografi serupa dengan malaria. Disebabkan oleh satu daripada empat virus serotype yang berkait rapat dari genus Flavivirus, famili Flaviviridae, setiap serotype cukup berbeza menjadikan tiadanya perlindungan bertindan (cross-protection) dan wabak denggi yang disebabkan oleh pelbagai serotype (hyperendemicity) boleh berlaku. Denggi disebarkan kepada manusia oleh nyamuk Aedes aegypti (hanya kadang-kala oleh Aedes albopictus).

Tanda dan gejala

Demam denggi bermula dengan demam mengejut, dengan sakit kepala teruk, sakit di belakang bebola mata, sakit sendi dan otot (myalgias dan arthralgias, sakit pinggang yang teruk menyebabkan ia juga digelar demam tulang-pecah - break-bone fever) dan gatal-gatal. Ciri-ciri keradangan demam denggi adalah bnintik-bintik merah terang, dan biasanya muncul di anggota bahagian bawah - pada sesetengah pesakit, ia merebak hampir kepada keseluruhan tubuh. Tanda pada kulit yang klasik ialah seluruh kulit tubuh bertukar kemerahan diselangi dengan tompok-tompok kulit warna yang normal (island of white in a sea of red). Kemungkinannya terdapat gastritis dengan gabungan sakit perut, mual, muntah atau cirit-cirit. Pesakit juga boleh mendapat radang hati, radang otak (lebih pada kanak-kanak) dan juga dalam kes luarbiasa radang otot jantung (cardiomyopathy).

Demam denggi klasik berlarutan selama enam hingga tujuh hari dengan demam kembali memuncak pada akhir demam (dikenali sebagai pola biphasic). Secara klinikal bilangan sel darah pembeku (platelet) akan turun sehingga hilang demam diikuti dengan kehilangan bendalir plasma darah dari salur darah ke dalam tisu perantara atau ruang ke tiga (third space loss di antara selaput paru-paru, ruang peritoneum dan sebagainya), kerana kapilari darah menjadi rapuh (capillary fragillity). Pada peringkat ini pesakit terdedah kepada renjatan dan risiko perdarahan.
Kes DHF juga menunjukkan demam tinggi, fenomena pendarahan, thrombocytopenia dan haemoconcentration. Sebahagian kecil kes membawa kepada sindrom kejutan denggi (dengue shock syndrome) atau DDS yang mempunyai kadar kematian yang tinggi.

Diagnosis

Diagnosis denggi kebiasaannya dibuat secara klinikal. Gambaran klasik adalah demam tanpa sumber jangkitan tempatan, bintik-bintik gatal dengan thrombocytopenia dan kemungkinan leukopenia.

Kajian serologi dan PCR (polymerase chain reaction) digunakan bagi mengesahkan diagnosa denggi sekiranya diperlukan secara klinikal.

Rawatan dan Pencegahan

Rawatan utama yang dilakukan oleh pihak hospital sekarang adalah terapi sokongan. Pesakit digalakkan untuk mengekalkan makan, terutamanya minum air. Sekiranya pesakit tidak mahu / mampu minum, tambahan melalui cecair intravena mungkin diperlukan untuk menghalang kekeringan dan hemoconcentration teruk. Pemindahan darah mungkin diperlukan sekiranya bilangan platelet turun dengan banyaknya.

Pada masa kini para saintis masih belum menemui vaksin untuk menentang demam denggi flavivirus. Cara mencegah denggi yang utama yang dilakukan oleh pelbagai pihak buat masa sekarang adalah dengan menghapuskan atau mengurangkan vektor nyamuk pembawa denggi. Langkah menghapuskan takungan air (seperti dalam bekas bunga) terbukti berkesan bagi mengawal penyakit bawaan nyamuk. Penggunaan kelambu dan juga semburan penghalau serangga juga boleh membantu tetapi semuanya ini tidak memberi banyak makna kepada mereka yang telah dijangkiti denggi.

KETAM – PENAWAR TUNTAS DEMAM DENGGI ?

Allah s.w.t tidak menurunkan sesuatu penyakit melainkan diturunkan juga ubatnya. Dan dalam sebuah hadis, Nabi s.a.w. ada menyebut bahawa setiap penyakit itu ada ubatnya kecuali mati. Berdasarkan hadis ini adalah jelas bahawa denggi juga mempunyai ubatnya, cuma belum ditemui oleh manusia di dalam bidang perubatan moden dewasa ini . Selama ini para saintis dunia perubatan moden masih gagal menemui ubat atau vaksin yang mujarab untuk menentang virus denggi. Ini menyebabkan ramai orang menjadi mangsa dan tidak kurang juga yang mati akibat serangan denggi. Salah satu sebabnya kerana kurangnya kesedaran mengenai gejala-gejala (simptoms) awal serangan denggi menyebabkan sesetengah orang lewat mendapatkan rawatan di hospital.

Namun, penemuan saya sejak hampir dua tahun yang lalu mengenai penawar melawan demam denggi sepatutnya membuka mata para saintis mahu pun penyelidik kita untuk membuat kajian mendalam mengenai khasiat ketam (crab) untuk dijadikan penawar melawan denggi. Malangnya surat-surat email yang saya hantar kepada beberapa orang profesor dan penyelidik di beberapa buah universiti tempatan agar dibuat kajian saintifik mengenai perkara penting ini tidak mendapat sebarang sambutan dan ianya amat mengecewakan. Malang juga kerana saya bukanlah seorang saintis yang dapat membuat kajian sewajarnya. Jika di negara barat, mungkin penemuan ini telah meledak dan manusia sejagat telah menikmati manafaatnya. Namun ianya tidak berlaku di negara ini.

Kajian ringkas saya mendapati ketam mengandungi sejenis protein yang tinggi, yang dapat membantu pembinaan semula platelet darah yang hilang akibat virus denggi. Ini kerana pesakit demam denggi akan mengalami sindrom penurunan platelet yang ketara dalam tempoh beberapa hari selepas dijangkiti virus tersebut dan dalam kes denggi berdarah, platelet mungkin akan jatuh ke tahap paling minima, yang akhirnya membawa maut kepada pesakit.

Pengambilan sup ketam akan menyebabkan platelet pesakit naik mendadak dan sekali gus menyembuhkan mereka dengan kadar yang sangat cepat. Keberkesanan rawatan menggunakan ketam sebagai terapi oral (dimasak sebagai sup semata-mata) amat menakjubkan kerana pesakit demam denggi yang meminum dan memakan (isi dan kuahnya) satu mangkuk besar sup ketam (500ml hingga 1 liter) akan mengalami peningkatan kadar platelet yang mendadak dalam masa relatif singkat, iaitu cuma antara 5 hingga 8 jam sahaja dan pesakit akan pulih 99.9 % dalam tempoh tersebut. Ketam yang terbaik untuk tujuan ini adalah ketam nipah yang cengkerangnya berwarna kehitaman dan oren di bahagian bawah perutnya. Walau bagaimanapun, lain-lain jenis ketam yang boleh dimakan juga berkhasiat untuk tujuan ini.

Malah proses pemulihannya amat pantas berbanding rawatan semasa yang diterima oleh pesakit di hospital kerana pesakit pasca demam tidak perlu lagi memakan multivite atau pun magnesium pill untuk recovery tenaga dan staminanya, juga tidak perlu mengambil masa 2-3 minggu untuk kembali bertenaga seperti sedia kala. Juga paling menarik apabila pesakit yang mengalami simptoms awal denggi tidak perlu untuk ke hospital sekiranya mereka mengambil sup ketam sebaik sahaja menyedari tanda-tanda diserang denggi.

Sehingga kini observasi saya mendapati tidak kurang daripada 20 orang kenalan yang telah diserang denggi telah sembuh sepenuhnya dalam masa 5 hingga 8 jam selepas memakan sup ketam. Malah pengalaman saya sendiri juga amat mengkagumkan di mana saya telah pulih 100% dalam masa 7 atau 8 jam sahaja ketika diserang gejala demam denggi pada Mei 2006 lalu.

Berdasarkan kadar kesembuhan ke atas pesakit demam denggi yang mengambil sup ketam adalah hampir 100%, maka saya berpendapat bahawa ianya bukanlah suatu “kebetulan” semata-mata tetapi merupakan sesuatu yang pasti bahawa ketam merupakan penawar yang paling mujarab untuk merawat denggi.

Oleh kerana saya bukanlah seorang saintis dan penemuan ini belum lagi dibuktikan secara saintifik dan klinikal, maka saya ingin mencabar agar saintis-saintis dan penyelidik kita di universiti-universiti tempatan mengorak langkah untuk membuat kajian makmal mengenai khasiat ketam ini. Jangan sampai orang lain dahulu yang membuat kajian mengenai penawar penting ini berbanding kita. Jika kajian nanti mendapati dakwaan saya ini tepat maka Malaysia merupakan negara pertama di dunia yang berjaya menemui vaksin mutlak melawan virus denggi dan bakal menjulang nama negara di peringkat antarabangsa.

Saya percaya penemuan ini bakal melakar suatu revolusi baru dalam bidang kajian penyakit berjangkit bawaan vektor di negara kita sementelah belum ada lagi saintis dunia yang berjaya menemui penawar demam denggi selama ini. Untuk itu suatu kajian saintifik perlu disegerakan bagi merealisasikan penemuan ini demi kemaslahahan umat manusia amnya dan rakyat negara kita khasnya. Manakala orang ramai nanti tidak lagi perlu fobia dengan wabak demam denggi yang begitu kerap menyerang negara kita terutama di bandar-bandar utama apabila penawarnya yang tuntas sebegini telah ditemui.

Tujuan saya mendedahkan perkara ini di internet adalah untuk menyebarluaskan perkara yang cukup penting ini demi maslahah manusia semua khasnya di Malaysia ini. Dan agar para penyelidik tempatan membuka mata dan keluar daripada kepompong stereotaip mereka yang cuma membuat kajian kepada perkara-perkara tertentu sahaja.

Diterbitkan oleh : Lajnah IT, DPP Kawasan Dungun, Terengganu