Sahabat Purnama

Jumaat, 18 Disember 2009

Video BTN Anwar, Khalid dieksploitasi

SHAH ALAM- Angkatan Muda Keadilan (AMK) memberi amaran kepada penulis blog pro-UMNO menghentikan penggunaan video yang memaparkan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menjadi penceramah dalam Kursus Biro Tata Negara (BTN) semasa mereka masih dalam kerajaan.

Ketua Penerangan AMK, Lee Khai Loon, tindakan tersebut dianggap sia-sia dan tidak berupaya mengalih perhatian rakyat terhadap isu sebenar.

“AMK percaya syarahan itu disampaikan oleh Anwar dan Khalid pada masa lalu jelas menunjukkan modul BTN cuba menerapkan elemen perkauman dalam kalangan peserta.

“Video tersebut sudah lama dan kedua pemimpin tersebut sudah sedar akan kesilapan BTN dan mereka kini bangkit menentang kursus berkenaan,” katanya.

Khai Loon berkata, tindakan itu adalah taktik lapuk dalam usaha mempertahankan kursus berkenaan.

“Kita tidak setuju dengan tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mahu semua pihak termasuk Menteri Kabinet supaya tidak lagi memanjangkan polemik BTN," katanya._sinarharian

Lapan tahun tunggu kelahiran anak sulung



ALOR SETAR - Sepasang suami isteri dari Taman Bertam Perdana, Kepala Batas, Pulau Pinang menganggap kelahiran bayi sulung mereka melalui kaedah tabung uji di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini pada 6 Disember lalu sebagai hadiah paling bermakna sejak lapan tahun mendirikan rumahtangga.

Ibu bayi, Zunnurain @ Noraini Ramlan,35, berkata, dia begitu terharu dengan kelahiran bayi lelakinya itu dan menganggap ia adalah rezeki Allah SWT kepada mereka sekeluarga.

Menurutnya, setelah hampir lapan tahun mendirikan rumah tangga, mereka tidak pernah dikurniakan zuriat sehinggalah mengetahui kaedah bayi tabung uji yang dijalankan di HSB.

“Pada mulanya jiran ibu saya, Noriah Mustafa beritahu terdapat kaedah itu di sini dan setelah itu, saya dan suami terus mendapatkan rundingan di HSB mengenai kaedah berkenaan.

“Akhirnya kami berjaya mendapatkan rawatan dengan kaedah tersebut sehingga saya berjaya hamil dan melahirkan bayi setelah mencuba pelbagai rawatan di pusat perubatan swasta dan tradisional sebelum ini,”katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Bayi lelaki itu, Muhammad Afif Syahmi Md Sukri dilahirkan seberat 3.4 kilogram melalui pembedahan adalah bayi pertama yang berjaya dilahirkan dengan kaedah tabung uji di HSB.

Suaminya, Md Sukri Ramli,34, berkata, setelah hampir setahun lebih menjalani rawatan di HSB, isterinya disahkan positif hamil dan dia rasa sangat gembira serta tidak sabar menanti saat kelahiran bayi sulung mereka.

Menurutnya, kelahiran bayinya itu bagaikan mimpi menjadi kenyataan setelah mereka sabar menunggu walaupun hampir lapan tahun berumahtangga.

“Inilah hadiah paling berharga buat kami, tambahan pula ulang tahun perkahwinan saya yang kelapan jatuh pada tanggal 20 Disember ini dan kelahiran Muhammad Afif pada 6 Disember lalu begitu bermakna buat saya dan isteri.

“Tiada hadiah yang lebih berharga selain menimang cahaya mata yang diimpikan setiap suami isteri yang berumahtangga dan kami berasa cukup bertuah kerana masih diberikan zuriat walaupun terpaksa :mengharungi pelbagai :dugaan,” katanya.

Sementara itu, Noriah berkata, dia bersyukur dengan kelahiran cucu keempatnya itu setelah menantinya sejak lapan tahun lalu.

“Saya gembira kerana akhirnya, anak sulung saya (Zunnurain) hamil dan melahirkan cahaya mata dengan selamat setelah berikhtiar di merata tempat sebelum menemui kaedah ini,”katanya.


_sinarharian

Rakyat dibebani RM6.4 bilion cukai

KUALA LUMPUR - Pasukan Khas Anti Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) menyifatkan pengenalan cukai itu akan menyebabkan rakyat terpaksa menanggung lebih RM6.4 bilion cukai yang sepatutnya diperoleh daripada pihak industri.

Ahli Jawatankuasanya, Tony Pua berkata, kenyataan bahawa rakyat tidak terbeban dengan pengenalan cukai tersebut dan dalam masa yang sama meningkatkan pendapatan negara sebagai tidak masuk akal.

“Jika perolehan cukai daripada peniaga akan dikurangkan sehingga RM5.4 bilion dan dalam masa yang sama pendapatan negara bertambah kepada RM13 bilion, bermaksud jumlah cukai RM6.4 bilion akan diperoleh daripada rakyat.

“Persoalannya bagaimana menteri boleh keluarkan kenyataan rakyat berpendapatan rendah mampu menyimpan seperti mereka yang berpendapatan tinggi? Pengecualian cukai RM6.4 bilion yang dinikmati oleh peniaga akan dibayar oleh pengguna yang terdiri daripada pekerja berpendapatan rendah, pesara, pelajar ataupun golongan pertengahan,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen semalam.

Kelmarin, Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata, pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan yang bermula pertengahan 2011 nanti dijangka hanya sekitar empat peratus berbanding kadar cukai jualan dan perkhidmatan (SST) di antara lima hingga 10 peratus selama ini.

Menurutnya, GST juga dikecualikan ke atas barangan keperluan seperti produk pertanian dan makanan asas bagi memastikan ia tidak membebankan rakyat.

Seorang lagi Ahli Jawatankuasa Anti-GST, Saifuddin Nasution Ismail berkata, beliau akan menganjurkan sesi jelajah ke seluruh negara untuk memberi penjelasan kepada rakyat mengenai GST.

“Pakatan Rakyat (PR) akan jelajah seluruh negara bulan depan memberi kesedaran kepada rakyat dan menerima maklum balas mereka yang terdiri daripada ahli akademik dan pakar industri," katanya. _sinarharian

Konvensyen Pertama Pakatan Rakyat esok

SHAH ALAM, 18 Dis: Esok, semua pemimpin kanan PAS, PKR dan DAP akan berhimpun dalam Konvensyen Pertama Pakatan Rakyat di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Turut menyertai mereka adalah 1,500 perwakilan iaitu 500 bagi setiap parti-parti yang bergabung di bawah payung Pakatan Rakyat itu.

Perhimpunan sehari suntuk bermula jam 8.30 pagi hingga 5.30 petang ini dijangka akan turut disertai oleh lebih 100 wakil  pelbagai jenis media dari suluruh dunia.

Majlis ini akan dipenuhi dengan ucapan dan pelancaran beberapa perkara penting yang mengikat ketiga-tiga parti dalam Pakatan Rakyat itu.
(Gambar: Logo konvensyen pertama Pakatan Rakyat)
Kali ini, PKR menjadi sekretariat konvensyen ini di mana Setiausaha Agung PKR, Datuk Sallehudin menjadi pengarah konvensyen ini.

Sehubungan itu, beliau berikrar mahu menjadikan majlis ini seumpama kenduri Pakatan Rakyat yang akan dibuat dengan cara terbaik dan penuh warna warni.

Dipercayai, satu penyataan bersama Pakatan Rakyat akan dibentangkan dalam konvensyen ini untuk dijadikan panduan dan asas ikatan antara ketiga-tiga parti ini.

Antara kandungannya adalah:

1) Hentikan politik perkauman dan diskriminasi dalam semua dasar kerajaan dan perundangan.

2) Kembalikan keutuhan Perlembagaan Persekutuan dan kedaulatan undang-undang.

3) Bangunkan sistem ekonomi yang benar-benar untuk rakyat

4) Kembalikan makna persekutuan dalam mempertahankan hak-hak negeri.

5) Hapuskan ISA dan undang-undang yang menekan rakyat.

6) Hentikan tahun-tahun tanpa pelaburan dan perancangan yang buruk dalam pendidikan, pengangkutan dan kesihatan.

7) Bangunkan agenda keselamatan sosial

8) Perkasakan hak demokratik dalam budaya dan kepelbagaian budaya dan sastera.

Semua pemimpin kanan Pakatan Rakyat dijadualkan berucap. Antaranya Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Lim Guan Eng di samping para pemimpin muda Pakatan.

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Aziz juga dijangka akan berucap menjelang konvensyen ini berakhir pada sebelah petangnya.

Yang menariknya, pada sebelah malamnya, ulama tersohor dunia Sheikh Dr Yusof Qardawy akan memberikan Syarahan Perdana di Masjid Negeri iaitu Masjid Sultan Abdul Aziz Shah di Shah Alam juga._harakahdaily.net