Sahabat Purnama

Selasa, 4 Mei 2010

Keputusan kenaikan gaji pengawal minggu depan

KUALA LUMPUR - Permintaan Persatuan Perkhidmatan Kawalan Keselamatan Malaysia untuk menangguhkan pelaksanaan gaji pengawal keselamatan yang dijadualkan bermula 1 Julai diputuskan pada hujung minggu depan

Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S Subramaniam berkata, akan membuat satu kenyataan tentang isu itu pada hujung minggu depan pada hari Khamis atau Jumaat di mana segala isu mengenai hal itu akan dijelaskan.

Beliau berkata demikian ketika mengulas permintaan persatuan itu pada Khamis lalu supaya menangguhkan pelaksanaan kenaikan gaji pengawal ke tahun depan,

Penangguhan itu bagi membolehkan syarikat keselamatan merundingkan semula kontrak dengan pihak yang menggunakan perkhidmatan mereka.        

Ketika ditanya sama ada pihaknya sudah menerima memorandum daripada persatuan itu, Dr Subramaniam berkata: “Saya tidak lihat itu tetapi mungkin mereka sudah hantar.”

Menerusi kenaikan gaji ini, kira-kira 150,000 pengawal keselamatan akan menikmati gaji pokok antara RM1,100 dan RM1,450 sebulan iaitu kenaikan antara 67 peratus dan 75 peratus mulai 1 Julai ini. - Bernama _sinarharian

Sepasang suami isteri didakwa dera anak kandung

MELAKA - Sepasang suami isteri hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tuduhan mendera secara fizikal anak lelaki mereka yang berusia 10 tahun lima bulan pada bulan lepas.

How Guan Teng, 39, dan isteri Ang Moi Lay, 36, didakwa dengan niat bersama melakukan penderaan terhadap anak kandungnya itu di sebuah rumah di Taman Mawar Jaya, Machap Umboo, Alor Gajah pada pukul 12.30 malam, 25 April lepas.

How, seorang mekanik dan Ang, suri rumah, didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama di bawah Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda tidak lebih daripada RM20,000 atau penjara tidak lebih daripada 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

How dan isterinya tidak diwakili peguam.

Hakim Zaharah Hussain membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 3 Jun depan untuk sebutan kes berkenaan.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Ifa Sirrhu Samsudin.- Bernama _sinarharian