Sahabat Purnama

Khamis, 17 Disember 2009

Bekas Pelajar Dihukum Gantung Bunuh Pensyarah


KUALA LUMPUR: Seorang bekas pelajar Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) yang didapati bersalah bulan lepas bersama dua yang lain kerana membunuh bekas pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM) Bakarudin Busu, tujuh tahun yang lalu, dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Pada 13 November lalu, seorang eksekutif jualan dan seorang pemandu forklift dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi yang sama setelah mereka didapati bersalah membunuh bekas pensyarah itu.

Pada hari yang sama, Hakim Datuk Muhamad Ideres Muhamad Rapee turut menyabitkan Azizul Aznal Mohamad Jailani, 26, dan menetapkan hari ini untuk mendengar laporan akhlak sebelum menjatuhkan hukuman kerana pada tarikh kejadian bekas pelajar berkenaan hanya berumur 18 tahun dan dua bulan.

Ketika menjatuhkan hukuman hari ini, Muhamad Ideres memberitahu tertuduh bahawa beliau akan dibawa ke satu penjara yang sah dan dihukum gantung sampai mati.

Muhamad Ideres sebelum itu telah menangguhkan prosiding setelah Peguam Azizul Aznal, Mohd Hanif Khatri Abdulla, meminta mahkamah menggunakan kuasa penyeliaannya agar tertuduh terus berada di Penjara Sungai Buloh dan tidak dihantar ke Penjara Kajang sementara menunggu rayuan.
Mohd Hanif berkata, anak guamnya risau tentang keselamatannya kerana dua lagi tertuduh yang disabitkan dengan tuduhan itu, Sulkarnain Alias, 32, dan Noorman Ab Wahab, 31, kini dipenjarakan di Kajang.

"Ketika Azizul membuat pembelaannya beliau telah memberikan keterangan terhadap kedua-dua mereka dan kini risau tentang keselamatannya," kata Mohd Hanif.

Muhamad Ideres tidak membuat sebarang perintah mengenai isu setelah Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Nordin Ismail memmberitahu mahkamah bahawa beliau telah menyemak perkara tersebut dengan Pengarah Penjara Sungai Buloh Narendar Singh yang memaklumkan bahawa penjara berkenaan telah digazetkan untuk mereka yang masih berada di bawah tahanan reman.

Bekas pelajar UiTM, Siti Rahmah Azman Subramaniam, 28, turut didakwa dengan pertuduhan membunuh Bakarudin tetapi dibebaskan selepas pihak pendakwaan menawarkannya sebagai saksi utama. Siti Rahmah merupakan teman wanitaSulkarnain.

Mereka dituduh membunuh Bakarudin, 35, di Jalan SS19/6, Subang Jaya, pada 9.30 malam 12 Feb 2002. Mayat Bakarudin dijumpai separuh rentung dalam longkang di Subang Jaya.

Mengikut laporan akhlak, Azizul Aznal merupakan seorang remaja yang peramah dan mempunyai ramai rakan. Pada hari kejadian dia mendakwa hanya mengikuti Sulkarnain yang merupakan rakan karib abangnya.

Ketika rayuan, Mohd Hanif berkata, tertuduh percaya sebulat-bulatnya kepada rakan abangnya.

"Walaupun ketika kejadian tertuduh hanya berumur 18 tahun dan dua bulan, kesalahan tetap kesalahan dan tidak ada seorangpun boleh membatasi undang-undang," kata Mohd Nordin. - BERNAMA_mstaronline

"Negaraku" Bergema Di Laos

norhalim mh


BERAKHIRNYA PENANTIAN 20 TAHUN ... Skuad bola sepak kebangsaan meraikan kemenangan selepas menumpaskan Vietnam dalam perlawanan akhir sempena Sukan SEA Ke-25 di Stadium Utama di sini, hari ini. Malaysia memenangi pingat emas selepas mengalahkan Vietnam 1-0. --fotoBERNAMA

VIENTIANE, Laos 17 Dis 2009.   Lagu keramat "Negaraku"  menjadi saksi kejayaan Pasukan bolasepak Malaysia merangkul pingat emas sukan SEA ke-25 di Laos setelah berjaya menewaskan Vietnam dengan jaringan 1 gol 0 hasil kesilapan gol sendiri pemain Vietnam selepas sepakan oleh Norshahrul Idlan Talaha.

Kejayaan manis pasukan bolasepak Malaysia ini mengakhiri kejayaan 20 tahun lalu apabila Malaysia berjaya mendapat pingat emas setelah memenangi Perlawanan Akhir sukan SEA ketika itu.  Pastinya kejayaan ini memang dinanti-nantikan peminat-peminat pasukan bolasepak Malaysia.

Kejayaan ini memberi keceriaan kepada seluruh rakyat Malaysia.  Tahniah diucapkan kepada pemain-pemain bolasepak Malaysia dan Jurulatih K Rajagopal di atas kejayaan tersebut.

Selamat Tahun Baru & Ma'al Hijrah

Selamat Tahun Baru Hijriah dan Sambutan Ma’al Hijrah, semoga kedatangan Tahun 1431H ini akan menyemarakkan lagi perjuangan kita untuk memertabatkan Islam.


Bersama ini kami paparkan Doa Akhir Tahun & Doa Awal Tahun, moga-moga ia memberikan kelebihan kepada kita semua.

Doa Akhir Tahun 



(Doa akhir tahun dibaca 3 kali pada akhir waktu Asar atau sebelum masuk waktu Maghrib pada akhir bulan Zulhijjah – KHAMIS -  17 DISEMBER 2009)

Barangsiapa yang membaca doa akhir tahun ini, maka syaitan akan berkata: "Hampalah kami di sepanjang tahun ini"


http://buletinonline.net/images/stories/berita16/image002-2.gif

Maksudnya:



   Allah SWT berselawat ke atas penghulu kami Muhammad SAW, ahli keluarga dan sahabat-sahabat baginda dan kesejahteraan ke atas mereka.


Wahai Tuhan, apa yang telah aku lakukan dalam tahun ini daripada perkara-perkara yang Engkau tegah daripada aku melakukannya dan aku belum bertaubat daripadanya. Sedangkan Engkau tidak redha dan tidak melupakannya. Dan aku telah melakukannya di dalam keadaan di mana Engkau berupaya untuk menghukumku, tetapi Engkau mengilhamkanku dengan taubat selepas keberanianku melakukan dosa-dosa itu semuanya. Sesungguhnya aku memohon keampunanMu, maka ampunilah aku. Dan tidaklah aku melakukan yang demikian daripada apa yang Engkau redhainya dan Engkau menjanjikanku dengan pahala atas yang sedemikian itu. Maka aku memohon kepadaMu.

Wahai Tuhan! Wahai yang Maha Pemurah! Wahai Yang Maha Agung dan wahai Yang Maha Mulia agar Engkau menerima taubat itu dariku dan janganlah Engkau menghampakan harapanku kepadaMu Wahai Yang Maha Pemurah. Dan Allah berselawat ke atas penghulu kami Muhammad, ke atas ahli keluarga dan sahabat-sahabatnya dan mengurniakan kesejahteraan ke atas mereka.

Doa Awal Tahun


http://buletinonline.net/images/stories/berita16/image003.gif

Maksudnya:


   Allah SWT berselawat ke atas penghulu kami Muhammad SAW, ahli keluarga dan sahabat-sahabat baginda dan kesejahteraan ke atas mereka.


Wahai Tuhan, Engkaulah yang kekal abadi, yang qadim. yang awal dan ke atas kelebihanMu yang besar dan kemurahanMu yang melimpah dan ini adalah tahun baru yang telah muncul di hadapan kami. Kami memohon pemeliharaan dariMu di sepanjang tahun ini dari syaitan dan pembantu-pembantunya dan tentera-tenteranya dan juga pertolongan terhadap diri yang diperintahkan melakukan kejahatan dan usaha yang mendekatkanku kepadaMu Wahai Tuhan Yang Maha Agung dan Maha Mulia.

Wahai Tuhan Yang Maha pengasih dari mereka yang mengasihi dan Allah berselawat ke atas penghulu kami Muhammad. Nabi yang ummi dan ke atas ahli keluarga dan sahabat-sahabatnya dan kesejahteraan ke atas mereka.


Peristiwa-peristiwa penting:
1 Muharam - Khalifah Umar Al-Khattab mula membuat penetapan kiraan bulan dalam Hijrah.

10 Muharam - Dinamakan juga hari 'Asyura'. Pada hari itu banyak terjadi peristiwa penting yang mencerminkan kegemilangan bagi perjuangan yang gigih dan tabah bagi menegakkan keadilah dan kebenaran

Pada 10 Muharam juga telah berlaku:

Nabi Adam bertaubat kepada Allah.
Nabi Idris diangkat oleh Allah ke langit.
Nabi Nuh diselamatkan Allah keluar dari perahunya sesudah bumi ditenggelamkan selama enam bulan.
Nabi Ibrahim diselamatkan Allah dari pembakaran Raja Namrud.
Allah menurunkan kitab Taurat kepada Nabi Musa.
Nabi Yusuf dibebaskan dari penjara.
Penglihatan Nabi Yaakob yang kabur dipulihkkan Allah.
Nabi Ayub dipulihkan Allah dari penyakit kulit yang dideritainya.
Nabi Yunus selamat keluar dari perut ikan paus setelah berada di dalamnya selama 40 hari 40 malam.
Laut Merah terbelah dua untuk menyelamatkan Nabi Musa dan pengikutnya dari tentera Firaun.
Kesalahan Nabi Daud diampuni Allah.
Nabi Sulaiman dikurniakan Allah kerajaan yang besar.
Hari pertama Allah menciptakan alam.
Hari Pertama Allah menurunkan rahmat.
Hari pertama Allah menurunkan hujan.
Allah menjadikan 'Arasy.
Allah menjadikan Luh Mahfuz.
Allah menjadikan alam.
Allah menjadikan Malaikat Jibril.
Nabi Isa diangkat ke langit.


_buletinonline