Sahabat Purnama

Isnin, 28 Disember 2009

MB bukan Melayu: K'tan sedia pinda perlembagaan

Kerajaan PAS Kelantan sedia meminda Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri bagi membolehkan orang bukan Melayu beragama Islam menjadi menteri besar negeri itu.

Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata bukanlah menjadi persoalan untuk meminda peruntukan dalam undang-undang berkenaan asalkan ia selari dengan kehendak Islam seperti diperkenalkan PAS sejak memerintah Kelantan pada 1990.

"Undang-undang Kelantan itu lain kerana ia dibuat pada zaman itu. Benda itu boleh diubah," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Ijtimak Ulama Muda Negeri Kelantan di Kota Bharu hari ini.

Nik Aziz diminta mengulas kenyataannya yang akan menyokong mana-mana calon bukan Melayu menjadi menteri besar selepas beliau asalkan orang itu beragama Islam.

Beliau berkata mengikut dasar Islam sendiri, asalkan calon berkenaan berakhlak baik dan mengamalkan ajaran Islam dengan sebenarnya, mereka layak untuk dijadikan pemimpin.

"Itu sebabnya kita jangan berpegang kepada bangsa sebaliknya berpegang kepada mereka yang mengamalkan ajaran Islam, barulah Islam itu dihormati.

"Langkah ini (melantik bukan Melayu) menjadi menteri besar sudah tentu Islam itu sendiri akan dihormati dan lebih ramai yang menjadikan Islam sebagai pegangan agama," katanya.

Ketika menyentuh perkara yang sama dalam ucapannya, Nik Aziz berkata beliau sendiri akan mencadangkan mana-mana pemimpin bukan Melayu beragama Islam yang layak untuk menjadi penggantinya. BERNAMA_malaysiakini bm

Gerak cadang suruhanjaya diraja siasat Dr Mahathir

KUALA LUMPUR, 28 Dis: Gerakan Rakyat Integriti dan Anti Korupsi (Gerak Malaysia) gesa ditubuhkan Suruhanjaya Siasatan DiRaja bagi menyiasat dakwaan seorang penulis buku antarabangsa, Barry Wain bahawa sepanjang 22 tahun pentadbiran perdana menteri ke-empat hampir RM100 bilion dibazirkan dan berlakunya rasuah.

Gerak juga menggesa agar siasatan Suruhanjaya DiRaja itu nanti melibatkan dakwaan oleh Tun Dr. Mahathir terhadap mantan perdana menteri ke-lima, Tun Abdullah Ahmad Badawi yang melibatkan penggunaan wang bernilai RM 270 bilion dalam masa lima tahun.

Demikian kata Mohd Nazree Mohd Yunus, Pengerusi Gerak Malaysia dalam satu kenyataannya.

Menurut Nazree, siasatan yang adil perlu dilakukan bagi mengembalikan nilai kredibiliti kepimpinan negara dan ranking Malaysia dalam tangga persepsi indek rasuahnya yang jatuh pada tangga ke-57 pada tahun 2009.

Dakwaan berlakunya penyelewengan dan rasuah sepertimana yang didakwa melibatkan kedua-dua mantan perdana menteri ini wajar disiasat kerana ianya melibatkan suatu jumlah yang begitu besar sehingga mencecah billion ringgit, tambahnya.

"Jika dakwaan ini tidak disiasat sebaiknya, Gerak bimbang fenomena penyelewengan dan rasuah berskala mega akan menjadi amalan para pemimpin negara pada masa hadapan.

"Hakikat ini tidak boleh kita nafikan kerana situasi kekukuhan ekonomi negara juga amat bergantung kepada tahap integriti pengurusan sumber khazanah negara," katanya lagi.

Menurut Nazeri, kebolehpercayaan para pelabur asing terhadap kestabilan ekonomi negara akan tergugat  jika pemain-pemain rasuah politik-ekonomi secara terus-terusan menjadikan sektor perekonomian negara sebagai sarang rasuah yang boleh mengakibatkan kualiti ekonomi sesebuah negara merudum.

Jika khazanah negara seperti petroleum dan sumber asli yang lain tidak diuruskan dengan penuh integriti, maka tidak mustahil untuk kita menegaskan bahawa ketidakstabilan ekonomi yang agak meruncing pada hari ini  adalah diakibatkan oleh perlakuan jenayah rasuah berskala mega, katanya.

Rasuah berskala mega seumpama ini perlu dihentikan dengan memulakan pendakwaan segera terhadap individu-individu berprofil tinggi termasuklah yang melibatkan kepimpinan tertinggi negara dan negeri, tambah beliau lagi._harakahdaily.net

Umno/ BN Kononnya Membela Rakyat, Tapi Yang Senang Adalah Wakil Rakyat !

http://buletinonline.net/images/stories/berita17/Whassanbagibaju.JPG
Sura, DUNGUN – Tindakan Menteri Besar Terengganu, Dato’ Ahmad Said meminta rakyat memilih Umno dan Barisan Nasional (BN) dalam majlis yang dianjurkan oleh kerajaan dibidas oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Ustaz Wan Hassan Ramli.

Menurutnya adalah tidak profesional sebagai seorang Menteri Besar meminta sokongan dari rakyat kepada partinya dalam majlis yang dianjurkan dengan peruntukan kerajaan.

”Sumbangan kepada rakyat adalah tanggungjawab kerajaan, ia menggunakan peruntukan kerajaan, duit rakyat, bukannya daripada duit parti,

”tidak munasabah sebagai seorang MB meminta rakyat menyokong partinya,”tegasnya ketika ditemui selepas Majlis Pemberian Sumbangan Pakaian Sekolah, di sini, Ahad 27 Disember.

Beliau berkata demikian ketika mengulas tindakan Ahmad Said meminta ibu bapa yang hadir memilih Umn/BN dalam pilihanraya akan datang ketika berucap dalam satu Majlis anjuran Yayasan Terengganu baru-baru ini.

Sehubungan itu, kata beliau, walaupun PAS bukan sebuah parti yang memerintah namun wakil-wakil rakyatnya tetap memberikan sumbangan dan bantuan kerana ia adalah merupakan satu tanggungjawab

Oleh sebab itu, katanya, wakil-wakil rakyat PAS tidak hidup mewah kerana keutamaan dan kepentingan mereka adalah kepada rakyat.

Katanya, ia bukanlah satu ‘retorika’ yang hanya cakap-cakap kosong sebagaimana slogan yang dibawa oleh Umno dan BN, ‘Rakyat Didahulukan, pencapaian diutamakan’.

”Cuba kita tengok hari ini, bila bercakap bahawa keutamaan (adalah) kepada rakyat, tapi bila naik, yang senang pemimpin-pemimpin yang jadi wakil rakyat,

”lihat kereta masing-masing, lihat rumah masing-masing, lihat pakaian kemegahan masing-masing,

”tapi bila turun ke kampung (bertemu rakyat), (mereka berkata) kita akan bela rakyat, kita akan akan bela (orang) Melayu,”jelasnya

Justeru, beliau berkata, rakyat harus menilai parti yang benar-benar berkhidmat untuk rakyat, atau parti yang berkhidmat dengan wang rakyat.

”Sebab itu sangat penting bagi kita (rakyat) menilai dan memilih (PAS) parti yang terus memberikan sumbangan walaupun tidak sebuah kerajaan, bayangkanlah kalau PAS menjadi kerajaan,”ujarnya ketika berucap dalam di Majlis tersebut.

Seramai 87 orang anak-anak Ibu Tunggal dalam DUN Sura telah diberikan sepasang pakaian sekolah, sempena pembukaan sessi baru persekolahan tidak berapa lama lagi._buletinonline





Empat askar dituduh rogol gadis bawah umur

Empat anggota tentera hari ini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban kerana dituduh merogol seorang gadis bawah umur berusia 16 tahun pada 14 Disember lalu.

Nor Effendi Mohd Yusof, 22, Muhammad Khairi Mohd Rashid, 22, Ismail Darus, 20, dan Mohammad Shahrul Md Noor, 27, mengaku tidak bersalah di hadapan hakim Amran Jantan.

Ia didakwa berlaku di sebuah kereta di kawasan kebun pisang dekat Masjid Kampung Teluk Pelandok, Pasir Panjang, Port Dickson, antara jam 2.10 dan 2.40 pagi.

Nor Effendi menghadapi dua pertuduhan iaitu rogol dan samun, Ismail dan Muhammad Khairi pula dikenakan satu pertuduhan rogol, dan Mohamad Shahrul dikenakan dua pertuduhan rogol.

Pendakwaan dilakukan oleh pegawai pendakwa ASP So Phon dan mereka kesemua tidak diwakili peguam.

Keempat-empat tertuduh dikenakan ikat jamin sebanyak RM5,000 dengan dua penjamin.

Kes akan disebut semula pada 29 Januari tahun depan. BERNAMA _malaysiakini bm