Sahabat Purnama

Sabtu, 17 Oktober 2009

PAKATAN RAKYAT KENA MUHASABAH

SHAH ALAM – Pakatan Rakyat (PR) perlu membuat kaji selidik atau ‘post mortem’ dan melakukan muhasabah secara adil, saksama serta memberi perhatian serius terhadap suara rakyat dan tidak melihatnya sebagai keputusan yang terpencil.

Naib Presiden PKR, Azmin Ali berkata, pimpinan tertinggi PR semua peringkat khususnya, perlu berpegang teguh dan menjunjung ke-rangka besar agenda perjuangan PR.

Menurutnya, pembentukan PR diasaskan kepada prinsip dan isu bersama, antaranya, demokrasi, hak asasi manusia, pentadbiran baik, ketelusan dan tanggung jawab, kebebasan sistem kehakiman dan usaha memerangi rasuah.

“Apabila kepimpinan memahami dan menghormati prinsip bersama ini, tidak timbul watak-watak yang cuba menjadi jaguh dalam mempertahankan ideologi dan kepentingan serta agenda peribadi.

“Keyakinan rakyat akan terhakis apabila melihat pimpinan bercakaran menerusi akhbar.

“Sehubungan itu, pimpinan PR perlu memahami segala perkara yang ditafsirkan sebagai perkara yang cukup mudah,” katanya dalam kenyataan media, semalam.

Azmin berkata, penyelesaian terbaik adalah melalui semangat muafakat dan perundingan dalam Majlis Pimpinan PR di semua peringkat.

Menurutnya, struktur organisasi PR perlu dimantapkan bukan sahaja peringkat pusat, tetapi peringkat da-erah dan cawangan.

“Dasar-dasar PR dalam isu-isu penting seperti ekonomi, pendidikan, agama, budaya, keselamatan dan hubungan antarabangsa juga perlu diperjelaskan kepada rakyat melalui majlis-majlis penerangan dan edaran risalah yang menarik dan berfakta.

“PR dibentuk bukan untuk memperbetulkan UMNO dan Barisan Nasional semata-mata tetapi PR perlu menjana perubahan total dan me ngangkat agenda reformasi dalam sistem kenegaraan demi kesejahteraan rakyat Malaysia,” katanya.

Justeru, katanya, PR perlu mengukuhkan pentadbiran dan menambah baik sistem penyampaian di Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan.

“Kerajaan PR di empat negeri ini perlu menjual produk kejayaan mereka menjelang Pilihan Raya Umum ke-13.

“Keupayaan PR mentadbir dan mengurus ekonomi dan permasalahan rakyat di empat buah negeri ini pastinya akan meningkatkan keyakinan rakyat Malaysia untuk membawa PR di persada Putrajaya.

“Dan saya begitu yakin, rakyat Malaysia khususnya generasi muda mahu perubahan dan akan mendukung usaha PR untuk membina 'Malaysia Baru' yang lebih sejahtera dan makmur untuk semua rakyat Malaysia,” katanya.

Dalam pada itu, Azmin menyifatkan perubahan yang dilakukan UMNO tidak sedikit pun menjejaskan pengaruh PR.

“Sebarang perubahan atas nama reformasi atau transformasi atau Islah mestilah didorong oleh wadah dan pemimpin yang percaya de- ngan perubahan akan memberi kesan untuk kesetiaan rakyat sejagat,” katanya.

-sinarharian

Tiada ulasan: