Sahabat Purnama

Sabtu, 21 November 2009

Salman Sulaiman: Politik dan sikap penulis

Salman Sulaiman   
Apabila berbicara tentang politik dan sikap para penulis, seniman, wartawan, sasterawan dan budayawan; elok benar kita menelaah semula pidato penerimaan Anugerah Sastera Negara oleh Sasterawan Negara Keris Mas yang diangkat sebagai sasterawan negara Malaysia yang pertama oleh kerajaan Malaysia pada tahun 1981.

Pada awal-awal pidatonya lagi Keris Mas sudah menegaskan bahawa kedudukan sastera dan segala kegiatannya, haruslah dikecualikan daripada kepentingan politik golongan atau politik parti.

Pengaruh dan kuasa politik yang menentukan sastera ini sudah dibimbangi Keris Mas sejak 28 tahun yang lalu. Menurut beliau lagi, apabila sastera telah menjadi kepentingan politik atau mana-mana golongan ia tentu tidak lagi dapat mendokong aspirasi sesuatu bangsa. (Lihat: Keris Mas, Politik Sastera dan Sastera Politik dalam Sastera dan Kemanusiaan: Pidato Umum dan Pidato Penerimaan Sasterawan Negara 1981 – 1996, Dewan Bahasa dan Pustaka: 1997)

Pidato Sasterawan Negara Keris Mas itu kemudiannya dibahas oleh Muhammad Lutfi Ishak juga dengan pendirian yang hampir sama. Antara lain Muhammad Lutfi membahaskan bahawa, “Keris Mas melihat pemihakan sasterawan terhadap sebarang kelompok kepartian hanya membela dan membenarkan sesetengah kebenaran sahaja, tidak kesemua kebenaran yang seharusnya didukung.” Muhammad Lutfi mengaitkan tentang apa yang disebutkan Keris Mas itu dengan apa yang berlaku kepada Sasterawan Negara A. Samad Said kini.

Pak Samad sangat lantang mengkritik kerajaan kini dalam isu PPSMI, tapi Muhammad Lutfi menyarankan agar apa yang dilakukan Pak Samad itu wajar dibaca dalam pengertian yang telah disebutkan oleh Keris Mas dalam pidatonya itu. (Lihat: Muhammad Lutfi Ishak, Bila Sasterawan Patut Berpolitik, Siasah, 8 – 14 Mac 2009)

Jika diteliti, Muhammad Lutfi sendiri banyak tersentak dengan situasi politik atau peristiwa-peristiwa dalam politik yang banyak menyentap nuraninya sebagai penulis, yang kemudiannya beliau tuangkan kritikan sinisnya terhadap kebobrokan politik tersebut ke dalam karya-karyanya.
Lebih menarik dan mengagumkan, karya-karya sinis itu kemudiannya diiktiraf untuk memenangi hadiah sastera berprestij di peringkat negara.

Manakala sasterawan yang terkenal dalam penulisan naskhah teater, Dinsman menegur orang politik yang cakap tak serupa bikin dalam kolum mingguannya di Harakah. Secara berterus-terang beliau menegur ahli politik yang sombong dan angkuh.

Kita dapat menyimpulkan dengan jelas bahawa Dinsman bukan hanya memaksudkan tegurannya itu kepada ahli politik kerajaan sahaja tetapi semua ahli politik termasuk dari kalangan pembangkang.

Walaupun kita sedar, beliau menegur semua ahli politik tidak kira kerajaan atau pembangkang, tapi dalam kesimpulannya kita masih kabur untuk menentukan sikap beliau sendiri – sama ada memihak kepada pembangkang, kerajaan atau pun berkecuali.

Maka, tidak salah untuk kita katakan bahawa Dinsman juga berada dalam situasi seperti Pak Samad iaitu menyertai satu-satu kelompok itu kerana atas dasar mempunyai perjuangan yang sama. (Lihat: Dinsman, Orang Politik Jangan Sombong dan Angkuh, Harakah, 9 – 12 November 2009).

Jadi, seperti kata Muhammad Lutfi terhadap situasi diri Pak Samad sebelum ini, maka kedudukan Dinsman serta teguran beliau pun mestilah dibaca dalam konteks Keris Mas juga.

Natijah daripada apa yang diungkapkan oleh beberapa orang penulis yang telah saya sebutkan itu ialah penulis memang tidak boleh memihak kepada mana-mana parti politik tetapi mestilah memihak kepada kebenaran hakiki.
Inilah sikap Keris Mas, Shahnon Ahmad, A. Samad Said, Dinsman, Muhammad Lutfi Ishak dan sekian ramai lagi para penulis serta wartawan.

Sebagaimana sepatutnya wartawan dan juga ulama, beginilah juga sewajarnya sikap penulis – tidak memihak kepada mana-mana parti politik dan juga tidak menjadi alat propaganda kepada mana-mana parti politik yang ada.

Wartawan, sebilangan besarnya kelihatan masih memihak. Apabila bersara daripada menjadi wartawan di mana-mana akhbar kerajaan atau pembangkang, maka barulah kita dapat mendengar suara yang sebenar wartawan itu.

Kerana ketika masih makan gaji serta terikat dengan tugas, mereka hanya banyak menjadi tukang puji dan banyak mengamalkan ampu sana ampu sini saja. Kalau tidak berbuat demikian tentu saja mereka sangat bimbang takut dapur tidak berasap atau senang cakap, dibuang kerja.

Jadi, agar tidak menerima risiko dibuang kerja – mereka jadilah wartawan mengampu yang asyik memuji saja tidak bertempat. Menyuarakan kebenaran yang sepatutnya menjadi tugas penulis dan wartawan tidak lagi dipraktikkan kerana bimbang takut terganggu periuk nasi.
Maka, yang tinggal hanyalah wartawan cari makan bukan lagi wartawan yang menyuarakan kebenaran.

Saya sendiri juga pernah ditegur kerana kelihatannya seperti banyak menjadi Samad Said tetapi takut untuk menjadi Shahnon Ahmad. Tetapi sekarang, tempat Shahnon itu nampaknya telah digantikan oleh Samad Said.
PAS tentu saja sangat gembira dengan keterlibatan Samad Said dalam pelbagai aktiviti dan program mereka.

Tetapi perlu diingat, Pak Samad bukan masuk PAS. Beliau hanya bersama-sama dengan PAS kerana kebetulan apa yang diperjuangkan Pak Samad turut diperjuangkan PAS. Sebab itulah Pak Samad menyertai PAS, tetapi perlu difahami dengan jelas bahawa beliau bukan masuk PAS.

Kepada teman yang pernah menegur itu, ingin juga saya tahu apa pandangannya sekarang terhadap Shahnon dan Samad Said kerana Shahnon nampaknya sudah menjauhkan diri dari PAS. Kerana ketika bersama PAS, terlalu banyak pengalaman yang beliau peroleh untuk mengenal hati budi manusia. Terlalu banyak yang beliau belajar tentang apa itu sebenarnya yang dinamakan politik.

Dan beliau juga dapat mengenal siapakah yang benar-benar jujur dalam perjuangan dan siapa pulakah yang hanya bermuka-muka. Dan Pak Samad pula hari ini menggantikan tempat Shahnon dan kita dapat melihat Pak Samad kini tersangat berani dan tegas sekali mengkritik kerajaan – kritikan utamanya adalah berkenaan isu PPSMI dicampur juga dengan hal-hal lain yang tidak kurang pedasnya.

Beliau kebelakangan ini kerap muncul di pentas pembangkang untuk sama-sama berceramah dengan tokoh-tokoh terkemuka pembangkang. Hinggakan sampai pada satu tahap, beliau lebih selesa dipanggil Sasterawan Rakyat daripada sasterawan negara. Sedangkan gelaran sasterawan negara yang selalu disebut di pangkal namanya itu diberikan oleh kerajaan Malaysia, iaitu kerajaan yang begitu lantang dikritik Pak Samad akhir-akhir ini.

Seperti juga para ulama yang benar dan pendakwah yang ikhlas, kami – para penulis, sasterawan, seniman, pengarang dan sebilangan wartawan pun akan terus berusaha untuk memilih sikap ini. Iaitu berkecuali daripada dipengaruhi fahaman politik mana-mana parti atau mana-mana kumpulan tetapi tetap terus memperjuangkan kebenaran walaupun adakalanya ia bertentangan dengan pihak pemerintah dan pada ketika yang lain ia bercanggah dengan pihak pembangkang.

Maka bertepatanlah seperti mana yang diungkapkan oleh salah seorang Sasterawan Negara Malaysia yang terkemuka, Prof. Dr. Muhammad Haji Salleh dalam serangkap puisinya dalam Salju Shibuya:

aku juga menemui politik

tapi mengelaknya

kerana yang kupilih

batu pengalaman kekal,

makna abadi,

untuk hidup di jalan lain.




_harakahdaily.net

Tiada ulasan: