Sahabat Purnama

Sabtu, 31 Oktober 2009

'Kahwini ibu tunggal bukan untuk cukup 'kuota'

Salhan K Ahmad & S Pathwamathy

Golongan ibu tunggal yang perlu dibantu hendaklah diletakkan di bawah satu kategori khas supaya golongan lelaki tidak mengahwini mereka semata-mata untuk "mencukupkan kuota poligami", kata seorang pemimpin pertubuhan Islam.

Setiausaha agung Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) Musa Awang menyarankan demikian sebagai mengulas kenyataan exco wanita Kelantan, Wan Ubaidah Omar supaya wakil rakyat yang mengahwini ibu tunggal sebagai isteri tambahan diberi "anugerah."

Wan Ubaidah yang juga pengerusi jawatankuasa wanita, keluarga dan kesihatan Kelantan memberitahu sidang DUN kelmarin bahawa langkah itu dapat membantu ibu tunggal di bawah usia 60 tahun di negeri itu, yang kini lebih 16,500 orang.

Mengulas lanjut, Musa berkata pewujudan kategori tersebut akan dapat memastikan golongan ibu tunggal dibantu melalui poligami.

"Pertama kena tengok kalau ibu tunggal itu tidak bekerja atau sekiranya dia ada ramai anak yang perlu dibesarkan.


"Jadi mungkin kita boleh letakkan kategori itu untuk ibu tunggal, contohnya, yang berpendapatan rendah dan juga anak yang ramai, hingga lima orang anak.

"Inilah kategori yang perlu dibantu," katanya ketika dihubungi Malaysiakini semalam.

Dianjurkan agama

"Kalau yang cantik, yang tak ada anak dan yang ada pekerjaan bergaji besar, itu sudah kategori lain," tambahnya.

Pendekatan itu, katanya, akan membolehkan masyarakat menghayati amalan Nabi Muhammad yang berkahwin dengan ibu tunggal.

"Antara semua orang isteri nabi, hanya Siti Aisyah seorang yang anak dara. Yang lain kesemuanya ibu tunggal, kebanyakannya yang kehilangan suami akibat perang," katanya lagi.

Sementara itu, ketua setiausaha Angkatan Beliau Islam Malaysia (ABIM) juga menyambut baik saranan itu dan berkata amalan berkenaan sememangnya dianjurkan oleh Islam.

"Memandangkan poligami amat biasa di Kelantan berbanding negeri lain di Semenanjung... Ini bukan sesuatu yang memeranjatkan," kata Mohamad Raimi.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan amalan tersebut perlu diberi perhatian dan perancangan khusus.

"Pasangan tersebut perlulah mendaftarkan perkahwinan dan walaupun ia sampai ke peringkat di mana pasangan itu perlu bercerai... ia mesti diselia," katanya lagi.

Jadi calon isteri

Menurutnya lagi, ia untuk memastikan poligami diamalkan dengan adil dan saksama kepada semua pihak.

Kebajikan ibu tunggal itu juga, katanya, mesti dipastikan walaupun mereka tidak dikahwini.

Presiden Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM) Zaid Kamaruddin juga mengalu-alukan cadangan tersebut dan menambah langkah itu sememangnya selari dengan ajaran Islam.

"Mula-mula mungkin orang akan hairan kerana penyelesaian yang dianjurkan ialah poligami, tetapi saya boleh faham sebab di sebalik cadangan ini," katanya kepada Malaysiakini.

"Jika seorang lelaki ingin ambil seorang lagi isteri mengikut cara ini mungkin boleh dijalankan dan ia patut dipertimbang kerana jika seseorang ingin mengamalkan poligami, ia sepatutnya memberi keuntungan kepada seseorang," katanya.

Bagaimanapun, Zaid menambah keprihatinan terhadap kebajikan ibu tunggal ini tidak hanya perlu setakat menjadikan mereka isteri kedua, ketiga atau keempat tapi mereka perlu juga dipertimbang oleh lelaki yang baru hendak berkahwin.

_malaysiakini bm

Resolusi Konvensyen Pakatan Rakyat Perak.


IPOH : Konvensyen Pakatan Rakyat Negeri Perak yang telah bersidang pada 31 Oktober 2009 bersamaan 12 Zulkaedah 1430 telah merumuskan resolusi berikut :-

i. Kesepakatan dan perpaduan Pakatan Rakyat perlu terus diperteguh dan diperkasakan bagi menumbangkan UMNO/BN. Segala bentuk prejudis dan prasangka buruk sesama rakan Pakatan Rakyat perlu dihindari.

ii. Meningkatkan amalan prinsip ‘collective decision’ melalui meja rundingan sebagai kaedah penyelesaian masalah.

iii. Mengukuh dan menggerakkan organisasi parti dengan penekanan serius kepada menubuh dan menggerakkan majlis pemuafakatan Pakatan Rakyat di semua peringkat parti.

iv. Menghapuskan doktrin perkauman sehingga ke akar umbi seterusnya meningkatkan hubungan sesama rakyat, kakitangan kerajaan, ahli politik, NGO dan Istana.

v. Menampilkan calon berwibawa dan berintegriti sebagai asas dan fokus kemenangan calon Pakatan Rakyat di DUN dan Parlimen. Fokus kepada program pembangunan jatidiri seluruh ahli parti terhadap perjuangan masing-masing.

vi. Meneruskan prinsip 5K Keadilan, Kewibawaan, Ketelusan, Kebajikan dan Kebebasan sebagai asas bekerja dan memerintah.

vii. Menerus dan memperbanyakkan siri dan media penerangan keseluruh negeri agar rakyat menerima maklumat yang tepat dan pemikiran rakyat tidak dijajah oleh Umno/BN.

viii. Program mewujudkan ‘kebersamaan’ antara parti komponen Pakatan Rakyat perlu segera dilaksanakan agar seleruh ahli Pakatan Rakyat memahami perjuangan rakan seperjuangan.

ix. Munajat yang berterusan bagi memohon pertolongan dan keredhaan Allah swt sama ada sewaktu dilanda krisis mahupun tidak.

x. Jawatankuasa resolusi mencadangkan agar gagasan Pakatan Rakyat disegerakan pendaftaran diperingkat nasional dengan penggunaan 1 logo.


_idhamlim.blogspot.com

18 bulan Pakatan tadbir P. Pinang dengan jayanya

Dzulfikar Mashoor

IPOH, 31 Okt: Walaupun baru 18 bulan memerintah kerajaan Pulau Pinang, Pakatan Rakyat berjaya melakukan pelbagai perubahan.

Ianya termasuk menangani kemiskinan tegar rakyat yang gagal diselesaikan sejak 51 tahun Umno memerintah kerajaan negeri itu.

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng pagi tadi menjelaskan bahawa kerajaan Pakatan Rakyat telahpun melaksanakan insentif RM500 kepada setiap keluarga miskin di negeri itu.

"Umno perintah Pulau Pinang 51 tahun dengan dasar pecah (dan) perintah...mereka gagal selesaikan isu kemiskinan tegar. Kita perintah, kita pastikan setiap keluarga miskin tegar dapat RM500," tegas.

Ujarnya, Umno dan BN memperlekah dasar itu akan kerana ia akan menjadikan kerajaan bankrup.

"Mereka kata kerajaan kita akan bankrup kalau terus beri duit kepada rakyat. Kalau beri rasuah kepada mereka tak apa. Inilah dasar Umno," jelasnya lagi.

Ketika membentangkan kertas kerja Pengalaman Pulau Pinang: Perpaduan Kaum dalam Konvensyen Pakatan Rakyat Perak, Guan Eng juga menjelaskan bahawa kerajaan negerinya mengamalkan prinsip ketuanan rakyat.

"Saya lebih suka guna perpaduan rakyat dari guna perpaduan kaum seperti Umno...kerana perpaduan kaum akan menjadikan semua kaum lebih mementingkan (dari) nilai Malaysia," tegas.

Beliau juga menjelaskan bahawa kerajaan Pulau Pinang membangunkan prasarana wireless secara percuma agar rakyat diperkasa dengan maklumat.

Tambahnya lagi, kerajaan Pakatan Rakyat di Pulau Pinang juga melaksanakan beberapa dasar kebajikan untuk kepentingan rakyat.

"Di Pulau Pinang beri elaun kepada Huffaz (penghafal al-Quran)...iktiraf lebih 100 Huffaz dengan beri sijil dan elaun tertentu kerana mereka penting untuk jaga rakyat."

"Kita (kerajaan negeri) jalankan skim pinjaman mikro kredit Islam kepada ibu-ibu tunggal."

Beliau yang juga Setiausaha Agong DAP menegaskan kerajaan boleh melaksanakan kebajikan kepada rakyat kerana kerajaan negeri mengamalkan penjimatan, ketelusan dan amanah.

"Kerajaan juga boleh kongsi kekayaan dengan rakyat kerana kerajaan dapat jimat RM38 juta...12 peratus...kita tak kebas (curi), kita bagi pada rakyat."

"Kita laksana tender terbula dengan e-tender. Kalau dulu (Umno) guna kabel politik, kita (Pakatan) guna kabel komputer secara adil dan amanah."

Beliau juga menjelaskan bahawa Pulau Pinang merupakan kerajaan negeri.

_harakahdaily.net

Kerjasama penuh kepada siasatan Lembaga Disiplin

SHAH ALAM, 31 Okt: Ketika Lembaga Disiplin PAS mula bermesyuarat hari ini, Pemuda PAS Selangor menyeru semua ahlinya agar memberikan kerjasama sepenuhnya kepada lembaga ini.

Dalam kenyataannya, Ketua Pemuda PAS Selangor, Ustaz Hasbullah Ridzuan turut menyeru semua peringkat khasnya para blogger menulis untuk mencari titik penyelesaian dalam konflik yang ada.

"Kami menyeru agar semua ahli dan blogger yang cintakan PAS sebagai sebuah jemaah Islam serta harakah Islamiyyah yang sedang berjuang untuk mendaulatkan islam menulis dengan pendekatan mencari titik pertemuan, merapatkan jurang perbezaan bukan menjarakkan lagi jurang penyelesaian dan ukhwah," kata Hasbullah dalam kenyataannya itu.

Hasbullah dipercayai mengulas keputusan mesyuarat khas Jawatankuasa PAS Pusat baru-baru ini yang mengarah Lembaga Disiplin PAS menyiasat PAS Selangor.

Ini ekoran dari beberapa dakwaan yang melibatkan aktiviti, kenyataan dan tindak tanduk kepimpinan PAS negeri itu yang dianggap merugikan PAS.

Dalam kenyataannya kepada Harakahdaily semalam, Ketua Lembaga Disiplin PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, lembaga itu akan memulakan sidangnya jam 10.30 pagi hari ini.

Bagaimanapun, beliau tidak menyebutkan di mana sidang itu akan berjalan dan menegaskan tidak akan ada sebarang kenyataan kepada media sehinggalah keputusan diserahkan kepada Jawatankuasa PAS Pusat.

Menurut Hasbullah, Dewan Pemuda PAS Selangor menerima keputusan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kerja PAS Pusat yang berlangsung di Pejabat Agung PAS pada 28 Oktober 2009 bagi menangani persoalan dan kemelut dalam PAS yang berlaku sejak akhir-akhir ini.

Dewan Pemuda PAS Selangor, katanya, juga meraikan keputusan menyelesaikan permasalahan dalaman melalui siasatan oleh Lembaga Disiplin parti. Dengan ini, tidak berbangkit lagi soal EGM (mesyuarat agung luarbiasa) kecuali jika ada keperluan dan menepati syarat yang ditetapkan.

"Kami juga berbangga dengan kepimpinan PAS Selangor kerana telah akur dengan keputusan mesyuarat khas itu dan telah menyatakan kesediaan untuk disiasat serta memberi jaminan kerjasama yang baik demi membersihkan parti dari segala salah faham dan fitnah yang berlaku," katanya.

Sehubungan dengan itu, Pemuda PAS Selangor berharap dan menggesa ahli pemuda semua peringkat agar turut mematuhi keputusan mesyuarat khas tersebut dengan tidak membuat sebarang spekulasi, kenyataan peribadi atau menyalakan kembali api fitnah menerusi apa jua media terbuka yang tidak sepatutnya seperti blog dan lain-lain.

"Kami berharap, jika ada sebarang kes yang difikirkan perlu ditangani, hendaklah didahului dengan kaedah yang terbaik mengikut adab-adab berjemaah serta ukhwah islamiyyah yang telah digarap sekian lama. Sekiranya perlu, kumpul bukti untuk dikemukakan aduan kepada Jawatankuasa Disiplin Parti, agar jelas adakah ianya tuduhan yang berasas atau sekadar sangkaan yang keliru.

"Kami juga bersetuju dengan gesaan PAS Selangor agar Jawatankuasa Disiplin Parti membuat penyiasatan secara menyeluruh dan membersihkan PAS daripada anasir yang membarahi PAS seperti mengambil tindakan yang tegas terhadap ahli-ahli yang mendedahkan rahsia parti kepada umum melalui ceramah, penulisan, saluran media dan blog mahupun ulasan dalam akhbar dan lain-lain.

"Jika ada sepuluh orang yang bermesyuarat, jangan ada orang kesebelas yang mengetahui isi kandungan mesyuarat yang bersifat rahsia tersebut," katanya.

Dewan Pemuda PAS Selangor menyeru kepada semua ahli parti agar menumpukan gerakerja dakwah dan pengukuhan dalaman serta tidak membicarakan isu ini bagi mengelak berlaku salah faham dan kekeliruan yang berpanjangan sehinggalah proses penyiasatan dan pendakwaan selesai. _ harakahdaily.net

PAS, PARTI YANG PALING BERTOLERANSI - NGEH KHO KHAM

YB Dato' Ngeh akui ketika YB Hj Nizar dicalonkan sebagai Menteri Besar dari PAS penyokong-penyokong DAP khususnya dari kalangan masyarakat Cina dan India menentang keras pencalonan ini. Pimpinan DAP Pusat dan Negeri mendapat tekanan dari penyokong-penyokongnya. Beliau berucap dalam sesi penggulungan Konvensyen Pakatan Rakyat petang tadi.

Menurut Ngeh, sebelum ini masyarakat Cina dan India sering diberi gambaran oleh media bahawa PAS dan pimpinannya ekstrim, pelampau agama, anti Cina dan sebagainya. Mereka mengundi PAS ketika itu, bukan bermakna mereka mahu PAS memimpin kerajaan,lebih-lebih lagi menjadi Menteri Besar.

Pimpinan DAP Perak yang telah lama berkawan dengan pimpinan PAS sejak Ust Sabran Asmawi sebagai Pesuruhjaya PAS semasa sama-sama menjadi pembangkang di DUN Perak 1999, menyakinkan penyokong-penyokongnya bahawa PAS dan pimpinannya tidak sebagaimana yang digambarkan oleh media.

Apabila Perak diterajui oleh Hj Nizar sebagai Menteri Besar, dengan sikap Hj Nizar dan seluruh adun dan pimpinan PAS Perak yang begitu toleransi terhadap kaum lain, akhirnya masyarakat Cina dan India menerima PAS sebagai rakan yang boleh dipercayai bagi menerajui negeri Perak. Mereka selesa dengan cara PAS memimpin dan mentadbir negeri Perak.

misbahul munir

AMANAT TOK GURU DALAM KONVENSYEN PAS PERAK

Menurut Datuk Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat ketika menyampaikan amanat dalam majlis pentup Konvensyen PR bahawa manusia dijadikan oleh Allah swt. tidak sama bentuk, wajah, suara dan sebagainya adalah bertujuan untuk mencari titik pertemuan. Begitu juga kewujudan pelbagai fahaman politik dan sebagainya adalah untuk mencari titik pertemuan. Pakatan Rakyat yang ditubuhkan merupakan titik pertemuan yang berjaya menyatukan pembangkang bagi menentang kezaliman UMNO BN yang mewarisi kejahatan zaman berzaman.

Ucapannya adalah singkat tetapi padat dengan amanat yang cukup berharga kepada para perwakilan. Menurut Tok Guru UMNO BN adalah kelompok yang bodoh, primitif dan jakun kerana tolak Islam. Orang yang bodoh tidak layak memimpin negara, kalau UMNO tidak bodoh, sudah tentu UMNO BN tidak rampas kuasa di Perak, ia guna akal dan kekuatan partinya untuk mengambil kuasa dengan cara demokrasi sebagaimana Pakatan Rakyat lakukan dalam pilihanraya.

misbahul munir

Rosmah ganti Khairy?? Jahanam la Malaysia...

Dulu Khairy, sekarang Rosmah menjadi kepala "Tingkat 4" pejabat Perdana Menteri.

Pegawai kanan Kementerian Kewangan dikatakan semakin gusar dengan campurtangan Rosmah Mansor, isteri Perdana Menteri, dalam urusan Perbendaharaan Negara,termasuk penyediaan Belanjawan 2010 dan pemberian kontrak dan tender kerajaan.

sumber-sumber kerajaan berkata campurtangan itu sudah di "tahap kritikal' dengan Rosmah mempertikaikan keputusan tertentu Timbalan Perdana Menteri Muhyyiddin Yassin dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan.

Campurtangan Rosmah itu tidak menerima sebarang teguran daripada Najib walaupun beliau adalah juga Menteri Kewangan.

Sumber-sumber memberitahu Suara Keadilan, Rosmah menaruh minat yang amat mendalam terhadap penyediaan Bajet 2010 yang akan dibentangkan oleh Perdana Menteri di Parlimen pada sesi Persidangan Dewan Rakyat 23 Oktober depan.

Isteri kedua Najib itu dikatakan mempunyai akses kepada semua bahan-bahan serta dokumen yang berkaitan dengan belanjawan tersebut sehinggakan menimbulkan rasa gelisah dan tidak senang hati di kalangan pegawai tinggi kementerian.

Campurtangan Rosmah dalam keputusan pada peringkat tertinggi kerajaan meletakkan pengurusan negara dalam keadaan bahaya dan kewibawaannya di kompromi.

Sumber juga memberitahu Rosmah memperlihatkan keghairahan beliau terhadap semua aspek perbelanjaan setiap kementerian terutama yang berkaitan dengan pembelian atau "procurement" serta pemberian kontrak-kontrak.

"Rosmah memberi perhatian mendalam kepada aspek penyediaan Bajet 2010 terutamanya yang berkenaan dengan pembelian dan kontrak-kontrak kementerian yang penting," kata sumber itu.

Walaupun tidak memegang sebarang jawatan rasmi Rosmah mempunyai sebuah pejabat di Pejabat Perdana Menteri dan mempunyai beberapa kakitangan bagi membantu beliau.

Malah pelancaran laman website beliau, www.pmo.gov.my/datinrosmah telah mengundang kritikan kerana didakwa menggunakan dana awam dan salahguna kuasa untuk menyenggara laman web peribadinya.

TVAntara

Apa Yang Harus Dikatakan Lagi?

NO HOLDS BARRED

Raja Petra Kamarudin

Buat pertama kali saya berjumpa dengan Badrul Hisham Abdullah adalah pada Februari 2008. Saya berjumpa dengannya kerana jemputan daripada Ronnie Liu. Ronnie Liu akan bertanding di DUN Pandamaran yang berada dibawah Kawasan Parlimen Port Kelang, manakala Badrul Hisham Abdullah juga bertanding di DUN Port Kelang yang bersebelahan dengan Pandamaran yang juga berada dibawah Kawasan Parlimen Port Kelang. Maka untuk memastikan Charles Santiago memenangi Kawasan Parlimen Port Kelang, kemenangan Ronnie Lie dan Badrul Hisham Abdullah adalah sangat penting.

Saya tidak risau dengan DUN Pandamaran kerana Ronnie telah berkerja kuat dan menghabiskan banyak masa untuk membina kubunya disana. Kami percaya Ronnie boleh memenangi kawasan itu tanpa sebarang masalah. Tapi Port Kelang merupakan perkara lain, adalah menjadi satu tugas yang susah untuk memenangi kawasan itu.

Pertama, siapa yang kenal Badrul Hisham Abdullah. Kedua, kawasan tersebut merupakan kubu kuat Barisan Nasional kerana penduduk Melayu dari Kampung Raja Uda telah mengundi UMNO sejak dari Merdeka lagi. Penduduk Kampung Raja Uda tidak pernah mengundi pembangkang dan Badrul Hisham Abdullah tidak mungkin akan memenangi kawasan itu melainkan penduduk kampung itu mengundinya.

Untuk memastikan kememangan Badrul Hisham Abdullah, Ronnie telah berkempen untuknya dan meminta saya supaya berjumpa dengan penduduk Kampung Raja Uda. Untuk memastikan kememangan Badrul Hisham Abdullah, kita harus mendapat undi Melayu dari Kampung Raja Uda kata Ronnie. Undi orang Cina dan India bukan masalah besar. Sekiranya kita tidak mendapat undi dari kalangan orang Melayu kerana orang Melayu merupakan majoriti disana, walaupun kita mendapat 100% sokongan daripada orang Cina dan India, itu tidak menolong. Bahkan kita tidak mungkin memenangi 100% undi daripada orang Cina dan India.

Ronnie telah mengadakan ceramah untuk saya di Kampung Raja Uda. Mesej saya kepada pengundi Melayu di Kampung Raka Uda adalah ringkas dan tepat pada mesej. Hujan lebat pada hari itu dan kesemua pengundi Melayu basah kuyup kerana hujan. Jadi adalah lebih baik saya berceramah tepat kepada mesej supaya mereka tidak perlu bermandikan hujan.

Pembangkang tidak pernah menang undi dari Melayu di Kampung Raja Uda sejak Merdeka lagi, saya kata. Melayu selalu mengundi parti pemerintah. Ini adalah kali pertama saya meminta pengundi Melayu untuk mengundi pembangkang, saya kata. Kampung ini, Kampung Raja Uda dinamakan sempena dengan nama Datuk saya iaitu Raja Tun Uda. Saya selalu bersinggah disini semasa Hari Raya pada waktu saya masih kecil lagi kerana saudara mara saya tinggal disini walaupun banyak yang telah berhijrah keluar dari sini.

Sekiranya pengundi Melayu disini masih memilih parti pemerintah dan bukannya pembangkang, saya mahu mereka supaya menukar nama Datuk saya dari nama kampung ini. Sebut saja apa nama janji bukan Kampung Raja Uda. Sekiranya parti pemerintah menang lagi di kawasan Kampung Raja Uda maka saya bersumpah saya tidak akan pijak lagi ke tanah kampung ini.

Ketika pada hari mengundi, Badrul Hisham Abdullah telah memenangi kerusi Port Kelang, buat pertama kali dalam sejarah, Kampung Raja Uda telah memilih pembangkang. Tetapi semasa pengumuman kememangan calon, Badrul Hisham Abdullah tidak kelihatan. Mereka bergegas ke rumahnya untuk memastikan sama ada dia berada di rumahnya atau tidak. Mereka mengetuk pintunya tapi nampaknya tidak sebarang balasan dari dalam. Mereka mengetuk lagi pintu lalu Badrul Hisham Abdullah yang kelihatan baru bangun dari tidur datang ke mereka. Dia tidur. Semasa pengiraan undi dibuat dia tidur di rumahnya pula.

Badrul nampaknya masih tidak sedar diri. Kamu menang, mereka memberitahunya. Cepat menukar pakaian dan pergi ke pusat kira undi sekarang. Mereka memerlukan anda untuk diisytiharkan anda sebagai pemenang.

Badrul diam. Cepat, tukar pakaian. Kamu menang. Kamu perlu pergi ke tempat kira undi sekarang.

Saya memang? Badrul tak percaya dengan apa yang dia dengar.

Ya, kamu menang, cepat, ikut kami. Anda perlu berada di sana.

Tanda-tanda yang aneh dengan orang ini jelas terbukti pada hari pencalonan lagi dan Ronnie telah memberitahu saya dia agak risau dengan orang ini. Dia pergi ke pusat penamaan calon tanpa membawa wang jadi tidak mungkin untuknya membayar deposit. Maka mereka telah bergegas untuk mengumpulkan wang untuknya supaya dia dapat dicalonkan.

Setelah Badrul telah dilantik sebagai ADUN, dia menghilangkan diri. Daripada menghabiskan masa bersama dengan ADUN dan MP Pakatan Rakyat, dia lebih suka untuk menghabiskan masa makan malamnya dengan oranh-orang UMNO dan menjauhkan diri dari kawannya di Pakatan Rakyat.

Saya pernah memberitahu Nik Nazmi, iaitu setiausaha politik kepada Menteri Besar, tentang masalah Badrul pada pertengahan 2008 lagi. Saya kata mungkin kita akan 'kehilangannya'. Dan sebenarnya kami memang kehilangannya beberapa hari selepas pilihan raya umum 8 Mac 2008.

Nik Nazmi mengatakan kepada saya bahawa mereka menyedari masalah ini. Tapi tiada apapun usaha dilakukan dan sekarang masalah telah datang kembali ke PKR dan Pakatan Rakyat.

Itu adalah kisah Abdullah Badrul Hisham, calon PKR untuk kerusi DUN Port Kelang dimana pada hari penamaan calon, dia tidak membawa wang untuk membayar depositnya, dan pulang ke rumahnya dan tidur sementara pengiraan undian sedang berjalan lancar, dan yang nyaris 'menyertai' UMNO beberapa hari selepas beliau memenangi pilihanraya.

Ketika pertama kali kami bertemu dengan Badrul, isteri saya kata, oh Tuhan, PKR tidak mempunyai calon lain untuk dipilih? Secara jujur, isteri saya kata, bahkan aku tidak akan memilih dia. Bagaimana pula kita mengharapkan masyarakat setempat untuk memilih dia?

[ADS] Terima Email Dan Dapatkan $$$ Setiap Kali Membacanya !!!
[ADS] Malaysia Online Contest, Promotion & Earning Blog!!!

Saya rasa anda mungkin calon yang jauh lebih baik jika dibandingkan dengan Badrul, aku memberitahu isteri saya.

Itu sangat menghina, jawab isteri saya. Kenapa anda membandingkan saya dengannya? Bahkan saya tidak percaya padanya walaupun untuk memotong rumput, apatah lagi meminta dia menjadi Wakil Rakyat saya.

Ya, itu adalah pendapat isteri saya. Dan Ronnie mengatakan kepada saya pada bulan March 2008 yang kita akan menghadapi sedikit masalah dengan Badrul. Kami percaya dia sudah melompat lebih daripada setahun yang lalu. Apa yang kami terkejut ialah hal ini telah mengambil masa yang begitu lama untuk terjadi. Dan apa yang paling mengejut ialah kenapa PKR tidak mengambil sebarang tindakan walaupun mengetahui semua ini?

Itu adalah kisah PKR. Dan ada banyak lagi orang-orang seperti Badrul Hisham Abdullah yang bersembunyi di PKR. Aku hanya bertanya-tanya bila akan terjadinya lagi perkara seperti kes Badrul.

PKR mula dilihat sebagai parti gurauan. Tetapi gurauan ini tidak melucukan. Kami telah berkempen dan meminta para pengundi supaya mempercayai kami untuk mengundi pembangkang. Saya juga turun ke padang secara peribadi untuk merayu para pengundi untuk mempercayai saya dan mengundi pembangkang. Adakah kita telah merosakkan kepercayaan itu? Adakah pengundi masih akan percaya pada saya lagi?

Itu yang saya hendak menyampaikan, itu adalah tragedi terbesar buat kita semua.

”Kita (Pemuda) berjihad menentang ‘musuh’ Allah SWT” – Ustaz Nasruddin

KEMAMAN - Pemuda PAS perlu mempersiapkan diri untuk keluar ke tengah medan meneruskan jihad menegakkan Islam di bumi Allah SWT.

Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Nasruddin Hassan At-Tantawi berkata persiapan jentera Pemuda memerlukan perancangan teliti dan menyusun gerak kerja ke arah lebih mantap dan berkesan.

Ini penting, katanya kerana hanya gerak kerja yang terancang dan tersusun serta semangat juang yang tinggi akan membuahkan hasil yang diidamkan, menegakkan Daulah Islamiah di Malaysia.

“Kita (Pemuda PAS) kena sedar bahawa pemuda sebagai obor perjuangan ini telah dipertanggungjawabkan dengan tugasan untuk bersama di medan perjuangan Islam.

“Kita (Pemuda) berjihad menentang ‘musuh’ Allah SWT, membangun, mendidik dan membentuk ummah dan mempertahankan syakhsiah ummah,” tegasnya ketika merasmikan Himpunan Pemuda Islam Terengganu (HIMPIT) 2009 di Dataran Tok Guru di Kampung Geliga Besar, Chukai, Kemaman, semalam.

Katanya, ‘Himpit 10K’ yang diadakan ini menjadi medan kepada generasi muda menyahut seruan ‘Pemuda adalah obor perjuangan’.

Ustaz Nasruddin mengingatkan Pemuda PAS agar tidak lalai dan terpesona dengan kemenangan selesa pasca pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12 lalu.

“Saya harap semoga Himpit 10K yang diadakan ini menjadi medan buat generasi pemuda menyahut seruan “Pemuda Adalah Obor Perjuangan” untuk memperlihatkan Islam terus berdaulat di atas muka bumi Allah SWT.

“Mudah-mudahan dalam suasana PAS berada ditahap selesa pada pasca PRU ke-12 lalu, Kita (PAS) tidak terpesona dengan kemenangan yang ada sehingga ia melalai dan melupakan kita (PAS) dari tugas dan tanggungjawab besar yang berada dihadapan kita,” ujarnya di hadapan hampir 10,000 Pemuda PAS dari seluruh negeri.

Menurutnya, cabaran lebih besar kini berada di hadapan yang bakal ditempohi oleh setiap ahli perjuangan parti.

Katanya, Pemuda PAS tidak pernah takut dan gentar dengan sebarang bentuk cabaran demi menegakkan daulah Islamiah di negara tercinta ini.

Hadir sama pada majlis tersebut Timbalan Pesuruhjaya III PAS Terengganu, Ustaz Satiful Bahri Mamat, Setiausaha Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu, Yahya Ali dan Ketua Pemuda PAS Terengganu, Ustaz Mohd Nor Hamzah.

_buletinonline

Lokasi tiada ciri keselamatan

KUALA DIPANG – Mayat seorang murid tahun lima Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Mambang Di Awan yang dihanyutkan arus deras dalam kejadian jambatan runtuh di Sekolah Kebangsaan Kuala Dipang yang juga Pusat Kokurikulum Pejabat Pelajaran Daerah Kinta Selatan, ditemui dalam lubuk berhampiran Kampung Melayang iaitu satu kilometer dari tempat kejadian.

Mendiang, N Dina Deve dijumpai jam 8.45 pagi semalam oleh pasukan sukarelawan yang dianggotai beberapa individu anak jati kampung berkenaan.

Bapa mangsa, T Nathan, 42, seorang pemandu lori dan ibunya, Morgana, 35, suri rumah ketika ditemui di kediaman mereka tidak mampu berkata-kata, bahkan dari raut wajah mereka jelas tergambar perasaan sedih dan sayu menyelubungi pemergian anak keduanya itu.

Bapa saudara mangsa, M Subramaniam, 51, berkata, mereka sekeluarga cukup terkilan dengan kecuaian pembinaan jambatan berkenaan yang didapati tidak menepati spesifikasi ditetapkan.

“Hasil pemantauan dibuat, Kem 1Malaysia yang julung-julung kali dianjurkan ini langsung tidak menitikberatkan soal keselamatan peserta, kelengkapan dan persediaan pasukan keselamatan di tempat itu juga tidak disediakan penganjur.

“Sepatutnya penganjur menekankan soal keselamatan peserta, bukannya sekadar memenuhi aktiviti atau program sahaja, guru yang ditugaskan sebagai pengiring pula perlu bersedia dalam menghadapi sebarang kemungkinan bukannya hanya mampu melihat sahaja peristiwa berlaku di depan mata mereka,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

:Subramaniam turut mempersoalkan Kementerian dan Jabatan Pelajaran Negeri, Pejabat Pelajaran Daerah dan pihak sekolah yang dianggap gagal menyediakan pelan bertindak lengkap bagi menghadapi sebarang peristiwa tidak diingini.

Menurutnya, atas kegagalan inilah menyebabkan mendiang menjadi mangsa pertama runtuhan jambatan yang baru siap kira-kira dua minggu lalu.

“Namun begitu, kami perlu menerima pemergiannya, mungkin ada hikmah di sebalik apa yang berlaku.

“Mayat mendiang akan disemadikan di tanah perkuburan India Mambang Di Awan pada jam 11 pagi esok (hari ini),” katanya.

Sejumlah 298 murid-murid dari 60 buah sekolah daerah Kampar terlibat dalam kem 1Malaysia bermula 26 dan dijangka berakhir 29 Oktober.

Bagaimanapun, kem berkenaan diarahkan berhenti serta merta oleh Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berikutan tragedi runtuhan itu, malam kelmarin.

sinarharian