Sahabat Purnama

Rabu, 6 Januari 2010

Pendakwah Generasi baru Perlu Lebih Kreatif

Chukai, KEMAMAN - Generasi muda dalam kalangan pendakwah perlu memikirkan pendekatan lebih sesuai bagi menarik perhatian masyarakat supaya mendekatkan diri dengan Pusat Pengajian Islam, Kampung Bakau Tinggi, Chukai, di sini.

http://buletinonline.net/images/stories/berita17/IMG_2227.jpgPengarah Majlis Tindakan Dewan Undangan Negeri (MTD) Chukai, Hanafiah Mat berkata, golongan ustaz dan pendakwah generasi muda dilihat sebagai pelapis pendakwah sedia ada, justeru, mereka disarankan supaya bertindak agresif mendekati pelbagai lapisan masyarakat.


“Seiring kedatangan 2010, banyak perubahan harus dilakukan dan saya mengharapkan, golongan muda ini memberikan buah fikiran bagi memajukan Pusat Pengajian Islam, Kampung Bakau Tinggi.


“Sudah tiba masanya mereka berada di barisan hadapan,” katanya kepada Sinar Harian pada Majlis Kesyukuran dan Hari Keluarga Pusat Pengajian Taman Islam di Kampung Bakau Tinggi, di sini.


Majlis berkenaan turut dimeriahkan dengan kehadiran 1,000 jemaah dari kawasan berhampiran.
http://buletinonline.net/images/stories/berita17/IMG_2206.jpg
Hanafiah berkata, generasi muda juga dinasihatkan supaya berusaha membentuk jaringan komunikasi yang mantap berikutan peranan kedua-dua pihak amat diperlukan bagi pembentukan masyarakat berlandaskan hukum hakam Islam sebenar.


“Inilah dikatakan perjuangan dalam usaha menegakkan hukum Allah SWT di muka bumi, saya sendiri telah berpuluh tahun meninjau prestasi Pusat Pengajian Islam di sini dan saya berbangga kerana pelbagai prasarana baru kini disediakan.


“Sudah ramai pelajar yang melanjutkan pelajaran di Institut Acheh, Indonesia, berikutan mereka mempunyai hubungan yang baik sejak sekian lama,” katanya.


Menurutnya, program pertukaran pelajar juga kerap dilakukan dan perkembangan itu dilihat memberi keuntungan kepada kedua-dua pihak.


“Bekas pelajar Pusat Pengajian Islam, Kampung Bakau Tinggi ‘berselerak’ di seluruh negara dan apa yang membanggakan kerana kebanyakan mereka menjawat jawatan penting, selain ramai yang berhasrat menabur bakti di tempat mereka menimba ilmu.


“Inilah kebanggaan kepada orang lama di sini dan saya harap, semua pihak sama ada bekas pelajar, generasi muda mahupun lama sentiasa berusaha mengembalikan kegemila-ngan Pusat Pengajian Islam, Kampung Bakau Tinggi yang pernah dinikmati suatu ketika dahulu,” katanya._buletinonline

'Cucu saya dianggap pelajar warga asing'

KUALA PERLIS: Seorang datuk terpaksa berbelanja besar untuk memastikan cucunya memasuki alam persekolahan selepas kanak-kanak itu dikategorikan sebagai pelajar asing walaupun dilahir dan dibesarkan di negara ini.

BUKTI...Shazriddaniel menunjukkan surat beranaknya yang tertera status bukan warganegara.
 
BUKTI...Shazriddaniel menunjukkan surat beranaknya yang tertera status bukan warganegara.
Ia berpunca daripada kekeliruan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Pulau Pinang yang meletakkan status bukan warganegara ketika mengeluarkan sijil lahir kepada Shazriddaniel Shamsudin, kira-kira tujuh tahun lalu. Yusof Osman berkata, Shazriddaniel yang dilahirkan di Hospital Besar Kepala Batas, Pulau Pinang, kini tidak mempunyai identiti sebarang negara dan keadaan bertambah sukar apabila dia mula memasuki alam persekolahan kelmarin.

“Cucu saya terpaksa mendaftar sebagai pelajar asing di tahun satu di Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Perlis dan dikenakan yuran tinggi selain tidak memperoleh skim bantuan pinjaman buku teks,” katanya ketika ditemui di sini, semalam. Beliau yang juga seorang nelayan berkata, cucunya dikenakan yuran persekolahan mencecah RM300 dan ia tidak termasuk pembelian buku teks yang dikatakan turut mencecah RM150. Katanya, lebih mengejutkan, butiran bapa Shazriddaniel langsung tidak diisi seolah-olah gagal dikesan, manakala status kewarganegaraan ibunya, Shaffidawati Shafie, 29, juga diletakkan sebagai bukan warga negara. “Kedua-dua ibu bapa Shazriddaniel yang sudah berpisah warga Malaysia, cuma kesilapan mereka berkahwin di selatan Thailand dan tidak mendaftar perkahwinan mereka di negara ini. “Bagaimanapun, saya tidak pasti mengapa pihak JPN Pulau Pinang mewujudkan kekeliruan sedemikian, sedangkan kami sudah dipanggil untuk ditemubual bagi mengesahkan status kewarganegaraan Shazriddaniel,” katanya._hmetro

Juruteknik maut terkena kipas pendingin hawa


KUANTAN: Seorang juruteknik pendingin hawa di sebuah kilang simen di Bukit Sagu di sini maut selepas terkena kipas alat itu ketika sedang melakukan kerja-kerja penyelenggaraan, semalam.

Pegawai Urusetia Jabatan Siasatan Jenayah Pahang ASP Noor Asyikin Shamsuri berkata kejadian berlaku kira-kira jam 2.30 petang semasa Mohammad Jakir Hossain, 34, bersama lima lagi rakannya ditugaskan menyelenggara pendingin hawa kilang itu.

"Tiba-tiba rakan Mohammad Jakir terdengar satu bunyi dentuman kuat dari arah juruteknik itu, lalu mereka bergegas ke kawasan kejadian dan mendapati Mohammad Jakir terbaring di lantai dalam keadaan lemah selain mendapati tangga yang digunakan untuk memanjat menuju ke penghawa dingin itu terpelanting jauh," katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata Mohammad Jakir yang merupakan pekerja mahir dan bekerja di kilang itu sejak enam tahun lepas, mengalami kecederaan parah di bahagian kepala, tangan dan telinga, dipercayai akibat terkena kipas pendigin hawa itu.

Noor Asyikin berkata Mohammad Jakir disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan menuju ke Klinik Desa Bukit Goh untuk mendapatkan rawatan, dan mayatnya kemudian dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan untuk bedah siasat. - Bernama_hmetro

Bekas tentera digesa tuntut wang perkhidmatan

KOTA BHARU: Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) hari ini meminta kesemua bekas anggota tentera yang gagal menamatkan tempoh perkhidmatan kerana lari daripada tugas atau dipecat, agar menuntut wang pampasan sepanjang perkhidmatan mereka.

Presidennya Datuk Mohamad Abdul Ghani berkata sehingga kini belum ada seorang pun daripada 1,995 kes tampil menuntut wang pampasan tersebut.

"Mungkin mereka tidak tahu mereka layak berbuat demikian. Bagi mereka yang telah meninggal dunia pula tuntutan boleh dibuat oleh waris masing-masing," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata kesemua mereka layak sekalipun hanya berkhidmat untuk tempoh yang singkat.

"Kerajaan tidak memandang ringan dengan pengorbanan yang diberi oleh tentera dan mereka yang berkhidmat walaupun sehari atau tiga bulan atau empat tahun akan diberi perhatian serius," katanya.

Langkah itu, kata beliau, sejajar dengan keprihatinan kerajaan yang tetap menghargai jasa dan pengorbanan anggota tentera berkenaan sekali pun ada di antara mereka yang dipecat kerana terbabit dengan jenayah.
Mohamed berkata tuntutan boleh dibuat dengan persatuan atau Jabatan Hal Ehwal Angkatan Tentera. - Bernama _hmetro

Didakwa cuba rogol inspektor

Oleh Erywan Norshal
erywan@hmetro.com.my

KLANG: Tindakan seorang kerani yang cuba merogol pegawai polis berpangkat inspektor pada Disember lalu mengundang padah apabila dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, semalam.
Wan Abdul Hanif Wan Abdul Hisham, 30, dari Pelabuhan Klang di sini, bagaimanapun, mengaku tidak bersalah atas tuduhan itu selepas mendengar jurubahasa membaca pertuduhan terhadapnya.

Dia yang kelihatan tenang dalam kandang tertuduh didakwa dengan sengaja cuba merogol wanita yang juga kenalannya berumur 28 tahun di sebuah hotel di Jalan Meru di sini pada jam 10 malam, 12 Disember lalu.

Bagi tuduhan itu, dia didakwa Seksyen 376 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 511 kanun yang sama dengan memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan sebat jika disabit kesalahan. Selain itu, Wan Abdul Hanif mengaku tidak bersalah bagi pertuduhan kedua iaitu dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada pegawai polis terbabit yang baru berkhidmat enam bulan sebagai inspektor di tempat dan waktu sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan jika disabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga setahun atau denda tidak melebihi RM2,000 atau kedua-duanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Siti Syuhada Alwi menawarkan jaminan RM15,000 kepada Wan Abdul Hanif bagi kedua-dua pertuduhan berkenaan.

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya meminta jumlah jaminan itu dikurangkan kerana perlu menanggung ibu bapa dan adiknya yang masih bersekolah.

Dia juga memaklumkan kepada mahkamah bahawa sudah lama mengenali mangsa.

Selepas mendengar rayuan itu, Hakim Datuk Anita Harun membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 8 Februari untuk sebutan melantik peguam._hmetro

Mayat ditemui berulat

Oleh Zuliaty Zulkiffli
am@hmetro.com.my

ALOR SETAR: “Bau busuk itu cukup kuat. Saya ingatkan bau sampah, tetapi tak sangka pula ia bau mayat manusia,” kata M Marimuthu, 57, mengenai penemuan mayat seorang lelaki warga emas yang ditemui orang ramai dalam sebuah van ditinggalkan di hadapan bengkel kereta di Jalan Gangsa di sini, semalam.
Warga emas terbabit, Abdul Halim Haris, 65, yang tinggal bersendirian dalam van buruk itu sejak dua tahun lalu dipercayai meninggal dunia akibat serangan jantung. Mangsa meninggal dunia lebih 24 jam lalu berdasarkan keadaan mayatnya yang sudah kembung, berbau dan berulat.

Harian Metro pada September tahun lalu melaporkan mengenai penderitaan bekas tentera, Abdul Halim, yang hidup serba kekurangan hingga terpaksa menjadikan van buruk berkenaan sebagai kediamannya sejak dua tahun lalu.

Mangsa yang juga dikenali sebagai Pak Awang pernah berkhidmat dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) selama 10 tahun dalam pasukan Peninjau tetapi berhenti pada 1971 akibat masalah kesihatan menyebabkan dia tidak sempat menyertai skim berpencen.

Mayat mangsa dalam keadaan terbaring di tempat duduk belakang van ditemui orang awam sebelum menghubungi adiknya, Abu Bakar, 63, untuk memaklumkan kejadian itu kira-kira jam 12 tengah hari.

Marimuthu berkata, dia ada berjumpa dengan Abdul Halim, Ahad lalu yang meminta kebenarannya untuk menggunakan paip air di luar bengkel itu untuk mencuci baju.

“Dia kata dia hendak pakai baju itu hari ini (semalam), tetapi tak sangka dia sudah meninggal dunia. Waktu itu juga dia kelihatan sihat,” katanya. Marimuthu berkata, sejak dua tahun mangsa tinggal di situ, dia kerap menghantar makanan kepadanya kerana kasihan melihat keadaannya tidak terurus, tetapi sejak dia menerima bantuan dari pelbagai pihak, dia tidak lagi menghantar makanan lagi.

Katanya, Abdul Halim juga sempat membeli sebuah motosikal terpakai berharga RM200 hasil dari wang bantuan yang diterima untuk memudahkan dia berulang alik mencari kerja sampingan setiap hari demi mencari sesuap nasi.

Adik mangsa, Abu Bakar terkejut apabila ada orang datang ke rumah di Taman Wira kira-kira 70 meter dari tempat kejadian memberitahu abang ‘tidur’ dan dihurung lalat menyebabkan dia bergegas ke situ untuk melihat apa yang berlaku.

Katanya, sebaik tiba di tempat kejadian, dia mendapati abangnya sudah meninggal dunia dengan mayatnya sudah kembung dan berulat lalu membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Star.

“Arwah menghidap sakit jantung serta gout dan mungkin itu yang menyebabkan dia meninggal dunia,” katanya.
Sementara itu, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Kota Star, Deputi Superintendan Mohd Fiesal Libertus Abdullah berkata, mangsa dipercayai meninggal dunia dalam tempoh lebih dari 24 jam berikutan keadaan mayatnya yang sudah_hmetro

Pemandu, pembantu nyaris maut lori terbalik

GUA MUSANG – Seorang pemandu, Mohd Asif Ahmad,28, dan pembantunya seorang lelaki berketurunan India nyaris maut apabila lori membawa muatan makanan ayam dalam perjalanan dari Kota Bharu ke Cameron Highlands terbalik di persimpangan lampu isyarat Gua Musang-Kota Bharu jam 2.15 petang semalam.

Mohd Asif berkata, ketika sampai berhampiran jambatan tidak jauh daripada persimpangan lampu isyarat, dia mula merasakan brek lori yang dipandunya tidak berfungsi dengan baik.

Menurutnya, ketika itu dia sedang mengekori sebuah lori dan cuba memperlahankan lorinya bagi mengelak kejadian yang tidak diingini.

“Sebelum ini brek tidak ada masalah, tetapi apabila sampai di selekoh sebelum jambatan, brek tidak berfungsi. Jadi, saya cuba jarakkan lori yang saya pandu dengan lori di hadapan.

“Ketika melalui jalan berhampiran lampu isyarat, saya cuba menekan brek, tapi tak dapat (brek tak berfungsi), jadi saya tukar gear kepada gear lebih rendah, tapi lori terus bergerak. Pada masa sama, saya cuba mengelak daripada melanggar kenderaan lain,” katanya ketika ditemui pemberita di tempat kejadian petang semalam.

Mohd Asif berkata, dia dia turut cuba memberi isyarat kepada kenderaan di hadapannya supaya menjarakkan kenderaan dengan memberikan hon beberapa kali sebelum terbalik.

Menurutnya, dia hanya mengalami luka kecil di tangan sementara rakannya yang mengalami kecederaan pada bahagian telinga setelah terjun daripada lori untuk menyelamatkan diri dibawa orang awam ke Hospital Daerah Gua Musang (HOGUM) untuk mendapatkan rawatan.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Saiful Bahri Abdullah ketika dihubungi Sinar Harian petang semalam mengesahkan menerima maklumat berhubung kejadian tersebut.

Sementara itu Ketua Balai Bomba Gua Musang, Che Rusli Che Sulaiman berkata, pihak bomba bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima maklumat daripada orang awam dengan kekuatan sepuluh anggota untuk membantu mangsa._sinarharian

Rogol: 8 suspek diburu


PASIR PUTEH - Polis giat mengesan lapan lelaki yang dipercayai dapat membantu siasatan kes rogol yang dilaporkan berlaku bulan lepas di Kampung Dalam Ru, dekat sini.

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Deputi Superintendan Mohd Kamal Zainal berkata, polis menahan seorang lelaki tidak lama selepas kejadian itu sebelum berjaya menahan seorang lagi semalam.

Menurutnya, lapan lagi rakan lelaki tersebut sudah dikenal pasti dan serbuan ke rumah semua suspek sudah dibuat, namun mereka tidak berada di rumah.

“Lelaki berusia antara 16 hingga 20 tahun itu dipercayai merogol dua gadis berusia 15 tahun dalam sebuah pondok kosong di Kampung Dalam Ru.

“Daripada maklumat yang kita dapat, terdapat suspek daripada daerah ini dan Besut yang sememangnya dikenali mangsa,” katanya.

Mohd Kamal berkata, polis percaya lapan lelaki yang diburu dapat membantu menyelsaikan siasatan� kes di bawah seksyen 336 Kanun Keseksaan itu.

Mereka yang diburu katanya, dipercayai bersembunyi bagi mengelak ditahan polis selepas dua rakan mereka ditahan.

“Saya berharap keluarga mereka memberi kerjasama kerana polis akan terus menjejaki mereka yang dipercayai terlibat dalam kejadian tersebut.

“Kami meminta orang ramai yang mengetahui maklumat mengenai kejadian itu tampil membantu siasatan polis,” katanya kepada Sinar Harian.

Dalam kejadian pertengahan Disember lepas, mangsa dikatakan membonceng motosikal suspek yang membawa mereka ke sebuah pondok kosong sebelum rakan-rakan suspek ke lokasi tersebut dan merogol mangsa secara bergilir-gilir.

Mangsa yang masih bersekolah di sebuah sekolah menengah di Bachok itu kemudiannya membuat laporan� di Balai Polis Cherang Ruku._sinarharian

Kehilangan gadis jadi tanda tanya

ALOR SETAR- Kehilangan seorang gadis berusia 20 tahun pada 3 Januari lalu selepas tidak pulang semula ke tempat kerjanya pada jam 11 pagi menjadi tanda tanya kepada ahli keluarganya sehingga ke hari ini.

Michelle Lim Shiau Wei dari Tanjung Bendahara dilaporkan hilang pada Ahad lalu selepas keluar dari sebuah kedai perabot di Tandop iaitu tempat dia bekerja sebagai kerani sejak tujuh bulan yang lalu.

Wakil Khas Ahli Parlimen Alor Setar, Loh Eng Chong berkata, keluarga gadis tersebut memohon jasa baik beliau untuk menghebahkan kehilangan ini kepada media bagi membantu mencari anak mereka yang hilang.

Eng Chong berkata, keluarga gadis itu memberitahu, pada hari kehilangannya, Shiau Wei dihantar ke tempat kerja oleh ibunya seperti biasa pada jam 9 pagi.

Menurutnya, pada jam 12 tengah hari, isteri majikan Shiau Wei menghubungi keluarganya memberitahu anak mereka tidak pulang selepas keluar dari kedai itu kira-kira jam 11 pagi.

“Kebetulan pula pada hari yang sama Shiau Wei baru menerima gaji sebanyak RM700 daripada majikannya.

“Berdasarkan maklumat isteri majikan, semasa keluar dari kedai perabot itu, Shiau Wei hanya membawa sebuah beg galas berwarna hitam putih bersamanya,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Shiau Wei yang hanya memakai seluar jeans dan kemeja T dengan rambut panjang melepasi bahu adalah anak sulung daripada empat beradik.

Eng Chong berkata, selepas dimaklumkan tentang kejadian itu, bapa Shiau Wei yang bekerja sebagai kontraktor di Jitra cuba mencari di sekitar bandar raya ini namun gagal.

Beliau berkata, selepas gagal menemui anak mereka di merata-rata tempat, akhirnya beliau mengambil keputusan membuat laporan polis tentang kehilangan anaknya itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar kira-kira jam 8.30 malam.

“Bagaimanapun, sehingga kini keluarganya masih berharap Shiau Wei akan pulang ke pangkuan keluarga dan akan membantunya jika mempunyai sebarang masalah,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Abdul Ghafar Rajab ketika dihubungi berkata, pihaknya telah menerima laporan kehilangan tersebut.

Menurutnya, polis telah pun menjalankan siasatan dan sehingga kini masih tiada sebarang perkembangan mengenai kes tersebut._sinarharian