Sahabat Purnama

Isnin, 12 April 2010

Laluan Gua Musang, Kuala Krai dilabel ‘sakaratul maut’

GUA MUSANG – Laluan Gua Musang Kuala Krai menjadi laluan ‘sakaratul maut’ apabila dikesan antara penyumbang utama jumlah 6,200 hinga 6,300 kematian jalan raya dicatatkan di seluruh negara setiap tahun.

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Solah Mat Hassan berkata, tahun ini sahaja sebanyak 18 kematian dicatatkan.
 
Menurutnya, peningkatan kes menyebabkan JPJ mengambil inisiatif untuk melaksanakan Sistem Penguatkuasaan Automatik yang mana kawasan yang kerap berlaku kemalangan yang dikenali sebagai ‘black spot’ yang mana telah mengakibatkan dua kematian mengikut tahun 2006 akan dipasang dengan kamera.
 
“Kamera yang dipasang akan merakam plat kenderaan serta imej pemandu dan maklumat akan terus sampai ke ibu pejabat dan dalam tempoh dua hari, mereka yang melakukan kesalahan akan menerima surat saman.
 
“Sebanyak 11 kawasan telah dikenal pasti untuk dipasang dengan kamera antaranya di KM13.8, KM38, KM63, KM22.2 dan Gua Musang ke Kuala Krai ada lima kawasan yang mana terdapat satu kawasan di Felda Aring, Gua Musang Kuala Lipis terdapat empat kawasan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Satu Komuniti Satu JPJ di Dataran Kebudayaan Kesedar Tiga, semalam.

Menurutnya, selain pemasangan Sistem Penguatkuasaan Automatik, JPJ juga akan membuat rondaan 24 jam bagi mengenal pasti kesalahan lalu lintas yang dilakukan pengguna jalan raya.
 
“Laluan Gua Musang sentiasa sibuk yang mana hujung minggu bagi Kelantan adalah pada hari Jumaat dan bagi negeri di Pantai Barat hujung minggu mereka adalah pada Sabtu dan Ahad dan di sini kita dapat lihat walau pun cuti hujung minggu, tetapi ramai penduduk Kelantan yang menetap di Kuala Lumpur mengambil peluang untuk pulang dan begitu juga yang berada di Kelantan akan ke Kuala Lumpur.
 
“Keadaan ini menjadikan empat hari dalam tempoh satu minggu keadaan jalan di Gua Musang Kuala Krai menjadi sibuk , apatah lagi sekiranya tiba cuti umum,” katanya. _sinarharian

Pasangan kekasih dicekup

GUA MUSANG- Sepasang kekasih yang menjalinkan hubungan sulit selama hampir setahun menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) dicekup berkhalwat di sebuah hotel murah di bandar ini, malam kelmarin.
 
Pasangan itu dicekup berdua-duan dalam sebuah bilik sebaik diserbu Skuad Amru bersama Penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (JAHEAIK) diketuai Penolong Pegawai Penguat Kuasa Agama Jajahan, Husnie Adabi Abdul Kadir.

Serbuan kira-kira jam 11.20 malam itu selepas menerima aduan awam mengenai pasangan terbabit bermalam di sebuah hotel berkenaan dengan mengambil masa 10 minit sebelum membuka pintunya.
 
Pegawai Agama Jajahan, Anuar Hashim, berkata, sebelum serbuan, pihaknya membuat intipan terlebih dahulu bagi memastikan bilik hotel yang diserbu itu tidak tersalah bilik orang lain yang menginap di situ.

Menurutnya, selepas mendapat maklumat lengkap terus mengetuk pintu bilik hotel terbabit sebelum dibuka seorang lelaki yang sudah berpakaian lengkap dan melakukan pemeriksaan di dalamnya.
 
“Hasil pemeriksaan mendapati lelaki berusia 25 tahun sudah beristeri dan mempunyai anak dua itu tinggal di Kampung Kadok, Kota Bharu manakala gadis berusia 18 tahun anak Orang Asli di Kampung Kuala Betis.
 
“Pasangan itu mengakui sebelum ini tidak pernah mengenali antara satu sama lain dan cuba bermesra dengan menyewa sebuah bilik hotel murah untuk melepas asmaranya, dan gadis anak Orang Asli itu memang belum memeluk agama Islam dan kita hanya mengambil keterangan sebelum dibebaskan,” katanya.

Anuar berkata, lelaki terbabit ketika diberkas merayu untuk dilepaskan kerana takut rahsia cinta keduanya terbongkar kepada isteri tetapi dia tetap dibawa ke Ibu Pejabat Daerah (IPD) Gua Musang untuk buat laporan.
 
Menurutnya, selepas itu dia dibawa pula ke Pejabat Agama Jajahan untuk diambil keterangan lanjut sebelum dibebaskan dengan seorang penjamin sementara menunggu kesnya disebut di Mahkamah Rendah Syariah Gua Musang 18 Mei depan.

Lelaki terbabit akan didakwa di bawah Seksyen 9(1)(2), Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan yang jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM2,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya sekali. _sinarharian
 

Upacara telan air ludah ustaz?

Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) akan menyiasat pendedahan mantan mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang mendakwa terdapat seorang tokoh agama yang mengadakan ‘upacara’ orang ramai menelan air ludahnya untuk mendapatkan keberkatan.

Pegawai Perhubungan Awam, JAIS Nurhamizah Othman berkata ini adalah pertama kali pihaknya mendengar dakwaan tersebut.

“Kita hendak dapat maklumat lanjut daripada Dr Mohd Asri. Jabatan Akidah JAIS sebelum ini tidak ada (menerima) laporan mengenai upacara telan air ludah ini.

“Kalau beliau ada maklumat lanjut, sila tampil ke hadapan untuk memudahkan JAIS membuat siasatan sama benar ataupun tidak,” katanya mengulas pendedahan Dr Mohd Asri mengenai perkara itu dalam kolumnnya dalam Malaysiakini hari ini yang bertajuk ‘telan air ludah ustaz’.

Dalam kolumnya itu, pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM) tersebut mendakwa “upacara itu pula dibuat di masjid” dan tokoh agama berkenaan “ada tauliah dan berjawatan di negeri berkenaan.

“Pengikutnya atau hadiran yang menghadiri kuliah disuruh berbaris dalam masjid lalu ‘menikmati’ seorang sedikit air liur tokoh agama aliran tarekat itu yang di masukkan ke dalam mulut mereka. Beliau mendakwa inilah ajaran Ahlus Sunnah wal Jama’ah. Kononnya untuk mendapatkan keberkatan beliau!” tulis Dr Asri dalam kolumnya itu.

Mengulas lanjut, Nurhamizah menggesa orang ramai mengetahui mengenai perkara itu agar segera tampil memberi maklumat lanjut kepada JAIS, termasuk siapa tokoh agama terbabit dan di mana ucapacara itu berlangsung.

Nurhamizah berkata, pihaknya memerlukan maklumat tersebut, seperti nama masjid dan tempat upacara itu berlangsung akan memudahkan siasatan dijalankan.

Menurutnya lagi, susulan pendedahan Dr Mohd Asri itu, JAIS telah membuka fail dan telah memulakan siasatan berhubung perkara itu.

Sementara itu, Dr Mohd Asri ketika dihubungi Malaysiakini petang ini enggan mendedahkan tokoh agama yang didakwa mengadakan ‘upacara’ menelan air ludahnya’

Sebaliknya, mantan mufti Perlis itu berkata, beliau akan meminta orang ramai yang menghadiri upacara tersebut agar melaporkan kepada JAIS.

Ditanya sama ada beliau akan bekerjasama dengan JAIS, Dr Asri berkata: “Nanti dahulu, tengok perkembangan siasatan”._malaysiakini bm