Sahabat Purnama

Khamis, 26 November 2009

'Jangan larang Nik Aziz letak jawatan'

Anak Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berharap tiada pihak yang yang melarang ayahnya meletak jawatan jika beliau berhasrat berbuat demikian "kerana ayahanda telah tua dan keletihan".

"Ayahanda telah tua dan keletihan. Dia telah memberi yang terbaik. Jika suatu hari dia menyebut hasrat meletakkan jawatan, jangan ada yang bodoh datang mengatakan tidak dan jangan," tulis Nik Abduh Nik Aziz dalam blognya semalam..

"Jika tidak, saya akan memanggilnya, 'Wahai si bodoh!', tulis Nik Abduh Nik Aziz yang juga exco Dewan Pemuda PAS pusat.
Tulisan Nik Abdul itu menyemarakkan lagi spekulasi mengenai kemungkinan berlakunya peralihan kuasa dalam barisan kepimpinan di Kelantan.
Nik Aziz yang juga mursyidul Am PAS, memegang jawatan menteri besar Kelantan sejak 19 tahun yang lalu.
Sebelum ini, terdapat cadangan supaya Nik Aziz menamakan bakal penggantinya lebih awal supaya tidak timbul kekalutan apabila tiba masanya beliau melepaskan jawatan.

Timbalan Pesuruhjaya Pas negeri, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah dilaporkan berkata, proses peralihan yang lebih panjang secara terancang dapat memastikan kestabilan dalam parti.

Bagaimanapun, exco Kanan negeri, Datuk Husam Musa, antara yang disebut-sebut sebagai pengganti Nik Aziz pula dilaporkan tidak berhasrat dan tidak mahu namanya dikaitkan dengan perkara itu.

Satu lagi nama yang disebut-sebut, Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob yang juga timbalan pesuruhjaya PAS negeri.
Beliau yang baru pulang daripada perkhemahan Pemuda PAS di Sepang baru-baru ini juga akur terhadap desas-desus peletakan jawatan yang mengocak politik Kelantan mahu dinafikannya sebelum ini.

Katanya, melalui kiriman SMS yang diterimanya, terdapat juga ura-ura peletakan jawatan seorang pemimpin kesayangan Nik Aziz.

Dalam artikel panjang berjudul 'Abdul Ariffahmi Abdul Rahman – Moga Awan Berarak Lalu', Nik Abduh mempertahankan bekas ketua pegawai eksekutif Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) itu yang didakwanya tidak harus dibiarkan bersendirian mempertahankan diri.

Beliau dlihat menyerang balas bekas pegawai perhubungan korporat PMBK, Syed Aziz Syed Abdul Aziz yang dipecat Abdul Ariffahmi pada 11 November lalu dan kemudiannya mendedahkan di blog dakwaan salah urus menantu Ni Aziz itu.

Nik Abduh menyifatkan tulisan Syed Azidi - penulis blog Kickdafella itu - sebagai "hukuman melalui tulisan" dan "sama seperti hakim yang menghukum dalam keadaan mabuk kedarah arak terlarang."

Nik Abduh - yang sebelum ini yang mencetuskan kontroversi apabila mengkritik sesetengah pembantu Nik Aziz sebagai "ulama mi celup" - kini dilihat konsisten mengulanginya.

"Saya tahu mereka tidak menyetujui pelantikan (Abdul) Ariffahmi. Tetapi mereka telah berusaha untuk membantu menjadikannya harapan yang terlangsai buat ayahanda.

"Tetapi ada yang tidak begitu. Ada yang hanya berusaha untuk membersih diri sendiri dan meninggalkan ayahanda dalam perangkap dan kekeliruan.

Nik Abduh juga mengumumkan hasranya melepaskan semua jawatan politik dan ahli Majlis Perbandaran Kota Bharu bermula tahun depan bagi "membuka buku baru". _malaysiakini bm

Mohd Amar setuju Ahmad Yaakob jadi MB K'tan

Timbalan Pesuruhjaya III PAS Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, bersetuju Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob, dilantik sebagai menteri besar sebagaimana saranan anggota exco kanan kerajaan negeri, Datuk Husam Musa.

Dengan sokongan itu, Mohd Amar secara tidak langsung menolak pemilihannya sebagai pengganti menteri besar Kelantan, lapor Bernama.

Beliau menyokong kenyataan Husam semalam bahawa Ahmad yang juga timbalan pesuruhjaya I PAS Kelantan, merupakan pemimpin paling layak dilantik menteri besar, jika Datuk Seri Nik Abdul Aziz Nik Mat, melepaskan jawatannya.

Nik Amar berkata, tanpa dipengaruhi mana-mana pihak, beliau secara peribadi menyatakan sokongan itu berdasarkan kedudukan timbalan menteri besar itu sebagai pemimpin paling senior dalam kepimpinan kerajaan negeri itu.

"Berdasarkan hiraki parti, Datuk Ahmad (Yakob) paling layak memegang jawatan itu," katanya kepada pemberita selepas majlis penghayatan wukuf peringkat negeri di Pusat Tarbiayah Islamiah Kelantan (PUTIK), Pengkalan Chepa, hari ini.

Ditanya mengenai kenyataan Husam tidak dicalonkan sebagai menteri besar bagi mengambil alih tempat Nik Aziz jika menteri besar melepaskan jawatannya, Mohd Amar berkata itu pendapat peribadi Husam sendiri.

"Itu hak dan soal dia, saya tidak boleh kata apa," katanya.

Isu itu tercetus apabila Mohd Amar sebelum ini membuat kenyataan mencadangkan supaya Nik Aziz menamakan calon yang bakal menggantikannya bagi mengelakkan berlaku sebarang perebutan dalam parti bila beliau berundur.

Menurutnya, kenyataan beliau yang dikeluarkan oleh laman web The Malaysian Insider itu tidak berniat meminta menteri besar berundur lebih awal daripada sepatutnya.

"Saya membuat kenyataan itu sebagai jawapan kepada salah satu daripada persoalan yang dikemukakan wartawan laman web itu baru-baru ini, tidak lebih dari itu," katanya.

Sementara itu, Nik Aziz yang ditemui selepas itu tidak mahu ditemubual oleh wartawan kerana alasan penat berucap di majlis itu.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang juga tidak mahu berbuat demikian._malaysiakini bm