Sahabat Purnama

Selasa, 10 November 2009

Bai'ah talak: "Tiada dalam kepala saya"-Nik Aziz

KOTA BHARU, 10 Nov: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mendakwa isu bai'ah menceraikan isteri dengan talak tiga, segaja ditimbulkan oleh pihak yang dengki kepada PAS.

Dalam satu sidang media di pejabat Menteri Besar Kelantan siang tadi, Nik Aziz memberitahu perkara itu tidak ada dalam pengetahuan beliau dan tidak pernah kedengaran di negeri itu.

“Benda ni tak ada dalam kepala saya, tidak ada bai’ah -bai’ah (talak tiga) ni, tidak ada bunyi khabar pun benda ni di Kelantan,” katanya.

Isu tersebut dakwanya dicetus pihak sekular anti Islam yang berusaha mencari jalan untuk menggugat kedudukan PAS.

PAS yang sedang berkembang menjadi sebuah parti Islam yang diterima semua kaum sudah pasti dicemburui oleh pihak lawan.

Yang ada ujarnya sekadar bai'ah biasa bagi menunjukkan taat setia seperti akujanji yang dilaksanakan terhadap kakitangan awam.

"Mana ada parti ke, kakitangan kerajaan ke yg tak buat bai'ah ni.....mcm aku janji lah, semua ada buat tapi tak sampailah bai'ah taklik," ujarnya lagi.

"Kita kahwin dengan orang pun ada tanda tangan, ijab qabul, qabul tu baih'a lah," katanya.

PAS minggu ini dipalit pula dengan dakwaan melaksanakan bai'ah menceraikan isteri dengan talak tiga kepada wakil rakyat mereka sekiranya berhenti dan keluar daripada parti itu.

Selain Nik Aziz, setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali sebelum ini juga menafikan wujudnya bai'ah taklik tersebut dan beliau diberi tanggungjawab untuk menyiasat dakwaan terbaru itu.

Isu ini dikatakan mula tersebar selepas satu majlis dialog antara beberapa pimpinan PAS di Selangor dengan sembilan blogger.

Kemudianya pula mendapat respon dari muslimat PAS dan dilaporkan secara besar-besaran oleh akhbar milik Umno, Utusan Malaysia._harakahdaily.net

Bai’ah sengaja digembar-gembur pihak anti-Islam

JELI - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, isu bai’ah wakil rakyat untuk menceraikan isteri dengan talak tiga sekiranya berhenti atau keluar parti sengaja digembar-gemburkan pihak anti-Islam.

Menurutnya, golongan yang sengaja mengapi-apikan perkara tersebut adalah 'mereka yang tiada kerja'.

“Pas sekarang dalam keadaan tenang dan mereka ini sengaja melakukan perkara-perkara pelik disebabkan tiada kerja yang hendak dilakukan.

“Saya sendiri tidak tahu bagaimana adanya bai’ah menceraikan isteri dengan talak tiga sekiranya berhenti dan keluar daripada parti. Mereka ini sengaja mengada-adakan cerita dan mereka ini merupakan golongan anti-Islam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Sinar Harian selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian dan peletakan batu asas bagi cadangan projek pembangunan secara integrasi Taman Persiaran Indah di antara Majlis Daerah Jeli (MDJ) dan Kelkon Sdn Bhd.

Projek bernilai RM45 juta itu akan dimulakan pada Februari 2010 dan dijangka siap sepenuhnya tahun 2016.

Majlis yang belangsung di Dewan Balora MDJ itu turut dihadiri Yang Dipertua MDJ, Serpudin Mohamed dan Pengerusi Kelkon, Hanifa Ahmad.

Dalam pada itu Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, pihaknya tiada halangan untuk membenarkan bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin berceramah di Kelantan.

“Kelantan negeri terbuka, sesiapa sahaja pun boleh berceramah di negeri ini selagi tidak bermasalah.

“Kita tidak akan ambil tindakan selagi tidak bermasalah, jika bermasalah kita akan ambil tindakan sewajarnya,” katanya. _sinarharian

Teroka China dengan tawar 10% ekuiti Sime Darby

Dzulfikar Mashoor

KUALA LUMPUR, 9 Nov: Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar berharap kerajaan boleh memanfaatkan kunjungan rasmi kerajaan China esok.

Ianya termasuk membenarkan pelapor dari China memegang 10 peratus saham Sime Darby demi meneroka pasaran perdagangan baru di sana.

"Malaysia sepatutnya mengambil manfaat dari lawatan rombongan China ke negara kita dengan membuat rundingan-rundingan yang boleh beri manfaat bersama.

"Dengan beri 10 peratus saham Sime Darby pada China misalnya, ia akan beri keuntungan berganda...contoh pasaran minyak sawit kita boleh menembusi pasaran China yang luas," cadang Mahfuz.

Mahfuz yang juga Naib Presiden PAS berpendapat dengan pemegangan ekuiti itu, membolehkan Malaysia melebarkan pasaran minyak sawit ke negara pengguna terbesar dunia itu.

"Kalau setiap rakyat China boleh ambil (beli) satu sudu minyak sawit kita pun, kita dah untung besar hasil perkongsian perdagangan ini," ujarnya.

"Pengguna China yang agak tinggi sekarang tidak mustahil mampu meningkatkan harga minyak sawit global...akhirnya negara dan rakyat dapat pulangan hasil industri komersial ini."

Tambahnya lagi, isu pemilikan 10 peratus ekuiti minyak sawit Sime Darby tidak boleh disamakan dengan isu pemilikan 30 peratus ekuiti beras Bernas yang dipertikai sebelum ini.

"Isu Bernas, kerajaan cuba memberikan pemilikan yang besar kepada Hong Kong tanpa kita boleh ambil apa-apa manfaat yang lebih dari mereka.

"10 peratus yang kita tawar pada China, kita masih kuasai Sime Darby...dan yang lebih penting kita dapat keistimewaan memasarkan minyak sawit kita dalam pasarannya yang cukup luas itu," jelasnya.

Dengan penerokaan pasaran baru ini, ianya akan mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai pengeluar minyak sawit terbesar dunia._harakahdaily.net