Sahabat Purnama

Rabu, 4 November 2009

Dzulfikar Mashoor

KUALA LUMPUR, 4 Nov: Ahli Parlimen Baling Datuk Taib Aizamuddin pagi tadi meminta kerajaan lebih prihatin soal industri pemakanan halal di Malaysia.

Ianya termasuk mengubal Akta Halal untuk memastikan segala barang keperluan umat Islam dijamin halal.

"24 juta (ringgit) bajet untuk industri halal, bukan tidak menyokong hasrat kerajaan...tetapi bajet itu perlu ditingkatkan dengan mewujudkan Akta Halal untuk keperluan umat Islam," tegasnya.

Ujarnya, kerajaan tidak perlu memjelaskan bahawa draf undang-undang berkaitan sedang dirangka apabila isu Akta Halal dibangkitkan dalam Parlimen.

Sebaliknya, Parlimen perlu diberitahu tarikh akhir kerajaan bersedia untuk membentangkan draf Akta Halal tersebut.

"Beberapa kali telah saya dengar, kita semua dengar (bahawa) kerajaan (Persekutuan) sedang merangka akta halal tersebut, tapi tidak selesai-selesai. Cuba beri suatu tarikh akhir, bila draf akta itu boleh dibentangkan," soalnya.

Tambahnya lagi, dengan tidak adanya Akta Halal dan penguatkuasaan undang-undang yang jelas, mengakibatkan pihak tertentu terus mengekploitasi logo halal, seperti beberapa pendedahan sebelum ini.

"Selagi tidak ada logo halal, tidak ada Akta Halal digubal, ia akan diekploitasi oleh pihak yang tidak bertanggungjawab," jelasnya.

"Banyak contoh...baru-baru ini kes benda yang tak halal dijumpai dalam botol kicap.

"Pihak Bengkel Halal USM mendedahkan lebih 30 peratus produk ubatan di Malaysia menggunakan kapsul tidak halal, dari babi...inilah yang perlu diperhatikan," jelasnya.

Beliau mengajak seluruh ahli parlimen menghayati firman Allah yang bermaksud, "Sesungguhnya yang halal itu jelas dan yang haram itu jelas, dan yang tidak jelas antara kedua-duanya itu adalah syubahat."

Jelasnya lagi, Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (Jakim) tidak boleh dipersalahkan dalam isu tersebut, kerana mereka tidak dibekalkan kuasa untuk membanteras aktiviti penyelewengan barang haram.

"Setakat pegawai Jakim pergi berdakwah nak siasat logo palsu halal, nak siasat barang-barang haram yang dijual untuk orang Islam, pakai kena usir begitu saja...sebab tak ada akta ini," jelasnya.

Beliau mencadangkan kerajaan membina Makmal Halal di peringkat nasional dan melantik penguatkuasa rasmi di bawah kerajaan untuk membanteras penyelewengan bahan halal.

Sesi membahaskan Bajet 2010 diteruskan._ harakahdaily.net

Tiada ulasan: