Sahabat Purnama

Ahad, 8 November 2009

Kes Anuar Ibrahim

Raja Petra Kamarudin

Ada antara anda yang mungkin telah terlalu muda untuk mengingati tentang perbicaraan liwat pertama Anwar Ibrahim. Dengan keluarnya keputusan mahkamah yang terkini berkenaan perbicaraan liwat kedua Anwar, maka inilah masanya bagi kita mengimbau kembali kenangan lalu bagi mendapatkan pemahaman yang lebih baik tentang cara perbicaraan liwat pertama dahulu dikendalikan.

Saya akan cuba menerangkannya dengan semudah mungkin, yakni tanpa terlalu banyak menggunakan istilah undang-undang. Apa yang perlu anda fahami adalah cara perbicaraan itu dikendalikan dan sebab saya mengatakan bahawa perbicaraan itu adalah perbicaraan yang penuh dengan penipuan.

Anwar didapati bersalah dan terpaksa meringkuk di dalam penjara selama enam tahun tujuh bulan, sedangkan di negara lain, kes seperti ini akan dibatalkan oleh mahkamah tanpa memerlukan Anwar membela diri. Dengan kata lain, di negara lain, tiada perbicaraan akan diadakan bagi kes seperti ini, malah Anwar pasti dibebaskan tanpa disuruh membela diri.

Mari kita imbau kembali segala kebobrokan yang berlaku semasa perbicaraan pertama dahulu. Dalam bahagian 2 nanti, kita akan membincangkan mengenai lain-lain isu pula:

1. Polis mengakui bahawa memang tidak pernah ada laporan polis terhadap Anwar dan bahawa asas bagi memulakan pendakwaan adalah khabar angin dan kandungan sebuah buku.

2. Orang yang dikatakan menjadi mangsa liwat, iaitu Azizan, telah melalui proses 'turn over' untuk mengatakan bahawa Anwar meliwatnya ('turn over' adalah istilah yang digunakan bagi merujuk kepada 'memaksa') – mahkamah diberitahu bahawa inilah amalan 'biasa' polis Malaysia.

3. Sebelum pendakwaan dimulakan, Cawangan Khas (polis) ada menghantar laporan kepada Perdana Menteri, iaitu bahawa tuduhan terhadap Anwar adalah pembohongan semata-mata. Ia dilakukan pengkomplot tertentu bagi menjatuhkan Anwar.

4. Jenayah liwat itu dikatakan berlaku ‘pada suatu hari dalam bulan Mei 1994'. Polis mengatakan bahawa tarikh ini adalah berdasarkan maklumat yang diperolehi semasa mereka menyoal siasat ‘mangsa’. Inilah tuduhan pertama yang dibuat.

5. Tetapi kemudian, ‘mangsa’ mengatakan bahawa dia tidak pernah diliwat selepas Mei 1992. Jadi, pertuduhan 'Mei 1994' tidak dapat diteruskan. Pertuduhan kemudiannya diubah kepada 'Mei 1992', yakni supaya ia konsisten dengan kenyataan ‘mangsa’. Kesilapan ejaan pula digunakan sebagai alasan bagi meminda pertuduhan.

6. Anwar kemudiannya memfailkan Notis Alibi, sekaligus membuktikan bahawa pada Mei 1992, Tivoli Villa, iaitu tempat di mana liwat dikatakan berlaku masih dalam pembinaan. Jadi, adalah mustahil bagi jenayah liwat itu berlaku masa, tarikh dan tempat yang dinyatakan dalam pertuduhan.

7. ‘Mangsa’ kemudiannya disoal siat buat kali kedua bagi 'membantunya mengingati tarikh yang sebenar'. Selepas dia 'ingat tarikh sebenar', pertuduhan itu sekali lagi dipinda kepada 'suatu hari antara 1 Januari 1993 dan 31 Mac 1993'.

8. Ketika Pembelaan berhujah bahawa undang-undang menghendaki pertuduhan yang lengkap dengan waktu, tarikh dan tempat kejadian yang spesifik, dan apabila Anwar berjaya memberikan alibi bagi kesemua 90 hari dari 1 Januari - 31 Mac 1993 untuk membuktikan bahawa dia tidak pernah berada di tempat kejadian, Pendakwaan membalas dengan mengatakan bahawa ‘sejak dahulu lagi, tarikh tidak penting’. Menurut mereka, meskipun mereka tidak dapat menentukan waktu dan tarikh yang tepat berkenaan ‘jenayah’ yang dilakukan Anwar, ini tidak penting selagi mereka dapat menentukan tempat kejadian.

9. Hakim perbicaraan tersebut akan menyoal peguam Anwar sebelum mana-mana saksi dipanggil, dengan tujuan untuk mengetahui tentang keterangan yang akan diberikan oleh saksi itu. Sang hakim kemudiannya akan memutuskan bahawa saksi-saksi berkenaan tidak relevan dan tidak membenarkan mereka dipanggil.

10. Ketika saksi pembelaan memberikan keterangan, hakim akan mencelah dan tidak membenarkan mereka untuk menyudahkan keterangan mereka.

11. Setiap kali Pendakwaan gagal mematahkan mana-mana keterangan dan keterangan itu dianggap dapat menjejaskan hujah Pendakwaan, maka si hakim akan memutuskan bahawa bukti/keterangan itu tidak relevan dan akan membuangnya dari rekod mahkamah.

12. Dalam jenayah seks, keterangan daripada mangsa sahaja tidak mencukupi. Ia perlu disokong bukti tambahan. Walau bagaimanapun, dalam pertuduhan yang dikenakan terhadap Anwar Ibrahim, tiada bukti yang menyokong keterangan mangsa.

13. Apabila Pembelaan meminta agar ‘mangsa’ dihantar untuk menjalani pemeriksaan kesihatan bagi menentukan sama ada dia diliwat ataupun tidak - masih ada masa untuk melakukannya, Pendakwaan menolak. Mereka mengatakan bahawa pemeriksaan kesihatan tidak konklusif (dapat dipertikaikan).

14. Pada masa yang sama, adik angkat Anwar, Sukma, yang dituduh bersubahat dengan Anwar bagi melakukan ‘jenayah’ ini dan dituduh secara bersama dengan Anwar - dan sebelum itu, dia dipenjarakan selama enam bulan kerana 'membenarkan Anwar meliwatnya’ - diperiksa oleh Dr. Zahari Noor, yang mengatakan bahawa dia tidak menemukan bukti bahawa Sukma pernah diliwat. Bahkan, Sukma didapati menderita dari buasir. Ini disebabkan saluran duburnya yang sangat kecil. Jadi, adalah tidak mungkin bagi Anwar meliwatnya - Sukma terpaksa dibedah untuk membesarkan saluran duburnya, yakni bagi membolehkannya membuang air besar. (Sukma didapati bersalah dan dipenjarakan atas 'pengakuannya', yakni yang diperolehi melalui penyeksaan yang dilakukan oleh polis).

15. Saksi-saksi memberikan keterangan bahawa individu-individu tertentu dengan kedudukan yang tinggi merasuah ‘mangsa’ dan pengkomplotnya untuk memalsukan bukti terhadap Anwar. Namun begitu, Pendakwaan enggan memanggil individu-individu terbabit ke mahkamah untuk membantah ataupun mengesahkan dakwaan ini. Apabila mereka cuba disepina oleh Pembelaan pula, mahkamah tidak membenarkannya. Hakim kemudiannya memutuskan bahawa keterangan saksi-saksi itu adalah 'khabar angin' - kerana ia tidak pernah disahkan mahupun dinafikan - dan menolak untuk mempertimbangkannya.

16. Saksi Pendakwaan memberikan keterangan yang bercanggah dan sentiasa mengubah keterangan mereka. Walau bagaimanapun, mahkamah memutuskan bahawa walaupun mereka tidak konsisten, ‘ketidaktekalan ini telah dijelaskan' dan mahkamah berpuas hati dengan penjelasan tersebut. Mahkamah juga mengatakan bahawa tiada manusia yang dapat menjadi 100% konsisten dan bahawa setiap orang, walau sejujur mana sekalipun, pasti tidak dapat konsisten sepanjang masa.

17. Seorang peguam terkemuka dan bekas pengerusi Majlis Peguam Malaysia, Manjeet Singh Dhillon memberikan keterangan dan menandatangani Akuan Bersumpah, yang mana dia menyatakan bahawa Peguam Negara dan Ketua Pendakwaan mengugut anak guamnya, yang mana anak guamnya akan dijatuhi hukuman mati jika dia tidak memberikan keterangan bahawa dialah orang tengah bagi Anwar mendapatkan perempuan. Tiada tindakan yang diambil terhadap mereka dan mereka terus mengetuai pendakwaan terhadap Anwar. Pada masa yang sama, tiada tindakan yang diambil terhadap peguam yang melakukan 'penipuan berniat jahat’ ini. Jadi, tuduhan ini tidak pernah dipersoalkan.


Original Post: http://malaysia-today.net

Tiada ulasan: