Sahabat Purnama

Rabu, 16 Disember 2009

Belum sampai setahun, Najib mulai tergugat

M Yarisman   
KOTA BHARU. 16 Dis: Belum pun sampai setahun Datuk Seri Najib Razak berada di puncak kuasa, kini kepemimpinannya mulai kelihatan tergugat.
Detik cemas pengundian untuk meluluskan Bajet 2010 pada 14 Disember lalu dengan hanya kelebihan tiga undi, nyaris membawa kerajaan BN yang diketuai Najib terbubar.

Pada undian tersebut BN hanya mendapat 66 undi berbanding Pakatan Rakyat 63 undi.

Saat cemas itu turut diakui Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia di mana katanya, berdasar kepada konvensyen negara berparlimen, sekiranya bajet tidak diluluskan kerajaan BN terpaksa dibubar dan pilihan raya perlu diadakan.

Selain itu, konsep 1Malaysia dan Salam 1Malaysia yang dicipta perdana menteri juga dipertikaikan banyak pihak.  

Difahamkan inisiatif-inisiatif membabitkan konsep 1 Malaysia khususnya berhubung soal perpaduan dan integrasi nasional terpaksa ditangguh berikutan kesukaran mencapai kata sepakat di kalangan menteri Umno.

Keputusan penangguhan itu diputuskan ketika retreat khas yang diadakan di ibu negara Ahad lalu.

Selain itu ramai ulama mempertikai Salam 1Malaysia yang dianggap boleh menjejas aqidah seseorang Muslim kerana cuba merendah-rendahkan salam sedia ada dalam Islam.

Ulama terkenal, Datuk Dr Harun Din menyebut dalam tulisan seperti disiarkan  Harakah minggu lalu - Salam 1Malaysia merupakan kerja-kerja sia-sia kerana tidak diberi pahala.

Bekas penyarah Akademik Islam, Universiti Malaya, Mohamad Mustafa (gambar bawah) juga menganggap Salam 1Malaysia seperti syirik nasional yang cuba menyembunyikan keindahan Islam dengan slogan ciptaan manusia.

“Ucapan Salam 1Malaysia adalah perbuatan bidaah kerana tidak ada dalam amalan Islam, yang ada ialah ucapan salam yang sempurna iaitu “assalamualaikum warahmatullahi wabarakaatuh”.

“Salam 1Malaysia adalah salam nasionalisme yang berpokok kepada nasionalisme, sedangkan Rasulullah saw sendiri tidak pernah mengajar ‘Salam Satu Madinah’.

“Sekiranya mahu melaksanakan Islam dan bukan menjadi penghancur (kepada amalan Islam), berilah salam yang sempurna,” katanya.

Beliau yang juga bekas Yang Dipertua Abim Kelantan turut mempersoalkan konsep 1Malaysia kerana teras penyatuan yang cuba dibawa perdana menteri tidak mempunyai elemen Islam.

“Amerika juga mengajak rakyatnya bersatu di atas dasar United State - satu Amerika, sementara Russia dengan satu Russia, demikian juga dengan ‘United Malay’.

“Persoalan sekarang, aspek penyatuan itu disuruh Islam, tetapi hendaklah dipastikan sama ada penyatuan tersebut atas dasar tauhid atau syirik.

“Bagi orang Islam, sama ada 1Malaysia atau pun tidak, itu tidak kisah, namun konsep ‘1Malaysia’ yang dicetuskan dipastikan sama ada berlandaskan dasar tauhid atau tidak,” katanya yang juga Adun Demit.

Oleh itu katanya, pendekatan 1Malaysia menggambarkan kemuncak kepada ajaran nasionalisme yang meninggalkan agama dalam gerak kerjanya.

Begitu juga katanya, slogan ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’ nampak elok, tetapi dalam Islam, Allah swt mestilah didahulukan.

“Allah swt mesti didahulukan.  Jangan bertindak seolah-olah hak Allah swt tidak ada dalam senarai urusan negara kita sekarang,” katanya._harakahdaily.net

Tiada rombakan Exco Kelantan– Nik Aziz

Atiff Idris   
KOTA BHARU, 16 Dis: Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menolak khabar angin kononnya berlaku rombakan anggota Exco kerajaan negeri.

“Tidak akan berlaku rombakan atau pun pengguguran di kalangan anggota Exco yang ada sekarang.

“Tetapi jika pertukaran membabitkan kalangan pegawai tadbir negeri, itu merupakan perkara biasa,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Kompleks Kota Darulnaim hari ini.

Sebelum ini timbul desas desus kononnya akan berlaku rombakan Exco kerajaan negeri ekoran beberapa isu yang berlaku kebelakangan ini.

Ditanya desakan anaknya Nik Amalina supaya seorang Exco meletak jawatan, katanya pandangan itu dianggap sebagai perkara biasa kerana Nik Amalina sudah akil baligh.

“Dia boleh berfikir yang mana baik dan yang mana buruk, itu terserahlah kepadanya,” kata beliau.
Baru-baru ini Nik Amalina yang juga isteri kepada Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Kelantan, Ir Abdul Ariffahmi Abdul Rahman membuat desakan tersebut melalui blognya.


Mengenai kenyataannya sebelum ini memuji Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kerana berani melawat selatan Thailand katanya, manusia ada baik dan tak baik. “Ketika dia melakukan kebaikan kita kena puji, begitu juga dalam kes nak aniaya Kelantan untuk memberikan wang ihsan, itu tidak baik, dia kena bagi royalti,” ujarnya.

Perdana Menteri dalam kenyataannya semalam memberitahu beliau tidak terkejut dengan pujian diberi Tuan Guru Nik Abdul Aziz terhadapnya.

Menteri Besar bagaimanapun melahirkan rasa dukacita terhadap tuduhan bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra yang mendakwa Kelantan sebagai pusat militan.

Dakwaan itu dibuat ekoran tertangkapnya beberapa lelaki yang menghasilkan bom di sebuah rumah di Pasir Mas semalam.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz berkata, perbuatan yang boleh mencetus keganasan bertentangan dengan ajaran Islam.

Sementara itu, dalam perkembangan lain beliau mengajak rakyat Kelantan menyertai solat hajat yang akan diadakan di Dataran Stadium Sultan Muhammad ke-IV Jumaat ini.
Katanya, solat hajat tersebut akan diadakan selepas kuliah pagi Jumaat di Medan Ilmu.

“Bulan Muharram yang akan tiba merupakan bulan baik, bertuah dan mulia tambah-tambah lagi pada 1 hingga 10 Muharam umat Islam diharuskan berpuasa sunat dan sentiasa berdoa kepada Allah SWT.

“Sebelum ini Allah SWT telah banyak menyelesaikan segala masalah yang timbul dan mudah-mudahan dengan banyak berdoa Allah sekali lagi akan menolong kita menyelesaikan kekusutan yang berlaku,” jelasnya._harakahdaily.net

Tanah Masjid: Pemuda PAS serah memo, tunggu penjelasan MAIWP

Harakahdaily   
KUALA LUMPUR, 16 Dis: Dewan pemuda PAS (DPP) Wilayah hari ini menyerahkan satu memorandum kepada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menuntut penjelasan berhubung status tanah Masjid Sri Hartamas.

Ianya dibuat ekoran MAIWP masih lagi berdiam diri biarpun isu tersebut dilontar awal minggu lalu dan memohon penjelasan segera dari majlis agama tersebut yang bertanggungjawab secara langsung berhubung penukaran status tanah itu kepada kawasan komersil.

Status tanah masjid beralamat di Lot 48671 di Jalan 19/70A, Desa Sri Hartamas itu didakwa telah ditukar dari tanah Masjid kepada tanah Pembangunan (Perniagaan) untuk dimajukan.

Memorandum tersebut diserahkan ketua DPP Wilayah, Kamaruzaman Mohamad bersama Ketua Penerangan PAS Pusat, Idris Ahmad dalam satu pertemuan dengan ketua pegawai eksekutif MAIWP, Tuan Haji Anan Mohamad di pejabatnya.

Mereka menuntut penjelasan MAIWP terhadap 12 perkara yang berkait dengan isu tersebut seperti berikut:

1. Menjelaskan kenapakah status tanah berkenaan ditukar dari tanah ’Masjid’ kepada tanah ’Pembangunan (Perniagaan)’.

2. Memberikan sebab kenapa tanah itu tidak dimajukan bagi membina Masjid atau Institusi Islam lain yang sesuai dengan kedudukannya.

3. Menjelaskan sama ada tanah berkenaan telah disewakan atau dipajak atau dijual terus kepada Syarikat Leader Domain Sdn. Bhd dan Syarikat Glomac Resources Sdn. Bhd.

4. Memberikan justifikasi tentang kewajaran pembinaan Glomac Galeria bukannya MAIWP Galeria di atas tapak berkenaan.

5. Menerangkan apakah konsep pembangunan yang dibuat dalam projek Glomac Galeria dan apakah manfaatnya kepada umat Islam disekitar Sri Hartamas.

6. Menjelaskan apakah kepentingan MAIWP dalam projek Glomac Galeria.

7. Mendedahkan siapakah pihak-pihak lain yang berkepentingan dalam memajukan projek berkenaan.

8. Memberikan jawapan bagaimana 20 unit untuk lot perniagaan yang sedang dibina dalam projek Glomac Galeria boleh mendapat status pegangan bebas dan apkah kesannya terhadap status tanah Lot 48671 kelak.

9. Menyenaraikan senarai nama pemilik-pemilik 20 unit lot-lot perniagaan yang didakwa oleh Glomac Berhad sebagai sudah habis dijual dengan status geran milikan ’Free Hold’.

10. Menjelaskan ke manakah duit jualan bagi projek bernilai RM 8.3 juta itu di salurkan dan ;

11. Apakah baki kepentingan yang tinggal buat umat Islam di sri Hartamas setelah projek itu disiapkan.

12. Mendedahkan dokumen-dokumen Perjanjian yang terlibat dalam transaksi hartanah tersebut seperti Sale & Purchase Agreement, Joit Venture Agreement, Construction Agreement atau Building Agreement atau apa-apa dokumen lain yang terlibat.

Bercakap kepada pemberita selepas pertemuam hampir setengah jam itu, Idris memberitahu tiada apa-apa penjelasan diberikan dan pihak MAIWP meminta untuk membuat demikian kemudian.

Selain itu mereka dalam pertemuan itu juga diberitahu bahawa tanah berkenaan diberikan kepada syarikat Glomac Resources kerana syarikat tersebut memberi tawaran terbaik kepada MAIWP.

Idris juga berpendapat biarpun tanah tersebut tidak diguna untuk membangunkan masjid, namun wajar diguna untuk perkara yang memberikan kebaikan kepada ummat islam.

Manakala Kamaruzaman pula menyelar sikap Umno Wilayah Persekutuan dan Syarikat Glomac kerana dilihat mendahului MAIWP dalam menjawab isu tersebut sedangkan ianya dikemukakan kepada majlis agama islam itu.

Sehubungan itu mereka tetap akan menunggu penjelasan MAWIP._harakahdaily.net

Masalah sampah di Kedah selesai - Exco

Ali Hashim   
ALOR SETAR, 16 Dis: Masalah sampah yang menjadi perbualan hangat di negeri Kedah sebelum ini akan diatasi setelah pengambilan kerja-kerja pembersihan di swastakan kepada syarikat pelupusan sisa pepejal Environment Idaman (E-Idaman).

Demikian kata Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Pembangunan Luar Bandar, Membasmi Kemiskinan, Jalan Raya, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga Negeri Kedah, Datuk Ir Phahrolrazi Mohd Zawawi. (gambar)

Katanya,  syarikat ini telah mengambil alih tugas pembersihan dua belas Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang ada dalam negeri ini kecuali Majlis Daerah Yan yang masih dalam proses perbincangan untuk pengambilalihan tugas-tugas tersebut.

"Adalah sesuatu yang tidak tepat apabila ada sesetengah pihak mendakwa tahap kebersihan yang ada di negeri ini tidak berbeza seperti dahulu sedangkan tugas-tugas pembersihan yang telah dilaksanakan oleh syarikat tersebut adalah pada tahap yang baik.

"Sekiranya masih terdapat beberapa kawasan yang didapati tahap kebersihannya tidak memuaskan maka masyarakat boleh membuat aduan supaya tindakan bagi mengatasi masalah tersebut dapat dilakukan dengan segera," katanya.

Menurut beliau lagi bagi membolehkan tugas pembersihan ini dilaksanakan dengan sempurna oleh E-Idaman maka  perjanjian antara PBT dan syarikat tersebut telah disempurnakan pada 25 November yang lalu.

Perjanjian fasa pertama yang telah dilakukan pada 27 Oktober yang lalu melibatkan PBT dan syarikat ini ialah Majlis Daerah Sik, Majlis Daerah Padang Terap, Majlis Bandaraya Alor Setar, Pihak Berkuasa Tempatan Taman Perindustrian Kulim-Hi Tech dan juga Majlis Daerah Kubang Pasu, katanya._harakahdaily.net

Tidak hadir: Mahfuz, Che Rosli beri penjelasan

Dzulfikar Mashoor   
KUALA LUMPUR, 16 Dis: Ekoran kegagalan hadir sewaktu undian menolak bajet sulung Datuk Seri Najib pada lewat malam Isnin lalu, dua dari lima Ahli Parlimen PAS yang dihubungi hari ini memberi penjelasan.

Mereka masing-masing Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar dan Ahli Parlimen Hulu Langat Dr. Che Rosli Che Mat.

Mahfuz ketika dihubungi memaklumkan beliau berada di Jakarta pada tarikh tersebut atas urusan peribadi dan telahpun memaklumkan lebih awal kepada Presiden Parti, Tuan Guru Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Selain itu beliau juga memberitahu tidak mendapat maklumat berhubung hasrat pakatan mahu menolak bajet 2010 yang dibentang Najib sebelum ini.

"Saya sebenarnya sudah maklumkan kepada Presiden (PAS) seminggu yang lalu...saya mahu ke Jakarta Jumaat lalu atas urusan peribadi.

"Sehingga hari saya ke Jakarta (Jumaat), saya tidak tahu tentang hasrat Pakatan nak tolak Bajet 2010 (pada) 11 malam Isnin lalu," jelas Mahfuz yang juga Naib Presiden PAS.

Seorang lagi ahli parlimen, Dr. Che Rosli Che Mat pula menjelaskan beliau terpaksa meghadiri satu program anjuran Pakatan Rakyat di Sungai Besi bagi mewakili PAS menggantikan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin yang tidak dapat hadir ke program tersebut.

"Saya terima sms (sistem pesanan ringkas) lewat petang, ketika itu saya di Sungai Besi dalam perjalanan ke Hulu Langat.

"(Sebagai) tuan rumah, saya terpaksa hadir suatu majlis Pakatan (demi) menggantikan Nizar (Ahli Parlimen Bukit Gantang) yang tidak hadir,"

Beliau juga menolak dakwaan sesetengah pihak yang menuduh beliau cuba lari dari tanggungjawab ekoran kejadian itu.

"Saya bukannya lari tugas," katanya lagi.

Kedua-dua mereka juga bercadang menghantar surat penjelasan kepada presiden parti dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung perkara itu dalam masa terdekat.

Isnin lalu bajet 2010, yang dibentangkan oleh Najib sebelum ini hanya diluluskan dengan majoriti tiga undi sahaja iaitu 66 menyokong dan 63 menentang dalam pengundian lewat malam tersebut.

15 ahli parlimen Pakatan Rakyat masing masing lima dari PAS dan bakinya dari PKR dan DAP gagal hadir pada sesi pengundian tersebut.
Manakala 70 Ahli Parlimen dari BN juga gagal hadir pada pengundian tersebut.
Selain Mahfuz dan Dr. Che Rosli, tiga lagi wakil rakyat PAS adalah Ahli Parlimen Kuala Krai Dr. Mohd Hatta Ramli, Ahli Parlimen Baling Taib Azamuddin dan Ahli Parlimen Parit Buntar Dr. Mujahid Yusof Rawa.

Harakahdaily bagaimanapun sedang berusaha meminta penjelasan dari ketiga-tiga wakil rakyat PAS yang belum dapat dihubungi hari ini.

Kegagalan kesemua ahli parlimen pakatan rakyat hadir pada proses pengundian tersebut dikritik hebat oleh media khususnya blog yang mendakwa mereka penyebab Pakatan gagal menolak bajet Najib. _harakahdaily.net