Sahabat Purnama

Selasa, 17 November 2009

S'gor digesa boikot program BTN

Salhan K Ahmad

Selangor digesa supaya berhenti menghantar mahasiswa di pusat pengajian tinggi milik kerajaan negeri ke program anjuran Biro Tata Negara (BTN) kerana ia didakwa menyemai sentimen perkauman di kalangan pelajar.

Sekumpulan ADUN muda Pakatan Rakyat Selangor menggesa pemulauan program agensi bawah Jabatan Perdana Menteri itu melalui satu surat kepada Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

ezam leave pkr pc 280607 amir sariADUN Batu Caves, Amirudin Shari berkata bantahan itu dibuat memandangkan sebahagian pengisian program berkenaan didapati tidak berkaitan dengan usaha pemupukan nilai-nilai kenegaraan atau penyebaran ilmu.

"Sebaliknya ia merupakan program politik kepartian Umno-BN dan perkauman semata-mata," kata wakil rakyat PKR itu sebagai jurucakap kumpulan ADUN tersebut kepada media selepas persidangan DUN hari ini.

Wakil-wakil yang turut hadir pada sidang media itu, Lau Weng San (DAP-Kampung Tunku), Nik Nazmi Nik Ahmad (PKR-Seri Setia), Jenice Lee Yin Ha (DAP-Teratai), Hannah Yeoh Tseow Suan (DAP-Subang Jaya) dan Gan Pei Ni (PKR-Rawang).

"Justeru kita berpandangan kerajaan negeri perlu bertindak untuk mengarahkan jemaah (senat) universiti untuk menghalang pelajar daripada menghadiri program BTN," kata Amirudin, yang juga naib ketua Angkatan Muda PKR, lagi.

Pusat pengajian tinggi yang dimiliki kerajaan Selangor termasuk Universiti Industri Selangor (Unisel), Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) dan Kolej Inpens.

Amirudin juga memberikan alasan bahawa Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) juga tidak mewajibkan pelajar menghadiri program anjuran biro berkenaan.

"Tapi sepanjang pengalaman saya di universiti dan saya percaya perkara ini turut dipropagandakan kepada para pelajar, mereka perlu hadir program BTN.

"Jika tidak, mereka tidak akan lulus. (Dakwaan) ini sesuatu penipuan," tambahnya ketika membacaknya kenyataan bersama mereka.

"Peserta kursus didoktrinkan dengan propaganda tentang ketuanan Melayu dan ancaman (negara) luar dan tidak diberikan ruang untuk mencabar propaganda tersebut memandangkan programnya berjalan secara satu hala sahaja."

Seorang lagi wakil rakyat PKR Nik Nazmi Nik Ahmad pula berkata, sebagai seorang pelajar tajaan sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC), beliau sendiri - yang pernah mengikuti program BTN - mendapati ia tidak sepatutnya wujud apabila kerajaan sedang bercakap tentang 1Malaysia.

"Sepanjang program tersebut, apa yang ditekankan adalah (parti) Keadilan ini, Anwar adalah ejen Yahudi, DAP adalah parti ejen Singapura dan PAS adalah parti ajaran sesat," katanya.

"Itu saja yang disertakan dalam modul mereka yang bersifat politik kepartian yang sepatutnya tidak wujud sebagai satu program bawah JPM."

Tambahnya, peserta juga "dimomokkan" tentang tentang "ancaman orang Cina" dalam program yang disertainya itu.

"Ada beberapa mahasiswa (berbangsa) Cina yang hadir (dalam program tersebut).

"Saya boleh bayangkan betapa mereka rasakan diri mereka begitu takut dalam situasi tersebut kerana modulnya sendiri bersifat perkauman," katanya.
Menangi iPod Shuffles dan Hadiah Lumayan Lain! Sertailah Kaji Selidik Sekarang!

_malaysiakini bm

Pengikut Asri berkumpul esok

Abdul Rahim Sabri

Sekumpulan pengikut Dr Mohd Asri Zainul Abidin termasuk mereka yang sering mengikuti kuliah mantan mufti Perlis itu akan hadir menyatakan sokongan di mahkamah syariah di Gombak, esok.

Kira-kira 40 penyokongnya itu akan bertolak 10 malam ini dengan sebuah bas dari Perlis dan Pulau Pinang, kata satu sumber yang dekat dengan mereka.

"Kawan-kawan kalau susah kita kena tolong. Kita kena bagi beliau semangat," katanya, yang enggan dikenali, kepada Malaysiakini petang ini.

Penceramah popular itu bakal didakwa bawah Seksyen 119 (1) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Selangor 2003 kerana mengajar agama tanpa tauliah rasmi daripada jabatan agama negeri.

Sumber itu menjangkakan lebih ramai penyokongnya – khususnya dari Selangor dan Kuala Lumpur – akan hadir di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur menjelang pertuduhan jam 9 pagi.

Dr Mohd Asri, yang juga pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM), sering diundang menyampaikan kuliah di beberapa buah masjid di Perlis, selain masih mengajar di Institut Al-Qayyim, Bukit Mertajam yang diasaskannya.

Beliau ditangkap sewaktu menyampaikan ceramah agama di sebuah banglo di Hulu Kelang pada 1 November lalu – sehingga mencetuskan kontroversi berhubung tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) itu.

Jika disabitkan kesalahan, bekas mufti muda itu boleh didenda tidak lebih RM3,000 atau dipenjarakan tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya.

_malaysiakini bm

Speaker kecewa prestasi ADUN BN S'gor

Salhan K Ahmad

Speaker DUN Selangor Teng Chang Khim kecewa dengan prestasi wakil rakyat BN yang dilihat tidak berminat untuk membahaskan usul-usul yang dibentangkan dalam sesi mesyuarat kali ini.

Teng yang juga kecewa dengan rekod kehadiran ADUN pembangkang itu berkata, mereka perlu menghadiri kursus supaya lebih memahami tugas sebagai pembuat undang-undang di DUN.

"Jelas kelihatan mutu perbahasan ADUN Pakatan Rakyat meningkat. Sementara yang menghampakan adalah pembangkang (BN), yang nampaknya tidak berminat membahaskan usul-usul serta rang undang-undang yang dibentangkan," kata Teng lagi.

Beberapa usul, termasuk usul menubuhkan suruhanjaya diraja bagi menyiasat kematian Teoh Beng Hock diluluskan sebulat suara tanpa kehadiran pembangkang.

Usul berkenaan diluluskan hari ini selepas kebanyakan ahli-ahli pembangkang bertindak keluar dewan.

Bercakap dalam sidang media selepas sidang dewan ditangguhkan petang ini, Teng menjelasnya, wakil BN juga perlu "memperbaiki prestasi mereka" dalam sidang seterusnya yang dijangka diadakan Mac depan.

Difahamkan, antara yang bakal menjadi perhatian dalam sesi itu adalah pembentangan rang undang-undang berkaitan kebebasan maklumat - menjadikan Selangor negeri pertama menggunapakai undang-undang tersebut.

Teng juga berkata, BN mungkin perlu mengadakan kursus untuk wakil rakyatnya supaya lebih memahami fungsi mereka sebagai pembangkang di DUN berkenaan.

"Mungkin pihak BN perlu mengadakan kursus untuk mereka kerana agaknya mereka sudah lama menjadi pemerintah, selama 50 tahun. Sekiranya memerlukan bantuan saya memberi kursus, saya sudi memberikannya.

"Selama ini mungkin mereka telah mengabaikan tugas mereka sebagai ADUN dan pembuat undang-undang di dewan negeri," katanya lagi.

_malaysiakini bm

SPR minta nasihat peguam negara

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan meminta nasihat Peguam Negara berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini mengisytiharkan kekosongan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Kota Siputeh, Kedah.

Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata SPR akan meminta nasihat Peguam Negara bagi menentukan langkah seterusnya yang patut diambil berikutan keputusan Mahkamah Tinggi itu.

"Kita perlu meminta nasihat daripada Peguam Negara terlebih dahulu mengenai langkah yang perlu diambil memandangkan ini kali pertama kes sedemikian berlaku dalam sejarah.

"Kita mahu lihat sama ada SPR menpunyai ruang untuk merayu kes itu kepada pihak yang lebih tinggi (Mahkamah Rayuan)," katanya kepada Bernama hari ini.

"Isu ini telah menjadi satu isu akademik yang wajar diteliti, jadi elok SPR membawanya kepada Peguam Negara terlebih dahulu sebelum membuat apa-apa keputusan," kata Wan Ahmad.

Hakim Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin hari ini memutuskan bahawa kerusi DUN Kota Siputeh kosong selepas penyandangnya Datuk Abu Hassan Sarif tidak menghadiri dua persidangan DUN tahun ini.

Dalam keputusannya, Hakim Alizatul menegaskan bahawa SPR bertindak secara tidak wajar dan keputusan suruhanjaya itu bahawa Abu Hassan masih merupakan wakil rakyat bagi kawasan Kota Siputeh dan kerusi DUN itu tidak kosong, perlu dibatalkan.

Isu ini dibawa ke Mahkamah Tinggi berikutan SPR pada mesyuarat 1 September lepas memutuskan kerusi itu tidak kosong kerana pada pandangan suruhanjaya itu, Abu Hassan perlu dirujuk ke Jawatankuasa Tatatertib DUN Kedah terlebih dahulu sebelum kerusi itu disahkan kosong.

Sementara itu, di ALOR SETAR, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah Datuk Paduka Ahmad Bashah Md Hanipah berkata Abu Hassan tidak akan menghadiri persidangan bajet DUN Kedah yang dijadual berlangsung selama tiga hari mulai esok sebagai menghormati keputusan mahkamah.

"Kita menerima keputusan (mahkamah) dengan lapang dada dan hati terbuka dan akan sabar menunggu keputusan rayuan pada 20 November ini," kata Ahmad Bashah semasa dihubungi Bernama.

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak pula berkata keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengisytiharkan kekosongan kerusi DUN Kota Siputeh itu membuktikan kerajaan negeri Kedah bertindak berlandaskan undang-undang.

Katanya Speaker DUN Datuk Dr Abdul Isa Ismail mengambil tindakan yang betul apabila mengisytiharkan Abu Hasan telah hilang kelayakan sebagai Adun ekoran tidak menghadiri sidang DUN sebanyak dua kali berturut-turut tanpa memaklumkannya kepada Speaker.

"Kita bertindak atas undang-undang dan keputusan Mahkamah Tinggi itu haruslah menjadi pengajaran kepada semua wakil rakyat bahawa mereka mempunyai tanggungjawab dan diberi amanah oleh rakyat untuk menghadiri sidang Dewan Undangan Negeri," katanya. - Bernama

_malaysiakni bm