Sahabat Purnama

Rabu, 23 Disember 2009

Selesaikan isu Ariffahmi segera



KUALA LUMPUR- Dewan Ulama Pas Negeri berpendirian isu perletakkan jawatan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK), Abdul Ariffahmi Abd Rahman perlu diselesaikan segera bagi mengelak ia menjadi satu bebanan kepada Kerajaan Negeri.

Ketuanya, Datuk Muhammad Daud Iraqi berkata, isu tersebut sebelum ini sudah diselesaikan dengan baik sebelum beberapa pihak yang menimbulkan kembali.

“Peletakan jawatan Ariffahmi yang berkuat kuasa tiga bulan sudah betul, itu prosedur biasa yang digunakan, tidak boleh bagi notis 24 jam, nanti banyak menimbulkan masalah pentadbiran, jadi tidak perlulah nak bangkitkan,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas cadangan pemuda Pas untuk mengadakan mesyuarat bagi membincangkan desakan supaya Ariffahmi meletak jawatan sebagai CEO PMBK.

Sebelum ini, Ketua Penerangan Pemuda Pas Negeri, Dr Rosli Ilani Abd Kader berkata, pihaknya akan membincangkan isu dengan lebih mendalam termasuk mengadakan undian dalam kalangkan ahli jawatankuasa untuk memutuskan cadangan desakan terhadap Ariffahmi.

Ia dilihat sebagai susulan dengan saranan yang dilakukan Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar yang mahukan Ariffahmi meletak jawatan bagi menyelesaikan krisis yang berbangkit.

Muhammad bagaimanapun percaya, isu yang kini menjadi bahan mainan media akan dapat diselesaikan dengan kaedah baik di masa hadapan.

Dalam pada itu Muhammad berkata, beliau bersetuju sekiranya anak tempatan diberi keutamaan dalam pemilihan calon untuk kerusi parlimen di pilihan raya umum ke-13 nanti.

“ Kita ibaratkan ia sebagai imam di masjid, sudah tentu imam tempatan mesti didahulukan, jika tidak ada baru orang luar diambil.

“ Bagaimanapun, perkara ini diputuskan oleh pimpinan pusat, jadi kita terima sahaja keputusan yang dibuat,” katanya.

Sebelum ini, Kelantan menjadi tumpuan kepada pimpinan Pas peringkat pusat untuk bertanding dalam pilihan raya bagi kerusi parlimen di negeri ini.

Antara pemimpin luar Pas yang bertanding dan memenangi kerusi tersebut , Timbalan Presiden Nasharuddin Mat Isa; Naib Presiden, Salahuddin Ayub dan Bendahari, Dr Hatta Ramli.
_sinarharian

Kes ibu, bayi mati: Hospital hadapi tindakan undang-undang

BUKIT MERTAJAM - Sebuah hospital swasta di negeri ini dijangka akan menghadapi tindakan undang-undang berikutan kejadian seorang wanita maut selain bayinya juga menemui ajal selepas bersalin di hospital berkenaan, Oktober lalu.

Suami wanita malang itu, Tan Tong Huang, 37, berkata, dia akan mengambil tindakan terhadap hospital berkenaan dan kakitangannya yang didakwa bersikap cuai sehingga menyebabkan isterinya, Tan Poh Suan, 34, meninggal dunia satu setengah jam selepas bersalin.

“Kejadian itu berpunca daripada sikap mereka mengabaikan isteri saya. Petugas hospital hanya sibuk hendak menyelamatkan bayi kami saja sedangkan isteri saya juga sedang bertarung nyawa,” katanya ketika mengadakan sidang akhbar bersama Ahli Parlimen Bukit Mertajamm Chong Eng di sini, semalam.

Bayi lelaki pasangan itu turut menghembuskan nafas terakhir tidak lama kemudian._sinarharian

Skim khairat kematian untuk semua kaum di Kedah

ALOR SETAR- Skim bantuan khairat kematian atau Kifalah kepada rakyat miskin semua kaum di Kedah akan diperkenalkan bermula Januari tahun depan, kata Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak.

Beliau berkata, mereka yang layak akan menerima RM500 tetapi mereka perlu terlebih dahulu didaftar dalam senarai e-Sinar iaitu senarai rakyat miskin kerajaan negeri.

"Skim kifalah diperkenalkan untuk membantu meringankan beban golongan miskin terutama bagi menguruskan jenazah sekiranya terdapat anggota keluarga mereka seperti ibu, bapa atau anak mereka meninggal dunia.

"Bantuan akan diberikan berdasarkan laporan penghulu dan wakil rakyat serta senarai e-Sinar, sebab kalau tidak, semua orang akan mengaku dia susah," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat exco kerajaan negeri di sini, hari ini.

Azizan berkata, satu unit khas di bawah perbendaharaan negeri akan ditubuhkan bagi menguruskan pelaksanaan skim berkenaan.-Bernama_sinarharian

Kerajaan sembunyikan pembaziran RM2.4 juta wang rakyat

Hazayani Zakaria   
KUALA LUMPUR, 23 Dis: Bendahari PAS, Dr. Hatta Ramli mendakwa kerajaan cuba menyembunyikan isu pelupusan dakwat kekal bernilai RM2.4 juta yang tidak digunakan pada pilihanraya umum ke-12 yang lalu daripada pengetahuan umum.

Dr. Hatta yang merupakan salah seorang jurucakap Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (BERSIH) berkata, tindakan kerajaan itu jelas berniat untuk menyembunyikan pembaziran yang dilakukan apabila ianya hanya diketahui umum setelah dibangkitkan pada Persidangan Dewan Negara baru-baru ini.

"Dalam hal ini kita pun tidak sedar bahawa dakwat ini telah dilupuskan begitu sahaja sehinggalah ia ditimbulkan di Dewan Negara baru-baru ini.Jadi ertinya kerajaan cuba menyembunyikan isu ini. Mereka seboleh mungkin mahu menyorokkan isu ini,"

"Jelas ini satu pembaziran akibat perancangan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) yang tidak bijak dalam merancang perbelanjaan wang rakyat," katanya ketika dihubungi Harakahdaily petang tadi.

Dr. Hatta yang juga Ahli Parlimen Kuala Krai turut mempersoal keberkesanan tindakan tersebut sedangkan katanya ianya boleh dijual semula bagi mengelakkan pembaziran.

"Siapakah yang akan bertanggungjawab di atas kehilangan wang kerajaan sebanyak RM2.4 juta ini dan kenapakah dakwat itu tidak boleh dikembalikan dan tidak dijual semula untuk mengelakkan pembaziran,"katanya.

Perkara ini juga tegasnya menunjukkan Kementerian berkenaaan gagal mencapai Indeks Prestasi Utama (KPI) yang baik.

Ini melibatkan KPI Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan SPR.Kalau  dalam kes biasa dalam mana-mana jabatan kerajaan tindakan boleh diambil terhadap mereka yang gagal dalam merencanakan penggunaan  wang kerajaan," tegasnya.

Bagaimanapun beliau berkata, meskipun dakwat itu telah dilupuskan, BERSIH akan tetap menuntut penggunaan dakwat kekal dalam PRU ke-13 nanti.

"Untuk pilihanraya akan datang, BERSIH akan terus menuntut penggunaan dakwat kekal ini. Kita akan mendesak agar SPR membeli dakwat yang baru dan membenarkan penggunaannya," katanya.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong sebelum ini berkata, dakwat yang tidak dapat digunakan kerana masalah keselamatan dan perundangan itu telah dilupus pada 25 November lepas.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada soalan Senator Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim menegenai keputusan yang dibuat terhadap dakwat kekal yang telah dibeli dan kemudian mahu dijual semula sehingg tarikh luputnya telah berlalu.

Pada PRU ke-12 yang lalu, SPR bersetuju menggunakan dakwat kekal setelah dituntut BRSIH, namun membatalkannya  di saat akhir menjelang hari pengundian atas alasan terdapat individu yang dilaporkan membeli dakwat ini secara haram dari negara luar dan berniat membuat kacau.

Namun sehingga sekarang, kerajaan masih gagal membuktikan kebenaran akwaan tersebut malah tida tangkapan spesifik dibuat terhadap individu yang didakwa melakukan kesalahan itu. _harakahdaily.net