Sahabat Purnama

Isnin, 22 Februari 2010

Royalti: Ku Li sarat hujjah, Tok Pa tong kosong?

Subky Latif   

TENGKU Razaleigh Hamzah, pengasas Petronas berpendapat bahawa negeri dan kerajaan Kelantan berhak mendapat royalti minyak yang dihasil di pesisir pantai negeri itu tidak kira berapa jauh ia ke tengah laut.

Kalau pun royalti itu diganti dengan wang ihsan, maka wang itu mesti dimasukkan ke dalam khazanah negeri. Tiada pihak lain yang boleh mentadbirnya.

Datuk Mustafa Mohamad, Menteri Perdagangan Antarabansa dan Industri dan Ketua Perhubungan UMNO Kelantan berkeras mengatakan negeri Kelantan tidak berhak atas royalti itu kerana telaga minyak yang beroperasi adalah di luar kawasan tiga batu nautika dengan pantai negeri itu.

Menteri itu kebetulan anak Kelantan telah menjadi jurucakap kerajaan pusat dan Petronas sedang dia tidak ada kena mengena dengan urusan pengeluaran minyak. Kementeriannya tidak menjaga urusan pengeluaran minyak dan dia tidak ada apa-apa kedudukan dalam Petronas.

Orang yang boleh bercakap tentang perkara itu ialah Perdana Menteri dan Timbalannya serta Pengerusi Petronas. Jika ganti royalti itu adalah wang ihsan, maka orang-orang tadi yang layak bercakap dan cara mana wang ihsan itu hendak digunakan.

Cakap orang lain adalah tidak rasmi.

Ada pun Tengku Razaleigh adalah pengasas Petronas dan orang yang bertanggungjawab merangka merangka polisi dan operasinya. Ketika itu mungkin Mustafa Mohamad belum menyambung pelajaran ke Australia.

Ketika Petronas diasaskan sudah ada satu badan ditubuhkan bagi mengendalikan hal ehwal pengeluaran minyak itu di bawah Kementerian Perusahaan Utama yang menjadinya ialah Taib Mahmud, Ketua Menteri Sarawak sekarang. Kira-kira Taib Mahmudlah orang yang dikira akan menjadi orang penting pengurusasn minyak.

Ketika itu Indonesia sudah ada badan pengurusan minyak negaranya yang dinamakan Pertamina yang ketuanya ialah Ibnu Sutowo. Ibnu Sutowo ini dikira orang kedua penting di Indonesia selepas Presiden Suharto. Orang minyak yang penting bagi Arab Saudi pula ialah Sheikh Zaki Yamani.

Taib Mahmud telah dibayangkan akan jadi macam Ibnu Sutowo dan Zaki Yamani bagi Malaysia.

Entah bagaimana Perdana Menteri Tun Razak telah menggantung badan yang diasaskan di bawah Taib Mahmud tadi dan menteri itu sendiri ditukarkan menjadi Menteri Di Jabatan Perdana Menteri. Dia bukan saja hilang peluang untuk menjadi orang penting industri minyak bahkan hilang kementerian. Dia ada kerusi dan beberapa orang pembantu saja di tempat barunya itu.

Dalam suasana itu orang utama Bank Bumiputera itu iaitu Tengku Razaleigh dipilih oleh Tun Razak untuk mengasaskan Petronas sebagai ganti kepada badan yang dimansuhkan yang diketuai oleh Taib Mahmud tadi.

Orang yang masih hidup yang tahu perkembangan pertukaran dari Taib Mahmud itu selain dari Taib Mahmud dan Tengku Razaleigh ialah Tun Abdul Rahman Yaakub, Ketua Menteri Sarawak ketika itu. Dan negeri yang dikenal pasti sudah ada minyak ketika itu ialah Sarawak dan Sabah.

Kemudian barulah dipanggil pegawai kerajaan yang paling penting di Pejabat Peguam Negara Tan Sri Salleh Abbas membantu Pengerusi Petronas merangka Akta Petronas dan perjanjian dengan negeri-negeri tentang pembahagian keuntungan minyak Petronas itu.

Tun Abd. Rahman adalah orang yang cukup rapat dengan Tun Razak dan boleh dikira penasihat paling penting Tun Razak dalam perkara itu. Mungkin beliau tidak duduk dalam Petronas, tetapi dia adalah orang yang tahu tentang permulaan Petronas itu dibentuk selain dari Tengku Razaleigh dan Tun Salleh Abbas.

Tengku Razaleigh adalah orang penting UMNO paling rapat dengan Tun Razak tidak dilantik menjadi menteri tetapi dia kuat dengan kedudukannya sebagai Pengerusi Petronas dan Bank Bumiputera. Kedudukan itu menjadi dia lebih penting dari menteri-menteri selain dari Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.

Tengku Razaleigh dan Tun Salleh Abbas adalah orang paling tahu tentang dasar asal dan lain-lain selok belok Petronas. Kalau nak tahu apa itu ISA  dan pembentukan Malaysia tanyalah kepada Tunku Abdul Rahman Putra dan bila mahu tahu tentang Petronas tanyalah Ku Li dan Tun Salleh Abbas.

Merekalah menjadi saksi paling penting kes yang melibatkan Petronas. Ada pun Tun Dr. Mahathir, Datuk Seri Najib dan Tan Sri Hassan Marican adalah orang yang berpengaruh dalam Petronas setelah Petronas sudah gagah dan perkasa.

Ada pun Datuk Mustapa Mohamad selain dari orang yang tiada apa-apa pengalaman tentang Petronas, pengetahuan tentang Petronas pun amat sikit dan pengaruh dengan badan itu pun hampir tiada.

Maka dia tidak lebih dari jurucakap UMNO Kelantan saja tentang pergelutan tuntutan royalti minyak antara Kelantan di satu pihak dan kerajaan pusat dan Petronas di pihak yang lain.

Dr. Mahathir dan Perdana Menteri Najib adalah orang yang bertanggungjawab menurunkan status royalti minyak Terengganu kepada wang ihsan. Telaga minyak yang pernah memberi royalti kepada Terengganu dulu terletak lebih jauh dari pantai Terengganu dibandingkan dengan telaga yang dituntut haknya oleh Kelantan sekarang.

Sejarah royalti menjadi wang ihsan adalah sejarah baru yang tidak dilakukan atas kehendak undang-undang dan kebenaran, tetapi ia lebih dirangsang oleh serakah hawa nafsu pemimpin UMNO tak bermaruah Terengganu sebagai helah bagi merampas semula Terengganu dari PAS. Sampai akhir mahkamah yang dibelenggu Perdana Menteri itu tidak bersidang atas saman kerajaan Terengganu atas rampasan royaltinya sejak zaman pentadbiran Dr. Mahathir dulu.

Justeru itu Ku Li dilihat dalam memperkatakan isu   royalti itu sarat dengan hujah, tetapi Tok Pa dilihat kosong, hanya sarat dengan nafsu dan peluru kosong._harakahdaily.net
 

Rabu, 17 Februari 2010

Ezam jadi denak tarik PKR keluar

Subky Latif   


LEPAS Ezam Mohd. Nor keluar dari PKR, satu demi satu ahli-ahli PKR letak jawatan dalam parti atau keluar PKR.

Yang terakhir MP Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Hashim keluar PKR dan jadi ahli bebas di Parlimen.

Setahun dulu dua Exco PKR di Perak sanggup jadi ADUN bebas di DUN Perak. Beberapa bulan dulu ADUN Selangor di Lembah Kelang jadi ahli bebas. Mungkin ada satu dua lagi yang seronok untuk mengikut rakan-rakannya keluar PKR menjadi ahli bebas.

Atas semua kejadian itu Ezam memberi reaksi puas hati dan menyeru lebih ramai lagi keluar. Beberapa YB itu selesa untuk tidak berparti, tetapi Ezam lebih senang terus jadi UMNO.

Apakah mereka terus sebagai ahli bebas sehingga Parlimen dan DUN dibubar atau masuk UMNO selepas ini. Jika mereka tidak masuk UMNO, sukar bagi mereka untuk jadi ADUN atau MP semula. BN hanya mencalonkan ahli UMNO.

Apapun boleh dilihat Ezam berpuas hati untuk sementara ini menjadi denak UMNO bagi menarik ahli-ahli PKR keluar parti sama ada langsung menyertai UMNO atau jadi ahli bebas dulu.

Tidak tahu apa yang menjadi Ezam begitu selesa menjadi denak. Apa yang menjadikannya tawar menentang UMNO setelah hampir sepuluh tahun menentang UMNO?

Ezam adalah Setiausaha Politik Anwar sebelumnya. Dia keluar bersama Anwar dari UMNO kerana UMNO dikira menzalimi Anwar. Sekali pun punca awalnya menentang UMNO kerana membela Anwar tetapi dari penampilannya bersama Anwar dan PKR adalah juga kerana UMNO dan BN adalah pengamal rasuah, penyeleweng dan zalim.

Dia menyimpan berkotak-kotak yang dikatakan bukti kedurjanaan UMNO dan para pemimpinnya itu. Berbagai tekanan yang dikenakan terhadapnya dan dia mula-mulanya dilihat tegas bertahan.

Bukan kerabat PKR saja yang kagum dengan Ezam, PAS dan DAP yang bersekutu dengan PKR juga bangga dengan penampilan Ezam. Orang PAS beramai-ramai mengusung Ezam ke sana sini. Mereka curahkan tenaga, masa dan wang bagi menyokong Ezam.

Ezam dan PKR minta bertanding di Shah Alam, suatu tempat yang PAS telah lama bertapak dan bina. Ia adalah kawasan yang PAS ada potensi. Ketuanya Khalid Samad yang lama dikenali malah sebelum Ezam dikenali lagi.

Kerana Ezam mahu bertanding di situ, PAS hantar Khalid ke tempat lain. Tidak salah jika saya katakan PAS menumpukan kerja kuat bagi memenangkan Ezam dan ia memberi apa yang tidak diberikan PKR kepadanya. Walaupun dia adalah bekas ahli UMNO yang berbaju PKR masa itu tetapi PAS melihatnya seperti orang PAS yang jadi ahli PKR.

Antara penampilan Ezam itu memang PAS tabik kepadanya. Kecamannya yang sarat dengan hujah, banyak yang lebih ketara dari penampilan PAS sendiri. Bagi orang awam dalam PAS, kerana kita sudah bersekutu dengan PKR, maka Ezam itu dikira sebagai pemimpin muda PAS juga. Apa yang dapat bantu, maka kita bantu. Tetapi keupayaan PAS dari segi kebendaan tidaklah sehebat yang UMNO boleh beri.

Apa masalahnya dengan Anwar dan PKR,  PAS tidak tahu. Tetapi PAS adakah pihak yang takjub dan masygul apabila dia keluar dari PKR. Maka PAS terus mendampinginya dalam kegiatan anti rasuah yang menjadi bidang kegemaran dan tumpuannya.

Kita sentiasa menerimanya sebagai rakan seperjuangan. Walau pun dia sudah dirasakan ada masalah dengan PKR dan Anwar, tetapi PAS tidak ada masalah dengannya dan dia terus diterima oleh PAS. Kalau dia sudah payah untuk berbaik semula dengan PKR, maka dia berkawan terus dengan PAS. Kalau dia mahu masuk PAS adalah pilihan yang digalakkan.

Anwar dan PKR pun tidak terasa pada PAS jika dia memilih PAS. Dari dia masuk UMNO, baiklah dia bersama PAS yang berkawan dengan PKR.

Malangnya, amat memeranjatkan dia lupa cerita rasuah dan penyelewengan UMNO dan pemimpinnya, penyelewengan BN dan pemimpin-pemimpinnya. Berkotak-kotak bukti keburukan UMNO dan BN itu dikatakan ada padanya.

Maka apakah yang katakannya itu sudah tidak wujud lagi atau tidak pernah wujud seperti yang dikatakannya?

Bukankah dia bersama dengan PKR mengira UMNO perosak bangsa dan agama?

Katakanlah Anwar dan PKR tidak mampu melakukan perubahan yang dijanjikannya. Atau katalah Anwar  dan PKR juga melakukan penyelewengan yang sama atau lebih teruk dari yang dilakukan oleh UMNO dan pemimpin-pemimpinnya, maka apakah UMNO dan BN yang dikatakan buruk dulu, tiba-tiba jadi elok dan boleh disertai?

Apakah buruk UMNO setakat ia berpemimpinkan Dr. Mahathir saja? Ia jadi elok dan bersih bila datang Abdullah Badawi dan Datuk Seri Najib?

Bukankah Abdullah Badawi dan Najib mewarisi segala penyelewengan yang lalu dan menokok tambah di mana-mana kemudiannya?

Bukan Ezamkah yang lantang mengata UMNO itu begitu dan begini dulu?

Apakah yang dibantu oleh Ezam bagi menjadikan UMNO dan BN itu putih molek dengan dia boleh menjadi denak bagi menarik orang keluar dari PKR.

Kemasukan Ezam ke dalam UMNO tidak nampak seperti kemasukan Anwar ke dalam UMNO dulu. Anwar pada masa itu tidak cacat dan dia masuk untuk mengambil UMNO. Tetapi Ezam jadi macam Anwar dulu?

Kalau Anwar pun mereka lambung, maka apa yang Ezam boleh dapat selain untuk mencari makan dan mendapat rezeki. _harakahdaily.net