Sahabat Purnama

Ahad, 29 November 2009

Tumpu perkara lain lebih penting: MB


YAN - “Kita bukan ‘pak turut’ untuk buat keputusan tanpa mengkaji terlebih dahulu. Apa yang saya boleh katakan, kita akan kaji modul kursus Biro Tata Negara (BTN) sebelum membuat sebarang keputusan,” kata Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak.

Azizan ditanya sama ada Kedah akan mengikut jejak langkah Selangor yang melarang kakitangan awam dan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) negeri itu mengikuti kursus anjuran agensi latihan Kerajaan Pusat itu.

“Ini bukan sahaja penting bagi mengelak sebarang kekeliruan tetapi juga diharap keputusan yang bakal dibuat itu memberi impak yang baik kepada semua pihak,” kata Azizan lagi.

Beliau yang juga Pesuruhjaya Pas negeri berkata, pihaknya tidak mahu dilihat sebagai ‘pak turut’ dalam membuat sebarang keputusan tanpa terlebih dahulu menyelidik atau mengkaji secara mendalam.

“Kita juga tidak mahu mencampuri sebarang keputusan yang melibatkan dasar mana-mana Kerajaan Negeri sebelum mendapat penerangan atau maklumat sebenar daripada pihak yang berkelayakan.

“Ini penting bagi mengelak sebarang kekeliruan atau penerimaan salah di samping ingin menjaga hubungan baik sesama pemimpin dalam Pakatan Rakyat (PR),” katanya ketika ditemui selepas menunaikan solat sunat Aidiladha di Surau Pak Su Mat, Kampung Tengah, Sungai Limau Dalam, di sini, semalam.

Azizan berkata, isu larangan BTN memberi kursus kepada kakitangan awam dan pelajar negeri Selangor hanya dilaporkan dalam media sahaja dan beliau selaku rakan karib kepada Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim akan terlebih dahulu menghubungi rakan sejawatannya itu bagi mendapatkan gambaran jelas mengapa Kerajaan Negeri Selangor mengambil tindakan itu.

“Buat masa sekarang lebih baik kita tumpukan pada soal lain yang lebih mustahak daripada membahaskan perkara yang belum diketahui kesahihannya.

“Saya juga enggan memberi komen sama ada Kerajaan Kedah akan menuruti langkah Kerajaan Selangor atau sebaliknya. Tunggulah sampai masa nanti, kita akan tahu juga,” katanya.

Dalam masa yang sama, Azizan juga berkata, beliau belum sedia untuk mengulas kenyataan Ketua Penerangan Pas Pusat, Idris Ahmad yang berkata parti itu bersetuju dan menyokong jika negeri-negeri lain di bawah PR mengikut jejak langkah Kerajaan Selangor.

Semalam, Idris dilaporkan berkata, Pas menyifatkan tindakan Kerajaan Selangor melarang kakitangan awam serta pelajarnya mengikuti kursus BTN sebagai tepat dan wajar.

Ini kerana dakwanya, selain kursus anjuran biro di bawah Jabatan Perdana Menteri itu tidak mendatangkan faedah dan hanya membazirkan wang rakyat, modul pengisiannya juga merupakan salah satu cara mendoktrinkan peserta agar membenci pembangkang. _sinarharian

Pembangunan Tidak Terancang dan Tidak Sempurna Punca Banjir

E-mail Print PDF
http://buletinonline.net/images/stories/berita14/IMG_6355.JPGKUALA TERENGGANU – Banjir merupakan fenomena yang berlaku setiap tahun di negeri ini, yang menerima kadar hujan lebih banyak pada musim tengkujuh.

Ia bukan sahaja menyebabkan kerugian harta benda, namun ada nyawa yang turut terkorban, pada setiap kali ia berlaku.

Walaupun ia dianggap sebagai bencana alam, tinjauan Buletinonline mendapati, rata-rata rakyat berpendapat ia boleh dikawal sekiranya pembangunan yang dilakukan secara terancang, terkawal dan sempurna.

(Gambar - banjir di jalan Kuala Terengganu - Kuala Berang, pembahagi jalan terpaksa di korek bagi memberikan laluan air, contoh pembangunan yang tidak sempurna) 
Wakil Rakyat Kawasan Ladang, Dato’ Tengku Hassan Omar percaya, sekiranya perparitan sempurna dan ‘longkang tengkujuh’ (Monsoon Drain) dibina dan di selenggara dengan baik, banjir di kawasan bandar dapat diatasi.

Menurutnya, longkang-longkang sedia ada adalah longkang yang sudah lama, di

tambah dengan kurangnya  penyelenggaran menyebabkan sampah sarap tersumbat.

”Apabila hujan lebat turun, air melimpah dan membanjiri kawasan-kawasan rendah,”katanya ketika dihubungi.


Seorang ibu yang baru selesai mengadakan majlis kenduri kahwin dua anaknya terpaksa menanggung kerugian ribuan ringgit berikutan banjir melanda kawasan rumahnya, baru-baru ini.

Maria Muda, 52, dari Bandar Dungun menyifatkan, banjir pada tahun ini adalah yang terburuk kerana ia  tidak pernah berlaku dikawasan rumahnya sejak lebih 20 tahun lalu.


Beliau yang juga kakitangan kerajaan di Hospital Kemaman berkata, walaupun daerah ini pernah dilanda banjir besar sebelum ini, namun kawasan rumahnya terselamat.

Bagaimanapun katanya, sejak pembinaan laluan pejalan kaki di bahu jalan, rumahnya turut mengalami banjir teruk.

“Habis perkakas rumah termasuk perabot dan peralatan elektrik ditenggelami air. Peralatan kenduri kahwin juga turut musnah.

“Kejadian ini pertama kali berlaku dan ia dipercayai berpunca daripada air hujan bertakung disebabkan tiada saluran keluar susulan projek pembinaan laluan pejalan kaki di bahu jalan, kedua-dua arah,” jelasnya.

Sementara itu, Shafie Ibrahim, 50, seorang daripada 45 mangsa banjir dari Taman Ros berkata, pihak berkenaan sepatutnya membuat perancangan teliti sebelum menjalankan sesuatu projek, walaupun dari segi fizikalnya, ia nampak cantik.

“Projek pembinaan laluan pejalan kaki hanya elok mata memandang, namun apabila hujan lebat, kami rakyat yang terpaksa menanggung derita,” katanya

Manakala di daerah Hulu Terengganu,  Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Nasi Dingin, Yusuff Taib berkata, banjir gelombang kedua melanda Terengganu beberapa hari lalu adalah kerana limpahan air sungai dan juga air hujan yang bertakung.


Katanya, ia bukan sahaja menyebabkan puluhan kampung di daerah Hulu Terengganu dinaiki air tetapi lebih 10 keluarga, di kampungnya terpaksa menghadapi kejadian banjir kilat.

Katanya, longkang sedia ada di kawasan terlibat bukannya daripada konkrit sebaliknya hanya parit dan sekali gus ‘memudahkan’ air melimpah sekiranya hujan lebat dalam tempoh beberapa jam sahaja.

Tambah mengecewakan, kejadian seumpama itu bukanlah pertama kali dihadapi mereka sebaliknya sudah bertahun lamanya berpunca daripada sistem perparitan tidak sistematik dan malangnya ia masih belum berakhir kerana tiada sebarang tindakan diambil.

Menurutnya, parit berkenaan juga tersumbat dan dipenuhi pasir atau tanah sehingga mengakibatkan air tidak dapat mengalir lancar.

“Akibatnya, limpahan berlaku sehingga mengundang kejadian banjir kilat kepada penduduk.

“Masalah berkenaan sudah berada dalam perhatian serta pengetahuan pihak berkaitan dan pihak JKKK juga sentiasa membuat susulan dari semasa ke semasa,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Sehubungan itu, beliau berharap supaya projek pembinaan longkang konkrit dapat dibina secepat mungkin sebagai cara bagi mengatasi kejadian banjir kilat.

Di Marang, Tuan Sulaiman Tuan Senik, 40, yang berasal dari Kampung Kubu, berkata kerajaan mestilah merancang dengan teliti pembangunan yang dilaksanakan bagi mengelakkan banjir terus berlaku.

Katanya, pembangunan yang pesat adalah baik untuk pertumbuhan ekonomi, namun sekiranya dilaksanakan tanpa perancangan menyebabkan perlaksanaannya tidak sempurna.

Menurutnya, walaupun berlaku banjir sebelum ini dikampungnya, ia tidak seburuk sebagaimana terjadi pada tahun ini.

”Pembangunan tanah, samada membangun ladang atau kebun, serta membina kawasan penempatan mestilah dirancang,

”begitu juga dibandar-bandar, mestilah pembangunan kemudahan asas seperti jalan dan longkang mesti di bina,”ujarnya.

Katanya, banjir yang berlaku juga boleh dikawal sekiranya semua sungai dan anak-anak sungai di selenggara mengikut keperluan semasa, bagi menampung aliran air mengelakkan limpahan._buletinonline

BTN: Sharizat dinasihat tumpu selesaikan isu feminisme

Oleh: Dzulfikar Mashoor   
KUALA LUMPUR, 29 Nov: Ketua Dewan Muslimat PAS, Nuridah Mohd Salleh menasihatkan Datuk Seri Sharizat Abdul Jalil agar segera menyelesaikan isu-isu feminisme berbangkit berkaitan kementeriannya sebelum ini. Baginya, Sharizat yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat tidak perlu terlalu asyik memperkatakan isu keputusan kerajaan Selangor melarang Biro Tata Negara (BTN) dari mengakses mahasiswa, kakitangan awam dan pekerja sokongan kerajaan itu.
“Saya rasa banyak isu feminisme seperti kes rogol juvana kaum minoriti Penan dibangkitkan (oleh) MP-MP (Ahli-Ahli Parlimen) Wanita PAS (dan) Pakatan Rakyat, tetapi beliau (Shahrizat) tak selesaikan,” jelas Nuridah ketika dihubungi semalam.

Beliau juga menasihatkan Sharizat menangani beberapa isu kezaliman berkaitan pembantu rumah wanita Islam-Indonesia belakangan ini.

“Sebenarnya banyak lagi isu berkaitan wanita kalau nak sebut…(seperti) isu penderaan pembantu rumah Indonesia yang beragama Islam umpamanya, dinafikan hak beramal dengan agamanya,” jelasnya.

“Sampai sekarang saya lihat tidak ada suatu polisi yang jelas untuk lindungi hak-hak mereka (pembantu rumah Indonesia)…yang kita lihat ada saja kes-kes penderaan.”

Dalam isu berkaitan, beliau bersetuju dengan pendirian Dr. Halimah Ali mencadangkan Kerajaan Selangor menghentikan serta-merta kursus BTN ke atas penjawat awam negeri itu.

"Saya setuju dengan Dr. Halimah, Adun Selat Kelang (berhubung) BTN berperanan seolah-olah agensi propaganda perkauman Umno, memburuk-burukkan pembangkang khususnya PAS dengan dakyah perkauman Melayu yang ekstrem,” ujarnya.

“Ianya dikatakan lebih mengutamakan agenda sempit kepartian Umno…(Kerajaan) Selangor ada bukti berdasarkan respon dan keluhan peserta yang ikut serta kursus ketatanegaraan BTN.”

Semalam, Shahrizat yang juga Ketua Wanita Umno berkata, BTN menerapkan semangat patriotisme selari dengan konsep 1Malaysia, bukanlah seperti yang didakwa pembangkang.

Rabu lepas, kerajaan Selangor mengeluarkan arahan serta-merta menglarang BTN menganjurkan program di Selangor kerana mendakwa badan itu melaksanakan indoktrinisasi yang salah.