Sahabat Purnama

Selasa, 22 Disember 2009

Adun BN yang kononnya telah berdamai, ‘Serang’ MB, Dalam Sidang DUN




 http://buletinonline.net/images/stories/berita17/P1020580.JPG

WanKay
KUALA TERENGGANU - Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu bagi pembentangan bajet 2010 yang bermula semalam, menunjukkan ‘belang’ sebenar  Ahli-ahli DUN ’10 Budak Hitam’ yang kononnya telah berdamai dengan Menteri Besar Dato’ Ahmad Said.

(Gambar - '10 budak hitam', Adun Alor Limbat Alias Abdullah (duduk paling kanan) menyerang Ahmad Said dalam Sidang Dun semalam)


Umpama ‘terkejut dari tidur’ mereka telah menamatkan kempen ‘protes senyap’ dan kembali bersuara dengan mengambil bahagian dalam sidang DUN kali ini.
Hampir keseluruhan mereka menyertai perbahasan serta mengemukakan soalan lisan di dewan yang mulia itu.

Namun ia agak mengejutkan dan kontra dengan pengakuan Pengerusi Perhubungan Umno Terengganu, Dato’ Seri Hishamudin Hussein yang mengatakan perpaduan dalam Umno Terengganu telah mula terjalin.

Kumpulan Adun ‘10 budak hitam’ menggunakan peluang bersuara  ‘menyerang’ Ahmad Said

Adun Alor Limbat, Alias Abdullah membidas kerajaan negeri di bawah pentadbiran Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said yang lebih mengutamakan kepentingan Zoo Bikit Takal, di Kemaman dari penyediaan Infrastruktur kepada rakyat di negeri ini.

Katanya, masalah rakyat yang memerlukan Projek Monsoon Drain daripada Baruh Muring Tasek ke Padang Leban dan Sungai Bukit Payong masih belum dilaksanakan.

“Masalah infrastruktur yang tidak sempurna dan ditambah pula dengan banjir yang berlaku setiap tahun. Saya selalu bangkitkan dalam dewan (Dun) ini supaya kerajaan mempercepatkan pengambilan-balik tanah.

“Apakah tidak ada langsung keutamaan kerajaan dalam pembangunan untuk melaksanakan projek ini. Yang mana lebih penting Zoo Bukit Takal di Kemaman atau Infrastruktur kepada rakyat,” soalnya ketika mengambil bahagian dalam soalan lisan di dewan tersebut.

Bahkan, beliau turut menyifatkan Ahmad (MB) cuba mengelirukan dewan (Sidang Dun) kononnya projek (Monsoon Drain) tersebut telah diluluskan sebelum ini.

“Semasa saya menjadi Timbalan (Exco Kerajaan Tempatan dan Perumahan neger) beliau (Ahmad) dan beliau memberitahu satu kelulusan telah diberikan untuk melaksanakan projek tersebut.

“Jadi apa yang hendak saya maklumkan kepada dewan (Sidang Dun) supaya dewan ini tidak diberi ‘salah arah’ (maklumat).

“Ianya (Projek Monsun Drain) tidak berlaku sama sekali dan tidak ada sebarang kelulusan sebelum ini untuk melaksanakan projek itu,” jelasnya ketika membidas jawapan dari MB tersebut.

Soalan asalnya, Alias bertanyakan bila Projek Monsoon Drain daripada Baruh Muring Tasek-Padang Leban-Sungai Bukit Payong akan dilaksanakan?

Menteri Besarnya, Dato’ Ahmad Said ketika menjawab soalan tersebut menjelaskan pada dewan (Sidang Dun) bahawa satu kelulusan projek telah dibuat dan kerajaan prihatin tentang masalah tersebut.

“Sebab itu, saya sebut sejarahnya (Alias) tadi. Saya telah bina dan itu menggambarkan kerajaan prihatin tentang masalah ini.

“Jangan jadikan dewan (Sidang Dun) ini untuk membuat sesuatu tuduhan yang tidak menentu hanya hendak melepaskan perasaan setelah menyembunyikan diri sekian lama.

“Muncul dengan ledakan-ledakan ‘bom’ yang tidak sepatutnya digugurkan di tempat yang berlainan yang sepatut digugurkan. Ini yang saya katakan. Siapa dendam siapa?,” ujarnya di Wisma Darul Iman, 21 Disember 2009, semalam

Beliau turut menyelar sikap Adun-adun BN yang pentingkan diri agar mengambil sikap muhasabah diri dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab masing-masing.

Malah, Ahmad turut menyifatkan Adun BN Bukit Besi, Din Adam yang pernah menjadi Exco Kerajaan Negeri sebagai ‘tidak cerdik’ ketika meminta penjelasannya.

“Saya rasa Adun Bukit Besi ini dia (Din) pun jadi Exco juga dahulu. Jadi janganlah tunjuk ketidak-cerdikan (bodoh) kita (Adun) pada dewan (Sidang Dun) ini,” jelasnya._buletinonline

Budak nyaris maut, kereta rempuh rumah

Seorang kanak-kanak lelaki berusia setahun tiga bulan nyaris maut selepas sebuah kereta merempuh rumah kayu milik datuknya yang terletak berhampiran selekoh tajam di Jalan Ubai, Kampung Ubai di Pekan hari ini.

Ahmad Rafae Mohd Nazri yang sedang bermain sendirian dalam bilik tidur, bagaimanapun menjerit dan sempat melarikan diri mendapatkan ibunya.

Ibunya Jarasidah Khadri, 31, berkata kejadian kira-kira 4 petang itu berlaku ketika dia sedang tidur di ruang tamu, manakala anak bongsunya itu sedang bermain dalam bilik tidur di bahagian hadapan rumah itu.

"Sebelum kejadian, saya ada terdengar bunyi brek yang sangat kuat datang dari arah luar rumah sebelum mendengar dentuman kuat dari arah bilik berkenaan," katanya ketika ditemui pemberita di Pekan hari ini.

Katanya, dia segera mendapatkan anaknya yang menjerit dan berlari ke arah bilik sebelum mendapati terdapat sebuah kereta jenis Proton Wira terperosok di bawah rumah.

Kejadian itu merupakan kali ketiga selepas kejadian sama turut berlaku pada tahun lepas dan Mei tahun ini, kata Jarasidah.

Sementara itu, pemandu kereta terbabit Mohd Ali Mohd, 57, berkata ketika kejadian dia dalam perjalanan dari Kuantan ke Pekan mahu mengelak dua ekor lembu yang berada di tepi jalan sebelum keretanya terbabas lalu merempuh bahagian hadapan rumah itu. BERNAMA_malaysiakini bm

Apcet 11: K'jaan diperintah bayar aktivis RM870,000

Mahkamah Tinggi hari ini memerintahkan kerajaan membayar RM30,000 kepada setiap 29 aktivis hak asasi manusia dan wartawan yang telah ditahan secara tidak sah dalam satu kekecohan akibat gangguan Pemuda Umno sewaktu perhimpunan Apcet 11 di Kuala Lumpur lebih sedekad yang lalu.
Berikutan itu, kerajaan kini perlu membayar sejumlah RM870,000 gantirugi kepada mereka.

Mahkamah juga memerintahkan para plantif dibayar faedah 8 peratus setahun dari tarikh saman itu difailkan pada 9 November 1998.

Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Wan Adnan Muhamad yang mengumumkan keputusan tersebut pagi tadi berkata, fakta-faktanya adalah jelas serta mudah dan penghakiman hari ini berasaskan fakta hujah kedua belah pihak.

Beliau berkata, jumlah tersebut mencukupi bagi apa yang telah mereka lalui ketika ditahan selama hampir 24 jam.

Wan Adnan juga berkata gantirugi tersebut bukan satu habuan tetapi pampasan terhadap kesulitan yang mereka telah alami.

Beliau bagaimanapun menolak tuntutan plantif untuk mendapatkan gantirugi teruk, teladan dan gantirugi khas kerana mereka tidak mengemukakan dokumen bukti, tetapi hanya memberi keterangan lisan.

Aktivis dan wartawan terbabit telah memfailkan saman RM87 juta terhadap kerajaan, dua tahun selepas insiden tersebut.

Wan Adnan juga menolak dakwaan mereka bahawa wujud konspirasi membabitkan pihak polis dan kerajaan.

Menurutnya, tidak ada bukti yang menunjukkan defenden (bekas OCPD Dang Wangi Zainal Abidin Ali, kiri) cuba mensabotaj persidangan tersebut.

Wan Adnan juga mendapati sambungan tempoh reman oleh seorang majistret dan permohonan pihak polis adalah sah di segi perundangan._malaysiakini bm

Selain enjin pesawat, peralatan lain turut lesap

Selain dua buah enjin pesawat tempur F-5E milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang dilaporkan hilang, peralatan lain yang berkaitan turut lesap, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini.

Beliau berkata Kementerian Pertahanan akan mengambil tindakan terhadap pegawai atasan dalam perkhidmatan itu yang bertanggungjawab ketika kes itu berlaku.

Satu mesyuarat Majlis Angkatan Tentera (MAT) akan diadakan dalam masa terdekat bagi membincangkan isu itu serta mengambil tindakan ke atas pegawai atasan tersebut, katanya.

"Hasil mesyuarat akan diberikan kepada saya selaku pengerusi untuk ulasan," katanya dalam sidang media selepas menerima kunjungan hormat Menteri Pertahanan untuk Keselamatan Sosial Maldives Ameen Faisal di ibunegara.

Menurutnya, selain empat anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang ditahan terlibat dengan kes itu, pihaknya turut mengenal pasti beberapa orang lagi dalam ATM yang terlibat.

"Kami telah menempatkan mereka di tempat tertentu dalam perkhidmatan serta telah mengambil tindakan terhadap mereka. Mereka masih berkhidmat dalam ATM kerana kita sedang menunggu siasatan dari aspek perundangan Angkatan Tentera," katanya.

Ahmad Zahid berkata mereka yang ditahan itu merupakan pegawai bawahan lain-lain Pangkat (LLP) di Lembah Klang yang turut mempunyai rangkaian di Butterworth.

Beliau berkata sebuah syarikat pembeli enjin pesawat yang berada di ibunegara dan mempunyai cawangan di negara jiran turut disiasat.

Siasatan menyeluruh

"Penyiasatan dilakukan secara menyeluruh dan saya tidak fikir syarikat penyelenggara pesawat itu terlibat secara langsung kerana ia melibatkan sebuah syarikat pembeli yang berpangkalan di sini dan mempunyai cawangan di negara jiran.

"Saya fikir syarikat itu mempunyai rangkaian di peringkat antarabangsa. Enjin dan peralatan ini dipercayai dihantar ke negara Amerika Selatan," katanya.

Beliau berkata kehilangan peralatan itu tidak boleh diterima langsung walaupun perkara seperti itu pernah berlaku di beberapa negara luar.

"Pengkhianat, penderhaka berada di mana-mana. Kementerian Pertahanan bukan sahaja menjalankan siasatan dalaman tetapi sebagaimana yang disebut Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semalam, kita telah menyerahkan kes ini kepada polis 100 peratus.

"Pejabat Peguam Negara pun sudah mengeluarkan kenyataan bahawa siasatan yang diperlengkapkan dengan beberapa aspek perundangan harus dibuka kepada umum melalui tindakan mahkamah," katanya.

Ahmad Zahid berkata sistem rekod dan iventori semua perkhidmatan ATM cukup
kemas tetapi sekemas manapun sistem itu, pengkhianat negara mesti mencari jalan untuk membolosi semua peraturan yang sedia ada.

Beliau turut meminta bloggers tidak cuba untuk menyeleweng fakta dan memesongkan keadaan dengan pelbagai analisis dan spekulasi.

Katanya Perdana Menteri sendiri akan terus memantau hasil siasatan itu dan tindakan selanjutnya akan diambil terhadap mereka yang bersalah serta akan diumumkan dari semasa ke semasa kepada orang ramai bagi memperlihatkan ketelusan kementerian.

Ahmad Zahid berkata kementerian telah meminta syarikat pengeluar peralatan itu memberi butir-butir spesifikasi dan teknikal enjin serta peralatan lain yang hilang dan dijangka menerimanya dalam masa terdekat.

Beliau berkata bagi mengelak perkara yang sama berulang, sistem penghantaran peralatan persawat untuk diperbaiki kini diperketatkan dan dipantau dengan lebih terperinci. _- BERNAMA _Malaysiakini bm

K'jaan T'ganu ditegur buat projek 'ad hoc'

Kerajaan negeri Terengganu diminta menyediakan pelan yang lebih tersusun bagi setiap projek pembangunan yang ingin dilaksanakan di negeri itu berbanding mengambil pendekatan secara 'ad hoc'.

Alias Abdullah (BN-Alor Limbat) berkata kebanyakan projek dilaksanakan kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar Datuk Ahmad Said, dibuat tanpa perancangan atau 'blue print' khusus.

Mengambil contoh peruntukan RM100 juta dalam bajet 2009 untuk projek penanaman kelapa sawit di keliling rumah dalam usaha memberi pendapatan tambahan kepada rakyat yang sehingga kini masih belum terlaksana, beliau berkata perkara itu tentu sekali memberi kesan negatif kepada imej kerajaan negeri.

"Kalau setakat menguar-uarkan saja, tanpa pelaksanaan, ia akan menyebabkan rakyat mempunyai tanggapan buruk kepada kerajaan. Saya sendiri selalu kena perli dengan penduduk kawasan saya.

"Bila jalan-jalan di kampung ada penduduk tanya 'susah tak YB jumpa rumah saya, maklumlah rumah saya ni dikelilingi pokok kelapa sawit," katanya ketika sesi perbahasan pembentangan bajet 2010 DUN Terengganu hari ini.

Katanya, berdasarkan perancangan berkenaan, penduduk miskin akan diberi 15 hingga 20 benih kelapa sawit untuk ditanam di kawasan keliling rumah, namun setakat ini status projek itu seolah-olah tergantung tanpa sebarang pelaksanaan.

Abdul Wahid Endut (PAS-Wakaf Mempelam) juga menegur sikap terlalu bergantung Terengganu kepada Dana Khas Kerajaan Persekutuan atau turut dikenali sebagai royalti minyak sebagai hasil utama kerajaan negeri.

Katanya, berdasarkan bajet yang diumumkan semalam, dana berkenaan berjumlah RM1.731 bilion atau 92 peratus, sebahagian besar peruntukan yang disediakan oleh kerajaan Terengganu untuk Bajet 2010 yang berjumlah RM1.881 bilion.

"Bakinya RM163 juta atau lapan peratus yang datang dari sumber kerajaan negeri sendiri menunjukkan ketidakupayaan kerajaan negeri menjana pendapatan sendiri.

"Sikap kebergantungan kerajaan negeri terhadap royalti ini tidak selamat, menteri besar sendiri akui sumber minyak tidak akan kekal selamanya dan ia juga tertakluk kepada harga pasaran dunia," katanya.

Sehubungan itu, katanya, pihak kerajaan perlu bijak mencari sumber lain yang mampu meningkatkan hasil tanpa terlalu mengharapkan dana daripada kerajaan pusat. BERNAMA_malaysiakini bm