Sahabat Purnama

Jumaat, 30 Oktober 2009

Hilang kepercayaan kepada parti tidak sahkan tutup pusat khidmat

Harakahdaily

SHAH ALAM, 30 Okt: Adun Perlabuhan Klang, Badrol Hisham Abdullah tidak patut menutup pusat khidmat kepada rakyat di kawasannya sungguhpun benar dia hilang kepercayaan kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Ini kerana, beliau memikul amanah pengundi kawasannya dan tidak boleh menafikan hak mereka untuk mendapatkan khidmat dari beliau.

Demikian kata rakan Adunnya, Nik Nazmi Nik Ahmad. Nik Nazmi adalah Adun Seri Setia yang juga Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor sebagaimana dilaporkan laman web Selangorkini.

Badrol mengumumkan keluar dari PKR disebuah hotel dekat Kuala Lumpur petang semalam. Pagi semalam, Tan Sri Khalid Ibrahim dalam kenyataannya berkata, beliau telah mencadangkan kepada PKR agar Badrol meletakkan jawatan.

Nik Nazmi menyelar kenyataan Badrul bahawa beliau hilang kepercayaan kepada parti lalu keluar dari PKR. Ketua Pembangkang Dun Selangor, Datuk Seri Dr Khir Toyo pula sebagaimana dijangka berkata sedia menerima 'orang buangan' dari PKR ini.

Nik Nazmi berkata, PKR terlebih dahulu hilang kepercayaan kepada Badrul setelah beliau gagal menjalankan tugas sebagai wakil rakyat di situ.

Menurutnya, Badrul tidak seharusnya bertindak menutup Pusat Khidmat DUNnya, sekalipun hilang keyakinan kepada pucuk pimpinan parti.

Katanya, tindakan Badrul meninggalkan PKR dilihat sebagai membantu Kerajaan Selangor untuk membersihkan pemimpin Pakatan Rakyat dari dibelenggu wakil rakyat yang bermasalah.

Setiausaha Polilitik Menteri Besar, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata tindakan ini disambut baik setelah Badrul enggan menerima sebarang bentuk bantuan dari kerajaan negeri dan parti bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi.

"Kita selama ni cuba untuk perbaiki selepas dapat banyak respon tentang rekod dia, tentang prestasi dia sebagai seorang wakil rakyat dan kita cuba berjumpa, kita cuba membantu tetapi dia nampak dia tidak mahu menerima bantuan kita, dia dah tutup pusat khidmat dia, kita bergerak lama tanpa dia jadi kita ucapkan selamat jalan lah pada dia," katanya.

Sebelum ini, Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim berkata, Badrol tidak lagi layak mewakili PKR dan Pakatan Rakyat kerana beliau gagal berkhidmat untuk rakyat walaupun berulang kali ditegur oleh pimpinan parti.

Khalid berkata beliau mengalu-alukan pengumuman Badrol bahawa beliau kini akan menjadi Adun bebas dan menyokong Barisan Nasional.

"Kita merasakan YB Badrul Hisham tidak boleh mewakili Pakatan Rakyat, melihat kepada rekod kerja beliau yang tidak memuaskan," kata Khalid.

"Beliau dilihat tidak boleh, dan tidak mahu berkhidmat kepada rakyat. Demikian itu, Parti Keadilan Rakyat dan Pakatan Rakyat tidak boleh bertolak-ansur," tambahnya.

Khalid berkata Badrul sepatutnya mengambil langkah terhormat dengan meletak jawatan dan memberi laluan kepada pihak yang mampu melaksanakan amanah penduduk Pelabuhan Kelang.

"Kita tidak halang beliau menjadi wakil rakyat bebas, tetapi belia dianggap telah menyalahguna parti untuk menjadi calon," kata Khalid._ harakahdaily.net

BERSIH Fokus Hapus Undi Pos Menjelang PRU 13

Friday, 30 October 2009 04:48 SM Noor

KEMAMAN – Pengerusi Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (BERSIH) Haji Mohamad Sabu berkata gabungan NGO tersebut akan terus bergerak dan menumpukan usaha dalam menghapuskan undi pos menjelang pilihanraya akan datang.

”Kita akan terus bersama NGO, akan terus berbincang diantaranya (terutama) masalah undi pos, ia (undi pos) jadi talian hayat kepada parti pemerintah, undi pos patut dihapuskan,”katanya ketika ditemui selepas ceramah sempena permulaan program Himpunan Pemuda Islam Terengganu (HIMPIT) disini semalam.

Menurutnya dalam pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri Bagan Pinang baru-baru ini, sepatutnya undi pos hanyalah untuk anggota tentera yang bertugas di luar, bukan kepada isteri-isteri merka yang tinggal di dalam kem.

Beliau berkata dari awal lagi PAS telah kalah dari segi 'saikologi' di Bagan Pinang kerana terdapat lebih empat ribu.

Katanya, eksploitasi terhadap undi pos kini telah menyelamatkan 25 kerusi parlimen Barisan Naional (BN) dan rancangan Menteri Pertahanan mahu mengujudkan satu kem tentera disetiap DUN bakal menjadikan pilihanraya semakin 'teruk'.

"Sekarang ini undi pos menyelamat 25 kerusi parlimen Barisan Nasional, sepatutnya, ketiadaan undi pos kita (Pakatan Rakyat) bertambah lagi (kerusi parlimen) 80 tambah 25, sudah hampir boleh memerintah,

"Ya (menambahkan satu kem dalam satu DUN) akan menambahkan teruk lagi, dia mahu memperbanyakkan lagi undi pos, kita terus menentang!,"tegasnya

Katanya, samada BERSIH akan turun atau tidak ke jalan raya, berdemonstrasi bagi menuntut Suruhanjaya Pilihanraya menghapuskan undi pos, adalah bergantung kepada keputusan perbincangan dengan semua NGO yang bergabung.

Mengenai bukti menunjukkan daftar pemilih SPR masih tidak bersih dengan penemuan 200 nama yang bertindih, beliau berkata BERSIH akan membawa perkara tersebut kepada pihak antarabangsa.

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat berkata, PAS juga akan menjalankan segala usaha bagi menjadikan pilihanraya di negara sebagai satu pilihanraya yang bnar-benar bersih dan adil.

"(BERSIH) akan terus membawa ke peringkat antarabangsa, (PAS) akan membawa perkara tersebut diperingkat pemuda, semua pihak, supaya kita betul-betul jadikan pilihanraya kita benar-benar bersih, barulah (nanti) siapa yang menang pun tidak ada rungutan,"jelasnya.

Beliau menjangkakan pertentangan dan pertelingkahan antara pihak pemerintah dengan parti-parti pembangkang dalam usaha menuntut pilihanraya yang bersih dan adil ini akan menjadi lebih hebat pada masa akan datang._buletinonline

HARI JUMAAT: Kelebihannya, kelebihan Jumaat dan Kerugian Apabila Lambat Ke Masjid Pada Hari Jumaat

Orang-orang yang meninggal dunia pada hari Jum‘at juga akan mendapat rahmat dan aman daripada segala azab kubur, perkara ini telah dijelaskan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang maksudnya:

“Sesiapa yang meninggal pada hari Jum‘at atau malam Jum‘at, dia akan dicop dengan cop iman dan terpelihara daripada siksa kubur”
(Hadis riwayat Al-Baihaqi)


Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam juga mengkhabarkan bahawa ganjaran pahala yang besar kepada orang-orang yang pergi berjemaah ke masjid termasuk untuk menunaikan sembahyang Jum‘at, sabda Baginda yang maksudnya :

“Apabila seseorang berwudhu lalu dia memperelokkan wudhunya kemudian dia keluar (pergi) ke masjid, dia tidak keluar kecuali untuk menunaikan sembahyang, tidak dia melangkah satu langkah kecuali ditinggikan satu darjat baginya dan dihapuskan baginya satu kesalahan, apabila dia bersembahyang Malaikat sentimemohonkan rahmat ke atasnya selama mana dia masih di tempat sembahyang dan belum berhadas, Malaikat memohonkan: “Wahai Allah berilah rahmat ke atasnya, wahai Allah sayangilah dia!”
(Hadis riwayat Al-Bukhari)

Dalam hadis ini mengandungi beberapa perkara yang penting. Pertama ganjaran pahala yang besar akan diperolehi oleh orang-orang yang pergi berjemaah di masjid dengan sedia berwudhu lalu pergi ke masjid untuk bersembahyang. Maka setiap langkahnya akan dikira sebagai penghapus dosa-dosanya dan menaikkan darjatnya. Para Malaikat juga sentiasa memohonkan keampunan dan rahmat kepada orang-orang sedemikian. Kedua, orang yang berwudhu di rumah itu menggambarkan bahawa mereka sentiasa menjaga ketepatan waktu sembahyang kerana telah bersedia lebih awal lagi.

Oleh yang demikian hari Jum‘at adalah hari yang mengandungi banyak kelebihan dan kebesaran yang diberikan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala kepada umat Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam.

Hari Jumaat lebih Awal


Sesungguhnya kita dituntut agar menepati waktu sembahyang dan dilarang melengahkannya. Ini kerana bukan sahaja menepati waktu sembahyang itu merupakan tuntutan agama malahan orang yang menepati waktu sembahyang itu akan mendapat ganjaran yang besar. Hal ini disabdakan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang maksudnya :

“Orang-orang yang bersembahyang pada waktunya dan menyempurnakan wudhunya, menyempurnakan (tegak) berdirinya, menyempurnakan khusyu‘nya, ruku‘nya dan sujudnya, maka sembahyang itupun naik (ke langit) dalam keadaan putih dan cemerlang. Sembahyang itupun berkata: “Semoga Allah menjaga dirimu sebagaimana engkau menjaga aku (memperelokkan kelakuan sembahyang itu)”. Tetapi sesiapa yang bersembahyang tidak dalam waktunya yang ditentukan dan tidak pula memperelokkan wudhunya, khusyu‘nya, ruku‘nya dan sujudnya, maka sembahyang itupun naik (ke langit) dalam keadaan hitam legam sambil berkata: “Semoga Allah mensia-siakan dirimu sebagaimana engkau mensia-siakan aku”. Sehinggakan setelah sembahyang itu berada di suatu tempat sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah, lalu iapun dilipatkan sebagaimana dilipatnya baju yang koyak-koyak kemudian dipukulkanlah ke mukanya”.
(Hadis riwayat Al-Thabarani)

Ulama Syafe‘i juga sepakat mengatakan bahawa sunat (mustahab) menghadirkan diri lebih awal ke masjid pada hari Jum‘at. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam menjelaskan tentang kelebihan orang-orang yang menghadirkan diri lebih awal ke masjid pada hari Jum‘at, Baginda bersabda yang maksudnya :

“Apabila datang hari Jum‘at, maka setiap pintu masjid ada Malaikat yang mencatat orang-orang yang masuk mengikut urutannya. Apabila imam telah duduk (di atas mimbar), para Malaikat menutup buku catatan mereka dan datang untuk mendengarkan zikir (khutbah). Perumpamaan orang yang hadir ke masjid lebih awal adalah bagaikan orang yang menyembelih hadyi (korban) seekor unta, kemudian seperti menyembelih seekor sapi, kemudian seperti menyembelih seekor kambing, kemudian seperti menyembelih seekor ayam, kemudian seperti orang yang memberikan sedekah sebiji telur”.
(Hadis riwayat Muslim)

Berdasarkan hadis-hadis di atas jelas kepada kita bahawa orang yang meghadirkan diri ke masjid lebih awal pada hari Jum‘at adalah sangat dituntut dan mempunyai ganjaran dan balasan yang besar. Sembahyang tepat pada waktunya juga dianggap sebagai memelihara sembahyang kerana jika dilenggahkan waktu sembahyang tersebut, kemungkinan akan tertinggal atau terlepas waktu yang ditentukan itu.
Malah Allah Subhanahu wa Ta‘ala juga telah menjelaskan bahawa antara sifat-sifat orang yang mendapat kebahagiaan itu ialah orang-orang yang tetap mengerjakan sembahyang pada waktunya dengan cara yang sempurna. FirmanNya yang tafsirnya :

“Dan mereka yang tetap memelihara sembahyangnya”
(Surah Al-Mukminun: 9)

Kesimpulannya, sembahyang dengan khusyu‘ dan tawadhu‘ serta menjaga dan memelihara waktu adalah satu kewajipan. Maka adalah disunatkan kepada orang yang wajib atasnya sembahyang Jum‘àt supaya menghadirkan diri lebih awal ke masjid bagi mengelak daripada terlepas pahala atau fadilat datang awal ke masjid seperti mana maksud hadis di atas.

Lambat hadir yang mendatangkan kerugian itu termasuklah hadir setelah imam naik ke atas mimbar untuk membaca khutbah. Hal ini telah diceritakan dalam hadis di atas yang menyebutkan yang maksudnya :

“Apabila imam telah duduk (di atas mimbar) para Malaikat menutup buku catatan mereka dan datang untuk mendengarkan zikir (khutbah)”.

Ini bererti para Malaikat yang khusus bertugas mencatat kelebihan hadir awal ke masjid pada hari Jum‘at itu menghentikan catatannya kerana hendak sama-sama mendengar khutbah. Orang yang sedemikian hanya akan tersenarai dalam orang-orang yang hadir Jum‘at sahaja, tetapi tidak tersenarai dari orang-orang yang mendapat kelebihan yang seolah-olah berkorban seekor unta atau sapi seperti yang disebut dalam hadis di atas.

Dari itu sayugialah kita datang awal ke masjid pada hari Jum‘at itu dan ketika dalam perjalanan menuju ke Masjid hendaklah dengan khusyu‘ dan merendah diri. Apabila sampai di masjid jangan lupa berniat iktikaf ketika hendak masuk ke masjid. Dengan datang awal itu juga kita berkesempatan melakukan perkara-perkara sunat yang lain seperti sembahyang sunat Tahiyyat al-Masjid, membaca Al-Qur‘an, beristighfar, berzikir dan berdoa, kerana pada hari Jum‘at itu mempunyai kelebihan dan kebesaran yang banyak dan ganjaran yang berlipat ganda._brunet