Sahabat Purnama

Sabtu, 7 November 2009

Presiden PAS lancar wajah baru Harakahdaily

Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 7 Nov: Wajah baru laman web rasmi PAS, Harakahdaily hari ini dilancarkan secara rasmi oleh presiden parti, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang di Markaz Tarbiyah PAS Taman Melewar.

Pelancaran itu dibuat bersempena Seminar Pemerkasaan Parti yang diadakan bermula pagi tadi bagi membincangkan serta menentukan hala tuju parti dalam mendepani cabaran masa depan.

Sewaktu pelancaran, Abdul Hadi sempat meneliti wajah baru laman web tersebut seta membaca isi kandungannya.

Laman web baru tersebut mula dirangka dua bulan yang lalu atas persetujuan Ahli Lembaga Pengarah Harakah setelah berlakunya pengasingan antara akhbar rasmi parti, Harakah dengan laman portal berita online, Harakahdaily.

Pengasingan ini dibuat bertujuan meringankan beban kerja kakitangan akhbar Harakah yang terpaksa menyediakan berita untuk akhbar dan laman web.

Dengan adanya kakitangan baru yang bertugas sepenuh masa untuk laman web, menjadikan laman web ini sentiasa dikemaskini dengan berita-berita terkini tentang Pakatan Rakyat khususnya PAS.

Wajah baru ini diharapkan dapat memuaskan hati semua pengunjung setia Harakahdaily yang sentiasa memberikan sokongan untuk Harakahdaily terus maju, setanding dengan laman portal berita yang lain.

Kakitangan Harakahdaily juga berharap agar pengunjung dan pembaca laman web ini terus memberikan kritikan membina dan sokongan kepada Harakahdaily dalam menyalurkan maklumat yang tepat kepada rakyat sesuai dengan slogannya, 'Tepat Dari Sumber'.

Seminar yang bermula jam 9.00 pagi tadi dihadiri lebih 1,000 peserta dari semua negeri.

Tiga ahli panel diundang untuk membentangkan kertas kerja iaitu pensyarah dan pakar perlembagaan, Prof. Dr. Abdul Aziz Bari, pensyarah Universiti Malaya Dr. Abu Hasan Hasbullah dan Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man._harakahdaily.net

Tiada ulasan: