Sahabat Purnama

Khamis, 19 November 2009

MEMALI: Sejarah Para Syuhada PAS, Sejarah Bagaimana Media Dimanipulasi Rejim Barisan Nasional

 

norhalim mh


Hari ini genap 24 Tahun Tragedi berdarah Memali yang sungguh menyayat hati bagaimana secara tragisnya Rejim UMNO Barisan Nasional telah memperkuda pasukan keselamatan membunuh para syuhada dari kalangan pengikut-pengikut PAS yang mempertahankan Islam  hingga ketitisan darah terakhir.  Peristiwa duka yang cukup menghiris maruah umat Islam ini telah tercatat dalam sejarah paling malang dan ngeri di Malaysia pada 19 Nov 1985 di Kampung Memali, Mukim Siong, Baling, Kedah.


Mengenang kembali sejarah Memali ini mengingatkan saya kepada zaman saya dibangku sekolah dulu sewaktu saya dalam darjah 4 iaitu pada ketika berumur 10 tahun yang mana masa berlakunya peristiwa tragis tersebut.

Ingin saya menyorot sedikit berkaitan sejarah hidup saya 24 tahun yang lalu, yang sedikit sebanyak ada kaitannya dengan peristiwa ini yang tidak mungkin dapat saya lupakan.  Saya bukanlah individu atau ahli keluarga mangsa Memali tersebut malah jauh sekali jika dikatakan terlibat secara langsung dengan peristiwa tersebut.  Pada masa itu saya hanyalah seorang budak hingusan yang jika difikir bagaimana budak-budak seusia saya ini ambil peduli perkara lain selain keseronokan bermain teng-teng, guli, gasing, layang-layang, berkubang di parit-parit, pancing atau menajur ikan dan tidak ketinggalan main perang-perang.  Itulah zaman yang memang tidak boleh saya lupakan, masakan lupa ya .... kerana benar apa yang dikata, sejarah itu tidak menipu tetapi manusia boleh menipu sejarah hanya kerana kuasa dan kepentingan, apa yang cuba saya kaitkan dengan peristiwa memali ini adalah kerana saya mengambil peduli akan peristiwa penting ini pada masa itu.

Saya bukan orang Kampung Memali, juga bukan orang Baling jauh sekali pun bukan orang Kedah, tetapi saya dilahirkan di Tebrau, Johor dan semasa kecil sehingga darjah 5 mengikut keluarga benetap di Kampung Parit Tengah, Mukim 7, Yong Peng, Johor.  Bersekolah di Sekolah Kebangsaan Seri Tengah.  Kampung saya dulu-dulu sering dilanda banjir, sibuklah pindah randah kalau musim tengkujuh tiba. Kebetulan pada tarikh itu musim hujan yang memang dijangkakan akan berlaku banjir kerana seingat saya pada bulan Dis 1985 iaitu kira-kira hampir sebulan selepas berlakunya peristiwa memali tersebut.

Diringkaskan cerita bagaimana dikatakan kepedulian saya terhadap peristiwa berdarah ini bermula ialah di mana semua maklumat berkaitannya diperolehi melalui kaca telivisyen hitam putih kepunyaan nenek saya, rumah keluarga saya terletak bersebelahan rumah nenek  jadi rumah itulah menjadi saksi bermulanya sejarah yang ingin saya ceritakan ini.

Telivisyen pada masa itu dikampung-kampung tidak ramai keluarga yang memilikinya, jika pada masa itu sesebuah keluarga yang mempunyai peti telivisyen sudah dianggap golongan berada, berkumpullah setiap malam dengan saudara mara, kawan-kawan dan jiran tetangga menonton tayangan filem melayu atau apa sahaja cerita-cerita  yang disaji dipeti keramat telivisyen tersebut.

Siaran berita pada masa berlakunya peristiwa tersebut adalah rancangan yang paling ditunggu-tunggu kemunculannya kerana maklumat nun jauh di Kedah akan diketahui segera hatta termasuklah saya di Johor.  jika dibandingkan dengan kepesatan sistem maklumat pada masa ini, saya cukup teruja dan rasa bersyukur kerana saya salah seorang daripada individu yang berpeluang merasai  zaman di mana sistem maklumat itu berkembang.

Apabila tersiar sahaja berita mengenai Tragedi Memali ini saya cukup mengambil perhatian dan terus menjadi persoalan-persoalan yang sukar saya fahami pada masa itu.  Mungkin juga kerana rasa ingin tahu akan kebenaran cerita itu telah menjadikan saya seorang yang cukup sensitif mendengar cerita berkaitannya.  di sinilah apa yang ingin saya kongsikan bersama teman-teman yang mengunjungi blog saya ini.

Selanjutnya saya terus cuba mendapatkan maklumat lanjut berkaitan peristiwa tersebut melaui bapa saya, datuk saya, pakcik-pakcik saya, saudara-saudara yang hampir serta jiran-jiran tetangga.  Bukan saya bertanya, tetapi saya mencuri dengar perbualan mereka.  mungkin agak ganjil jika difikirkan, budak-budak seperti saya boleh ambil peduli akan hal-hal orang tua, tetapi iltuah hakikatnya, usia saya bukanlah halangan, kerana mungkin saya sudah sedikit matang atau mungkin juga kerana sikap saya yang suka pasang telinga mencuri-curi dengar itu yang menjadikan saya begitu dewasa dan cepat termatang.

Dari perbualan mereka, bermacam-macam ulasan dan andaian serta pendapat yang diberikan dan menjadikan saya berfikir, bertanya dengan diri sendiri, mengapa peristiwa memali ini terjadi? Apa sebab ia terjadi? Apa itu PAS? Apa itu UMNO, BN? Jahat atau sesatkah Ustaz Ibrahim Libya dan pengikut-pengikutnya? Betul ke Tindakan Pasukan Polis ke atas mereka?

Bermula dari kesangsian saya berkaitan peristiwa tersebut telah mendorong saya membuat analisis sendiri sehinggalah saya bersekolah menengah barulah saya mendapat jawapan sebenarnya kerana saya sudah dapat mengumpul banyak maklumat berkaitan peristiwa tersebut.

Kesimpulan yang saya perolehi dari peristiwa tersebut ialah bagaimana rakusnya Kerajaan memanipulasi Media kawalan mereka, masyarakat memang mudah terpedaya dengan tipudaya Media Tempang kongkongan Rejim Barisan Nasional ini.  Natijahnya dapat dilihat hingga ke hari ini, rancangan mereka sebenarnya telah berjaya menyesatkan masyarakat khususnya orang Melayu. sekali lagi saya bersyukur kerana dipilih ALLAH terhindar dari mereka yang disesatkan gerombolan-gerombolan ini.

Justeru itu, terus ikuti kisah Memali berikut yang saya perolehi dari blog sahabat ....

*****


Email dari Mohd. Hafizi Ab. Rahim
From Tok Guru Nik Abd Aziz Club, Frendster Bulletin


Tanggal 19 Nov 1985, Kg. Memali, Mukim Siong, Baling, Negeri Kedah Darul Aman di bumi Malaysia menjadi saksi satu tragedi yang sangat dahsyat dalam sejarah tanah air. Lebih 3000 anggota keselamatan dihantar oleh pihak pemerintah daripada regim Barisan Nasional untuk melakukan aksi penangkapan ke atas seorang tokoh ulama’ yang bersama di dalam Gerakan Islam di Malaysia iaitu Parti Islam Se-Malaysia (PAS).

Beliau yang mesra dengan panggilan Ust. Ibrahim Libya atau nama sebenarnya Ibrahim bin Mahmud merupakan pendakwah tanah air yang sebelumnya pernah berkhidmat bersama Pusat Islam Malaysia. Beliau yang telah sekian lama bersama PAS akhirnya mengambil keputusan meninggalkan Pusat Islam bagi meluaskan lagi ruangnya memberikan perkhidmatan kepada Parti Islam walaupun khidmatnya sangat diperlukan oleh Pusat Islam sehingga beliau pernah dii’tiraf sebagai pendakwah terbaik.

Dengan suaranya yang lantang dan tegas menghadapi kezaliman-kezaliman pihak pemerintah ketika itu yang diketuai oleh Perdana Menteri Tun.Dr Mahathir bin Mohamad, setiap majlis-majlis pidatonya pasti dihadiri oleh ribuan pendengar dikalangan penyokong dan pendokong gerakan Islam. Internal Security Act (ISA) yang dikuatkuasakan oleh pemerintah adalah merupakan diantara perkara yang sangat kuat ditentang oleh beliau selain dari sikap pemerintah yang dilihat tidak memandang Islam sebagai ‘Aqidah Negara serta jalan penyelesaian masalah ummah. Ditambah lagi dengan peribadi pemerintah yang dicemari amalan korupsi dan sebagainya membuatkan Ust Ibrahim begitu bersungguh dalam memberi semangat kepada ahli PAS agar berazam untuk membuat perubahan dalam kepimpinan Negara.

Sokongan dan dokongan kuat dari ribuan umat Islam di Malaysia yang mencintai perjuangan Islam menjadi ‘mimpi ngeri’ kepada pihak pemerintah. Ianya begitu menakutkan mereka yang mengimpikan kekuasaan dapat dipegang selama-lamanya. Akhirnya, pelbagai tuduhan, fitnah dan label-label jahat dilemparkan kepada PAS khasnya Ust. Ibrahim Libya. Alasan-alasan dicipta bagi membolehkan pihak pemerintah dengan mudah menangkap Ust. Ibrahim. Kerjasama antara pemerintah dengan pihak keselamatan mula dilakukan dengan hebat.

Menjelang operasi penangkapan, Kg.Memali dipantau dan dikepung hampir seminggu lamanya. Pertambahan bilangan anggota keselamatan dari sehari ke sehari persis ingin menghadapi satu bala tentera musuh yang besar atau pengganas yang sangat merbahaya yang diperlukan segera. Cerita-cerita karut yang direka mengenai kegiatan Ust. Ibrahim dan pengikutnya di Kg. Memali disiarkan di dada akhbar bagi mengelabui mata orang awam. Ust. Ibrahim yang istiqamah mengajar anak-anak muridnya dikalangan orang tua dan anak muda di Madrasah yang dibinanya dimaklumkan mengajar fahaman salah dan sesat. Semuanya berlaku dalam tempoh menjelang operasi.

Sangat dahsyat. Tanggal 18 Nov 1985, hampir segenap penjuru kampung telah terkepung, dibimbangi ada sasaran yang terlepas keluar. Penduduk Kg. Memali yang begitu setia bersama guru mereka terus bermunajat kepada Allah memohon keselamatan dan bantuan. Persiapan persenjataan ala kadar dengan senjata ‘orang kampung’ disediakan kerana bagi mereka mempertahankan diri dan nyawa yang diancam adalah satu kewajipan yang sangat besar. Namun apalah sangat dengan senjata ‘orang kampung’ berbanding pihak pemerintah yang mengahantar bala tentera dengan kelengkapan seolah-olah menghadapi peperangan yang besar. Berpuluh-puluh kereta perisai disediakan, lori water canon, gas pemedih mata, senjata, pelbagai jenis polis disediakan termasuk Pasukan Polis Hutan dan segala macam kelengkapan lain.

Anggota polis berpecah kepada dua kumpulan akibat berlainan maklumat yang diterima mengenai siapa sasaran dalam operasi ini. Ada yang mendapat maklumat, mereka akan menggempur perkampungan saki baki Komunis dan ada yang mendapat maklumat mereka akan menghadapi kumpulan pemberontak kerajaan. Namun, atas arahan dari pemimpin tertinggi pasukan polis yang mesti ditaati, mereka akur juga walaupun ada yang mengetahui bahawa dihadapan mereka bukanlah Komunis. Selepas kejadian, maklumat diterima bahawa pada malam serangan ingin dilakukan iaitu malam 18 Nov tersebut, sebahagian anggota polis bersuka ria dan berpesta besar di sebuah balai polis di Negeri Kedah. Antara anggota polis yang terlibat didalam operasi ini termasuklah dikalangan mereka yang bukan beragama Islam.

Antara watak utama dibelakang operasi yang disebut ‘Ops Komunis’ ini, Musa Hitam (Tim.PM), Dato’ Yahya Yeop (pemimpin tertinggi Polis Negeri Kedah) dan Dr.Mahathir sendiri . Mereka inilah yang memainkan peranan utama bagi memastikan tertangkapnya Ust Ibrahim Libya pada tarikh tersebut.

Keesokannya harinya, tanggal 19 Nov 1985, selesai Solat Subuh, Ust Ibrahim terus memberikan taujihat penuh bermakna kepada para pendokong perjuangan yang terdiri dikalangan anak-anak muridnya yang setia dengan majlis-majlis ilmu beliau. Antara lain, beliau mengingatkan kepada ahli jama’ah supaya jangan ada yang lari dari perjuangan yang sedang dihadapi ini serta menyebut mengenai kelebihan mati syahid. Seluruh ahli jama’ah semakin kuat azam dan tekad untuk tidak menyerahkan Ust Ibrahim kepada pihak pemerintah. Mereka rela mati demi mempertahankan As-Syahid.

Antara mereka yang rapat dengan Ust Ibrahim ialah Sdr. Yusuf Husein dan Pak Teh Mat Piah (sudah meninggal). Mereka inilah antara yang kerap melakukan rundingan dengan pihak keselamatan pada hari tersebut agar mengelakkan berlakunya pertumahan darah khasnya orng ramai. Namun, Ust Ibrahim tegas dengan pendiriannya untuk tidak menyerahkan dirinya kepada kerajaan yang zalim kerana baginya, beliau tidak melakukan apa-apa kesalahan atau jenayah. Tugasnya hanya memberi nasihat kepada pemerintah yang begitu kuat menganut fahaman Nasionalisme dan Sekularisme yang bertentangan dengan Islam.

Berita kehadiran anggota polis untuk menangkap Ust Ibrahim akhirnya berjaya dihidu oleh pasukan tentera Malaysia yang berada di Negeri Kedah. Bahkan dikalangan mereka juga terdapat anggota-anggota yang sering mengikuti pengajian-pengajian agama daripada Ust Ibrahim. Beberapa orang dikalangan mereka akhirnya bergegas ke Kg. Memali dan memberikan peringatan kepada pasukan polis agar mengelakkan serangan. Dengan bilangan mereka hanya beberapa orang membuatkan pihak polis tidak mempedulikan. Dikalangan anggota tentera ini ada yang menyebut, “ingat ! hari ini hari kamu. Boleh jadi satu masa nanti kita akan bertempur.” Lalu mereka meninggalkan tempat tersebut.

Setelah dilihat Ust Ibrahim enggan lagi bertemu mereka, akhirnya orang kampung diberi arahan agar berundur ke belakang. Serangan akan dilancarkan. Namun, untuk menerima arahan tersebut tidak semudah itu. Penduduk kampung yang terdiri dikalangan orang tua, kaum ibu, pemuda, wanita dan anak kecil dengan penuh keberanian melaungkan kalimah ‘Allahu Akbar’ berkali-kali bagi menggerunkan pihak musuh. Parang panjang yang sering digunakan dikebun untuk tugasan harian, digenggam erat bagi menghadapi kemungkinan-kemungkinan. Ibu-ibu dengan parang dan buluh-buluh panjang menghalau pasukan polis. Anak-anak kecil yang masih tidak mengerti apa itu perjuangan menghadapi pasukan polis bersenjatakan parang dan pisau.

Pihak keselamatan yang panik akhirnya melepaskan gas pemedih mata dan water canon ke arah orang kampung yang kukuh berdiri tidak mahu berganjak. Seorang kanak-kanak terkena serangan tersebut lalu pengsan dengan mulutnya yang berbuih. Melihat anak kecil tersebut menjadi mangsa, lantas seorang penduduk yang dikenali dengan panggilan Cikgu Shafi’e nekad untuk melakukan serangan balas. Parang ditangan digenggam dan terus berlari ke arah anggota polis. Subhanallah. Belum sempat parangnya singgah ke tubuh anggota polis tersebut, sebutir peluru terus menembusi dadanya. Cikgu Syafi’e menjadi korban pertama tragedi tersebut.

Jerit pekik penduduk semakin kuat apabila serangan bertalu-talu dari kereta perisai polis dilakukan. Seorang demi seorang tumbang menerima hadiah peluru dari Kerajaan Barisan Nasional. Rumah Ust. Ibrahim dirempuh kasar. Akhirnya peluru menghinggapi juga tubuh ulama’, pendakwah dan pemimpin gerakan Islam ini. Diatas ribaan isterinya, beliau menghembuskan nafas. Beliau sempat bertanya, “abang kena apa?”. Si isteri menjawab, “abang ditembak.”

Menjelang waktu Zohor, hujan renyai-renyai turun membasahi Kg. Memali. Hujan rahmat yang turun sebagai saksi kezaliman pemerintah yang rakus mengahdapi rakyat yang serba kekurangan. Operasi pembersihan dilakukan segera agar bau bangkai jenayah mereka dapat ditutup dari pengetahuan rakyat Malaysia. Mangsa yang terkorban diangkut ke dalam trak-trak polis. Didalamnya turut dimuatkan beberapa ekor anjing buat menemani para syuhada’. Ada penduduk kampung yang tercedera disepak terajang. Mereka menyebut, “ada lagi yang belum mati”. Semua penduduk kampung disumbat ke dalam trak polis untuk dibawa ke balai. Yang cedera dibawa ke hospital. Maklumat dijaga agar tidak sampai kepada media atau orang ramai. Tahanan diugut agar merahsiakan kejadian.

Beberapa hari kemudian barulah mereka dibebaskan. Jenazah dipulangkan semula dengan bilangan korban seramai 14 orang semuanya. Maka bermulalah perbalahan diantara pihak berkuasa agama (Majlis Fatwa Kebangsaan) dengan penduduk. Mereka mendakwa Ust Ibrahim Libya dan 13 yang lain mati sebagai Syuhada’ dan perlu diuruskan sebagai orang mati syahid. Pandangan ini diambil dari tuan-tuan guru di pondok-pondok Negeri Kedah yang melihat bahawa mereka ini mati kerana mempertahankan agama dan nyawa mereka. Bagi pihak berkuasa agama dibawah pemerintah, mereka terus ditekan untuk mendakwa Ust Ibrahim dan lain-lain mati sebagai Bughah (penderhaka kerajaan Islam) dan wajib diurus sebagai orang mati biasa. Penduduk tetap dengan keyakinan mereka. Akhirnya para korban diurus sebagai syuhada’ dengan tidak dimandikan beserta pakaian mereka yang masih basah dengan darah yang terus mengalir walaupun telah beberapa hari ditembak.

Sehingga hari ini, kes ini yang telah beberapa kali dibawa ke mahkamah sunyi sepi tidak berbunyi lagi. Kes yang masih berada di dalam fail mahkamah ini tidak dipedulikan oleh Menteri Penerangan Malaysia (sebelum ini) iaitu Dato’ Zainudin Maidin. Beliau memperalatkan beberapa klip video tragedi Memali ini untuk menyerang PAS sebagai gerakan ekstremis, radikal, militan dan sebagainya selepas pasca 11 Sept 2001 dengan menggambarkan orang PAS menyerang anggota keselamatan. Hari ini, genap 24 tahun tragedi Memali yang meragut nyawa mereka yang tidak bersalah dan mencederakan beberapa anggota polis yang memang mereka ini tidak tahu pun tujuan sebenar dihantar ke sana pada tarikh tersebut. Mereka tidak bersalah.

Bahkan seorang demi seorang orang kampong yang sepatutnya menjadi saksi dimahkamah untuk memfailkan saman kepada kerajaan Barisan Nasional kini telah menghadap Allah s.w.t.

Selepas kejadian tersebut, setiap tahun PAS mengadakan sambutan memperingati Tragedi Memali. Saban tahun juga ada sahaja anggota polis yang secara diam-diam menyalurkan sumbangan kepada PAS, kepada balu-balu syuhada’ dan memohon kemaafan atas kesilapan mereka. Melihat kepada situasi anggota polis yang sangat sedih dan terkilan dengan kejadian ini yang bukan dengan kerelaan mereka dan sangat terharu dengan sambutan memperingati syuhada’ ini , akhirnya atas nasihat dari pimpinan, sambutan yang berjalan beberapa tahun tersebut dihentikan. Wallahua’lam.

Al-Fatihah Untuk Para Syuhada’ Memali

_blog cinaislam

_lihat juga diblog sahabat kita yang lain ..... 


Keranamu MEMALI !

Kempen seruan mengibarkan 'jalur Memali' (dibawah) selama 3 hari mulai hari ini di blog. Berikan sokongan anda menentang kezaliman penguasa. Alfatihah untuk semua syuhada !




Tuan Guru Nik Aziz & Haji Dengan Wang Hadiah

Oleh Zaharuddin Abd Rahman

 
nikaziz1.jpg
 
SOALAN
Apa pandangan ustaz berkenaan seseorang pergi haji dengan wang hadiah orang lain, saya rasa ustaz faham isu ini berkait dengan kenyataan Tuan Guru Menteri Besar Kelantan yang membatalkan hasrat menunaikan haji pada tahun ini (2009) akibat pertikaian dan tuduhan rasuah. Tapi beliau masih bersedia menerima tajaan dari mana-mana pihak tahun hadapan.
JAWAPAN
Hukum asal bagi menunaikan haji dengan wang hadiah adalah HARUS tanpa sebarang khilaf. Walaupun seseorang digalakkan untuk menggunakan wang sendiri bagi menunaikan haji bagi memperolehi maksud haji yang menagih pengorbanan  tenaga dari tubuh badan, minda dan wang.
Namun demikian, adalah tidak salah sama sekali sesiapa yang mampu untuk menghadiahkan sebahgain dari kurniaan kekayaannya bagi menaja sesiapa sahaja khsuusnya bagi mereka yang belum menunaikan haji untuk melunaskan rukun Islam yang kelima itu. Demikian juga diharuskan untuk menaja mana-mana alim ulama atau sesiapa juga bagi tujuan yang sama.Lebih digalakkan jika sekiranay yang taja BELUM PERNAH menunaikan Haji.
Namun begitu, hukum asal akan berubah mengikut keadaan dan situasi. Persoalan niat adalah persoalan yang sukar dijadikan sandaran dalam hal ini kerana ia adalah urusan hati yang tersembunyi, diketahui secara tepat hanya oleh Allah swt.
Justeru, jika ada mana-mana ilmuan yang menjawab dalam persoalan ini bahawa semuanya bergantung kepada niat. Sudah tentu begitu di sisi Allah, namun pandang sisi manusia juga perlukan penjelasan yang lebih mendalam sebagai satu panduan.
Menyatakan hukum dengan menyandarkan ia kepada niat semata-mata tidak akan menyelesaikan kekeliruan, malah dibimbangi akan disilap fahami oleh orang awam sehingga menyalahgunakan hujjah tersebut dalam tindakan yang terangan bersalahan dengan displin Islam, seperti berdua-duaan (berdating) di tempat sunyi kemudian mendakwa niat mereka baik dan sebagainya.
APA RASUAH ?
Sebelum kita pergi lebih lanjut, perlu difahami erti rasuah menurut istilah yang diterima pakai oleh perundangan Islam adalah :-
ما يُعطى لإبطال حق أو لإحقاق باطل
Ertinya : Apa-apa yang diberikan untuk membatalkan sesuatu yang benar dan membenar yang batil (melayakkan yang batil) ( Syarh as-Sunnah, Al-Baghawi, 10/88)
Namun demikian, takrif Rasuah menurut perundangan di Malaysia pula adalah lebih pelbagai dan boleh dibaca dari tulisan saya yang lalu di SINI .
JADI APA PANDUAN HUKUM DALAM HAL INI?
Bagi memahami perubahan hukum dalam hal ini, beberapa dalil dan situasi terpilih berikut boleh dijadikan rujukan.
 
  • 1)    Hadiah buat seseorang berpangkat
  من استعملناه على عمل فرزقناه رِزْقًا، فما أخذ بَعْدُ فهو غلولُ
Nabi Muhammad s.a.w bersabda : " Barangsiapa yang telah kami ambil untuk melakukan sesuatu kerja, dan telah ditetapkan baginya sesuatu rezeki (gaji atau upah), maka apa yang diambilnya selepas itu adalah ghulul (pengkhianatan) " ( Riwayat Abu Daud, no 2943, Hadith Sohih ; Ma'alim as-Sunan, Al-Khattabi, 3/8 cet Dar Kutub Ilmiah)
 
  • 2)    Sebuah Hadis :
  استعمل النبي صلى الله عليه وسلم رجلاً من الأزد يُقال له ابن اللتبية على الصدقة، فلما قدم قال: هذا لكم وهذا أهدي لي، قال: فهلا جلس في بيت أبيه أو بيت أمه، فينظر أيُهدى له أم لا.... ثم قال: "اللهم هل بلغت ثلاثًا"
Ertinya : Nabi bersabda kepada seorang gabenornya bernama Ibn Lutbiah yang telah ditugaskan mengutip zakat kabilah Azad, maka apabila ia selesai kerjanya dan kembali berjumpa Nabi, lalu ia menyimpan sebahagian dari wang yang dikutip sambil berkata :
"Ini untukmu (bahagian untuk Islam) dan ini untukku yang diberikan sebagai hadiah (oleh orang ramai), maka jatuh murka Baginda sambil bersabda
" Ketahuilah, pergilah kamu duduk di rumah bapamu atau ibumu, sehingga datang kepadamu hadiahmu, jika kamu benar-benar betul (layak mendapat hadiah)
"Ya Tuhanku, adakah telah aku sampaikan (kepada umatku akan hal ini) sebanyak tiga kali..(Al-Bukhari, no 2597 & Muslim no 1832)
 
3)    Di dalam sebuah riwayat disebutkan bahawa Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam mengutus Abdullah bin Rawahah berangkat ke Khaibar (daerah Yahudi yang tunduk kepada kekuasaan Islam) untuk menilai hasil buah kurma di daerah itu kerana Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam telah memutuskan bahawa hasil bumi Khaibar dibahagi dua; separuh untuk kaum Yahudi sendiri, dan yang separuh lagi diserahkan kepada kaum Muslimin.
Ketika Abdullah bin Rawahah sedang menjalankan tugasnya, orang-orang Yahudi datang kepadanya membawa berbagai perhiasan dan berkata kepada Abdullah:
"Perhiasan ini untuk anda, ringankanlah kami dan berilah kepada kami lebih dari separuh," Abdullah menjawab, "Wahai kaum Yahudi! Demi Allah kalian memang makhluk Allah yang paling aku benci. Apa yang kalian lakukan ini justeru membuatkan diriku lebih membenci kalian. Rasuah yang kalian tawarkan itu adalah barang haram, dan kami kaum Muslimin tidak memakannya!" Mendengar jawaban tersebut mereka (Yahudi) berkata, "Kerana (sikap) inilah langit dan bumi tetap tegak!" [Imam Malik, Al Muwattha':1450].
 
4)    Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda :
"Hadiah yang diberikan kepada para penguasa adalah suht (haram) dan rasuah yang diterima hakim adalah kufur" [Riwayat Ahmad].
BAGAIMANA KES MENTERI BESAR KELANTAN?
Bagi kes yang melihatkan Menteri Besar Kelantan, seorang tokoh agama yang dihormati lagi dikasihi oleh kebanyakan rakyat Kelantan dan usahawannya. Jika dilihat dari sudut rasuah menurut istilah Syariah, kemungkinan besar tajaan ini tidak berkait dengan ciri utama rasuah menurut Islam.
Berkaitan isu WANG KHIANAT pada pandangan Islam pula, ia juga mungkin TIDAK JATUH kepada beliau, jika benar-benar semua hadiah yang diberikan itu tidak bersangkut paut dengan jawatannya tetapi hanya kerana dirinya adalah seorang ulama.
PENGECUALIAN sebegini memang wujud dari teks-teks fatwa silam sebagaimana berikut
يجوز لولاة الأمور والعُمَّال قبول الهدية ممن كان يهدي إليهم قبل توليتهم مناصبهم، كهدية من قريب أو صديق بشرط أن لا تزيد قيمة هذه الهدية عما كان يُهْدى إليهم قبل تولي مناصبهم ولا تكون لها أيَّة علاقة بأعمالهم.
Ertinya : Harus hukumnya bagi seseorang pemerintah dan pegawai (pentadbir) menerima hadiah dari pemberian hadiah itu bermula semenjak sebelum ia memegang jawatannya, seperti hadiah hubungan kerabat atau rakan, namun ia dengan syarat NILAI HADIAH YANG DIBERI (SELEPAS NAIK JAWATAN) ADALAH SAMA dengan sebelum naik jawatan, serta MESTILAH HADIAH TERSEBUT TIDAK MEMPUNYAI ikatan dan kaitan sama sekali dengan jawatannya ( kuasanya) [1]
Imam AN-Nawawi pula menegaskan :-
وقد بين صلى الله عليه وسلم في نفس الحديث السبب في تحريم الهدية عليه وأنها بسبب الولاية، بخلاف الهدية لغير العامل، فإنها مستحبة،
Ertinya : Nabi s.a.w telah menjelaskan dalam hadis yang sama (di atas) bahawa sebab pengharaman terima hadiah sebegitu adalah disebabkan oleh JAWATANNYA, berbeza dengan hadiah yang diberikan kepada bukan pegawai yang mana ianya adalah digalakkan. ( Syarah Sohih Muslim, 6/462 )
WALAUPUN BEGITU
Kesimpulannya, dalam kes Tuan Guru Dato' Nik Abd Aziz Nikmat, saya dan ramai lagi yakin bahawa ia tiada unsur rasuah mahupun wang khianat. Ini kerana saya yakin, walaupun beliau tidak memegang jawatan Menteri Besar dan duduk di rumah sahaja sekalipun, masih ramai yang berlumba-lumba untuk memberikannya hadiah tajaan Haji dan lain-lain disebabkan kelebihaan ilmu dan amalan yang terzahir pada diri beliau dan bukan pada JAWATANNYA, sehinggakan seliparnya juga dicuri kerana ‘berkat'. [2]
Namun demikian, kita tidak boleh memandang hanya kepada mereka yang bersangka baik sahaja. Apa yang perlu diteliti kini, semua menyedari bahawa beliau bukan semata-mata seorang tokoh agama, namun juga adalah tokoh politik dan ketua eksekutif pentadbiran bagi sebuah negeri.
Justeru, atas dasar tersebut, menurut penilaian sederhana saya, adalah LEBIH WAJAR untuk  beliau menolak sebarang tawaran hadiah haji sedemikian selagi mana beliau masih memegang jawatan Menteri Besar. Pandangan saya ini berdasarkan banyak aspek dan sandaran, sebahagiannya adalah seperti berikut :-
1)     Mengelak tohmah dan sangka buruk yang memudaratkan.
Sekiranya kita menyusuri perbahasan hukum-hukum Fiqh di dalam kitab-kitab utama yang silam, akan didapati bagaimana beberapa amalan yang HARUS pada hukum asalnya menjadi HARAM atau ditegah akibat daaripada wujudnya unsur ‘tohmah' dan ‘kebolehan membawa sangkaan buruk' . Cukuplah kita ambil satu contoh dalam bab ini :
Imam Al-Kasani ketika membicarakan persoalan adab seorang qadhi (adab al-Qadha) menghurai :
ومنها : أن لا يقبل الهدية من أحدهما ، إلا إذا كان لا يلحقه به تهمة .
Ertinya : Sebahagian darinya (adab seorang qadhi) : Adalah tidak menerima hadiah dari salah seorang darinya (dua pihak yang sedang dibicarakan) kecuali jika ia tidak membawa kepada sebarang tohmahan (tuduhan buruk). (Bada'i As-Sona'ie, 7/10)
Walaupun teks di atas bukan dalam konteks menteri besar atau pemerintah, namun maqasidnya jelas, ia berkait dengan mereka yang memegang kuasa. PEMEGANG KUASA MESTILAH DIYAKINI DAN DILIHAT BERSIH OLEH ORANG-ORANG YANG BERGANTUNG DI BAWAHNYA, jika dia seorang hakim atau qadhi seperti dalam teks di atas, dia mestilah diyakini TIDAK BERAT SEBELAH oleh kedua-dua pihak di dalam mahkamahnya.
Jika dia pemerintah, hal yang sama juga terpakai, IAITU DIA MESTI DIYAKINI BERSIH DAN MAMPU MEMBERIKAN KEADILAN KEPADA RAKYAT BERDASARKAN KELAYAKAN DAN BUKAN ATAS PENGARUH-PENGARUH SAMPINGAN SEPERTI KERABAT, HADIAH YANG DIBERI DAN SEBAGAINYA.
Justeru, dalam hal Menteri besar Kelantan, umumnya mungkin yakin dengan peribadi beliau dalam menjaga keadilan. Namun perlu diingat bahawa di bawah bidang kuasa seorang Menteri Besar,  terdapat pelbagai pegawai, pelbagai jenis kuasa untuk menentu dan memutuskan keputusan khsuusnya melibatkan penganugerahan jawatan dan kontrak. Sebahagian besarnya memerlukan kepada nasihat dan rundingan pegawai-pegawai ini terlebih dahulu sebelum dilulus oleh Menteri Besar. Maka sejauh mana pula, orang ramai boleh yakin kepada pegawai-pegawai ini sebegaimana keyakinan mereka kepada Menteri Besarnya.?
Saya kira, ramai orang di bawah beliau tidak mampu menyamai krebiliti, ketahanan sehebat beliau dan keyakinan ramai  kepada pegawainya juga tidak seperti keyakinan kepada Menteri Besar Kelantan.
Tatakala itu, orang ramai akan menggandaikan si pemberi hadiah akan dikenali oleh para pegawai beliau, yang sebahagiannya turut mempunyai kuasa tertentu, KEADAAN INI TIDAK DINAFIKAN AKAN MEMBAWA TOHMAHAN DAN SANGKA BURUK RAMAI.
Ia boleh membawa sangkaan ramai, BAHAWA PEMBERI HADIAH TAJAAN HAJI INI MENDAPAT LEBIH KEISTIMEWAAN BERBANDING YANG TIDAK MEMBERI HADIAH, Paling kurang, ia menjadikan syarikatnya LEBIH DIKENANG DAN DIINGATI OLEH PARA PEGAWAI. Hasilnya, mungkin lebih mudah untuk memperolehi tawaran kontrak tertentu.
Saya tidak menuduh, saya cuma menyedarkan bahawa ruang sangkaan dan tohmahan itu sangat boleh untuk terbuka. Atas asas itu, saya berpandangan AMAT WAJARLAH Menteri Besar Kelantan untuk MEMBATALKAN MENUNAIKAN HAJI TAHUN INI DENGAN BERBEKALKAN WANG DAN PAKEJ TAJAAN.  Namun beliau tentunya MASIH boleh pergi dengan wangnya sendiri tanpa perlu membatalkan terus.
Selain itu, saya juga berpandangan tajaan haji atau umrah di tahun-tahun akan mendatang juga wajar ditolak. Berikanlah sumbangan itu kepada alim ulama lain yang tidak berjawatan rasmi atau pembuat keputusan yang melibatkan wang dan kontrak, yang tidak mendatangkan tohmah dan fitnah dan sangka buruk. KECUALI jika ia dilakukan secara tertutup, ia terpulang kepada semua yang terlibat untuk menjaga displin hukum.
Nabi s.a.w bukan sahaja melarang umatnya bersangka buruk, namun kita juga diajar oleh baginda nabi s.a.w untuk CUBA SEDAYA UPAYA MENGELAKKAN diri dari membuak ruang yang boleh menyebabkan diri kita disangka buruk. Itulah konsep sad az-Zara'i. (penutupan pintu-pintu yang boleh membawa kepada haram oleh diri dan kepada diri).
 
2)     Menolak kemudaratan adalah didahulukan berbanding mendapatkan kebaikan

Ia jelas dari kaedah Fiqh yang cukup terkenal. Benar, menunaikan haji membawa kebaikan kepada penderma dan yang menerima, namun jika ia sehingga menyebabkan nama baik kerajaan pimpinannya rosak akibat dari itu. Wajarlah ia dijauhi. Tidak kiralah mudarat itu akibat sangka buruk, fitnah atau dusta, namun ia tetapi membawa mudarat yang jelas. Lihatlah sekeliling dan media yang sedang mencipta sesuatu buruk dan mudarat dalam isu ini.
 
3)        Maslahat umum didahulukan  ke atas maslahat individu (atau yang lebih kecil)
Benar, menerima tajaan hadiah haji itu adalah sebuah kebajikan dan pahala buat dipenderma, pahala dan ganjaran juga bagi yang menerima. Namun jika ia jelas boleh membawa mudarat seperti tuduhan rasuah yang sehingga boleh memudaratkan kemaslahatan yang lebih ramai, bukankah ia lebih baik dijauhi. Si pemberi masih boleh menderma kepada ilmuan lain bagi mendapatkan pahala yang diinginya.
AKHIRNYA
Kesimpulan jawapan saya kepada persoalan yang dikemukakan, SAYA AMAT BERSETUJU untuk Menteri Besar Kelantan menolak tajaan hadiah bagi mengerjakan Haji pada tahun ini, namun beliau masih boleh pergi dengan wangnya sendiri tanpa perlu membatalkan terus.
Saya juga merasakan, TIDAK WAJAR untuk beliau menerima sebarang tajaan haji di tahun-tahun hadapan selagi beliau masih memegang jawatan Menteri Besar atas sebab-sebab yang dinyatakan di atas.
Sekdar itulah pendapat saya secara ringkasnya, ia bukan penentuan hukum, ia hanyalah sebuah pandangan dan nasihat yang boleh diterima atau ditolak oleh sesiapa sahaja.   Perlu disedari juga, pandangan dan jawapan kepada soalan di atas bukan sahaja terpakai kepada Menteri Besar Kelantan ketika ini, namun bagi semua penjawat awam, swasta dan ahli politik dari mana-mana jua parti politik.
Sekian
 
Zaharuddin Abd Rahman
www.zaharuddin.net
17 Nov 2009
 
 

Kad Pengenalan Palsu dan Penipuan Pilihanraya

E-mail Print PDF
http://www.buletinonline.net/images/stories/berita14/icpalsugila.jpg– Sampai Bila Polis, SPR dan Pendaftaran Negara Nak Tutup Lubang  UMNO dan BN?

KUALA TERENGGANU - Parti Bersatu Sabah (PBS) mendakwa kira-kira 700,000 pendatang tanpa izin di Sabah memiliki MyKad dan Kad Pengenalan Bermutu Tinggi (KPT) asli menggunakan data palsu.

Dengan itu, ia menjadikan Sabah sebagai negeri yang ‘paling menipu’ dalam pilihan raya di Malaysia sejak awal lagi.

Hal tersebut bukanlah perkara baru, kerana pendatang tanpa izin dari Filipina dan Indonesia sebelum ini digunakan sebagai pengundi di Sabah dan ini sebagai ‘pengundi hantu’

Pendedahan berkenaan 700,000 My Kad Kad Pengenalan Bermutu Tinggi (KPT) asli menggunakan data palsu telah dibuat oleh Setiausaha Agung PBS Dato’ Radin Malleh pada Februari, 2008 kira-kira sebulan sebelum pilihanraya umum ke 12.

Di Kuala Terengganu, sebulan selepas itu, Pesuruhjaya PAS Terengganu ketika itu Dato’ Mustafa Ali mendedahkan, bekas Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Idris Jusoh berkata Umno/BN akan menang dengan kad pengenalan palsu dan ‘Pengundi Hantu’.

 "Jangan bimbang saya boleh tidur lena kerana ada dua projek besar untuk mempertahankan negeri ini, pertama kad pengenalan palsu dan kedua pengundi hantu" kata Dato' Mustafa Ali menutur apa yang dicakapkan oleh Pengerusi BN Terengganu itu.

Idris dilaporkan telah berkata demikian dalam satu taklimat bersama pemimpin utama mereka, berikutan perkembangan yang menunjukkan bahawa rakyat mahu kepada PAS dan KeADILan memerintah negeri Terengganu.

Menurut Mustafa, sebab itu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sekali http://www.buletinonline.net/images/stories/berita14/img_0004.jpglagi mengarahkan pembatalan penggunaan dakwat kepada jari pengundi.

Pengundi hantu ini bukanlah ‘fantasi’ pemimpin PAS atau ‘mimpi’ pemimpin PBS yang mendedahkan tentang 700,000 kad pengenalan palsu, yang digunapakai oleh ‘hantu-hantu’ untuk mengundi.

Pada hari membuang undi 8 Mac, 2008, Harakahdaily melaporkan keadaan pengundian di negeri Kelantan.

Pengundian di tiga Dewan Undangan Negeri (Dun) yang terdapat dalam Parlimen Bachok iaitu Perupok, Tawang dan Jelawat  berjalan lancar, walaupun terdapat insiden yang tidak diingini seperti pengundi yang telah 'mati' (hantu lah) diambil peluang oleh pengundi lain.

Selain itu juga terdapat pembawa kad pengenalan palsu tanpa gambar, yang dibawa oleh seorang pemuda berusia lingkungan 30-an.

Bagaimanapun pengundi tanpa identiti itu tidak berjaya mengundi kerana dihalang oleh seorang ‘counting agent’.

Kad pengenalan palsu atau klon atau apa-apa sahaja yang digunakan untuk memenangkan Umno/BN dalam pilihanraya jelas terbukti kebenarannya dengan penemuan dan pengakuan, sebagaimana insiden diatas.

Selain itu, ia turut ditemui di Gual Ipoh, Tanah Merah, Kelantan, apabila orang yang ditugaskan mengundi 'berulang-ulang kali' dengan menggunakan ‘banyak kad pengenalan’ palsu.

Beliau dilaporkan datang menyerah diri kepada petugas PAS di kawasan tersebut. Setiausaha PAS Tanah Merah, Wan Yusof Wan Mustafa berkata, orang berkenaan yang berasal dari Bukit Panau Tanah Merah menunjukkan 28 kad pengenalan yang tertera namanya.


- Orang itu datang menyerah diri dan mengaku diberi kad pengenalan begitu banyak bagi mencapai misi Barisan Nasional (BN) menawan Kelantan pada pilihan raya kali tersebut.

http://www.buletinonline.net/images/stories/berita14/img_0009.jpg- Orang terbabit datang membuat pengakuan kepada peguam kita dan tindakan selanjut akan diambil, katannya..

Beliau yang juga calon PAS Dun Gual Ipoh ketika itu, turut melahirkan rasa hairan rumah-rumah penginapan dan asrama sekolah di sekitar Tanah Merah menjadi tempat penginapan pengundi yang tidak dikenali.

Malangnya, semua pengakuan dan kenyataan akhbar diatas tidak diambil peduli oleh mana-mana pihak samada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia ( SPRM- ketika itu BPR) Jabatan Pendaftaran Negara, SPR atau pihak polis


Malah, SPR beratus-ratus kali (kalu tak beribu) menafikan adanya ‘pengundi hantu’ yang dimaksudkan dan ‘memperlekehkan’ dakwaan-dakwaan rakyat tanpa menjalankan sedikit pun siasatan.

Bahkan, Ketua Polis Kelantan, Datuk Abd Rahim Hanafi, menafikan dakwaan berlaku penggunaan kad pengenalan klon (palsu) tersebut.

Dalam kenyataannya kepada media, beliau berkata, polis percaya ia adalah khabar angin yang sengaja disebarkan pihak tidak bertanggungjawab bagi mencetuskan kekecohan pada hari pengundian.

Ditambah lagi dengan kenyataan Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Kelantan, Ab Rahim Md Salleh, berkata pihaknya juga tidak menerima laporan mengenai dakwaan sedemikian.

Menurutnya, mungkin ada individu sengaja mengada-adakan cerita itu bagi memburukkan pihak tertentu.

Sedangkan, dalam kes terbaru, lain pula ceritanya. Berkait dengan penajaan pemergian Haji keatas Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Aziz Nik Mat, SPRM berkata, mereka boleh menyiasat atas laporan yang dikeluarkan oleh akhbar , tanpa perlu satu laporan dibuat oleh sesiapa pun ???

Justeru, cukuplah usaha polis, SPR dan Jabatan Pendaftaran, menutup telinga dan mengunci mulut, selidiklah dan siasatlah kebenaran !

Sejak bulan Jun, Pemuda PAS Johor telah membuat semua prosedur bagi membolehkan pihak-pihak polis, SPR dan Jabatan Pendaftaran Negara, membuka fail dan menyiasat kes berkaitan penemuan 14 keping kad pengenalan.

Namun tiada apa-apa tindakan yang dibuat oleh pihak polis, lalu semalam, mereka berarak membawa kes tersebut dari Johor Bharu ke bangunan Parlimen.

http://www.buletinonline.net/images/stories/berita14/img_0007.jpgKetuanya, Khairul Faizi dalam sidang media semalam telah memberitahu, siasatan berhubung penemuan itu sangat penting kerana ianya membabitkan keselamatan negara.

"Empat belas kad penganalan ini saya dapati tidak mempunyai ciri-ciri keselamatan...setidak-tidaknya kad pengenalan yang tidak lagi dimiliki akan dipotong."

Beliau juga tidak menolak kemungkinan, ianya ada kaitan dengan penyelewengan pilihan raya berikutan kad perwakilan Umno turut ditemui bersama.

"Yang lebih mencurigakan kami, kad pengenalan masih elok dijumpai bersama dengan beberapa dokumen yang mengejutkan...termasuk kad perwakilan jentera (Umno) pilihanraya tahun 1995."

turut dijumpai, bersama (adalah) kad perwakilan Umno yang tertera nama Norhashimah Abu Samah (iaitu) Naib Ketua Wanita (Umno) Cawangan Kampung Baru (Johor Bharu)," katanya lagi.

Kesemua barangan tersebut didakwa dijumpai pada 6 Jun lalu di satu kawasan tapak pelupusan sampah di Johor Bharu.

Ekoran penemuan itu, beliau memberitahu pihaknya telah membuat laporan polis (dengan segera) pada hari yang sama.

Namun melihat tiada sebarang perkembangan, mereka (pemuda PAS Johor) mula mengatur tindakan susulan termasuk menghantar memorandum kepada balai polis negeri dan kepada pihak lain yang bertanggungjawab.

Oleh itu, sebelum rakyat menjadi begitu bosan dengan pihak-pihak polis, SPR dan jabatan Pendaftaran, lebih baik mereka mengambil tindakan mencari kebenaran, dan jalankanlah sewajarnya.

Lupakanlah Umno/BN seketika !

Sampai Bila Polis, SPR dan Pendaftaran Negara Nak Tutup Lubang ‘najis’ UMNO dan BN, yang kini semakin lama semakin dihidu kebusukkannya !




_buletinonline

Jet pejuang asing langgar atap rumah disiasat

Kementerian Pertahanan dan Tentera Udara Amerika Syarikat (USAF) sedang menyiasat punca sebenar kejadian jet pejuang negara itu yang terbang rendah dan menyebabkan sebuah rumah berhampiran pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Butterworth, Pulau Pinang rosak pada 11 Nov lepas.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kedua-dua pihak akan mengkaji dengan rapi bagi mengetahui sama ada kejadian itu berpunca daripada masalah teknikal ataupun kesilapan manusia.

"Selalunya kemalangan yang membabitkan pesawat berpunca kepada kesilapan manusia, namun kita tidak menolak kadang kala berpunca dari segi teknikal pesawat itu sendiri namun kita akan siasat terlebih dahulu," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis menandatangani memorandum persefahaman antara Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan dua syarikat iaitu Mutiara Rini Sdn Bhd bersama Leejin Sdn Bhd berkaitan projek perumahan di Damansara hari ini.

Pada kejadian pukul 3 petang 11 Nov lepas, sebuah rumah di Kampung Setol, Butterworth mengalami kerosakan atap dan dinding selepas jet pejuang jenis F-15 Eagle milik USAF melakukan penerbangan rendah selepas berlepas dari pangkalan itu untuk menjalani latihan.

Difahamkan, kedudukan rumah itu agak hampir dengan hujung landasan dan kemungkinan kerosakan tersebut berpunca daripada tekanan angin dan kuasa supersonik yang dihasilkan oleh pesawat itu semasa melakukan penerbangan taktikal. BERNAMA _malaysiakini bm




 

651 anak kariah Shah Alam tandatangan memo bantah Jais


SHAH ALAM : Seramai 651 anak Kariah masjid dan surau Parlimen Shah Alam memberi sokongan bahawa khutbah yang telah disampaikan oleh ahli Parlimen mereka,  Khalid Samad adalah mantap.
Kesemua 651 anak kariah itu menandatangani satu memorandum bagi membantah tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) yang menarik balik tauliah yang diberikan kepada Khalid sebelum ini.

Alasan yang diberikan Jais adalah kerana khutbah yang disampaikan Khalid tidak mantap.

Memorandum ini diserahkan wakil mereka Mohd Jamil bin Abd Rahim yang juga Pegawai  Khas Ahli Parlimen Shah kepada Haji Izham bin Hashim, ahli Majlis Bandaraya Shah Alam untuk diserahkan kepada Jais.

"Menurut pemerhatian kami yang pernah mengikuti ceramah, kuliah, seminar, tazkirah dan khutbah yang disampaikan oleh YB Hj Khalid Bin Abd Samad, kami dapati penyampaiannya amat mantap, jelas  dan bertepatan dengan nas-nas Al-Quran dan Hadis," tulis memorandum yang ditandatangani mereka itu.

Memorandum itu juga berbunyia, "Kami Ahli Kariah Masjid/Surau Parlimen Shah Alam dengan ini membantah tindakan Pengarah Jais menarik balik tauliah sementara ke atas YB Hj Khalid Bin Abd Samad dengan alasan  khutbahnya tidak mantap."

"Oleh itu kami berharap pihak Jais yang bertanggungjawab terhadap Institusi Agama di negeri  Selangor tidak menjadi batu penghalang kepada usaha dan kerja-kerja dakwah."

Sehubungan dengan itu, mereka meminta agar urusan memberi tauliah di negeri Selangor dipermudahkan dan tidak disalahgunakan oleh mana-mana pihak demi perkembangan dakwah Islam di negeri yang tercinta  ini.