Sahabat Purnama

Isnin, 23 November 2009

Kecoh label ‘noda dan dosa’

ALOR SETAR - Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah semalam kecoh apabila beberapa wakil Barisan Nasional (BN) bangun mencelah dan menyatakan tidak puas hati terhadap kenyataan Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat, Siti Ashah Ghazali ketika sesi penggulungan.

ADUN Merbau Pulas itu mendakwa kumpulan penyalur bantuan banjir Kerajaan Negeri pimpinan Pas dihalau keluar dari pusat penempatan mangsa banjir di sebuah sekolah di kawasan DUN Anak Bukit, baru-baru ini.

“Kami datang membawa selimut, telekung dan makanan untuk diberi kepada mangsa banjir tetapi dihalau keluar dari kawasan sekolah itu yang merupakan pusat penempatan banjir,” katanya.

Sejurus dakwaan itu, Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah (BN-Bakar Bata) bangun mencelah meminta Siti Ashah mengemukakan bukti dengan memberi perincian kejadian.

Cadangan itu disokong Tajudin Abdullah (BN-Belantik), dan mendapat reaksi yang sama daripada Datuk Ir Nawawi Ahmad (BN-Kuah), Mohd Rawi Abdul Hamid (BN-Ayer Hangat) dan Azmi Che Hussein (BN-Bayu).

Serangan mulut yang bertubi-tubi membuatkan Sti Ashah tidak dapat meneruskan penggulungan buat seketika, sebelum diredakan dengan campur tangan Speaker, Datuk Dr Abdul Isa Ismail.

Dalam pada itu, kekecohan tercetus lagi apabila Datuk Dr Ku Abdul Rahman Ku Ismail (BN-Guar Chempedak) meminta Exco Belia dan Sukan, Kesenian, Warisan dan Kebudayaan, dan Penerangan, Dr Hamdan Mohamed Khalib menarik balik perkataan ‘noda dan dosa’ yang dilemparkan kepada pembangkang yang menerajui Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) sebelum ini, pada sesi penggulungan.

Dr Ku Abdul Rahman menyifatkan kenyataan itu terlalu keras dan meminta Dr Hamdan menjelaskan apa maksud perkataan itu.

“Tolong tarik balik tuduhan itu, apa sebenarnya maksud noda dan dosa itu,” katanya.

Dr Hamdan sebelum itu menuduh kepimpinan KFA yang terdahulu sebagai penuh ‘noda dan dosa’ kerana meninggalkan hutang lebih RM4.79 juta.

Membalas tuntutan Azmi, beliau menjelaskan apa yang dimaksudkan ialah bebanan hutang tertunggak KFA dengan menunjukkan beberapa helaian penyata kewangan KFA ketika pentadbiran BN sebelum ini.

“Kerajaan Negeri telah ambil inisiatif menjelaskan sebahagian hutang tertunggak itu yang melebihi RM4 juta, walaupun hutang itu bukannya daripada Kerajaan Negeri yang baru memerintah,” katanya.

Dewan turut diberitahu mengenai perancangan bagi memantapkan pasukan bola sepak Kedah termasuk pengurusan dan pentadbiran KFA.

“Antara langkah diambil untuk mantapkan semula pasukan bola sepak Kedah ialah melantik jurulatih baru, Ahmad Yusof untuk digandingkan dengan penolong jurulatih, Mohd Radhi Mat Din,” katanya.

Selain menjaga kebajikan pemain dengan memperuntukkan hampir RM300,000 untuk pengurusan pemain, program Kenari Kid akan diteruskan kerana berjaya mencungkil bakat pemain cilik.

Dr Hamdan turut membidas pembangkang supaya tidak mencampur adukkan politik dengan sukan, sekiranya mahu melihat pembangunan sukan di negeri ini terus berkembang._sinarharian

Tiada ulasan: