Sahabat Purnama

Isnin, 28 Disember 2009

Umno/ BN Kononnya Membela Rakyat, Tapi Yang Senang Adalah Wakil Rakyat !

http://buletinonline.net/images/stories/berita17/Whassanbagibaju.JPG
Sura, DUNGUN – Tindakan Menteri Besar Terengganu, Dato’ Ahmad Said meminta rakyat memilih Umno dan Barisan Nasional (BN) dalam majlis yang dianjurkan oleh kerajaan dibidas oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Ustaz Wan Hassan Ramli.

Menurutnya adalah tidak profesional sebagai seorang Menteri Besar meminta sokongan dari rakyat kepada partinya dalam majlis yang dianjurkan dengan peruntukan kerajaan.

”Sumbangan kepada rakyat adalah tanggungjawab kerajaan, ia menggunakan peruntukan kerajaan, duit rakyat, bukannya daripada duit parti,

”tidak munasabah sebagai seorang MB meminta rakyat menyokong partinya,”tegasnya ketika ditemui selepas Majlis Pemberian Sumbangan Pakaian Sekolah, di sini, Ahad 27 Disember.

Beliau berkata demikian ketika mengulas tindakan Ahmad Said meminta ibu bapa yang hadir memilih Umn/BN dalam pilihanraya akan datang ketika berucap dalam satu Majlis anjuran Yayasan Terengganu baru-baru ini.

Sehubungan itu, kata beliau, walaupun PAS bukan sebuah parti yang memerintah namun wakil-wakil rakyatnya tetap memberikan sumbangan dan bantuan kerana ia adalah merupakan satu tanggungjawab

Oleh sebab itu, katanya, wakil-wakil rakyat PAS tidak hidup mewah kerana keutamaan dan kepentingan mereka adalah kepada rakyat.

Katanya, ia bukanlah satu ‘retorika’ yang hanya cakap-cakap kosong sebagaimana slogan yang dibawa oleh Umno dan BN, ‘Rakyat Didahulukan, pencapaian diutamakan’.

”Cuba kita tengok hari ini, bila bercakap bahawa keutamaan (adalah) kepada rakyat, tapi bila naik, yang senang pemimpin-pemimpin yang jadi wakil rakyat,

”lihat kereta masing-masing, lihat rumah masing-masing, lihat pakaian kemegahan masing-masing,

”tapi bila turun ke kampung (bertemu rakyat), (mereka berkata) kita akan bela rakyat, kita akan akan bela (orang) Melayu,”jelasnya

Justeru, beliau berkata, rakyat harus menilai parti yang benar-benar berkhidmat untuk rakyat, atau parti yang berkhidmat dengan wang rakyat.

”Sebab itu sangat penting bagi kita (rakyat) menilai dan memilih (PAS) parti yang terus memberikan sumbangan walaupun tidak sebuah kerajaan, bayangkanlah kalau PAS menjadi kerajaan,”ujarnya ketika berucap dalam di Majlis tersebut.

Seramai 87 orang anak-anak Ibu Tunggal dalam DUN Sura telah diberikan sepasang pakaian sekolah, sempena pembukaan sessi baru persekolahan tidak berapa lama lagi._buletinonline





Tiada ulasan: