Sahabat Purnama

Sabtu, 31 Oktober 2009

Lokasi tiada ciri keselamatan

KUALA DIPANG – Mayat seorang murid tahun lima Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Mambang Di Awan yang dihanyutkan arus deras dalam kejadian jambatan runtuh di Sekolah Kebangsaan Kuala Dipang yang juga Pusat Kokurikulum Pejabat Pelajaran Daerah Kinta Selatan, ditemui dalam lubuk berhampiran Kampung Melayang iaitu satu kilometer dari tempat kejadian.

Mendiang, N Dina Deve dijumpai jam 8.45 pagi semalam oleh pasukan sukarelawan yang dianggotai beberapa individu anak jati kampung berkenaan.

Bapa mangsa, T Nathan, 42, seorang pemandu lori dan ibunya, Morgana, 35, suri rumah ketika ditemui di kediaman mereka tidak mampu berkata-kata, bahkan dari raut wajah mereka jelas tergambar perasaan sedih dan sayu menyelubungi pemergian anak keduanya itu.

Bapa saudara mangsa, M Subramaniam, 51, berkata, mereka sekeluarga cukup terkilan dengan kecuaian pembinaan jambatan berkenaan yang didapati tidak menepati spesifikasi ditetapkan.

“Hasil pemantauan dibuat, Kem 1Malaysia yang julung-julung kali dianjurkan ini langsung tidak menitikberatkan soal keselamatan peserta, kelengkapan dan persediaan pasukan keselamatan di tempat itu juga tidak disediakan penganjur.

“Sepatutnya penganjur menekankan soal keselamatan peserta, bukannya sekadar memenuhi aktiviti atau program sahaja, guru yang ditugaskan sebagai pengiring pula perlu bersedia dalam menghadapi sebarang kemungkinan bukannya hanya mampu melihat sahaja peristiwa berlaku di depan mata mereka,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

:Subramaniam turut mempersoalkan Kementerian dan Jabatan Pelajaran Negeri, Pejabat Pelajaran Daerah dan pihak sekolah yang dianggap gagal menyediakan pelan bertindak lengkap bagi menghadapi sebarang peristiwa tidak diingini.

Menurutnya, atas kegagalan inilah menyebabkan mendiang menjadi mangsa pertama runtuhan jambatan yang baru siap kira-kira dua minggu lalu.

“Namun begitu, kami perlu menerima pemergiannya, mungkin ada hikmah di sebalik apa yang berlaku.

“Mayat mendiang akan disemadikan di tanah perkuburan India Mambang Di Awan pada jam 11 pagi esok (hari ini),” katanya.

Sejumlah 298 murid-murid dari 60 buah sekolah daerah Kampar terlibat dalam kem 1Malaysia bermula 26 dan dijangka berakhir 29 Oktober.

Bagaimanapun, kem berkenaan diarahkan berhenti serta merta oleh Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berikutan tragedi runtuhan itu, malam kelmarin.

sinarharian

Tiada ulasan: