Sahabat Purnama

Khamis, 22 Oktober 2009

Kekal ISA, GMI Tidak Terkejut

Harakahdaily.net

KUALA LUMPUR, 22 Okt: Gerakan Mansuhkan ISA (GMI), tidak terkejut dengan kenyataan terbaru Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein bahawa kerajaan tidak akan memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Pengerusinya, Syed Ibrahim Syed Noh berkata pihaknya sudah menjangka perkara tersebut biarpun kepimpinan kerajaan di bawah Perdana Menteri Datuk Seri najib di lihat lebih terbuka dengan slogan 1Malaysianya, rakyat di dahulukan.

"Saya tidak terkejut sama sekali," ulasnya spontan ketika dihubungi Harakahdaily.

Ujarnya lagi, alasan kerajaan mengekalkan ISA kerana didakwa berkesan mencegah kegiatan atau aktiviti subversif yang mengancam keselamatan negara juga tidak boleh disandarkan secara seratus peratus.

Menurtnya, masalah kententeramaan awam yang berlaku dalam negara ini sangat sedikit dan undang undang selain ISA mampu mengatasinya berbanding masalah rasuah dan salah guna kuasa yang sering dilaporkan.

"Sejarah membuktikan, masalah melibatkan ketenteraman awam sangat sedikit, berbanding rasuah dan salah guna kuasa, dan tafsiran ketenteraman awam itu sendiri sangat luas," ujarnya.

Beliau turut memberitahu, penahanan tanpa bicara dan tidak dibuktikan kesalahan antara faktor akta tersebut perlu dimansuhkan kerana ianya bertentangan dengan Hak Asasi manusia.

Sebelum ini Hishammuddin dalam kenyataannya memberitahu, kerajaan tidak akan menghapuskan ISA dan hanya bersedia mengkajinya.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis soalan Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor) pada sidang Dewan Rakyat baru baru ini.

Sementara itu, mengulas mengenai langkah mewujudkan perbincangan terbuka, Hishammuddin berkata, ia bagi menjamin ketelusan, keadilan, keterbukaan dan kesediaan kerajaan untuk meminda akta pencegahan tersebut.

Hishammuddin berkata, antara penekanan yang akan diberi dalam pindaan akta itu nanti ialah membabitkan aspek bidang kuasa menteri, tempoh tahanan dan hak-hak orang tahanan.

GMI adalah pertubuhan bukan kerajaan NGO yang lantang memperjuang supaya ISA dihapuskan.

Kali terakhir, mereka menggerakkan rakyat pada 1 Ogos lalu dalam satu himpunan, Mansuh di ibu negara dan menyaksikan beberapa individu ditangkap.

Tiga tuntutan utama meraka adalah, mansuhkan ISA, bebaskan kesemua tahanan dan tutup kem kamunting.

Kali terakhir lima orang tahanan ISA dibebaskan pada 15 September lalu. Salah sorang dari mereka adalah Mat Sah Mohd Satray, suami kepada seoarang aktivis GMI, Norlaila Othman.

Selain Mat Sah, empat lagi adalah Dr Abdullah Daud, seorang pensyarah Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai yang ditahan 3 Jan 2002. Tiga lagi yang turut dibebaskan: Mohd Nasir Ismail @ Hassan, Ahmad Kamil Md Hanapiah dan Muhammad Amir Md Hanapiah, masing-masing ditahan di bawah akta yang dikatakan zalim itu sejak 30 Mei 2007._ harakahdaily.net

Bolehkah PR bentuk kerajaan tanpa majoriti Melayu?

Lim Hong Siang, Merdeka Review

Laporan asal di (http://merdekareview.com/bm/news.php?n=10395)

KUALA LUMPUR, 22 Okt: Bolehkah Pakatan Rakyat membentuk kerajaan yang halal dan absah (berlegitimasi), seandainya gagal memperolehi sokongan lebih 50% daripada masyarakat Melayu, tetapi sokongan masyarakat kaum lain memberikan bilangan kerusi yang mencukupi di Dewan Rakyat untuk PR memerintah di peringkat pusat?

"PR mungkin terasa serba salah dengan kesahihan kerajaannya seandainya ia memperolehi kurang 50% daripada sokongan masyarakat Melayu, walaupun mendapat mandat lebih 50% daripada seluruh masyarakat Malaysia."

Demikianlah pemerhatian dan persoalanan yang dilontarkan oleh pengkaji politik, Wong Chin Huat selepas kekalahan PR di PRK Bagan Pinang pada 11 Oktober yang lalu. Wong mengemukakan statistik bahawa wujudnya kecenderungan pengaliran undi masyarakat India kepada BN dalam PRK tersebut, yang boleh dijelaskan sama ada Bagan Pinang ialah "kes terasing" atau "menggambarkan trend keseluruhannya (khususnya masyarakat India)".

Seandainya 40% undi Melayu diperolehi...

Perhitungan kasar Wong berdasarkan 165 kerusi parlimen di Semenanjung menunjukkan, seandainya PR memperolehi 40% undi Melayu dan 75% undi bukan Melayu, maka PR akan memperolehi 103 kerusi, dan hanya memerlukan 9 kerusi daripada Sabah dan Sarawak untuk menubuhkan kerajaan persekutuan (dengan 112 daripada 222 kerusi).

Seandainya PR memperolehi 50% undi kaum India dan 75% undi kaum Cina, dalam keadaan mengekalkan undi Melayu pada paras 40%, maka PR akan memperolehi 90 kerusi di Semenanjung. Jikalau undi kaum India jatuh kepada 40%, maka PR hanya akan mendapat 80 kerusi, seperti apa yang berlaku pada PRU ke-12.

Pemerhatian Wong (gambar) terhadap senario politik selepas PRU ke-12, termasuk beberapa PRK seperti Bukit Gantang, Manek Urai yang menyaksikan peralihan sokongan sebahagian masyarakat Melayu kepada BN, menyimpulkan bahawa "mustahil untuk PR memperolehi lebih 50% sokongan Melayu dalam masa terdekat."

Maka, Wong mencadangkan agar PR menggariskan matlamat yang lebih realistik, iaitu mengekalkan undi Melayu sekurang-kurangnya pada paras 40%, di samping melonjakkan graf sokongan masyarakat bukan Melayu kepada 75%, seandainya ingin mengambil alih kuasa kerajaan persekutuan pada PRU ke-13.

Untuk Wong, selagi PR terasa serba salah jikalau gagal memperolehi lebih 50% undi daripada masyarakat Melayu, maka UMNO dan lidahnya, Utusan Malaysia akan diberi kesempatan untuk meneruskan serangannya.

Seandainya Pakatan Rakyat retak...

Logik Wong begini. Seandainya PR terus dihantui bayangannya "untuk mendapat sokongan lebih 50% Melayu", maka parti komponen PR, terutamanya PAS dan PKR dijangka akan beralih kepada hujah mahupun dasar yang menampakkan perkauman dan keagamaannya sekali-kala, sekiranya tidak tahan dengan serangan UMNO dan Utusan Malaysia.

Lantaran itu, PAS dan PKR akan bertelagah dengan DAP yang perlu tampil untuk menyanggah hujah dan dasar tersebut. Apa yang berlaku seterusnya adalah pengundi bandar, kelas menengah akan hilang yakin kepada PR kerana "harapan (yang diberikan PR)" kini diganti dengan persepsi "sering berbalah sesama sendiri". Senario ini berakhir dengan retaknya PR seperti Barisan Alternatif sebelumnya...

Untuk mengelakkan ramalan pesimis ini menjadi kenyataan, Wong menganjurkan pandangan bahawa PR perlu yakin bahawa dirinya tetap kerajaan yang absah seandainya mendapat mandat lebih 50% undi daripada masyarakat Malaysia secara keseluruhannya.

Sistem negara yang dikuasai Melayu

Ketika mengulas pandangan yang diutarakan Wong Chin Huat, Yong Kai Ping (Editor Malaysiakini, edisi bahasa Cina - gambar) berkata, "legitimasi sesebuah kerajaan dalam masyarakat Melayu" merupakan "persoalan struktur" yang perlu dihadapi bukan sahaja PR, tetapi mana-mana parti politik yang bercita-cita untuk menerajui pucuk pimpinan kerajaan di negara ini.

Yong menjelaskan bahawa setelah berpuluh tahun BN memerintah, sistem negara ini telah diubahsuai kepada satu sistem "negara Melayu", di mana sektor perkhidmatan awam dan pasukan keselamatan, termasuk tentera dan polis telah dikuasai sepenuhnya kaum Melayu.

Justeru itu, Yong berpendapat bahawa PR tidak dapat mengelakkan dirinya ketika berdepan dengan persoalan ini, dan terpaksa mencari jalan penyelesaian untuk mengatasi masalah ini. Yong menganggap bahawa PR masih belum menemui jalan keluar, ketika berhadapan dengan serangan retorik UMNO bahawa "naiknya PR bermaksud hilangnya kuasa Melayu".

"Sememanganya, PR tidak akan dapat menandingi UMNO ketika membincangkan Melayu. Namun, apakah hujah sebaliknya yang diketengahkan untuk membalas retorik UMNO? Satu hujah yang senang difahami, berkesan untuk memujuk dan mendapat keyakinan masyarakat Melayu...," kata Yong.

Misalnya, "Melayu" dipisahkan kepada Melayu-Bandar, Melayu-Kelas Menengah dan sebagainya, agar kepentingan Melayu ini dapat dihalusi dan dibincangkan secara konkrit, cadang Yong.

Malah, Yong (gambar) menganggap "politik berbilang kaum" yang dianjurkan PR ini perlu didalami, dan bukan hanya berpuas hati dengan aktiviti seperti rumah terbuka sahaja. Beliau mencadangkan agar pemimpin PR perlu berdialog dengan sektor perkhidmatan awam, pasukan keselamatan, untuk menghapuskan rasa musuh dan syak wasangka yang wujud.

Apabila tembok ini dipecahkan, barulah PR boleh tampil dan mendakwa dirinya sebagai pakatan politik yang melambangkan kepentingan semua kelas dalam masyarakat Malaysia, simpul Yong.

*Perbincangan ini mengambil tempat di Dewan Perhimpunan Cina KL-Selangor, pada 13 Oktober 2009, dalam satu forum yang bertajukkan PRK Bagan Pinang.

- Merdeka Review _