Sahabat Purnama

Rabu, 2 Disember 2009

Bajet Pulau Pinang jamin masa depan rakyat

Mohd Sabri Said  
GEORGETOWN, 2 Dis: Bajet Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Pulau Pinang bertemakan 'Menjamin Masa Depan Kita' memberi harapan baru kepada keseluruhan rakyat negeri ini.

Penumpuan khusus diberikan terhadap sektor pendidikan serta tiga teras utama pada bajet 2008 iaitu merancakan pertumbuhan ekonomi, mewujudkan peluang pekerjaan dan menjamin keadilan sosio ekonomi.

Paling mengembirakan walaupun baru hampir dua tahun memerintah, Ketua Menteri melakukan beberapa pembaharuan memberi peluang kepada para peniaga melaksanakan urusan dengan tander terbuka selari dengan dasar Cekap, Akautabiliti dan Telus (CAT) sehingga mendapat kepujian oleh Ketua Audit Negara dan badan Anti Rasuah terulung.

Kepujian itu merupakan lambang kejayaan kerajaan yang telus serta merupakan negeri pertama mendapat gelaran tersebut di Malaysia setelah berjaya membaiki kelemahan kerajaan terdahulu.

Melalui bajet 2010 ini, kerajaan Pulau Pinang telah bertekad mendirikan suatu Hab Pendidikan Cemerlang di Pondok Upeh, Balik Pulau dengan kos RM121 juta termasuk kos pengambilan tanah.

Selain menekankan pertumbuhan ekonomi, kerajaan negeri juga berhasrat membentuk sebuah negeri bercorak demokratik, ketuanan rakyat dan kepimpinan beretika di bawah nilai-nilai 5K iaitu kebebasan, keadilan, kebenaran, keluhuran undang-undang dan ketaqwaan kepada Tuhan.

Antaranya meningkatkan daya saing ekonomi ekoran krisis ekonomi dunia masih meninggalkan impak ke atas ekonomi dunia keseluruhanya.

Namun begitu, Pulau Pinang tetap berusaha ke arah memantapkan ekonomi dan ia berjaya dibuktikan apabila 151 projek pelaburan telah diterima oleh Pulau Pinang dengan kadar pelaburan RM10.156 bilion.

Pada masa yang sama 22,215 pekerjaan dapat diwujudkan setelah mendapat pelaburan baru oleh Kerajaan Negeri iaitu berjumlah RM1.66 bilion pada tempoh Januari hingga Ogos tahun lepas.

Dari jumlah itu RM466 juta adalah pelaburan domestik dan baki sebanyak RM1.2 bilion merupakan pelaburan asing.

Sektor infrastruktur dan kemudahan awam juga diberikan penekanan berikutan aduan yang diterima serta memperbaiki kelemahan yang ada.  Contoh paling ketara ialah pengangkuan awam Rapid Penang yang dikatakan belum memenuhi tahap kualiti pengangkutan awam.

Akan tetapi pertambahan 100 bas lagi dipercayai akan mengatasi masalah tersebut selari dengan fokus yang diberikan menerusi janji kerajaan yang lebih efesyen dan cekap.

Bagi mencapai hasrat pembangunan sejagat Kerajaan Negeri juga berterima kasih pada Kerajaan Persekutuan untuk merealisasikan dua projek terbesar iaitu projek pembesaran Empangan Mengkuang dan menaik taraf Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang.

Projek Empangan Mengkuang mendapat kenaikan peruntukan dari RM506.64 juta kepada RM955 juta di mana ia akan dimulakan pada awal 2010 dan dijangka siap dalam jangkamasa empat tahun.

Manakala pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pianag pula dilaksanakan semula dengan kos RM1.75 bilion di bawah Rancangan Malaysia (RMK 10) dengan mengambil masa setahun untuk siap sepenuhnya.

Kerajaan Negeri juga memfokuskan kepada memperkasaan sektor pertanian dan Industri Asas Tani walaupun kadar pertumbuhanya hanya 2.3 peratus dalam tempuh 2007-2010 berbanding kadar nasional sebanyak 7.1 peratus.

Namun begitu, memandangkan pembangunan sektor itu berpotensi pada masa depan Kerajaan Negeri telah memajukan lot 1441, Mukim Juru 12, Daerah Seberang Perai Tengah dengan keluasan 284.62 hektar sebagai Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM).

Bukan sahaja sektor ekonomi malahan sektor ekologi juga turut diberikan keutamaan kerana selama ini sektor tersebut terlepas pandang sehingga mencetuskan fenomena baru dan ancaman kepada rakyat.

Jesteru itu, kali ini Kerajaan Negeri telah membuat penelitian terhadap isu hijau dengan menyasarkan program kualiti alam sekitar dengan lebih berkesan lagi.

Antara program yang telah dilaksanakan untuk menimbulkan kesedaran rakyat ialah Hari Kempen Tanpa Beg Plastik, Kempen Green State serta pelancaran EM Mud Ball di semua peringkat daerah di Pulau Pinang.

Hasilnya boleh dikatakan semua pemaju perumahan telah bekerjasama dengan mengwujudkan kawasan hijau di setiap rumah atau kawasan perumahan.  Tidak hairanlah kesanya Negeri Pulau Pinang telah diiftirafkan sebagai negeri pertama di Malaysia mengadakan polisi seumpama itu bagi menggalakan dan menyokong inisiatif bangunan hijau (Green Building Index) atau ringkasnya GBI._harakahdaily.net

Penzalim yang degil wajar didoa bala - Ulama

M Faqih & Salmah Mat Husain   
KOTA BHARU, 2 Dis: Ketua Unit Dakwah Halaqat, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan, Ustaz Abdullah Abdul Razak berkata doa meminta ditimpa musibah kepada orang yang membuat kezaliman bukan sesuatu kesalahan.

Bagaimanapun ia adalah pilihan terakhir selepas pihak yang melakukan kezaliman itu tetap berdegil selepas pelbagai kaedah lain digunakan.

"Doa itu senjata orang mukmin, tidak menjadi satu kesalahan dibaca selepas orang Islam sendiri menganiayai orang Islam lain.

"Dipanjatkan doa semoga dibuka pintu hati dan kalau tetap berdegil juga dipohonkan kepada Allah supaya ditimpa sesuatu musibah kepada mereka," katanyai disini semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang mahu mendoakan diturunkan musubah kepada mereka yang menzalimi rakyat negeri itu ekoran keengganan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membayar wang royalti minyak.

Rakyat Kelantan katanya sedang dinafikan hak untuk mendapatkan royalti minyak dan itu adalah satu bentuk kezaliman yang tidak boleh dimaafkan.

Doa menurunkan bala kepada orang yang zalim katanya tidak lebih sebagai satu ugutan agar mereka gerun dengan janji Allah dan terbuka pintu hati untuk mengembalikan semula hak orang lain.

"Doa seperti itu tidak lebih sebagai satu ugutan atau peringatan kepada pihak yang cuba membuat zalim seperti disebut Tok Guru Nik Abdul Aziz," katanya lagi.

Dalam pada itu, Ketua Dewan Ulamak PAS Kelantan, Datuk Mohamed Daud Iraqi berkata, sirah zaman Nabi Muhammad saw memperlihatkan bagaimana baginda memanjatkan doa kepada Allah supaya diturunkan bala ke atas kaum Quraisy Mekah yang menganiaya baginda dan menentang dakwah Islam.

Ekoran itu katanya Allah Taala telah menurunkan kemarau selama tujuh tahun sehingga wujud asap dari langit.

Kata beliau adalah wajar didoakan semoga dibuka pintu hati orang yang cuba membuat aniayai kepada rakyat Kelantan supaya menunaikan tanggunggawab mereka.

Selain itu beliau juga menyatakan sokongan padu kepada Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, untuk terus menerajui kerajaan negeri dan mempertahankan tuntutan royalti minyak 5 peratus daripada kerajaan pusat.

Dewan Ulama katanya menyambut baik saranan Mursyidul Am Pas itu agar seluruh rakyat tanpa mengira fahaman politik untuk sama-sama membantu mempertahankan dan menuntut hak mereka itu.

Dalam kenyataan tiga muka surat bekas anggota Exco kerajaan negeri itu berkata buat masa ini mereka hanya mampu bermunajat dan berdoa agar dibuka pintu hati pihak yang terbabit sehinggalah hak rakyat mendapat royalti minyak itu ditunaikan.

"Penafian terhadap hak royalti, penukaran kepada wang ihsan dan penyerahan faedah petroleum itu kepada pihak lain adalah perbuatan khianat dan tidak bertamadun," katanya.

Mengenai kepimpinan Menteri Besar, Mohamad berkata Dewan Ulamak berpendirian menyokongnya mengekalkan kepemimpinan dalam kerajaan dan parti.

"Buat masa ini Tok Guru Nik Aziz dilihat masih mampu untuk meneruskan pentadbirannya. Ketokohan dan gaya pemerintahannya  menjadi contoh yang terbaik sehingga disegani kawan dan lawan," katanya._harakahdaily.net

Tauliah: Jais didakwa bertindak atas pandangan sebelah pihak

Hazayani Zakaria   
KUALA LUMPUR, 2 Dis: Ahli Parlimen Shah Alam Khalid samad mempersoal tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) yang bertindak menarik balik tauliahnya berdasarkan pandangan sebelah pihak sahaja.

Khalid dalam satu siang media di lobi parlimen tengahari tadi berkata, meskipun terdapat segelintir pihak yang menyokong tindakan penarikan tauliah itu, namun lebih ramai lagi yang tidak bersetuju dengan tindakan Jais itu.

"Mengapa dia (Pengarah Jais) hanya mendengar pandangan sebahagian dan tidak sebahagian yang lain.

"Hanya mendengar dan bertindak atas desakan orang-orang yang menyokong tindakannya ataupun tidak bersetuju saya memberi khutbah, tazkirah dan kuliah agama sedangkan lebih ramai lagi yang bersetuju saya diberikan kebenaran ataupun tauliah tuk memberikan khutbah," katanya.

Khalid yang juga Yang Dipertua Shah Alam merujuk kepada tindakan sekumpulan penduduk kawasan itu yang menghantar memorandum mengandungi kira-kira seribu tandatangan menyokong tindakan Jais itu.

Isnin lalu pula, memorandum bantahan dari 1013 ahli qariah masjid dan surau sekitar Shah Alam diserahkan kepada Jais membantah tindakan itu.

Khalid turut mendakwa Pengarah Jais, Datuk Mohammed Khusrin bertindak atas desakan politik Umno BN di Selangor dan menyalahgunakan kedudukannya untuk bertindak secara tidak adil kepada pemimpin Pakatan Rakyat.

"Tindakan ini memberikan gambaran bahawa Pengarah Jais bertindak atas desakan kepentingan politik kerana kita tahu bahawa dia sebelum ini adalah pebantu kepada Tan Sri Muhammad Taib yang merupakan pimpinan Umno dan selepas itu dia telah dilantik pada zaman Khir Toyo sebagai Pengarah Jais.

"Ini menunjukkan hubungan yang begitu rapat dengan Umno dan dia menyalahgunakan kedudukannya untuk bertindak menyekat pemimpin masyarakat dari PAS untuk mengadakan program-program di dalam masjid," dakwanya.

Beliau juga tidak menolak tindakan Jais itu merupakan salah satu strategi Umno BN untuk merampas Selangor khususnya Shah Alam yang dilihat sangat berharga kepda mereka.

"Umno memang target nak ambil Shah Alam.Shah Alam bagi Selangor satu permata yang penting dan mereka sedang menyusun strategi untuk menentukan bahawa kedua-dua dun atau parlimen jatuh ke tangan mereka.

"Mereka risau pemimpin Pakatan Rakyat Selangor dapat mendekati orang Islam melalui program di masjid dan surau kerana mereka telah menanamkan ke dalam minda orang Islam bahawa Pakatan Selangor anti Islam," tegasnya lagi.

Khalid turut menegaskan bahawa beliau tidak membawa ajaran sesat dan tidak menyentuh soal politik dalam kuliahnya.

"Saya tidak memaksa masjid untuk memanggil saya tetapi mereka yang menjemput saya.Kalau kiranya didapati kuliah saya tidak mantap maka dengan sendirinya mereka tidak akan menjemput saya lagi.

"Biar qariah sendiri yang menilai sendiri mantap atau tidak takziah atau khutbah yang saya sampaikan," tegasnya.

Tauliah sementaranya yang diperoleh pada 10 Julai 2008 ditarik balik pada 8 Oktober 2008 atas alasan beliau mempunyai rekod jenayah tetapi kemudian JAIS mendakwa khutbah yang disampaikan tidak mantap.

Khalid dalam sidang media samaturut menyatakan sokongannya terhadap kaedah yang telah dilakukan oleh Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk menghapuskan kezaliman dengan doa.

"Saya juga nak buat kenyataan menyokong tindakan Tok Guru Nik Aziz berhubung doanya," katanya.

Menurutnya kaedah itu sangat wajar memandangkan Kerajaan Pusat telah sekian lama melakukan kezaliman terhadap rakyat Kelantan.

Selain negeri itu sering di anak tiri dalam menyalurkan bantuan, hak rakyatnya untuk mendapat royalti petroleum turut dinafikan._harakahdaily.net

Taib Azamudden cadang pungutan zakat negeri diselaras

Hazayani Zakaria   
KUALA LUMPUR, 2 Dis: Ahli Parlimen Baling, Taib Azamudden Md Taib mencadangkan agar kerajaan membuat satu penyelarasan mengenai pungutan zakat di setiap negeri.

Taib berkata, cadangan penyelarasan ini perlu dikaji kerana terdapat negeri-negeri yang mempunyai kutipan (zakat) yang tinggi tetapi asnafnya sedikit. Manakala terdapat negeri yang mempunyai pungutan yang rendah tetapi asnafnya ramai.

"Saya mintak supaya dikaji dibuat satu penyelarasan (pungutan zakat) di negeri-negeri ini.Contohnya di Wilayah Persekutuan mempunyai kutipan zakat yang tinggi tapi asnafnya sedikit berbanding contohnya Kdah, Perlis, Kelantan, Terengganu dan sebagainya kutipannya sikit tapi asnafnya ramai," katanya ketika ditemui di lobi parlimen siang tadi.

Beliau berkata, dengan adanya penyelarasan ini, negeri yang mempunyai pungutan zakat yang tinggi boleh mengagihkan pungutan berkenaan kepada negeri yang mempunyai asnaf yang ramai untuk mengelakkan perbezaan jurang yang ketara.

"Walaupun zakat merupakan bidang kuasa negeri-negeri, tapi kita mintak supaya ada satu kesefahaman supaya diselaraskan.Contoh di Wilayah Persekutuan zakat banyak maka bolehlah juga diagihkan kepada negeri yang pungutannya sikit tapi asnaf ramai supaya jurang antara negeri tidak begitu ketara,"

"Contoh pelajar yang akan belajar di Timur Tengah, Selangor mampu beri sehingga 7 ribu tapi negeri lain contohnya kedah hanya mampu beri 3 ribu atau 4 ribu Kalau diselaraskan bolehlah semua asnaf mendapat zakat yang sama rata," jelasnya.

Taib membangkitkan perkara itu dalam soalan tambahannya sewaktu sesi soal jawab lisan di dewan rakyat semalam.

Beliau semalam turut meminta Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Dato' Dr Mashitah Ibrahim menjelaskan sejauhmana penguatkuasaan zakat terhadap pengeluar zakat terutama sekali usahawan-usahawan korporat dan syarikat-syariat besar.

"Kita turut ucapkan tahniah kepada syarikat besar misalnya Tabung Haji yang telah keluarkan zakat dan agihkan kepada semua negeri.Kita harap banyak lagi syaraikat yang buat demikian," katanya.

Sebelum itu wakil Dungun, Matulidi Jusoh dari BN meminta Perdana Menteri menyatakan sejauh mana zakat telah dapat menjana ekonomi golongan fakir dan miskin serta mengeluarkan mereka dari belengggu kemiskinan.

Beliau daam pada itu, meminta kerajaan mempertimbang untuk memanggil Petronas menyertai Projek Mega Kerajaan Negeri Kedah iaitu projek penapisan minyak 'Hub Hidrokarbon' (SULIHH) di Sungai Limau, Yan.

Menurutnya Petronas juga dapat memanfaatan penyertaannya ke dalam projek itu dengan menggunakan laluan Yan untuk berulang-alik dari Timur Tengah ke loji penapisan.

"Oleh kerana potensinya begitu hebat dan keistimewaan Yan ialah kedalaman laut bersifat semulajadi yang boleh menampung tangki kapal-kapal besar. Petronas boleh menggunakan laluan Yan untuk berulang alik dari Timur Tengah ke loji penafisan.Kenapa Petronas tak mahu menyertai projek ini sedangkan ini ialah untuk malaysia," katanya.

Beliau dalam soal jawab lisan semalam meminta Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri menyatakan apakah bentuk kerjasama dan usaha yang diberika oleh Kerajaan Pusat terhadap Projek Mega Kerajaan Negeri Kedah iaitu projek penapisan minyakv'Hub Hidrokarbon' (SULIHH) di Sungai Limau Yan, Kedah untuk menarik pelabur luar sebanyak mungkin._harakahdaily.net

Makkal Sakhti pecah dua

Harakahdaily   
KUALA LUMPUR, 2 Dis: Baru dua bulan lalu Makkal Sakthi dilancarkan oleh Perdana Menteri, namun hari ini  Makkal Sakthi sudah berpecah dan sebahagian dari pemimpin parti itu mendesak presiden mereka,  R S Thanenthiran meletakkan jawatan.

Ketika dilancarkan dahulu, pilihan raya kecil Bagan Pinang hampir berlangsung. Dengan perhimpunan besar para penyokong Makkal Sakti itu, pengundi India di Bagan Pinang mendapat dorongan untuk menolak parti yang mereka undi pada pilihan raya Mac 2008 lalu.

Hasilnya, PAS kalah teruk dalam pilihan raya kecil tersebut.
(Gambar: Perdana Menteri dan Thanenthiran semasa majlis pelancaran parti Makkal Sakti menjelang pilihan raya kecil Bagan Pinang)
Kini, R S  R S Thanenthiran didesak oleh lebih 15 dari 27 anggota Jawatankuasa Pusat partinya agar melepaskan jawatannya.

Kumpulan pendesak ini pula dipimpin oleh timbalannya,  A Vathemurthy. Dalam sidang medianya hari ini,  Vathemurthy mendakwa, mereka tidak mahu Thanenthiran memimpin mereka lagi.

“Kami mahu Thanenthiran melepaskan jawatan presiden dan tidak lagi memimpin parti. Usul untuk menyingkirkan sepatutnya dibincangkan hari ini tetapi mesyuarat CC dibatalkan minit terakhir, kami tidak tahu siapa di belakangnya,” kata Vathemurthy dalam sidang medianya hari ini.

Menurut beliau, mesyuarat AJK Pusat partinya dijadualkan malam ini dan usulnya adalah untuk menggugurkan Thanenthiran.

Tetapi Setiausaha Agung, R Kannan telah membatalkan notis mesyuarat tengah malam tadi, beritahu Vathemurthy kepada wartawan._harakahdaily.net

Penasihat Ekonomi Selangor: Anwar dapat gaji RM1 dan seorang kakitangan

Dzulfikar Mashoor   
SHAH ALAM, 2 Dis: Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim yang disahkan sebagai Penasihat Ekonomi Kerajaan Negeri Selangor dengan gaji RM1, dengan penuh rendah diri hari ini berkata, dia hanya ada sedikit pengalaman sahaja.

"Saya secara peribadi memang tiada pengalaman, kecuali sedikit di (peringkat) Persekutuan dan jadi juru kira-kira di Cheruk Tok Kun (kampung halangannya), tetapi saya akan membantu apa yang perlu," kata Anwar.

Anwar berkata demikian ketika memberikan ucapan alu-aluan selepas menandatangani surat perlantikan itu petang tadi.

Beliau dipercayai menjawab secara sinis tuduhan dan serangan yang dibuat terjadap beliau selepas perlantikannya diumumkan Khalid sebelum ini.
(Gambar: Anwar bercakap dengan Khalid semasa perisytiharan beliau sebagai Penasihat ekonomi Selangor hari ini)
Antaranya, Tun Dr Mahathir yang berkata, Anwar akan bangkrapkan Selangor dan itulah nilai Anwar...RM1 sebagaimana yang dinyatakan oleh seorang pemimpin Umno yang lain.

Perlantikan tersebut diumumkan sendiri oleh Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim ketika menyampaikan ucapan aluan dalam majlis Taklimat Pakej Rangsangan Ekonomi Selangor.

Anwar yang berucap kemudiannya merakamkan penghargaan kepada Khalid, Pakatan Rakyat serta kerajaan Selangor atas kepercayaan yang diberikan kepadanya.

"Saya dengan rasa rendah diri terima...Saya terima (pelantikan) setelah dapat restu dengan pimpinan Pakatan Rakyat (iaitu) Ustaz Abdul Hadi Presiden PAS dan Lim Guan Eng Setiausaha Agung DAP," jelasnya.

"Kehadiran saya adalah untuk membantu...jadi saya pun kena tandatangan surat jawatan jadi Penasihat Ekonomi Selangor dengan disaksikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri dan Pegawai Kewangan Negeri."

Beliau turut berikrar untuk memastikan ekonomi Selangor kian kukuh, berdasarkan pengalamannya menjadi Menteri Kewangan era 1990an lalu.

Anwar turut memuji ketelitian dan kejujuran Khalid dalam menguruskan ekonomi negara dalam nada yang cukup mesra.

"Saya begitu akrab dengan Tan Sri Khalid, saya kenal dia sebagai seorang yang tegas walaupun dia adalah ahli parti saya." jenaka Anwar.

"Bila saya kata bagilah RM1 kalau nak sangat saya jadi Penasihat Ekonomi (Selangor), saya ingat beliau akan menolaknya, tapi, beliau kata terima kasih (bersetuju) dan terus lantik saya dengan gaji RM1."

Beliau yang juga Ketua Umum PKR turut mengumumkan kakitangan yang akan membantunya di peringkat kerajaan negeri - Rafizi Hafiz, seorang jurutera dan akauntan yang pernah berkhidmat sebagai Pegawai Kanan di Petronas.

Jelasnya lagi, dengan pejabat yang sederhana dan seorang staff, beliau akan cuba meneruskan rundingan dengan beberapa syarikan konsesi air swasta agar agenda 'Merakyat Ekonomi Selangor' berjaya direalisasikan secepat mungkin.

"Dengan pejabat yang cukup sederhana, seorang atau dua staff mungkin kalau saya perlu, saya akan usahakan agar rundingan dengan syarikat konsesi air boleh diteruskan demi rakyat." jelasnya.

_harakahdaily.net