Sahabat Purnama

Khamis, 26 November 2009

Mohd Amar setuju Ahmad Yaakob jadi MB K'tan

Timbalan Pesuruhjaya III PAS Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, bersetuju Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob, dilantik sebagai menteri besar sebagaimana saranan anggota exco kanan kerajaan negeri, Datuk Husam Musa.

Dengan sokongan itu, Mohd Amar secara tidak langsung menolak pemilihannya sebagai pengganti menteri besar Kelantan, lapor Bernama.

Beliau menyokong kenyataan Husam semalam bahawa Ahmad yang juga timbalan pesuruhjaya I PAS Kelantan, merupakan pemimpin paling layak dilantik menteri besar, jika Datuk Seri Nik Abdul Aziz Nik Mat, melepaskan jawatannya.

Nik Amar berkata, tanpa dipengaruhi mana-mana pihak, beliau secara peribadi menyatakan sokongan itu berdasarkan kedudukan timbalan menteri besar itu sebagai pemimpin paling senior dalam kepimpinan kerajaan negeri itu.

"Berdasarkan hiraki parti, Datuk Ahmad (Yakob) paling layak memegang jawatan itu," katanya kepada pemberita selepas majlis penghayatan wukuf peringkat negeri di Pusat Tarbiayah Islamiah Kelantan (PUTIK), Pengkalan Chepa, hari ini.

Ditanya mengenai kenyataan Husam tidak dicalonkan sebagai menteri besar bagi mengambil alih tempat Nik Aziz jika menteri besar melepaskan jawatannya, Mohd Amar berkata itu pendapat peribadi Husam sendiri.

"Itu hak dan soal dia, saya tidak boleh kata apa," katanya.

Isu itu tercetus apabila Mohd Amar sebelum ini membuat kenyataan mencadangkan supaya Nik Aziz menamakan calon yang bakal menggantikannya bagi mengelakkan berlaku sebarang perebutan dalam parti bila beliau berundur.

Menurutnya, kenyataan beliau yang dikeluarkan oleh laman web The Malaysian Insider itu tidak berniat meminta menteri besar berundur lebih awal daripada sepatutnya.

"Saya membuat kenyataan itu sebagai jawapan kepada salah satu daripada persoalan yang dikemukakan wartawan laman web itu baru-baru ini, tidak lebih dari itu," katanya.

Sementara itu, Nik Aziz yang ditemui selepas itu tidak mahu ditemubual oleh wartawan kerana alasan penat berucap di majlis itu.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang juga tidak mahu berbuat demikian._malaysiakini bm

Tiada ulasan: