Sahabat Purnama

Rabu, 9 Disember 2009

Kelantan tolak, tapi tidak haramkan BTN

Selepas Selangor dan Pulau Pinang, kini Kerajaan Kelantan pula menolak pegawai dan kakitangannya daripada menyertai program Biro Tatanegara (BTN).

Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, berkata beliau tidak bersetuju menghantar pegawai dan kakitanganya menyertai program yang dianjurkan BTN selagi modul dan kurikulumnya tidak diubah mengikut acuan Islam.

Malah, beliau mahu kurikulumnya dirombak dan menonjolkan ke arah Islam.

Menurutnya, beliau bersama dua negeri bawah Pakatan Rakyat bersetuju untuk tidak menghantar pegawainya mengikuti kursus BTN itu.

"Kalau dalam keadaan (kurikulum sekarang) saya setuju tak kirim. Kalau Selangor tolak, Pulau Pinang tolak, tak ada sebab saya nak kirim.

"Kirim wat gapo (buat apa)?," katanya pada sidang media di pejabatnya di Kota Bharu hari ini.

Bagaimanapun, beliau tidak bercadang untuk "mengharamkan" pegawainya menyertainya kerana haram itu perkataan Islam, cuma tidak bersetuju dan tidak menggalakkan menghantar pegawai menyertai program anjuran BTN.

Kerajaan Pulau Pinang 2 Disember lepas melarang semua kakitangannya daripada mengikuti kursus BTN berkuat kuasa serta-merta.

Timbalan Ketua Menterinya, Mansor Othman berkata, tindakan itu dibuat kerana mendapati kursus BTN memberikan kesan negatif dan menjadi medan menyebarkan propaganda BN.

Dua minggu lalu, kerajaan Selangor mengharamkan kakitangannya dan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) milik penuh kerajaan negeri mengikuti kursus atau program dikendalikan BTN berkuat kuasa serta-merta.

Nik Abdul Aziz berkata, sudah lama beliau memerhatikan bahawa kurikulumnya tidak diajar mengikut Islam dan bercanggah dengan dasar agama.

"Kalau boleh BTN ini mengadakan forum dengan pakar ekonomi ke atau ahli dalam bidang tertentu ke arah Islam merombakkan semula BTN mengikut acuan Islam," katanya. BERNAMA
 
_malaysiakini bm

Nazri: Dr M 'bapa segala perkauman'

S Pathmawathy

Sebelum persaraannya pada 2003, mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang mentadbir negara selama dua dekad, digelar sebagai "Bapa Pemodenan".

Hari ini, beliau diberi gelaran baru oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Nazri Abdul Aziz.

Beliau menggelar Dr Mahathir sebagai 'bapa segala perkauman'.

Hari ini, Nazri meneruskan perang mulut dengan bekas presiden Umno itu berhubung kontroversi mengenai program Biro Tatanegara (BTN).

Menteri itu mahu kurikulum program tersebut dirombak semula, manakala Dr Mahathir pula mempertahankannya, dan berikutan itu, Nazri menuduhnya rasis.

Semalam, Dr Mahathir membalas balik dengan mencabar Nazri meletak jawtan dari Umno, yang disifatkannya sebagai sebuah pertubuhan rasis.

Nazri pula menjawab, oleh kerana Dr Mahathir telah mengesahkan bahawa Umno sebuah parti rasis, maka beliau (Dr Mahathir) adalah 'bapa segala perkauman' kerana menjadi presidennya selama 22 tahun._malaysiakini bm

Muhyidin main lagu lama tentang PAS



Subky Latif
 
TIMBALAN  Perdana Menteri Tan Sri Muhyidin Yasin menempelak PAS dan Mursyidul Amnya Tok Guru Nik Abdul Aziz memperalatkan agama Islam untuk politik sebagai reaksinya kepada doa khutbah hari raya haji Tuan Guru itu.

Doa MB Kelantan itu memohon Allah membukakan pintu hati Perdana Menteri supaya memulangkan royalti gas dan minyak yang menjadi hak Kelantan kepada Kelantan. Kiranya Perdana Menteri enggan, maka beliau mohon pula supaya diturun balasan buruk setimpal dengan sikapnya itu.

Maka reaksi Timbalan Perdana Menteri, dikecamnya MB itu dan parti kononnya memperalatkan agama Islam dalam berpolitik.

Apa yang dicakapkan oleh Tan Sri Muhyiddin itu bukan benda baru bagi pemimpin Umno. Sejak sebelum merdeka lagi, apabila Umno berhadapan dengan PAS, maka Tunku Abdul Rahman Putra pun berkata PAS memperalatkan agama dalam berpolitik.

Tun Razak kata begitu, Dr. Ismail kata begitu dan begitulah sekalian pemimpin Umno pada masa itu. Apabila datang pula pemimpin baru Umno, begitu jugalah tohmah mereka pada parti Islam itu.

Sesudah 52 tahun merdeka, jadilah Muhyidin Yasin sebagai Timbalan Presiden Umno. Maka dia juga memainkan lagu lama pimpinan Umno dulu kala.

Sebelum TV datang ke Malaysia, semua panggung wayang setiap pagi Ahad menayang filem lama dengan bayaran murah. Filem-filem lama yang TV tayang semula sekarang dipanggil filem klasik. Maka kenyataan TPM itu adalah ulang siar lagu lama, ulang tayang filem mudah dan filem klasik.

Berbuih mulut pemimpin-pemimpin dari semasa ke semasa, tiada banyak yang menakutkan orang tentang PAS dan perjuangan Islamnya.

Dapatlah dibodohkan orang  ramai pada satu masa, tetapi tidaklah dapat dibodohkan mereka pada semua masa.

Bukan bertambah layu PAS dengan ‘wirid’ pimpinan itu bahkan ia bertambah menarik perhatian.

Apabila pimpinan Umno berkenaan berdepan dengan masalah dengan Umno, maka datang mereka menumpang tepias politik PAS yang mereka kata memperalat agama untuk tujuan politik.

Tiadalah orang Umno yang lebih layak dijadikan lagenda Umno selain dari Tunku Abdul Rahman. Tiada yang betul PAS padanya. Tetapi apabila Umno diharamkan, Tunku naik ke pentas PAS di Dun Pantai Merdeka, Kedah memberi nasihat kepada pengundi supaya menyokong calon PAS, Datuk Muslim Othman, sedang Tunku sebelumnya menempelak PAS memperalat agama dalam berpolitik.

Almarhum berasional masa itu, PAS percaya kepada perjuangan berasaskan Islam, maka biarlah dan beri kebebasan padanya memperjuangkan kepercayaannya.

Sebelum itu ketika Tun Razak mengepalai kerajaan Mageran berikut peristiwa 13 Mei, 1969, dijemputnya PAS menyertai politiknya dan kerajaan yang dipimpinnya. Ditukarnya Perikatan kepada Barisan Nasional bagi memungkinkan PAS menyertainya sedang dia tahu PAS berpolitik atas asas Islam.

Dulu Tun Razak kata, PAS peralat agama untuk berpolitik. Kemudian dia bertenggek atas politik Islam PAS yang pernah dikatanya memperalatkan agama.

Semua itu adalah kisah orang Umno yang sudah mati. Orang Umno yang masih hidup seperti Dr. Rais Yatim. Dia mengikut Tengku Razaleigh Hamzah bermuafakat dengan PAS untuk menumbangkan Umno dan kalau berjaya akan membentuk kerajaan bersama PAS.

Dia tahu PAS memperjuangkan Islam. Dia tumpang semangkuk menyangka PAS berpolitik dengan peralat agama. Tetapi boleh pula menumpang politik PAS yang dituduhnya peralat agama.

Tun Ghafar Baba ketika tersingkir dari Umno pimpinan Mahathir cuba mendekati PAS. Tetapi dia mengkaji pengalaman Tengku Razaleigh dan Rais Yatim. Dia takut mengulangi pengalaman Rais itu lalu dia membatalkannya. Dia membatalkan bukan kerana politik PAS dan Islam tetapi dia takut mengulangi pengalaman Rais dan Ku Li.

Dr. Mahathir pula guna Anwar Ibrahim untuk perkenalkan politik penerapan nilai-nilai Islam. Nilai Islam apa yang dia terap? Malaysia bertambah Islam di bawahnya atau bertambah jauh dari Islam? Tidak terfikirkan politik penerapan nilai-nilai Islam itu sebenarnya politik peralat agama?

Semasa PM Hussein Onn ditanya wartawan asing, kenapa kerajaannya banyak membina masjid? Jawabnya, kalau dia tidak bina masjid, rakyat akan menyokong PAS. Tidakkah dia berpoliltik dengan memperalatkan masjid?

Datang pula PM Abdullah Badawi. Ke Thailand, ke Mekah, ke mana-mana saja dia menjajah Islam Hadhari. Islam Hadhari itulah projek politiknya. Muhyidin ikut menjaja Islam Hadhari. Apakah ia bukan suatu politik kering peralat Islam?

Politik PAS dan politik Tok Guru Nik Aziz tidak berubah. Yang berubah strateginya. Dalam strategi yang berubah itu mahu pula DAP bermuafakat dengannya. Macam-macam Umno burukkan PAS hingga orang bukan Melayu takut pada PAS. Tetapi sekarang mereka tidak takut lagi.

Bilakah Lee Kuan Yew bersangka baik tentang PAS? Tidak pernah. Takut Lee pada PAS mungkin melebihi takut Umno pada PAS.

Ketika Muhyidin menjaja lagu lama dan filem murah tentang PAS, Lee Kuan Yew pergi ke Kota Bharu menziarahi Tok Guru Nik Aziz. Dia membuka pintu hotelnya untuk didatangi oleh Ustaz Abdul Hadi Awang lepas bertemu Tok Guru Nik Aziz.

Muhyidin jajalah lagi lama Umno tentang PAS barang seribu tahun lagi, tiada dipeduli orang dan PAS mara juga dan mara juga._harakahdaily.net

Pengikut Ashaari disekat promosi poligami

Salhan K Ahmad

Nasib yang menimpa Rufaqa Corporation – diisytiharkan haram kerana cuba menghidupkan gerakan Al-Arqam – dibimbangi akan berulang ke atas sebuah syarikat baru yang dibangunkan oleh pengikut-pengikut Ashaari Muhammad.

Perkembangan syarikat baru yang didaftarkan sebagai Global Ikhwan Sdn Bhd, yang ditubuhkan sejak hampir setahun lalu, dikesan mula dikekang oleh pihak berkuasa apabila ia mula bertindak mendaftar ahli-ahlinya.

Pengarahnya syarikat itu Hatijah Aam berkata usaha itu dikesan apabila Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) enggan mendaftarkan sebuah kelab yang dianjurkan oleh syarikat itu.

Hatijah, seorang isteri Ashaari, menjelaskan usaha untuk mendaftarkan Kelab Poligami Ikhwan itu dihalang selepas kelab tersebut dilancarkan Ogos lalu dalam satu majlis di Bandar Country Homes, Rawang – lokasi baru kegiatan bekas pengikut Arqam.

"Pada bulan Ogos itu kami lancarkan untuk tengok sambutan. Alhamdulillah, sambutannya baik apabila dilaporkan dalam media. Tetapi ada menteri yang tidak setuju dengan kelab ini, jadi usaha untuk daftar pun tidak berjaya," katanya lagi.

Hatijah berkata demikian sebagi merujuk kenyataan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yang dilaporkan menyebur penubuhan kelab sedemikian "tidak berfaedah" dan "tidak mempunyai hala tuju positif."

Reaksi lain termasuklah kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom yang dilaporkan menyebut, individu yang mengamalkan poligami tidak seharusnya berbangga sehingga menubuhkan kelab.

Jamil juga dilaporkan berkata, kepentingan harus diletakkan kepada pelaksanaan poligami itu supaya mengikut lunas Islam, dan bukannya terhadap penubuhan kelab atau persatuan.

Bercakap kepada Malaysiakini, Hatijah berkata, polis Bukit Aman juga telah menasihati beliau supaya kelab tersebut tidak ditubuhkan kerana bimbang akan "menimbulkan salah faham" di kalangan masyarakat.

"(Bukit Aman) tidak mahu timbul masalah kerana sejarahnya sebelum ini Rufaqa pun telah diharamkan kerana mengamalkan ajaran sesat. Jadi kami dinasihatkan untuk daftar syarikat lain," katanya.

Jelasnya, kebimbangan berhubung kelab tersebut dipercayai wujud kerana ia dikhuatiri menjadi medan baru untuk menghidupkan semula ajaran-ajaran Ashaari.

"Mereka bimbang platform motivasi kepada ahli kelab (secara tertutup) ini kami gunakan untuk mencari pengaruh dan sejarah mungkin berulang. Jadi Kelab Poligami Ikhwan kita hentikan dulu.

"Sekarang kami tumpukan kepada aktiviti-aktiviti perniagaan sebab masyarakat lebih yang suka kepada aktiviti-aktiviti ekonomi kami," kata Hatijah ketika dihubungi._malaysiakini bm

Dia (Mahathir) ini nak jadi Perdana Menterikah - Nazri Aziz

Dzulfikar Mashoor & Shukri Mohamad   
KUALA LUMPUR, 9 Dis: Perdebatan kontroversi berhubung modul Biro Tata Negara menyaksikan Datuk Seri Nazri Aziz dan Tun Dr. Mahathir saling bertikam lidah.

Nazri menuduh Mahathir sebagai rasis Melayu kerana tidak menyokong cadangan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk merombak modul BTN agar selari dengan konsep 1Malaysia.

Sebagai maklum balas, Mahathir pula meminta Nazri meletak jawatan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) kerana didakwa tidak petriotik Melayu.

Nazri pagi tadi menyifatkan kritikan Mahathir belakangan ini seolah-olah mahu menjadi Perdana Menteri semula, menggantikan Najib.

"Waktu Tun Abdullah (Ahmad Badawi) jadi Perdana Menteri dulu, semuanya (polisi kerajaan) tak betul. Seolah-olah dia (Mahathir) saja yang betul. Dia (Mahathir) ini nak jadi Perdana Menterikah," soalnya.

Beliau turut mengkritik tindakan Mahathir mempertikai kepemimpinan Perdana Menteri sebelum Najib, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

"Dulu masa kita (Umno) kata jangan berhenti (dari jadi Perdana Menteri), dia juga yang nak berhenti. Bila dia (Mahathir) dah berhenti, dia mula suruh orang lain (Abdullah) pula berhenti."

Beliau juga menasihatkan Mahathir supaya menyokong kepemimpinan Najib.

"Dulu, masa orang sokong kita (Mahathir), sekarang masa kita (Mahathir) sokong orang (Najib) pula," soalnya.

Beliau juga menganggap kritikan Mahathir belakangan ini banyak menguntung pembangkang.

"Bila dia (Mahathir) dah berhenti, dia serang kita (Umno) pula, lebih teruk daripada pembangkang," sindirnya lagi.

"Hari ini, pembangkang tidak perlu buat kerja, cukup dengan Dr. Mahathir saja, semuanya (polisi kerajaan) tidak betul."

Pun begitu, Nazri mengakui sumbangan Mahathir dalam Umno dan kerajaan sebelum ini.

Terdahulu, Mahathir menyifatkan kepemimpinan Umno sekarang seperti usus yang sudah busuk.

Kenyataan Mahathir itu dipercayai umum ditujukan kepada Najib.

Dalam pada itu, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin Muhyiddin dilihat lebih menyokong Mahathir berbanding berbanding Najib-Nazri.

Pertikaman lidah antara dalam kalangan beberapa pemimpin terbabit tersebut sekaligus menyaksikan bahawa Umno sedang mengalami dilema sama ada untuk kekal memperjuangkan rasis-Melayu atau mengubah ideologinya pada pluralisasi kaum melalui konsep 1Malaysia_harakahdaily.net

Penjelasan isu terkini di Taman Melewar malam ini

KUALA LUMPUR, 9 Dis: Bekas Naib Presiden PAS, Haji Mohamad Sabu akan menjelaskan beberapa isu yang melanda Kelantan dan mengulas isu-isu terkini membabitkan Perdana Menteri, Najib Tun Razak yang tidak disenangi rakyat.

Beliau juga akan melancarkan Tabung Peduli Pak Usop dan Facebook Lajnah Pekerja dan Sumber Daya Rakyat PAS Wilayah Persekutuan di Markas Tarbiah PAS Pusat, Taman Melewar, hari ini Rabu 9 Disember ini.

Program yang turut dihadiri Ahli Parlimen Rantau Panjang, Zailah Mohd Yusuf dan Ahli Parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong dianjurkan oleh Lajnah Pekerja dan Sumber Daya Rakyat PAS Wilayah Persekutuan bagi mengutip sumbangan orang ramai dan penyokong Pakatan Rakyat untuk membiayai pembinaan rumah baru untuk Ketua Cawangan PAS Setia Jaya, Mohd Yusof Samad atau lebih dikenali sebagai Pak Usop.

Menurut setiausaha lajnah ini, Tarmizi Mohd Jam, pihaknya sedang menyelaraskan kerja-kerja bagi mendapatkan tajaan simen, kayu-kayan, papan, batu-bata, pasir, atap dan segala keperluan berkaitan.

Rumah Pak Usop hangus dijilat api pada 20 November lalu dan semua barangan tidak dapat diselamatkan.

Pada program itu juga, Mohd Sabu akan melancarkan Facebook Lajnah Pekerja dan Sumber Daya Manusia PAS Wilayah Persekutuan.

Tarmizi berkata, bersama dua lagi penceramah, Zailah dan Wee Choo Keong dijangka mendedahkan bagaimana taktik jahat Umno untuk meruntuhkan Kerajaan Kelantan pimpinan Tok Guru Nik Aziz yang kini panas diperkatakan.

Orang ramai dan penyokong Pakatan Rakyat dijemput hadir beramai-ramai pada malam ini.

Sementara itu, Mohamad Sabu terlebih dahulu,  sebelum program ceramah bermula, akan menyampaikan Kuliah Motivasi Rakyat di Markas PAS Batu, di bangunan rumah kedai Taman Melewar, tidak juah dari Markas PAS Pusat mulai jam 9.20 dan berakhir 9.40 malam.

Kuliah ini terbuka kepada orang ramai dan orang bukan Melayu amat digalakkan untuk hadir bagi memahami peranan mereka terhadap gerakan rakyat yang patut dilangsungkan dalam berdepan dengan BN._harakahdaily.net