Sahabat Purnama

Ahad, 6 Disember 2009

Tidak Pernah Berlaku Sejak 40 Tahun Lalu

Chukai, KEMAMAN – Satu kejadian yang ‘agak aneh’, yang tidak pernah berlaku telah dialami oleh sebahagian besar penduduk di kampung Geliga, dekat sini sejak kelmarin.
http://buletinonline.net/images/stories/berita15/GELIGA%20NAIK%20AIR.jpgHujan lebat yang tidak berhenti-henti pada hari Jumaat lepas menyebabkan air bertakung dan meneggelamkan hampir keseluruhan kampung tersebut.

Seorang penduduk warga emas, Mat Min, 72, yang lebih dikenali sebagai Pok Mi berkata sejak beliau tinggal di situ belum pernah dilanda kejadian ‘banjir kilat’ seumpama itu.

”Sudah 40 tahun saya tinggal dikampung ini, tidak pernah air naik, tidak pernah banjir, baru ini lah terjadi begini,”katanya ketika di temui wartawan Buletinonline.

Pengarah Majlis Tindakan DUN Chukai, Hj Hanafiah Mat, menyifatkan banjir yang melanda kampung terbabit adalah sesuatu yang ‘serius’ yang perlu diambil perhatian oleh pihak berkuasa.

Menurutnya, sepanjang pengetahuan beliau, kampung Geliga adalah kawasan yang agak tinggi dan tidak mudah dinaiki air.

http://buletinonline.net/images/stories/berita15/Picture1.jpgBeliau yang ditemui selepas menyampaikan sumbangan kepada beberapa penduduk berkata, kejadian itu berlaku mungkin kerana tanah di kawasan tersebut tidak lagi dapat menyerap air hujan.

”Selepas hujan pada gelombang pertama dan kedua musim tengkujuh, hujan sangat lebat baru-baru ini, tanah kawasan tersebut mungkin tidak menyerap air lagi, menyebabkan air bertakung,”jelasnya.

Oleh itu, beliau menggesa pihak-pihak berkenaan termasuk Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) membuat kajian terperinci tentang kejadian itu dan mengambil tindakan perlu supaya ia tidak berulang.

”Saya mencadangkan supaya dibina longkang bawah tanah, yang tertutup namun dapat menyerap air hujan, sekiranya turun berlebihan,

”kita (kerajaan PAS) pernah membuat longkang bawah tanah dihadapan sebuah pusat beli belah ditengah-tengah Bandar Chukai, untuk mengelakkan banjir, hasilnya, banjir kilat tidak berulang,”ujar beliau yang juga bekas Ahli majlis Perbandaran Kemaman.

Beliau berkata, pihaknya sedia bekerjasama bagi menjayakan apa-apa cadangan kerajaan supaya para penduduk dapat menjalani kehidupan yang lebih selesa._buletinonline

‘Nyawa’ Umno bergantung kepada wang

MARANG, 6 Dis: Kekuatan Umno hanya bergantung kepada kebendaan dan wang ringgit untuk meraih sokongan rakyat, kata Timbalan Ketua Pemuda PAS Kawasan Marang, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi.
Katanya, pemimpin Umno menjadi susah hati sekiranya parti itu tidak mempunyai sumber kewangan.
 
“(Pemimpin) Umno, nyawa mereka hanya wang. Kalau tidak ada wang, mereka susah,” ujarnya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Bantuan Musim Tengkujuh di Kampung Gong Merawang, dekat sini, petang semalam.

Ini, katanya berbeza dengan perjuangan Islam yang dibawa oleh PAS yang menjadikan agama yang suci itu sebagai 'nyawa' dalam menegakkan kalimah Allah di atas muka bumi ini.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan para penerima bantuan supaya tidak menjadikan kebendaan sebagai keutamaan dalam kehidupan sebaliknya berbangga dengan nikmat Islam dan iman.
“Nikmat yang paling besar kurniaan Allah kepada kita ialah nikmat Islam dan iman,” ujarnya.
Justeru, tambahnya walaupun sumbangan yang diterima pada majlis itu tidak seberapa tetapi para penerima hendaklah menyedari bahawa PAS sentiasa prihatin terhadap masyarakat.

Beliau yang juga Ketua Pemuda MTD Ru Rendang mewakili bapanya selaku Ahli Parlimen Marang dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ru Rendang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang turut menyampaikan bantuan itu kepada penerima. (Gambar)

Sebanyak 101 keluarga menerima sumbangan pada majlis pertama kali anjuran PAS Cawangan Kampung Baru Ru Muda itu yang terdiri daripada golongan miskin, ibu tunggal dan mangsa banjir.
Menurut ketuanya, Haji Abdul Aziz Ngah, pihaknya sebelum ini sering mengadakan aktiviti kebajikan tahunan seperti penyampaian sumbangan hari raya, bantuan persekolahan dan mangsa yang ditimpa musibah.

Katanya, PAS cawangan menyedari masalah yang dihadapi oleh para penduduk yang terdiri daripada nelayan, penoreh getah dan bekerja sendiri yang tidak dapat melakukan aktiviti harian pada musim tengkujuh.

“Bagi meringankan bebanan hidup mereka, yang sudah tentu menyulitkan mereka mencari rezeki untuk menyara keluarga, maka kami berusaha memberikan sumbangan berupa barangan keperluan harian ini,” katanya.

Beliau juga mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada para penyumbang yang  sentiasa memberikan sokongan bagi menjayakan aktiviti kebajikan PAS cawangan kepada masyarakat setempat._harakahdaily.net

Nik Aziz: Umno dalam keadaan 'lemas'

Abdul Rahim Sabri

Ahli dan penyokong PAS yang penuh sesak membanjiri Dewan Ustaz Fadhil Noor, di Markas PAS di Taman Melewar malam tadi beramai-ramai menyatakan sokongan kepada Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk terus memimpin Kelantan.

Sebelum menteri besar itu menyampaikan ucapan, pengerusi majlis, Tarmizi Mat Jam meminta lebih 1,000 hadirin supaya bangun dan dewan tersebut bergema beberapa kali dengan laungan"Kita Sokong Tok Guru Nik Aziz" dan "Sokong Tok Guru" dan diiringi laungan takbir sebanyak tiga kali.


Tarmizi yang juga naib yang dipertua PAS Batu mengetuai acara tersebut pada kira-kira jam 11 malam sebelum Nik Aziz menyampaikan ucapan bersempena menyambut perayaaan jubli perak PAS kawasan tersebut.

Laungan itu berlangsung selama lima mini, yang turut disertai beberapa pemimpin PAS dan Pakatan Rakyat antaranya, ahli jawatankuasa PAS pusat, Mohamed Hanipa Maidin; yang dipertua PAS Batu, Ishak Surin; ahli parlimen Batu, Tian Chua; pengerusi Kelab Penyokong PAS India, Balasubramaniam serta bekas pemimpin PAS Hassan Shukri dan Subky Latif.

Tarmizi berkata, ia sebagai kesinambungan kepada sokongan rakyat Kelantan yang ditunjukkan kepada Nik Aziz Jumaat lalu.

Beliau berkata, pada mulanya pihaknya bercadang mengedarkan lilitan kepala kepada hadirin - seperti yang dilakukan oleh penyokong menteri besar di Kelantan, Jumaat lalu.

Bagaimanapun, jelasnya, hasrat tersebut tidak kesampaian ekoran kesuntukan masa untuk menyiapkan lilitan tersebut.

Nik Aziz yang juga pesuruhjaya Kelantan dilihat tersenyum dan gembira dan kemudiannya kelihatan bersemangat untuk menyampaikan ceramahnya.
Semangat berucap
Dalam ucapannya, beliau menyifatkan Umno kini berada dalam keadaan "lemas" dalam usaha mereka untuk merampas semula Kelantan dari PAS dan kerajaan negeri Pakatan Rakyat yang lain.


Katanya, walaupun menyedari mereka berada dalam keadaan begitu, Umno masih "meraung-raung" dengan pelbagai cara bagi mencapai cita-cita mereka mengambil semula negeri itu.

"Oleh kerana mereka dalam keadaan lemas, mereka meraung-raung bermacam-macam, termasuk tuduhan yang dilemparkan kepada saya.

"Dia (Umno) tengok saya berserban, tidak pandai memerintah negeri dan saya pakai jubah tak tahu apa-apa pun. Jadi tuduhan itu macam-macam. Dia tahu bahawa dia sedang lemas.

"MCA (sekarang) kacau bilau sedangkan MCA jadi tongkat (BN) sebelah kanan. MIC, jadi tongkat kiri, kini jadi kacau bilau. Oleh kerana tak tahu nak buat apa, mereka lempar tuduhan kepada saya," kata Nik Aziz.

Nik Aziz mengulas mengenai situasi politik terkini yang hadapinya termasuk demonstrasi yang dianjurkan oleh Umno minggu lalu yang mendesak beliau melepaskan jawatan berhubung isu doanya kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

'Umno lemas'

Dalam ceramahnya malam tadi itu, Nik Aziz berkata Umno kini berada dalam keadaan 'lemas' dengan memberikan beberapa situasi dalam politik parti itu, antaranya Umno Terengganu berpecah kepada dua kumpulan dan krisis di Perak di mana berlakunya usaha perebutan merampas kerusi speaker DUN.

Mursyidul am PAS itu juga mengumpamakan Umno sebagai seorang 'datuk yang cuba memujuk cucunya yang tidak mahu berhenti menangis setiap pagi'.


"Oleh kerana mahu cucunya senyap (dan) tidak menangis, dia kata, burung, burung, Nik Aziz, Nik Aziz," katanya, yang membuatkan kira-kira 1,000 hadirin ketawa dan memberi tepukan .

Menurut Nik Aziz, Umno juga berada dalam keadaan terdesak apabila mereka membuat rayuan menangguh pelaksanaan keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan bahawa kerusi DUN Kota Siputeh kosong.

"Kota Siputeh itu kawasan dia. (Ia) telah dikosongkan oleh speaker dan mahkamah bersetuju (bahawa) speaker ada kuasa penuh (untuk isytihar kerusi itu kosong).

"Speaker itu umpama pengadil dalam perlawanan bola sepak. Kalau (keputusan) pengadil boleh dibantah lagi, tak main bola lah, kita panggil berlaga betih lah," kata Nik Aziz yang mencuit hati para hadirin.

"Keputusan speaker kita nak tolak macam mana, dia raja. Dalam DUN dan parlimen, speaker adalah raja. Dalam padang bola pengadil jadi raja. Begitu logiknya," tambahnya.

Program BTN

Menurut pesuruhjaya PAS Kelantan itu, Umno juga kini berada dalam keadaan 'lemas' apabila terdapat pendedahan yang mendakwa program anjuran Biro Tatanegara (BTN) mempunyai unsur perkauman.

"Kerja dia bertahun-tahun, hilang sekelip mata kerana rahsia BTN ini bukan untuk menyelamatkan negara tapi nak kata orang Melayu (untuk orang) Melayu dan orang Cina (untuk orang) Cina," katanya.

Setakat ini, kerajaan Pakatan di Selangor dan Pulau Pinang mengarahkan pegawai dan kakitangannya supaya tidak menghadiri kursus anjuran biro tersebut.

Mengulas isu doanya supaya Allah membetulkan pandangan Najib yang juga presiden Umno berhubung isu royalti minyak kepada Kelantan, Nik Aziz berkata, adalah untuk menjadi tugas orang yang dizalimi berdoa kepada Allah agar mendapat haknya kembali.

"Buat apa perkara yang jahat atas muka dunia, musnahkan. Lepas tu marah. Habis nak cakap macam mana lagi, nak tolong orang jahat. Ya Allah tolong lah orang jahat, mana boleh.

"Beliau (Najib) nak beri (royalti) beri. Kalau tak beri, beliau berdepan dengan kemusnahan," katanya,

Bahkan, kata Nik Aziz, doa orang kafir yang dizalimi mustajab disisi Allah SWT._malaysiakini bm

Nik Aziz yakin Allah makbulkan doa rakyat yang dizalimi

Dzulfikar Mashoor   
GOMBAK, 6 Dis: Menteri Besarnya Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat semalam melahirkan rasa yakin bahawa Allah akan memakbulkan doa rakyat Kelantan yang dizalimi disebabkan kerajaan pusat enggan memberi wang royalti minyak pada kerajaan negeri.

"Kalau orang kafir (berdoa) pun, Allah janji akan makbulkan doanya kerana dizalimi, inikan pula orang Islam dan berjuang Islam di Kelantan," jelasnya dalam Himpunan Perpaduan Ummah 'PAS For All. Beliau yang juga Mursyidul Am PAS menegaskan bahawa beliau tidak kecewa jika ada pihak tertentu mengkritik saranannya bahawa rakyat Kelantan akan berdoa agar Najib dibinasakan.
Beliau juga melahirkan rasa tidak kisah dengan laporan negatif beberapa media massa, sebaliknya suka dengan beberapa kritikan tersebut.
"Hari-hari surat khabar (arus perdana) caci saya, saya sengeh (kerana) suka."
Baginya, berdoa sama ada memohon sesuatu hajat atau menolak sesuatu kezaliman merupakan sesuatu yang digalakkan oleh Rasulullah s.a.w.
"Bila kita ikut Nabi, jadikan doa sebagai senjata mukmin, maka ada orang yang marah."
Dalam ceramah selama 20 minit di Markaz Tarbiyyah Taman Melewar, Beliau turut melafazkan doa khusus kepada Najib.
"Ya Allah ya Tuhanku, tolong buka hati Perdana Menteri Malaysia (Datuk Seri Najib Tun Razak) supaya Perdana Menteri Malaysia perbetulkan fikirannya (lalu) beri (royalti minyak) petrol (milik) Kelantan)," doa Nik Aziz
"Minta perbetulkan pandangan Najib kalau dia berniat baik (dan) kalau berniat jahat (maka) musnahkannya."
"Kalau kamu (Najib) jahat, takkan nak suruh saya doa ya Allah, kau tolonglah orang yang jahat."
Sebelum pada itu, Kelab Penyokong PAS berbangsa India, Bala Subramaniam berpendapat bahawa Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak perlu melahirkan rasa terkejut dengan saranan doa Nik Aziz agar Najib dibinasakan disebabkan kezaliman Perdana Menteri itu.
Ujarnya lagi, sepatutnya Muhyiddin menasihatkan Najib agar segera bertaubat dari melakukan kezaliman.
Nada yang sama turut ditegaskan oleh Ahli Parlimen Batu, Tian Chua.
"Saya orang bukan Islam pun percaya bahawa Tuhan akan membantu rakyat yang dizalimi, kenapa Muhyiddin dan Najib tidak percaya doa Tok guru," ujarnya._harakahdaily.net 

K'jaan digesa ampun pekerja asing

Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) hari ini memohon kerajaan untuk mengisytiharkan pengampunan bagi membolehkan sejumlah 2.1 pekerja asing tanpa izin meninggalkan negara ini.

Naib Presidennya A. Balasubramaniam berkata langkah ini merupakan kaedah terbaik bagi mengurangkan bilangan pekerja asing di negara ini.

Beliau berkata program pengampunan terakhir pada 1 Julai 2004 hingga Februari 2005 amat berjaya dengan 230,000 pekerja tanpa izin pulang ke negara masing-masing secara sukarela.

Bercakap kepada Bernama, beliau berkata MTUC menerima ratusan permohonan daripada pekerja seumpamanya terutamanya mereka yang tempoh visa telah tamat dan berhasrat pulang ke negara asal mereka.

Menurut beliau, kos untuk mendapatkan dokumen berkenaan agak tinggi dan pekerja berkenaan tidak mampu.

Katanya pekerja perlu membayar sejumlah RM2,000 untuk mendapat dokumen berkenaan, meliputi denda RM300 kerana tinggal melebihi tempoh, RM600 untuk tiket penerbangan dan RM1,100 bagi pemprosesan permohonan menerusi agen-agen khusus.

Di bawah program pengampunan, pekerja tidak perlu membayar apa-apa kerana kos penghantaran balik akan ditanggung oleh kerajaan negara asal mereka.

Balasubramaniam berkata program pengampunan akan memberi manfaat kepada negara kerana ia dapat memberi peluang pekerjaan kepada warga tempatan, mengurangkan jumlah depoh tahanan, penempatan semula pegawai penguatkuasa, risiko lebih rendah penularan penyakit berjangkit dan membantu pekerja asing daripada dieksploitasi majikan tidak bertanggungjawab.

Selain itu, Malaysia juga memperoleh jalinan hubungan muhibbah persatuan pekerja di kedua-dua negara ini dan negara asal pekerja, katanya. - Bernama_malaysiakini bm