Sahabat Purnama

Selasa, 29 Disember 2009

Pas tidak taksub logo bulan

PASIR PUTEH - Kesediaan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang sanggup menggunakan lambang roket sebagai tanda kerjasama erat Pakatan Rakyat (PR) membuktikan keterbukaan Pas.

Ahli Dewan Undangan Negeri Limbongan, Zainuddin Awang Hamat berkata, kesediaan itu jelas menggambarkan bahawa pimpinan Pas tidak taksub kepada lambang bulan.

Menurutnya, hubungan Pas dan parti lain dalam PR semakin baik sehingga Nik Azizi bersedia menggunakan logo DAP.

”Kita lihat bagaimana parti Islam Ikhwanul Muslimin menggunakan lambang parti sosialis untuk bertanding selepas parti itu diharamkan, ia jelas menggambarkan pimpinan Islam tidak taksub kepada lambang.

”Apa yang penting perjuangan menegakkan hukum Islam diteruskan dan penerangan dibuat agar orang bukan Islam memahami apa yang kita perjuangkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis kesyukuran sempena kepulangannya daripada menunaikan ibadat haji semalam.

Zainuddin berkata, pimpinan UMNO yang berfahaman ‘politik suku agama suku’ tidak faham perjuangan Islam sebenar lalu apa saja yang dilakukan Pas dibantah.

Katanya, ahli Pas dididik untuk berjuang dalam jangka masa panjang kerana ianya dituntut dalam Islam, berbeza dengan pimpinan UMNO yang berjuang untuk tempoh tertentu.

”Mereka berjuang untuk tempoh singkat yang menyebabkan pelbagai salah laku dikesan termasuk kes kehilangan enjin jet,” katanya.

Zainuddin berkata, orang Islam perlu mempelajari sesuatu daripada peristiwa Perjanjian Hudabiyah yang berlaku bulan Zulhijah, tahun ke enam hijrah.

Perjanjian itu katanya, sebagai pengiktirafan daripada kafir Quraisy kepada kerajaan Islam yang dibentuk Rasulullah SAW di Madinah walaupun sebelum itu Rasulullah menerima tentangan.

”Walaupun perjanjian itu nampak seperti berat sebelah sehingga sahabat mempersoalkan tindakan Rasulullah namun kebijaksanaan Rasulullah akhirnya terbukti.

”Pas kini diterima sebagai parti Islam dan ini merupakan satu pengiktirafan kepada saf perjuangan Islam di negara ini,” katanya._sinarharian

Nik Aziz desak Umno keluar BN

Dzulfikar Mashoor   
KUALA LUMPUR, 29 Dis: Mursyidul Am PAS Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat kelmarin meminta Umno keluar dari BN dan bersama-sama PAS dalam Pakatan Rakyat sekiranya jujur dan benar-benar mahu memperjuangkan hak rakyat.

Beliau yang juga Menteri Besar Kelantan berkata demikian sebagai mengulas aksi sekumpulan pemuda mendesak PAS Selangor supaya keluar dari Pakatan Rakyat negeri Ahad lalu.

Jelasnya, mereka yang terbabit dipercayai sebagai ahli atau penyokong Umno.

"Kalau Umno boleh minta PAS keluar daripada Pakatan (Rakyat), maka saya minta daripada Umno (supaya) keluar dari BN untuk bersama dengan PAS," jelas Nik Aziz seperti yang dilaporkan suatu akhbar tempatan.

Beliau berkta, teknik menjadi dalang mengganggu PAS tersebut merupakan amalan kebiasaan Umno sejak PAS mula memerintah Kelantan dua dekad lalu lagi.

"Didalangi itu, perkara biasa bagi golongan sekular ini (Umno)," jelasnya.

"Sebenarnya orang PAS ini dah masak dah (menjadi dalang Umno)...sejak tahun 1991 lagi, macam-macam perkara dibuat."

Ujarnya, Umno diminta menggugurkan dasar kebangsaan dan bersedia menerima Islam sebagai dasar parti, sekiranya jujur mahu bersama-sama perjuangan Islam yang dibawa PAS.

Tambahnya lagi, Umno juga seharusnya bersedia menerima parti-parti komponen Pakatan Rakyat yang lain kerana PAS sekarang komited bersama-sama Pakatan Rakyat demi menumbangkan kerajaan yang zalim secara demokratik.

Beliau yang sebelum ini disebut-sebut sebagai 'Pemimpin Spiritual' dalam Pakatan Rakyat turut berpandangan Pakatan Rakyat lebih memenuhi semangat 1Malaysia, berbanding BN.

"Ia (Pakatan Rakyat) lebih bersemangat 1Malaysia daripada apa yang ada (BN) sekarang ini," sinisnya._harakahdaily.net

Jangan Guna RM5 juta ‘Dana Rempit’ Untuk Kempen Umno!

KUALA TERENGGANU – Umno dan Barisan Nasional (BN) Terengganu diberi ingatan supaya tidak menggunakan peruntukan kerajaan untuk membiayai kempen parti tersebut khususnya kepada golongan remaja dan belia.


Ketua Dewan Pemuda PAS Terengganu Ustaz Mohd Nor Hamzah berkata, beliau bimbang dana RM30 juta yang diluluskan dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) baru-baru ini disalahgunakan oleh Umno.
http://buletinonline.net/images/stories/berita18/UstMNor.jpg“Dalam Persidangan Dewan secara keseluruhannya kerajaan memperuntukkan RM30 juta untuk menyelesaikan masalah remaja termasuk masalah ‘Mat Rempit’,

”hanya kita bimbang, takut, mereka mengambil kesempatan menggunakan program itu untuk kempen Umno, sebagaimana mereka telah menyalahgunakan Program-program Bakti Remaja dengan peruntukan (kerajaan) yang besar,

“(mereka) memeras pemikiran remaja (dan belia) hanya terhadap kepartian Umno, bukan mengubah minda mereka, hati mereka dan mengubah agama mereka (menjadi lebih baik), ”katanya ketika ditemui Bultinonline.


Selain itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payung juga bimbang peruntukan dana yang besar itu hanya diberikan kepada pihak-pihak yang mempunyai kepentingan tertentu.



Beliau bimbang kerana menurutnya sehingga kini kerajaan belum menyatakan secara jelas, apakah bentuk program atau projek dan modul yang akan digunakan bagi menyelesaikan masalah gejala sosial di kalangan remaja.



”Projek (atau) program belum (dinyatkan) secara jelas (dan) modul (yang akan digunakan) sepatutnya mesti dinyatakan kepada semua wakil rakyat, supaya ia dapat dilihat dan dinilai pengisiannya,”ujarnya.



Selaku yang bertanggungjawab keatas perkembangan golongan terbabit, beliau akan meneliti apa yang akan dikemukakan oleh kerajaan negeri dan bersedia untuk memberikan saranan, demi kebaikan remaja dan belia.



”Saya dah beri asas-asas (perkara yang perlu diambil perhatian) dalam Persidangan DUN untuk diambil penilaian (dan perjalanan oleh kerajaan), jadi kita tengok dulu (bagaimana ia akan dilaksanakan),”jelasnya.


Bacaan sebelumnya;

Siasat Program Bakti Remaja
Pemuda Pantau Penyelewengan Kerajaan




_buletinonline



Ahli Pas rasional: Roslan

SHAH ALAM - Ketua Penerangan Pas Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir yakin ahli Pas negeri itu tidak akan melakukan tindakan sendiri jika Jawatankuasa Disiplin tetap menjatuhkan hukuman ke atas Pesuruhjaya Pas, � Datuk Dr Hasan Mohamed Ali.

Menurut beliau, perkara itu akan diserahkan sepenuhnya kepada kepimpinan parti untuk menangani masalah tersebut.

“Kita yakin ahli Pas tidak akan buat tindakan sendiri dan bersikap rasional sekiranya hukuman dijatuhkan kepada Pesuruhjaya dan kita akan beri keyakinan penuh kepada pucuk pimpinan parti untuk tangani masalah ini,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Roslan berkata, rayuan akan dibuat kepada jawatankuasa terbabit jika ada kes kukuh terhadap Dr Hasan.

“Sehingga kini kita tidak berani hendak mendahului keputusan yang belum diputuskan lagi dan jika betul-betul (dijatuhkan hukuman) kita akan bincang dengan barisan tertinggi parti.

“Malah kita ada peluang untuk merayu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai reaksi Pesuruhjaya Pas yang menyatakan apa pun keputusan Jawatankuasa Disiplin Pas ke atas beliau akan memberi kesan langsung kepada keutuhan parti.

Kenyataan itu menunjukkan Pas negeri lebih bersikap lembut dan bertoleransi serta tidak mahu isu yang melanda ketua mereka disensasikan demi kebaikan parti.

Ditanya mengenai perhimpunan yang dibuat oleh sebuah kumpulan yang menggelar diri mereka Gerakan Kesedaran Penyokong dan Pengundi Pas Negeri Selangor (GKPPNS) bagi mendesak kepimpinan parti itu supaya keluar daripada Pakatan Rakyat (PR), semalam, beliau berkata perkara itu akan dibawa kepada Pas Pusat untuk diambil tindakan lanjut.

“Kita tidak pasti lagi sama ada mereka ahli Pas atau sebaliknya. Jika betul (ahli Pas) mereka boleh dikenakan tindakan disiplin,” katanya.

Kata Roslan, sehingga kini Pas tidak mempunyai apa-apa masalah untuk bekerjasama Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.

“Pas akan kekal dalam PR dan dakwaan menyatakan kita sering terpinggir dan tersisih dalam PR tidak benar. Buktinya beberapa pemimpin kita dilantik menjadi Exco Kerajaan Negeri.

“Sehingga dua tahun PR memerintah, rakyat Selangor yakin dengan kedudukan dan peranan Pas dalam PR,” katanya._sinarharian

Ulama keturunan Rasulullah disambut



PEKAN SIK - Lebih 6,000 orang membanjiri Madrasah Ar-Rahmaniah, (Pondok Tuan Guru Haji Salleh Musa), semata-mata menyambut kehadiran ulama keturunan Rasulullah, Sheikh Habib Yusuf Al-Hasani.

Beliau yang juga bekas mufti Kanada, berkata, kemuliaan seseorang adalah dinilai dari segi ketinggian ilmunya, bukan di sebabkan oleh nasib, walaupun dirinya dilahirkan dalam kalangan keturunan Rasulullah.

Menurutnya, masyarakat perlu sentiasa berusaha meningkatkan ilmu pengetahuan dari semasa ke semasa, dan perlu mempelajari dengan seikhlasnya, serta menjadikan dunia tempat menimba ilmu, bukannya ilmu untuk mencari dunia.

“Menjadi satu perkara tidak baik bagi orang yang mengaku dirinya beriman, namun tidak yakin dengan rezeki diterimanya.

“Perkara yang paling penting dan perlu disemat dalam diri setiap individu ialah sentiasa bertawakal kepada Allah, dalam memegang amanah dan mempertahankan agama,” katanya sewaktu berucap dalam Program Ziarah dan Dakwah, di sini, kelmarin.

Beliau berkata, antara nikmat yang paling mahal dalam kalangan masyarakat setempat adalah mendapat pendidikan agama daripada Sheikh Salleh (Tuan Guru Haji Salleh Musa), kerana majlis ilmu ini adalah pusaka sebenar Rasulullah.

“Masyarakat juga perlu berpegang teguh dengan ahli Sunnah mengikut aliran Salaf, dan menghentam dengan tegas dengan menolak fahaman Wahabi yang mengatakan, mereka mengikut aliran Salaf tetapi pada hakikatnya ia hanya dakwaan semata-mata.

“Golongan Wahabi adalah golongan ekstrem agama yang menolak Mazhaf Hanafi, Maliki, Syafie dan Hambali, justeru masyarakat diminta tidak meninggalkan ulama yang berpegang teguh kepada aliran Salaf,” katanya.

Menurutnya, Imam Empat Mazhab lebih rapat pada zaman Salaf, sahabat Rasulullah, dan istilah Wahabi sebenarnya baru sahaja ditimbulkan, dalam kalangan masyarakat pada zaman ini.

“Golongan Syiah adalah golongan pelampau agama kerana amat biadab menghina sahabat, dan syukurlah masyarakat Islam di sini, sangat menghargai majlis-majlis ilmu yang dapat memberi mereka pelbagai maklumat yang bermanfaat,” katanya.

Sementara itu, Tuan Guru Haji Salleh Musa, berkata, beliau amat terharu menerima tetamu mulia iaitu Ulama Keturunan Rasulullah, mudah-mudahan mendapat keberkatan dunia dan akhirat.

“Jalinan kasih sayang antara kita dan ulama penting, kerana di akhirat kelak kita perlu menumpang syafaat mereka, dan program seperti ini akan diteruskan lagi pada masa-masa akan datang,” katanya.

Setiausaha Madrasah Ar-Rahmaniah, Muhammad Fazilul Helmi Raidzan, berkata, kerjasama daripada seluruh pihak, seperti Persatuan Ulama Kedah, Ahli Jawatankuasa Madrasah dan Ahli Parlimen Sik amat dihargai._sinarharian