Sahabat Purnama

Sabtu, 14 November 2009

Kalau PAS Berlawanan Dengan Islam, Kita Akan Tentang PAS - Presiden PAS

MARANG - Jika dasar PAS yang selama ini memperjuangan Islam mengikut al-Quran, hadis, ijma’-ulama dan qias diubah, PAS juga akan ditentangnya.

Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menegaskan demikian dihadapan para wartawan pada satu sidang media selepas Majlis Hi-Tea bersempena pelancaran Program Bersama Intifadah Mempertahankan Baitul Maqdis, di Rusila dekat sini.

Katanya, kepatuhan dan kesetiaan ahli parti akan kekal selagi PAS tidak mengubah dasar dan tidak berlawanan dengan Islam.

“Kita (ahli) patuh kepada PAS selagi PAS tidak berlawanan dengan Islam. Jika parti PAS berlawanan dengan Islam pun, kita (ahli) lawan parti PAS ini.

“Kita (ahli) meletakkan Islam mengatasi segala-galanya. Selagi PAS ini tidak ubah dari segi perlembagaan parti al-Quran, hadis, ijma’-ulama dan qias yang tertinggi.

“Selama itulah kita (ahli) setia dengan perjuangan. Jika PAS telah ubah perlembagaan dia (parti) dari quran, hadis, ijma’-ulama dan qias, dengan PAS sekali kita (ahli) tolak,” tegasnya

Ketika menjawab soalan wartawan berkait isu ‘bai’ah talak tiga’, beliau menafikan ia menjadi amalan bahkan menegaskan itu bukan dasar dan prinsip PAS.

Namun begitu, beliau mengakui perbuatan bai’ah terhadap kesetiaan dengan perjuangan Islam dibenarkan dan menjadi sebahagian amalan Nabi-nabi dan Khalifah Islam.

“Dalam Islam dibenarkan berbai’ah dan Nabi SAW berbai’ah dengan sahabat-sahabat dia (Nabi SAW). Khalifah Islam berbai’ah dengan menteri-menteri dia. Bai’ah ini berlaku.

“Bai’ah kita dalam PAS iaitu taat setia dalam perjuangan parti (PAS). Selagi parti menegakkan Islam dan jika dia (pemimpin) khianat, dia akan dilaknat oleh Allah SWT dan dilaknat oleh Malaikat dan semua melakna mereka,” jelasnya.

Menurutnya, setiap orang yang menjadi bertanding sebagai calon PAS dalam pilihanraya akan berbai’ah dengan pemimpin parti, berjanji tidak akan mengkhianati parti dan perjuangan.

“Bai’ah ini samalah seperti akad jual-beli iaitu ada yang menyebut dan ada yang menerima.

“Tiap-tiap orang yang jadi calon (pilihan raya) dan yang jadi pimpinan PAS, dia mesti berbai’ah dengan pimpinan parti antara satu sama lain.

“Bai’ah ini ialah tidak khianat kepada perjuangan Islam. Kita tidak sebut PAS tetapi perjuangan Islam,” ujarnya.

Oleh itu, kata Ustaz Abdul Hadi menjelaskan isu bai’ah telah selesai dan ‘bai’ah talak tiga’ itu adalah sangat kecil berbanding dengan perjuangan menegakkan Islam yang lebih besar.

Namun demikian, katanya, sekiranya terdapat di kalangan ahli PAS yang melakukan perbuatan demikian, ia tidak dipanggil bai’ah dan tidak mendapat pahala dari Allah SWT.

Hadir sama pada majlis tersebut Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato’ Abu Bakar Chik dan Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi.

_buletinonline

Kedudukan Sebagai Presiden Tidak Terjejas

MARANG - Presiden PAS Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata kedudukan beliau sebagai pemimpin nombor satu PAS tidak terjejas walaupun ada pihak tertentu cuba menggambarkan sebaliknya.

Katanya sokongan terhadap beliau daripada anggota parti peringkat akar umbi dan barisan pimpinan PAS lain, termasuk daripada Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat, juga tetap utuh.

Mengakui mempunyai perbezaan pendapat dengan Nik Aziz, yang juga Menteri Besar Kelantan sebelum ini, Abdul Hadi menegaskan ia telahpun diselesaikan.

"Hubungan kami macam isi dengan kuku. Memang ada perbezaan pendapat tapi tetap bersatu, lebih-lebih lagi bila beliau (Nik Aziz) terima resolusi yang dibuat dalam seminar parti baru-baru ini," katanya kepada pemberita di sini semalam 13 November, sebagaimana dilapor Bernama.

Nik Abdul Aziz sebelum ini meminta parti itu mengadakan Muktamar Agung Khas bagi membolehkan perwakilan membuat keputusan mengenai kedudukan beberapa pemimpin PAS disifatkan sebagai bermasalah termasuk mereka yang pro-Umno.

Bagaimanapun parti itu memutuskan untuk mengadakan seminar politik pada 7 Nov lalu dan membincangkan masalah berbangkit.

Berhubung isu bai'ah, beliau menjelaskan bai'ah sumpah setia laknat yang diamalkan parti itu seperti didedahkan Setiausaha Agungnya Datuk Mustafa Ali hari ini, tidak menyalahi ajaran Islam.

"Bai'ah talak tiga tidak menjadi dasar atau konsep dalam PAS," katanya.

Bai’ah Sumpah Laknat Bukan Talak Tiga

Sementara itu, di Kuala Lumpur, PAS mengakui ia hanya mengamalkan bai'ah sumpah setia laknat bukannya amalan bai'ah talak tiga seperti yang dinyatakan oleh Anggota Parlimen Shah Alam, Khalid Samad, kata Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali.

Beliau berkata amalan yang dilakukan sejak sekian lama itu adalah bertepatan dengan dasar PAS yang memperjuangkan Islam di samping menunjukkan yang mereka sedia dilaknat sekiranya mengkhianati perjuangan Islam.

"PAS ada cara sendiri, kita guna tradisi dalam Islam. Bai'ah kita adalah ikrar setia dalam perjuangan. PAS buat benda ni sebelum pilihan raya lagi, sewaktu kita dipilih sebagai calon.

"Walaupun kita (Jawatankuasa PAS Pusat) tak setuju apa yang dilakukan oleh Khalid, tetapi kita hormati pendirian beliau. Mungkin itu pilihan dia untuk tunjukkan kesetiaan kepada parti," katanya pada sidang media berhubung isu bai'ah di ibu pejabat Pas di sini Jumaat.

Khalid baru-baru ini telah mendedahkan mengenai wujudnya amalan bai'ah dalam kalangan calon wakil rakyat parti itu yang dikehendaki melafazkan akan jatuh talak tiga kepada isteri masing-masing sekiranya keluar parti.

Mustafa berkata bai'ah anggota PAS menjelang pilihan raya umum lalu tidak melibatkan lafaz menceraikan isteri, sebaliknya merupakan "sumpah setia laknat" bagi mengelak daripada berlakunya lompat parti.

Katanya hanya terdapat dua anggota parti itu dari Selangor menggunakan lafaz bai'ah yang berbeza daripada amalan bai'ah biasa, dan seorang daripadanya adalah Khalid sendiri.

Menurut Mustafa, pimpinan tertinggi Pas berpendapat, bai'ah yang dilafazkan oleh Khalid tidak sepatutnya berlaku kerana ikrar seperti itu seperti merendah-rendahkan martabat kaum wanita.

Berikutan tindakannya itu, Mustafa berkata, Khalid telah diberikan peringatan lisan oleh parti.

Khalid dalam pendedahannya sebelum ini mengakui memasukkan lafaz cerai taklik dalam bai'ahnya bagi mengukuhkan pendiriannya supaya tidak mengkhianati parti.

Mustafa berkata, lafaz bai'ah Khalid dan seorang lagi anggota PAS di Selangor itu juga berbeza antara satu sama lain.

Mustafa bagaimanapun enggan menyatakan nama seorang lagi pemimpin yang dimaksudkan.

"Kita anggap ini hanyalah kes terpencil. Tak perlulah didedahkan nama individu itu, sama ada anggota parlimen atau anggota dewan undangan negeri. PAS harap isu ini tidak diperbesarkan," katanya.

_buletinonline

Mustafa sambut baik cadangan Nik Aziz jadi ketua Pakatan Rakyat

Zulkifli Sulong

KUALA LUMPUR, 13 Nov: Cadangan Bekas Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim agar Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menjadi ketua atau pengerusi Pakatan Rakyat pertama mendapat sokongan dari Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali.

Mustafa mengakui bahawa Nik Aziz adalah antara ikon penting yang mengikat parti-parti dalam Pakatan Rakyat dan jika cadangan Zaid itu boleh diterima oleh lain-lain pimpinan Pakatan, beliau menyokong cadangan itu.

"Bagaimanapun ia hendaklah mendapat sokongan dari semua pimpinan Pakatan terlebih dahulu," kata Mustafa kepada Harakahdaily.

Datuk Zaid dalam blognya mencadangkan agar Nik Abdul Aziz menjadi ketua atau pengerusi Pakatan Rakyat.

Dalam poll yang dibuat oleh NTV7 malam ini, siapa yang sepatutnya memimpin Pakatan, Nik Aziz mendapat 44%, Datuk Seri Anwar 43%, Lim Kit Siang 17% dan Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi 6%.

"Untuk menjayakan usaha ini, ia memerlukan “pengorbanan” dari (Datuk Seri) Anwar Ibrahim. (Datuk Seri Tuan Guru) Abdul Hadi Awang juga boleh membuat sumbangan besar dengan meminta Tok Guru Nik Aziz untuk menjadi Ketua atau Pengurusi kepada Pakatan Rakyat; sama seperti Mahatma Gandhi yang menjadi “spiritual leader” kepada parti Kongres India.

"Lim Kit Siang pula boleh membuktikan semangat “statesmanship” dengan bersetuju dengan cadangan ini serta menjadi penasihat dalam hal-hal demokrasi dan hak asasi. Sekali gus tindakan ini akan melenyapkan sebarang agenda “unity government” dengan UMNO," tulis Zaid dalam blognya.

Sebelum ini, Zaid bersama lima lagi pemimpin Pakatan iaitu dua dari setiap parti mendaftarkan secara rasmi Pakatan Rakyat sebagai sebuah parti politik dengan Pendaftar Pertubuhan (RoS).

Zaid telah dinamakan sebagai pengerusi protem itu.

"Satu wadah politik yang bernama Pakatan Rakyat Malaysia telah pun dikemukakan permohonan untuk kelulusan Pendaftar Pertubuhan 10 hari yang lalu.

"Saya amat gembira dengan perkembangan ini; maklumlah ini adalah julung kali tiga parti pembangkang terbesar di tanah air kita bersetuju untuk bersatu di bawah satu kerangka yang sah serta mempunyai lambang dan matlamat perjuangan politik yang satu," tulis Zaid dalam blognya.

Dalam tulisannya itu, Zaid juga mencadangkan agar Tengku Razaleigh Hamzah dilibatkan dengan Pakatan Rakyat.

Para pemimpin Pakatan sepatutnya berusaha lebih gigih dan bersungguh-sungguh supaya pemimpin politik seperti Tengku Razaleigh Hamzah masuk gelanggang bersama-sama dengan mereka, tulis Zaid.

Pasukan Pakatan tentu masih memerlukan beberapa orang ’striker’ lain dari yang ada sekarang untok memperkuatkan pasukan. Ku Li memang orang lama; tetapi ada integriti dan pandangan politik nya kontemporari, tulisnya.

Menurut Zaid, beliau tidak semestinya melompat parti kerana perjuangan untuk matlamat yang sama boleh diwujudkan melalui kerjasama yang lebih rapat.

Ini boleh dilakukan dengan mengadakan ceramah dan kempen bersama, katanya.

"Saya sedar Ku Li masih mempunyai impian untuk memulihkan UMNO, iaitu menghidupkan semula UMNO asal yang telah mati (dan kemudiannya menjadi alat untuk kroni-kroni parti dengan masalah politik wang dan rasuah). Bagi saya tidak ada salahnya kerjasama seperti itu kerana hasrat bersama kita ialah membuat pembaharuan ke arah sistem pemerintah yang bersih, cekap dan tidak rasuah," tulisnya lagi.

Dalam tulisannya, Zaid mempunyai pandangannya tersendiri dalam usaha Pakatan Rakyat untuk mengembangkan sayapnya di Sabah dan Sarawak.

"Realiti politik menunjukkan ia adalah usaha yang amat berat. Kesan buruknya sudah pun kelihatan sekarang apabila berlaku perebutan kerusi, sama seperti dalam pilihan raya umum 2008.

"Hakikat politik juga menunjukan bahawa adalah lebih baik jika Pakatan memainkan peranan dengan memberi sokongan padu kepada parti-parti tempatan yang sehaluan dengan Pakatan di Sabah dan Sarawak.

"Ini bukan sahaja langkah yang dilihat sebagai menghormati maruah dan kekuatan orang tempatan tetapi juga membawa kepada kesan yang lebih besar, iaitu membawa mereka bersama menjadi rakan kongsi dalam Pakatan. Bukankah ini lebih realistik?" tulis Zaid.

Yang penting, bagi beliau adalah untuk menjadi ikatan kuat dalam Pakatan ialah kesanggupan semua pihak untuk bersetuju tanpa berdolak-dalik untuk memastikan wujudnya dasar-dasar negara yang baik dan dipersetujui bersama melalui perbincangan sebagai landasan perjuangan.

"Hanya gabungan besar atau “grand coalition” seperti ini mampu mengatasi gergasi BN," katanya.

"Sebaliknya jika para pemimpin besar ketiga-tiga parti ini masih lagi merasakan mereka sudah cukup kuat dan hebat, dan memadai dengan meneruskan cara lama, iaitu melalui pakatan pilihan raya atau “electoral pact” semata-mata, saya yakin impian ke Putrajaya hanya akan kekal sebagai mimpi di siang hari," tulisnya lagi.

harakahdaily.net

Mampukah Jais tegas pertahan peraturan?

Subky Abdul Latif

Tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menahan Dr. Mohd Asri Zainul Abidin, bekas mufti Perlis kerana berceramah agama di wilayahnya tanpa tauliah mengundang kontrovesi malah dipersoal Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak.

Jais, seperti lain-lain penguasa Islam negeri, ada peraturannya sendiri yang diluluskan oleh kerajaan Barisan Nasional.

Tindakan Jais itu adalah kontrovesi kedua menarik perhatian perdana menteri yang berkuasa. Yang pertama semasa pemerintahan Dr Mahathir Mohamad, atas arahan mufti Selangoir ketika itu, Datuk Ishak Baharom bertindak menahan tiga wanita Muslim memperaga diri dalam peraduan ratu cantik di Selangor.

Ia mengundang campur tangan perdana menteri, lalu sultan Selangor menamatkan perkhidmatan Ishak yang kontraknya baru saja dibaharui.

Ada juga tindakan Jais yang menjolok mata tetapi tidak disensasikan sebelum Selangor diperintah Pakatan Rakyat seperti meroboh bangunan persendirian di Bangi yang dijadikan tempat pengajian dan ibadat. Kesnya tokoh agama yang bukan penyokong Umno seperti Datuk Dr. Haron Din diundang berkuliah.

Pernah juga surau membatalkan ceramah Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Tuan Guru Datuk Seri Abdul Hadi Awang atas arahan Jais.

Semuanya itu berlaku kerana Jais ada peraturannya sendiri dan ia cuba menguatkuasakan apa yang diperaturankan. Begitu juga dengan yang terbaharu, menahan Asri berceramah tanpa tauliah sekalipun ilmunya mungkin lebih tinggi dari mufti Selangor. Asri sudah dihadapkan ke mahkamah. Dakwaan belum disebutkan kecuali dia tidak ada tauliah.

Ulas perdana menteri, mengapa dia ditahan sedang ramai penceramah lain tidak ditahan? Mungkin Jais melihat ulasan perdana menteri itu seperti bantahan seorang kerana melanggar lampu isyarat jalan, mengapa dia saja ditahan sedang ramai lagi yang melanggar lampu isyarat tidak ditangkap? Polis dan hakim tidak melepaskan orang itu atas bantahannya itu.

Isu yang ditimbulkan selepas penangkapan Asri ialah apa pentingnya tauliah bagi orang sudah jelas ada kelulusannya? Lulusan Azhar dan lain-lain institusi pengajian tinggi Islam, pensyarah Islam universiti dan pernah jadi mufti, perlu tauliah lagi? Bahkan Asri yang pernah jadi mufti tentunya juga pernah menjadi ahli Majlis Fatwa Kebangsaan?

Logiknya tauliah itu dulu bagi menentukan tahap ilmu dan keupayaan guru-guru agama lepasan pondok. Tidak diketahui berapa lama mereka mengaji dan apa yang dipelajarinya? Mereka tidak memegang sijil. Dan bagi memastikan tiada guru ajaran sesat.

Ada pendapat mengatakan asalnya tauliah itu dikuatkuasakan oleh Mustafa Kamal Ataturk di Turki bagi menentukan yang mengajar hanya yang akur kepada ajaran duniawi Mustafa Kamal.

Memang kukuh hujah orang lulus Azhar seperti Haron Din dan Nik Aziz, apa perlunya tauliah.

Tetapi yang menyelubungi persekitaran Asri, bukan tentang tahap ilmunya, bahkan pertembungan dan pertempuran minda sesama penceramah agama sekarang.

Asri mewakili golongan ulama yang tidak terikat dengan mazhab sedang mazhab rasmi Malaysia kecuali Perlis ialah Mazhab Syafie.

Banyak kejadian di kuliah-kuliah maghrib di surau dan masjid guru-guru agama berbalas hujah tentang apa yang dikatakan bidaah oleh seorang tok guru, bukan bidaah oleh tok guru yang lain.

Wujud suasana panas tentang fahaman Wahabi dan bukan Wahabi. Isu qunut Subuh, tahlil dan talkin, membaca Yasin malam Jumaat menjadi pertikaian. Ia mengelirukan orang awam.

Ia mengembalikan suasana seperti hampir 100 tahun dulu pertempuran fahaman kaum tua dan kaum muda. Para ulama bertempur sesama sendiri. Di Indonesia ditegakkan gerakan Muhamadiah bagi mengembangkan fahaman kaum muda. Kemudian tumbuh pula Nahdatul Ulama yang asalnya mempertahankan mazhab Syafie.

Pertikaian kaum tua dan kaum muda reda. Tok Guru Nik Aziz hampir sepuluh tahun lalu, dalam seminar mengenai mazhab Imam Syafie di sebuah universiti di wilayah selatan Thailand ditanya oleh ulama setempat tentang rahsia kontrovesi kaum tua dan kaum muda itu dapat diselesaikan. Hingga masa itu isu itu masih panas di kalangan umat Muslim di sana.

Jawabnya, kami bersepakat menghadapi Umno yang tidak pedulikan Islam. Golongan yang saling bertentangan mahu menegakkan Islam. Yang tidak peduli hanya Umno. Maka masing-masing bersama dan bersatu dalam PAS menghadapi satu musuh iaitu Umno.

Al-Marhum Ustaz Datuk Fadzil Noor mengingatkan penyokong-penyokong PAS supaya jangan sama sekali membangkitkan isu-isu yang berlegar sekitar perbalahan antara kaum tua dan kaum muda dulu, kerana pertikaian seperti itu mengundang perpecahan sesama umat Islam.

Baginya kedua-dua pihak ada hujah yang kukuh tentang pegangan masing-masing. Jangan satu pihak menyalahkan pihak yang lain. Masyarakat merasa aman apabila ia terbendung sendiri. Tiada siapa untung jika ia dibangkitkan, bahkan ia menguntungkan musuh Islam.

Tetapi isu perbezaan fahaman ini berkembang panas dan mulai merata. Maka Jais yang diberi tanggungjawab menjaga kesejahteraan Islam dan umatnya di Selangor memulakan tindakannya terhadap Asri. Ia menghadapi teguran banyak pihak termasuk perdana menteri.

Dapatkah ia bertahan mempertahankan peraturannya?

_harakahdaily.net